Khamis, 10 November 2011

Hatimu Milikku - Bab 3

BAB 3

Assalamualaikum mak… mak sihat?” tanya Aisya dari hujung talian telefon.
Waalaikumussalam, mak sihat alhamdulillah. Aisya macam mana? Kerja okey?” jawab Puan Suhaila dengan suara yang agak keletihan.
Aisya menyedari akan perubahan suara Puan Suhaila. Untuk tidak mengesyaki dan membimbangkan Puan Suhaila dengan pertanyaannya nanti, dia hanya menjawab  sepintas lalu sahaja dan di selang-selikan dengan gelak tawanya. Sengaja membuatkan Puan Suhaila gembira dan tidak terlalu risaukan akan keadaannya di Kuala Lumpur.
“Insya-ALLAH mak, hujung bulan nanti Aisya balik. Ada perkara apa yang mak nak bincangkan dengan Aisya?” suara Aisya sambil mencapai segelas air di pantry.
“Mak bagitaunya lepas Aisya balik sini nanti,” ujar Puan Suhaila bersungguh.
“Baiklah! Mak, Aisya ada kerja nak buat ni, nanti Aisya telefon mak lagi ya.” Aisya mematikan talian telefon. Dia segera menuju ke tempat duduk semula. Dilihatnya sepintas lalu ruang pejabat, kosong kerana masing-masing sudah keluar makan tengahari di restoran-restoran yang berhampiran. Dia terpaksa menolak ajakan Nurul dan Hisham untuk keluar makan bersama kerana dia terpaksa mencatu nafsu makannya gara-gara keinginan untuk memiliki sebuah laptop. Dia harus membelinya kerana difikirkan perlu memandangkan kerja-kerja di pejabat semakin menimbun dan memerlukan dia membawa pulang dan menyambungnya di rumah.
Walaupun baru seminggu dia bekerja di Menara Holding, pekerja-pekerja di situ melayannya dengan peramah dan sama rata. Tiada perbezaan di antara mereka di pejabat itu. Apa yang menjadi masalah ialah layanan Tengku Hariz terhadapnya. Mungkin Tengku Hariz ingin membalas dendam atas kejadian yang berlaku di restoran dahulu ataupun Tengku Hariz sengaja untuk menyusahkan dia. Ah! Tak masuk dek akal kalau dia sengaja nak cari pasal dengan aku. Pasal kejadian di restoran tu, bukannya dia yang malu, aku yang malu sebab dia yang tolak aku sampai jatuh, pastu boleh pulak dia blah macam tu saja. Sakit betul hati aku masa tu, Aisya bermonolog.
Peristiwa dia diperbodohkan pada hari pertama menggamit ingatannya semula. Begitu mudah dia dipermain-mainkan dan diperbodoh-bodohkan. Begitu mudah dia ditipu, hanya kerana dendam Tengku Hariz terhadapnya. Ya, dendam dan mungkin juga benci. Tengku Hariz membencinya disebabkan insiden pelanggaran di restoran dahulu. Dan disebabkan itu, Tengku Hariz tidak putus-putus menyuruh melakukan kerja walaupun kerja itu diluar bidang atau skop tugasnya. Mahu tak mahu, dia terpaksa akur kerana dia hanyalah pekerja bawahan manakala Tengku Hariz adalah majikan. Namun dia tetap akan sabar dalam menjadi rezeki yang halal. Biarlah dia menelan semuanya jika itu dapat memuaskan hati Tengku Hariz. Selagi dia berdaya, selagi itulah dia akan cuba bertahan sehinggalah dia berputus asa.
“Saya nak awak siapkannya hari ini juga. Awak tak dibenarkan balik selagi fail ini tidak berada di atas meja saya. Saya akan minta Encik Hamdan pantau awak hari ini, faham!” arah Tengku Hariz dengan suara yang agak tinggi sambil melemparkan fail di hadapan Aisya. Seminit kemudian kelibat Tengku Hariz hilang dari ruangan pejabat itu. Aisya yang masih lagi dalam lamunan terpinga-pinga. Terpinga-pinga dengan arahan Tengku Hariz. Terpinga-pinga dengan fail tersebut yang dia sendiri tidak tahu akan isi kandungannya dan terpinga-pinga bagaimana dia hendak menyiapkannya.
Dia ingat aku ni apa, sesuka hati je nak suruh aku siapkannya cepat. Apa dia ingat aku ni robot ke, semuanya nak cepat. Kalau aku robot boleh la aku siapkan cepat, tapi aku ni manusia, marahnya di dalam hati sambil membaca isi kandungan fail tersebut. Tapi kalau robot mana ada hati kan! Mana boleh marah-marahkan! Guraunya sendirian sambil tergelak kecil. Nurul yang terdengar ketawa kecil Aisya sewaktu melintasi meja Aisya memberhentikan langkahnya. Dahinya berkerut melihatkan mulut Aisya terkumat-kamit seperti sedang menyumpah seseorang.
“Kenapa ni?” soal Nurul dan berdiri bersebelahan Aisya.
Aisya tersentak dan mengangkat mukanya memandang Nurul.
“Bila akak masuk?” soalan berbalas soalan.
Makin pelik Nurul melihat tingkah Aisya.
“Tu ha… yang terkumat-kamit mulut tu kenapa? Marahkan siapa? Menyumpahkan siapa?” jawab dan soal Nurul sambil memandang tepat ke wajah Aisya.
“Oh, tadi ada orang gila kacau Aisya, tu yang mulut ni tak henti-henti nak marah. Hisy!! Mulut ni berpada-padalah sikit.” Selamba Aisya menuturkannya diikuti riak wajah yang selamba.
“Orang gila? Siapa Aisya? Jangan nak main-main. Kena panggil doktor sakit jiwa ni, suh tangkap cepat,” gelabah Nurul tidak senang mendengar cerita dari Aisya.
Aisya tersenyum nipis. Sepertinya Nurul terlalu mudah untuk ditipu atau dibohongi.
“Boslah, siapa lagi. Kak Nurul jangan lupa panggil doktor sakit jiwa suruh tangkap bos ya,” usik Aisya dan berlalu pergi menuju ke bilik fail untuk mencari beberapa fail.
Nurul yang mendengar penjelasan selamba Aisya mengerutkan dahi untuk yang keberapa ribu kalinya. Barulah dia menyedari yang Aisya sedang mempermain-mainkannya. Dengan hati yang geram, dia menuju ke tempatnya untuk menyambung kerja yang tertangguh sebelum rehat tadi.


Aisya tidak menyedari jam sudah pun menghampiri ke angka tujuh malam. Kebanyakkan staf sudah mulai beransur pulang. Hanya tinggal dia dan Encik Hamdan sahaja di pejabat. Dia masih lagi tekun menyiapkan tugasannya sambil mengurut-urut kecil leher yang terasa sakit akibat terlalu lama menunduk.
“Aisya, awak tak balik lagi?” tegur Encik Hamdan apabila melalui hadapan mejanya.
“Belum Encik Hamdan. Saya nak siapkan laporan ni sekejap,” jawab Aisya sambil jari jemarinya menekan papan kekunci komputer menaip sesuatu.
“Aisya, dah pukul berapa ni? Awak boleh sambung esokkan. Lagipun laporan tu bukannya penting sangat,” risau Encik Hamdan apabila menyedari Aisya masih lagi tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia agak khuatir untuk meninggalkan Aisya keseorangan di pejabat itu memandangkan hari sudah pun menerjah ke malam hari.
“Tak mengapalah Encik Hamdan. Tengku dah arahkan saya supaya menyiapkan laporan ini sebelum saya balik. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mematuhi arahannya,” tegas Aisya sambil meneruskan tingkah lakunya tanpa memandang sedikit pun ke arah Encik Hamdan.
“Kalau dah macam tu, baiklah. Saya nak ingatkan awak agar berhati-hati apabila balik nanti. Saya minta diri dulu Aisya,” nasihat Encik Hamdan dan kemudian itu kelibatnya hilang di sebalik pintu utama.
Dalam masa Aisya khusyuk membuat kerja, telefon bimbitnya berbunyi dengan tiba-tiba sekali gus memecahkan kesunyian di dalam pejabat itu. Lantas Aisya mencapai telefon lalu menjawab panggilan tersebut. Selepas 5 minit, dia kembali semula kepada kerjanya yang masih lagi berbaki sedikit. Jika diikutkan hati selepas mendengar kenyataan Encik Hamdan sebentar tadi, mahu sahaja dia terus pulang dan meninggalkan kerja tersebut untuk disambung esok. Tetapi, siapalah dia untuk melawan mahupun membantah kata-kata Tengku Hariz kerana di syarikat itulah dia mencari rezeki yang halal untuk menampung segala perbelanjaan harian dan juga Puan Suhaila di kampung.
Alhamdulillah, siap juga akhirnya, syukurnya di dalam hati. Dia melihat jam di tangan. Ya ALLAH!! Sudah hampir pukul 1 pagi, suaranya sambil tangannya sibuk mengemas meja yang berselerak disebabkan fail-fail syarikat. Dia terlalu khusyuk sehinggakan dia tidak menyedari masa begitu pantas berlalu. Seingatnya tadi, selepas menunaikan Sholat Maghrib, dia terus menyambung tugasnya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling dan juga waktu. Matlamatnya ketika itu ialah menyiapkan tugasnya secepat mungkin.
Setelah meletakkan laporan tersebut di atas meja Tengku Hariz, dia segera mencapai beg tangan lalu mengunci pintu utama. Lif yang dinaiki pantas menjalankan tugas menuruni bangunan itu setingkat demi setingkat. Setibanya di tingkat bawah, dia terlihat Mr. Raja, guard yang bertugas pada malam itu. Di hampirinya orang tua itu lalu menegurnya.
“Eh, Cik Aisya, apa Cik Aisya buat kat sini pagi-pagi buta ni?” soalnya yang kelihatan pelik melihat kelibat Aisya sedang berdiri itu. Aisya hanya meleparkan senyuman yang manis kepadanya.
“Saya ada kerja yang perlu disiapkan Uncle. Ermm… Uncle sorang saja ke bertugas malam ni, mana Pak Mat?” Soal Aisya pula sambil matanya meliar mencari kelibat Pak Mat. Walaupun baru seminggu mengenali Mr. Raja dan Pak Mat, jelas terpancar akan kemesraan di antara mereka bertiga.
“Pak Mat ari ni kurang sihat, jadi Uncle sorang saja bertugas malam ni. Cik Aisya balik dengan siapa ni?” jawab dan soal Mr. Raja lagi sambil matanya memerhati tingkah laku Aisya.
“Entahlah Uncle, kalau tak ada teksi, alamatnya saya tidur di sini sajalah,” gurau Aisya sambil cuba mendail nombor telefon Nadia.
Mr. Raja mengerutkan dahinya seolah-olah pelik dan kehairanan dengan jawapan Aisya. Melihat riak wajah kehairanan Mr. Raja, Aisya dengan segera memberitahu Mr. Raja yang dia meminta tolang rakan serumah untuk mengambilnya sebentar lagi. Mr. Raja mengangguk faham. Hairan jika Aisya benar-benar memaksudkan kata-katanya tadi untuk tidur di sini. Namun dia berasa kagum dengan keberanian dan kesungguhan Aisya terhadap kerja yang diberikan oleh bos Aisya. Mana mungkin gadis sepertinya begitu berani menyiapkan kerja sehingga larut malam begini. Mungkin dia ada tali pinggang hitam Taekwondo ni. Sebab itulah dia tak takut untuk pulang lewat begini, agaknya di dalam hati.

“Kau ni pun satulah Aisya, mana ada orang siapkan kerja sampai pagi-pagi buta begini,” bebel Nadia sambil membaringkan badannya di atas katil Aisya.
“Adalah!” jawab Aisya spontan. Nadia terbangun dengan jawapan Aisya. Matanya dikecilkan. “Akulah, siapa lagi,” sambung Aisya sambil ketawa mengejek Nadia.
“Kurang asam kau Aisya, kenakan aku ya,” marah Nadia sambil melemparkan sebiji bantal ke arah Aisya. Aisya menyambutnya berserta tawanya yang lagi kuat. Selepas itu, dia melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan badannya yang dari pagi tadi tidak dibelai dan disirami dengan bau-bauan yang semerbak.
Nadia segera beredar ke biliknya akibat keletihan dan mengantuk. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menyerang Tengku Hariz di atas tindakan serta arahan yang diberikan ke atas Aisya. Sudahlah kes langgar di restoran hari itu masih lagi belum selesai, ditambah pula dengan kes Aisya menyiapkan kerja hingga ke pagi. Kedua-dua kes ini membuatkan hatinya terbakar dengan insan yang bernama Tengku Hariz. Dan berita yang diterima baru-baru ini menambahkan kebenciannya terhadap Tengku Hariz. Kes di mana Aisya diperbodoh-bodohkan dan dipermain-mainkan oleh Tengku Hariz pada hari pertama Aisya bekerja.
Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menampar lelaki itu. Mahu sahaja dia menyuruh lelaki itu meminta maaf dan berlutut di hadapan Aisya. Menyesali akan perbuatannya terhadap Aisya. Namun, apa yang menjadi hairan baginya, kenapa Aisya boleh berubah menjadi seorang yang penakut? Dia teringat semula kisahnya di universiti tidak lama dahulu, di mana Aisya pernah bergaduh dan bertumbuk dengan seorang senior gara-gara senior itu mengejek dan memalukan dia di hadapan orang ramai hanya disebabkan salah faham senior tersebut yang mengandaikan dia memberi surat cinta kepada senior tersebut. Masih terngiang-ngiang ayat yang Aisya semburkan kepada senior tersebut.
“Kau ingat muka kau tu handsome sangat ke? Kucing kat rumah aku lagi handsome dan cutelah dari kau. Daripada aku suka kat kau, ada baiknya aku suka kat kucing-kucing tu, dapat gak pahala daripada kau buat tambah dosa saja,” kata Aisya dengan tegas dan meninggalkan senior itu terpinga-pinga dan malu keseorangan.
Nadia tersenyum bangga dengan tindakan Aisya terhadap senior itu. Terlalu sombong dan berlagak bagus membuatkan ramai di antara pelajar-pelajar junior meluat dengannya. Bukan sahaja budak-budak junior, malah ada juga budak-budak senior yang tidak menyenangi akan perangai senior tersebut. Namun tidak dinafikan juga yang senior itu mempunyai ramai peminat perempuan di universiti itu.
Bermula dari peristiwa itu, Aisya mengalami pelbagai rintangan dan dugaan hidup yang dia sendiri tidak menduga akan berlaku ke atas perjalanan hidup kawan baiknya itu. Bermula dari peristiwa itu jugalah, Aisya yang dikenalinya dulu merupakan seorang yang nakal, periang dan berani bertukar menjadi seorang yang pendiam dan penakut. Perubahan itu amat menyeksakan perasaannya ketika itu. Dia cuba sedaya upaya untuk mengembalikan Aisya yang asal, namun usahanya tidak berjaya. Titik-titik noda yang tercalit dalam diari hidup Aisya benar-benar membuatkan dia amat bersimpati ke atas Aisya dan dia tidak mahu melihat Aisya menitiskan air mata lagi disebabkan seorang insan yang bernama ‘LELAKI’.


2 ulasan:

  1. Best:) rupa2 nya aisya yg dulu lain :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. yup!! Aisya yg dlu berbeza dgn Aisya yg sekarang.. ;)

      Padam