Isnin, 6 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 13







IRIS menatap laptop di hadapan dengan pandangan yang kosong. Perjumpaan dengan Dato Hamdan dan Hanif meniti di minda saat ini. Dia tersenyum tatkala mengingati riak di wajah Hanif. Pemuda itu masih ego dan berlagak. Tidak ada senyuman yang meniti di bibir pemuda itu.
Iris bangun dari duduk. Dia menghampiri jendela lalu menatap langit petang. Nafas ringan dilepaskan. Wajah Haidar menyapa mata. Dikerah otaknya untuk berfikir di mana dia pernah melihat wajah Haidar. Malah, pemuda itu mengingatkan dia kepada seseorang.
“Siapa Haidar yang sebenarnya?” Iris bertanya sendiri. Matanya masih membuang ke langit petang.
“Di mana aku nak cari dia? Apa khabar dia sekarang ni? Masih sama atau….” Iris mematikan ayat. Rasa sebak menerjah ke dalam hati.
“Ya Allah, Kau temukan aku dengan dia agar aku dapat menebus segala kekesalan dan serba salah aku selama ini,” doa Iris sendirian. Diraup wajah beberapa kali sambil melepaskan keluhan ringan.
“Cik Iris!” tegur Sarah dari arah muka pintu bilik.
Iris tersentak. Dihalakan mata ke arah Sarah.
“Maaf, Cik Iris. Saya cuma nak sampaikan ni pada cik sahaja,” beritahu Sarah serba salah. Dihulurkan sesuatu kepada Iris.
Iris melangkah menghampiri meja kerja. Huluran Sarah dibalas berserta kerutan di dahi.
“Saya minta diri dulu,” ujar Sarah sambil melangkah keluar.
Iris hanya mengangguk. Kemudian, sampul surat yang berada di tangan dipandang. Tanpa menunggu, sampul surat itu dibuka lalu mengeluarkan isi dari dalamnya.
“Kad jemputan?” sebut Iris berserta kerutan di dahi.
“Jemputan ke majlis amal Hamzah Holdings,” baca Iris senafas.
“Dah setahun rupanya majlis tu berlalu,” sambung Iris lagi sambil melabuhkan duduk di kerusi.
“Mamat tu!” Spontan Iris menyebutnya tatkala teringatkan sesuatu. Dia ketawa.
“Aku tak boleh lupa macam mana muka mamat tu disebabkan malu. Sengaja cari pasal dengan aku.”
Iris masih lagi ketawa. Peristiwa dia memalukan seorang pemuda meniti di ingatan. Gara-gara kelancangan mulut pemuda itu yang mengkritik penampilannya, dia bertindak menyimbah segelas air ke muka pemuda tersebut. Dia dan pemuda itu menjadi tumpuan dalam majlis tersebut.
“Tapi, muka mamat tu macam….” Iris mematikan ayat. Otaknya dikerah berfikir.
“Haaa….  macam….”
Deringan telefon mengejutkan Iris. Dia mengintai nombor di skrin telefon. Nombor yang tidak dikenali tertera di situ.
“Encik Jamil?” sebut Iris sedikit terkejut.


“SIBUK sikit. Banyak kes kat hospital,” beritahu Haidar sambil mencapai gelas minuman di hadapan. Dia meneguk perlahan air minuman tersebut.
“Habis tu, jadi tak cuti nak balik kampung?” tanya Zulaikha tatkala teringat perancangan Haidar tidak lama dulu.
“Jadi. Cuma belum masanya lagi. Maybe lepas kes selesai.”
Zulaikha sekadar menganggukkan kepala. Matanya memerhati tingkah laku Haidar yang sedang menjamu selera.
“Ayah dah jual syarikatnya. Dalam minggu hadapan, ayah balik kampung dan menetap di sana,” cerita Haidar tanpa dipinta.
Zulaikha tidak membalas. Otaknya cuba merencana penerangan Haidar. Dia melilaukan mata melihat suasana di dalam kafeteria itu.
Hope ayah tenang ketika berada di kampung,” sambung Haidar sehabis sahaja menjamah makanan. Wajah Zulaikha di hadapan dipandang berserta kerutan di dahi.
“Ika!” Haidar menegur namun gadis itu tidak membalas.
Zulaikha masih tidak membalas. Matanya terpahat ke arah sebuah meja yang berada tidak jauh dari mereka.
“Zulaikha!” Haidar memanggil buat kali yang kedua.
Zulaikha tersentak. Dia memandang ke wajah Haidar.
“Kenapa?” tanya Haidar ingin tahu.
“Kenapa apa?” Zulaikha bertanya seperti orang bodoh.
“Menungkan apa?”
Zulaikha sekadar tersenyum. Dia menyambung suapan nasi ke dalam mulut. Ada baiknya dia tidak menjawab pertanyaan Haidar. Tidak mahu Haidar menyedari kehadian Iris di kafeteria itu. Rasa cemburu terhadap pandangan Haidar terhadap Iris tidak lama dulu masih tersemat di kotak fikiran.
“Dah habis? Kalau dah habis, jom kita pergi. Saya ada hal pukul 2.30 nanti.”
“Awak tak habis makan lagi.”
“Saya dah kenyang. Jom!”
Haidar berkerut dahi. Dia memandang Zulaikha yang sudah pun bangun dari duduk. Entah kenapa Zulaikha bersikap begitu dengan tiba-tiba. Seperti ada yang cuba disembunyikan oleh Zulaikha ketika ini.
“Jom!” ajak Zulaikha yang sudah pun berdiri.
Haidar turut sama bangun. Dia masih memikirkan tingkah laku Zulaikha. Apa yang tidak kena dengan gadis itu?
“Awak!” panggil Zulaikha.
Haidar mengangguk perlahan. Dia melangkah perlahan mengekori Zulaikha dari belakang. Hatinya masih lagi tertanya-tanya akan tindakan Zulaikha.
“Haidar?” Teguran seseorang mematikan langkah Haidar tiba-tiba.


IRIS menyandarkan tubuh ke kepala katil. Kepenatan siang tadi minta direhatkan. Dia menghembus nafas ringan sambil otaknya ligat berfikir. Maklumat yang diberikan oleh Encik Jamil mengganggu fikiran. Benarkah maklumat yang diberitahu oleh Encik Jamil itu? Hatinya curiga dengan tiba-tiba.
Iris memejamkan mata. Wajah Haidar menyapa ketika ini. Kenapa setiap kali dia melihat wajah Haidar, dia berasa sebak? Dia berasa kasihan? Adakah dia mengenali Haidar sebelum ini?
“Siapa Haidar Qairen yang sebenar?” soal Iris kepada dirinya sendiri.
Keluhan ringan dilepaskan. Otaknya mengimbas semula pertemuan siang tadi. Secara tidak sengaja dia bertemu dengan Haidar dan Zulaikha. Pertemuan itu telah menghadirkan rasa kurang senang Zulaikha. Gadis itu kelihatan tergesa-gesa dan memotong perbualannya bersama dengan Haidar.
“Cemburu!”
Terpancul perkataan itu daripada bibirnya. Senyuman menghiasi bibir berserta gelengan di kepala. Geli hati dengan tingkah laku Zulaikha siang tadi.
Iris mencapai telefon bimbit dari atas meja. Mesej kiriman Zakry dibaca semula. Dia ketawa kecil ketika membacanya. Mesej berupa pesanan. Sejak dari dulu lagi Zakry mengambil berat tentang dirinya. Rasa terhutang budi dengan apa yang telah dilakukan oleh Zakry selama ini.
Iris menghela nafas ringan. Pertemuan dengan Datin Arniza malam kelmarin terimbas di minda. Agak lama dia tidak melawat Datin Arniza. Wanita yang sudah dianggap seperti ibu sendiri selain daripada Puan Hanum.
“Kalau Iris dah jumpa dengan pemuda yang sesuai, Iris beritahu pada aunty. Nanti aunty hantar rombongan meminang,” kata Datin Arniza dalam nada serius.
Iris yang mendengar ketawa kecil.
“Ada-ada sajalah awak ni, Niza.” Dato Rashid menegur. Dia turut sama ketawa.
“In shaa Allah, aunty. Nanti Iris beritahu aunty bila aunty boleh masuk meminang dia.” Iris membalas. Sekadar bergurau dengan Datin Arniza.
“Eh, orang serius. Dia gelak, pulak?” Datin Arniza menarik muka masam.
“Okey! Okey! Iris minta maaf.” Iris menghampiri Datin Arniza. Bahu wanita itu dipeluk kejap.
“Macam budak-budaklah awak ni, Niza.” Dato Rashid menggelengkan kepala. Geli hati melihat tingkah laku isterinya itu.
Iris melepaskan pelukan. Dia menjarakkan tubuh. Memberi ruang kepada Dato Rashid. Dia tersenyum melihat kebahagiaan pasangan itu.
Deringan telefon mematikan lamunan pendek Iris. Dia mencapai telefon bimbit lalu menatap nombor di skrin. Berkerut dahinya melihat nombor tersebut.
“Iris?” seru suara dari hujung talian sebaik sahaja salam bersambut.
“Siapa?” Iris bertanya. Dahi masih lagi berkerut.
“Haidar!” beritahu Haidar.
“Haidar?” Iris sedikit terkejut. Dia menegakkan badan.
“Kenapa Iris? Awak terkejut yang saya call awak ke?” tanya Haidar tatkala mendengar suara Iris.
“Eh… haa… ya…” Iris tergagap-gagap.
“Iris?”
“Maaf. Saya terkejut. Macam mana awak dapat nombor phone saya?”
“Awak dah lupa, Iris? Kita pernah bertukar kad nama hari tu.”
Iris mengerahkan otak mengingati peristiwa tersebut. Seminit kemudian, dia menganggukkan kepala tatkala mengingatinya.
“Maaf, kalau saya mengganggu. Saya….”
It’s okey, Haidar. Tak mengganggu pun. Ada hal apa?”
Haidar menarik nafas lalu melepaskannya ringan. Entah kenapa dia berasa ingin berbual dengan Iris. Maka dari itu dia menelefon Iris. Dia perlu mengenali Iris dengan lebih dalam lagi. Persoalan yang sering meniti di minda perlu dijawab. Siapa Iris Eryna yang sebenarnya? Kenapa dia berasa berdebar-debar tatkala berhadapan dengan Iris Eryna?
“Haidar?” Iris memanggil dari hujung talian.
“Ha…” Haidar tersentak.
“Ada hal apa?”
“Err…”
Iris setia menanti. Dia turut sama berdebar-debar. Perkara apa yang hendak dibincangkan oleh Haidar?
“Ery?” Haidar memanggil dari hujung talian.
“Ya, saya!” Spontan Iris membalas tanpa menyedari panggilan tersebut.
“Ery?” ulang Haidar berserta kerutan di dahi.
“Ery? Iris! Bukan Ery.” Iris membetulkan panggilan Haidar.
“Hurm… tak apalah. Saya letak dulu. Maaf mengganggu,” balas Haidar lalu mematikan talian.
Dia menyentuh dadanya yang sedang bergetar hebat. Adakah kerana nama itu dia berkeadaan sebegitu? Nama yang telah lama tidak disebut. Kenapa dengan tiba-tiba dia memanggil Iris dengan panggilan itu?
Iris tersentak. Kenapa dengan Haidar? Kenapa Haidar mematikan talian dengan tiba-tiba? Adakah dia tersalah bicara?
“Ery?” Iris mengulangi panggilan Haidar sebentar tadi.
Siapa Ery yang dimaksudkan oleh Haidar itu? Adakah Haidar tersalah orang?
“Ery?” Untuk kali yang kedua Iris menyebut nama tersebut.
“Bukankah….”
“Iris!” Panggilan Puan Hanum mematikan kata-kata Iris. Pantas, dia menoleh untuk melihat. Wajah Puan Hanum menyapa mata.
“Kenapa ni?” tanya Puan Hanum sambil melangkah masuk ke dalam bilik. Duduk dilabuhkan di birai katil.
“Mak tak tidur lagi?” Iris bertanya. Dia memberi sepenuh perhatian kepada Puan Hanum. Senyuman menghiasi bibir.
“Mak ada hal nak bincang dengan Iris.”
“Hal? Apa dia, mak?”
“Mak.... Mak….”
“Mak, kenapa ni?”
“Siang tadi ada orang datang jumpa dengan mak.” Puan Hanum memulakan bicara.
“Siapa?” Iris bertanya. Berminat untuk tahu.
“Salleh!” sebut Puan Hanum.
Terkejut Iris mendengarnya. Ditegakkan tubuh tatkala mendengar nama tersebut.
“Dia datang nak jumpa dengan mak. Iris….”
“Dia nak apa dengan mak?”
“Dia… Dia….”
“Nak duit?”
Puan Hanum mengangguk perlahan. Rasa serba salah ketika ini.
“Habis tu, mak bagi?” Iris bertanya. Wajah Puan Hanum yang sedang menunduk dipandang. Ada riak serba salah di wajah itu.
“Tak apalah mak. Nanti kalau dia datang jumpa dengan mak lagi, mak beritahu Iris,” suara Iris. Sekadar menghalau rasa bersalah Puan Hanum.
Puan Hamun mengangkat wajah. “Mak minta maaf, Iris. Mak….”
“Mak masuklah tidur. Dah lewat ni,” suruh Iris dalam nada lembut.
Ada baiknya dia tidak membincangkan tentang itu. Dia tidak mahu Puan Hanum berasa serba salah atas apa yang telah dilakukan. Bukannya dia tidak kenal dengan Salleh. Satu-satunya anak kandung Puan Hanum. Segala kisah Salleh telah lama diceritakan oleh Puan Hanum.
“Mak masuk tidur dulu. Iris pun jangan tidur lewat,” kata Puan Hanum bingkas bangun dari duduk. Tanpa menunggu, dia beredar dari bilik itu.
Iris hanya mengangguk dan memandang. Nafas dihela ringan. Mungkin dia perlu berjumpa dengan Salleh secara peribadi. Sekadar menuntut hak yang selama ini diabaikan oleh lelaki itu sebagai seorang anak kepada Puan Hanum.


1 ulasan:

  1. Makin misteri rasanya. siapa sebenarnya iris dan apa hubungannya dengan haidar ya. Iris pernah kemalangan ke? hilang ingatan?

    BalasPadam