Khamis, 26 Januari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 6


BAB 6

“Lia!!” panggil Harris sedikit menjerit.
Liyana menoleh. Terlihat Harris sedang berlari ke arahnya. Hisy, nak apa lagi si Harris ni. Tak habis-habis nak berkepit dengan akulah, gerutu Liyana sendirian. Dia melemparkan sebuah senyuman buat Harris.
“Jom!” ajak Harris sambil menarik tangan Liyana.
“Eh… jom ke mana?” tanya Liyana dan menarik tangannya dari pegangan Harris.
“La… naik dengan sayalah,” balas Harris dan tersenyum.
“Tak mengapalah Harris. Lia naik dengan Fazura aje. Lia dah janji dengan Fazura,” tolak Liyana lembut. Tidak mungkin dia akan mengikut Harris. Khuatir akan dipandang serong oleh pekerja-pekerja lain di syarikat itu.
“Lia bagitaulah Fazura yang Lia naik dengan Harris,” cadang Harris berserta wajah simpati.
Aduh! Gawat ni. Macam mana aku nak tolak ni? Zura… mana pulak Zura ni pergi? Aku dah naik rimas dengan perangai Harris ni, getusnya.
“Tak pelah. Lia betul-betul dah janji dengan Zura. Kesian pulak dia drive sendiri tanpa teman,” tolak Liyana lagi. Berharap alasannya itu cukup kukuh untuk menolak pelawaan Harris.
“Erm… baiklah. Tapi dengan syarat, balik KL nanti, Lia naik dengan saya.” Harris terpaksa mengaku kalah. Jauh di sudut hati, dia ingin Liyana menemaninya dalam perjalanan menuju ke Teluk Batik. Alangkah seronoknya jika ianya berlaku.
“Harris!!” laung Amirul dari jauh.
Serentak Liyana dan Harris menoleh. Amirul menapak jalan menuju ke arah mereka berdua. Liyana mengeluh berat. Ingin saja dia berlalu pergi dari situ. Tidak mahu bertentang mata dengan Amirul. Kata-kata hina Amirul masih lagi tersemat dalam kotak fikiran. Dan tidak mungkin dia akan melupakannya begitu sahaja.
“Aku ikut kaulah. Aku malas nak drive,” ujar Amirul sebaik sahaja dia berhadapan dengan Harris.
“Lia minta diri dulu. Nak cari Fazura,” celah Liyana dan berlalu pergi dari situ. Terasa sesak nafasnya tatkala berhadapan dengan Amirul.
Harris sekadar mengangguk. Ekor matanya sahaja mengekori langkah Liyana hingga hilang dari pandangan mata. Kemudian, dikalihkan pandangan ke muka Amirul pula.
“Kau ni kacau daunlah. Tak senang aku nak berdating dengan Lia,” marah Harris sengaja membuatkan Amirul rasa bersalah.
“Kau serius ke dengan dia?” soal Amirul ingin tahu. Mereka berdua melangkah jalan menuju ke parkir kereta. Amirul akan menumpang kereta Harris untuk ke Teluk Batik.
Harris membolos masuk ke dalam kereta. Dia menghidupkan enjin kereta sementara menunggu Amirul meletakkan bagasi ke dalam bonet kereta. Selepas itu, Amirul masuk ke dalam kereta dan memakai tali pinggang keledar. Harris menggerakkan keretanya perlahan dan mengekori kereta Fazura dari belakang. Soalan Amirul tadi, dipandang sepi.
“Kau serius ke dengan dia?” ulang Amirul kepada soalannya tadi.
“Siapa?” tanya Harris pura-pura lurus.
“Liyana!”
“Kalau aku kata serius macam mana?” duga Harris berserta senyuman. Tumpuan diluruskan kepada pemanduannya.
Amirul mencebik. Belum pernah dia melihat Harris segembira ini. Liyana benar-benar membuatkan Harris angau dan jatuh cinta. Sungguh licik Liyana memainkan peranan. Bukan sahaja Harris yang tertipu, malah dirinya juga tertipu dengan lakonan hebat Liyana.
“Kalau kau serius baguslah. Tapi aku nasihatkan kau agar lebih berhati-hati. Jangan mudah percaya dengan mulut manis seorang perempuan. Aku tak nak kau alami perkara yang sama seperti Azlin dulu,” nasihat Amirul ikhlas.
Itulah yang diharapkan oleh Amirul. Dia tidak mahu Harris kecewa buat kali yang kedua. Dan dia tidak sanggup melihatnya.
“Insya-ALLAH. Kali ini aku yakin Liyana bukan seperti Azlin. Aku harap kau doakan untuk aku agar hubungan aku dengan Lia berjalan dengan lancar,” pinta Harris dan masih tersenyum.
Amirul mengangguk. Entah mengapa hatinya merasa cemburu melihatkan kegembiraan di wajah Harris. Selama dia bercinta dengan Shasha, belum pernah sekali dia merasa gembira seperti Harris. Setiap kali berjumpa, ada sahaja perkara yang menjadi isu pergaduhannya dengan Shasha. Entah sampai bila dia akan berkeadaan sebegitu, dia sendiri tiada jawapannya.


“Aku susah hatilah Zura. Apa yang perlu aku buat? Perlukah aku berterus-terang dengan Tan Sri Khalil?” Liyana menyuarakan rasa gusarnya. Segalanya sudah pun diceritakan kepada Fazura. Hanya Fazura sahaja tempat untuknya mengadu segala resah gelisah.
“Tulah kau. Kalau ya pun nak berlakon, agak-agaklah. Sekarang tengok, apa dah jadi. Makan sendirilah kau punya lakonan tu,” kutuk Fazura tidak berlapik.
“Kalau kau nak kutuk, baik aku tak payah cerita,” rajuk Liyana dan memuncungkan mulut.
“Kau ni, tak boleh kena tegur sikit. Sikit-sikit nak merajuk, sikit-sikit nak merajuk. Aku panggil Harris baru tau. Biar dia aje yang pujuk kau,” usik Fazura dan tersenyum nakal.
“Hisy kau ni. Tak ada nama lain ke kau nak sebut. Balik-balik nama Harris tu juga yang kau sebutkan. Aku dengan dia tak ada apa-apalah. Kami berkawan aje,” bidas Liyana dan mencebik.
“Ala… macamlah aku tak tahu. Mulut kata tak nak, hati kata nak!” giat Fazura dan tergelak.
“Hahaha… lawaknya. Kau boleh masuk Maharaja Lawaklah Zura. Belum uji bakat, kau dah layak dulu dah,” ujar Liyana berserta ketawa kecil.
“Pasal apa pulak?” tanya Fazura berserta kerutan.
“Sebabnya muka kau pun dah cukup lawak bagi diorang. Dah tak payah nak uji bakat,” sahut Liyana dan ketawa besar.
“Kurang tiga sukulah otak kau ni Lia. Kalau masuk Tanjung Rambutan, dah memang layak benar,” usik Fazura pula seraya mencubit paha Liyana.
Liyana mengaduh sakit. Seminit kemudian, mereka berdua ketawa mengenangkan tingkah masing-masing. Bagi Liyana, tidak ada apa yang perlu dirasakan dengan kata-kata Fazura. Sudah teranggap biasa dengan situasi itu. Sekadar gurauan dan menggembirakan hati masing-masing.


Setibanya mereka di destinasi, masing-masing menuju ke bilik yang telah ditetapkan. Tiada aktiviti yang dijalankan pada petang itu. Mereka diberi kebebasan untuk melakukan apa-apa aktiviti sebelum acara malam nanti. Liyana mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di persisiran pantai. Manakala Fazura, hanya terbongkang tidur di dalam bilik mereka. Mungkin kepenatan memandu kereta membuatkan Fazura keletihan. Ada juga Liyana menawarkan diri untuk memandu, tetapi dihalang keras oleh Fazura. Sudahnya, Liyana hanya menjadi penumpang setia sepanjang perjalanan tadi.
Liyana melabuhkan duduk di atas pasir. Ketenangan petang itu, begitu mengasyikkan. Terasa ingin duduk berlama di situ sambil melayan perasaan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia berenang ke pantai sekadar melepaskan lelah yang selama ini membelenggu diri. Sudah menjadi kebiasaan melepaskan segala masalah dengan berenang. Terasa kepuasan apabila berenang.
Liyana melepaskan keluhan berat. Hampir sebulan dia tidak mengetahui berita tentang keluarganya. Adif juga tidak menelefonnya selepas pertemuan mereka di restoran dahulu. Dia juga takut untuk menelefon ibunya. Dikhuatiri akan dimarahi oleh Dato’ Zulkifli. Pernah sekali dia menelefon ibunya, namun panggilannya itu dijawab oleh Dato’ Zulkifli. Dia dimarahi dan dituduh meminta duit daripada Datin Suraya. Sungguh berat pertuduhan Dato’ Zulkifli itu. Salahkah dia menelefon sekadar untuk melepaskan kerinduan yang bertamu di dalam hati? Salahkah dia menelefon sekadar untuk bertanya khabar tentang keluarganya itu?
Liyana menyeka air matanya. Dia menarik nafas dan melepaskannya lembut. Otaknya ligat memikirkan beberapa soalan. Soalan yang tidak pernah putus sehingga ke hari ini. Adakah keluarganya sudah melupakannya? Adakah dirinya tidak begitu penting buat keluarganya? Jika difikirkan, sungguh menyesakkan nafas. Ditahan perasaan daripada merintih hiba, daripada merayu hiba. Perlukah dia menangis, merayu-rayu kepada keluarganya? Dia tidak perlu berbuat begitu. Hanya dengan cara menggembirakan diri sendiri sudah cukup menyeksakan, sudah cukup mendera hatinya. Bagaimana untuknya menghadapi semua itu lagi? Cukup kuatkah untuknya lagi?
“Kau dah bagitau papa aku perkara yang sebenarnya?” tanya seseorang membuatkan lamunan Liyana bertempiaran lari.
Hisy, siapa pulak yang mengganggu-gugat ketenangan aku ni? Sibuk betullah! Tak boleh tengok orang senang sikit, marah Liyana dan mendengus kasar. Seraya itu dia menoleh. Waduh!! Mamat hingus ni lagi. Mencemarkan pemandangan aku betullah!
“Kau dah bagitau belum?” desak Amirul sedikit kasar.
“Belum!” jawab Liyana sepatah.
Bingkas Liyana bangun untuk beredar dari situ. Lebih lama dia di situ, ada saja ayat yang akan dihamburkan oleh mamat hingus itu nanti.
“Bila kau nak bagitaunya?” Amirul masih tidak berpuas hati. Pantas lengan Liyana ditarik kasar membuatkan Liyana terdorong ke belakang.
Part ni yang aku tak suka ni. Sesuka hati mak bapak dia aje nak main tarik-tarik. Sekali aku cukur kepala tu sampai botak, baru dia tahu. Free-free nanti jadi macam banduan kat Penjara Tapah tu, gerutu Liyana dan tersengih. Ee… tak dapat aku bayangkan macam mana muka dia tu nanti kalau botak, sambungnya dan ketawa mengekek. Geli hati memikirkannya.
“Oii… yang kau tersengih-sengih macam kerang busuk tu kenapa? Dah pulak tu ketawa mengalahkan Pontianak Sundal Malam aje aku dengarnya,” tegur Amirul. Sakit pula hatinya melihat tingkah Liyana itu.
Liyana menekup mulut. Sedar akan keterlanjurannya itu.
“Erk… tak ada apa-apa,” sangkal Liyana laju.
“Jadi bila kau nak bagitau papa aku?” ulang Amirul kepada soalan yang sama.
“Kalau saya rasa nak bagitaunya, saya bagitaulah,”
“Apa maksud kau? Kau ingat papa aku tu makanan ke yang kau boleh main rasa-rasa pulak. Atau kau sebenarnya suka dijodohkan dengan aku. Bolehlah kau kaut semua harta papa aku. Kaukan pelakon terhebat mengalahkan pelakon Rosminah Sidek. Macam-macam kau boleh buat untuk yakinkan papa aku tu, betulkan?” tuduh Amirul tidak berlapik.
Dusss!! Sebiji batu mengenai kepala Liyana. Sungguh tidak menyangka begitu anggapan Amirul terhadapnya. Begitu sekali pertuduhan Amirul terhadapnya. Apakah dia seorang yang terdesak ingin merampas harta Tan Sri Khalil? Apakah dia tidak punya harga diri dan maruah?
Dia ni menguji keayuaan aku betullah. Sesedap mulut dia aje nak tuduh aku macam tu. Ada ke dia bandingkan aku dengan Rosminah Sidek. Kalau dia bandingkan aku dengan Siti Saleha ke, Erra Fazira ke, adalah juga bestnya. Hisy… ada yang nak kena ni. Tak tersior aku dengan harta bapak kau tu. Harta bapak aku pun banyak, tak terhabis dibuatnya, marah Liyana. Mustahil ayah akan serahkan hartanya pada aku, kata akalnya membidas.
“Encik Amirul ni memang suka kat saya ya?” tanya Liyana sinis.
“Apa maksud kau?” tanya Amirul pula mematikan pertanyaan Liyana.
Berkerut-kerut dia memandang Liyana. Dia kata aku suka kat dia? Uwekkk!! Nak termuntah aku dibuatnya, kutuk Amirul.
“Yalah… dari hari tu lagi Encik Amirul ni asyik main tarik-tarik lengan saya, tangan saya, badan saya. Apa best sangat ke badan saya ni hinggakan Encik Amirul suka sangat nak tariknya,” balas Liyana bernada sindiran.
Berkerut dahi Amirul mendengarnya. Dengan pantas dia melepaskan pegangannya. Terasa malu apabila disindir sebegitu. Tidak dinafikan dengan kata-kata Liyana itu. Sejak pertemuan mereka sebulan yang lepas, dia banyak menyentuh badan gadis itu. Darjah kemarahan terhadap Liyana semakin meluap.
Ha… tau pun takut. Dia ingat aku ni apa, sesuka hati mak bapak dia aje nak main pegang-pegang. Belum sempat suami aku pegang, dia dah pegang dulu. Hisy… kurang dah saham aku kalau dia dah sentuh aku. Tak bolehlah aku nak demand-demand sikit dengan bakal suami aku nanti, monolog Liyana.
“Terima kasih Encik Amirul. Lepas ni tolong jangan pegang-pegang saya ya. Saya saman Encik Amirul baru tahu,” kata Liyana sambil mengusap lembut lengannya yang terasa sakit. Macam cengkam harimau aje mamat hingus ni. Sakitnya, Ya ALLAH… hanya aku saja yang tahu, bebel Liyana.
“Aku bagi masa seminggu untuk kau settlekan masalah ni. Kalau kau tak settle-setlekannya, tahulah nasib kau kat syarikat tu,” ugut Amirul dan berkira-kira untuk berlalu pergi.
“Encik Amirul dah lupa dengan apa yang Encik Amirul katakan dulu?” suara Liyana mematikan niat Amirul untuk beredar dari situ. Kata-kata Amirul berlegar-legar di kotak fikiran.
“Apa yang aku kata?” ulang Amirul ingin tahu. Ada ke aku kata apa-apa kat dia?
Liyana tersenyum sinis. Amirul di hadapan diperhati dari atas ke bawah. Dia menggaru-garu dagunya sendiri. Lagak seperti orang yang sedang berfikir sahaja. Dalam hati, hanya tuhan saja yang tahu. Betapa kecut perutnya melihat pandangan tajam Amirul itu. Dalam masa yang sama, dapat dirasakan ada debaran hebat yang sedang bergendang laju di dalam hatinya. Bagaikan pelari pecut 100m jantungnya berdegup. Apakah itu?
“Encik Amirul dah tergoda dengan sayakan? Kalau tidak, kenapa Encik Amirul sahaja yang tidak berterus-terang? Kenapa perlu tunggu saya yang kena jelaskan pada Tan Sri Khalil?” jelas Liyana sambil berpeluk tubuh. Senyuman sinis terukir di bibir.
“Jangan nak perasanlah! Tak ada maknanya aku nak tergoda dengan kau. Kau yang buat hal dulu, kaulah yang kena settlekannya,” protes Amirul keras. Gila apa!!
Seperti yang sudah dijangkakan oleh Liyana, Amirul pasti akan menafikannya. Jawapan tak boleh blah betul. Carilah jawapan yang bernas sikit, kutuk Liyana.
“Erm… kalau bukan tergoda…” Liyana berjeda seketika. “Jangan-jangan Encik Amirul yang teringan nak beristerikan saya, betul tak?” duga Liyana sambil menjongketkan kening. Matanya jatuh ke muka Amirul. Meletus ketawanya selepas menuturkan kata-kata itu.
“Kau jangan nak perasanlah! Tak ingin aku nak memperisterikan kau yang mengalahkan Betty Suarez ni. Tengok kau pun aku tak seleralah!” sangkal Amirul sekali lagi dengan keras. Dengusan kasar kedengaran dari arahnya itu.
Tersentak Liyana mendengarnya. Buat kesekian kalinya, dia terasa dengan kata-kata Amirul. Namun dia cuba mengusir rasa hati daripada terkesan oleh Amirul. Riak di wajah dikawal sebaik mungkin. Kau kata tak ada selera? Tak pe, satu hari nanti, kau akan selera tengok aku. Betul-betul mencemarkan kesucian hati akulah dia ni, gerutu Liyana.
“Encik Amirul pun janganlah nak perasan. Tak ingin saya bersuamikan orang seperti Encik Amirul ni. Dahlah panas baran, berhingus pulak tu, tak handsome, mulut mengalahkan perempuan. Daripada Encik Amirul, ada baiknya saya pilih Encik Harris,” bidas Liyana selamba dan tersenyum kecil. Tidak mahu dianggap kalah oleh Amirul. Hai Harris, nasib kaulah diguna-gunakan, bisik hati Liyana.
Bertambah panas Amirul mendengarnya. Kelancangan mulut Liyana yang tidak berinsuran itu membuatkan dirinya terasa dihina dan dipandang rendah oleh gadis itu. Tatkala dia dibandingkan dengan Harris, membuatkan darjah kemarahannya mendidih. Tidak dinafikan Harris mempunyai perasaan terhadap Liyana dan Harris sendiri mengakui di hadapannya tadi.
“Dan lagi satu, orang seperti saya yang mengalahkan Betty Suarez ini masih ada yang nak. Encik Amirul tahu jawapannya bukan?” tambah Liyana dan ketawa.
Aku lagi lawa dari Bettylah! Tak pe, dia belum tahu dan kenal siapa aku lagi. Tunggu kau, aku akan terbeliakkan mata kau nanti. Sampai juling-juling mata kau tu aku buatkan. Masa tu taulah kau langit tu tinggi atau rendah. Jangan nak ikut sedap mulut aje kutuk aku. Jangan nak pandang aku sebelah mata aje. Aku pastikan kau tergoda dengan aku. Aku ni pantang betul orang cabar aku. Kata-kata kau dulu aku semat kemas dalam hati aku ni. Walaupun ianya menyakitkan hati, tapi aku yakin kau akan menelan kata-kata kau semula. Liyana berazam pada dirinya sendiri. Entah mengapa air matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Selama beberapa hari ini, mudah sahaja dia menitiskan air mata. Mungkin kerana terlalu memikirkan tentang keluarganya.


“Kau ke mana?” tanya Fazura sebaik sahaja terlihat kelibat Liyana masuk ke dalam bilik.
“Jalan-jalan kat tepi pantai kejap,” jawab Liyana dan melabuhkan duduk di birai katil.
“Oh… kau tak bawa handphone ke? Tadi Harris call aku tanya pasal kau,”
“Dia nak apa?”
“Dia nak jumpa kaulah, apa lagi. Rindulah tu,” usik Fazura dan tertawa kecil.
Liyana mencebikkan bibir. Meluat mendengar usikan Fazura. Tidak habis-habis Fazura nak kenen-kenenkannya dengan Harris. Liyana tergeleng kecil memikirkannya.
“Zura, aku dengan Harris berkawan aje dan tak lebih dari itu. Aku tak nak dia menaruh harapan pada aku. Kau sendiri tahukan hidup aku macam mana? Terumbang-ambing, dah macam anak pelarian Somalia aje aku ni,” bidas Liyana dan bangun dari duduknya. Dia mencapai telefon bimbit dan menyemak panggilan masuk, ternyata kesemuanya nombor telefon Harris.
“Ala… alasan aje kau tu,” bidas Fazura pula.
“Zura, macam mana aku nak settlekan masalah aku dengan Tan Sri Khalil tu. Tadi Amirul dah bagi warning kat aku lagi. Dalam masa seminggu ni, aku kena settlekannya. Kalau tak, dia akan berhentikan aku kerja.” Liyana berterus-terang. Berharap Fazura akan menyumbang sedikit cadangan buatnya.
Fazura mengeluh berat. Dia menghampiri Liyana yang sedang berdiri di jendela sambil berpeluk tubuh. Wajah Liyana dipandang sayang. Terpancar kekusutan pada wajah itu.
“Apa perasaan kau pada Amirul?” tanya Fazura sekadar menduga perasaan Liyana.
“Erk… aku… aku…” tersekat-sekat Liyana bersuara.
“Kau ada perasaan pada diakan?” tebak Fazura.
“Entahlah Zura. Tiap kali aku berhadapan dengan Amirul, jantung aku berdegup dengan kencang. Ada debaran dalam hati aku ini. Perasaan ini tak sama bila aku berhadapan dengan Harris. Aku sukakan Harris. Tapi, suka aku pada Harris sepertimana aku sukakan abang aku, Adif. Harris mengingatkan aku pada Adif,” jujur Liyana. Itulah yang dirasakan selama dia berkawan dengan Harris.
“Maknanya kau memang ada hati dengan Amirullah ya,” teka Fazura sambil mengangkat kening.
Liyana hanya membisu. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Tiada jawapan pada tekaan Fazura itu. Apa yang dirasakan itu sekadar khayalan sahaja. Tidak mungkin dia jatuh cinta pada mamat hingusan itu. Dan dia berharap semua itu bohong belaka.
“Hisy, buruk benarlah kau buat rupa macam tu. Dah macam beruk kat zoo pulak aku tengoknya,” usik Liyana tatkala melihat Fazura mengangkat-angkat keningnya sendiri.
“Banyaklah kau punya beruk. Aku bertukar gorilla baru kau tahu,” balas Fazura tidak mahu mengalah. Mukanya sudah mencuka. Merajuk!
“Maafkan aku. Terima kasih kerana kau mengambil berat tentang aku. Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi aku. Kalau kau tak ada, bagaimana aku nak tempuhi hidup ini berseorangan,” luah Liyana ikhlas. Dia menggenggam erat tangan Fazura.
“Aku akan sentiasa di sisi kau Lia. Kalau kau bersedih, aku juga turut bersedih. Kalau kau merasa sakit, aku juga akan merasa sakitnya,” balas Fazura berserta senyuman di bibir. Sungguh itulah yang dirasakan selama dia mengenali dan berkawan dengan Liyana. Hanya Liyana segala-galanya buat Fazura.


“Adif, dapat call Lia?” tanya Datin Suraya. Riak cemas jelas terukir di wajahnya.
“Tak dapat ibu. Di luar kawasan,” beritahu Adif jujur.
“Adif kenal tak kawan-kawan Lia?” tanya Datin Suraya lagi.
Adif sekadar menggeleng. Selama ini dia tidak pernah mengambil tahu dengan siapa Liyana berkawan. Hanya Fazura sahaja yang Adif kenal. Itupun secara kebetulan Liyana memperkenalkan dia dengan Fazura. Selain itu, siapa kawan-kawan Liyana, keluarganya juga tidak pernah ambil peduli. Termasuklah dirinya. Malu untuk mengaku sebagai abang Liyana jika semua tentang Liyana tidak diambil berat. Dan hari ini, semuanya menjadi rumit. Bagaimana untuk memberitahu tentang Dato’ Zulkifli kepada Liyana?
“Adif cuba call lagi. Ibu masuk dalam tengok ayah kejap,” ujar Datin Suraya dan berlalu pergi dari situ menuju ke bilik rawatan Dato’ Zulkifli.
Adif mengangguk. Lantas dia cuba mendail nombor telefon Liyana semula. Namun masih tiada jawapan. Yang ada suara operator yang meminta meninggalkan pesanan. Laila sudah diberitahu, namun batang hidung adiknya yang sorang itu, tidak juga muncul-muncul. Kadang-kadang pening kepalanya memikirkan perangai Laila. Sikap panas baran dan memberontak Laila menguji kesabarannya sebagai seorang abang. Laila sering membandingkan dirinya dengan Liyana. Tidak dinafikan dia lebih menyayangi Liyana daripada Laila. Liyana sentiasa membuatnya tersenyum dan berasa tenang, tetapi Laila? Huh! Tahu-tahu sajalah perangai Laila yang terlebih manja dan gedik. Disebabkan dia mendapat sokongan daripada ayahnya, maka dari itu, dia tidak terlalu menegur Laila. Biarlah Laila memikirkannya sendiri. Mungkin suatu masa nanti, Laila akan tersedar akan kesilapannya selama ini terutamanya terhadap Liyana.
“Lia… mana Lia pergi ni?” bisik Adif bernada risau. Dia cuba mendail telefon bimbit Liyana berkali-kali namun tidak berhasil. Masih di luar kawasan.
“Mungkin Zura tahu di mana Lia?” duga Adif pantas mendail nombor telefon Fazura.
Berharap nombor yang didail adalah nombor Fazura. Nombor yang diberi Liyana ketika Liyana belajar di universiti dahulu. Seminit menunggu, akhirnya talian disambungkan. Adif menarik nafas lega buat seketika.


Liyana duduk termenung mengadap pantai. Bunyian ombak memecahkan kesunyian malam itu. Malam ini aktiviti yang dijalankan sekadar BBQ dan berkaraoke. Liyana lebih suka bersantai di tepi pantai daripada mendengar suara-suara sumbang mengalahkan katak panggil hujan saja bunyinya. Ada baiknya dia mengambil kesempatan utnuk menenangkan perasaannya yang sedang berkocak hebat. Masalah yang sarat di kepala membuatkan dirinya terumbang-ambing mencari haluan hidup sendiri. Apalah erti hidup jika separuh dari semangatnya hilang dibawa oleh keluarganya sendiri. Mungkin orang melihatnya sebagai seorang yang tidak punya apa-apa masalah, tetapi hakikatnya, dirinya itu penuh dengan masalah yang tidak berpenghujung. Entahlah bila nak selesainya, keluh Liyana.
“Duduk sorang-sorang kat sini kenapa?” tegur Harris sambil melabuhkan duduk bersebelahan Liyana. Dia melemparkan senyuman kepada Liyana.
Liyana mengerling sekilas dan membalas senyuman Harris.
“Saje, ambil angin malam. Terasa tenang berada di sini. Semua masalah hilang begitu saja,” balas Liyana dan meluruskan pandangan ke hadapan.
“Lia ada masalah ke? Kalau ada, jangan segan dan malu, ceritakan pada Ris. Mungkin Ris boleh bantunya,” pelawa Harris ikhlas. Sudah hilang penggunaan ‘saya’ pada dirinya itu.
“Dalam kehidupan ni, mana ada yang tidak bermasalah. Jika ditanya, rata-rata akan memberitahu yang mereka mempunyai masalah. Begitu juga dengan Lia, Lia juga punya masalah yang tersendiri. Tapi, Lia tak mahu terlalu memikirkannya. Jika Lia terlalu memikirkannya, boleh jadi gila Lia dibuatnya. Ini pun hampir masuk dalam list kat Tanjung Rambutan tu,” jelas Liyana dan tertawa kecil.
“Ada-ada ajelah Lia ni,” balas Harris turut sama ketawa.
“Tak join diorang berkaraoke ke?”
“Hisy… tak naklah Ris. Bukan pandai menyanyi pun. Lagipun Lia tak ada, tak syok pulak rasanya,” jujur Harris. Seketika itu dia tertawa lagi.
“Maknanya katak lagi pandai menyanyi dari Ris lah ya?” ulas Liyana serius.
Berkerut-kerut dahi Harris mendengarnya. Kurang mengerti akan maksud Liyana itu.
“Katak?” ulangnya.
“Katak kan terror menyanyi. Kalau dah setiap kali mendung, suara dia aje yang kita dengar. Kalah peserta dalam American Idol dibuatnya,” seloroh Liyana dan tergelak. Geli hati dengan kata-katanya itu.
“Oh.. kenakan Ris ya. Takpe, ada ubi ada batas, lain hari boleh ku balas,” balas Harris bernada rajuk. Muncungnya sudah sedepa.
Semakin galak Liyana ketawa melihatkan rajuk Harris. Sungguh tidak menyangka Harris seorang yang kuat merajuk. Difikirkan Harris sentiasa menjaga penampilannya. Ternyata dia tersilap tafsir tentang Harris. Dan dia selesa berkeadaan begitu dengan Harris.
“Lia!!” laung Fazura dari jauh.
Serentak Liyana dan Harris menoleh. Fazura sedang menapak ke arah mereka berdua.
“Kenapa Zura?” tanya Liyana setibanya Fazura di hadapan.
Liyana bingkas bangun. Wajah cemas Fazura menggusarkan hati. Seperti ada sesuatu yang telah berlaku. Dan dia perlu mengetahuinya.
“Abang kau call,” bisik Fazura di telinga Liyana. Tidak mahu Harris mendengarnya.
Atas permintaan Liyana sendiri. Salasilah keluarga Liyana perlu dirahsiakan. Dia tidak mahu Harris mahupun sesiapa mengetahui siapa sebenarnya Liyana. Bagi Liyana, tiada apa yang perlu dibanggakan tentang keluarganya itu.
“Abang aku?” ulang Liyana berserta kerutan di dahi.
Fazura mengangguk. Dia menghulurkan telefon bimbit kepada Liyana dan disambut oleh Liyana. Seketika kemudian, Fazura berlalu pergi dari tempat itu. Mungkin memberi ruang Liyana untuk berbicara dengan Adif.
“Maaf Ris, Lia jawab call ni dulu,” ujar Liyana dan membawa diri menjauhi Harris. Harris sekadar mengangguk. Bingkas dia bangun dan menapak ke tempat di mana pekerja-pekerja lain berada.
“Assalamualaikum,” sapa Liyana sebaik sahaja kelibat Harris hilang.
“Waalaikumussalam. Lia pergi mana? Puas abang telefon Lia, tak dapat-dapat. Lia off telefon ke? Lia kat mana sekarang?” tanya Adif tanpa full stop.
“Erk… Lia off sebab handphone tengah charge,” bohong Liyana. “Kenapa cari Lia?” tanyanya pula.
“Tak boleh ke seorang abang mencari adiknya? Lia ni makin lama makin kurang ajar dengan abang kenapa? Apa yang Lia tak puas hati lagi ni?” marah Adif tidak semena-mena.
“Ya ALLAH, bila masa pulak Lia kurang ajar dengan abang. Lia tanya, kenapa abang cari Lia? Dah lama abang tak call atau cari Lia, tetiba aje muncul, sebab itulah Lia tanya. Salah ke pertanyaan Lia tu? Kalau abang terasa, Lia minta maaf,” jelas Liyana lembut.
Biarlah kali ini aku mengalah. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku matikan talian ni. Sakit hati aku mendengar amarahnya, Liyana berbicara sendiri.
“Ayah masuk hospital. Darah tinggi. Lia balik tengok ayah ya,” beritahu Adif kepada tujuannya yang sebenar. Ada nada pujuk dari suaranya itu.
Liyana mengetap bibir. Menahan kesedihan di hati. Namun dikeraskan hatinya untuk tidak terlalu mengikut perasaan. Jika ayahnya tidak melukakan hatinya, sudah pastilah dia akan terkejut mendengar berita itu. Tetapi, siapalah dia untuk berasa risau. Dia hanya menyusahkan ayahnya saja.
“Lia dengar tak apa yang abang cakapkan ni?” sergah Adif sedikit meninggi.
“Hmm…”
“Lia balik ya. Dah tiga bulan Lia tak balik. Ibu rindukan Lia. Abang pun rindukan Lia…”
“Ayah?” pantas Liyana memotong kata-kata Adif.
Terkedu Adif seketika. Apa yang perlu diperkatakan kepada Liyana. Ya, memang ibu dan dirinya merindui Liyana. Sering ibunya bertanya khabar tentang Liyana. Tetapi, ayahnya? Belum pernah sekali pun dia mendengar ayahnya bertanyakan tentang Liyana.
“Tak pelah bang. Lia dah tahu jawapannya dan Lia pasti abang sudah pun tahu jawapan Lia,” ujar Liyana perlahan. Cuba menahan sebak di dada.
“Lia…”
“Lia ada kerja yang nak dibuatkan ni. Lain kali kita berbual lagi. Assalamualaikum,” pintas Liyana dan mematikan talian. Ya ALLAH, tabahkan hatiku untuk menerima dugaan ini, doanya di dalam hati.
Suara orang berdehem mengejutkan Liyana. Pantas dia menyeka air mata yang mengalir perlahan di pipi. Matanya dialihkan pada suara deheman itu. Keluhan berat dilepaskan. Mamat hingus ni lagi, desis Liyana.
Tanpa menunggu, Liyana membawa tapak kaki menuju ke tempat BBQ. Dia perlu memulangkan semula telefon bimbit Fazura. Belum sempat kakinya melangkah jauh, seperti biasa Amirul menahannya dari pergi. Dan seperti biasa, lengan Liyana menjadi mangsanya.
Hisy mamat hingus ni. Aku sekeh baru tahu. Suka hati mak bapak dia aje nak pegang-pegang aku. Dah bagi warning pun masih tak paham-paham ke? Entah-entah dia ni tak paham Bahasa Melayu kot. Nak aku cakap bahasa apa? Tamil ke? bebel Liyana.
“Kau menangis ke?” tanya Amirul membuatkan Liyana terpana seketika.
Macam mana dia tahu aku menangis? Dia pakai ahli nujum ke? soal Liyana di dalam hati.
“Yang awak sibuk kenapa? Bukan hal awak pun,” sindir Liyana seraya menjeling. Dia meronta agar lengannya dilepaskan. Namun Amirul memperkemaskan lagi pegangannya.
“Aku bukan sibuk. Dah kau kacau port aku nak mengelamun, aku marahlah!” balas Amirul tidak mahu mengalah. Dia membalas jelingan maut Liyana.
Liyana mendengus geram. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menempeleng Amirul. Biar padan dengan mukanya. Entah mengapa, dengan tiba-tiba dia mendapat akal jahatnya.
“Boleh tolong lepaskan lengan saya tak?” pinta Liyana sedikit meninggi.
“Suka hati sayalah nak lepaskan atau tak?”
Ewah-ewah, sedapnya bahasa. ‘Suka hati sayalah nak lepaskan atau tak?’. Dia ingat lengan aku ni free of charge ke sesuka hati dia aje nak pegangnya. Grrr… marah tahap gaban dah ni, marah Liyana di dalam hati. Dia menggenggam erat tangannya.
“Awak nak lepaskan atau tak?” ulang Liyana semakin meninggi.
“Tak!” jawab Amirul sepatah. Pendiriannya tetap sama.
Liyana menarik nafas dalam sebelum menghembusnya kasar. Dia memejamkan mata buat seketika. Cuba mencari kekuatan untuk melawan lelaki di hadapannya itu. Dengan kudrat yang ada, Liyana memijak kaki Amirul sekuat hati. Serta-merta Amirul melepaskan pegangan di lengan Liyana. Tanpa membuang masa, Liyana segera berlari dari situ. Suara Amirul mengerang kesakitan, tidak dihiraukannya. Apa yang penting, hatinya puas mengenakan Amirul.


“Macam mana boleh kena tu?” tanya Harris. Dia menghulurkan segelas air kepada Amirul. Kemudian melabuhkan duduk berhadapan dengan Amirul.
“Aku tersepak batu tadi. Maklumlah kat tepi pantai tu kan gelap,” bohong Amirul dan meneguk rakus air di gelas.
Harris mengerutkan dahi. Di kepalanya memikirkan perkara lain. Melihatkan dari kesan lebam di kaki Amirul, seperti kaki Amirul dipijak seseorang. Siapa? Dia sendiri tidak tahu dan dia akan bertanyakan pada Amirul tentang itu.
“Kaki kau tu kena pijakkan?” duga Harris membuatkan Amirul hampir tersedak.
“Eh… mana ada. Pandai-pandai kau ajelah Ris,” dalih Amirul dan meletakkan gelas di atas meja di hadapan mereka berdua. Dia mengurut-urut kakinya yang sakit itu.
“Kau tak payah nak kelentong akulah Rul. Dari kecik lagi aku dah kenal kau. Segala riak kau tu aku dah boleh baca. Siapa yang pijak? Kau mengorat anak dara orang ke?” balas Harris dan memandang tepat ke muka Amirul. Menanti penjelasan dari muka itu.
Amirul mengeluh berat. Tidak dinafikan Harris pandai membaca riak di wajahnya. Sukar untuknya menyembunyikan sesuatu perkara. Dan sukar juga untuknya berbohong.
“Perkara kecik aje. Esok-esok baiklah kaki aku ni,” suara Amirul cuba mengusir rasa curiga Harris. Bingkas dia bangun untuk menuju ke bilik air. Namun denyutan di kaki membuatkan dia tidak berdaya untuk berdiri.
“Kena pergi klinik ni. Makin lebam aku tengoknya. Mari aku hantarkan kau ke klinik,” cadang Harris bernada risau.
“Tak payahlah,” tolak Amirul.
Harris tidak memperdulikan tegahan Amirul. Dicapainya kunci dan dompet yang berada di meja kecil di sisi katil dan memapah Amirul ke luar bilik. Amirul sekadar mengikut. Kedegilan Harris melebihi kedegilannya. Hitam kata Harris, hitamlah ia dan begitulah sebaliknya.
Harris membantu Amirul masuk ke dalam lif. Belum sempat pintu lif ditutup, kedengaran suara orang memintanya menunggu. Pantas Harris menahan pintu lif daripada tertutup tanpa mengetahui gerangan orang tersebut.
“Terima kasih,” ucap Fazura termengah-mengah. Dia menarik nafas dan menghembuskannya. Cuba menstabilkan pernafasan.
“Fazura!” tegur Harris seraya tersenyum.
Fazura menoleh. Bulat matanya melihat Harris dan Amirul di dalam lif tersebut.
“Eh… Encik Harris, Encik Amirul, nak ke mana?” tanya Fazura.
“Nak bawa Amirul ke klinik. Kakinya bengkak kena pijak dengan orang,” jawab Harris selamba.
Terjegil mata Amirul mendengarnya. Dia menarik lengan Harris sebagai tanda isyarat agar tidak terus-terusan bercerita mengenai kakinya itu.
“La… yeke. A’ah, dah bengkak tu. Baik Encik Amirul ke klinik cepat,” sokong Fazura seraya tersenyum pahit. Kalau Lia tahu ni, mesti serba salah minah tu nanti. Punyalah kuat dia pijak kaki mamat tu sampai lebam-lebam. Lia… Lia… sampai bila nak berperang dengan Amirul, bebel Fazura sendirian.
“Awak ni termengah-mengah tadi tu kenapa? Lagak macam kena kejar hantu aje saya tengoknya,” tanya Harris bernada usikan. Dia tertawa kecil.
“Saya nak kejar Lia. Dia nak balik KL malam ni,” beritahu Fazura berserta kerisauan di wajah.
Puas Fazura memujuk Liyana agar pulang ke KL esok, tetapi Liyana tetap berdegil. Berita Dato’ Zulkifli dimasukkan ke hospital sudah diberitahu oleh Liyana. Pada mulanya Liyana tidak mahu melawat, tetapi disebabkan kerinduan dan kerisauan di hati Liyana, akhirnya Liyana mengambil keputusan untuk pulang ke KL pada malam ini juga. Fazura telah meminjamkan kereta kepada Liyana agar mudah Liyana pulang ke KL. Tetapi, terimakah Dato’ Zulkifli jika Liyana melawatnya nanti? Soalan yang bermain-main di fikiran Fazura ketika ini.
“Apa? Balik KL?” serentak Harris dan Amirul bersuara. Agak lantang suara mereka berdua. Mujurlah hanya mereka bertiga sahaja yang berada di dalam lif itu, jika tidak, jadi satu kes pulak.
Harris dan Amirul berpandangan antara satu sama lain. Ada rasa kurang senang dari riak wajah mereka berdua. Harris sudah pun berkerut seribu memandang Amirul, namun Amirul buat-buat tidak endah sahaja dengan pandangan Harris itu.
“Kenapa Zura?” tanya Harris tidak berpuas hati.
“Ayahnya masuk hospital,” jawab Fazura selamba.
Gurllpp!!
Alamak! Terlepas cakaplah pulak. Matilah aku kalau diorang tanya. Macam mana aku nak mengelak dari diorang tanya ni, Fazura mengomel di dalam hati.
“Ayahnya?” ulang Harris berserta kerutan di dahi.
“Eh… bukan… bukan… mak angkatnya yang masuk hospital,” bidas Fazura terketar-ketar.
Cuba untuk membetulkan kenyataan. Berharap agar Harris mempercayai kata-katanya itu. Dan dilihatnya anggukan kecil dari arah Harris. Ternyata Harris mempercayai akan kata-katanya itu.
Fazura segera melangkah keluar sebaik sahaja pintu lif dibuka. Terasa begitu lama berada di dalam lif itu. Mujurlah Harris dan Amirul tidak bertanyakan lebih dalam lagi tentang Liyana. Jika tidak, susah untuknya berbohong dan mencari alasan lagi. Dia sudah pun berjanji untuk tidak menceritakan kepada sesiapa asal-usul Liyana. Dan sebagai seorang yang amanah, dia perlu memegang amanah itu sebaik mungkin. Mungkin Liyana sendiri yang akan menceritakan salasilah dirinya sendiri bila tiba masanya nanti.



8 ulasan:

  1. writer,,post lgi nwe n3,,,nk tahu pe tjdi pda lia bila jmpe ayahnye...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya-ALLAH, tgu lps beberapa hr ya.. apa2 pn thanks coz sudi membaca GB.. ;)

      Padam
  2. best . tak sabar nk tgu episod seterus nyaa . apa lhaa respon ayah lia kalau lia datang . tertanya-tanya ni . ~bungarose~

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. alahai adikku bunga rose.. klu akak n3kan, lps sebln kemudian bru adik dpt bcnya.. huhu.. ;)

      Padam
  3. Thanks for the new entry ... I guess this story tidak kurang hebatnya dari yng the 1st novel cos sedih sebab menagih kasih seorang ayah ... n by the way thanks for the HM new entry ya .... well waiting patiently for the nxt entry .. kalau boleh update/masukkan new entry everyday lah ..From Aida "Perth"

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks Aida coz follow GB.. Insya-ALLAH, sy akn n3 sedikit demi sedikit dr dlm bab HM.. moga dpt mengubati kerinduan pd HM sblm HM versi cetak keluar.. apa2 pn thanks again Aida.. ;)

      Padam
  4. alahai amirul ngn liyana ni...asyik nak gaduh jer...hrp2 dato' zulkifli tu x apa2...sian sgt liyana ni :(

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. gaduh2 syglah kak diorg berdua tu.. :D

      Padam