Isnin, 13 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 20






“OKEY tak ni?” tanya Aidil sekadar ingin tahu. Wajah Hanif di hadapan dipandang seketika.
Hanif menghela nafas ringan. Rasa menyesal menyelinap masuk ke dalam hati.
“Kau okey ke tidak ni?” Aidil bertanya lagi. Berkerut dahinya melihat Hanif.
“Aku okey. Kau janganlah risau,” balas Hanif dalam nada perlahan.
“Aku rasa kau tak okey.”
“Aku okey!”
“Habis tu, kenapa aku tengok muka kau macam orang risau saja? Kau risaukan apa?”
Hanif tidak membalas. Dia melangkah perlahan menuju ke perkarangan hotel. Entah kenapa hatinya berdebar-debar. Seperti ada sesuatu yang bakal berlaku kelak.
“Kau risau jumpa dengan perempuan tu, kan?” Aidil menduga. Wajah Hanif dipandang meminta jawapan.
“Eh! Mana ada!” tukas Hanif dalam nada bergetar.
Aidil ketawa. Geli hati melihat riak di wajah Hanif ketika ini.
“Kau jangan nak gelakkan aku. Kalau kau di tempat aku, mesti kau rasa dengan apa yang aku rasa.” Hanif merengus. Geram melihat Aidil, kawannya itu.
“Hebat betul perempuan tu,” ujar Aidil masih ketawa.
Hanif mematikan langkah. Apa maksud Aidil? Hebat? Perempuan?
“Aku nak jumpa dengan perempuan hebat tu.”
“Apa maksud kau?”
“Yalah! Belum ada lagi sesiapa yang dapat tundukkan kau. Ternyata perempuan tu berjaya tundukkan kau.”
Hanif cuba menangkap maksud kata-kata Aidil.
“Berjaya tundukkan lagak, ego dan sombong kau tu,” sambung Aidil lagi.
Hanif yang mendengar memandang tajam ke wajah Aidil. Riak selamba terlukis di wajah kawan baiknya itu. Rasa nak hempuk kawannya itu pun ada juga.
“Iris Eryna!” sebut Aidil, tiba-tiba.
Hanif berkerut dahi. Kenapa Aidil menyebut nama perempuan itu?
“Dia hebat.”
Hanif mencebik meluat.
“Dia berjaya tundukkan kau. Berjaya jatuhkan ego kau.”
Hanif menjegilkan mata.
“Malah, dia berjaya buat kau jatuh cinta,” sambung Aidil lagi lalu ketawa kecil.
Buntang mata Hanif mendengarnya. Aidil sudah lebih! Bentak hatinya, keras.
“Betul, kan?” tanya Aidil seraya memandang ke wajah Hanif.
“Mengarut! Sampai mati, perempuan tu tak layak untuk aku mahupun sesiapa,” kata Hanif dengan bongkaknya.
Aidil yang mendengar, ketawa kecil berserta gelengan di kepala. Matanya terpandang kelibat Iris Eryna yang berada tidak jauh dari mereka berdua.
“Aku boleh bagi jaminan yang perempuan tu tak kahwin sampai bila-bila. Kalau dia kahwin pun, malang hidup lelaki tu.”
“Nif, apa yang kau cakapkan ni?” Aidil menegur. Kurang senang mendengar kata-kata Hanif.
“Kenapa? Salah ke cakap aku ni?” Hanif merengus keras.
“Memang salah! Kita tak patut mendoakan orang dengan perkara yang tak baik.” Aidil menggelengkan kepala. Hanif tidak akan berubah.
“Suka hati aku la nak doakan perempuan tu macam mana. Yang pasti, perempuan tu harus diajar. Berlagak bagus! Bila aku dah tahu kelemahan dia nanti, aku akan pastikan dia tersungkur. Lenyap dari dunia kita,” balas Hanif dalam nada lagak. Tangan digenggam erat.
Aidil hanya mendengar. Sukar untuk menasihati Hanif. Kawannya itu terlalu ikutkan perasaan. Berdendam dan sukar untuk menerima nasihat orang.
“Kalau dia berkahwin dan lelaki itu adalah kau, macam mana?” Aidil sengaja bertanya. Sekadar untuk melihat reaksi Hanif.
Terhenti langkah Hanif dengan pertanyaan Aidil itu. Perlukah dia menjawabnya?
“Adakah kau akan terima atau berdendam pada dia?” sambung Aidil. Wajah Hanif dipandang. Menanti jawapan daripada kawan baiknya itu.
Hanif tidak mengendahkan pertanyaan Aidil. Dia berlalu pergi dari situ menuju ke dewan. Dia sebenarnya tidak ada jawapan kepada pertanyaan Aidil. Kata-kata Aidil yang lepas terimbas semula.
“Kalau Allah nak terbalikkan perasaan kau tu, dalam sekelip mata saja boleh, Nif. So, kau jangan terlalu membenci sangat. Nanti kau akan terjatuh sayang pada dia.”
Hanif menghela nafas ringan. Perlukah dia percaya dengan kata-kata Aidil? Mungkinkah suatu hari nanti dia akan menyukai Iris?
“Ah! Malas aku nak fikir,” putus Hanif lalu masuk ke dalam dewan.


“APA khabar Iris?” tanya Dato Hamzah ramah.
“Sihat alhamdulillah, dato,” balas Iris berserta senyuman di bibir.
Dato Hamzah turut sama tersenyum. Wajah Iris ditatap seketika.
“Macam mana dengan kerja? Okey? Banyak bagi untung pada Rashid?” Dato Hamzah ketawa kecil. Wajah Dato Rashid menyapa mata.
Iris turut sama ketawa kecil. Dato Hamzah dan Dato Rashid sudah lama berkawan baik. Walaupun mereka berdua berkawan baik, dalam soal business, mereka bersaing antara satu sama lain.
“Adalah sikit, dato. Dalam 3 projek,” beritahu Iris, jujur.
“Sikit awak kata, Iris? 3 projek tu dah boleh pergi melancong sebulan ke LA,” gurau Dato Hamzah. Rasa kagum dengan pencapaian Dato Rashid. Malah, rasa cemburu kerana kawannya itu memiliki seorang pekerja sehebat Iris Eryna.
“Bila Iris nak bekerja dengan saya?” Dato Hamzah berbasa basi.
Iris sekadar tersenyum. Tidak ada jawapan kepada pertanyaan Dato Hamzah.
“Awak pekerja yang setia,” puji Dato Hamzah tatkala tiada jawapan daripada Iris. Dia tahu, Iris begitu setia kepada Dato Rashid.
Iris masih lagi tersenyum. Matanya melilau melihat suasana di dalam dewan itu. Sebentar lagi, jualan amal akan dijalankan.
“Sebelum saya terlupa, saya nak kenalkan Iris dengan seseorang,” ujar Dato Hamzah kemudian.
“Kenalkan dengan seseorang? Siapa?” Iris bertanya berserta kerutan di dahi.
Dato Hamzah sekadar tersenyum. Sudah lama dia ingin memperkenalkan Iris dengan seseorang.
“Siapa dato?” Iris tidak sabar. Berdebar-debar hatinya itu.
“Hai dato!”
Teguran seseorang mematikan perbualan mereka berdua. Dato Hamzah menoleh ke belakang. Iris turut bertingkah laku yang sama.
“Hanif Qairin!” sapa Dato Hamzah berserta senyuman.
Iris yang melihat cuba mengawal riak di wajah. Terkejut dengan kehadiran Hanif di majlis ini.
“Mari saya kenalkan Iris dengan Hanif. Salah seorang kontractor syarikat saya. Kebanyakan projek saya serahkan pada Hanif dan saya percaya dengan hasil kerjanya. Seorang yang amanah dan bagus dalam pekerjaan,” beritahu Dato Hamzah, ramah berserta pujian buat Hanif.
Hanif yang mendengar sekadar tersenyum. Rasa bangga tatkala dipuji sebegitu.
“Oh! Hebat!” puji Iris ala kadar.
“Saya bercadang nak satukan Iris dengan Hanif dalam projek seterusnya. Itu pun kalau Rashid benarkan saya pinjam Iris untuk beberapa bulan,” ujar Dato Hamzah.
Iris tersenyum kelat. Satukan aku dengan mamat bongkak tu? Hisy! Memang tak lah aku nak setuju. Projek sekarang ni pun aku tarik diri inikan pulak nak join dengan mamat tu lagi. Iris bersoal jawab dalam hati. Rasa meluat melihat wajah bangga Hanif saat ini.
“Macam mana, Hanif? Iris?” Dato Hamzah memandang ke wajah Hanif dan Iris silih berganti. Menanti jawapan daripada mereka berdua.
“Err…” Iris berkira-kira untuk menjawab. Sungguh, kalau boleh dia tidak mahu bekerjasama dengan Hanif lagi.
“Saya tak kisah, dato. Terpulang pada Cik Iris,” balas Hanif berserta senyuman bangga.
“Iris fikirkan cadangan saya ni nanti, okey?” kata Dato Hamzah bernada harapan.
“In  shaa Allah, dato,” balas Iris berserta senyuman di bibir.
“Okeylah! Jualan amal dah nak bermula. So, Iris tak nak join sekali macam tahun lepas?”
“Tahun ni saya tak join dato. Saya bagi peluang pada orang lain.”
“Okey! Rasa macam tak meriah pulak kalau Iris tak join. Mana la tahu kan, ada pertunjukan yang hebat dari tahun lepas. Saya ke sana dulu, Iris, Hanif.” Dato Hamzah ketawa kecil. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Rasa geli hati tatkala teringatkan kisah setahun yang lepas.
Iris turut sama ketawa. Peristiwa setahun yang lepas masih jelas di ingatan. Siapa pemuda itu? Hatinya bertanya dengan tiba-tiba.
Hanif yang mendengar berkerut dahi. Pertunjukan apa yang dimaksudkan oleh Dato Hamzah dan Iris? Seminit kemudian, dia menghalakan mata ke arah Iris. Gadis itu sedang mengenakan selendang untuk menutupi wajah. Seperti pernah melihat gaya itu sebelum ini.
“Minah tu!” sebut Hanif kemudian.


“APA ni? Lepaslah!” ronta Iris, keras.
Hanif tidak mengendahkan rontaan Iris. Apa yang penting, dia perlu membalas dendam atas perlakuan Iris setahun yang lepas.
“Lepaslah, bodoh!” marah Iris pula. Tajam matanya ke wajah Hanif.
Hanif masih lagi mencengkam lengan Iris. Pandangan tajam Iris dibalas dengan wajah bengisnya. Dia menarik selendang yang menutupi wajah Iris.
“Apa yang kau cuba nak buat ni, Hanif?” Iris menepis tingkah laku Hanif. Dia mendengus kasar.
“Memang kau rupanya. Setahun aku berdendam dengan kau,” suara Hanif yang sejak dari tadi membisu dan mendengar.
“Apa maksud kau?”
“Kau lupa atau buat-buat lupa, Iris Eryna?”
“Aku tak faham!”
“Aku masih ingat perbuatan kau, Iris. Setahun yang lepas, kau malukan aku di khalayak ramai.”
Iris terdiam. Dia cuba menafsir kata-kata Hanif. Malu? Setahun yang lepas? Adakah peristiwa tahun lepas yang dimaksudkan oleh Hanif?
“Kau….” Iris mematikan ayat. Adakah pemuda itu adalah Hanif?
“Ya, aku! Aku, orang yang kau malukan setahun yang lepas! Kau dah ingat, kan?” jerkah Hanif berserta nafas keras.
Iris menelan air liur. Sungguh, tidak menyangka Hanif orangnya.
“Setahun aku simpan rasa dendam aku atas perbuatan kau. Dan hari ini, aku akan pastikan kau rasa dengan apa yang aku rasa,” luah Hanif seraya menggenggam erat lengan Iris. Melepaskan kemarahan yang terbuku di hati selama ini.
“Sakitlah, bodoh!” ronta Iris dalam nada keras.
Hanif tersenyum sinis. Dendam yang tersimpan selama setahun akan dibalas.
“Lepaslah!” pinta Iris pula.
Hanif tidak mengendahkan rayuan Iris. Dia mengeratkan lagi genggaman di lengan Iris. Amarahnya terhadap Iris tidak dapat dibendung lagi. Syaitan sudah menguasai dirinya.
“Lepaslah!” Iris masih meronta minta dilepaskan. Terasa sakit lengannya akibat cengkaman Hanif.
“Hanif!” tegur Aidil, tiba-tiba dari arah belakang.
“Aidil!” panggil Iris sedikit merayu.
Stop it, Hanif!” tegah Aidil sambil cuba melepaskan cengkaman di lengan Iris.
Hanif tidak peduli. Dia perlu membalas dendam atas perbuatan Iris.
“Kau dah gila ke, Hanif?” marah Aidil pula sebaik sahaja cengkaman dileraikan. Marah atas tindakan Hanif terhadap Iris.
Hanif mendengus keras. Wajah Aidil dipandang tajam.
“Dia perempuan, Nif,” suara Aidil lagi. Mengingatkan Hanif akan siapa Iris yang sebenarnya. Dia memandang Iris seketika. Pucat wajah itu dilihatnya.
Iris meraba-raba lengannya yang terasa sakit. Sungguh, cengkaman Hanif begitu kuat.
Are you okey, Iris?” Aidil bertanya. Rasa bersalah atas perbuatan Hanif.
Iris mengangguk lemah. Masih bersisa kesakitan di lengannya itu.
“Kenapa dengan kau ni, Hanif? Apa yang Iris dah buat pada kau?”
“Perempuan yang aku dendam selama setahun.”
“Dendam? Kau ni tak habis-habis dengan dendam.”
Hanif memandang tajam wajah Aidil.
“Jangan ikutkan sangat hasutan syaitan tu, Hanif. Ingat Allah,” nasihat Aidil, lembut.
Hanif menggenggam erat tangan. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Dengusan keras terlepas daripada bibir untuk kesekian kali.
Menggeleng Aidil melihat tingkah laku Hanif. Kawannya itu sukar untuk dinasihati dan menerima nasihat. Bilakah dendam dan kebencian Hanif terhadap Iris akan berakhir?
“Maafkan Hanif, Iris. Dia…”
“Tak apa. Saya juga bersalah dalam kes setahun yang lepas,” pintas Iris lalu beredar dari situ. Ada baiknya dia tidak memanjangkan isu itu. Jika tidak, dia yang akan berasa sakit hati atas perbuatan Hanif.
Aidil mengeluh ringan. Dia memandang pemergian Iris.
“Aku yakin, satu hari nanti, kau orang berdua akan berdamai,” kata Aidil bernada harapan. Semoga hari itu akan tiba tidak lama lagi.


Terima kasih sudi baca. :)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan