Rabu, 30 Disember 2015

Luahan Hati - Bab 7





FIRDAUS bersandar di kerusi. Otaknya sedang ligat berfikir. Peristiwa dua hari yang lepas masih meniti di tubir mata. Pertemuannya dengan Elisya. Benarkah Elisya, gadis yang berkerusi roda itu? Tetapi, kenapa gadis itu menafikan?
Nafas ditarik lalu melepaskan ringan. Jika benar gadis berkerusi roda itu adalah Elisya, apa yang terjadi kepada Elisya selama dua tahun ini? Adakah Elisya mengalami kemalangan? Adakah Elisya mengalami peristiwa buruk? Ya Allah, bagaimana caranya untuk aku mengetahui sekali gus berjumpa dengan Elisya?
Deringan telefon mematikan lamunan pendek Firdaus. Diintai nama yang tertera di skrin telefon buat seketika. Nama Alif tertera di situ.
“Jom lunch!” ajak Alif sebaik sahaja salam bersambut.
Firdaus mengerling jam di dinding. Masa sudah menghampiri ke angka dua belas tiga puluh minit tengah hari. Agak lama dia termenung memikirkan tentang Elisya. Kerja yang berada di atas meja tidak dihiraukan. Keinginan untuk mencari dan mengetahui kisah Elisya melebihi segala-galanya.
“Daus!” tegur Alif dari hujung talian.
“Ha… apa dia?” soal Firdaus sedikit tersentak.
“Aku nak ajak kau lunch sama. Kau nak ke tidak?” beritahu Alif semula.
“Oh, aku ingatkan apa tadi,” kata Firdaus sambil mengangguk.
So, nak tak?” Alif masih lagi bertanya.
“Kau ada masa nak ke sini ke?” tanya Firdaus pula berkerut dahi.
“Aku ada meeting berhampiran dengan office kau. Sebab itulah aku ajak kau lunch sama,” jelas Alif lalu menggeleng kecil. Apa kena dengan Firdaus ketika ini?
“Oh!” balas Firdaus, sepatah.
“Kau ni dah kenapa? Macam orang tak berperasaan saja,” tegur Alif pula.
“Tak ada apa-apa. Kenapa?” soal Firdaus pula.
“Habis tu, apasal suara kau lain macam saja aku dengar? Macam orang tengah sedih saja.”
Firdaus menghela nafas berat. Hatinya berkira-kira sendiri. Perlukah dia memberitahu kepada Alif tentang Elisya? Pertemuannya dengan Elisya pada dua hari yang lepas.
“Daus… Daus…” panggil Alif sedikit menekan.
“Aku jumpa Elisya,” ujar Firdaus, perlahan.
Alif termati kata-kata tatkala mendengarnya.


ELISYA menggerakkan kerusi rodanya. Melilau matanya mencari barang yang diingini. Sejak pukul sebelas tiga puluh minit pagi lagi dia berada di pasaraya itu. Mencari barang peribadi. Kebetulan dia berjumpa dengan client berhampiran dengan pasaraya itu. Maka ada baiknya dia membeli sekali.
Elisya masih lagi mencari. Ke satu-satu bahagian dia menjelajah namun barang yang ingin dicari tidak juga berjumpa. Nafas ditarik lalu melepaskannya berat. Terasa kekurangan diri ketika ini. Alangkah bagusnya kalau dia boleh berjalan seperti kehidupannya yang lepas.
Namun, semua itu tidak mungkin diputar kembali. Dia kini seorang gadis cacat. Berkerusi roda. Malah dia juga banyak menyusahkan Dahlia. Rasa bersalah kerana menyusahkan Dahlia selama ini.
“Ya Allah, tabahkan hati aku menghadapi ujianMu,” doa Elisya sendirian.
Tanpa menunggu, digerakkan kerusi roda menuju ke bahagian pakaian. Dia perlu membeli beberapa helai pakaian memandangkan dia sering menghadiri mesyuarat.


“APA mimpi kau belanja aku hari ni? Selama ini bila aku suruh bukan main banyak mengelat. Itu la. Ini la. Banyak alasan yang kau bagi,” kata Firdaus lalu ketawa kecil.
“Ala, ada rezeki lebih sikit aku belanja la. Kalau tak ada, itu yang banyak alasan aku bagi,” balas Alif, tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Alhamdulillah. Aku sentiasa mendoakan agar kau dimurahkan rezeki,” doa Firdaus buat teman baiknya itu.
“Aamiin. Terima kasih, Daus. Itu sebab aku sayangkan kau,” ujar Alif sambil meraup muka. Senyuman menghiasi bibir.
Firdaus mencebik. Kepala menggeleng kecil.
“Eh, temankan aku ke pasaraya sekejap. Nak beli barang untuk orang rumah,” ajak Alif tatkala terlihat sebuah pasaraya tidak jauh dari tempat mereka berada.
“Nak beli ‘adik’ untuk orang rumah ke?” tanya Firdaus sekadar mengusik.
Seminit kemudian, dia ketawa. Geli hati dengan ayatnya itu. Sudah lama dia tidak mengusik Alif. Semenjak Alif berkahwin, masa mereka berdua terbatas. Jarang sekali mereka berdua berjumpa. Hanya sesekali sahaja. Itu pun kalau salah seorang di antara mereka kebetulan berada berhampiran dengan pejabat masing-masing. Seperti yang berlaku hari ini.
“Gelaklah! Bila kau kahwin nanti tahulah kau. Mesti kau alami perkara yang sama juga,” tegur Alif bernada geram. Rasa malu menumpang dalam hati.
Sorry, aku tak sengaja nak gelakkan kau,” kesal Firdaus masih ketawa.
No hal la Daus. Aku tahu kau bergurau. Tapi, ada betul tekaan kau tu. Memang aku nak cari ‘adik’ untuk orang rumah aku,” akui Alif lalu ketawa besar.
Buntang mata Firdaus mendengarnya. Dia sekadar mengusik tetapi usikannya itu benar.
“Kau nak temankan aku ke tidak?”
Firdaus berkira dalam hati.
“Kalau kau malu, kau jalanlah ke bahagian lain.”
Firdaus masih berfikir. Kemudian, dia mengangguk setuju.
“Kau kata tadi kau jumpa dengan Elisya. Kat mana kau jumpa dengan dia?” tanya Alif tatkala teringatkan tentang itu.
“Kat kedai buku. Aku tak sure betul ke tidak Elisya yang aku jumpa tu,” jawab Firdaus sambil berjalan beriringan dengan Alif menuju ke pasaraya.
“Kenapa pulak tak pasti?” soal Alif, berkerut dahi.
“Sebab….” Firdaus termati kata-kata tatkala telefon bimbit Alif berbunyi.
“Sekejap! Aku jawab call ni,” suara Alif seraya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Dia melangkah menjauhi Firdaus.
Firdaus hanya memerhati. Pasti Wahida, isteri Alif yang menelefon melihatkan senyuman di bibir kawan baiknya itu. Adakah dia akan seperti Alif? Berkahwin dan memiliki kebahagiaan yang diingini selama ini.
Firdaus melangkah menuju ke bahagian pakaian lelaki. Melilau matanya melihat keadaan sekeliling. Orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke pasaraya tersebut walaupun hari ini hari bekerja. Entah kenapa matanya terpandangkan seseorang. Seperti mengenali orang tersebut.
Tanpa menunggu, dia melangkah menghampiri orang tersebut. Hatinya tertanya-tanya. Adakah Elisya yang dilihatnya sebentar tadi? Diamati betul-betul gadis berkerusi roda yang sedang membelek sehelai pakaian.
“Elisya!” sebut Firdaus kemudian.
Dia yakin, gadis itu adalah Elisya. Perlahan-lahan dibawa langkah menuju ke tempat di mana Elisya berada. Belum sempat dia menghampiri, seorang lelaki sudah menghampiri Elisya. Siapa lelaki itu? Kelihatan mesra sekali. Adakah suami atau teman lelaki Elisya?
“Kau cari apa?” tegur Alif seraya memegang bahu Firdaus.
Terkejut Firdaus dengan pegangan itu. Dihalakan mata ke wajah Alif.
“Jom balik! Tak jadi nak beli ‘adik’. Wife aku beli sendiri,” beritahu Alif.
Firdaus tidak membalas. Matanya mencari kelibat Elisya. Ke mana Elisya pergi?
“Kau tengok apa, Daus?” tanya Alif tatkala melihat tingkah laku Firdaus.
Seperti mencari seseorang. Siapa yang dicari oleh Firdaus itu? Adakah kenalan Firdaus?
Firdaus masih membisu. Meliar matanya mencari Elisya. Keluhan ringan terlepas daripada bibir. Ternyata dia hilang jejak.
“Kau cari siapa?” Alif masih lagi bertanya. Berkerut dahinya ketika ini.
“Tak ada apa-apa,” balas Firdaus sambil menggeleng.
“Tak ada apa-apa?” ulang Alif masih berkerut.
“Jomlah! Dah lewat ni,” ajak Firdaus sambil mengerling jam di pergelangan tangan.
Alif mengangguk. Tingkah laku Firdaus masih menjadi tatapan mata. Kenapa dengan Firdaus? Lagak seperti mencari seseorang. Siapa yang dicari oleh Firdaus itu?
Firdaus memulakan langkah. Disentuh dadanya yang terasa sebu dengan tiba-tiba. Kenapa dia berkeadaan begitu? Adakah disebabkan Elisya bersama dengan seorang lelaki maka dia berkeadaan begitu? Tetapi, betulkah Elisya yang dilihatnya sebentar tadi?
Keluhan dilepaskan untuk kesekian kali. Matanya masih lagi meninjau mencari kelibat Elisya. Sekadar mencari kepastian. Ternyata matanya tidak silap melihat. Elisya sedang berbual bersama dengan seorang lelaki sambil menunjuk sehelai pakaian. Lelaki itu pasti suami Elisya.
“Kau ni kenapa? Dari tadi senyap saja,” tegur Alif seraya memandang wajah Firdaus.
Firdaus sekadar menggeleng. Dia melajukan langkah. Jam di pergelangan tangan dipandang. Masa sudah menginjak ke pukul dua tiga puluh minit petang. Terlalu lama mereka berjalan di pasaraya itu.
Alif masih lagi berkerut. Apa yang tidak kena dengan Firdaus? Adakah Firdaus terlihat sesuatu melihatkan dari gaya kawan baiknya itu. Tanpa menunggu, laju dibawa langkah menyaingi langkah Firdaus. Ada baiknya dia bertanya Firdaus kemudian nanti.


“TERIMA kasih,” ucap Elisya, tersenyum.
“Sama-sama, Sya,” balas Aidid turut sama tersenyum.
Elisya memandang ke wajah Aidid. Senyuman masih menghiasi bibirnya.
“Kenapa tengok Aidid macam tu?” tegur Aidid tatkala menyedari pandangan Elisya.
Elisya sekadar menggeleng. Entah kenapa dia ingin menatap wajah Aidid. Mungkinkah wajah Aidid seiras dengan wajah Firdaus. Firdaus? Hati Elisya berbisik. Kenapa nama itu meniti di benak hati?
“Macam mana dengan proposal? Dah siap?” tanya Aidid sekadar ingin tahu.
“Alhamdulillah. Dah siap. Cuma tunggu hari interview sahaja,” jawab Elisya, tenang.
“Alhamdulillah. Esok Aidid datang ambil Sya,” ucap Aidid lalu mengangguk perlahan.
“Maaf sebab susahkan Aidid,” ujar Elisya bernada kesal.
“Susah apanya? Aidid yang nak temankan Sya,” tukas Aidid bernada ikhlas.
“Tapi, Sya banyak menyusahkan Aidid dengan Dahlia.”
It’s okey Sya. Aidid ikhlas. Mungkin Dahlia juga ikhlas lakukan semua ni.”
“Tapi…”
“Yang penting, Sya happy. Kalau Sya happy, Aidid turut sama happy,” pintas Aidid seraya menoleh sekilas ke wajah Elisya.
Elisya membalas pandangan Aidid. Rasa bersalah masih menghuni di hati. Bersalah kerana menyusahkan Aidid dan Dahlia. Sejak dia lumpuh sehinggalah ke hari ini, dia banyak bergantung kepada Aidid dan Dahlia.
Aidid Haikal, lelaki yang dikenali dua tahun yang lepas. Semoga hubungan persahabatan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Ayah kirim salam pada Sya,” ujar Aidid memecah lamunan pendek Elisya.
“Ha… Waalaikumussalam,” balas Elisya sedikit terpinga.
Aidid ketawa kecil. Kepala menggeleng. Pasti Elisya sedang mengelamunkan sesuatu.
“Sya nak tanya sesuatu boleh?” suara Elisya, perlahan.
“Sejak bila pulak kena minta izin ni?” tegur Aidid masih ketawa.
“Soalan bersifat peribadi. Kenalah minta izin dulu sebelum bertanya.”
“Okey! So, Sya nak tanya apa?”
“Kenapa Aidid tak kahwin? Adakah disebabkan Sya, Aidid….”
Elisya mematikan soalan. Berharap Aidid faham akan pertanyaannya itu. Selama ini itu yang difikirkannya. Kenapa sehingga ke hari ini Aidid tidak berkahwin? Malah melihat Aidid bersama dengan mana-mana perempuan pun tidak pernah. Adakah disebabkan dia maka Aidid tidak mempunyai teman wanita? Jika benar, semakin bersalah dirasakannya.
Aidid tidak membalas. Hatinya berkira-kira untuk menjawab. Memang selama dua tahun ini dia tidak bersama dengan mana-mana perempuan. Hanya Elisya sahaja yang berada di sisinya. Semenjak peristiwa itu, dia menolak untuk jatuh cinta dengan perempuan. Sebab apa, dia sendiri tidak pasti. Mungkinkah rasa cinta terhadap Elisya mulai bercambah dalam hatinya itu.
“Kenapa Aidid?” tanya Elisya lagi. Berdebar-debar ketika ini.
“Ada kereta rosak kat depan tu. Kita berhenti sekejap tengok. Mana tahu dia perlukan bantuan,” beritahu Aidid menolak pertanyaan Elisya.
Elisya memandang ke luar tingkap. Sebuah kereta tersadai di tepi jalan menyapa mata. Seminit kemudian, kereta diberhentikan di bahu jalan. Matanya memerhati tingkah laku Aidid yang sudah pun keluar dari dalam perut kereta.
“Firdaus!”
Terpancul nama itu daripada bibir Elisya.



InsyaAllah, LUAHAN HATI bakal keluar pada bulan hadapan. Pada yang berminat, boleh dapatkan LUAHAN HATI dari Penerbitan BesQ

Terima Kasih.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan