Rabu, 15 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 22






IRIS memandang tajam ke wajah Hanif. Sakit hatinya hanya tuhan saja yang tahu. Hanif sudah melampau. Memang melampau. Ikutkan hati marahnya, dah lama dia mengupah orang supaya melanggar Hanif. Biar padan muka dengan Hanif.
Iris mendengus kasar. Dia melangkah laju meninggalkan Hanif di belakang. Dia perlu menyelesaikan tugasan secepat mungkin. Tidak mahu berlama di situ bersama Hanif. Bertambah meluat tatkala melihat riak lagak di wajah Hanif.
“Huh! Kalau bukan disebabkan uncle, tak ada maknanya aku di sini mengadap muka mamat bongkak tu,” bebel Iris sendirian. Terkumat-kamit mulutnya menyumpah seranah Hanif.
“Aduh!” Iris mengaduh sakit. Dia meraba dahi yang terasa sakit.
Hanif yang melihat ketawa besar.
“Kutuk aku lagi. Kan dah kena hantuk. Padan muka kau!” kutuk Hanif berserta ketawa besar. Terasa senak perutnya akibat ketawa.
Iris memandang tajam ke wajah Hanif. Sakit hatinya mendengar suara ketawa Hanif. Ikutkan hati, mahu diterkam Hanif di hadapannya itu.
“Kau kutuk aku, kan?” tanya Hanif masih ketawa.
Iris meraba dahinya yang terasa sakit. Semakin tajam pandangannya ke wajah ketawa Hanif. Siap kau, Hanif! Bentak hati Iris.
“Lain kali, jangan nak berlagak sangat. Kau tu perempuan. Buat cara perempuan. Ini tidak? Ada hati nak lawan aku. Nak ‘act’ dengan aku,” kata Hanif lagi. Dia tersenyum sinis.
Iris tidak membalas. Dia segera beredar dari situ. Masih bersisa kesakitan di dahi. Dia perlu ke ladies untuk melihat dahinya itu.
Hanif sekadar memandang. Dia ketawa kecil melihat tingkah laku Iris. Gadis itu masih dengan lagak dan degilnya. Walau sehebat mana sekali pun Iris, dia akan pastikan Iris jatuh tersungkur suatu hari nanti.


“KALAU tak ada apa lagi, aku balik dulu,” ujar Iris sehabis sahaja melawat tapak pembinaan. Kepenatan terasa dan minta direhatkan.
“Kita belum settle pasal….”
“Aku nak balik. Penat!” pintas Iris, laju. Sungguh, dia terlalu penat dan ingin berehat. Malah, kesakitan di dahi masih lagi terasa.
Hanif menoleh ke wajah Iris. Riak kepenatan terlukis di wajah itu. Kemudian, dijatuhkan mata ke dahi Iris. Bekas lebam berwarna biru jelas kelihatan di situ.
“Aku balik dulu,” pamit Iris lalu melangkah menuju ke kereta tanpa menunggu balasan daripada Hanif.
Hanif memandang langkah Iris. Entah kenapa hatinya tidak tenteram saat ini.
“Cik Iris!”
Teguran seseorang mengejutkan Hanif. Lantas, dia segera menoleh ke arah suara yang memanggil. Dia terkejut tatkala melihat Iris sudah pun terbaring di atas lantai.
“Iris!” sebut Hanif lalu melangkah menuju ke arah Iris.
“Cik Iris!” panggil salah seorang pekerja di tapak pembinaan itu.
“Tolong saya!” pinta Hanif lalu menggendong Iris menuju ke kereta.
Pekerja-pekerja yang berada di situ turut sama membantu. Masing-masing berbisik sesama sendiri. Apa yang terjadi kepada majikan mereka?
Hanif segera membaringkan Iris di tempat duduk belakang. Dia segera masuk ke tempat pemandu sebaik sahaja mengucapkan terima kasih kepada pekerja-pekerjanya. Nafas ditarik lalu melepaskannya ringan.
“Huh! Berlagak lagi dengan aku. Kan dah jatuh pengsan,” kutuk Hanif berserta dengusan ringan. Sempat lagi dia mengutuk Iris.


“IRIS?” tegur Haidar sedikit terkejut.
“Kau kenal dengan dia?” tanya Hanif sambil melabuhkan duduk di kerusi. Kepenatan amat dirasai pada waktu ini.
“Pesakit aku. Macam mana….”
“Dia pengsan kat site.” Hanif memintas. Pasti itu yang hendak ditanya oleh Haidar.
Haidar menghampiri Iris di katil. Dia memeriksa nadi gadis itu buat seketika.
“Kau tolong tengokkan apa sakit dia. Kena buatan manusia ke buatan syaitan?”
Terhenti tingkah laku Haidar tatkala mendengarnya. Dia memandang Hanif buat seketika. Riak selamba terlukis di wajah adiknya itu.
“Aduh! Sakit tangan aku dibuatnya. Berat betul minah tu. Makan batu ke apa?” bebel Hanif sendirian. Dia mengurut tangan yang berasa sakit.
“Kau nak aku panggilkan nurse check tangan kau tu?”
“Tak payah!”
Haidar menjungkitkan bahu. Dia masih memeriksa Iris. Matanya terpandang kesan lebam di dahi Iris.
“Lebam ni….”
“Dia terhantuk kat dinding. Mengutuk aku lagi. Kan dah kena ‘tulah’. Padan muka dia,” luah Hanif seakan kebudak-budakkan.
Haidar yang mendengar menahan ketawa. Hanif… Hanif… Macam budak-budak. Kata Haidar dalam hati. Kepalanya menggeleng kecil.
“Aku serahkan dia pada kau. Kalau jadi apa-apa pada dia, kau jangan panggil aku. Dia tak ada kena-mengena dengan aku. Then, kalau dia sedar nanti, kau jangan beritahu dia yang aku hantar dia ke sini. Jatuh ego aku nanti,” beritahu Hanif dalam nada amaran.
Haidar berkerut dahi.
“Aku balik dulu. Kau tolong settle masalah penyakit dia tu,” ujar Hanif lalu beredar dari situ.
“Hanif! Nif!” Haidar memanggil. Namun, Hanif sudah pun beredar dari situ.
“Hanif…. Hanif…. Tak berubah-ubah. Pentingkan ego dia tu dari segala-galanya,” bebel Haidar pula, sendirian.
Tanpa menunggu, dia memanggil nurse untuk membantu. Nafas dilepaskan ringan. Dia menatap wajah Iris buat seketika.
“Kenapa wajah kau mengingatkan aku pada seseorang?” suara Haidar kemudian.


IRIS membuka perlahan mata. Dia memerhati keadaan sekeliling. Di mana dia berada? Dia bingkas bangun dari pembaringan lalu bersandar ke kepala katil. Terasa berat kepalanya berserta tubuh yang lemah. Kepenatan amat dirasai.
“Kat mana aku sekarang?” soal Iris berserta nafas ringan.
“Awak dah sedar, Iris?” tegur Haidar dari arah muka pintu bilik.
Iris menoleh ke arah yang bersuara. Dia terkejut melihat Haidar.
“Kenapa, Iris?” tanya Haidar berserta kerutan di dahi. Pelik melihat riak terkejut di wajah Iris.
Iris tidak membalas. Dia memandang tingkah laku Haidar yang sedang memeriksa nadinya. Adakah dia berada di hospital?
“Awak pengsan tadi. Then….”
“Pengsan?”
Haidar sekadar mengangguk. Dia tersenyum kepada Iris.
“Badan awak terlalu lemah dan awak perlu berehat. Kerja… Kerja juga Iris. Kesihatan perlu juga jaga. Badan kita ni nak pakai lama. Kalau sakit, siapa yang susah? Awak juga, kan?” nasihat Haidar dalam nada lembut.
Iris hanya mendengar. Wajah Haidar ditatap seketika. Kemudian, dijatuhkan mata ke arah langkah Haidar. Terasa sebak di hati.
Suatu ketika dulu, dia penyebab kaki itu lumpuh. Dia penyebab Haidar tidak boleh berjalan. Dia punca kepada kemalangan Haidar. Demi menyelamatkannya, Haidar menerima akibat. Semakin sebak hatinya itu.
“Saya akan minta nurse ambilkan ubat untuk awak. Saya dah call Zack. Beritahu tentang keadaan awak,” beritahu Haidar sebaik sahaja memeriksa laporan kesihatan Iris.
Iris masih membisu. Lama dia menatap wajah Haidar. Dalam tidak sedar, air matanya bergenang di tubir mata. Selama hampir 10 tahun dia mencari Haidar dan pencariannya berhasil. Haidar berada di hadapannya pada ketika ini.
“Iris?” Haidar memanggil. Wajah Iris dipandang seketika.
Iris melarikan pandangan. Dia memejamkan mata buat seketika. Hampir 10 tahun dia  tidak menitiskan air mata dan hari ini, ia keluar tanpa dipinta.
“Kenapa, Iris?” Haidar masih lagi bertanya. Ada nada risau di situ.
Iris menggelengkan kepala. Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. Dia menggerakkan bibir agar tersenyum sebelum menoleh memandang Haidar.
“Awak, okey?” Untuk kali kedua Haidar bertanya. Diperhatikan wajah Iris buat seketika. Apa yang tidak kena dengan Iris?
“Siapa yang bawa saya ke sini, doktor?” Iris pula bertanya. Sekadar ingin tahu.
“Adik saya, Iris,” beritahu Haidar dalam nada tenang.
Iris yang mendengar segera menegakkan badan. Terkejut mendengarnya. Adik Haidar? Hatinya bertanya.


“AKU dah settle kan semuanya. Sekejap lagi kau dah boleh keluar,” beritahu Zakry sambil duduk di kerusi. Nafas lega dilepaskan.
Iris sekadar mengangguk. Otaknya sedang memikirkan tentang sesuatu.
“Kau ni pun satu. Kerja… Kerja juga. Kesihatan tu pun kena juga jaga.”
Iris membisu. Dia leka dalam dunia tenungan.
“Lepas ni aku nak kau berehat. Aku dah beritahu pada Uncle Rashid pasal kau dan dia minta aku jaga kau buat sementara waktu.” Zakry masih lagi bersuara. Dia menuang air ke dalam gelas. Tekak yang terasa kering minta dibasahkan.
“Dia ada di sini,” suara Iris dalam nada perlahan.
“Apa dia, Iris?” tanya Zakry tatkala terdengar suara Iris.
“Dia yang bawa aku ke sini.”
“Siapa?”
“Adik Haidar.”
Terkejut Zakry mendengarnya. Hampir terlepas gelas dari pegangan di tangan.
“Maksud kau, Iris?”
“Dia yang hantar aku ke sini, Zack. Adik Haidar,” ulang Iris seraya memandang ke wajah Zakry. Sungguh, dia terkejut sebaik sahaja diberitahu oleh Haidar.
Zakry menghampiri Iris di katil lalu duduk di birai. Wajah Iris dipandang meminta kepastian. Benarkah adik Haidar yang menghantar Iris ke hospital?
“Maksud kau, Hanif?” Zakry masih lagi bertanya. Dia berasa berdebar.
Iris mengangguk lemah.
“Kau ada tanya Haidar tentang Hanif?”
“Aku tak berani, Zack. Lagipun, Haidar masih belum tahu siapa aku yang sebenarnya.”
Zakry hanya mendengar. Ada benarnya kata-kata Iris. Haidar masih belum mengenali siapa Iris yang sebenarnya.
“Aku yakin yang suatu hari nanti aku akan bertemu dengan Hanif,” suara Iris berserta nafas lemah.
Zakry tidak membalas. Dia memikirkan sesuatu. Entah kenapa wajah Hanif meniti di tubir mata.
“Kau terfikir tak dengan apa yang aku fikirkan?” suara Zakry kemudian.
“Fikir apa?” tanya Iris berserta kerutan di dahi.
“Hanif!”
“Hanif? Maksud kau, Hanif musuh aku tu?”
“Ada kemungkinan tak yang Hanif tu adik Haidar?”
Terkedu Iris mendengarnya. Dia turut merasai perkara yang sama. Hanif Qairin adalah adik Haidar. Tetapi, dia tidak boleh membuat sebarang kesimpulan selagi bukti tidak ada. Bukti menyatakan yang Hanif Qairin adalah adik Haidar Qairen.
“Aku cuma terfikir macam tu saja. Sebab nama belakang mereka kan hampir sama.”
“Memang hampir sama. Tapi, dalam Malaysia ni, berapa orang yang memiliki nama yang sama? Ramai, kan?” Iris membuat kesimpulan.
“Yalah! Secara logiknya begitulah, kan? Mungkin Hanif tu bukan adik Haidar. Mungkin orang lain,” putus Zakry. Mungkin ada benarnya pendapat Iris. Ramai orang memiliki nama yang sama dan hampir sama.
Iris membisu. Secara jujur, dia turut memikirkan perkara yang sama. Adakah Hanif Qairin adik kepada Haidar? Melihatkan perwatakan Hanif, hampir sama dengan perwatakan Hanif, adik Haidar. Seorang yang ego, bongkak dan berlagak.
Zakry memandang wajah Iris. Riak berkerut terlukis di wajah itu. Apa yang sedang difikirkan oleh Iris? Adakah tentang Hanif yang sedang difikirkan oleh gadis itu?
Zakry menarik nafas lalu melepaskannya lembut. Ada baiknya dia meminta Encik Jamil menyiasat tentang Hanif atau dia sendiri yang menyiasat tentang pemuda itu. Dia yakin, Hanif Qairin adalah adik Haidar Qairen. Lelaki yang begitu membenci Iris Eryna suatu ketika dulu.




1 ulasan: