Rabu, 7 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Prolog


PROLOG

“Kau perempuan tak guna! Pembunuh! Pergi kau dari sini! Aku tak nak tengok muka kau kat sini. Kau bunuh anak aku! Kau bunuh dia!” tengking Datin Salina meninggi. Matanya merenung tajam ke muka Nur Ain Zafira.
“Sabar Sal, bawa mengucap. Awak tahu tak kita ni kat mana sekarang, kat kubur. Kawal sikit emosi awak tu,” nasihat Dato’ Ridzuan lembut sambil cuba menyabarkan Datin Salina.
“Abang nak suruh saya bersabar? Abang tahu tak perempuan ni dah bunuh anak kita. Kalau bukan disebabkan dia, anak kita takkan mati. Kalau bukan disebabkan dia juga, anak kita takkan kemalangan,” jerkah Datin Salina pula.
“Ya ALLAH Sal. Soal hidup atau mati semua tu urusan ALLAH. Kita sebagai umat-NYA kena redha dan terimanya dengan ikhlas. Awak tak boleh nak salahkan takdir.”
“Abang jangan nak mengajar saya. Perempuan ni memang pembawa malang! Pembunuh!” jerit Datin Salina masih tidak berpuas hati.
Lantas dia melangkah ke arah Nur Ain yang sedang menunduk menahan rasa di hati. Jika diikutkan hatinya yang sedang panas, ingin saja dia membunuh Nur Ain ketika itu. Benci melihat wajah di hadapannya sekarang.
“Aku tak nak tengok muka kau. Aku benci! Aku haramkan kaki kau melawat kubur anak aku. Kalau bukan disebabkan kau, anak aku takkan mati. Kalau bukan disebabkan anak aku, tak ingin aku bermenantukan kau. Perempuan tak guna!” marah Datin Salina sambil menunjal kepala Nur Ain. Melepaskan kemarahan pada gadis itu.
Nur Ain hanya membiarkan sahaja perilaku Datin Salina terhadapnya. Tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Rasa sedih di atas kematian Hazrul masih lagi bersisa. Sungguh tidak menyangka begitu awal Hazrul pergi meninggalkannya. Jika bukan atas desakan meminta Hazrul berjumpa dengannya pada malam itu, tidak mungkin Hazrul akan mengalami kemalangan sekali gus meragut nyawa Hazrul. Tetapi Nur Ain tidak boleh menyalahkan takdir. Sudah tertulis Hazrul akan pergi terlalu awal darinya.
Nur Ain menahan esakan tangisan. Sudah pastilah Datin Salina bertambah membenci dirinya. Sudahlah hubungannya dengan Hazrul mendapat tentangan hebat dari Datin Salina, malah niat Hazrul untuk meminangnya turut dibangkang hebat oleh Datin Salina. Bagi Datin Salina, Nur Ain tidak layak untuk dijadikan menantunya. Nur Ain tidak layak buat anak lelakinya. Nur Ain tidak layak untuk mana-mana lelaki di dalam dunia ini. Ini kerana Nur Ain bukanlah seorang yang kaya, cantik mahupun berpelajaran tinggi. Nur Ain hanya seorang gadis kampung yang hanya berpelajaran setakat SPM, bertudung, berbaju kurung dan tidak cantik. Serta parut yang berada di dahi Nur Ain menampakkan lagi kekurangan pada dirinya itu. Kesan parut ketika dia mengalami kemalangan sewaktu kecil dahulu.
“Sudahlah Sal. Budak tu tak bersalah. ALLAH lebih sayangkan Hazrul daripada kita. Banyak-banyaklah berdoa buat arwah anak kita,” nasihat Dato’ Ridzuan lembut sambil menarik tangan Datin Salina daripada menunjal kepala Nur Ain.
Datin Salina memberhentikan tingkahnya. Di bahu Dato’ Ridzuan, dia menangis teresak-esak. Menangisi pemergian anak sulungnya. Anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh. Anak yang menjadi harapan dan kebanggaan buat mereka sekeluarga. Anak yang menjadi pengubat rindu dan peneman tatkala dia merasa kesunyian. Anak yang sentiasa taat kepada kedua-dua orang tuanya. Namun disebabkan Nur Ain, Hazrul berubah rupa. Hazrul banyak melawan cakapnya. Hazrul menjadi seorang yang degil malah berani mengugutnya sehinggakan dia dan suaminya terpaksa mengalah dengan keputusan Hazrul untuk meminang Nur Ain. Betapa bencinya dia dengan perempuan yang bernama ‘Nur Ain Zafira’ itu.
“Jom kita balik!” ajak Dato’ Ridzuan lembut.
“Kau jangan nak pandai-pandai sentuh kubur anak aku. Aku haramkan kau jejakkan kaki ke sini. Kau jangan ingat kau akan selamat dan senang. Aku akan pastikan kau merana sampai bila-bila Nur Ain Zafira!” ugut Datin Salina sebelum meninggalkan kawasan perkuburan itu.
Nur Ain hanya menunduk. Tidak mampu untuk membalas kata-kata Datin Salina. Malah ugutan Datin Salina juga hanya dengar tak dengar sahaja. Lantas dihampirinya kubur milik Hazrul. Di hadapan kubur itu, dia melabuhkan duduk. Dan di situ, dia melepaskan air matanya yang sedari tadi ditahan. Hanya dengan cara itu, kesedihannya akan berkurangan. Walaupun Hazrul tidak mungkin akan kembali, nama Hazrul akan tetap terpahat kemas dalam hatinya.
“Maafkan Ain. Kalau bukan sebab Ain, tak mungkin Az kemalangan dan…” sukar untuk dirinya menyebut perkataan ‘mati’. Hanya mampu diucapkan di dalam hatinya sahaja.
Nur Ain membuka buku Yassin yang dibawanya bersama. Dia menyedekahkan Surah Yassin buat Hazrul. Semoga roh Hazrul dicucuri rahmat. Semoga Hazrul bahagia di sana, doa Nur Ain di dalam hati. Sambil membaca, sambil cuba menyeka air matanya. Tidak elok kita menangis dan meraung di hadapan pusara. Maka dari itu, dibiarkan sahaja air matanya mengalir tanpa menghiraukan keadaan sekeliling yang sudah pun merangkak ke senja hari. Apa yang pasti, dia perlu menghabiskan bacaan Surah Yassin buat Hazrul.


