Ahad, 12 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 19






IRIS menyandarkan tubuh ke kepala katil. Otaknya sedang ligat berfikir. Pertemuan petang tadi meniti di tubir mata. Malah, perkhabaran yang diketahuinya turut sama mengganggu fikiran. Perlukah dia mempercayai dengan apa yang dikhabarkan itu?
Iris menghela nafas ringan. Sekeping gambar dari dalam briefcase dikeluarkan. Gambar yang telah lama diserahkan oleh Encik Jamil. Ditatap gambar itu buat seketika sambil cuba mengamati raut wajah di dalam gambar tersebut. Sama! Hatinya berdetik. Adakah Haidar, orang yang dicari selama ini?
“Haidar Qairen?" sebut Iris dalam nada perlahan.
Perbualannya dengan Encik Jamil masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Tanpa pengetahuan Zakry, dalam diam dia telah meminta Encik Jamil untuk menyiasat tentang Haidar. Tatkala dia memberitahu Zakry, kawannya itu terasa hati. Rasa kelakar tatkala mengenangkan rajuk Zakry.
Bukannya dia tidak mahu memberitahu Zakry. Cukuplah dengan apa yang telah Zakry lakukan selama ini. Dia tidak mahu menyesakkan fikiran Zakry dengan masalahnya. Demi membahagiakan dirinya, kebahagiaan sendiri diketepikan.
Otaknya masih lagi ligat berfikir. Cuba mengingati kisah-kisah lama. Wajah Haidar di dalam gambar ditatap penuh minat. Seminit kemudian, dia bangun dari katil. Dia melangkah menghampiri almari yang berhampiran. Satu persatu laci dibuka. Mencari sesuatu dari dalam almari tersebut. Namun, tingkah lakunya terhenti tatkala terpandang sebuah majalah sekolah.
Hope adalah gambar dia dalam majalah sekolah ni,” kata Iris penuh harapan.
Perlahan-lahan duduk dilabuhkan di birai katil. Majalah sekolah dibuka lalu diselak satu persatu. Mencari wajah Haidar sewaktu sekolah dahulu. Mujurlah dia masih menyimpan majalah sekolah itu. Sekadar untuk kenang-kenangan.
“Ya Allah, mudah-mudahan aku jumpa,” doa Iris penuh harapan. Satu persatu helaian majalah diselak. Mencari wajah Haidar.
“Apasal kau ni bodoh sangat, Iris? Dia kan ketua pengawas sejak Form 4 lagi,” kutuk Iris kepada dirinya sendiri. Laju tangannya menyelak majalah sekolah tersebut. Mencari halaman yang berkaitan. Berdebar-debar ketika ini. Adakah pencariannya akan berakhir?
“Iris!” panggil Puan Hanum dari arah muka pintu bilik.


“KAU nak apa datang sini, Salleh?” tanya Iris dalam nada tinggi.
“Aku nak bawa mak aku duduk dengan aku,” jawab Salleh turut sama tinggi.
“Nak bawa balik?” ulang Iris dalam nada sinis.
“Kau jangan nak siniskan aku, Iris. Aku ada hak ke atas mak aku,” balas Salleh seraya menggenggam erat tangan.
“Hak? Hak apa yang kau cakapkan ni? Hak kau sebagai seorang anak?”
Salleh tidak membalas. Tajam matanya ke wajah Iris.
“Diri sendiri tak terurus, ada hati nak tuntut hak,” sindir Iris, keras.
Panas hati Salleh mendengar kata-kata sindiran Iris. Perempuan itu sudah lebih!
“Urus diri kau sendiri, then baru kau bercakap pasal hak,” sambung Iris lagi.
“Kau jangan nak lebih, Iris. Aku tampar….”
“Salleh!” Puan Hanum menegur. Dia menahan tingkah laku Salleh yang cuba untuk menampar Iris.
“Iris, mak minta maaf bagi pihak Salleh,” suara Puan Hanum dalam nada serba salah.
“Buat apa mak nak minta maaf pada perempuan cacat ni? Tak sedar diri tu cacat. Eh, tak ada lelaki yang nak kat kau la. Aku sanggup kerat jari kalau ada lelaki yang nakkan perempuan cacat macam kau ni,” celah Salleh berserta dengusan kasar. Dia menarik tangan dari pegangan Puan Hanum.
“Salleh! Jaga bahasa kamu tu!” Puan Hanum menegur.
Kurang senang mendengar kata-kata anaknya itu. Semakin bersalah rasa di hati. Bersalah atas sikap dan perangai Salleh. Bersalah kerana telah memberitahu keadaan Iris yang sebenar kepada Salleh. Walaupun Iris telah memaafkan atas kelancangan mulutnya, dia tahu, Iris masih terasa hati atas perbuatannya yang lepas.
Sudah berkali Iris memberitahu supaya merahsiakan keadaan dirinya yang sebenar. Iris tidak mahu sesiapa mengetahui keadaannya yang cacat. Tapi, dia tidak amanah. Dia telah memberitahu Salleh akan keadaan Iris. Sejak dari itu, Salleh akan mengungkit keadaan Iris yang cacat.
Iris tidak membalas. Dia cuba berlagak tenang di hadapan Salleh dan Puan Hanum walaupun hatinya tersentap mendengar kata-kata Salleh. Kalau boleh, dia tidak mahu orang lain tahu akan keadaan dirinya yang sebenar. Rahsia yang selama ini kemas tersimpan terbongkar atas kesilapan Puan Hanum.
“Kemas pakaian mak. Saya bawa mak malam ni juga,” arah Salleh dalam nada keras.
“Salleh, mak….”
Puan Hanum termati kata-kata. Serba salah ketika ini. Wajah Iris dipandang seketika. Tenang wajah itu dilihatnya.
“Mulai hari ini, kau jangan berani jumpa atau berhubung dengan mak aku. Aku tak nak mak aku terkena badi cacat kau tu,” pesan Salleh dalam nada menghina.
Iris masih membisu. Senyuman kecil terbit daripada bibir.
“Dan aku boleh tanggung mak aku. Kau tak perlu tahu macam mana aku nak tanggung mak aku ni,” sambung Salleh lagi. Dia memberi amaran kepada Iris.
Iris hanya memandang. Entah kenapa terasa kelu lidahnya untuk membalas. Dia menghalakan mata ke arah Puan Hanum. Riak bersalah terlukis di wajah itu.
“Apa lagi yang ditunggukan, mak? Kemas pakaian mak sekarang. Salleh tak nak mak termakan lebih budi daripada perempuan ni. Salleh dah boleh tanggung mak. Salleh dah dapat kerja,” suara Salleh bernada tegas.
Puan Hanum mengangguk lemah. Perlahan-lahan langkah dibawa menuju ke bilik. Ada baiknya dia mengikut arahan Salleh. Khuatir, berlaku apa-apa yang tidak diingini jika dia menolak. Rasa sedih mengenangkan keadaan Iris.
“Iris tak menghalang. Kalau itu yang terbaik buat mak, Iris ikut saja,” suara Iris yang sejak dari tadi membisu.
Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ menuju ke bilik. Dia perlu menenangkan hati dan perasaan. Disentuh dadanya yang terasa sebu.
“Sabar, Iris. Ini baru sikit. Kau dah pernah kena lebih teruk dari yang ini,” kata Iris, berbisik. Memberi semangat kepada diri sendiri.
“Kau perlu bersedia Iris. Bila-bila masa saja, rahsia kau akan terbongkar. Kau kena bersedia daripada sekarang, Iris,” sambung Iris lagi lalu menutup pintu bilik. Semoga dia diberi kekuatan untuk hadapi peristiwa itu kelak.


“KAU kat mana?” tanya Zakry dari hujung talian.
“Kat luar!” balas Iris dalam nada lemah.
“Luar?” ulang Zakry sedikit terkejut.
Iris mengeluh ringan. Terasa hilang arah tujuan. Keputusan Puan Hanum untuk mengikut Salleh sedikit mengecewakan. Namun, siapa dia untuk menghalang? Dia bukan anak kandung wanita tua itu. Dia bukan saudara mara malah tidak ada pertalian darah sekali pun dengan Puan Hanum. Dia hanyalah anak angkat yang menumpang kasih daripada Puan Hanum.
“Iris! Iris!” Zakry memanggil. Sejak dari tadi dia tidak mendapat balasan daripada Iris. Di mana Iris berada pada waktu begini?
“Ha….” Iris tersentak.
“Kau kat mana sekarang ni? Aku pergi jumpa kau sekarang?” tanya Zakry dalam nada risau. Kenapa dengan Iris? Adakah Iris mempunyai masalah ketika ini?
“Tak apalah Zack. Aku tak ada apa-apa. Aku cuma nak tenangkan fikiran sekejap,” balas Iris cuba untuk meyakinkan Zakry.
“Aku tak percaya. Mesti kau tengah ada masalah sekarang ni. Kau beritahu aku kat mana kau sekarang,” tukas Zakry bernada keras. Dia yakin Iris sedang menghadapi masalah. Adakah masalah itu melibatkan Hanif?
Iris menghela nafas berat. Perlukah dia memberitahu Zakry di mana dia berada sekarang? Dia berkira-kira dalam hati.
“Iris!” Zakry memanggil.
“Aku kat Pantai Remis,” beritahu Iris, mengalah.
“Okey! Kau tunggu kat sana. Aku jumpa kau satu jam setengah dari sekarang,” balas Zakry lalu mematikan talian.
Iris memandang jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul 9.00 malam. Agak lama dia berada di pantai itu. Sekadar untuk menenangkan hati dan perasaan. Dia memandang sekeliling pantai. Orang ramai sedang menikmati makan malam di gerai-gerai yang berada di kawasan sekeliling.
“Iris?” tegur seseorang, tiba-tiba.


“BUAT apa di sini?” tanya Haidar sedikit pelik.
Iris bangun dari duduk. Dia mengibas punggung yang sedikit kotor. Kemudian, wajah Haidar di hadapan dipandang.
“Seorang?” Haidar masih bertanya. Dia melilaukan mata melihat sekeliling.
“Seorang. Just nak release tension,” balas Iris berserta senyuman di bibir.
Haidar turut sama tersenyum. Wajah Iris ditatap seketika.
“Doktor pulak buat apa di sini?” Iris pula bertanya.
“Makan dengan rakan sekerja. Sambil tu ambil angin di sini,” jawab Haidar dalam nada tenang. Terasa berdebar ketika ini.
“Oh!” Iris mengangguk perlahan. Terasa kelu lidahnya untuk bersuara.
Haidar membisu. Otaknya sedang ligat mencari topik untuk berbual bersama dengan Iris. Entah kenapa hatinya berdebar-debar setiap kali berjumpa dengan Iris. Malah, perasaan yang sama dirasai beberapa tahun yang lepas. Sewaktu zaman persekolahan.
“Doktor!”
“Iris!”
Serentak mereka berdua bersuara. Seminit kemudian, mereka berdua ketawa. Geli hati dengan tingkah laku masing-masing.
“Doktor nak kata apa?” Iris ketawa kecil.
“Iris pulak nak tanya apa?” Haidar turut sama ketawa.
“Saya cuma nak tanya, doktor asal dari mana?”
“Oh! Ingatkan nak tanya apa tadi.”
Iris sekadar tersenyum.
“Teluk Intan,” ujar Haidar selepas itu.
Iris tergamam seketika. Teluk Intan?
“Kampung saya di Teluk Intan. Family saya berpindah ke Shah Alam 10 tahun yang lepas,” beritahu Haidar tanpa dipinta.
Iris membisu. Raut wajah Haidar diperhatikan dalam diam. Seakan sama wajah di dalam gambar yang diberikan oleh Encik Jamil. Malah, seiras dengan wajah di dalam majalah sekolah yang dilihatnya beberapa jam yang lepas.
“Rindu pada kampung. Dah lama saya tak balik sana,” suara Haidar tatkala mengingati kampung halaman.
Iris tidak membalas. Dia masih cuba untuk merungkai segala persoalan yang bersarang di hati ketika ini. Adakah Haidar, orang yang dicarinya selama ini?
“Apa khabar dia sekarang? Dah lama saya mencari dia tapi sehingga sekarang tak ada khabar berita daripada dia. Merajuk sungguh dia. Selama 10 tahun ni saya mencari, namun tidak ada tanda-tanda untuk saya bertemu dengan dia,” luah Haidar tanpa sedar.
Iris tidak mendengar. Dia masih dalam dunia tenungan. Perbagai persoalan menujah ke kotak fikiran di kala ini.
“Walau di mana pun dia berada, saya tetap mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan hidupnya,” sambung Haidar lagi. Keluhan ringan dilepaskan.
Iris masih lagi termenung.
“Iris!” Haidar memanggil. Dari tadi dia melihat Iris seakan termenung.
“Ha…” Iris tersentak.
“Awak menungkan apa?”
“Menung? Saya menungkan apa?”
Haidar menggelengkan kepala. Iris kelihatan keliru.
“Tak apalah.”
Iris tersenyum kecil. Benarkah Haidar, orang yang dicarinya selama ini? Hatinya meronta untuk bertanya. Namun, terasa kelu lidahnya untuk bertanya lebih tentang Haidar. Tidak mahu Haidar memandang serong terhadap dirinya.
“Kalau saya tanya sesuatu boleh, doktor?” Iris kalah pada hatinya sendiri.
“Tanya apa?” Haidar berminat untuk tahu.
“Doktor bersekolah di mana?” tanya Iris penuh cermat.
“Sekolah?” ulang Haidar berserta kerutan di dahi.
Iris sekadar menganggukkan kepala. Berdebar-debar ketika ini. Menantikan jawapan daripada Haidar.
“Sekolah…..”
Haidar mematikan ayat tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Lantas, dia menjawab panggilan tersebut berserta isyarat tangan kepada Iris.
Iris hanya memandang. Dia menanti penuh sabar. Matanya ternampak sebuah dompet tidak jauh dari dia berdiri. Adakah dompet itu milik Haidar? Tanpa menunggu, dia mencapai dompet tersebut lalu membukanya untuk melihat.
“Haidar Qairen!” sebut Iris perlahan.


HAIDAR menoleh tatkala selesai berbual di telefon. Kelibat Iris hilang dari pandangan mata. Kemudian, dia terpandangkan sebuah dompet di atas meja. Seperti dompet miliknya. Adakah dompetnya jatuh ketika dia menarik telefon bimbit sebentar tadi?
“Iris?” panggil Haidar kemudian. Dia membuka dompet sekadar untuk melihat. Tidak ada apa-apa yang hilang dari dalam dompetnya.
“Iris?” panggil Haidar untuk kali yang kedua.
Di mana Iris ketika ini? Adakah Iris pergi begitu sahaja dari kawasan itu?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan