Rabu, 8 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 15






PUAN HANUM memerhati Iris dari ruang dapur. Sejak Iris pulang dari kerja, anak angkatnya itu mengurung diri di dalam bilik. Baru sebentar tadi Iris keluar dari bilik. Ajak makan bersama, Iris menolak. Entah kenapa dengan anak angkatnya itu.
Puan Hanum melabuhkan duduk di kerusi. Kata-kata nasihat Iris kelmarin masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Nasihat agar tidak terlalu kerap berjumpa dengan Salleh. Mungkin ada benarnya kata-kata Iris. Tidak mustahil peristiwa lama kembali terjadi.
Suatu ketika dulu, dia dibuang oleh anaknya sendiri kerana tidak mampu untuk menjaganya. Iris yang telah mengutipnya di tepi jalan lalu membawanya ke rumah. Pada waktu itu, usia Iris masih remaja. Gadis itu dijaga oleh Dato Rashid dan Datin Arniza seperti anak kandung sendiri.
Untuk membalas jasa Dato Rashid dan Datin Arniza, dia bekerja sebagai pembantu rumah. Setelah Iris bekerja, Iris membawanya tinggal bersama. Selepas beberapa tahun, dia bertemu semula dengan Salleh secara tidak sengaja di sebuah pasaraya. Lantas, Salleh mengajaknya tinggal bersama.
Puan Hanum mengeluh ringan. Dalam diam, Salleh mempunyai agenda tersendiri. Dia meminta wang daripada Iris sebagai upah menjaganya. Jika tidak, dia akan diapa-apakan. Untuk tidak mahu dia disakiti, Iris terpaksa bersetuju memberi wang kepada Salleh. Malah, Salleh juga menuntut sejumlah wang jika Iris mahu menjaganya.
Demi kasih sayang, Iris terpaksa memberi sejumlah wang yang dituntut oleh Salleh. Sebagai galang ganti dirinya. Kini, Salleh muncul kembali untuk menagih haknya sebagai seorang anak dan dia berasa serba salah. Walau apa pun, Salleh tetap anak kandungnya.
“Mak!” Iris memanggil.
Sejak dari tadi dia memerhatikan Puan Hanum yang leka termenung. Apa yang dimenungkan oleh Puan Hanum itu?
Puan Hanum masih lagi leka dengan tenungan. Dia jadi serba salah. Adakah Iris terasa hati dengan tindakannya dengan memberi wang kepada Salleh?
“Mak?” Buat kali yang kedua Iris memanggil. Bahu Puan Hanum disentuh lembut.
“Haa….” Terkejut Puan Hanum dengan sentuhan itu. Diurut dada yang sedang bergetar hebat.
“Kenapa ni, mak? Dari tadi Iris tengok mak termenung saja, kenapa?” Iris bertanya sambil melabuhkan duduk di kerusi. Wajah ibu angkatnya itu ditatap mesra.
Puan Hanum menghela nafas ringan. Matanya membalas tatapan Iris. Perlahan-lahan tangan Iris dicapai lalu digenggam erat. Menyalurkan rasa kasih dan sayang terhadap anak angkatnya itu.
“Kenapa ni, mak?” Semakin pelik Iris melihat tingkah laku Puan Hanum. Apa yang sedang mengganggu fikiran Puan Hanum ketika ini?
“Mak minta maaf. Mak tahu Iris terasa hati dengan tindakan mak. Tapi, mak….”
“Oh, pasal tu. Tak apalah mak. Iris tak ambil hati pun. Mak ada hak untuk membuat keputusan. Lagipun, Iris tak ada hak untuk masuk campur dalam keputusan mak,” pintas Iris. Faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Puan Hanum itu.
“Iris, kenapa cakap macam tu?” Puan Hanum menegur. Kurang senang mendengar kata-kata Iris. Pasti Iris terasa hati dengan tindakannya sebelum ini.
“Sudahlah mak. Tak perlulah kita bincangkan lagi perkara ni. Mana yang baik buat mak, Iris ikut saja.”
Puan Hanum tidak membalas. Wajah Iris masih lagi ditatap.
“Dah lewat malam. Mak tidurlah. Iris nak keluar sekejap. Nak jumpa kawan.”
“Siapa?” Puan Hanum bertanya. Ada nada risau dari suaranya itu.
“Nanti Iris cerita pada mak. Iris minta diri dulu,” balas Iris lalu bangun dari duduk.
Tanpa menunggu, dia melangkah jalan menuju ke muka pintu rumah. Dikerling jam di pergelangan tangan buat seketika.
“Jangan balik lewat sangat, Iris. Apa-apa hal, jangan lupa call mak,” pesan Puan Hanum sebelum Iris menghilangkan diri.
Iris sekadar mengangguk. Dia segera beredar dari situ. Dia sudah pun berjanji untuk berjumpa dengan Encik Jamil. Penyiasat persendirian yang dilantik untuk mencari seseorang. Berharap dia mendapat khabar berita daripada Encik Jamil nanti.


“KENAPA kau nak jumpa dengan aku?” Hanif melabuhkan duduk. Haidar di hadapan dipandang seketika.
Haidar memerhati tingkah laku Hanif yang sedang menilik telefon bimbit. Adiknya itu masih tidak berubah.
“Kerja kau macam mana? Okey?” Haidar sekadar bertanya.
Hanif yang sedang menilik telefon bimbit menghentikan tingkah laku. Pelik mendengar pertanyaan Haidar. Belum pernah lagi abangnya itu bertanya tentang kerjanya.
“Aku tengok muka kau pucat dan tak bermaya. Kerja…. kerja juga. Badan kita bukannya robot. Perlukan rehat.” Haidar masih lagi bersuara. Sekadar mengambil berat tentang adiknya itu.
“Hai… kau dah buat tabiat ke apa? Tiba-tiba saja nak nasihat aku bagai?” Hanif menyindir. Haidar di hadapan dipandang sinis.
Haidar menggelengkan kepala.
“Aku tahulah nak jaga diri aku sendiri. Aku tak perlukan bantuan kau,” sambung Hanif lagi.
“Aku sekadar menjalankan tugas sebagai seorang abang. Terpulang pada kau nak terima ataupun tidak,” balas Haidar berserta nafas ringan.
Hanif tersenyum sinis. Kata-kata Haidar dibuat endah tak endah sahaja. Walau apa pun yang Haidar lakukan, dia tetap tidak dapat menerimanya. Bagi dia, Haidar seorang yang hipokrit.
“Ada hal apa kau nak jumpa dengan aku?” Hanif bertanya semula. Pertanyaanya belum dijawab oleh Haidar. Kenapa Haidar ingin berjumpa dengannya?
“Ayah yang minta Haidar call Hanif. Ayah ada perkara nak bincang dengan kamu berdua,” suara Encik Qamarul dari arah belakang.
Hanif dan Haidar tersentak. Masing-masing menoleh ke belakang. Wajah Encik Qamarul menyapa mata. Lantas, mereka berdua bangun untuk bersalaman dengan Encik Qamarul.
“Ayah minta maaf sebab lewat,” kata Encik Qamarul dalam nada kesal. Dia melabuhkan duduk di sisi Haidar.
“Tak apa, ayah. Kami pun baru saja sampai,” balas Haidar sekadar menghalau rasa bersalah di hati Encik Qamarul.
Encik Qamarul mengangguk perlahan. Wajah Haidar ditatap seketika sebelum beralih ke wajah Hanif. Anak bongsunya itu leka dengan telefon di tangan.
“Esok, ayah balik kampung.” Encik Qamarul memulakan perbualan.
“Balik kampung?” ulang Hanif sedikit terkejut.
“Kan dah bincang pasal ni dulu. Kau dah lupa ke?” Haidar menegur. Kepala menggeleng kecil.
“Memanglah dah bincang. Tapi, tak terlalu awal ke ayah nak balik kampung? Syarikat ayah macam mana?” Hanif tidak berpuas hati.
“Semua ayah dah settle kan, Hanif,” jawab Encik Qamarul dalam nada tenang.
Hanif tidak membalas. Rasa tidak puas hati menyelinap masuk ke dalam hati.
“Alhamdulillah. Bila ayah nak gerak balik ke kampung?” tanya Haidar berserta ucapan syukur. Rasa lega mendengarnya.
“In shaa Allah, pagi esok ayah gerak balik ke kampung. Mungkin ayah akan tinggal di sana. Kalau ayah ada masa nanti, ayah datang melawat kamu berdua di sini,” beritahu Encik Qamarul. Itulah perancangannya yang sebenar.
Hanif hanya mendengar. Tidak berniat untuk menyampuk. Walaupun dia kurang setuju dengan tindakan Encik Qamarul, mahu tidak mahu, dia terpaksa bersetuju. Mungkin itu jalan yang terbaik buat ayahnya berehat setelah sekian lama menceburkan diri dalam dunia perniagaan.
“Hanif!” Encik Qamarul memanggil.
Sejak dari tadi dia melihat Hanif seakan sedang termenung. Adakah Hanif masih tidak bersetuju dengan tindakannya?
Hanif sedikit tersentak. Dia menoleh ke wajah Encik Qamarul.
“Ayah harap Hanif bersetuju dengan keputusan ayah,” suara Encik Qamarul bernada harapan. Wajah anaknya itu ditenung sayang.
Hanif menghela nafas ringan. Dia menganggukkan kepada tanda setuju. Buat apa dia membantah? Jika dia membantah, ayahnya tetap dengan keputusan untuk pulang ke kampung.
“Ayah janganlah risau dengan kami. In shaa Allah, Har akan tengok-tengokkan Hanif,” ujar Haidar yang sejak dari tadi membisu.
Encik Qamarul menggangguk lemah. Dia memukul lembut tangan Haidar. Memberi sepenuh kepercayaan kepada anak sulungnya itu.
“Kalau Har dan Nif ada masalah, jangan lupa beritahu pada ayah,” pesan Encik Qamarul dalam nada tegas.
“In shaa Allah, ayah.” Serentak Haidar dan Hanif membalas. Maisng-masing memandang ke wajah Encik Qamarul.
Encik Qamarul tersenyum. Semoga doanya untuk melihat Haidar dan Hanif berbaik seperti dulu termakbul.


“MACAM mana? Dah settle semuanya?” tanya Zulaikha dari hujung talian.
“Alhamdulillah, dah settle semuanya. Esok, ayah akan pulang ke kampung,” jawab Haidar berserta nafas lega. Dia menyandarkan tubuh ke kepala katil.
“Alhamdulillah!” balas Zulaikha, sepatah.
Haidar tidak membalas. Otaknya sedang memikirkan sesuatu.
“Hanif, macam mana?”
“Macam tu sajalah awak. Masih dengan perangai tak semenggah dia tu. Entah bila nak berubah pun saya tak tahu.”
“In shaa Allah, satu hari nanti Hanif akan berubah. Saya pasti.”
“Harap-harap begitulah, awak.”
“Saya pasti Hanif sayangkan awak. Cuma Hanif tu lebih kepada ego,” komen Zulaikha. Itulah yang dilihatnya terhadap sikap dan perangai Hanif.
“Saya tahu, awak. Hanif yang sekarang bukanlah Hanif yang dulu. Sejak peristiwa tu, Hanif berubah laku. Hanif jadi pendendam dan pembenci. Kami dah puas menasihati tetapi dia tetap menolak nasihat kami,” luah Haidar sedikit terkilan.
“Macam mana dengan penyiasatan awak tentang dia?” Zulaikha bertanya.
Tentang penyiasatan Haidar sudah lama diketahuinya. Haidar sendiri yang bercerita. Hampir 10 tahun Haidar mencari. Namun, sehingga ke hari ini Haidar tidak berjumpa dengan yang dicari. Mungkinkah penyiasatan Haidar akan sia-sia sahaja?
“Buat masa sekarang ni, belum ada apa-apa lagi. Tapi tak apa. Saya akan tetap mencari,” balas Haidar berserta keluhan ringan. Terasa putus asa untuk mencari turut menumpang di hari.
“Awak jangan putus asa ya. Saya yakin, awak akan berjumpa dengan apa yang awak cari selama ini,” kata Zulaikha memberi semangat kepada Haidar.
Haidar mengangguk perlahan. Dia turut berharap yang sama. Berjumpa dengan apa yang dicari selama hampir 10 tahun ini.
“Kalau saya tanya sesuatu, boleh?” Zulaikha sedikit teragak-agak.
“Sejak bila pulak awak minta izin nak bertanya ni? Selalunya awak pakai terjah saja. Macam Nas Ahmad dalam Melodi tu.” Haidar bergurau. Dia ketawa kecil dengan ayatnya itu.
“Saya cuma risau pertanyaan saya nanti akan buat awak fikir lain atau sebaliknya. Sebab itu saya kena minta izin dulu daripada awak,” ujar Zulaikha penuh cermat.
“Okeylah! Awak nak tanya apa?” Haidar mengalah. Zulaikha pandai bermain dengan kata-kata. Sukar untuknya membidas.
“Awak dengan Iris……”
“Iris?”
Zulaikha mengangguk perlahan. Dia teragak-agak untuk bertanya. Khuatir, Haidar tidak suka akan pertanyaannya nanti.
“Kenapa dengan Iris?”
“Tak ada apa. Tiba-tiba saja teringat tentang dia. Itu yang saya tanya pada awak tentang dia.” Zulaikha berdalih.
Ada baiknya dia tidak bertanya tentang Iris. Tidak mahu Haidar memikirkan yang bukan-bukan tentang dirinya.
“Oh! Saya ingatkan apa tadi,” sahut Haidar berserta nafas lega.
Zulaikha tidak membalas.
“Wajah Iris mengingatkan saya pada seseorang. Tapi, saya tak ingat siapa,” beritahu Haidar akan apa yang dirasai tatkala melihat Iris.
“Maksud awak?” Zulaikha ingin tahu.
“Saya perlu pastikan yang firasat hati saya selama ini benar ataupun tidak.”
“Awak rasa Iris, orang yang awak cari selama ini?” tebak Zulaikha.
“Ya, awak. Itu yang saya rasa bila saya berjumpa dengan Iris,” balas Haidar. Setuju dengan tebakan Zulaikha.
“Hurm… tak apalah awak. Mungkin firasat hati awak tu kurang tepat.”
“Mungkin juga.”
“Saya letak dulu. Dah lewat malam. Esok, kita jumpa di tempat biasa,” ujar Zulaikha dari hujung talian. Dikerling sekilas jam di dinding. Masa sudah merangkak ke pukul 12.30 pagi. Terlalu lama dia berbual dengan Haidar.
Setelah berpamitan, Haidar membaringkan tubuh. Kepenatan mulai terasa dan minta direhatkan. Entah kenapa wajah Iris menyapa mata ketika ini. Sungguh, dia keliru dengan hatinya sendiri. Benar atau tidak, Iris orang yang dicarinya selama ini? 


Terima kasih pada yang follow TERUS MENCINTAIMU. Saya bercadang untuk stop di Bab 15. Tetapi, jika ramai buat permintaan untuk bab seterusnya, In shaa Allah saya akan up. 

Terima kasih sekali lagi.


2 ulasan:

  1. nak baca
    up la lagi kak ros huhuhuhu

    BalasPadam
  2. Alahai...jgn la stop dulu..x puas baca lagi

    BalasPadam