Jumaat, 17 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 24








HAIDAR masih menatap fail di tangan. Sesekali dia melepaskan nafas berat. Kenapa dari dulu lagi dia tidak meneliti fail Iris selepas Yusliza menyerahkan fail tersebut. Jika tidak, pasti dia dapat membantu Iris dalam mengatasi penyakitnya itu.
Haidar masih lagi ralit membaca. Perbualannya bersama dengan Doktor Nasir meniti di minda. Doktor itu mahu dia mengambil alih kes Iris Eryna disebabkan kekangan masa dan komitmen kerja lain.
Jauh di sudut hati, dia mengucap syukur dan berterima kasih kepada Doktor Nasir. Sekurang-kurangnya, dia dapat mendekatkan diri dengan Iris di samping mengetahui kisah hidup gadis itu selama 10 tahun ini.
“Saya akan cuba sembuhkan awak, Iris.” Haidar bersuara. Dia memejamkan mata buat seketika.
Deringan telefon mematikan lamunan pendek Haidar. Telefon bimbit dicapai lalu menatap nama di skrin. Dia melekapkan telefon ke telinga dan menanti sapaan dari Encik Qamarul.
“Sihat alhamdulillah. Ayah?” tanya Haidar sebaik sahaja salam bersambut.
“Ayah pun sihat alhamdulillah. Har sibuk ke?” balas Encik Qamarul pula.
“Tak adalah sangat, ayah. Kenapa?”
Encik Qamarul menghela nafas ringan. Dia berkira-kira dalam hati untuk berterus-terang kepada Haidar.
“Kenapa, ayah? Ada masalah di sana?” Haidar bertanya. Terasa pelik dengan kebisuan Encik Qamarul. Adakah ayahnya itu menghadapi masalah ketika ini?
“Kalau Har ada masa, Har boleh balik kampung?” suara Encik Qamarul.
Berkerut dahi Haidar mendengar permintaan Encik Qamarul. Balik kampung?
“Kalau boleh dalam minggu ni,” sambung Encik Qamarul lagi.
“Tapi, kenapa?” tanya Haidar ingin tahu.
“Ayah ada perkara nak bincang dengan Har. Kalau boleh, Har ajak Hanif sekali.”
“Perkara apa, ayah?” Semakin pelik Haidar mendengarnya. Seperti ada perkara yang terjadi kepada Encik Qamarul.
“Nanti ayah beritahu. Mintak Hanif balik sekali dengan Har,” balas Encik Qamarul lalu mematikan talian.
Haidar tersentak. Kenapa dengan Encik Qamarul? Adakah ayahnya menghadapi masalah ketika ini?


“AWAK sibuk ke? Susah sangat nak jumpa dengan awak sekarang,” suara Zulaikha seraya memandang wajah Haidar. Pemuda itu kelihatan termenung.
Haidar membisu. Dia masih memikirkan tentang permintaan Encik Qamarul.
“Awak!” Zulaikha memanggil. Haidar masih dalam dunia tenungan.
“Kenapa dengan ayah?” soal Haidar, sendirian.
“Haidar!” Untuk kali yang ketiga Zulaikha memanggil.
Haidar sedikit tersentak. Dia menghalakan mata ke wajah Zulaikha.
“Kenapa?” tanya Haidar kemudian.
“Awak menungkan apa?” Zulaikha bertanya. Menolak pertanyaan Haidar.
“Saya fikirkan sesuatu.”
“Fikir apa?”
“Ayah!”
“Kenapa dengan ayah awak?”
Haidar menghela nafas ringan. Otaknya masih memikirkan permintaan Encik Qamarul. Dia juga telah menelefon Hanif, mengkhabarkan permintaan Encik Qamarul. Tetapi, adiknya itu buat endah tak endah sahaja.
“Kenapa dengan ayah awak?” Zulaikha masih bertanya. Sekadar ingin tahu.
“Ayah minta kami balik kampung,” balas Haidar dalam nada perlahan.
“Ada masalah ke kalau ayah awak suruh awak dan Hanif balik kampung?”
“Tak adalah. Cuma saya pelik dengan permintaan ayah. Setahu saya, kalau ayah buat permintaan macam tu, pasti ada perkara serius yang nak dibincangkan.”
Zulaikha mengangguk perlahan.
“Awak dah order makanan?” tanya Haidar sebaik sahaja menyedari yang mereka berdua berada di restoran.
“Belum lagi,” jawab Zulaikha, jujur.
“Kenapa tak order?”
“Saya tunggu awak.”
“Ya, Allah! Awak ni, Ika. Macamlah baru sekali dua kita makan bersama. Kita dah lama kenal. Sejak universiti lagi. Awak pun dah faham dengan perangai saya. Dah tahu apa yang saya suka dengan tak suka,” jelas Haidar panjang lebar. Wajah Zulaikha di hadapan dipandang berserta gelengan di kepala.
Zulaikha sekadar tersenyum. Ya! Tidak dinafikan dengan kata-kata Haidar. Sudah lama mereka berdua berkawan. Sudah sebati dengan sikap dan perangai masing-masing.
Walau pun begitu, tidak ada tanda-tanda menunjukkan yang Haidar berminat dengannya. Dalam erti kata yang lain, menukar status persahabatan mereka berdua kepada perhubungan yang lebih serius.
Haidar masih menggeleng. Dia melambai tangan memanggil pelayan. Setelah membuat pesanan, dia menghalakan mata ke wajah Zulaikha. Gadis itu kelihatan sedang termenung.
“Ika!” Haidar memanggil. Sekadar mematikan lamunan Zulaikha.
“Haa…” Zulaikha tersentak.
“Menungkan apa?” Haidar berminat ingin tahu.
“Tak ada apa.” Zulaikha menggeleng perlahan.
Haidar hanya memandang. Dia berkira-kira dalam hati. Perlukah dia memberitahu Zulaikha tentang Iris Eryna?
“Ika!” panggil Haidar kemudian.
Zulaikha memandang Haidar. Dia memberi sepenuh perhatian kepada pemuda itu.
“Saya dah jumpa dengan dia,” beritahu Haidar dalam nada tenang.
“Dah jumpa?” ulang Zulaikha sedikit terkejut.
Haidar mengangguk perlahan. Ada baiknya dia memberitahu Zulaikha kerana gadis itu sudah lama mengetahui tentang pencariannya.
Zulaikha masih lagi terkejut. Benarkah Haidar sudah berjumpa dengan gadis yang dicarinya selama ini? Jika benar, siapa gadis itu?


ZULAIKHA menyandarkan tubuh ke kepala katil. Seharian bekerja begitu memenatkan. Fikirannya sedikit terganggu. Perkhabaran yang diberitahu oleh Haidar sedikit mengejutkan. Iris Eryna, gadis yang dicari Haidar selama ini.
Zulaikha menarik nafas lalu melepaskannya lembut. Kata-kata Haidar terngiang-ngiang di cuping telinga. Kata-kata yang sedikit menyentapkan hatinya. Haidar berjanji kepada dirinya sendiri untuk menjaga Iris. Haidar juga tidak mahu Iris pergi buat kali yang kedua. Cukuplah selama 10 tahun Haidar mencari Iris dan pemuda itu tidak mahu mencari lagi.
Begitu bertuahnya gadis yang bernama Iris Eryna. Rasa cemburu terhadap Iris menyelinap masuk ke dalam hati. Iris Eryna memiliki segala-galanya.
Deringan telefon mematikan lamunan pendek Zulaikha. Dia mencapai telefon bimbit lalu menatap nama di skrin. Nama Haidar tertera di situ.
“Kenapa, awak?” tanyanya sebaik sahaja salam bersambut.
“Esok awak free tak?” tanya Haidar pula.
“Esok?” ulang Zulaikha sambil mencongak berfikir.
Haidar menanti jawapan Zulaikha.
Free, kenapa?” Zulaikha bersuara.
“Kalau macam tu, saya jumpa awak di tempat biasa. Lunch hour. Okey?” beritahu Haidar lalu mematikan talian.
“Awak? Haidar?” Zulaikha memanggil. Pelik dengan tingkah laku Haidar.
Apa yang tidak kena dengan Haidar? Kenapa Haidar mengajaknya berjumpa? Pelbagai persoalan meniti di minda waktu ini.
“Tunggu esok sajalah. Apa yang Haidar nak beritahu aku,” putus Zulaikha. Mematikan persoalan yang sedang berlegar-legar di mindanya itu.


“BALIK kampung?” ulang Hanif dalam nada sinis.
“Ayah minta kita balik kampung dalam minggu ni juga,” beritahu Haidar dalam nada tenang. Telinganya disapa dengan dengusan Hanif.
“Kau sajalah yang balik. Aku tak nak,” balas Hanif berserta dengusan ringan.
“Nif, ayah….”
“Kau faham Bahasa Melayu, kan?” pintas Hanif, laju.
“Nif, ayah minta kita balik. Mesti ada perkara yang ayah nak bincangkan dengan kita berdua.” Haidar mengeluh ringan.
So, tak kan ayah tak boleh nak balik sini?” Hanif tidak berpuas hati.
“Nif, ayah kan dah tua. Tak kan nak suruh ayah ke sini? Kita la yang patut ke sana.” Haidar menegur. Dia menggeleng dengan perangai Hanif yang masih tidak berubah.
“Kalau macam tu, kau sajalah yang balik. Aku malas!” putus Hanif.
Haidar masih lagi menggelengkan kepala. Hanif sukar untuk ditegur dan menerima teguran. Bagaimana untuk menyedarkan Hanif dari sikap dan perangainya yang angkuh itu?
“Aku dah lama tak jejakkan kaki aku di sana. Sekarang kau nak suruh aku ke sana pulak?”
“Apa salahnya kali ni kau jejakkan kaki kau ke sana. Demi memenuhi permintaan ayah.”
“Haidar! Kau nak aku cakap dalam bahasa apa? English? Kau lebih ‘terror’ dari aku. Mandarin? Tamil? Atau Bangla?” Sinis Hanif berkata. Haidar tidak faham bahasa! Rengusnya dalam hati.
Haidar hanya mendengar. Tidak berniat untuk membalas. Jika dia membalas, pasti ada sahaja jawapan yang diberikan oleh adiknya itu. Semakin sukar untuk menegur Hanif.
“Lagi satu, yang kau nak jumpa dengan aku esok, kenapa? Kau dah buang tabiat ke apa? Tak pernah-pernah ajak aku jumpa. Tiba-tiba, ajak. Kau nak bagi projek pada aku ke?” Hanif bertanya. Terasa pelik tatkala Haidar ingin berjumpa dengannya
“Aku nak kenalkan kau dengan seseorang.”
Hanif berkerut dahi. Kenalkan dengan seseorang? Semakin pelik Hanif rasakan terhadap Haidar. Belum pernah lagi Haidar berniat begitu.
“Kenalkan aku dengan seseorang? Siapa?”
“Kawan lama kita.”
“Siapa?”
“Aku tunggu kau esok. Jangan lewat!” pesan Haidar lalu mematikan talian.
“Haidar! Haidar!” Hanif memanggil. Namun, panggilan sudah dimatikan.
“Hish! Dengan siapa pulak dia nak kenalkan aku ni? Buang tabiat betul!” rengus Hanif, keras. Haidar sengaja hendak menyusahkannya.
“Kawan lama kita?” ulang Hanif tatkala ayat itu meniti di minda semula.


“KAU nak aku temankan kau pergi ke, Iris?” tanya Zakry dari hujung talian.
“Kalau kau free. Kalau kau tak free, tak apalah,” jawab Iris. Jauh di sudut hati, dia memerlukan Zakry ketika itu nanti.
“Demi kau tak ada istilah sibuk, Iris.” Zakry berterus-terang. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi Iris.
Iris yang mendengar berasa terharu. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Zakry untuknya. Bagaimana untuk dia membalas kesemuanya nanti?
“Aku nak tahu juga siapa Hanif, adik Haidar tu. Adakah Hanif, musuh kau sekarang ni atau bukan?”
Iris tidak membalas. Dia turut merasakan yang sama. Hanif Qairin, musuhnya selama ini merupakan adik Haidar.
“Kalau betul Hanif tu adik Haidar, kau nak buat apa, Iris?” Zakry sekadar bertanya. Sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Aku tak tahu, Zack. Aku tak boleh nak fikir sekarang ni,” jujur Iris.
Sungguh, dia tidak boleh berfikir ketika ini. Dia juga tidak tahu apa yang perlu dibuat sekiranya Hanif itu adalah adik Haidar. Lelaki yang membencinya selama ini.
“Iris!” Zakry memanggil.
“Apa dia, Zack?” balas Iris berserta nafas ringan.
“Kau janganlah risau. Aku kan ada.”
“Aku tahu, Zack. Cuma sekarang ni aku masih belum jumpa dengan family aku.”
Zakry sedikit tersentak. Hampir dia terlupa dengan keluarga Iris.
“Uncle Jamil masih belum jumpa dengan mereka, Zack,” beritahu Iris dalam nada sebak.
“Iris…. Iris….” Zakry memanggil.
Iris tidak membalas. Rasa sebak menghuni di hati.
“In shaa Allah, kau akan jumpa dengan mereka. Banyakkan berdoa pada Dia.” Zakry cuba menenangkan hati dan perasaan Iris. Jika dia di tempat Iris, dia turut akan merasai dengan apa yang Iris rasai sekarang ini.
“Aku berharap sangat dapat berjumpa dengan mereka, Zack,” balas Iris, berharap.
“Doa, usaha dan tawakal. Kau pasti akan berjumpa dengan mereka,” kata Zakry memberi semangat kepada Iris.
Iris mengangguk lemah. Dia berdoa agar diberi kesempatan untuk berjumpa dengan keluarganya suatu hari nanti. Semoga Encik Jamil dapat mencari keluarganya juga.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan