Rabu, 7 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 1

BAB 1

“Ain nak tumpang maksu tak?” tanya Humaira.
“Tak pelah maksu. Ain naik bas aje,” jawab Nur Ain.
“Kalau macam tu, maksu pergi dululah. Ingat, kalau jadi apa-apa, cepat-cepat telefon maksu,” pesan Humaira tegas.
Nur Ain hanya mengangguk. Ekor matanya sahaja yang menghantar pemergian Humaira. Selepas itu, bingkas dia bangun dari duduknya dan menapak keluar dari bilik. Dia perlu mengemas rumah terlebih dahulu sebelum keluar bekerja. Rutin hariannya selama ini. Lagipun hidup menumpang di rumah orang, perlulah pandai membawa diri.
Hampir tiga tahun Nur Ain hidup di perantauan. Hampir tiga tahun juga dia menumpang di rumah Humaira, maksunya. Mujurlah maksu sudi menumpangkan dirinya di rumah itu, jika tidak ke mana harus dibawa dirinya selepas kejadian itu. Mujur juga dia masih menyimpan alamat rumah maksunya, jika tidak, sukar untuknya mencari tempat perlindungan dan berteduh. Hanya pada ALLAH, Nur Ain berdoa agar diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan dalam hidupnya ketika ini.
Setelah berpuas hati melihat keadaan di dalam rumah, segera Nur Ain mencapai beg sandangnya serta kunci rumah dari atas meja. Dia mengunci pintu dan menapak keluar dari rumah menuju ke perhentian bas. Dilihatnya tiada sesiapa di perhentian tersebut. Jika diikutkan dalam waktu begini, masih ada beberapa orang yang turut sama menanti bas untuk ke tempat kerja. Mungkin dah terlepas bas ni, fikir Nur Ain. Matanya meninjau di kawasan itu. Jam di tangan sudah menginjak ke tujuh empat puluh lima minit. Bas datang awal kot? Duga Nur Ain. Alamatnya lewat lagilah aku ke tempat kerja, rungutnya pula.
Nur Ain tidak keruan. Sekejap duduk, sekejap berdiri, kemudian duduk semula Nur Ain ketika itu. Apa yang perlu dijawabkan pada bosnya jika dia terlewat lagi. Dalam bulan ini, sudah hampir sepuluh kali dia terlewat. Semuanya gara-gara bas yang terlalu awal dan terlewat sampai di kawasan perumahan rumahnya itu. Mujurlah alasan yang diberikan logik pada fikiran bosnya, jika tidak, sudah pastilah dia dibuang kerja.
Walaupun sekadar kerani pentadbiran di syarikat pemborong, Nur Ain tetap bersyukur kepada ALLAH kerana memperolehi pekerjaan itu setahun yang lepas. Lagipun pendidikannya tidaklah setinggi mana, hanya setakat SPM sahaja, mana mungkin dia akan meminta lebih dari kelayakan itu. Nur Ain bangun dari duduknya. Dia perlu menahan sebuah teksi memandangkan matahari semakin meninggi. Peluh dingin sudah membasahi dahinya. Lantas dikeluarkan sehelai tisu dari dalam beg sandang dan mengelap peluh tersebut.
“Kopak jugalah duit aku hari ni,” keluh Nur Ain sendirian.
Tanpa membuang masa, dia melangkah untuk ke seberang jalan. Tanpa menoleh kanan dan kiri, laju sahaja dia membawa langkahnya itu.
Ponn!!
Bunyian hon dari kereta mengejutkan Nur Ain. Dengan pantas dia berundur ke belakang tatkala dirinya hampir dilanggar dengan sebuah kereta.
“Woi!! Buta ke? Lain kali kalau nak melintas, tengok kiri kanan, jangan tengok depan,” marah pemandu tersebut seraya keluar dari perut kereta.
Nur Ain hanya menunduk. Dapat dirasakan dadanya berombak kencang. Menahan ketakutan yang amat sangat. Dia mengusap lembut dadanya. Mujurlah kereta itu sempat berhenti, jika tidak sudah pastilah dia akan dilanggar.
“Maaf encik, saya tak perasan tadi,” pohon Nur Ain perlahan.
“Banyaklah kau punya maaf!” jerkah lelaki itu kasar. Di amati keretanya penuh minat. “Nasib baik kau tak langgar kereta aku ni, kalau tidak, setahun pun belum tentu bersihnya,” marah lelaki itu sinis.
“Maaf!” ucap Nur Ain lagi.
“Huh! Memang menyusahkan!” komen lelaki itu dan mendengus kasar.
Tersentak Nur Ain mendengarnya. Dia mengangkat muka dan merenung tajam ke wajah lelaki di hadapannya itu. Terkedu dia buat seketika. Hazrul! Terdetik nama itu dibenak hatinya.
“Aku maafkan kau kali ni sebab kereta aku tak ada apa-apa. Kalau tidak, susah kau nanti. Aku pasti orangmacam kau, sudah tentulah tak ada duit nak bayarnya kan?” sindir Hazrel Hardy pedas.
Tersentap Nur Ain mendengar sindiran lelaki itu. Dia mengetap bibirnya menahan kemarahan. Hina sangat ke orang dia di mata lelaki itu sehinggakan sanggup mengutuknya sebegitu rupa.
Hazrel melangkah masuk ke dalam keretanya semula. Pedal minyak ditekan dan kereta meluncur laju meninggalkan kawasan itu. Berdecit tayar kereta dibuatkan oleh Hazrel. Melepaskan kemarahan terhadap Nur Ain.
Nur Ain hanya memandang. Dadanya yang berombak kencang sebentar tadi, semakin surut. Dia melihat jam di tangan.
“Ya ALLAH, dah pukul sembilan. Apa aku nak buat ni? Alamatnya kena marah lagilah ni,” keluh Nur Ain sambil menepuk dahinya.
Lantas dia menahan sebuah teksi tatkala terlihat teksi melalui kawasan itu. Di dalam hati, dia berdoa agar mood bosnya hari ini baik dan dapat menerima alasannya lagi.


“Bos mana, Kak Gie?” tanya Nur Ain sebaik sahaja melabuhkan duduk di mejanya.
“Ain, kamu lambat lagi?” jerit kecil Fauziah. “Ain tahu tak kalau….”
“Ain tahu Kak Gie. Bukan Ain sengaja nak lewat. Ain tertinggal bas. Teksi tak ada pulak,” keluh Nur Ain. “Pastu, nyaris Ain nak kena langgar Kak Gie,” sambungnya lagi. Cuba menagih simpati daripada Fauziah yang merangkap kerani akaun di syarikat itu.
“Yeke Ain. Habis tu Ain tak ada apa-apa ke?” tanya Fauziah risau.
Bingkas dia bangun dan menghampiri Nur Ain. Ditilik dan diamati wajah serta tubuh Nur Ain. Mencari-cari kecederaan di tubuh itu.
“Ain tak ada apa-apa Kak Gie. Kereta tu sempat berhenti,” balas Nur Ain dan tersenyum.
Terharu dengan keprihatinan Fauziah terhadap dirinya. Walaupun Fauziah banyak membebel dan mengomel, Nur Ain tidak ambil hati itu semua. Bagi Nur Ain, apa yang Fauziah katakan ada juga benarnya.
“Bos mana Kak Gie?” ulang Nur Ain pada soalannya tadi.
“Hmm… bos ada meeting dengan bos besar,” balas Fauziah dan kembali semula ke tempat duduknya.
“Bos besar? Siapa Kak Gie?”
“Akak rasa Ain tak kenal sebab Ain baru lagi kerja kat sini. Dia baru ambil alih syarikat ni dua tahun yang lepas.”
“Oh! Selalu ke bos besar datang ke sini Kak Gie?” tanya Nur Ain ingin tahu.
“Tak jugak. Kalau dia ada meeting kat sini, dia akan singgah sekejap kat syarikat ni jumpa dengan bos,” terang Fauziah sambil matanya tertancap ke screen komputer.
“Mesti kayakan Kak Gie,” komen Nur Ain sambil menarik fail dari kabinet.
“A’ah kaya, tapi sombong dan berlagak!” kutuk Fauziah tidak berlapik.
“Kenapa Kak Gie kata macam tu? Kak Gie pernah jumpa dengan dia ke?” tanya Nur Ain berserta kerutan di dahi.
“Pernah sekali. Masa tu akak terlanggar dia kat depan pintu tu. Akak bukannya sengaja. Lagipun akak baru kerja kat sini, manalah nak kenal dengan dia. Habis dihamunnya akak depan orang ramai. Malu akak masa tu Ain,” jelas Fauziah panjang lebar.
Masih segar di ingatannya akan kejadian itu. Kata-kata kesat yang dikeluarkan dari mulut lelaki itu amat menyakitkan hati. Malah Fauziah dihina dan dikutuk kerana menyentuh baju mahal lelaki tersebut. Sungguh angkuh dan sombong lelaki itu.
“Kekayaan semuanya datang daripada ALLAH Kak Gie. Biarlah dia berbangga dengan kekayaannya. Biarlah dia berlagak dengan kekayaannya. Mungkin suatu hari nanti dia akan tersedar yang semua itu hanyalah pinjaman semata-mata,” nasihat Nur Ain ikhlas.
Fikirannya mengingati peristiwa yang baru terjadi. Disebabkan penampilan dirinya, dia dikutuk dan dihina sebegitu rupa. Namun dia tidak ambil peduli itu semua. Apa yang pasti, setiap perbuatan itu ada balasannya. Sekejap ataupun lambat balasannya itu, hanya ALLAH sahaja yang tahu.
“Tengahari nanti, kita makan sama ya Ain,” ujar Fauziah.
“Err... Ain ada bawa bekal Kak Gie,” bohong Nur Ain sambil menggaru kepalanya yang bertudung.
“Ain bohongkan?” duga Fauziah keras.
Bukannya baru sehari dua Fauziah mengenali Nur Ain, sudah hampir setahun. Segala tingkah laku Nur Ain sudah diketahuinya. Nur Ain tidak pandai berbohong. Jika Nur Ain berbohong, Nur Ain akan membuat tingkah seperti tadi. Menggaru kepalanya yang bertudung.
“Ain terlebih budget bulan ni Kak Gie. Jadi Ain terpaksa kawal nafsu makan Ain,” jelas Nur Ain dan tersengih.
“Mana pergi duit gaji Ain? Kan baru lagi kita gajinya. Takkan dah habis?” tanya Fauziah prihatin.
Setahu Fauziah, Nur Ain tidak suka berbelanja. Berbanding dengan dirinya yang boros. Tambah-tambah jika ada jualan murah di pasaraya-pasaraya, dialah orang pertama yang akan menyerbunya.
“Ain guna buat tambang teksi dah sepuluh kali. Lepas tu, Ain bayar duit air dan api serta barang-barang dapur. Kesian kat maksu bayarnya sorang-sorang. Selebihnya Ain simpan sebab kalau diizinkan ALLAH, Ain nak sambung belajar Kak Gie,” terang Nur Ain jujur.
Fauziah mengangguk faham. Sejak dari dulu lagi Nur Ain bijak dalam menguruskan kewangan. Fauziah tahu akan niat Nur Ain untuk melanjutkan pelajaran dan dia menyokong akan niat Nur Ain itu. Semoga impian Nur Ain akan tercapai tidak lama lagi.
“Akak belanja Ain tengahari nanti.”
“Tapi…”
“Tak ada tapi… tapi… ikut akak tengahari ni,” pintas Fauziah.
“Terima kasih Kak Gie. Insya-ALLAH, kalau Ain ada rezeki lebih sikit, Ain belanja Kak Gie ya,” janji Nur Ain dan tersenyum.
“Kalau macam tu, akak nak makan kat hotel lima bintang, boleh?” usik Fauziah.
“Insya-ALLAH, boleh. Lepas Ain kahwin dengan anak orang kaya,” balas Nur Ain dan tertawa kecil. Beranganlah kau Ain. Orang macam kau ni, siapa yang nak, bisik hati Nur Ain.
“Insya-ALLAH, akak akan doakan agar Ain berkahwin dengan orang kaya. Hidup Ain akan senang dan bahagia,” doa Fauziah berserta senyuman di bibir.
“Amin. Terima kasih Kak Gie,” ucap Nur Ain dan membalas senyuman Fauziah.


“Saya nak awak arrangekan perjumpaan dengan staf di syarikat ni dalam bulan depan. Saya nak jumpa dengan mereka semua. Tarikhnya akan saya informkan pada awak kemudian,” arah Hazrel tegas.
“Baiklah Encik Hazrel,” sahut Encik Latif menunduk.
“Saya tengok laporan awak ni tak lengkap. Saya nak awak buatnya semula. Saya nak tengok prestasi syarikat ni dari bulan ke bulan dan bukannya setahun,” jelas Hazrel sambil matanya menatap fail di hadapannya.
“Sebelum ni memang macam ni Encik Hazrel. Kami…”
“Awak jangan cerita kisah yang lalu. Sekarang ni saya yang ambil alih syarikat ni dan saya nak awak ikut cara saya, faham!” pintas Hazrel keras. Dia mengangkat muka dan merenung tajam Encik Latif yang sedang menunduk.
“Maaf Encik Hazrel. Saya akan minta kerani akaun buat laporan setiap bulan selepas ini,” ujar Encik Latif perlahan.
“Lagi satu, kenapa prestasi staf awak ni teruk sangat. Dalam sebulan, hampir sepuluh kali lewat datang ke tempat kerja. Kenapa awak tak buang aje staf ni? Saya tak nak orang luar pandang negatif terhadap syarikat saya gara-gara menyimpan staf yang lewat hampir sepuluh kali dalam sebulan,” tegas Hazrel dan meninggi.
“Tapi prestasi kerja dia bagus Encik Hazrel.”
“Sebagus mana pun prestasi kerja dia, kalau peraturan simple pun dia tak boleh nak ikut, itu bukan bagus maknanya Encik Latif,” bidas Hazrel keras.
“Saya dah bagi warning kat dia Encik Hazrel.”
“Kalau setakat bagi warning, takkan berkesan Encik Latif. Saya akan bincangkan perkara ini dengan Dato’. Mungkin tindakan terhadap staf akan saya ambil.”
“Tapi Encik Hazrel…” sukar untuk Encik Latif bersuara.
“Dalam perjumpaan tu nanti, saya akan umumkan beberapa peraturan baru. Dan saya nak semua staf wajib hadir pada hari tersebut,” pesan Hazrel.
Matanya dikalihkan ke atas kertas putih yang berada di hadapannya itu. Senarai nama serta prestasi pekerja di Syarikat Cahaya Sdn Bhd. Matanya tertancap ke nama seorang pekerja yang lewat setiap bulan. Ada yang menarik pada nama itu. ‘Nur Ain Zafira Ibrahim’ sebut Hazrel di dalam hati.
“Awak pastikan Nur Ain Zafira Ibrahim hadir pada perjumpaan itu. Saya perlu berhadapan dengan dia. Kalau dia tidak hadir, awak buang dia terus dari syarikat ini,” pesan Hazrel dan menutup fail yang sedari tadi di bacanya.
“Baiklah Encik Hazrel!” balas Encik Latif dan mengangguk.
Hazrel menghela nafas lembut. Dia mengerling jam di tangan, hampir ke pukul dua belas tengahari. Dia perlu bertemu dengan Eddie Zakuan seperti yang telah dijanjikan. Bingkas dia bangun dari duduknya untuk beredar. Encik Latif yang menyedari akan tingkah Hazrel, turut sama bangun.
“Jangan lupa pesanan saya tadi Encik Latif,” ujar Hazrel tegas.
Encik Latif sekadar mengangguk. Matanya menghantar pemergian Hazrel sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Dia menarik nafas lega. Betapa seksanya dia mengadap majikannya yang baru itu. Jika bukan disebabkan hutang yang syarikat alami dua tahun yang lepas, tidak mungkin syarikatnya itu dibeli oleh syarikat lain. Malah untuk mengadap majikan seperti Hazrel tidak pernah terlintas di kepalanya.
Encik Latif menapak keluar dari bilik. Dia perlu memberitahu kesemua pekerjanya tentang perjumpaan itu. Dia juga harus memberi peringatan kepada Nur Ain agar hadir pada hari tersebut. Jika tidak, sudah pastilah Nur Ain akan dibuang kerja. Bukannya dia tidak pernah memberi amaran kepada Nur Ain, sudah berkali-kali, tetapi amarannya itu seperti angin lalu sahaja bagi Nur Ain. Malah alasan yang selalu Nur Ain berikan juga difikirkan logik bagi dirinya.
Encik Latif mengeluh berat. Jauh di sudut hati, tidak sampai hati untuk membuang Nur Ain. Prestasi kerja Nur Ain amat memberansangkan. Malah Nur Ain tidak pernah melawan kata-katanya seperti pekerja-pekerja yang lain. Keadaan Nur Ain juga membuatkan dia tidak sampai hati untuk membuang Nur Ain. Masih segar di ingatan Encik Latif ketika Nur Ain meminta kerja darinya. Bersungguh-sungguh Nur Ain menyakinkan dia ketika itu agar menerimanya bekerja. Disebabkan rasa simpati, Nur Ain diterima bekerja di syarikatnya.
“Fauziah!” panggil Encik Latif.
Fauziah yang mendengar segera menoleh. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menapak jalan menuju ke arah Encik Latif yang sedang berdiri di hadapan pintu pejabat mereka.
“Ada apa Encik Latif?” tanya Fauziah sebaik sahaja berada di hadapan Encik Latif.
“Saya nak awak sediakan laporan kewangan bulanan sehingga bulan ini. Lepas siapkan awak letak atas meja saya,” arah Encik Latif.
“Tapi Encik Latif, bukan ke selalunya kita buat laporan setiap tahun dan bukannya bulanan.”
“Bos baru Fauziah. Dia nak setiap bulan dan bukannya tahunan. Awak sediakan saja apa yang saya minta tadi.”
“Baiklah Encik Latif.”
“Awak minta Nur Ain masuk ke dalam bilik saya Fauziah. Saya ada perkara nak bincangkan dengan dia,” pinta Encik Latif dan menapak jalan menuju ke pejabatnya.
Fauziah hanya mengangguk. Lantas dia melangkah jalan menuju ke tempat duduk Nur Ain. Dia perlu memberitahu pesanan Encik Latif pada Nur Ain. Sebab apa Encik Latif meminta Nur Ain berjumpa, dia sendiri tidak pasti. Mungkinkah Encik Latif menyedari akan kelewatan Nur Ain hari ini?


“Maaf bro lambat. Aku meeting tadi,” ujar Hazrel seraya duduk.
“Tak pe. Aku pun baru aje sampai,” balas Eddie dan tersenyum.
Suasana hening seketika tatkala pelayan datang menghampiri meminta pesanan. Setelah memberi pesanan, Hazrel menghalakan pandangannya ke muka Eddie.
“Kau balik hari ke tidur kat sini?” tanya Eddie.
“Aku balik harilah. Malas aku nak tidur kat sini. Kau bukannya tak tahu perangai mama aku tu, suka sangat membebel. Takut sangat aku terpikat dengan orang kat sini,” jawab Hazrel panjang lebar.
“Alah kau pun tak nakkan terpikat dengan orang kat sini. Macamlah aku tak kenal dengan kau. Berlagak, ego, sombong,” kutuk Eddie selamba.
“Mulut kau jaga sikit. Sedap hati aje nak kutuk aku,” balas Hazrel cuba menahan geram. Dia mengangguk kecil ke arah pelayan yang sedang meletakkan minuman yang dipesannya tadi. Seminit kemudian, kelibat pelayan itu menghilang.
“Dah memang perangai kau macam tu, tak boleh nak dinafikan. Semua orang pun kau pandang rendah termasuklah aku,” komen Eddie pedas.
Hazrel mendengus kasar. Air minuman di hadapan dicapai dan diteguk rakus. Sakit hatinya mendengar komen Eddie itu.
“Betulkan apa yang aku cakapkan. Orang macam tu, suka mengambil kesempatan pada orang-orang macam kita ni,” kutuk Hazrel tidak berlapik.
“Kau jangan cakap macam tu Haz. Dibuatnya kau jatuh cinta dengan orang macam tu, baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah,” cabar Eddie.
“Itulah perkara terakhir yang akan aku fikirkan dalam hidup aku,” bidas Hazrel pantas.
Eddie menggeleng. Hazrel memang terkenal dengan sikap angkuh dan bongkaknya. Sejak perkenalannya dengan Hazrel di universiti dulu, perangai dan sikap Hazrel sudah sebati dalam dirinya. Walupun kadang kala sikap Hazrel keterlaluan, namun dia serasi berkawan dengan Hazrel. Dengan cara itu, dia dapat mengubah Hazrel dari semasa ke semasa. Semoga Hazrel tidak memandang serong serta hina terhadap golongan seperti itu. Hanya pada ALLAH, Eddie berdoa agar Hazrel berubah suatu hari nanti.
“Kau nak ke mana lepas ni?” tanya Hazrel membawa Eddie ke alam realiti.
“Aku nak jumpa dengan awek aku,” jawab Eddie.
“Kau masih berkawan dengan perempuan tu ke?” sindir Hazrel sinis.
“Kau jangan nak kutuk awek aku Haz. Aku tak kesah dengan kedudukan serta status dia, asalkan hati dia baik. Kalau kaya, tapi miskin budi bahasa tak guna jugakan,”
“Yang pasti dia memang macam tu dan selama-lamanya akan macam tu juga. Tak mungkin akan berubah, betulkan?” cebik Hazrel.
“Kau dah lebih Haz. Aku tak pernah kutuk awek kau, kenapa kau nak kutuk awek aku,” marah Eddie meninggi. Panas telinganya mendengar kutukan Hazrel itu.
“Sebab awek aku tu kaya dan cantik!” selamba  Hazrel berkata.
Sengaja untuk membuatkan Eddie marah. Dia mahu Eddie membuka matanya. Kenapa orang macam itu juga yang menjadi pilihan Eddie? Jika nak dibandingkan Eddie dengan perempuan itu, jauh panggang dari api. Bagai langit dengan bumi. Bagai enggang dengan pipit. Eddie anak seorang Tan Sri sedangkan perempuan itu entah mana asal usulnya, Hazrel sendiri tidak tahu. Daripada melihat gaya dan penampilan perempuan itu, ternyata perempuan itu datangnya dari golongan biasa.
“Kalau perangai mengalahkan syaitan, cantik apa namanya tu,” sindir Eddie pula.
“Kau….”
“Sudahlah, malas aku nak layan kau Haz. Aku blah dulu. Aku doakan kau jatuh cinta dengan orang seperti itu. Biar terbuka mata kau tu nanti,” pintas Eddie seraya bangun.
Lebih lama dia di situ, entah apa lagi yang akan dikutukkan oleh Hazrel. Sungguh hatinya terasa dengan kata-kata Hazrel sebentar tadi. Kenapa perspektif Hazrel masih tidak berubah-ubah sehingga sekarang? Mungkinkah disebabkan apa yang terjadi di dalam keluargnya membuatkan Hazrel berfikiran seperti itu?
“Aku harap doa kau takkan dimakbulkan oleh tuhan,” ujar Hazrel keras sebelum Eddie melangkah jauh dari tempat itu.
Eddie yang mendengar, sekadar tersenyum. Tanpa membalas kata-kata Hazrel, segera dia menghilangkan dirinya di sebalik pintu restoran. Semoga doa aku dimakbulkan ALLAH tidak lama lagi Hazrel, bisik hati Eddie.


Nur Ain melangkah jalan menuju ke perhentian teksi. Sambil melangkah, fikirannya mengingati kata-kata amaran Encik Latif. Kecut perutnya mendengar amaran Encik Latif tadi. Malah perjumpaan yang bakal diadakan dengan Pengurus Besar juga membuatkan dirinya dalam keadaan gusar dan resah gelisah. Bagaimana untuk menjawab jika Pengurus Besar bertanya akan kelewatannya selama ini? Adakah alasannya itu akan diterima sepertimana Encik Latif menerima alasan tersebut? Buntu Nur Ain memikirkannya. Khuatir dirinya akan dibuang kerja. Di mana lagi perlu dia mencari pekerjaan jika perkara itu berlaku?
“Saya nak awak buat memo, Pengurus Besar nak berjumpa dengan pekerja semua. Tarikhnya akan saya confirmkan dengan dia,” arah Encik Latif tegas.
“Baiklah Encik Latif,” balas Nur Ain sambil mencatat arahan tersebut di atas kertas.
“Lagi satu, awak boldkan perkataan ‘WAJIB’ dalam memo tersebut. Semua pekerja diwajibkan hadir pada hari itu. Jika tidak, tindakan akan di ambil terhadap pekerja yang tidak hadir pada hari tersebut,” jelas Encik Latif.
Nur Ain mengangguk faham. Tangannya masih ligat mencatat arahan Encik Latif.
“Termasuk awak Nur Ain. Jangan awak tak hadir pada hari tersebut. Sebab Pengurus Besar nak jumpa dengan awak,” sambung Encik Latif.
Bulat mata Nur Ain mendengarnya. Menggeletar tangannya dengan tiba-tiba. Hampir saja pen yang dipegang itu terlepas dari pegangan tangan. Mujurlah dia dapat mengawal keadaannya itu.
“Pengurus Besar nak jumpa dengan saya?” ulang Nur Ain bergetar.
Encik Latif mengangguk. Dia menghela nafas pendek dan bersandar ke kerusinya.
“Sebab kelewatan saya ke Encik Latif?” duga Nur Ain.
“Bukan itu saja Nur Ain, dia pesan pada saya supaya pastikan awak hadir pada hari itu. Kalau awak gagal menghadirkan diri, tindakan akan di ambil ke atas awak. Mungkin awak akan dibuang kerja,” jelas Encik Latif perlahan.
Rasa simpati terhadap Nur Ain terbit dari dalam hatinya. Wajah Nur Ain di hadapan di tenung sayang. Nur Ain sudah di anggap seperti anaknya. Kasih sayang terhadap Nur Ain, tidak melebihi kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya.
Nur Ain menelan liurnya sendiri. Terasa kelat dirasakan. Dibuang kerja! Ulang Nur Ain di dalam hati. Wajah Encik Latif ditatap mesra. Ada kegusaran pada wajah itu. Sudah pastilah Encik Latif terkejut menerima arahan tersebut. Jika tidak, mustahil Encik Latif akan beriak sebegitu rupa. Nur Ain mengeluh dalam hati. Bagaimana jika dia benar-benar dibuang kerja?
“Saya akan dibuang kerja ke Encik Latif?” ulang Nur Ain semula.
“Saya tak tahu Nur Ain. Semua keputusan di tangan Encik Hazrel. Saya sekadar mengikut arahannya sahaja,” beritahu Encik Latif dan mengeluh ringan.
Nur Ain hanya mendengar. Pelbagai persoalan menerjah ke kotak fikiran. Encik Hazrel! Detik hatinya. Jika benarlah apa yang difikirkannya itu, Nur Ain akan cuba merayu agar lelaki itu tidak membuangnya kerja. Malah Nur Ain sanggup melakukan apa-apa sahaja, seandainya dengan cara itu dapat menghindarkannya daripada di buang kerja.
“Aduh!” rengek Nur Ain tatkala tubuhnya ditolak dengan sesuatu benda keras. Dengan serta merta tubuhnya jatuh terjelupuk ke kanan jalan.
Damn!!” marah Hazrel tatkala menyedari keretanya melanggar seseorang.
Serta merta dia memutarkan stereng cuba untuk mengelak dari melanggar terus. Tidak semena-mena bumpernya terlanggar divider di situ.
“Hisy, memang menyusahkan. Mata tu letak kat mana? Kepala lutut ke? Geram betul!” rungut Hazrel keras sebaik sahaja mematikan enjin kereta. Segera dia keluar dari perut kereta untuk melihat keadaan keretanya itu.
“Aduh! Calar dah ni. Tak guna punya orang!” marahnya lagi sambil matanya melihat kesan calar yang terdapat di bumper keretanya itu. Mujurlah dia memandu dalam kelajuan sederhana, jika tidak mahu teruk bumpernya melanggar divider tersebut.
Nur Ain mengaduh kesakitan. Dia meraba-raba punggungnya yang terasa sakit. Dilihat baju kurungnya terkoyak dan berdarah. Serta merta dia menyising lengan baju kurungnya. Alangkah terkejutnya dia melihat darah yang mengalir keluar dari lengannya itu. Malah kakinya juga terasa sakit gara-gara dilanggar dengan benda keras tersebut.
“Macam mana kau melintas? Mata kau tu letak kat mana? Kat kepala lutut ke?” marah Hazrel bertalu-talu. Tajam matanya ke muka Nur Ain.
“Maaf!” balas Nur Ain perlahan.
Cuba menahan kesakitan di lengan dan kakinya. Semakin laju darah yang mengalir keluar dari lengan Nur Ain. Tanpa disedari Nur Ain, lengannya tertusuk serpihan kaca yang terdapat di kawasan tersebut.
“Maaf kepala otak kau. Tak habis-habis dengan maaf kau tu. Kau ingat maaf kau tu boleh elokkan kereta aku yang dah kau calarkan tu,” tengking Hazrel meninggi.
Terhenjut badan Nur Ain mendengar tengkingan lelaki itu. Segera dia mengangkat muka dan memandang ke wajah lelaki tersebut. Tergamam Nur Ain buat seketika. Lelaki ini juga yang hampir melanggarnya pagi tadi. Lelaki ini juga yang telah menengking serta memarahinya pagi tadi. Malah lelaki ini juga yang telah mengutuk dan menghina dirinya pagi tadi.
“Kau!!” jerit Hazrel terkejut. “Malang nasib aku berjumpa dengan kau. Memang kau ni pembawa malang betullah!” kutuk Hazrel pula.
Terkejut Nur Ain mendengar kenyataan dari mulut Hazrel. Matanya tajam ke muka Hazrel. Jika dia diberi kuasa, ingin saja dia menampar lelaki bermulut lancang itu. Perkataan ‘malang’ yang keluar dari mulut lelaki itu begitu menyakitkan hati. Perkataan yang pernah dijolokkan buat dirinya tiga tahun yang lepas. Sehinggakan dia mengakui akan kata itu sesuai buat dirinya suatu masa dahulu.
“Aku nak kau bayar duit baiki kesan calar tu. Kalau kau tak bayar, sampai ke lubang cacing aku cari kau,” gertak Hazrel pula.
Nur Ain hanya membisu. Dirasakan matanya mulai berpinar dan kabur. Kepalanya dirasakan berdenyut dengan tiba-tiba. Tubuhnya terasa ringan. Sekelip mata dia pengsan di situ.


“Kau memang menyusahkan aku. Habis kereta aku bau darah kau!” marah Hazrel.
Sakit matanya melihat tompokan darah yang membasahi kusyen keretanya itu. Matanya mengerling sekilas ke arah Nur Ain yang masih tidak sedarkan diri. Terkumat-kamit mulutnya menyumpah gadis itu.
Hazrel memarkirkan kereta di lorong kecemasan. Segera dia memboloskan diri keluar dari perut kereta dan menapak mencari pegawai yang bertugas di hospital itu. Setelah menemuinya, tubuh Nur Ain diletakkan di atas stretcher dan dibawa masuk ke dalam bilik rawatan. Kelihatan doktor bertugas menuju ke bilik tersebut.
“Encik!” panggil seseorang mematikan langkah Hazrel.
Serentak Hazrel menoleh.
“Ada apa?” tanya Hazrel.
“Minta tolong daftarkan pesakit,” jawab nurse yang bernama Nora itu.
“Tapi, saya tak kenal dengan dia.”
“Tak kenal?” ulang Nora berkerut.
Hazrel mengangguk.
“Kalau macam tu, encik tolong call waris pesakit,” pinta Nora pula.
“Masalahnya cik nurse, saya tak kenal siapa dia. Saya terserempak dia kat tepi jalan. Jadi saya bawalah dia ke sini,” jelas Hazrel tegas.
“Kenapa ni Nora?” tanya seseorang dari arah belakang.
“Encik ni, dia bawa pesakit, tapi tak kenal. Macam mana nak daftarkan dia masuk wad nanti,” beritahu Norain.
“Yang mana satu?” tanya Asmah.
“Baru tadi masuk ke dalam wad.”
“Baru masuk?” ulang Asmah.
Nora mengangguk.
“Kalau tak silap mata aku tadi, Nur Ain. Jiran kat taman perumahan aku tu.”
“Kalau kau kenal, kau tolong call waris dia. Nak daftarkan dia masuk wad,” pinta Nora.
“Nanti aku call maksu dia,” ujar Asmah dan menjauhi Nora dan Hazrel.
Nora sekadar mengangguk. Matanya mengekori langkah Asmah. Selepaa itu, dijatuhkan matanya ke muka Hazrel.
“Harap muka aje handsome, tapi berlagak!” kutuk Nora sendirian. “Encik, minta sign kat sini,” pinta Nora.
“Kenapa pulak saya yang kena sign? Kan kawan awak tadi tu kenal dengan pesakit. Jadi, awak tunggu ajelah waris dia sampai,” bidas Hazrel keras.
“Masalah sekarang ni, encik yang bawa pesakit ke sini. Jadi memang wajib encik yang sign,” bentak Nora turut sama keras. Berlagak!
Hazrel mendengus geram. Lantas dia mencapai pen dan menandatangani borang tersebut. Hatinya menbentak hebat. Jam di tangan dikerling seketika. Masa sudah pun menginjak ke angka lapan malam. Niatnya untuk balik ke Kuala Lumpur pada malam ini, terpaksa dibatalkan. Semuanya gara-gara perempuan miskin itu.


“Haz, kau buat apa kat sini?” tanya Eddie tatkala melihat kelibat Hazrel.
“Aku hantar perempuan yang sudah menyusahkan aku!” jawab Hazrel selamba.
Berkerut dahi Eddie mendengarnya. Matanya mengerling sekilas ke arah Humaira yang berada di sisinya. Jelas kekerutan di dahi Humaira sepertinya juga.
“Kak Mai!” panggil Asmah.
Serentak Humaira dan Eddie menoleh.
“As mana Ain?” tanya Humaira risau.
“Masih kat dalam. Doktor tengah keluarkan kaca dari lengan Ain,” beritahu Asmah.
“Kaca? Maksud As?”
“Lengan Ain tertusuk kaca.”
“Macam mana boleh jadi macam tu?” sampuk Eddie pulak.
“Abang Eddie tanyalah lelaki tu,” ujar Asmah sambil mengunjuk ke arah Hazrel. Kemudian dia berlalu pergi dari situ.
“Haz, apa yang kau dah buat pada Ain?” tanya Eddie keras.
Hazrel mengangkat muka. Tajam matanya memandang Eddie. Kenapa soalan itu yang ditanyakan Eddie kepadanya?
“Aku tak buat apa-apa. Mata dia yang buta. Melintas tak tengok kiri kanan,” jawab Hazrel selamba. “Aduh, bateri kong la pulak,” keluhnya pula.
“Kau tu kalau bawa kereta memang tak ingat dunia. Aku pasti kau yang langgar dia,” komen Eddie pedas.
“Kau jangan nak tuduh aku yang bukan-bukan Die. Yang kau bela sangat orang tu kenapa?” marah Hazrel meninggi.
Sakit hati mendengar komen pedas Eddie itu. Jika tidak memikirkan Eddie kawan baiknya, dah lama dilayangkan penumbuk ke muka Eddie ketika itu juga.
“Sudahlah Die, kita kat hospital ni. Tak pasal-pasal kena tegur pulak. Kita tunggu apa kata doktor,” tegah Humaira memujuk.
Tidak mahu terus-terusan melihat Eddie dan Hazrel berbalah. Bukan sekali dua Humaira berjumpa dengan Hazrel, sudah berkali-kali. Malah kata-kata hinaan dan cacian dari Hazrel, sudah sebati dalam dirinya.
Eddie mendengus kasar. Hazrel tidak pernah nak berubah. Sombong dan berlagak dengan kekayaan yang dia ada. Bilalah Hazrel akan berubah perangai?
“Doktor, macam mana dengan anak saudara saya?” tanya Humaira sebaik sahaja seorang doktor keluar dari wad kecemasan.
“Macam mana doktor?” tanya Eddie pula.
“Saya dah keluarkan kaca dari lengannya. Mujurlah cepat dibawa ke mari. Kalau tidak mungkin akan dijangkiti kuman. Tapi sekarang dia tak ada apa-apa. Sehari dua nanti, bolehlah balik,” jelas doktor yang bernama Ahmad itu.
“Terima kasih doktor. Boleh saya jumpa Ain?” pinta Humaira.
“Boleh. Jangan bawa berbual sangat. Dia perlu rehat yang secukupnya,” balas Dr. Ahmad dan berlalu pergi.
“Mai masuk dalam dulu,” pamit Humaira dan menapak masuk ke dalam bilik Nur Ain.
Eddie hanya mengangguk. Ekor matanya sahaja yang menghantar langkah Humaira. Kemudian dihalakan pandangan ke arah Hazrel yang sedang beriak selamba.
“Aku blah dulu. Kau bagitau pada perempuan tu, suruh dia bayar kos kereta aku yang dah dia calarkan serta upah bersihkan kesan darah kat kusyen kereta aku tu. Kalau dia tak bayar, sampai ke lubang cacing aku cari dan tuntutnya,” pesan Hazrel sinis.
Kemudian dia membawa kakinya keluar dari kawasan hospital itu. Sesak nafasnya menghidu bau ubat-ubatan di hospital itu. Tempat yang paling tidak disukainya selama ini.
Eddie hanya menggeleng. Dia menghela nafas pendek. Setelah memastikan kelibat Hazrel hilang, segera dia menapak masuk ke bilik Nur Ain di tempatkan. Jika Nur Ain tidak mampu untuk membayarnya, dia sendiri yang akan membayar kepada Hazrel bagi pihak Nur Ain. Bukannya Eddie tidak kenal dengan Hazrel. Jika kata putus sudah dibuat, Hazrel akan melakukannya bersungguh-sungguh. Begitulah juga dengan amaran Hazrel sebentar tadi. Jika tidak dibayar, mahu dicari Nur Ain sampai ke lubang cacing. Eddie mengeluh dalam hati.

10 ulasan:

  1. amboiiii.. mulut...vavii tol jantan ni.. kuang jaqqqqqqqqqqqq....

    mulut.. mmg....urg...teruk betul. Ya allah, jgn la bg aku jmpe org mcm ni seumur hidup aku..berlagak nak mampos!!!

    Die boleh sound2 org yg dia langgar, suh byr keta dia calar. Dia ta sedar ker.. kalau dia langgar, rosak kreta, bumper patah ker apa ada spare part, badan manusia tak ada tau!!

    *bunuh Hazrell* >_<

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha.. jgnlah emo.. time ni aje Hazrel jahat, esok lusa dia bertukar jd romantik.. kalah Amirul dlm GB nti... haha.. :D

      Padam
  2. akak...xpe.. sya mmg suka emo bila baca novel.. bru best... feeling habis..hehehhee..

    BalasPadam
    Balasan
    1. samala ngan akak.. x best ar bc novel yg xde emo.. x mencabar btl bcnya nti.. hihi.. :D

      Padam
  3. bgus tol qminz ni penuh emosi baca novel...hahaha..tp akak sokong, mulut longkang btul si hazrel ni...alamak, dah ter emo gak!hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. xpe2 klu terlbh emo.. maknanya watak tu hiduplah.. :D

      Padam
  4. geram nye ngan hazrel. hihihi..

    BalasPadam
  5. kak ros..kurang hajar la hazrel niii....eeee nak bg penampar je kat dia taw

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. tie, mmg x dnafikan.. mmg ramai yg geram kat hazrel.. tp, nti akn jth syg kat dia.. ;)

      Padam