“Kau jangan masuk ke dalam rumah aku!” jerkah Pak Ibrahim meninggi.
Tersentak Nur Ain dengan jerkahan Pak Ibrahim itu. Malah pakaian yang dilemparkan oleh Pak Ibrahim ke mukanya turut membuatkan dia hampir terdorong ke belakang. Mujurlah dia sempat berpaut pada tiang, jika tidak sudah pastilah dia akan terjatuh ke tanah.
“Aku tak nak tengok muka kau. Pergi kau dari sini. Aku tak ada anak yang menconteng arang ke muka aku. Aku malu ada anak macam kau. Berambus kau dari sini!!” tengking Pak Ibrahim meninggi.
Matanya menikam tepat ke muka Nur Ain. Nafasnya berombak kencang menahan amarah yang sedang berkocak dalam dirinya ketika ini.
“Apa bising-bising ni bang?” tanya Mak Hamidah dari arah dapur. Dia menapak jalan menuju ke ruang tamu untuk melihat.
“Awak tolong halau budak ni dari rumah aku. Aku tak nak tengok muka dia. Aku benci nak tengok muka dia!” marah Pak Ibrahim lagi.
“Abah!” seru Nur Ain lembut.
“Jangan kau panggil aku abah. Pergi kau dari sini. Hidup menyusahkan dan menconteng ke muka aku. Lebih baik kau mati daripada aku menanggung penghinaan itu,” pintas Pak Ibrahim laju.
“Abah! Apa maksud abah? Apa yang Ain dah buat?” tanya Nur Ain kurang mengerti.
“Kau jangan pura-pura tak tahu Ain. Apa yang kau dah buat dengan anak Datin Salina dan Dato’ Ridzuan tu?” cebik Pak Ibrahim.
“Apa yang Ain dah buat? Ain tak paham?” ulang Nur Ain pada soalannya tadi.
“Abang, sudahlah. Tak payahlah nak heboh-hebohkan perkara ni. Idah tahu anak kita tak bersalah,” sampuk Mak Hamidah. Tidak mahu Pak Ibrahim terus-terusan memarahi Nur Ain.
“Tak perlu nak diheboh-hebohkan? Awak tahu tak perkara ni dah jadi buah mulut orang kampung. Mana aku nak letakkan muka aku ni. Aku malu dengan orang kampung semua,” melenting Pak Ibrahim. Matanya tajam ke muka Mak Hamidah pula.
“Abang, saya yakin anak kita tak bersalah. Awak jangan dengar sangat cakap Datin tu. Dari dulu lagi dia tak sukakan Ain berkawan dengan Hazrul,” bidas Mak Hamidah. Dia menarik Nur Ain masuk ke dalam rumah. Tidak menghiraukan tenungan tajam Pak Ibrahim.
“Aku kata aku tak nak tengok muka dia, kamu paham ke tidak Idah?” marah Pak Ibrahim tidak tertahan. Dia menolak kasar tubuh Nur Ain daripada masuk ke dalam rumah.
“Abang!” jerit kecil Mak Hamidah. Tidak berpuas hati dengan tingkah suaminya itu.
“Kamu jangan nak melawan cakap aku Idah. Aku ni suami kamu!” tengking Pak Ibrahim pula meninggi.
Terhenjut badan Mak Hamidah mendengar tengkingan itu. Begitu juga dengan Nur Ain, turut sama merasai ketakutan akibat tengkingan Pak Ibrahim. Belum pernah lagi dia mendengar tengkingan Pak Ibrahim sebegitu rupa. Jika ada pun ketika Pak Ibrahim memarahinya kerana bergaduh dengan seorang pelanggan di warung Pak Ibrahim tidak lama dahulu.
“Dia anak kita bang. Idah yakin Ain tak bersalah,” ujar Mak Hamidah dan teresak.
“Aku tak peduli. Kalau bukan dia yang menggatal, perkara ni takkan terjadi,” bentak Pak Ibrahim. “Sudah! Aku nak kau keluar dari rumah aku sekarang. Kau bukan anak aku lagi. Aku haramkan kau jejakkan kaki ke rumah aku lagi,” sambung Pak Ibrahim tegas sambil menarik lengan Nur Ain agar mengekorinya.
Sebaik sahaja turun dari tangga rumah, segera dia menolak kasar tubuh Nur Ain sehingga membuatkan Nur Ain terjelepuk jatuh ke tanah. Setelah itu, dia menutup pintu dengan kasarnya. Melepaskan kemarahan terhadap Nur Ain ke atas pintu itu.
“Sampai hati abah buat Ain macam ni? Apa salah Ain?” rintih Nur Ain sambil cuba menahan esakan tangisan.
Bingkas Nur Ain bangun dari jatuhnya. Dia mencapai beg dan pakaian yang bertaburan di atas tanah. Ke mana hendak di bawa dirinya itu, dia sendiri tidak tahu. Malah dia sendiri tidak pernah terfikir perkara seperti ini akan berlaku dalam hidupnya. Setelah itu, segera dia membawa kakinya menjauhi rumah yang pernah didudukinya selama dua puluh tahun ini. Rumah yang banyak meninggalkan kenangan dalam hidupnya itu. Rumah yang menjadi tempat dia berteduh dan menumpang kasih. Mungkinkah dia akan kembali ke rumah itu semula? Hanya pada ALLAH dia memohon perlindungan buat dirinya itu.

16 ulasan:

  1. Assalamuaikum...hai Ros...cite ni awal2 dh nmpak menarik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. waalaikumussalam.. terima kasih kerana sudi membacanya jg..

      Padam
  2. kalau lah kt blog ni ade butang 'like' kan..hehehe..

    BalasPadam
    Balasan
    1. erk, butang 'LIKE' farah?? phm2.. hehe.. :D

      Padam
  3. baru dpt tahu blog ni.....sedih le..lps ni mmg sblm baca sediakn tisu le...mmg menyentuh hati...moga ain tabh n sabar....sambung lg..best cite ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks along coz singgah n bc AJID.. Insya-ALLAH Ain akn lbh tabah slps ini.. :D

      Padam
  4. starting yang menarik. tak sabar nak baca yang seterusnya

    BalasPadam
  5. Cerita nya memang menarik.. Dh d terbitkn d pasaran tk? Tk sabar nak membeli nya? Ni novel ne under alaf 21 atau buku prima?

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih kerana membaca.. e-novel ni blm diterbitkan.. karya pertama sy.. 'hatimu milikku' under kaki novel dh ada di pasaran.. klu nk diterbitkan.. mgkn selepas karya kedua saya.. 'gurauan berkasih'.. :)

      Padam
  6. permulaan yg menarik.. :)

    BalasPadam
  7. Balasan
    1. terima kasih Nur Wani coz sudi singgah n membaca AJID.. :)

      Padam
  8. salam ...kak xada versi cetak ke?
    rasa cam nk pelok2 jak AJID nie.. klau ada yg versi buku
    akak infrm erk

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm dik..

      InsyaAllah, klu ada rezeki AJID utk diterbitkan.. adalah nti.. doa2kan utk AJID.. utk pengetahuan adik.. AJID msh dlm penilaian penerbit..

      Padam