Khamis, 16 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 23






HAIDAR masih lagi menatap fail pesakit. Nafas ditarik lalu dilepaskan lembut. Sejak akhir-akhir ini, dia terlalu sibuk dengan kes-kes kecemasan. Terkadang terasa penat dengan situasi begitu. Cutinya terpaksa dibekukan demi pesakit. Disebabkan itu, dia jarang bertemu dengan Zulaikha. Gadis itu sering kali merajuk dengannya. Rasa kelakar tatkala mengenangkan sikap dan perangai Zulaikha.
Haidar memandang ke luar jendela. Pertemuan dengan Iris seminggu yang lepas meniti di tubir mata. Sewaktu dia memeriksa gadis itu. Iris lebih banyak membisu daripada berkata-kata. Berbeza sewaktu mula-mula dia mengenali Iris. Malah, dia juga perasan dengan pandangan Iris.
“Apa yang Iris sedihkan?” soal Haidar sendirian. Sinar mata Iris menggambarkan kesedihan. Itulah yang dilihatnya ketika itu.
“Iris ada masalah ke?” Haidar masih lagi bertanya. Entah kenapa dia begitu mengambil berat tentang Iris.
“Doktor Haidar!”
Teguran Yusliza mematikan lamunan pendek Haidar. Dia menghalakan mata ke arah Yusliza di muka pintu bilik.
“Ada apa, Yus?” tanya Haidar sambil membetulkan duduk.
Yusliza melangkah masuk ke dalam bilik. Dia memandang wajah Haidar seketika.
“Doktor dah semak fail pesakit yang saya serahkan dulu?” tanya Yusliza, ramah.
Haidar berkerut dahi. Fail pesakit? Pesakit mana yang dimaksudkan oleh stafnya itu?
“Yang Doktor Nasir minta doktor take over kes pesakit tu,” beritahu Yusliza tatkala melihat wajah berkerut Haidar.
Haidar masih lagi cuba mengingatinya. Doktor Nasir! Sebutnya dalam hati. Seminit kemudian, dia menepuk dahi. Barulah dia ingat tentang fail pesakit itu. Lantas, dia mencari fail pesakit tersebut. Di mana dia meletakkan fail tersebut dia sendiri tidak ingat.
“Doktor Nasir minta doktor handle dan update tentang pesakit tersebut,” ujar Yusliza sebaik sahaja melihat tingkah laku Haidar.
“Baiklah, Yus. Saya hampir terlupa dengan fail pesakit tu. Apa-apa nanti, saya direct dengan Doktor Nasir,” balas Haidar beserta senyuman kelat. Sungguh, dia berasa bersalah kerana tidak menyelesaikan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.
Yusliza segera beredar dari situ. Dia menggelengkan kepala. Sejak akhir-akhir ini dia perasankan perubahan Haidar. Bosnya itu sering termenung selepas merawat pesakit yang bernama Iris Eryna. Adakah gadis itu bekas kekasih Haidar melihatkan keprihatinan doktor itu terhadap Iris Eryna?
“Kau ni, Yus. Sibuk sangat hal orang, kenapa?” marah Yusliza kepada dirinya sendiri. Sedar akan kesalahannya itu.
Haidar masih mencari. Berkerut-kerut dahinya sambil cuba untuk mengingati di mana dia meletakkan fail tersebut. Hampir sebulan fail itu berada di tangannya dan dia hanya sempat membaca sedikit maklumat tentang pesakit tersebut.
“Fuh! Nasib baik ada,” luah Haidar sebaik sahaja berjumpa dengan fail tersebut. Dia mengesat peluh dingin yang membasahi dahi.
“Macam mana kau boleh cuai, Haidar? Selalunya kau akan semak fail-fail pesakit,” tegur Haidar kepada dirinya sendiri.
Botol mineral yang berada di sisi meja dicapai lalu meneguk air dari dalamnya. Matanya meneliti maklumat pesakit yang berada di dalam fail tersebut. Seminit kemudian, dia tersedak tatkala melihat nama pesakit tersebut.
“Iris Eryna?” sebut Haidar sedikit terkejut.


“IRIS apa khabar?” tanya Puan Hanum dari hujung talian.
“Sihat alhamdulillah. Mak?” balas Iris dalam nada lembut.
Puan Hanum menghela nafas ringan. “Sihat, nak.”
Iris mengangguk perlahan. Lama dia tidak berjumpa dengan Puan Hanum. Sejak Puan Hanum mengambil keputusan untuk tinggal bersama Salleh, sejak dari itu dia terputus hubungan dengan ibu angkatnya.
Bukannya dia tidak boleh menelefon Puan Hanum, bertanya khabar wanita tua itu. Demi untuk tidak mendatangkan masalah, dia mengelak untuk menghubungi Puan Hanum. Dia juga tidak mahu bertekak dengan Salleh mengenai Puan Hanum.
“Mak rindukan Iris,” luah Puan Hanum, sayu.
“Iris pun rindukan mak juga,” luah Iris pula.
“Mak ada minta dari Salleh nak jumpa dengan Iris, tapi Salleh tak benarkan mak pergi. Kalau mak pergi juga, dia akan cederakan Iris,” cerita Puan Hanum.
“Ya Allah! Sampai begitu sekali Salleh ugut mak?” Iris sedikit terkejut.
Puan Hanum berasa sedih. Tidak menyangka yang Salleh sanggup memperlakukannya seperti itu. Jika tidak diikutkan, dia juga yang susah.
“Mak call Iris ni dia tahu tak?” Iris bertanya. Ada nada risau di situ.
“Mak curi-curi call Iris. Lagipun, dia dah keluar pergi kerja,” beritahu Puan Hanum.
“Oh! Dah kerja. Baguslah! Tak adalah dia mengugut mintak duit daripada Iris.”
“Salleh ada ugut Iris?”
“Baru-baru ni ada dia ugut Iris. Kalau Iris tak bagi dia duit, dia akan apa-apakan mak.”
“Iris bagi Salleh duit?”
“Tak! Iris ugut dia pula. Kalau dia apa-apakan mak, Iris akan buat report polis.”
Puan Hanum menghela nafas berat. Rasa malu dan bersalah bergabung menjadi satu.
“Mak janganlah risau pasal Iris. Iris boleh jaga diri Iris sendiri.”
“Mak tetap risaukan Iris.”
“In shaa Allah, Iris tak ada apa-apa. Iris boleh jaga diri Iris sendiri. Mak tu yang perlu jaga kesihatan. Iris dengar suara mak pun dah lain sekarang ni.”
Puan Hanum mengangguk lemah. Dia menyeka air mata yang meniti di tubir mata. Sungguh, dia amat merindui anak angkatnya itu.
“Kalau ada masa nanti, Iris datang jumpa dengan mak. Kalau Salleh halang Iris dari jumpa dengan mak, Iris akan ambil tindakan ke atas dia,” kata Iris dalam nada serius. Sudah lama dia bersabar dengan sikap dan perangai Salleh. Suatu hari nanti, dia akan memberi pengajaran kepada Salleh.
“Baiklah, Iris. Jaga diri dan kesihatan Iris. Mak rindukan Iris sangat,” balas Puan Hanum berserta nasihat.
“Mak pun sama. Jaga diri dan kesihatan. Apa-apa nanti, jangan lupa beritahu Iris,” pesan Iris dalam nada lembut.
“Mak letak dulu. Sekejap lagi Salleh balik. Iris pun jangan lupa beritahu pada mak kalau ada apa-apa masalah,” pesan Puan Hanum pula.
Iris mengangguk. Setelah berpamitan, dia melepaskan nafas berat. Dia memejamkan mata buat seketika. Wajah Haidar menyapa mata.
“Perlukah aku berterus-terang pada Haidar, siapa aku yang sebenarnya?” soal Iris kepada dirinya sendiri.
“Mungkin aku perlu cari Hanif dulu sebelum aku berterus-terang pada Haidar,” cadang Iris selepas itu. Semoga dia diberi kekuatan untuk berhadapan dengan Hanif seandainya dia bertemu dengan pemuda itu nanti.


“KENAPA Haidar?” tanya Badrul setibanya di restoran. Kelam kabut dia sebaik sahaja mendapat panggilan daripada Haidar. Kenapa Haidar ingin berjumpa dengannya?
“Aku nak tanya pasal gadis yang aku minta kau siasat dulu. Macam mana?” balas Haidar ingin tahu. Agak lama dia tidak bertanya tentang penyiasatan Badrul.
“Oh, pasal tu. Aku ingatkan pasal apa tadi.”
“Aku cuma nak tahu, kau dah jumpa dengan dia?”
“Dah!”
“Dah? Apasal kau tak beritahu pada aku?”
“Aku tengah siapkan laporan. Alang-alang kau dah tanya ni, aku beritahu sajalah pada kau. So, tak perlulah aku siapkan laporan.”
“Tak apa. Kau boleh bagi aku kemudian details siasatan kau tu. Aku cuma nak tahu result saja.”
Badrul menghelakan nafas ringan. Dia mengeluarkan sepucuk sampul surat bersaiz A4 dari dalam briefcase lalu diserahkan kepada Haidar.
Haidar membalas huluran. Dia mengeluarkan isi dari dalam sampul surat tersebut.
“Iris?” sebut Haidar tatkala sekeping gambar menyapa pandangan mata.
“Iris Eryna atau Ery. Aku baru dapat tahu seminggu yang lepas, Har,” beritahu Badrul sambil memandang tingkah laku Haidar yang sedang membelek gambar Iris Eryna sekeping demi sekeping.
“Maklumat penuh aku akan serahkan pada kau dalam masa terdekat ni,” sambung Badrul lagi.
Haidar masih lagi menatap gambar di tangan. Sungguh, dia tidak menyangka, gadis yang dicarinya selama 10 tahun ini berada di hadapan matanya.
“Selama 10 tahun aku mencari dia, Bad. Rupa-rupanya aku dah jumpa dia tanpa aku sedari. Dah beberapa kali aku jumpa dengan dia. Kenapa aku tak sedar yang Iris Eryna adalah Ery?” suara Haidar seraya mengangkat wajah. Rasa sebak hadir di hati saat ini.
“Mungkin ada hikmah yang Allah cuba sembunyikan, Har,” balas Badrul sekadar peringatan.
Haidar mengangguk lemah. Mungkin ada benarnya juga kata-kata Badrul.
So, apa yang kau nak buat selepas ni, Har? 10 tahun kau cari dia. Dan sekarang, kau dah jumpa dengan dia.”
“Aku baru dapat tahu sesuatu tentang dia, Bad.”
“Tentang apa?”
“Penyakit dia.”
Badrul yang mendengar sedikit terkejut. Penyakit? Adakah Iris Eryna menghidap penyakit berbahaya?


“SAYA di rumah, doktor. Kenapa?” beritahu Iris dari hujung talian. Kenapa dengan tiba-tiba sahaja Haidar menelefon. Adakah tentang rawatannya tempoh hari?
“Awak dah sihat?” Haidar bertanya. Berdebar-debar ketika ini. Debaran yang sama dirasai sewaktu pertama kali bertemu dengan Iris.
“Sihat alhamdulillah, doktor,” balas Iris. Entah kenapa dia dapat merasakan sesuatu daripada panggilan Haidar.
“Saya sihat alhamdulillah, Iris.”
Iris tidak membalas. Terasa kaku untuk berbual bersama Haidar. Kebenaran yang diketahui membuatkan dia terpaksa menjauhkan diri daripada Haidar. Khuatir dia akan menjadi penyebab ‘malang’ kepada Haidar. Seperti yang berlaku 10 tahun yang lepas.
Haidar turut sama membisu. Dia menghela nafas ringan sambil otaknya cuba mencari topik untuk berbual.
“Zulaikha apa khabar, doktor? Dah lama saya tak jumpa dengan dia,” tanya Iris sekadar membuka topik perbualan. Agak lama mereka berdua membisu.
“Dia baik-baik saja, Iris. Baru tadi dia call saya bertanyakan tentang awak juga.”
“Oh! Sampaikan salam saya pada dia nanti.”
“In shaa Allah, Iris.”
Iris mengangguk perlahan. Wajah Zulaikha menyapa mata. Gadis itu seorang yang manis dan cantik.
“Awak free malam ni, Iris?” Haidar bersuara.
Hatinya didesak untuk berjumpa dengan Iris. Entah sebab apa, dia sendiri tidak pasti. Adakah disebabkan kebenaran yang diketahuinya tentang gadis itu?
“Malam ni?” Iris berfikir sejenak. Perlukah dia bersetuju dengan pelawaan Haidar?
“Kalau awak tak free, tak apalah. Lain kali saja.”
Iris masih lagi berfikir. Ada baiknya dia bersetuju dengan pelawaan Haidar. Mungkin ada perkara yang ingin dibincangkan oleh doktor muda itu.
“Pukul berapa dan di mana?” Iris bertanya selepas itu.
Haidar menarik nafas lega sebaik sahaja mendengar jawapan Iris.
“Saya text awak nanti,” kata Haidar pula.
“Baiklah!” balas Iris, sepatah.
Mereka berdua membisu seketika. Masing-masing sedang mencari topik untuk berbual. Masing-masing berasa kaku antara satu sama lain.
“Doktor Haidar!”
“Iris Eryna!”
Serentak mereka menyebut nama berlawanan.
“Kenapa doktor?” Iris bertanya. Sungguh, dia berasa kaku ketika ini.
“Saya nak kenalkan awak dengan seseorang malam nanti. Hope awak tak keberatan berkenalan dengan dia.”
“Siapa, doktor?” Iris berdebar-debar. Siapa yang dimaksudkan oleh Haidar itu? Adakah Hanif yang ingin diperkenalkan oleh Haidar kepadanya?
“Adik saya, Iris,” sahut Haidar dalam nada tenang.
Iris menggigit bibir. Adik Haidar? Adakah Hanif yang dimaksudkan oleh Haidar itu? Kenapa Haidar ingin memperkenalkannya dengan Hanif? Adakah Haidar sudah mengenali siapa dirinya yang sebenar? Jika benar, bersediakah dia untuk berjumpa dengan Hanif?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan