Selasa, 7 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 14






“ENCIK HANIF!” tegur Sarah sambil menahan Hanif daripada masuk ke dalam bilik.
Teguran Sarah itu membuatkan Iris terkejut. Lantas, dia mengangkat wajah untuk melihat. Tubuh Hanif dan Sarah sedang berdiri memandang ke arahnya.
“Cik Iris, saya minta maaf. Saya dah tahan tadi tapi….” Sarah serba salah.
“Tak apa, Sarah. Awak boleh keluar sekarang. Terima kasih,” suruh Iris dalam nada lembut. Senyuman menghiasi bibir.
Sarah mengangguk. Tanpa menunggu, dia beredar dari ruangan itu. Nafas lega dilepaskan.
“Kau datang sini tentu ada perkara yang kau tak puas hati, kan?” Iris meneka. Dia kenal dengan perangai Hanif walaupun baru beberapa bulan mengenali pemuda itu.
“Memang aku tak puas hati dengan kau,” balas Hanif berserta dengusan kasar.
So, apa yang kau tak puas hati dengan aku?” Iris memandang ke wajah Hanif. Tegang wajah itu dilihatnya.
“Kau buat keputusan tanpa berbincang dengan aku. Apa hak kau….”
“Aku dah berbincang dengan Dato Hamdan dan dia pun sudah bersetuju dengan cadangan aku. So, apa masalahnya?”
“Aku ada hak untuk tahu!”
“Oh! Aku ingat, kau tak berminat nak join,” sinis Iris lalu bersandar ke kerusi.
Hanif menggenggam erat tangan. Menahan kemarahan di hati. Iris sengaja menaikkan kemarahannya.
“Kau kan ego. Berlagak dan sombong. Kau pun pandang sebelah mata pada kemampuan aku, kan?”
Hanif masih membisu. Sakit hatinya mendengar kata-kata Iris. Ikutkan hati, mahu ditampar gadis itu.
“Ada apa-apa lagi yang kau tak puas hati? Kalau tak ada, aku ada kerja yang perlu disiapkan,” tanya Iris dalam nada selamba. Dia membetulkan duduk lalu mencapai fail. Hanif di hadapan buat tidak endah sahaja.
“Kau jangan ingat diri kau tu hebat sangat, Iris. Satu hari nanti, kau akan tersungkur depan aku dan masa tu, kau akan kenal siapa Hanif Qairin yang sebenarnya.” Setelah menuturkannya, Hanif segera beredar dari bilik itu. Dia mendengus kasar.
“Aku janji pada diri aku sendiri. Aku akan pastikan kau tersungkur, Iris. Kau boleh tersenyum hari ini. Esok lusa, belum tentu lagi kau akan tersenyum. Aku akan buat kau menangis sampai kau tak kenal apa itu ketawa,” azam Hanif sambil menggenggam erat tangan. Dia pasti, hari itu akan tiba tidak lama nanti.
Iris sekadar tersenyum. Kata-kata Hanif tidak diendahkan. Walau apa pun yang Hanif katakan, dia tidak ambil peduli.
“Aku bukan Iris yang dulu. Aku, Iris yang tidak mudah mengalah,” kata Iris kepada dirinya sendiri.


SO, bila kau nak balik kampung?” tanya Zakry berminat ingin tahu.
Iris meneguk air dari dalam gelas. Tekak yang terasa kering sudah dibasahkan.
Maybe dalam minggu depan,” balas Iris sebaik sahaja minum.
Zakry mengangguk. Matanya memandang tingkah laku Iris yang sedang menjamah makanan.
“Kau tak nak ikut?”
“Aku banyak kerja la, Iris. Ikutkan memang aku nak ikut kau. Lagipun, dah lama aku tak balik kampung.”
“Tak apalah. Kalau kau dah tak sibuk, kau baliklah.”
“Aku nak minta tolong dengan kau, Iris.”
“Tolong apa?” Iris mematikan suapan makanan ke mulut. Dia memberi sepenuh perhatian kepada Zakry.
“Aku nak minta tolong kau bawa balik seguni buah rambutan,” kata Zakry berserta sengihan di bibir.
Iris yang mendengar berkerut dahi. Telinganya disapa dengan suara ketawa Zakry.
“Tak guna kau, Zack. Main-mainkan aku,” kata Iris dalam nada geram.
“Gurau pun tak boleh, ke? Lagipun, aku dah lama tak makan buah rambutan kampung tu. Kalau ada, kau tolong bawa sedikit untuk aku.”
“Iyalah, kalau ada. Kalau tak ada, kau jangan nak marahkan aku pulak?”
“Takkan la aku nak marahkan kau, Iris. Kau kan buah hati aku,” tukas Zakry lalu tersenyum.
Iris turut sama tersenyum. Faham akan maksud kata-kata Zakry itu. Sudah lama Zakry menganggapnya seperti adik. Walaupun mereka seusia, tetapi mereka dibezakan dengan beberapa bulan.
“Hey, perempuan!” tegur seseorang dari arah belakang.
Iris dan Zakry yang sedang berbual, terkejut. Mereka menoleh ke belakang untuk melihat gerangan yang menegur.
“Kau, siapa nak masuk campur dalam urusan keluarga aku? Itu mak aku. Kau tak ada hak nak larang dia dari bagi duit pada aku,” hambur Salleh dengan tiba-tiba.
Iris tersenyum. Dia pasti kedatangan Salleh ada kena-mengena dengan Puan Hanum. Perbualannya dengan Puan Hanum kelmarin terimbas di kotak fikiran. Bukan niatnya untuk masuk campur dalam urusan anak beranak itu. Tetapi, menjadi tanggungjawabnya untuk menasihati Puan Hanum. Dia tidak mahu peristiwa lama berulang kembali.
“Kau jangan ingat yang kau tu bagus sangat,” kata Salleh lagi.
Iris bangun dari duduk. Dia memandang tajam ke wajah Salleh. Lelaki itu cuba menaikkan kemarahannya.
Zakry yang melihat turut sama bangun dari duduk. Khuatir perkara yang tidak diingini terjadi. Bukannya dia tidak kenal dengan Salleh, anak Puan Hanum. Iris telah lama bercerita tentang lelaki itu.
“Dia mak aku dan aku ada hak ke atas mak aku. Kau bukan sesiapa dengan dia.”
So, kau nak apa dengan aku sekarang? Pasti duit, kan? Itu yang kau nak, kan?”
Salleh membisu. Dia membalas pandangan tajam Iris.
“Memang aku tak ada hak ke atas mak kau. Memang aku bukan sesiapa dengan dia. Tapi, aku dah lama anggap dia seperti mak aku dan menjadi tanggungjawab aku ke atas diri dia,” balas Iris dalam nada keras.
Salleh yang mendengar ketawa besar. Geli hati mendengar kata-kata Iris.
“Tanggungjawab? Tanggungjawab apa kalau diri sendiri pun tak betul.” Sinis Salleh berkata. Iris di hadapan dipandang sebelah mata.
Iris tidak membalas. Dia menggenggam erat tangan. Menahan kesabaran.
“Perempuan cacat macam kau, aku jamin tak ada sesiapa pun yang nak. Kau jangan ingat bila kau dah jaga mak aku, kau dah masuk dalam kategori bertanggungjawab. Puihh! Kau boleh cermin diri kau tu dulu sebelum kau nak kata tentang tanggungjawab,” hambur Salleh lagi. Masih tidak berpuas hati.
Iris masih membisu. Tidak berniat untuk membalas. Kata-kata Salleh sedikit menyentapkan hati.
“Sudahlah, bro. Kita bawa bincang elok-elok,” tegur Zakry yang sedari tadi membisu. Terkesan dengan kata-kata Salleh sebentar tadi.
“Aku ingatkan kau, jangan cuba nak masuk campur dalam urusan aku dan mak aku. Kalau tidak, aku akan bawa pergi mak aku dari hidup kau,” amaran Salleh dan berlalu pergi dari situ. Dengusan kasar dilepaskan.
“Iris, kau okey?” tanya Zakry bernada risau. Adakah Iris terasa hati dengan kata-kata Salleh sebentar tadi?
Iris hanya membisu. Dia melabuhkan duduk ke kerusi semula lalu menjamah makanan yang ditinggalkan sebentar tadi. Sungguh berselera sekali dia makan.
Zakry turut sama duduk. Tingkah laku Iris diperhatikan. Tidak tenang hatinya ketika ini melihatkan tingkah laku Iris.
“Iris….” Dia menegur. Sekadar untuk melihat reaksi Iris.
“Makanlah. Jangan membazir,” suruh Iris tatkala melihat makanan Zakry tidak berusik.
Zakry mengangguk. Dia mencapai sudu lalu menjamah makanan yang telah terhidang. Matanya menatap wajah Iris. Cuba untuk menyelami perasaan Iris melalui riak di wajah. Agak sukar untuknya menduga kerana Iris pandai menyembunyikan rasa di hati.
“Aku tahu kau terasa hati dengan kata-kata Salleh tadi. Luahkan Iris. Aku sedia mendengarnya,” bisik Zakry dalam nada perlahan.
Berharap, Iris dapat meluahkan dengan apa yang dirasai ketika ini dan dia sedia menjadi pendengar.


“KAU pergi mana? Dari pagi lagi aku cari kau tapi kau tak ada,” tanya Aidil sambil melabuhkan duduk. Wajah Hanif di hadapan dipandang seketika.
“Aku keluar sekejap. Ada hal,” jawab Hanif sambil membetulkan duduk.
“Keluar ke mana?” Aidil masih lagi bertanya.
“Jumpa perempuan tu,” balas Hanif acuh tak acuh.
“Iris?”
Hanif mengangguk. Dengusan ringan terlepas daripada bibir tatkala nama itu menyapa gegendang telinga.
 “Kenapa kau jumpa dengan dia?”
“Ada hal sikit yang perlu aku settle kan dengan dia.”
“Hal apa?”
“Yang kau banyak tanya macam polis pencen ni, kenapa? Takkan aku tak boleh nak jumpa dengan dia?” tegur Hanif sedikit bengang.
Aidil yang mendengar ketawa.
“Ketawa pulak? Gila betullah kau ni, Aidil,” kata Hanif dalam nada geram.
“Ada perubahan nampak.”
Hanif berkerut dahi. Apa maksud Aidil?
“Tak pernah dibuat kau cari dia. Tiba-tiba, hari ni kau pergi cari dia. Hal apa yang kau nak settle kan dengan dia? Soal hati dan perasaan ke?” Aidil sengaja mengusik. Sekadar melihat riak di wajah kawannya itu.
“Kau jangan nak naikkan darah aku, Aidil. Kau ingat aku suka sangat ke nak pergi jumpa dengan dia. Aku bengang sebab dia pandai-pandai buat keputusan tanpa berbincang dengan aku terlebih dahulu. Dato tu pun satu, yang pergi setuju dengan permintaan perempuan tu, apasal?” luah Hanif pannjang lebar. Bengang dengan tindakan Iris.
“Oh, pasal projek kat Shah Alam la ni.” Aidil mengangguk faham.
“Aku nak tarik diri dari projek tu. Malas aku!” putus Hanif dalam nada serius.
“Kau jangan nak mengada-ngada, Nif. Bukan senang kita nak dapat projek besar macam tu. Bila Allah dah bagi rezeki pada kita, kenalah bersyukur. Soal permusuhan kau dengan dia, kau ketepikanlah dulu. Yang penting, kita settle kan dulu projek tu,” luah Aidil dalam nada nasihat. Berharap, Hanif mendengar kata-katanya itu.
Hanif membisu. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Kau fikirkanlah pasal syarikat kita. Jangan ikutkan perasaan kau tu sangat,” suara Aidil lagi. Wajah Hanif di hadapan dipandang.
Hanif menghela nafas ringan. Perlahan-lahan kepada diangguk. Bersetuju dengan kata-kata Aidil. Ada baiknya dia mengetepikan soal hati dan perasaan. Yang penting, bagaimana untuk menaikkan nama syarikat?
“Okey, aku dengar cakap kau. Tapi, itu tak bermakna aku akan lepaskan perempuan tu. Aku tetap akan kenakan perempuan tu satu hari nanti,” putus Hanif seraya menggenggam tangan. Wajah Iris meniti mata ketika ini.
“Suka hati kau la, Nif. Jangan kau yang terkena pada hari tu sudahlah.” Aidil bingkas bangun dari duduk. Dia mengerling sekilas ke wajah Hanif.
“Allah Maha Berkuasa. Kalau Allah nak terbalikkan perasaan kau dari benci kepada sayang, dalam sekelip mata saja Dia boleh buat,” kata Aidil sekadar mengingatkan. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari bilik itu.
Hanif hanya mendengar. Kata-kata Aidil sedikit terkesan di hati. Namun, dibuang jauh perasaan itu. Apa yang penting, dia perlu mengenakan Iris. Mencari kelemahan Iris sebagai senjata untuk menang.

“Satu hari nanti kau akan faham kenapa aku buat macam ni, Aidil. Kau tak berada di tempat aku. Kalau kau berada di tempat aku, kau akan rasa dengan apa yang aku rasa ketika ini,” luah Hanif berserta dengusan ringan.


1 ulasan: