Khamis, 9 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 16






IRIS menghela nafas ringan. Udara petang begitu menyamankan. Terasa tenang berada di kampung. Hampir setahun dia tidak menjejakkan kaki di kampung dan baru hari ini dia berkesempatan untuk berada di sini. Kampung yang telah lama ditinggalkan.
Iris memulakan langkah. Sawah padi menghijau terbentang luas menyejukkan mata yang memandang. Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa tubuh. Sekawan burung berterbangan indah di dada langit. Dia tersenyum melihat keindahan ciptaan Yang Maha Esa.
“Assalamualaikum.”
Sapaan seseorang dari arah belakang mematikan langkah Iris. Lantas, dia menoleh untuk melihat gerangan yang menegur.
“Assalamualaikum,” ulang suara itu lagi.
“Waalaikumussalam,” balas Iris berserta kerutan di dahi. Siapa lelaki tua di hadapannya ini?
“Anak ni orang baru di sini?” tanya Encik Qamarul, ramah.
“Err…” Iris teragak-agak untuk menjawab. Apa jawapan yang harus diberikan kepada lelaki tua itu?
“Kalau anak orang baru di kampung ni, uncle boleh jadi pemandu pelancong untuk anak,” suara Encik Qamarul lagi. Wajah gadis di hadapannya itu ditatap mesra.
“Tak apa uncle. Tak perlu susah-susah,” tolak Iris dalam nada lembut. Tidak mahu menyusahkan lelaki itu.
“Apa pulak susahnya? Uncle tak kisah. Boleh juga uncle melawat kampung ni sekali. Uncle pun orang baru di sini juga,” balas Encik Qamarul. Ketawa kecil terlepas daripada bibir.
Iris turut sama ketawa. Matanya memandang wajah Encik Qamarul buat seketika.
Uncle….”
“Panggil Uncle Qamarul saja. Anak?”
“Panggil saya, Iris saja.”
Encik Qamarul mengangguk. Wajah Iris dipandang seketika. Seperti pernah melihat wajah itu sebelum ini. Wajah itu mengingatkan dia kepada seseorang. Tetapi, siapa?
Uncle memang asal dari kampung ni?” Iris bertanya. Sekadar ingin tahu.
Encik Qamarul memulakan langkah. Dia menganggukkan kepala sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Iris.
Uncle memang asal dari kampung ni. Cuma baru sekarang uncle berkesempatan untuk balik ke sini,” mulai Encik Qamarul. Senyuman meniti di bibir.
Iris hanya mendengar. Dia mengekori langkah Encik Qamarul.
“Sejak uncle pindah ke KL, uncle jarang balik ke sini. Kalau ada pun, sehari dua saja. Tapi sekarang, uncle nak abadikan hidup uncle di sini. Kalau diizinkan Allah, uncle nak meninggal di sini.”
Uncle memang ada rumah di sini?”
“Ada Iris. Uncle upah orang untuk tengok-tengokkan rumah.”
Iris mengangguk perlahan. Wajah Encik Qamarul dipandang seketika. Kenapa hatinya berasa sayu melihat wajah itu?
“Iris datang ke kampung ni, bercuti ke?” Encik Qamarul bertanya. Sekadar ingin tahu.
“Saya…. Saya….” Iris berkira-kira untuk menjawab.
“Atau, Iris memang orang kampung ni,” sambung Encik Qamarul. Wajah Iris dipandang. Menanti jawapan daripada gadis itu.
Iris tidak membalas. Hatinya berkira-kira untuk menjawab. Perlukah dia mengaku yang dia berasal dari kampung ini?
“Saya bercuti di sini,” putus Iris sehabis berfikir.
“Okey! Kalau macam tu, jom ikut uncle. Uncle bawa Iris jalan-jalan di kampung ni,” ajak Encik Qamarul bernada ikhlas.
Iris hanya mengangguk. Langkahnya mengekori langkah Encik Qamarul. Dia hanya mendengar dan memberi sepenuh perhatian kepada penerangan Encik Qamarul. Rasa rindu terhadap kampung terlerai sudah. Semoga pencariannya akan berakhir. Semoga dia bertemu dengan insan yang dicari.


SO, macam mana?” tanya Zakry dari hujung talian.
“Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar,” balas Iris berserta nafas lega.
“Alhamdulillah. Aku harap kau happy di sana.”
“In shaa Allah, Zack. Kalau kau ada mesti lagi best.”
“Ala… Sama saja. Aku ada ke tak ada, kau tetap happy, kan?”
Iris hanya mendengar.
“Aku rindukan kau.”
“Aku pun rindukan kau juga.”
“Macam mana dengan pencarian kau?” Zakry bertanya. Sekadar ingin tahu.
“Belum ada apa-apa lagi, Zack,” balas Iris sedikit kecewa.
“Tak apalah Iris. In shaa Allah, satu hari nanti kau akan bertemu dengan dia juga.”
“Mudah-mudahan Zack. Aku harap pencarian aku ni berhasil.”
Iris hanya mengangguk. Setiap hari dia berdoa agar pencariannya selama 10 tahun ini berhasil. Rasa bersalah atas apa yang berlaku dahulu masih lagi menghuni di hati.
“Iris!” Zakry memanggil.
“Haa…” balas Iris sedikit tersentak.
“Siang tadi aku terserempak dengan Haidar,” beritahu Zakry tatkala teringat tentang itu. Pertemuan siang tadi meniti di minda.
“Haidar?” ulang Iris berserta kerutan di dahi.
“Dia tanya pasal kau.”
Iris tidak membalas.
“Dia rindukan kau la tu. Sebab tu dia tanya pasal kau.”
“Merepeklah kau.”
“Apa pulak merepeknya? Dah memang betul, kan?”
Iris sekadar tersenyum. Wajah Haidar menyapa mata ketika ini. Rasa sebu hadir di hati dengan tiba-tiba.
“Dia pun aku tengok macam ambil berat pasal kau saja. Dia pun boleh dikategorikan handsome dan berkerjaya. Amat sesuai untuk kau.” Zakry masih bercerita. Sekadar melihat dan menduga perasaan Iris.
“Aku faham dengan apa yang kau cuba nak sampaikan Zack. Tapi, kau kan tahu keadaan aku yang sebenarnya,” suara Iris setelah sekian lama membisu.
Zakry hanya mendengar. Otaknya sedang berfikir.
“Dia layak untuk dapat yang lebih baik dan sempurna daripada aku. Zulaikha, gadis yang paling layak buat Doktor Haidar.”
“Zulaikha?”
“Aku tahu, Zulaikha dah lama memendam perasaan pada Haidar. Dari tingkah laku dan percakapan dia pun sudah menunjukkan yang dia amat mencintai dan menyukai Haidar.”
Iris berterus-terang. Itulah yang dilihat selama ini tatkala berhadapan dengan Zulaikha dan Haidar. Gadis itu sudah lama menyukai dan mencintai Haidar. Cuma, Haidar tidak menyedarinya. Mungkin juga Haidar berpura-pura tidak menyedari cinta Zulaikha?
“Hurm… Aku pun rasa macam tu juga, Iris,” sokong Zakry. Faham dengan apa yang diperjelaskan oleh Iris.
“Tapi Iris, aku rasa macam pernah nampak muka Haidar tu. Tapi, aku tak ingat kat mana,” sambung Haidar.
“Maksud kau?” Iris bertanya. Adakah Zakry dapat merasai dengan apa yang dirasainya selama ini tentang Haidar?
“Wajah dia mengingatkan aku pada seseorang.”
“Siapa?”
Zakry mengerahkan otak berfikir. Cuba untuk mengingati wajah yang dimaksudkannya sebentar tadi.
“Aku lupa. Tapi nanti bila aku dah ingat, aku beritahu pada kau,” kata Zakry, mengalah. Sungguh, dia tidak mengingatinya.
“Tak apa la Zack. Satu hari nanti, firasat hati kita akan terjawab juga. By the way, siang tadi aku berjumpa dengan seorang uncle ni. Seorang yang peramah. Dia bawa aku jalan-jalan satu kampung ni. Tapi….”
“Tapi apa?”
“Dia mengingatkan aku pada seseorang.”
“Siapa?”
“Aku tak ingat. Tapi, perasaan aku pada dia sama seperti perasaan aku terhadap Haidar. Sedih dan rasa bersalah.”
Zakry setia mendengar. Otaknya masih lagi berfikir.
“Kenapa, Zack? Kenapa aku berperasaan seperti itu? Adakah mereka berdua ada kaitan dengan aku sebelum ini?” tanya Iris, bertubi-tubi.
Zakry menghela nafas ringan. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Iris? Mungkinkah firasat hati Iris sahaja?
“Aku pernah buat salah dengan dia orang ke, Zack?” Iris menduga.
“Firasat hati kau saja, Iris. Sudahlah! Dah lewat malam. Nanti kita sambung lagi. Jangan fikirkan sangat pasal dia orang tu. Satu hari nanti, kau akan tahu kebenarannya,” putus Zakry berserta nasihat buat Iris. Tidak mahu Iris terlalu memikirkan tentang Haidar dan uncle yang dimaksudkan oleh Iris itu.
Iris mengangguk perlahan. Ada benarnya kata-kata Zakry itu. Mungkin satu hari nanti segala persoalan yang bersarang di kepalanya bakal terjawab.
“Aku letak dulu. Jangan tidur lewat dan jangan fikirkan sangat dengan masalah kau tu. Tak pasal-pasal nanti, kau pulak yang sakit,” pesan Zakry dalam nada lembut.
“Baik boss!” balas Iris berserta ketawa kecil.
Zakry turut sama ketawa. Setelah berpamitan, dia meletakkan telefon. Nafas ringan dilepaskan. Walau di mana sahaja Iris berada, dia tetap mendoakan keselamatan gadis itu. Semoga usaha Iris selama ini membuahkan hasil. Usaha dalam mencari keluarga kandungnya.


“SIHAT alhamdulillah. Har macam mana? Sihat?” tanya Encik Qamarul dari hujung talian.
“Alhamdulillah, ayah. Har sihat. Cuma sibuk sikit dengan kes,” balas Haidar dalam nada lembut. Kepenatan seharian bekerja masih lagi terasa.
“Kerja… Kerja juga, Har. Kesihatan perlu dijaga. Kalau doktor sakit, siapa yang nak merawat pesakit pulak nanti?” nasihat Encik Qamarul. Anaknya itu masih seperti dulu. Tidak mengambil berat pada kesihatan sendiri.
“Har tahu ayah. Terima kasih atas peringatan ayah,” ucap Haidar berserta senyuman di bibir. Rasa lega mendengar nasihat daripada Encik Qamarul.
“Ayah bukannya apa, Har. Ayah tak nak Har terlalu sibuk berkerja sehingga lupa untuk berehat. Kita bekerja untuk hidup bukannya hidup untuk bekerja.”
“Har tahu ayah. Sekarang ni banyak kes di hospital. Har kena bersedia.”
“Ayah faham, Har. Tapi, Har kena juga fikirkan pasal masa depan Har. Tak kan selama-lamanya Har nak bekerja? Har pun perlu fikirkan tentang perkahwinan. Zulaikha, gadis yang baik. Ayah suka dengan perwatakan Zulaikha dan sesuai untuk Har.”
Haidar hanya membisu. Tidak mahu membalas.
“Bila Har nak melamar Zulaikha?” Encik Qamarul sekadar bertanya.
Sudah lama Haidar berkawan dengan Zulaikha. Namun, tiada tanda-tanda untuk Haidar melamar Zulaikha. Adakah Haidar tidak serius berkawan dengan Zulaikha?
“Ayah, Har….” Haidar termati kata-kata. Tidak tahu untuk menjawab.
“Har sukakan Zulaikha?”
Haidar menelan air liur sendiri. Pertanyaan Encik Qamarul sedikit mengejutkan. Jarang sekali mereka membincangkan soal hati dan perasaan. Kenapa hari ini Encik Qamarul bertanya tentang perasaannya?
“Haidar?” Encik Qamarul memanggil tatkala menyedari kebisuan Haidar.
“Ya, ayah,” sahut Haidar dari hujung talian.
“Tak apalah, Har. Nanti ada masa, kita bincangkan tentang ni lagi,” putus Encik Qamarul. Pasti Haidar belum bersedia untuk berbincang tentang hati dan perasaan.
Haidar tidak membalas. Hatinya berkira-kira untuk berterus-terang kepada Encik Qamarul tentang hati dan perasaannya.
“Hanif macam mana, Har?” tanya Encik Qamarul tatkala teringatkan Hanif. Apa khabar dengan anak bongsunya itu?
“Macam tu jugalah ayah. Tak berubah dan masih dengan sikap yang sama,” beritahu Haidar berserta dengusan ringan. Wajah Hanif menyapa mata ketika ini.
“Tak apalah, Har. Ayah tetap berdoa agar Hanif berubah.”
“Mudah-mudahan ayah.”
“Peristiwa lama masih berbekas di hati Hanif. Ayah pun bersalah dengan apa yang terjadi pada Hanif dulu. Ayah terlalu ikutkan perasaan. Kalau ayah tidak bertindak terburu-buru, Hanif tak akan jadi seperti hari ini,” luah Encik Qamarul dalam nada kesal.
“Tak ayah. Ayah cuma jalankan tanggungjawab ayah sebagai ayah kami berdua. Ayah ada hak untuk buat macam tu,” tukas Haidar berserta gelengan di kepala. Tidak bersetuju dengan kata-kata Encik Qamarul.
Encik Qamarul menghela nafas ringan. Rasa kesal masih menghuni di hati.
“Ayah ada jumpa dengan Pak Majid?”
“Ada, Har. Masih jawapan yang sama.”
“Hurm… Tak apalah ayah. Mungkin belum tiba masanya untuk Har berjumpa dengan dia. Har tak akan putus asa untuk mencari.”
“In shaa Allah. Har akan berjumpa dengan dia nanti.”
Haidar turut mendoakan yang sama. Semoga dia dapat berjumpa dengan insan yang dicari selama 10 tahun ini.
“Ayah letak dulu. Apa-apa nanti, jangan lupa beritahu ayah. Kirim salam pada Hanif,” suara Encik Qamarul sebelum mengakhiri perbualan.
Haidar mematikan talian. Nafas ringan dilepaskan. Entah kenapa wajah Iris menyapa mata ketika ini. Senyuman di bibir Iris mengingatkan dia kepada seseorang.
“Adakah Iris orang yang selama ini aku cari?” soal Haidar kepada dirinya sendiri. 

Terima kasih pada yang membaca. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan