Sabtu, 18 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 25








HAIDAR mencuri pandang ke wajah Iris. Lama dia tidak bertingkah laku sebegitu. Kali terakhir sewaktu di bangku sekolah dahulu. Sewaktu Iris menjamu selera di kantin sekolah. Dia tersenyum tatkala mengingati kisah lama. Rasa rindu dengan kenangan itu. Masih segar di ingatan pertemuan pertama mereka berdua.
Haidar membetulkan duduk. Dia masih memandang Iris yang sedang leka termenung. Diamati raut wajah itu penuh minat. Berbeza sama sekali dengan Iris yang dikenalinya dulu. Iris yang berada di hadapannya kini seorang gadis yang ayu, cantik dan bertudung. Sejuk matanya memandang Iris Eryna.
Iris perasan akan pandangan Haidar. Namun, dia cuba untuk berlagak tenang walaupun dalam hatinya hanya tuhan sahaja yang tahu. Dia juga berasa berdebar. Persoalan siapa adik Haidar masih belum terjawab. Adakah Hanif Qairin, musuh utamanya atau orang lain?
Nafas ditarik lalu melepaskannya berat. Jika benar Hanif orangnya, apa yang harus dilakukannya selepas itu? Perlukah dia berpura-pura tidak mengenali atau menarik diri terus dari projek yang melibatkan Hanif? Hanya dua pilihan yang dia ada.
Jika dia memilih untuk menarik diri, apa kata Dato Rashid? Pasti ayah angkatnya itu berasa kecewa dengannya. Dia juga akan berasa serba salah jika dia berbuat begitu. Sukar untuknya membuat keputusan. Hanya kepada Allah, dia berserah segala-galanya.
“Doktor!” Iris memanggil. Dia memandang ke wajah Haidar buat seketika.
Haidar yang mendengar segera menoleh.
“Lama lagi ke?” tanya Iris ingin tahu.
Haidar mengerling jam di pergelangan tangan. Hampir satu jam dia menunggu Hanif, namun kelibat adiknya tidak juga muncul-muncul. Sudah beberapa kali dia mengingatkan Hanif tentang pertemuan hari ini.
“Doktor!” Untuk kali kedua Iris memanggil. Doktor muda itu sekadar memandang tanpa membalas.
“Kalau lama lagi, saya minta diri dulu. Lain kali la saya jumpa dengan adik doktor tu,” putus Iris. Agak lama dia menanti di restoran itu.
Haidar tidak membalas. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Ada baiknya dia menelefon Hanif. Bertanyakan di mana adiknya itu berada ketika ini.
Iris mengeluh berat. Dia memandang tingkah laku Haidar yang sedang menelefon. Pasti Haidar menelefon adiknya. Berapa lama lagi dia perlu menanti di situ?
“Okey!” suara Haidar lalu mematikan talian. Dia memandang ke wajah Iris.
Iris membalas pandangan. Menanti butir bicara daripada Haidar.
On the way. Dalam setengah jam lagi dia sampai. Sorry, Iris. Saya dah menyusahkan awak,” sambung Haidar dalam nada bersalah.
“Tak apa. Tak menyusahkan. Cuma kalau lewat lebih dari 30 minit tu, saya terpaksa pergi. Saya ada hal,” beritahu Iris, tenang.
“In shaa Allah, saya tak ambil masa yang lama. Cukuplah Iris berkenalan dengan adik saya tu,” kata Haidar memberi jaminan buat Iris.
Iris mengangguk perlahan. Mungkin ada baiknya dia menanti kedatangan adik Haidar. Dia juga ingin mengetahui siapa adik Haidar yang sebenarnya.
“Iris!” Haidar memanggil.
“Ya, doktor!” Iris membalas. Dia memandang ke wajah Haidar.
“Awak berasal dari mana?” Haidar bertanya. Sekadar ingin tahu.
Iris menelan air liur. Kelat! Apa jawapan yang harus diberikan kepada Haidar?
“Awak memang berasal dari sini ke?” Haidar masih bertanya. Sengaja dia bertanya walaupun dia sudah pun mengenali siapa Iris yang sebenarnya.
Iris membisu. Dia membuang pandang ke luar restoran. Dia berkira-kira dalam hati. Perlukah dia menjawab segala pertanyaan Haidar?
“Wajah awak mengingatkan saya pada seseorang,” tambah Haidar lagi.
Iris yang mendengar menoleh ke wajah Haidar.
“Seseorang yang amat saya rindui selama ini. Dia pembakar semangat bagi saya untuk teruskan kehidupan saya satu ketika dulu.” Haidar sekadar meluah. Dia tersenyum kepada Iris.
Iris masih membisu. Kata-kata Haidar terngiang-ngiang di cuping telinga. Matanya memandang wajah tersenyum Haidar.
“Awak berasal dari mana, Iris?” Haidar mengulangi pertanyaannya yang tadi. Dia menanti jawapan daripada Iris.
Iris yang baru hendak bersuara mematikan niat tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Lantas, dia mengeluarkan telefon dari dalam poket seluar jeans lalu menatap nama di skrin. Zack! Detik hatinya. Disebabkan kerja, Zakry terpaksa membatalkan niat untuk menemaninya berjumpa dengan Haidar.
“Saya jawab call ni sekejap,” suara Iris meminta keizinan.
Haidar sekadar mengangguk. Dia memandang tingkah laku Iris yang sedang bangun dari duduk dan berlalu dari situ. Nafas ditarik lalu dilepaskan ringan.
“Mana kau, Hanif. Aku harap sangat kau datang jumpa dengan Iris,” keluh Haidar sendirian. Jam di pergelangan tangan dipandang lagi. Masa sudah melewati 20 minit. Bayang Hanif tidak juga muncul-muncul.


“BELUM!” balas Iris berserta keluhan ringan.
“Belum? Dah nak sejam setengah kau jumpa dengan Haidar. Tak kan adik dia tak sampai lagi?” kata Zakry sedikit terkejut.
“Katanya jalan sesak.”
“Betul ke sesak? Atau alasan saja tak nak datang jumpa dengan kau?”
“Entahlah Zack. Fikiran aku serabut sekarang ni. Hati aku tak tenang. Berdebar-debar,” balas Iris masih mengeluh.
Zakry tidak membalas. Keluhan Iris menyapa gegendang telinga.
“Kata-kata Haidar….”
“Haidar kata apa pada kau?”
“Dia kata, aku mengingatkan dia pada seseorang. Dia juga kata yang dia rindukan orang tersebut.”
“Maksud ‘seseorang’ tu adalah kau. Betul?”
“Ya, Zack!”
Zakry mengangguk perlahan.
“Aku dapat rasakan yang Hanif Qairin adik Haidar. Lelaki yang membenci aku dari dulu sehingga ke hari ini,” luah Iris pula.
“Secara logiknya, aku pun fikir macam tu juga Iris. Tapi, selagi kau tak nampak dengan mata kepala kau sendiri, kau tak boleh buat kesimpulan yang Hanif Qairin tu adalah adik Haidar.” Zakry memberi pendapat.
Iris berfikir sejenak. Mungkin ada benarnya kata-kata Zakry itu. Selagi dia tidak melihat dengan mata kepalanya sendiri, dia tidak boleh membuat sebarang kesimpulan.
“Kau nak aku ke sana?” Zakry menawarkan diri.
“Eh! Tak apalah Zack. Kau siapkan kerja kau tu dulu. Customer kau lebih penting dari masalah aku,” tegah Iris dalam nada serius.
“Kau pun penting bagi aku, Iris,” jujur Zakry.
Iris hanya mendengar. Ya, dia tahu. Zakry lebih pentingkan dirinya daripada kerja. Tetapi, sampai bila dia harus bergantung dengan Zakry? Sampai bila dia perlu menyusahkan Zakry dalam masalahnya itu?
“Aku tak nak kau bersedih lagi. Aku tak nak kau berasa bersalah atas apa yang berlaku selama ini. Semua tu dah ditentukan oleh Allah buat kau.” Zakry sekadar menasihat. Selebihnya bergantung kepada Iris.
“Aku tahu, Zack. In shaa Allah, aku tak akan bersedih lagi. Perasaan tu dah lama hilang dari hidup aku.”
Zakry menarik nafas lega. Sudah lama dia berkawan dengan Iris. Segala masalah Iris, diketahuinya. Malah, dia turut sama membantu Iris dalam menyelesaikan masalah.
“Iris!” Zakry memanggil.
Iris tidak membalas. Matanya terpahat ke susuk tubuh seorang lelaki yang sedang melangkah menuju ke restoran. Lelaki yang amat dikenalinya. Tanpa berlengah, perlahan-lahan dia melangkah menuju ke restoran semula.
Sungguh, hatinya berdebar-debar ketika ini. Matanya tidak lepas memandang langkah pemuda itu. Seminit kemudian, dilihatnya pemuda itu menghampiri seseorang di sebuah meja. Semakin pantas jantungnya berdegup. Adakah kebenaran bakal terjawab sebentar lagi?
“Hanif Qairin!” sebut Iris, berbisik sebaik sahaja pemuda itu menghampiri Haidar.


“MANA dia?” Hanif bertanya. Hampir 10 minit dia menanti di situ.
Haidar mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah melepasi 10 minit. Namun, kelibat Iris tidak juga muncul.
“Kau kata tadi dia jawab call. Tak kan lama sangat dia sembang?”
“Mungkin ada hal penting. Mana kita nak tahu, kan?”
Hanif merengus. Buang masa! Bentak hatinya.
“Aku call dia sekejap.”
Hanif tidak membalas. Dia berpeluk tubuh sambil memandang tingkah laku Haidar yang sedang mendail.
Haidar mendail nombor Iris. Berkali dia mendailnya tetapi tidak berjawab. Suara operator menyapa gegendang telinga. Keluhan ringan dilepaskan.
So?” Hanif mengangkat kening.
“Tak dapat contact. Maybe bateri dia ‘kong’.”
“Huh!”
“Kita tunggu 10 minit lagi. Mana tahu kan dia datang sini balik,” cadang Haidar. Berharap, Hanif bersetuju dengan cadangannya itu.
Hanif berfikir sejenak. Perlukah dia bersetuju dengan cadangan Haidar? Jauh di sudut hati, dia juga ingin tahu dan kenal, siapa kawan lama yang dimaksudkan oleh Haidar.
“Boleh tak?” Haidar mencuba.
“Okey! 10 minit saja. Kalau lebih dari 10 minit, aku ‘blah’,” putus Hanif setelah berfikir. Mungkin ada baiknya dia bersetuju dengan cadangan Haidar.
Haidar melepaskan nafas lega. Bersyukur kerana Hanif bersetuju dengan cadangannya.
“Sebenarnya, siapa kawan lama yang kau maksudkan tu? Aku kenal ke?” Hanif bertanya. Persoalan itu yang sedang meniti di minda.
Haidar tidak membalas. Dia berkira-kira dalam hati untuk menjawab.
“Lelaki atau perempuan?” Hanif masih lagi bertanya. Wajah Haidar di hadapan dipandang. Menunggu jawapan daripada abangnya itu.
“Kawan sekolah kita dulu. Perempuan!” balas Haidar dalam nada tenang. Pandangan Hanif dibalas tanpa berkelip.
Hanif berkerut dahi. Perempuan? Kawan sekolah? Siapa yang dimaksudkan oleh Haidar itu? Dia mengerahkan otak supaya berfikir. Mencari kebarangkalian perempuan yang dikenalinya ketika sekolah dahulu. Sungguh, dia tidak dapat berfikir saat ini.
“Cuma ‘dia’ saja yang aku tak akan lupa sampai ke hari ini. Mungkinkah….”
Hanif mematikan ayat. Dia menoleh ke wajah Haidar yang sedang memandang telefon bimbit di tangan.
“Dia?” sebut Hanif kemudian.


IRIS cuba memberi sepenuh perhatian kepada pemanduan. Fikirannya serabut. Kebenaran yang diketahui sungguh mengejutkan. Tidak menyangka yang Hanif Qairin adalah adik Haidar Qairen. Pemuda yang begitu membencinya selama ini.
“Apa yang perlu aku buat sekarang ni?”
Iris bertanya kepada dirinya sendiri. Dia buntu. Lantas, dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Nafas ditarik lalu dilepaskan berat sambil meraup wajah.
“Dia masih membenci aku,” suara Iris lagi.
Itulah hakikat yang sebenarnya. Walaupun Hanif belum mengenali siapa dirinya yang sebenar, pemuda itu tetap membencinya. Tetap musuhnya.
Iris mencapai telefon bimbit dari dalam beg tangan lalu menghidupkannya. Sengaja dia mematikan telefon bimbit kerana dia yakin, Haidar pasti akan menelefonnya. Dia menatap skrin telefon. Berbelas panggilan masuk daripada Haidar berserta pesanan ringkas.
“Maafkan saya, Haidar. Saya belum bersedia untuk berhadapan dengan Hanif,” luah Iris dalam nada sebak.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan