Ahad, 25 Oktober 2015

Mr. Fussy Or Mr. Cool? - Bab 2






“OKEY tak ni?” tanya Dhieya inginkan kepastian.
        Faris memerhatikan Dhieya dari atas ke wajah. Dia melangkah mengelilingi Dhieya sambil memerhatikan penampilan gadis itu.
        “Okey tak ni?” soal Dhieya semula.
        “Okey. Tapi...” Faris menggantungkan ayat. Wajah Dhieya ditatap penuh minat.
        “Tapi apa?”
        “Kalau kau mekap, tentu glamer mak cik.”
        “Mekap?”
        “Yalah, mekap!”
        Dhieya berfikir sejenak. Mekap! Perkataan itu sedang berlegar-legar di minda. Macam mana rupa aku kalau pakai mekap? Tak pernah dibuat seumur hidup aku pakai mekap. Ibu dan akak pun tak pernah ajar aku macam mana nak pakai mekap. Dhieya bermonolog sendirian. Tergeleng-geleng dia memikirkan tentang itu.
        “Yang kau tergeleng-geleng tu, kenapa?” tegur Faris, berkerut dahi.
        Dhieya tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
        “Kau nak aku pakaikan mekap kat kau tak?” ujar Faris bernada serius.
        “Eee… tak nak la. Aku ni dah cukup cantik tau. Tak payah nak pakai mekap-mekap tu semua,” tolak Dhieya, tegas.
        Tak dapat dibayangkan bagaimana dia bergincu dan bermaskara. Kepala menggeleng laju tatkala membayangkan wajahnya nanti.
        “Blahlah! Kau cantik ke? Macam nyonya jual sayur kat pasar aje aku tengok,” kutuk Faris, selamba. Seminit kemudian, dia ketawa dengan kutukannya itu.
        “Amboi pak cik.. mulut tu dah beli insuran ke? Kalau dah, aku nak cederakan mulut kau tu,” geram Dhieya seraya menunjuk penumbuk kepada Faris.
        “Okey.. okey.. aku minta maaf,” pintas Faris, laju. Kecut perutnya melihat wajah tegang Dhieya. Mahu lebam mukanya nanti dikerjakan gadis itu.
        “Tahu pun takut,” ujar Dhieya sambil menjeling tajam.
        Tergelak Faris melihat jelingan maut Dhieya. Dia tahu, bila masanya Dhieya serius ataupun bergurau. Selama berkawan, sukar untuk melihat kemarahan Dhieya. Adakah gadis itu tidak mempunyai perasaan ataupun emosi?
        “Mana kau dapat baju tu?” tanya Faris, ingin tahu.
        “Baju ni aku pinjam dari kakak aku. Ada gaya korporat tak?” cerita Dhieya sambil menggayakannya di hadapan Faris.
        Baju kemeja lengan panjang berserta blazer dan berseluar slack cantik tersarung di tubuhnya. Itulah yang digayakan oleh Dhieya di hadapan lelaki itu.
        “Eh mak cik! Kau tahu ke jawatan apa yang kau nak interview ni?”                  
        Dhieya menghentikan tingkah. Dahinya berkerut tatkala persoalan itu menyapa telinga.
        “Kau tahu ke tidak?”
        “Err… kakak aku tak ada pulak cakap jawatan apa. Ala… lantaklah. Janji aku dapat interview ni. Bayangkan kalau jawatan yang dia tawar tu tinggi. Pergh!! Mak cik kaya! Mak cik kaya!” terang Dhieya sambil tersengih. Sudah terbayang-bayang Ringgit Malaysia yang bakal diperolehinya setiap bulan.
         “Aduh!” rengek Dhieya kemudian. “Apa ni? Suka hati saja nak duku kepala orang,” marahnya sambil mengusap kepala yang terasa sakit.
         “Tersengih-sengih macam kerang busuk. Dahlah! Pergi masuk. Tak pasal-pasal, belum interview dah kena reject,” arah Faris, keras.
         Dhieya masih lagi tersengih. Tanpa berlengah, langkah dibawa menuju ke kaunter pertanyaan. Nafas ditarik dan melepaskannya lembut. Dipaksa bibirnya mengukir senyuman ke arah seorang gadis yang bertugas di kaunter itu. Senyum!


“ZHARIF, tak makan dulu?” tegur Puan Zulaikha dari arah ruang makan.
         “Rif breakfast kat luar, ummi. Rif dah lambat ni,” balas Zharif dan melangkah menghampiri Puan Zulaikha. Jam di dinding dikerling. Masa sudah merangkak ke 8.30 pagi.
         “Kalau macam tu, sampaikan salam ummi pada Erul. Lama ummi tak jumpa Erul.”
         “Ayah mana, ummi?” tanya Zharif tatkala menyedari ketiadaan ayahnya, Encik Ashraf.
         “Ayah Rif tu, pagi-pagi lagi dah keluar. Katanya ada meeting dengan Dato’ Yazir,” jawab Puan Zulaikha sambil duduk. Tangannya lincah menuang air kopi ke dalam cawan.
         Zharif mengangguk faham. Matanya memerhatikan tingkah Puan Zulaikha.
         “Kenapa tak gerak lagi ni? Lambat pulak sampai ke pejabat nanti,” tegur Puan Zulaikha.
        “Rif pergi dulu, ummi,” ujar Zharif seraya mencium tangan Puan Zulaikha.
        “Hati-hati memandu, Rif,” pesan Puan Zulaikha.
        Zharif tidak membalas. Telefon bimbit yang bergetar dikeluarkan dari dalam poket seluar sambil menapak menuju ke muka pintu utama.
        “Dah pukul berapa ni? Kan kita ada meeting dengan client pukul 11.00 pagi ni,” ujar Hazyrul dari hujung talian.
        “Aku nak geraklah ni,” balas Zharif seraya masuk ke dalam perut kereta.
        “Kau ni, selalu saja lambat.”
        “Ala… aku terbangun lambat la. Orang gaji aku tu buat hal lagi.”
        “Yalah tu. Jangan-jangan kau yang buat hal, kan?”
        Zharif mendengus kasar.
        “Itu pasal dah tiga kali kau tukar pembantu. Mana dia orang nak tahan dengan perangai kau yang cerewet tu,” sambung Hazyrul, mengutuk.
        “Dahlah! Malas aku nak layan kau. Dalam sejam lagi aku sampai office,” rengus Zharif dan mematikan talian. Sakit hatinya mendengar kata-kata sindiran dan kutukan dari Hazyrul.
        Hazyrul ketawa kecil. Pasti Zharif bengang dengan kata-katanya sebentar tadi. Jam di tangan dikerling buat seketika. Masih terlalu awal untuk memulakan kerja. Ada baiknya dia mengisi perut yang sudah berkeroncong hebat.


DHIEYA melangkah lemah sambil menunduk. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Sakit hatinya tatkala mengingati dengan apa yang berlaku sebentar tadi.   Ditanggalkan blazer dari tubuh lalu mencampakkannya sejauh yang boleh. Melepaskan kemarahan di hati.
         Tanpa membuang masa, telefon bimbit dikeluarkan dari dalam poket seluar. Nombor Syazreen didail dan menanti panggilan berjawab.
         “Akak!!!!” sergah Dhieya sebaik sahaja talian bersambut.
         “Aduh! Apa ni Dhieya? Jerit kat telinga akak. Pekak la akak nanti,” tegur Syazreen.
         “Memang adik nak jerit puas-puas kat telinga akak. Biar pekak telinga akak tu.”
        “Apa masalah Dhieya ni?”
        “Haaa… memang ada masalah. Kalau ikutkan hati, adik nak turut akak kat Perak tu tau.”
        “Cuba cerita pada akak, apa masalah Dhieya?” tanya Syazreen, prihatin. “By the way, macam mana dengan interview? Okey tak? Dapat tak kerja tu?”
        “Okey sangat-sangat. Memang adik dapat kerja tu.”
        “Alhamdulillah. Nasib baik akak isi borang jawatan untuk Dhieya. Kalau tak, mustahil Dhieya dapat jawatan tu, kan?” kata Syazreen sambil menghembus nafas syukur.
        “Ya.. ya.. terima kasih wahai kakakku sayang kerana menolong adikmu ini mendapatkan pekerjaan itu,” tutur Dhieya dengan ayat skema.
        Seminit kemudian, dia mematikan talian. Rasa sakit hati perlu dihamburkan. Matanya terpandangkan Faris yang sedang melepak di bawah pokok. Dia segera menuju ke situ. Dia perlu meluahkan ketidakpuasan di hadapan lelaki itu.
        “Haa… mak cik! Macam mana? Dapat kerja tu? Kerja apa yang dia orang tawarkan pada kau?” tanya Faris, bertubi-tubi tatkala terpandangkan susuk tubuh Dhieya sedang menghampiri.
         Dhieya tidak membalas. Dilabuhkan duduk di sisi Faris dan mengeluh berat.
        “Mak cik! Kenapa ni?” tanya Faris bernada risau. Wajah lesu Dhieya ditatap mesra.
        “Kakak aku la. Dia tipu aku,” ujar Dhieya, lemah.
        “Tipu kau?”
        Dhieya mengangguk lemah. Ingatannya mengimbas semula peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Rasa sakit hati masih lagi bersisa. Kalau Syazreen berada di hadapannya kini, mahu disembur segala kemarahan itu. Baru puas hati aku!
        “Apasal dia orang tengok aku semacam aje. Aku cantik sangat ke hari ni,” bisik Dhieya pada dirinya sendiri. Senyuman paksa diberikan pada mereka yang sedang duduk di kerusi.
        “Cantik ibu hari ini. Mau pergi ke mana?” tegur seorang wanita Indonesia.
        “Cantik? Mestilah cantik. Ini baju kakak saya. Sekejap lagi, saya ada interview. Jawatan bagus dan bergaji tinggi,” ramah Dhieya, tersengih. Bangga tatkala dipuji sebegitu.
        “Sama sih ngan saya. Kawan saya kasitau ada kerja kosong di sini. Jadi, saya ke mari untuk mohon kerja,” ujar wanita yang bernama Santi itu.
         Dhieya berkerut dahi. Takkan aku salah tempat kut? Betul dah alamat yang akak aku bagi. Tapi, kenapa semua yang datang ni orang Indon? Otak Dhieya sedang ligat berfikir.
        “Kerja apa awak minta?” ujar Dhieya kemudian.
        “Cleaner!” balas Santi, tersenyum.
        Bulat mata Dhieya mendengarnya. Tak lama kemudian, namanya dipanggil supaya masuk ke dalam bilik temuduga.
        “Hahahaha…” ketawa Faris, galak.
        Termati cerita Dhieya akibat suara ketawa Faris itu. Dihalakan mata ke wajah Faris yang sedang ketawa. Rasa nak hempuk saja mamat di sebelahnya itu.
        “Lawaklah kau ni, mak cik.”
        “Pak cik nak makan kasut tak?”
        Faris menghentikan ketawa. Wajah tegang Dhieya ditatap berserta sengihan di bibir.
        “Orang tengah marah, dia lagi ketawa. Siap kau kak, aku kerjakan kau lepas kau balik dari kursus nanti,” azam Dhieya sambil mengepal tangan.
        “Kau juga yang salah. Siapa suruh tak tanya kerja apa yang ditawarkan dari kakak kau?”
        “Manalah aku nak tahu. Aku ingat kerja bagus. Yalah, kau kan tahu kakak aku tu kerja sebagai apa? Pengurus Akaun, kan?”
         Faris menggelengkan kepala. “So, kau dapat tak kerja tu?”
         Dhieya tidak membalas. Dia bingkas bangun dari duduk dan melangkah jalan. Rasa marah terhadap Syazreen masih lagi bersisa.
        “Mak cik!” panggil Faris bingkas bangun. Cuba mengejar langkah Dhieya.             “Kau dapat ke tidak kerja tu? Kalau kau tak dapat, aku tolong carikan kerja untuk kau.”
        “Dapat!” jawab Dhieya, sepatah. Blazer yang dicampaknya sebentar tadi dikutip lalu menepuk kekotaran yang terdapat pada blazer itu.
        Faris berkerut dahi. Kenapa Dhieya beriak sedih?
        “Aku laparlah. Jom makan!” ajak Dhieya dan menyambung langkah.
        Faris hanya memandang. Apa yang tidak kena dengan Dhieya? Selama dua tahun mereka berkawan, jarang sekali melihat Dhieya sebegitu. Sedih dan muram. Dia tahu yang selama ini Dhieya mencari pekerjaan tetap. Sudah penat melakukan pelbagai kerja dalam masa dua tahun ini. Tetapi apakan daya. Sehingga ke hari ini, mereka berdua tidak mendapat pekerjaan tetap.


“NASIB baik kau datang tepat pada masanya. Kalau tidak, melepaslah projek kita tu,” kata Hazyrul sambil melepaskan nafas lega.
         “Aku bukan sengaja nak lambat. Dah kereta aku buat hal, nak buat macam mana,” balas Zharif sambil menguak rambut ke belakang.
         “Nama aje kereta mahal, tapi selalu buat hal. Baik kau beli kereta murah aje macam kancil tu. Tahan dan jimat,” sindir Hazyrul, selamba.
         “Yang kau nak sindir aku ni, kenapa?” tegur Zharif, kurang senang.
         “Eh, mana ada aku sindir kau. Dah memang kenyataan, kan?”
         Zharif mengepal tangan. Semakin sakit hatinya dengan Hazyrul. Apa masalah Hazyrul?
        “Kau nak balik office ke?”
        “Aku nak check kereta aku kat bengkel.”
        “Kalau macam tu, aku balik office dulu. Ayah kau nak jumpa dengan aku petang nanti.”
        “Ayah aku nak jumpa dengan kau? Kenapa?”
        “Bincang pasal perkahwinan kau.” Selamba Hazyrul menjawab.
        “Perkahwinan aku?” soal Zharif, lurus.
        “Tak adalah! Kau ni lurus sangat. Cerewet dan lurus!”
        “Kau….”
        “Aku blah dulu. Jangan tak balik office pulak?”
        Zharif tidak membalas. Matanya memandang tingkah Hazyrul yang mulai masuk ke dalam perut kereta. Senyuman terbias di wajah.
        “Oit mak kau jatuh tergolek!” latah Dhieya tatkala terlanggarkan tubuh Zharif.
        Terkejut Hazyrul melihatnya. Dia melangkah keluar dari perut kereta untuk melihat. Matanya memandang wajah lelaki dan perempuan yang sedang berdiri di hadapan silih berganti.
        “Ala… habis aiskrim aku. Kau punya pasal la. Apasal kau jalan tak tengok orang?” marah Dhieya sambil mendengus kasar.
        “Aku punya pasal?” ulang Zharif, menekan. Dikepalkan tangan sambil cuba menahan kemarahan di hati. Wajah gadis di hadapannya itu ditatap tajam.
        “Kau la, nak main kejar-kejar sangat. Rugi dah RM1.20 aku,” rungut Dhieya sambil mengelap kesan aiskrim di baju Zharif.
       “Kau yang nak sangat main kejar-kejar macam polis. So, tanggung la sendiri,” ejak Faris.
       “Pak cik! Bak sini RM1.20. Nak beli aiskrim,” minta Dhieya sambil menghulurkan tangan ke arah Zharif.
       “RM1.20?” ulang Zharif, keras.
       Sakit hatinya melihat tingkah gadis itu. Jika dia tidak silap, gadis itu yang telah mempermain-mainkannya semalam.
       “Yalah! Pak cik yang jalan tak tengok depan. Tak pasal-pasal berlanggar. Nasib baik tak cedera. Kalau cedera tadi, saya saman pak cik,” kata Dhieya, selamba.
        Faris yang mendengar sudah pun melepaskan ketawa. Geli hati mendengar kata-kata Dhieya itu. Matanya memandang wajah lelaki di hadapan Dhieya. Tegang!
       “Kau panggil aku pak cik?” soal Zharif dalam nada menekan.
       Dhieya berkerut dahi. Wajah lelaki di hadapannya itu ditatap. Macam pernah jumpa la dengan mamat ni. Tapi, kat mana? Bisik Dhieya sendirian. Dipandang lelaki itu dari atas ke bawah. Seminit kemudian, dia tersenyum tatkala mengingatinya.
       “Faris, miska la!” ujar Dhieya, girang.
       “Miska?” ulang Faris. Dia melangkah menghampiri Dhieya dan lelaki itu.
       “Ala… miska… miska….” sengih Dhieya sambil mengangkat kening.
       “Eh… eh… yalah Dhieya. Miska!” ceria Faris turut sama tersengih.
       “Miska? Apa miska?” tegur Zharif sedikit meninggi. Semakin sakit hatinya melihat lagak dua orang manusia di hadapannya itu.
       “Maggie jenama miska. Pak cik pernah beli tak? Keluaran Thailand. Sedap!” balas Dhieya. Seminit kemudian, dia melepaskan ketawa. Geli hati dengan ayatnya itu.
       Hazyrul yang sejak tadi menjadi pemerhati dan pendengar melepaskan ketawa. Lucu melihat tingkah gadis itu. Diperhatikan wajah Zharif. Riak tegang jelas terlukis di wajah itu.
       “Dhieya, jom. Dah lewat ni. Kang lambat pulak kita masuk kerja,” ajak Faris.
        Dhieya mengerling jam di tangan. Masa sudah pun merangkak ke dua petang. Anggukan diberikan dan beredar dari situ. Tidak dihiraukan kewujudan Zharif dan Hazyrul di tempat itu.
       “Pak cik, kalau kita jumpa lagi, saya nak aiskrim tau. Sebagai ganti yang itu,” tutur Dhieya sebelum beredar dari situ.
       “Kau…” Belum sempat Zharif membuka mulut, kelibat Dhieya sudah pun berlalu pergi.
       “Kelakar pulak aku tengok minah tu,” ujar Hazyrul ketawa kecil.
       “Minah tomboy!” luah Zharif, geram.
       “Minah tomboy?” ulang Hazyrul, berkerut dahi. Seminit kemudian, dia teringatkan sesuatu. “Maksud kau, dia minah tomboy yang kau cakap semalam?”
       Zharif mendengus kasar. Tidak berniat untuk membalas pertanyaan Hazyrul. Tanpa menunggu, dia segera masuk ke dalam perut kereta sepupunya itu. Hilang moodnya untuk ke bengkel melihat keadaan kereta. Dijatuhkan mata ke baju kemejanya yang comot dan kotor. Semakin berdendam dia dengan gadis itu. Sengaja mencari pasal.
        Hazyrul yang melihat sekadar menggeleng. Sudah pastilah Zharif sedang menahan kemarahan. Jika tidak, wajah sepupunya itu tidak sekeruh dan setegang begitu.
        “Kau buat apa lagi tu. Hantar aku balik!” tegur Zharif dari dalam kereta.
         Hazyrul tersentak. Tanpa membuang masa, dia segera masuk ke dalam kereta dan beredar dari kawasan itu. Dia tersenyum tatkala terkenangkan gadis bersama kawannya sebentar tadi. Semoga dia dapat berjumpa dengan gadis itu lagi, doa Hazyrul dalam hati.