Isnin, 20 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 26







“KENAPA, Iris? Kenapa dengan tiba-tiba Iris nak tarik diri dalam kesemua projek yang melibatkan Hanif?” Dato Rashid bertanya. Dia berkerut dahi mendengar permintaan Iris. Kenapa dengan tiba-tiba Iris ingin menarik diri? Apa yang telah berlaku kepada Iris?
Iris hanya membisu. Dia memikirkan alasan yang munasabah untuk diberikan kepada Dato Rashid.
“Kenapa, Iris?” Dato Rashid masih lagi bertanya. Wajah Iris di hadapan dipandang.
Iris menghela nafas berat. Mungkin ada baiknya dia berterus-terang kepada Dato Rashid duduk perkara yang sebenar.
Why?” Untuk kali yang ketiga Dato Rashid bertanya. Menanti jawapan daripada Iris.
Iris msih menunduk. Dia meramas-ramas jemari sendiri.
“Hari tu Iris ada beritahu uncle yang Iris dah jumpa dengan dia. Betul ke?” Dato Rashid bertanya. Hampir dia terlupa untuk bertanya dengan Iris tentang perkara itu.
“Ya, uncle. Iris dah jumpa dengan dia,” adu Iris dalam nada perlahan. Kepala mengangguk lemah.
Dato Rashid yang mendengar membetulkan duduk.
“Iris dah jumpa dengan dia, uncle,” ulang Iris semula. Dia memandang kaki sendiri.
“Doktor Haidar? Betul ke?” Dato Rashid bertanya. Ingin tahu.
“Ya, uncle! Doktor Haidar!” sebut Iris seraya mengangkat wajah.
Dato Rashid menyandarkan tubuh. Cermin mata ditanggalkan lalu meraup wajah. Doktor Haidar? Sebutnya dalam hati. Adakah doktor yang telah merawat Iris beberapa minggu yang lepas, doktor yang dimaksudkan oleh Iris itu?
“Doktor yang merawat Iris tempoh hari,” beritahu Iris melihatkan wajah berkerut Dato Rashid. Pasti ayah angkatnya itu sedang cuba mengingati siapa Haidar.
Dato Rashid cuba mengingati raut wajah Haidar. Jika dia tidak silap, hanya sekali sahaja dia bertemu dengan Haidar. Sewaktu dia terserempak dengan Iris di sebuah restoran.
Uncle dah ingat.” Dato Rashid berkata selepas mengingatinya.
“Ya, uncle. Dia la yang selama ni Iris cari. Selama 10 tahun ni.”
So, Iris dah beritahu dia siapa Iris yang sebenarnya?”
“Belum uncle. Kalau boleh, Iris tak nak dia tahu siapa Iris yang sebenarnya.”
“Kenapa?”
“Iris tak nak ingat kenangan lama, uncle. Cukuplah dengan apa yang Iris alami sebelum ni. Iris tak nak berulang kembali.”
Dato Rashid mengangguk perlahan. Jika dia di tempat Iris, mungkin dia juga akan bertindak seperti Iris.
“Tapi, apa kena-mengena dengan Hanif?” Dato Rashid bertanya tatkala permintaan Iris meniti di minda.
“Hanif?” Iris berbisik. Wajah Hanif menyapa mata ketika ini.
“Iris jangan beritahu uncle yang Hanif adalah adik Haidar,” tebak Dato Rashid. Wajah Iris ditatap meminta kepastian.
Iris membalas pandangan Dato Rashid. Perlahan-lahan kepala diangguk. Mengiakan tebakan Dato Rashid. Nafas berat dilepaskan untuk kesekian kali.
“Kalau macam tu, baiklah!” putus Dato Rashid sebaik sahaja melihat anggukan Iris.
“Iris minta maaf, uncle. Iris….”
“Tak apa, Iris. Uncle faham,” pintas Dato Rashid berserta senyuman di bibir.
Iris tersenyum hambar. Rasa bersalah mengepung diri. Bersalah kerana telah mengecewakan Dato Rashid. Adakah dia seorang yang pentingkan diri sendiri?


“DIA dah lama tak datang check up, Doktor Haidar,” beritahu Doktor Nasir sambil duduk di kerusi.
Haidar mengangguk perlahan. Diakui kata-kata Doktor Nasir. Dia sudah pun meneliti fail pesakit.
“Kali terakhir 2 tahun yang lepas. Haidar mesti dah baca laporan kesihatan Iris, kan?” Doktor Nasir bertanya. Dia memandang Haidar di hadapan.
“Sudah doktor! Saya dah baca laporan kesihatan Iris.” Haidar menganggukkan kepala. Nafas ringan dilepaskan.
“Kalau boleh, minta Iris datang buat pemeriksaan kesihatan.”
“In shaa Allah, Doktor Nasir. Saya akan cuba minta Iris datang buat pemeriksaan semula.”
Doktor Nasir mengangguk perlahan. Wajah Iris menyapa mata. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan Iris. Gadis yang diangkat oleh Dato Rashid sebagai anaknya sendiri. Masih teringat akan pertemuan pertama itu.
“Doktor Nasir!” Haidar memanggil.
“Maaf, Haidar. Saya terkenang pertemuan pertama saya dengan Iris.” Doktor Nasir membetulkan duduk.
“Pertemuan pertama doktor dengan Iris?” ulang Haidar berserta kerutan di dahi.
“Ya, Haidar. Saya berjumpa dengan Iris, beberapa tahun yang lepas. Dato Rashid yang membawa Iris berjumpa dengan saya sewaktu Iris demam panas dulu.”
Haidar hanya mendengar. Dato Rashid! Hatinya menyebut nama itu. Mustahil dia tidak mengenali Dato Rashid, ayah angkat Iris. Gadis itu sendiri yang memperkenalkannya dengan Dato Rashid.
“Saya rakan baik Dato Rashid. Dari universiti lagi. Segala hal tentang dato, saya turut sama mengetahuinya. Bukan semua hal dato bercerita. Certain cerita saja dato berkongsi dengan saya termasuk tentang Iris.”
Haidar masih mendengar. Dia memberi sepenuh perhatian kepada Doktor Nasir. Dia juga ingin tahu apa yang berlaku kepada Iris selama 10 tahun ini.
“Dato terjumpa dengan Iris sewaktu Iris cuba untuk bunuh diri. Mereka bawa Iris balik dan dijadikan anak angkat. Mereka sekolahkan Iris sehingga ke universiti dan kini Iris bekerja di syarikat dato.” Doktor Nasir memulakan cerita. Itulah yang diceritakan oleh Dato Rashid kepadanya beberapa tahun yang lepas.
Haidar sedikit terkejut. Bunuh diri?
“Iris mengalami kemalangan 10 tahun yang lalu dan kaki Iris terpaksa dipotong akibat kecederaan yang serius. Dato belikan kaki palsu buat Iris,” sambung Doktor Nasir.
Haidar hanya mendengar. Tentang kaki Iris sudah diketahuinya selepas membaca laporan kesihatan Iris. Apa yang menjadi persoalannya, kenapa Iris cuba untuk membunuh diri? Apa sebenarnya yang berlaku kepada Iris sewaktu dia lumpuh dahulu?
“Iris disahkan mengalami sakit jantung berlubang dan dikesan pada usia 16 tahun. Sejak dari itu, Iris menjalani rawatan sehingga meningkat dewasa. Cuma sejak 2 tahun kebelakangan ini, Iris tidak datang berjumpa dengan saya.” Doktor Nasir berterus-terang.
“Doktor tak contact Iris?” Haidar bertanya. Sekadar ingin tahu.
“Ada. Tapi, Iris menolak untuk berjumpa. Pelbagai alasan yang Iris berikan. Sibuk dengan kerja. Outstation dan lain-lain lagi.”
Haidar mengangguk faham.
“Dato tahu tentang penyakit Iris?”
“Tak tahu. Iris minta saya rahsiakan dari dato sebab Iris tak nak menyusahkan dato. Iris datang buat rawatan pun secara senyap tanpa pengetahuan dato.”
Haidar tidak membalas. Otaknya dikerah untuk berfikir.
“Saya harap, awak dapat selesaikan kes ni. Saya khuatir penyakit Iris bertambah teruk,” kata Doktor Nasir, berharap.
“In sha Allah, Doktor Nasir. Saya akan cuba yang terbaik untuk selesaikan kes ni. Saya akan pastikan Iris menerima rawatan yang sepatutnya,” balas Haidar penuh yakin.
Doktor Nasir mengangguk berserta senyuman di bibir. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar Iris dapat menjalani rawatan seperti biasa. Malah, penyakit Iris dapat dirawat secepat mungkin. Khuatir akan memudaratkan diri Iris.


“KAU busy ke?” Aidil bertanya. Dia melabuhkan duduk di  kerusi. Berhadapan Hanif.
“Tak ada. Kenapa?” balas Hanif berserta nafas berat.
“Jom lunch!” ajak Aidil pula.
Hanif mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke angka 1.00 petang. Agak lama dia termenung. Memikirkan dengan apa yang terjadi.
“Nif!” Aidil menegur. Dari tadi dia melihat Hanif seakan termenung. Apa yang dimenungkan oleh Hanif?
“Kau cakap apa tadi?” Hanif pula bertanya. Dia memandang ke wajah Aidil.
“Aku tanya kau, nak keluar lunch tak?” ulang Aidil dalam nada keras.
Hanif mengangguk. Dia termenung seketika. Perkhabaran yang baru diterima sedikit mengejutkan.
“Hanif Qairin!” Aidil mendengus kasar. Hanif leka dalam tenungan.
“Dia tarik diri,” ujar Hanif dalam nada perlahan.
“Tarik diri? Siapa?” tanya Aidil berserta kerutan di dahi.
“Minah tu!” jawab Hanif berserta nafas ringan.
“Minah tu? Minah mana pulak?”
“Minah tu la. Tak kan kau tak kenal?”
“Aku tahu la minah tu. Tapi, yang mana satu. Kau kan ramai minah.” Aidil sengaja bertanya. Bukannya dia tidak tahu siapa yang dimaksudkan oleh Hanif itu.
“Kau…” Hanif mendengus kasar.
Aidil ketawa besar. Geli hati melihat riak di wajah Hanif.
“Minah tu memang sengaja nak cari pasal dengan aku. Dia tarik diri dalam kesemua projek yang melibatkan aku,” rengus Hanif, kasar.
Aidil mematikan ketawa. Dia terkejut mendengar kata-kata Hanif.
“Aku tak tahu apa masalah perempuan tu. Hari tu dia tarik diri juga tapi aku paksa dia balik kerjasama dengan aku. Sekarang ni? Haishh!!! Sakit hati aku memikirkan perempuan tu,” luah Hanif tidak berpuas hati. Melepaskan kemarahan di hadapan Aidil.
“Hai, Nif. Kau fikirkan pasal dia siang malam ke?” Aidil bertanya sambil mengangkat kening. Wajah Hanif di hadapan dipandang penuh minat.
“Kau jangan nak sakitkan hati aku, Dil. Aku tengah bengang ni. Apa masalah perempuan tu sebenarnya? Suka hati dia saja nak buat keputusan,” bengang Hanif tidak tertahan. Dia membalas pandangan Aidil dengan pandangan yang tajam.
“Okey! Okey! Aku minta maaf. Cuba kau jelaskan pada aku apa yang sebenarnya terjadi?” Aidil mengalah. Gerun pula dia melihat pandangan tajam Hanif. Kawannya itu terlalu sensitif dan tidak boleh dibawa bergurau.
“Minah tu tarik diri dalam kesemua projek yang melibatkan kita. Bila aku tanya Dato Rashid, dia tak bagi jawapan. Dia just beritahu aku yang Iris perlu selesaikan projek lain dengan kadar segera,” jelas Hanif dalam nada tenang.
Aidil tidak membalas. Otaknya dikerah berfikir.
“Aku tak tahu apa masalah perempuan tu. Waras ke tak waras? Suka hati saja nak tarik diri. Dia ingat aku ni apa? Tak ada maruah? Tak ada kerja nak layan perangai dia yang entah apa-apa tu,” bebel Hanif pula. Semakin sakit hatinya memikirkan tentang Iris.
“Yang kau emo sangat ni, kenapa? Dah dia tak nak, nak buat macam mana. Bukannya tak ada orang lain gantikan dia,” tegur Aidil sambil menggelengkan kepala.
“Aku bukannya emo. Aku… Aku….” Hanif termati kata-kata.
“Aku apa, Nif?” tanya Aidil berserta kerutan di dahi.
Hanif tidak membalas. Dia mencari jawapan yang sesuai.
“Nif, kau…..”
“Mana ada aku jatuh cinta dengan dia!” Hanif memotong kata-kata Aidil. Pasti itu yang bakal dikatakan oleh Aidil.
“Aku tak kata pun kau jatuh cinta dengan dia. Aku cuma nak tanya, kau balik kampung ke tidak?” bidas Aidil berserta ketawa. Geli hati melihat riak di wajah Hanif.
Hanif menghela nafas ringan. Dia tersalah sangka.
“Kau ni, cuba la berfikiran positif sikit. Ini tidak, asyik nak fikir negatif saja. Mungkin betul apa yang Dato Rashid cakapkan. Mungkin dato ada projek lain yang memerlukan Iris untuk menyelesaikan projek tersebut. Orang business ni fikirannya lain. Mereka lebihkan untung daripada perasaan,” terang Aidil sekadar menduga.
Hanif hanya mendengar. Cuba untuk merencanakan kata-kata Aidil. Mungkin ada benarnya pendapat Aidil itu. Iris diperlukan dalam projek yang lebih menguntungkan. Nafas ditarik lalu dilepaskan lembut.
“Kau balik kampung tak?” Aidil bertanya kepada persoalannya yang tadi.
“Balik kampung?” Hanif berkerut dahi.
“Ayah kau kan minta kau dan Haidar balik kampung dalam minggu ni. Kau ni, Nif. Apa yang kau fikirkan selama ni?” Aidil menegur. Kawannya itu seringkali terlupa.
“Entah! Aku tak tahu,” balas Hanif sambil menjungkitkan bahu.
“Tak tahu?” ulang Aidil kurang senang.
Hanif tidak membalas. Dia memandang fail di hadapan dengan pandangan yang kosong. Permintaan Encik Qamarul berlegar-legar di minda. Perlukah dia memenuhi permintaan ayahnya itu?
“Baliklah! Mesti ada perkara penting yang ayah kau nak bincangkan dengan kau dan Haidar. Sekali sekala, jejakkan kaki kau ke sana,” suara Aidil berserta gelengan kecil. Hanif akan menolak selagi boleh.
“Tengoklah nanti,” putus Hanif lalu mengemas fail di atas meja.
Aidil memandang. Itulah jawapan yang sering diberikan oleh Hanif tatkala diminta untuk pulang ke kampung.
“Jomlah kita lunch,” ajak Aidil selepas itu. Malas untuk membincangkan perkara itu lagi. Hanif tetap dengan keputusan dan pendiriannya.
Hanif hanya mengangguk. Dia segera bangun dari duduk sebaik sahaja fail dikemas. Mungkin belum tiba masanya untuk dia menjejakkan kaki ke kampung.
“Bila tiba masanya nanti aku akan balik, Aidil,” bisik Hanif kepada dirinya sendiri.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan