Khamis, 23 Februari 2017

Terus Mencintaimu - Bab 7





HANIF bersandar ke kerusi sambil berpeluk tubuh. Haidar di hadapan dipandang. Abangnya itu sedang khusyuk dengan telefon di tangan. Diamati wajah Haidar buat seketika. Tidak dinafikan Haidar memiliki raut wajah yang kacak berbanding dirinya. Maka dari itu, Haidar diminati ramai gadis di sekolah dan universiti dahulu.
Hanif menghela nafas ringan. Peristiwa lama meniti di minda. Entah kenapa wajah seseorang menyapa mata. Wajah yang amat dibenci. Wajah itu juga yang telah mewujudkan rasa dendam di hati. Sehingga ke hari ini, dia masih berdendam dengan wajah itu.
Hanif membetulkan duduk. Perbualan dengan Aidil siang tadi sewaktu menuju ke Shah Alam terngiang-ngiang di cuping telinga. Kenapa Aidil bertanya begitu? Kenapa Aidil mengungkit kisah lama?
Kalau boleh, dia tidak mahu mengingati kisah lama. Kisah yang telah meninggalkan kesan parut di hati. Sampai bila-bila pun dia tidak akan melupakan kisah itu. Disebabkan kisah itu maka dia berdendam dengan seseorang.
“Kau nak makan?” tanya Haidar, tiba-tiba.
Hanif yang sedang leka termenung sedikit tersentak. Dihalakan mata ke wajah Haidar.
“Kalau kau nak makan, aku panggil waiter,” suara Haidar lagi.
Hanif mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul lapan tiga puluh minit malam. Hampir tiga puluh minit dia dan Haidar menunggu Encik Qamarul. Namun, bayang ayahnya tidak juga muncul. Adakah pertemuan itu sudah dibatalkan?
“Kau dengar ke tidak aku tanya ni? Kau nak makan ke tak nak?” Haidar mengulangi pertanyaannya tadi.
“Ayah datang ke tidak?” Hanif pula bertanya.
“Mana la aku tahu. Kau call la tanya,” balas Haidar acuh tak acuh. Dia berpeluk tubuh lalu bersandar ke kerusi.
Hanif mendengus perlahan.
“Aku nak balik kampung dalam masa terdekat ni. Kau nak ikut tak?” Haidar berbasa basi walaupun dia tahu jawapan yang bakal Hanif berikan.
“Kampung? Kita ada kampung ke?” Hanif sengaja bertanya.
Haidar yang mendengar pertanyaan Hanif menegakkan tubuh.
“Aku tak ada kampung,” kata Hanif lagi.
“Huh! Berlagak!” cebik Haidar meluat.
“Kau peduli apa kalau aku berlagak.”
“Sedar diri tu sikit di mana asal usul kau dulu.”
“Oh, please la Haidar. Kau tak payah nak poyo sangat. Kau tu pun apa kurangnya. Sama saja dengan aku. Cuma kau tu hipokrit. Kau ingat kau tu suci bersih sangat ke?”
“Apa maksud kau?”
Hanif tidak membalas. Dia tersenyum sinis.
“Apa maksud kau, Hanif? Aku tak seperti kau.”
“Memang kau tak seperti aku. Aku seorang yang berterus-terang. Aku jadi diri aku sendiri. Tapi, kau? Berlagak baik konon. Hakikatnya, kau seorang yang hipokrit,” jelas Hanif, terang dan nyata.
Haidar mengepal tangan. Apa maksud Hanif dengan kata-kata itu?
“Aku tahu apa yang kau cuba sembunyikan selama ini, Haidar,” sambung Hanif lagi.
Semakin kuat genggaman tangan Haidar. Kata-kata Hanif tidak dapat diterima. Perkara apa yang cuba disembunyikannya? Selama ini, dia seorang yang berterus-terang. Dia tidak pernah bermusuhan dengan orang lain. Kenapa Hanif berkata begitu?
“Kalau kau nak balik kampung, kau baliklah. Aku tak ada kena-mengena dengan kampung tu. Aku dah lama lupa di mana asal usul aku dulu.”
Haidar tidak membalas. Wajah Hanif ditatap seketika.
“Selama-lamanya aku tak akan lupa dengan apa yang pernah terjadi dulu, Haidar. Sehingga sekarang, aku masih berdendam dan membenci.”
“Dendam dan benci akan memakan diri kau sendiri, Hanif.”
“Kau tak rasa dengan apa yang aku rasa. Peristiwa tu tinggalkan kesan mendalam dalam diri aku.”
“Aku tahu. Tapi, peristiwa tu dah lama. Kalau orang yang kau benci dan dendam tu sudah tiada, kau tetap tak akan maafkan dia?”
“Selama-lamanya aku tak akan memaafkan dia. Kalau dia berlutut depan aku sekali pun, aku tetap dengan pendirian aku ni.”
Haidar menggelengkan kepala. Hanif masih menyimpan perasaan dendam dan benci. Sampai bila Hanif akan berperasaan begitu? Adakah tidak ada kata-kata maaf buat ‘orang’ itu? Wajah seseorang menyapa mata ketika ini. Apa khabar dengan wajah itu?
“Selama-lamanya aku tak akan lupa dengan apa yang dia dah buat pada aku,” ujar Hanif lagi. Peristiwa lama menerjah ke kotak fikiran.
“Ikut suka hati kau la, Hanif. Kau jangan lupa, Allah Maha Berkuasa. Kalau Allah nak terbalikkan perasaan kau, sekelip mata sahaja akan berlaku. Mungkin dia bersalah mungkin juga dia tidak bersalah. Tapi kau kena ingat. Kau bukan tuhan untuk menghukum dia,” terang Haidar panjang lebar. Nafas dihela ringan.
Hanif hanya mendengar. Bagaikan masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja.
“Aku pasti dan yakin, dia tak bersalah dalam kes kau tu. Dia….”
“Dia penyebab kau lumpuh, Haidar. Kau dah lupa?” pintas Hanif, laju.
“Aku lumpuh bukan disebabkan dia. Takdir Allah dan aku percaya kepada Qadaq dan Qadar Allah. Lagipun, aku tak anggap dengan apa yang terjadi pada aku dulu adalah disebabkan dia.” Haidar berterus-terang. Kenapa Hanif mengungkit kisah itu?
“Walau apa pun, dia tetap bersalah.” Hanif bertegas.
“Suatu hari nanti kau akan tahu kebenarannya, Hanif,” balas Haidar lalu tersenyum.
Hanif tidak membalas. Matanya menatap wajah Haidar yang sedang tersenyum. Apa maksud Haidar dengan kata-kata itu? Kebenaran apa yang dimaksudkan oleh Haidar? Belum sempat dia membuka mulut, kelibat Encik Qamarul menyapa mata.
“Maaf kalau ayah lambat,” suara Encik Qamarul setibanya di hadapan Haidar dan Hanif. Dilabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Haidar dan Hanif.
Haidar segera mendapatkan Encik Qamarul. Tangan ayahnya dicium berserta senyuman di bibir. Wajah Encik Qamarul ditatap seketika. Sedikit pucat dan lesu.
Hanif turut mengikut tingkah laku Haidar. Duduk dilabuhkan semula dan menanti butir bicara daripada Encik Qamarul.
“Ayah sihat?” Haidar memulakan perbualan.
“Sihat alhamdulillah,” jawab Encik Qamarul sambil mengangguk.
“Bila ayah balik? Bukan sepatutnya ayah balik minggu lepas?” tanya Hanif pula.
Encik Qamarul memandang wajah Hanif buat seketika. Anak bongsunya itu seorang yang tegas, keras kepala dan ego. Perubahan itu disebabkan peristiwa yang berlaku beberapa tahun yang lepas.
“Ayah!” Haidar memanggil. Matanya tepat ke wajah Encik Qamarul.
Encik Qamarul sedikit tersentak. Nafas ditarik dan dilepaskan ringan. Wajah Haidar dan Hanif dipandang silih berganti.
“Ayah, kenapa?” Haidar bertanya pula. Rasa kurang enak hadir di hati tatkala melihat tingkah laku Encik Qamarul.
“Ayah ada perkara nak beritahu pada kamu berdua,” suara Encik Qamarul yang sejak tadi membisu dan memerhati.
“Perkara apa? Macam serius saja,” kata Hanif lalu ketawa kecil.
“Perkara apa, ayah?” Haidar berdebar-debar.
“Ayah dah buat keputusan. Ayah nak jual syarikat dan menetap di kampung,” beritahu Encik Qamarul.
What?!!!” Hanif yang mendengar bingkas bangun dari duduk. Terkejut mendengar kenyataan Encik Qamarul.
“Kalau itu yang terbaik buat ayah, Haidar ikut saja,” kata Haidar, tenang.
“Kau dah gila ke, Haidar? Takkan kau setuju dengan keputusan ayah?” soal Hanif sedikit tegang.
“Aku masih berfikiran waras.” Haidar berpeluk tubuh sambil bersandar ke kerusi. Wajah tegang Hanif ditatap seketika.
Hanif mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar kata-kata selamba Haidar.
“Ayah harap kamu berdua setuju dengan keputusan ayah.” Encik Qamarul membuat permintaan. Berharap Hanif dan Haidar bersetuju dengan keputusannya itu.
“Haidar tak ada bantahan. Mana yang baik untuk ayah, Haidar sokong,” balas Haidar berserta senyuman di bibir.
Encik Qamarul menarik nafas lega. Dia menghalakan mata ke wajah Hanif. Tegang sahaja wajah Hanif dilihatnya. Adakah Hanif tidak setuju dengan keputusannya itu?
“Hanif!” panggil Encik Qamarul kemudian.
Hanif menghembus nafas keras. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Sungguh, dia tidak percaya yang Encik Qamarul sanggup menjual Harmoni Sdn Bhd. Syarikat yang telah lama diusahakan oleh ayahnya itu. Kepala menggeleng perlahan. Tidak setuju dengan keputusan Encik Qamarul.
“Biarlah ayah. Lambat laun nanti Hanif akan terima keputusan ayah,” suara Haidar sekadar menyedapkan hati Encik Qamarul.
Encik Qamarul mengangguk perlahan. Senyuman diberikan kepada Haidar. Anaknya itu seorang yang bersikap terbuka. Senang dengan sikap Haidar. Semoga Hanif sedar dan berubah sikap suatu hari nanti. Doa Encik Qamarul buat Hanif.


WHAT?! Kau jumpa dengan mamat tu lagi?” tanya Zakry inginkan kepastian.
Iris sekadar mengangguk. Air minuman dihirup perlahan. Wajah pemuda tersebut menyapa mata ketika ini.
Zakry melepaskan ketawa.
“Apasal kau gelak?” soal Iris berserta kerutan di dahi.
“Jodoh!” balas Zakry, sepatah.
Iris masih berkerut dahi. Apa maksud Zakry?
One day, kau dan dia berjodoh.”
Tersedak Iris mendengarnya. Dicapai tisu lalu mengelap mulut. Berjodoh? Ulang Iris dalam hati.
“Kalau dah selalu jumpa, tak mustahil berjodoh.” Zakry masih lagi mengusik. Senyuman diberikan kepada Iris.
“Berjodoh? Zack… Zack…” Iris menggeleng perlahan.
“Kenapa? Kau tak percaya dengan perancangan Allah?” Zakry menduga.
Iris tidak membalas. Perancangan Allah! Ayat itu sedang berlegar-legar di minda. Siapa dia untuk menolak perancangan Allah? Dia percaya dengan apa yang telah Allah tetapkan buat dirinya selama ini.
“Sebaik-baik perancangan manusia, baik lagi perancangan Allah.” Zakry masih lagi bersuara. Wajah Iris di hadapan dipandang seketika.
“Aku dan dia? Berjodoh?” suara Iris yang sejak dari tadi membisu.
Zakry hanya memandang. Menanti butir bicara seterusnya daripada Iris.
“Sinar mata dia penuh dengan kebencian.”
Zakry cuba untuk memahami ayat Iris.
“Dia seorang yang pendendam.”
“Macam mana kau tahu?”
Iris tersenyum mendengar pertanyaan Zakry. Itulah yang dilihatnya terhadap Hanif. Pemuda itu seorang yang berlagak dan ego.
“Kau tengok dia pun kau dah boleh nilai dia macam mana orangnya. Sombong! Berlagak dan ego!”
“Tapi, semua tu boleh runtuh dengan kasih dan sayang.”
“Kasih dan sayang juga boleh mewujudkan kebencian dan kemarahan di hati.”
Zakry terkedu. Ada benarnya kata-kata Iris.
“Aku tak layak untuk sesiapa, Zack,” ujar Iris, perlahan.
“Kenapa kau cakap macam tu?” Zakry bertanya. Ingin tahu.
Iris membuang pandang ke luar restoran. Peristiwa lama menujah ke kotak fikiran. Peristiwa yang meninggalkan kesan luka di hati. Sehingga ke hari ini, luka itu masih bersisa.
“Kau kena yakin dan percaya, Iris. Kalau kau tak cuba, macam mana kau nak tahu yang kau layak ataupun tidak untuk sesiapa.”
Iris menghela nafas ringan. “Aku tetap tak layak untuk sesiapa, Zack.”
Zakry tidak membalas. Matanya tertumpu ke wajah Iris. Riak kelukaan terlukis di wajah itu. Adakah Iris sedang mengingati kisah lama? Kisah yang telah meragut kebahagiaan Iris. Malah, kisah itu telah menyebabkan Iris kehilangan sesuatu yang berharga.
“Aku nak ke ladies sekejap,” kata Iris bingkas bangun. Menyedari yang matanya mulai berkaca-kaca.
“Kau okey?” Zakry bertanya dalam nada risau.
Iris sekadar tersenyum. Dia melangkah keluar dari ruangan meja itu menuju ke ladies. Dia perlu menenteramkan hati dan perasaan. Peristiwa lama mencengkam diri di waktu ini.
“Aduh!” rengek Iris kemudian.


1 ulasan:

  1. kisah apakah di sebalik semua itu?
    kak ros next heheehehe

    BalasPadam