Ahad, 12 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 18






“ENCIK HANIF!” Sarah menegah. Rasa bersalah dengan tindakan Hanif.
Iris yang mendengar suara Sarah mengangkat wajah. Tubuh Hanif menyapa mata.
“Cik Iris, saya dah beritahu Encik Hanif yang Cik Iris tak nak diganggu. Tapi….” Sarah mematikan kata-kata.
“Tak apa la, Sarah. Mamat ni bukan faham Bahasa Melayu pun. Lepas ni kalau dia datang tanpa bagi salam, awak cakap bahasa alien pada dia. Kalau tak faham juga, awak hambat dia dengan penyapu. Saya izinkan,” balas Iris dalam nada serius.
“Baiklah, Cik Iris. Saya akan ikut arahan Cik Iris,” sahut Sarah berserta anggukan di kepala.
“Apa kau cakap?” Hanif menyampuk. Wajah Iris dipandang tajam.
“Eh! Ada orang tu faham dengan cakap kita la, Sarah. Ingatkan tak faham tadi.” Iris menyindir. Sengaja menyakitkan hati Hanif.
Sarah yang mendengar ketawa kecil. Jarang sekali melihat Iris bergurau. Selama ini, hanya riak serius yang terlukis di wajah Iris.
Hanif menggenggam erat tangan. Sakit hatinya mendengar kata sindiran Iris.
“Saya minta diri dulu, Cik Iris,” ujar Sarah.
Iris sekadar mengangguk. Matanya mengekori langkah Sarah sehingga keluar dari bilik. Kemudian, Hanif di hadapan dipandang. Kenapa Hanif ke pejabatnya?
“Kau datang ke sini ada hal apa?” Iris bertanya. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi.
Hanif mendengus kasar.
“Tak kan kau rindu kat aku, kut? Iyalah, seminggu aku tak ke site,” sambung Iris lagi. Dia menanti jawapan daripada Hanif.
“Huh! Kau ingat kau tu siapa sampai aku nak rindukan kau?” Sinis Hanif menjawab.
Iris yang mendengar ketawa kecil. Hanif masih dengan lagak dan egonya.
So, kenapa kau ke sini kalau kau tak rindukan aku?” Iris masih lagi bertanya. Sekadar melihat reaksi Hanif.
Hanif tidak membalas.
“Mengaku sajalah yang kau rindukan aku.” Iris mengasak. Sengaja untuk menduga perasaan pemuda itu.
“Kalau perempuan macam kau, aku jamin tak ada sesiapa pun yang akan merindui kau. Kalau ada pun, malang nasib dia nanti,” kata Hanif masih sinis. Rasa puas menyakiti hati Iris.
Iris sekadar tersenyum. Cuba berlagak tenang walaupun dia sedikit tersentap dengan kata-kata Hanif.
“Dan aku jamin yang kau tak akan bahagia sampai bila-bila,” hambur Hanif lagi.
Sudah lama dia ingin meluahkan kata-kata itu dan hari ini dia berasa puas sebaik sahaja mengucapkan kata-kata tersebut.
Iris masih lagi tersenyum. Kata-kata Hanif menyentapkan hati. Bahagia? Sejak dari dulu lagi dia tidak pernah merasa bahagia.
“Awak nak apa? Saya banyak kerja.” Iris berterus-terang. Tidak mahu membuang masa. Hanif di hadapan dipandang jelek.
“Kau fikir kau ni hebat sangat ke, Iris?” Hanif masih bersuara. Masih tidak berpuas hati. Wajah Iris di hadapan ditatap benci.
“Memang aku hebat. So, ada masalah ke?”
“Kau ingat kau boleh buat keputusan sesuka hati kau saja?”
Iris tidak membalas. Cuba untuk menangkap maksud dengan kata-kata Hanif.
“Apa hak kau untuk buat keputusan macam tu?”
Iris mengangguk perlahan. Barulah dia dapat menangkap akan maksud kata-kata Hanif. Pasti pemuda itu tidak berpuas hati dengan keputusannya menarik diri dalam projek tersebut dan digantikan dengan Kamilia.
“Kalau kau nak tarik diri, beritahu aku awal-awal. Ini tidak, suka hati kau saja buat keputusan.” Hanif masih lagi meluahkan ketidakpuasan di hati. Wajah Iris tidak lepas dari pandangan matanya.
Iris tersenyum. Dia bangun dari duduk lalu melangkah menghampiri Hanif. Pandangan tajam Hanif dipandang dengan pandangan redupnya. Pemuda itu tampak kacak. Tetapi, kekacakkan Hanif ditutup dengan wajah bengisnya.
“Kalau kau tetap dengan keputusan kau, aku akan tarik diri dari projek tu. Kau jawablah dengan Dato Hamdan nanti,” putus Hanif dalam nada serius.
Iris yang mendengar ketawa. Geli hati mendengar kata-kata putus Hanif.
“Kenapa kau gelak?” Hanif menekan suara.
“Kau buat lawak, jadi aku gelaklah,” balas Iris, selamba.
Hanif mendengus kasar. Iris sengaja mencabar kesabarannya.
“Bukankah kau benci dengan aku? Bukankah kau menyampah dengan aku?”
Hanif tidak membalas.
“Kalau aku tarik diri, kau tak perlu nak jumpa dengan aku. Tak perlu nak tengok muka aku. So, hati kau tu pun tak adalah sakit sangat bila tak jumpa dengan aku.”
Hanif masih lagi membisu. Otaknya cuba menangkap maksud kata-kata Iris.
“Walau apa pun yang kau kata, aku tetap akan tarik diri dari projek tu. Kamilia akan handle projek tu bagi pihak aku. Aku ada projek lain yang perlu diuruskan,” terang Iris lalu melangkah menuju ke muka pintu bilik.
Hanif memandang tajam langkah Iris. Semakin sakit hatinya melihat riak di wajah Iris. Digenggam erat tangannya.
“Kalau tak ada apa lagi, Encik Hanif boleh keluar. Saya ada banyak kerja yang perlu disiapkan,” kata Iris dalam nada lembut.
Hanif menjeling tajam Iris. Dia melangkah menghampiri Iris di muka pintu bilik.
For your information Encik Hanif, Dato Hamdan dah pun setuju dengan penarikan aku dari projek tu. So, kau tak perlu nak pertikaikannya,” beritahu Iris sambil memberi isyarat supaya Hanif beredar dari bilik itu.
Hanif mendengus kasar. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari bilik itu. Semakin bertambah tahap kebenciannya terhadap Iris.
“Hari ni hari kau. Satu hari nanti hari aku pulak,” bisik Hanif ke telinga Iris lalu beredar dari situ.
I’m waiting!” balas Iris berserta senyuman di bibir.


“RINDUNYA aku pada kau,” luah Zakry penuh perasaan.
Iris tidak membalas. Wajah Zakry di hadapan ditatap seketika.
“Kenapa lain saja aku tengok muka kau ni, Iris?” Zakry bertanya. Berkerut dahinya melihat wajah Iris.
“Lain apanya? Muka aku tak berubah la,” balas Iris turut sama berkerut dahi.
“Makin berseri-seri muka kau tu, Iris. Ada cerita yang aku tak tahu ke?”
Semakin berkerut dahi Iris mendengarnya. Apa maksud Zakry itu? Wajahnya kelihatan berseri-seri?
“Mana la tahu kan kut-kut kau ada rahsiakan sesuatu daripada aku.”
“Rahsia apa pulak ni? Pelik aku dengan kau ni, Zack. Seminggu tak jumpa dengan aku, kau dah jadi tak betul.”
“Kau dah jumpa dengan seseorang, kan?” Zakry mengangkat kening.
“Maksud kau?” Iris kurang faham.
“Mana la tahu kan, kau jumpa mamat kat kampung tu. Itu yang muka kau berseri-seri. Siapa mamat bertuah tu?” Zakry masih lagi bertanya. Ingin tahu.
“Mengarutlah kau ni, Zack. Tak ada maknanya aku nak jumpa dengan sesiapa,” tukas Iris dalam nada keras.
Zakry ketawa kecil. Sengaja dia mengusik Iris.
“Hanif datang jumpa kau, kan?” tebak Zakry.
“Macam mana kau tahu?” Iris berkerut dahi.
Zakry sekadar tersenyum. Wajah berkerut Iris ditatap seketika.
“Mamat tu sengaja nak cari pasal dengan aku. Menyampah aku tengok muka berlagak dia tu. Suka hati akulah nak tarik diri ke apa? Yang dia bengang sangat pasal aku tarik diri tu, kenapa? Kamilia tu bukannya tak bagus. Kurang bagus sikit daripada aku,” luah Iris berserta dengusan kasar. Sakit hatinya memikirkan tentang Hanif.
Zakry melepaskan ketawa. Geli hati mendengar luahan Iris.
“Apasal kau gelak? Ada yang kelakar ke?” tanya Iris berserta pandangan tajam.
“Aku dah agak. Mesti ada kena-mengena dengan mamat tu. Al-maklumlah, seminggu tak jumpa, kan?” Zakry mengusik. Ketawa masih lagi kedengaran di bibir.
“Huh!” rengus Iris dalam nada keras.
“Kau rindukan dia?” Zakry memandang wajah Iris.
Iris tidak membalas. Perlukah dia menjawab pertanyaan Zakry?
“Aku pasti dia pun rindukan kau,” sambung Zakry. Itulah yang dirasakan ketika ini.
“Merepek!” tukas Iris berserta gelengan di kepala.
“Okeylah! Aku tak nak tanya pasal dia lagi. So, sekarang ni aku nak tahu. Apa maklumat yang kau perolehi selama bercuti di sana?”
Iris menghela nafas ringan.
“Ada berita tentang mak dan ayah kau?”
“Belum ada lagi, Zack.”
“Kau tak tanya pada mak cik aku?”
“Ada Zack. Mak cik pun tak ada maklumat tentang mak dan ayah aku. Cuma…” Iris menghentikan kata-kata. Hatinya berkira-kira untuk berterus-terang kepada Zakry.
“Cuma apa, Iris?” Zakry tidak sabar.
“Mak cik kau beritahu aku, ada seorang lelaki cari aku di sana,” beritahu Iris dalam nada tenang.
“Lelaki? Siapa?” sebut Zakry sedikit terkejut.
“Dia….”
“Assalamualaikum,” sapa seseorang dengan tiba-tiba.


“INI gambarnya, Iris,” unjuk Enck Jamil.
Iris membalas huluran. Gambar yang berada di tangan ditatap seketika.
Zakry turut sama menatap gambar di tangan Iris. Berkerut dahinya tatkala melihat gambar itu. Bukankah itu gambar mak dan ayah Iris?
Uncle dapatnya daripada rakan. Kali terakhir ayah dan mak Iris berada ialah di Kedah. Selepas itu, rakan uncle tidak berjumpa dengan mereka lagi,” beritahu Encik Jamil dalam nada tenang.
So, sekarang ni ayah dan mak Iris ada di mana?” Iris bertanya. Ingin tahu.
“Tak pasti, Iris,” balas Encik Jamil.
“Tak pasti?” ulang Iris dalam nada kecewa.
Encik Jamil sekadar mengangguk. Wajah kecewa Iris ditatap seketika. Rasa kasihan terhadap gadis itu. Sudah lama Iris mencari keluarganya.
“Maafkan uncle, Iris. Uncle…”
“Tak mengapalah, uncle. Uncle dah berusaha untuk mencari mereka. Iris minta maaf sebab menyusahkan uncle dan terima kasih untuk maklumat yang uncle berikan ni,” pintas Iris. Dia tetap bersyukur dengan maklumat yang diberikan oleh Encik Jamil.
Uncle dah dapat sedikit maklumat tentang orang yang Iris minta uncle carikan sekali,” ujar Encik Jamil dalam nada perlahan.
Uncle dapat apa?” tanya Zakry yang sedari tadi membisu.
Dia sekadar mendengar dan tidak berani untuk masuk campur. Namun, pencarian Iris sudah lama diketahuinya.
Uncle cuma tahu yang dia masih hidup lagi dan sekarang menetap di KL,” beritahu Encik Jamil akan apa yang diketahuinya itu.
Iris tidak membalas. Rasa kecewa membelenggu diri ketika ini.
“Tak apalah, Iris. Sekurang-kurangnya, kita dah tahu yang dia masih hidup dan ada di sini. Kita kena usaha lagi untuk cari dia,” kata Zakry sekadar untuk menyedapkan hati Iris. Wajah kecewa Iris dipandang seketika.
“Iris jangan risau. Uncle akan cuba cari sampai dapat ayah dan mak Iris serta dia,” suara Encik Jamil pula.
Iris mengangguk faham. Mungkin belum tiba masanya untuk dia bertemu dengan ayah dan mak serta dia. Semoga usahanya selama ini akan berhasil.
“In shaa Allah, uncle,” sahut Zakry berserta senyuman di bibir.
Iris mengangguk lemah. Rasa kecewa masih menghuni di hati. Sekian lama dia berusaha untuk mencari namun pencariannya belum berhasil. Walau bagaimana pun, dia tetap tidak akan berputus asa.
“Zack nak minta tolong uncle siasat seorang ni, boleh?” ujar Zakry.
“Siasat siapa, Zack? In shaa Allah, uncle akan tolong siasatkan,” tanya Encik Jamil berserta kerutan di dahi.
Zakry mengeluarkan telefon bimbit. Wajah Haidar dicari. Sudah lama dia ingin menyatakan hasrat kepada Encik Jamil agar menyiasat tentang Haidar. Firasat hatinya kuat menyatakan Haidar ada kena-mengena dengan kisah lama Iris.
“Zack nak minta tolong uncle siasat dia ni,” ujar Zakry seraya menghulurkan telefon bimbit kepada Encik Jamil.
Encik Jamil membalas huluran. Dia mengamati wajah yang terdapat di skrin telefon. Seperti mengenali lelaki tersebut.
“Doktor Haidar?” tanya Encik Jamil inginkan kepastian.
“A’ah, Doktor Haidar. Uncle kenal ke?” Zakry bertanya.
“Kenal sangat!” balas Encik Jamil berserta senyuman di bibir.
Iris dan Zakry sedikit tersentak. Encik Jamil mengenali Haidar?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan