Selasa, 14 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 21






IRIS mengerling jam di pergelangan tangan. Hampir 15 minit dia menanti Encik Jamil di restoran itu. Sejak seminggu yang lepas hatinya tidak tenteram. Kebenaran yang diketahui sedikit menyentapkan. Sungguh, dia tidak menyangka Haidar, orang yang dicarinya selama hampir 10 tahun.
Iris menghela nafas ringan. Patutlah setiap kali dia bertemu dengan Haidar, dia berasa sebak. Berasa serba salah. Rupa-rupanya, perasaan itu perasaan yang sama sewaktu di bangku sekolah dahulu.
Iris membuang pandang ke luar restoran. Peristiwa di majlis amal Dato Hamzah meniti di tubir mata. Perlakuan tidak mungkin dimaafkan. Tindakan Hanif itu telah meninggalkan kesan lebam di lengannya. Huh! Iris mendengus kasar tatkala mengingatinya.
“Maaf, Iris. Uncle terlewat,” ujar Encik Jamil, tiba-tiba.
Iris sedikit tersentak. Dia menghalakan mata ke arah Encik Jamil yang sudah pun melabuhkan duduk di hadapan.
“Jalan sesak,” beritahu Encik Jamil.
“Tak apa, uncle. Iris faham,” balas Iris berserta senyuman di bibir.
Encik Jamil turut sama tersenyum. Dia menarik nafas lalu menghembusnya lembut sebelum mengeluarkan sepucuk sampul surat dari dalam briefcase. Dihulurkan kepada Iris.
“Yang Iris minta uncle siasat.”
Iris membalas huluran. Dia mengeluarkan isi dari dalam sampul surat tersebut. Beberapa helaian kertas bersaiz A4 ditatap seketika sebelum meneliti maklumat yang ada. Satu persatu maklumat dibaca tanpa tinggal sebaris pun.
Uncle harap maklumat tu lengkap.”
Iris mengangguk perlahan. Tidak dinafikan lagi dengan maklumat tersebut. Haidar Qairen, orang yang dicari selama hampir 10 tahun.
So, Iris nak buat apa selepas ni?” Encik Jamil sekadar bertanya.
“Iris nak rahsiakan dulu. Bila tiba masanya nanti, Iris akan berterus-terang pada Doktor Haidar,” beritahu Iris akan perancangannya itu.
“Kalau tak silap uncle, Haidar juga sedang mencari Iris.”
“Cari Iris?”
“Masa uncle siasat tentang Haidar, kebetulan uncle berjumpa dengan anak kawan uncle, Badrul. Dia sekarang sedang menyiasat dan mencari seorang gadis kenalan Haidar. Uncle tanya serba sedikit tentang gadis tu dan uncle dapat rasakan yang gadis tu adalah Iris,” cerita Encik Jamil serba sedikit.
Uncle beritahu dia….”
“Tak Iris. Uncle tak beritahu dia. Uncle berpegang pada janji dan amanah.”
“Terima kasih, uncle.”
Encik Jamil sekadar mengangguk dan tersenyum. Wajh Iris di hadapan dipandang seketika.
“Sekurang-kurangnya, Iris dah tahu keadaan dia. Iris tak perlu rasa bersalah lagi atas apa yang telah berlaku dahulu. Dia berusaha untuk sembuh daripada penyakit lumpuh dan kini dia telah berjaya menjadi seorang doktor,” rumus Encik Jamil daripada maklumat yang diperolehinya selama ini.
“Ya, uncle. Iris bersyukur sebab dia sembuh seperti sediakala,” sokong Iris akan kenyataan Encik Jamil.
Uncle harap, semua permasalahan Iris akan selesai. In shaa Allah, uncle akan berusaha mencari keluarga Iris.”
“Terima kasih, uncle. Uncle dah banyak tolong Iris. Semoga Allah membalas segala jasa uncle terhadap Iris.”
“Aamiin. Mudah-mudahan Iris.”
Iris tersenyum. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar dipertemukan dengan keluarganya. Semoga usahanya tidak sia-sia.


“AKU dah agak, Iris. Haidar, orang yang kau cari selama ini. Aku dapat rasakan bila aku pandang muka dia. Muka dia mengingatkan aku pada seseorang. Dan sekarang, semuanya dah terjawab. Firasat kita terhadap Haidar adalah sama,” terang Zakry dari hujung talian. Nafas lega dilepaskan. Lega tatkala mengetahui tentang itu.
“Ya, Zack. Aku pun rasakan dengan apa yang kau rasa. Setiap kali aku pandang atau bersama dengan dia, aku dapat rasakan perasaan bersalah aku pada dia. Perasaan yang sama seperti dahulu,” sokong Iris berserta nafas ringan.
So, apa perancangan kau sekarang ni? Kau nak berterus-terang pada dia?”
“Tak, Zack. Aku tak akan beritahu dia siapa aku. Belum tiba masanya, Zack.”
“Habis tu, kau nak buat apa sekarang?”
“Aku belum fikirkannya lagi.”
Zack mengangguk perlahan.
“Aku bersyukur sangat-sangat Zack yang dia sembuh seperti sediakala. Kau kan tahu macam mana perasaan aku bila dapat tahu dia lumpuh. Aku salahkan diri aku sendiri. Aku penyebab dia jadi begitu.”
“Tapi kau tak bersalah. Kau…”
“Orang lain tak akan fikir sepertimana kita fikir Zack. Orang lain tetap anggap aku penyebab Haidar lumpuh.”
Zakry termati kata-kata. Ada benarnya kata-kata Iris itu. Walau berkali Iris membela diri, Iris tetap dianggap penyebab kepada kemalangan Haidar. Iris tetap dituduh dan dipersalahkan.
“Aku minta sangat Haidar tak tahu siapa aku yang sebenarnya, Zack. Aku tak nak Haidar berasa bersalah atas apa yang terjadi pada aku selama ini.”
“Kalau dia tahu, macam mana?”
Iris membisu. Tidak ada jawapan kepada pertanyaan Zakry.
“Kau nak larikan diri daripada dia? Kau nak sembunyikan diri daripada dia?”
Iris masih lagi membisu. Dia cuba mencari jawapan yang bersesuaian untuk pertanyaan Zakry.
“Aku harap kau tak larikan diri, Iris.” Zakry masih lagi bersuara. Dia berharap agar Iris memikirkan permintaannya itu.
“In shaa Allah, Zack. Aku akan cuba berhadapan dengan dia. Aku akan cuba selesaikan masalah aku dengan dia,” balas Iris. Mungkin itu jalan yang terbaik buat dirinya.
 “Kau jangan lupa dengan adik Haidar, Iris.” Zakry bersuara tatkala teringatkan tentang adik Haidar.
Iris tergamam. Adik Haidar? Hampir dia terlupa dengan lelaki yang begitu membencinya ketika sekolah dahulu.
“Kalau ditakdirkan kau berjumpa dengan dia semula, apa kau nak buat?” Zakry sekadar bertanya. Sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Aku berdoa agar aku tak berjumpa dengan dia, Zack. Aku pasti, dia masih membenci aku,” balas Iris dalam nada tenang.
Zakry tidak membalas. Wajah seseorang meniti di tubir mata ketika ini. Hanif Qairin! Terdetik nama itu di benak hati.
“Aku letak dulu, Zack. Dato nak jumpa dengan aku. Apa-apa hal nanti, aku beritahu pada kau,” ujar Iris lalu mematikan talian.
Zakry hanya mengangguk. Dia meletakkan telefon bimbit di atas meja. Entah kenapa wajah Hanif menyapa mata ketika ini. Malah, fikirannya memikirkan sesuatu. Adakah Hanif yang selama ini menjadi musuh ketat Iris merupakan adik Haidar? Lelaki yang begitu membenci Iris ketika sekolah dahulu.
“Mustahil! Tak mungkin!” tukas Zakry dalam nada keras.
Semoga firasat hatinya tidak tepat dan Hanif bukan adik Haidar.


“KENAPA, uncle?” tanya Iris setibanya di bilik Dato Rashid. Berdebar-debar ketika ini tatkala Sarah memberitahu yang Dato Rashid ingin berjumpa dengannya.
“Duduk, Iris,” pelawa Dato Rashid, ramah.
Iris melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Dato Rashid. Jantungnya masih mengepam laju. Seperti ada perkara yang hendak diberitahu oleh Dato Rashid. Adakah hasil kerjanya tidak memuaskan hati Dato Rashid?
Dato Rashid mengeluarkan sepucuk surat lalu dihulurkan kepada Iris.
Iris berkerut dahi. Dia membalas huluran lalu membaca isi di dalam surat tersebut.
Uncle….” Iris bersuara sehabis sahaja membaca surat tersebut.
“Alhamdulillah. Usaha Iris selama ini tidak sia-sia,” balas Dato Rashid berserta anggukan di kepala.
“Iris tak percaya yang Iris dapat anugerah ni. Iris rasa macam tak layak saja.”
“Kenapa pulak tak layak? Iris layak untuk dapat anugerah tu.”
Iris tidak membalas. Dia menatap semula surat di tangan. Rasa tidak percaya dengan apa yang dibacanya sebentar tadi.
“Lepas ni, mesti ramai yang berebutkan Iris.”
“Maksud, uncle?”
“Yalah, mesti ada yang tawarkan Iris gaji yang lumayan. Lebih dari gaji yang uncle beri.” Dato Rashid tersenyum. Wajah Iris di hadapan dipandang.
Iris yang mendengar menggelengkan kepala. Tidak mungkin dia akan meninggalkan Dato Rashid. Dia masih ingat segala budi dan jasa yang telah Dato Rashid taburkan kepadanya. Malah, dia juga sudah menganggap Dato Rashid seperti keluarganya.
“Tak mungkin, uncle. Iris akan tetap setia pada uncle walaupun ada yang menawarkan lebih dari apa yang Iris dapat di sini.”
Dato Rashid tidak membalas.
Uncle dan aunty dah banyak tolong Iris. Sudah menjadi tanggungjawab Iris untuk membalas segala budi dan jasa uncle terhadap Iris.”
“Iris, uncle tak minta Iris balasnya. Uncle dan aunty ikhlas bantu Iris.”
“Tapi, Iris dah banyak menyusahkan uncle dan aunty.”
“Jangan cakap macam tu, Iris. Iris tak pernah menyusahkan kami. Malah, kami patut bersyukur kerana mempunyai Iris.”
Iris tersenyum. Wajah Dato Rashid ditatap mesra.
“Kita sama-sama saling bantu-membantu. Kalau Iris ada masalah, Iris jangan segan dan malu beritahu pada kami berdua.”
“In shaa Allah, uncle. Terima kasih atas segala-galanya.”
Dato Rashid turut sama tersenyum.
“Iris dah jumpa dia, uncle,” ujar Iris sebaik sahaja meredakan hati dan perasaan.
“Dah jumpa?” tanya Dato Rashid sedikit terkejut.
Iris mengangguk lemah. Segala cerita sudah lama diberitahu kepada Dato Rashid.
“Siapa?” tanya Dato Rashid lagi.
“Doktor Haidar, uncle!” jawab Iris dalam nada tenang.
“Doktor Haidar?” ulang Dato Rashid. Seperti pernah mendengar nama itu sebelum ini.
“Encik Hanif!” tegah Sarah, tiba-tiba.
Termati perbualan Iris dan Dato Rashid tatkala mendengar suara Sarah. Masing-masing menghalakan mata ke arah muka pintu bilik.
“Maaf, Dato Rashid, Cik Iris. Saya dah tegah tapi Encik Hanif…”
“Tak apa, Sarah. Awak boleh keluar,” pintas Dato Rashid.
Sarah mengangguk. Dia beredar dari situ berserta nafas lega.
Iris bangun dari duduk. Wajah Hanif dipandang. Riak bengang terlukis di wajah itu. Pasti ada perkara yang tidak kena pada pemuda itu.
“Ada apa, Encik Hanif?” mulai Dato Rashid.
“Dato tolong nasihatkan staf dato. Tolong jangan menyusahkan saya,” balas Hanif sedikit bengang.
“Maksud, Encik Hanif? Saya tak faham,” soal Dato Rashid pula.
Hanif mendengus kasar. Tajam matanya ke wajah Iris di hadapan. Jika bukan disebabkan penarikan Iris dalam projek Dato Hamdan, dia tidak perlu berhadapan dengan masalah.
“Cuba jelaskan pada kami, Encik Hanif.” Dato Rashid masih lagi bertanya.
“Saya nak Iris ambil alih semula projek Dato Hamdan. Saya tak nak wakil yang lain.”
Iris yang mendengar berkerut dahi.
“Oh, itu masalahnya.”
“Staf dato kurang pengetahuan dan sering mendatangkan masalah pada saya. So….”
“Iris akan take over semula projek tu,” pintas Dato Rashid.
Ada baiknya dia bersetuju dengan permintaan Hanif. Tidak mahu memanjangkan isu itu. Bukannya dia tidak kenal dengan Hanif. Pemuda itu seorang yang ego dan degil.
Hanif merupakan salah seorang kontraktor yang berjaya. Hasil kerja Hanif seringkali mendapat pujian di kalangan rakan perniagaannya. Dia mengetahui tentang Hanif selepas dia menyiasat sendiri siapa Hanif sebaik sahaja pertemuan tempoh hari.
No! Iris tak setuju!” bentak Iris, keras.
“Iris! Please!”
Dato Rashid sedikit merayu. Dia tidak mahu mendatangkan masalah kepada Dato Hamdan. Dia mengutamakan reputasi dan perniagaan. Dia tidak mahu dipersalahkan jika projek itu tidak dapat disiapkan seperti yang telah ditetapkan.
Iris memandang ke wajah Dato Rashid. Rasa bersalah ketika ini. Jika dia masih berdegil dengan keputusannya, Dato Rashid yang akan dipersalahkan. Ada baiknya dia bersetuju dengan permintaan Dato Rashid dan Hanif.
“Baiklah! Iris take over semula projek tu,” putus Iris berserta nafas berat.
Dato Rashid yang mendengar, menganggukkan kepala. Dia mengucap syukur dalam hati. Iris tidak akan menghampakannya.
Hanif tersenyum puas. Taktiknya berjaya untuk membuatkan Dato Rashid dan Iris bersetuju dengan permintaannya. Dengan cara ini dapatlah dia membalas dendam ke atas Iris nanti. Hanya menunggu masa untuk melaksanakannya sahaja.



1 ulasan: