Jumaat, 10 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 17







“JEMPUT minum, Iris,” pelawa Puan Rohani.
Iris mengangguk perlahan. Dia mencapai gelas lalu meneguk air minuman tersebut.
“Lama ke tinggal di kampung ni?” Puan Rohani bertanya. Sekadar ingin tahu.
“Seminggu saja, Mak Ani,” jawab Iris berserta senyuman di bibir.
“Lama juga tu. Iris balik ni mesti ada tujuan, kan?”
“A’ah, Mak Ani. Lagipun, dah lama Iris tak balik ke kampung ni.”
“Kalau tak silap Mak Ani, setahun yang lepas Iris balik ke sini.”
Iris mengiakannya. Setahun lamanya dia tidak pulang ke kampung. Jika dulu, boleh dikatakan setiap 3 bulan dia pulang ke kampung tetapi sekarang? Kekangan masa membuatkan dia tidak mempunyai masa untuk pulang ke kampung.
“Iris balik seorang saja ke? Zack tak ikut sama?” Puan Rohani masih bertanya. Teringat dengan anak saudaranya itu.
“Zack sekarang ni sibuk di butik. Banyak tempahan yang perlu disiapkan. Dia cuma kirim salam pada Mak Ani saja,” beritahu Iris. Wajah Zakry menyapa mata ketika ini.
“Kerja… Kerja juga Iris. Sesekali badan tu perlu juga rehat.”
“In shaa Allah, ada masa nanti Zack balik.”
Puan Rohani sekadar tersenyum. Wajah Iris ditatap seketika.
“Mak Ani.” Iris memanggil. Dia perlu bertanya sesuatu daripada wanita tua itu.
“Kenapa, Iris?” sahut Puan Rohani. Memberi sepenuh perhatian kepada Iris.
“Mak Ani ada dengar cerita pasal mak dan ayah, Iris?”
“Mak dan ayah, Iris?”
Iris mengangguk. Itulah yang sedang diusahakannya. Mencari mak dan ayahnya yang telah sekian lama terpisah.
Puan Rohani menghela nafas ringan. Wajah Iris masih lagi dipandang. Ada riak sedih di wajah itu. Bukannya dia tidak tahu tentang itu. Sejak dari tahun lepas lagi Iris mencari ayah dan maknya.
“Mak Ani ada dengar pasal mereka?” ulang Iris kepada pertanyaan tadi.
“Tak ada, Iris. Mak Ani pun ada juga tanya pada orang-orang kampung sini. Kut-kut, ayah dan mak Iris pernah balik ke sini,” terang Puan Rohani.
Iris menundukkan wajah. Rasa kecewa menghuni di hati. Sekian lama dia mencari mak dan ayahnya. Namun, berita tentang mereka berdua tidak diketahui.
“Cuma hari tu….”
“Cuma apa, Mak Ani?”
“Cuma hari tu, ada orang mencari Iris.”
“Cari Iris? Siapa?”
“Mak Ani tak kenal. Orang tu pun Mak Ani tak pernah lihat dan jumpa. Mungkin orang tu dari bandar dan datang sini mencari Iris.”
“Mak Ani…..”
“Tak ada, Iris. Iris jangan risau. Mak Ani pegang pada janji Mak Ani pada Iris.”
Puan Rohani berterus-terang. Tidak ada rahsia antaranya dengan Iris. Setiap perkara yang berkaitan dengan Iris, dia pasti akan memberitahu gadis itu. Dia juga masih berpegang kepada janjinya.
Tidak mungkin dia akan membuka rahsia serta memberitahu siapa Iris yang sebenarnya. Malah, orang-orang kampung di situ turut tidak mengenali siapa Iris. Walaupun Iris berasal dari kampung ini, penampilan dan gaya Iris jauh berubah membuatkan orang-orang kampung tidak mengenali Iris.
“Terima kasih, Mak Ani kerana merahsiakan siapa Iris yang sebenarnya. In shaa Allah, bila tiba masanya nanti, Iris akan berterus-terang siapa Iris yang sebenarnya,” ucap Iris bernada ikhlas.
Puan Rohani tersenyum. Tangan Iris ditarik lalu ditepuk lembut.
“Iris jangan risau. Mak Ani tetap akan bantu Iris. In shaa Allah, satu hari nanti, Iris akan berjumpa dengan mak dan ayah Iris,” doa Puan Rohani untuk Iris.
“Mudah-mudahan, Mak Ani. Iris dah lama cari mereka. Iris rindukan mereka. Walaupun hidup Iris dulu tak seindah yang Iris impikan, Iris tetap bersyukur. Mereka tetap mak dan ayah Iris,” luah Iris dalam nada tenang.
“Mak Ani yakin. Orang yang bersabar akan diberi ganjaran oleh Allah.”
Iris mengangguk berserta senyuman hambar di bibir. Ya, dia perlu bersabar. Bersabar dalam usaha mencari. Semoga suatu hari nanti, dia akan bertemu dengan mak dan ayahnya.
“Tapi Mak Ani, siapa yang mencari Iris?” tanya Iris tatkala teringat tentang itu.


“KAU dari mana?” tanya Aidil tatkala terlihat Hanif masuk ke dalam bilik.
Hanif tidak membalas. Dia melangkah masuk ke dalam bilik lalu melabuhkan duduk di sofa. Kepenatan amat dirasai ketika ini dan minta direhatkan.
Aidil turut sama melabuhkan duduk. Wajah Hanif dipandang seketika. Ada riak tegang di situ. Pasti ada perkara yang membuatkan Hanif tidak berpuas hati.
“Huh! Perempuan tak guna!” rengus Hanif, keras.
Aidil tersenyum. Tekaannya tepat sekali.
“Memang tak guna betul! Menyesal aku terima projek tu,” luah Hanf lagi. Masih tidak berpuas hati.
“Apa lagi yang Iris dah buat pada kau?” Aidil sekadar ingin tahu.
“Dia boleh pergi bercuti selama seminggu. Angin aku, kau tahu tak?”
“Bercuti?”
“Dah la tak beritahu aku nak bercuti. Bengang betul!”
“Dia nak bercuti, itu hak dia. Tapi, siapa kau untuk dia beritahu yang dia bercuti?”
“Aku kan…..” Hanif termati kata-kata.
“Aku apa? Boyfriend? Suami?” Aidil menduga. Kening diangkat.
“Mengarut! Dia tak layak untuk aku.”
“Dia yang tak layak untuk kau atau kau yang tak layak untuk perempuan sehebat dia.”
Hanif terdiam. Kata-kata Aidil menyakitkan hati.
“Walau apa pun, dia berhak beritahu pada aku. So, tak adalah aku seorang yang pergi site tengok projek.” Hanif tidak mahu mengalah. Dengusan ringan terlepas daripada bibir.
“Hai, sejak bila pulak kau perlukan teman bila nak ke site?” Aidil menyindir. Wajah Hanif dipandang curiga.
“Aku… Aku…” Hanif tergagap-gagap. Aidil pandai mematahkan kata-katanya.
“Kau rindu kat dia, kan?” Aidil mengusik.
Hanif membisu. Adakah dia merindui Iris?
“Betul, kan? Kau rindu kat dia.”
“Kau jangan nak lebih, Aidil. Aku tak akan tunduk pada cinta. Itu janji aku.”
Aidil yang mendengar ketawa besar. Geli hati dengan kata-kata Hanif.
“Tahulah nasib dia nanti,” rengus Hanif, keras.
Aidil menggelengkan kepala. Hanif masih tidak berubah.
“Kau kan boleh handle seorang. Lagipun, projek tu dah 30% siap, kan?”
“Memanglah aku boleh handle seorang, tapi dia…..”
“Tapi dia, apa?”
“Ah! Sudahlah! Malas aku nak layan kau,” putus Hanif sedikit bengang.
Aidil ketawa berserta gelengan di kepala.
“Suka hati kau la, Nif. Nak marah ke? Nak bengang ke? Yang aku tahu sekarang ni, kau macam dah tak tenteram kalau kau tak jumpa dengan dia,” kata Aidil bingkas bangun dari duduk. Wajah Hanif dipandang seketika.
Hanif berkerut dahi. Apa maksud Aidil?
“Petang ni jangan lupa. Kita ada meeting di Damansara,” pesan Aidil sebelum keluar dari bilik itu.
Meeting? Meeting apa?” tanya Hanif sedikit terkejut. Namun, pertanyaannya itu tidak dijawab. Aidil sudah menghilang di sebalik pintu bilik.
Meeting apa pulak lagi ni?” keluh Hanif, sendirian.


“DIA tanya pasal Iris. Siap tunjuk gambar Iris lagi,” cerita Puan Rohani.
“Gambar Iris?” Iris sedikit terkejut.
Puan Rohani mengangguk perlahan.
“Habis tu….”
“Gambar lama, Iris. Gambar sewaktu Iris sekolah dulu.”
Iris tidak membalas. Otaknya sedang berfikir.
“Iris janganlah risau. Orang tak akan cam Iris. Lagipun, wajah Iris masa sekolah berbeza dengan wajah Iris sekarang.” Puan Rohani berterus-terang. Sekadar menghalau kerisauan di hati Iris.
Iris melepaskan nafas lega. Dia mengangguk. Mengiakan kata-kata Puan Rohani. Memang wajahnya berbeza dari dulu dan sekarang.
“Cuma Mak Ani minta Iris berhati-hati. Kita tak tahu apa niat orang tu mencari Iris. Mungkin ada niat buruk ataupun niat baik.”
“Pendapat Mak Ani? Kenapa dia mencari Iris?” Iris bertanya. Meminta pendapat daripada wanita tua itu.
Puan Rohani melepaskan nafas ringan.
“Mungkin dia di upah seseorang untuk mencari Iris. Mungkin juga ayah dan mak Iris yang upah dia untuk mencari Iris. Mana la tahu, kan?” Puan Rohani sekadar menduga.
Iris berfikir sejenak. Mungkin ada benarnya juga pendapat Puan Rohani itu.
“Macam ni la, Iris. Kalau dia datang mencari lagi, Mak Ani akan tanya dia. Kenapa dia mencari Iris?” cadang Puan Rohani.
“Boleh juga, Mak Ani. Kalau dia datang cari Iris lagi, Mak Ani tanya dia betul-betul ya,” sokong Iris berserta anggukan di kepala.
Puan Rohani turut sama mengangguk. Tangan Iris digenggam erat. Menyalurkan semangat kepada gadis itu. Sekian lama gadis itu berusaha mencari keluarganya. Berharap satu hari nanti, Iris akan berjumpa dengan keluarganya.


“ASSALAMUALAIKUM,” sapa Encik Qamarul, tiba-tiba.
Iris yang sedang leka mengingati perbualannya dengan Puan Rohani terkejut. Diurut dadanya yang bergetar laju.
“Maafkan, uncle. Uncle tak sengaja nak kejutkan Iris.” Encik Qamarul kesal. Duduk dilabuhkan di hadapan Iris. Wajah gadis itu ditatap berserta rasa bersalah.
“Tak apa, uncle,” kata Iris menghalau rasa bersalah di hati Encik Qamarul.
Encik Qamaruk hanya memandang. Rasa bersalah masih mengepung diri.
Uncle dari mana?” Iris bertanya. Dia tersenyum.
Uncle dari kedai. Beli barang sikit. Sambil-sambil tu bertegur sapa dengan penduduk di sini,” beritahu Encik Qamarul.
Uncle dah dapat apa yang dicari?”
Iris masih lagi bertanya. Sedikit sebanyak kisah Encik Qamarul sudah diketahuinya. Lelaki tua itu sendiri yang bercerita.
“Belum lagi, Iris,” balas Encik Qamarul dalam nada kecewa.
“Tak apalah uncle. Yang penting kita usaha di samping berdoa agar pencarian kita berakhir.”
“Mudah-mudahan, Iris. Uncle cuma nak bantu anak uncle saja. Dah lama dia mencari. Tapi, sampai sekarang tak ada berita tentang dia.”
“Kenapa uncle cari dia?”
Encik Qamarul menghela nafas ringan. Senyuman menghiasi bibir. Pertanyaan Iris berlegar-legar di minda. Kenapa dia mencari? Disebabkan Haidar, dia mencari. Sekadar untuk membantu anaknya itu.
“Iris dari mana?” Encik Qamarul menolak untuk menjawab pertanyaan Iris.
Iris mengangguk perlahan. Faham dengan tindakan Encik Qamarul. Pasti ada sebab kenapa Encik Qamarul tidak mahu menjawab pertanyaannya tadi. Walaupun Encik Qamarul tidak bercerita sepenuhnya tentang insan itu, dia tidak mahu bertanya lebih.
Dia tidak mahu Encik Qamarul memandang serong terhadap dirinya. Menganggapnya ‘buzy body’. Jika Encik Qamarul mahu bercerita, dia sudi mendengarnya.
“Dari rumah mak cik,” jawab Iris berserta senyuman di bibir.
“Mak cik? Iris ada mak cik di sini?” Encik Qamarul berkerut dahi. Bukankah Iris bercuti di kampung ini?
Iris terkedu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Encik Qamarul?
“Bukankah Iris bercuti di kampung ni?” Encik Qamarul masih lagi bertanya. Wajah Iris di hadapan ditatap. Menanti jawapan daripada gadis itu.
“A’ah. Iris bercuti di sini. Tapi, semalam Iris berkenalan dengan seorang mak cik di sini,” terang Iris sedikit gagap.
“Oh! Uncle ingatkan Iris ada mak cik di kampung ni.” Encik Qamarul tersenyum.
Iris turut sama tersenyum. Nafas lega dilepaskan. Mujurlah dia tidak terlepas cakap. Jika tidak, pasti Encik Qamarul akan bertanya lebih tentang dirinya.
Belum tiba masanya untuk dia bercerita tentang dirinya. Biarlah dia merahsiakan siapa dirinya yang sebenar. Mungkin satu hari nanti dia akan memberitahu kepada Encik Qamarul, siapa dirinya yang sebenar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan