Ahad, 15 Januari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 2

BAB 2


Liyana segera membawa diri keluar dari kereta Fazura. Dia mengatur langkah menuju ke tempat di mana dia meninggalkan keretanya semalam. Risau di hati meninggalkan keretanya di situ. Jika bukan disebabkan mamat hingusan itu, tidaklah dia dimarahi oleh ayahnya. Hampir pekak telinga akibat ditengking dan dimarahi oleh Dato’ Zulkifli gara-gara pulang lewat ke rumah dan meninggalkan keretanya itu. Sungguh sedih hatinya mengingatkan akan kata-kata Dato’ Zulkifli pada malam tadi.
“Mana kereta?” tanya Dato’ Zulkifli sebaik sahaja Liyana melangkah masuk ke dalam rumah. Dikerling jam di dinding. Masa sudah menganjak ke angka dua belas tengah malam. Baru kini anak gadisnya pulang ke rumah. Sengaja mencari nahas anaknya itu.
“Erk… kereta?” ulang Liyana sedikit gugup. Dia menundukkan muka memandang lantai sambil menguis-nguis kaki. Aduh!! Matilah aku macam ni. Alasan apa aku nak bagi ni, ngomel Liyana sendirian.
“Ayah tanya, mana kereta?” ulang Dato’ Zulkifli sedikit meninggi. Kesabarannya tidak tertahan lagi. Panas hatinya melihat Liyana yang masih tunduk membisu di hadapannya itu.
“Kereta…. Lia tinggalkan dekat parking berhampiran pejabat ayah. Tadi ada orang blocking kereta Lia,” jujur Liyana. Tidak berani melihat muka ayahnya yang sedang tegang.
“Apa?” sedikit menjerit. “Kamu ingat kereta tu dibeli dengan daun ke? Suka hati kamu aje nak tinggalkannya,” marah Dato’ Zulkifli. Dadanya sudah berombak kencang.
“Lia minta maaf.” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Liyana.
“Kamu ni memang tak sedar diuntung. Tahu nak mengabiskan masa dengan perkara yang tak berfaedah aje. Cuba guna otak kamu tu sikit Lia. Kalau bukan sebab ibu kamu yang paksa ayah belikan kereta untuk kamu, sampai ke hari nilah kamu naik bas atau teksi. Tak tahu nak menghargai dan bersyukur langsung!” marah Dato’ Zulkifli lagi. Matanya tajam ke muka Liyana. Jika diikutkan hati yang panas, mahu sahaja dia menampar Liyana.
“Apa yang bising-bising ni bang?” tegur Datin Suraya mematikan perbualan mereka. Dia menghampiri Dato’ Zulkifli dan Liyana.
“Awak tengoklah anak awak ni. Suka hati dia aje nak tinggalkan kereta dia merata-rata. Dia ingat boleh dapat free kereta tu,” kata Dato’ Zulkifli sinis.
“Lia… kenapa Lia tinggalkan kereta Lia? Kan ayah dah marah tu,” tegur Datin Suraya lembut.
Liyana mengangkat muka. Matanya tepat ke muka Datin Suraya. Ternyata ibunya turut sama menyalahkannya tanpa mendengar penjelasan darinya terlebih dahulu. Sudahlah Dato’ Zulkifli mengungkit tentang kereta tersebut, kini Datin Suraya menegurnya pula. Sungguh hatinya sedih dengan pertanyaan dari Datin Suraya itu. Difikirkan Datin Suraya akan membelanya, namun dia hampa. Hanya Adif yang selalu membelanya jika dia dimarahi oleh Dato’ Zulkifli.
Tanpa membalas kata-kata ayah dan ibunya, Liyana segera membawa tapak kaki menuju ke bilik. Jika berlama di situ, entah apa lagi yang akan dihamburkan oleh Dato’ Zulkifli. Hatinya benar-benar tergores dengan apa yang berlaku. Sudahlah sakit hatinya pada mamat hingusan itu belum pulih, ditambah pula dengan sakit hatinya terhadap Dato’ Zulkifli. Walau bagaimana pun, dia terpaksa menelannya juga walaupun ianya begitu perit untuk ditelan.
“Ha… tengoklah tu. Baru tegur sikit dah merajuk. Tak tahu nak berterima kasih betul. Selalu menyusahkan orang. Cuba kamu tengok abang dan kakak kamu tu. Ada tak mereka susahkan ayah?” bebel Dato’ Zulkifli keras.
Terhenti langkah Liyana seketika. Dia memandang ayah dan ibunya silih berganti. Selama ini Dato’ Zulkifli selalu membandingkan dirinya dengan Adif dan Laila. Liyana sedar siapa dirinya. Dia bukanlah sehebat Adif dan Laila. Adif melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang Kejuruteraan. Begitu juga dengan Laila, turut sama mengikuti jejak langkah Adif melanjutkan pelajaran di luar negara dalam bidang Perniagaan. Hanya dia sahaja yang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dalam bidang yang diminatinya, Seni Reka Fesyen. Namun ditentang keras oleh Dato’ Zulkifli tatkala mendapat tahu akan keinginannya itu. Dalam keterpaksaan, dia melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan sama seperti Adif. Dan disebabkan itulah sehingga sekarang dia tidak berminat untuk bekerja dalam bidang tersebut.
“Sudahlah bang. Jangan dimarahkan Lia lagi. Esok dia ambillah keretanya tu,” pujuk Datin Suraya lembut sambil mengelus tangan Dato’ Zulkifli.
“Itulah awak, asyik nak membela dia aje. Naik minyaklah budak tu. Kepala kita pun dah nak dipijaknya,” rungut Dato’ Zulkifli seraya bangun meninggalkan Datin Suraya.
Hatinya masih lagi panas. Panas dengan sikap acuh tak acuh Liyana. Sampai bila Liyana akan berkeadaan begitu. Dia sendiri tiada jawapannya.
Datin Suraya sekadar menggeleng. Ekor matanya menghantar langkah Dato’ Zulkifli menuju ke anak tangga. Jauh di sudut hati, dia merasa kesian dengan nasib anak bongsunya itu. Sampai bila suaminya akan bersikap dingin terhadap Liyana? Bukankah Liyana anaknya juga? Kenapa dibeza-bezakan Liyana dengan abang dan kakaknya? Huh! Satu keluhan terlepas dari bibir Datin Suraya. Seminit kemudian, dia mengangkat kaki menuju ke bilik di tingkat atas. Jika difikirkan, buat sakit kepalanya sahaja. Lantaran itu, dia hanya mampu membiarkannya sahaja jika ianya masih boleh dikawal.
“Wei… apa jadi dengan kereta kau ni Lia?” tegur Fazura sedikit terkejut.
Liyana tersentak dari lamunan. Matanya dihalakan ke arah kereta.
“Ya ALLAH! Apa dah jadi ni Zura?” jerit kecil Liyana. “Matilah aku kalau ayah aku tahu nanti ni,” risau Liyana pula.
“Kau buat apa ni Lia sampai mamat tu marah sangat kat kau,” soal Fazura ingin tahu. Berkerut-kerut dahinya memandang Liyana.
Liyana memerhatikan keadaan keretanya. Sungguh tidak disangka dengan apa yang terjadi. Tergamak mamat hingusan itu memancitkan tayar keretanya. Bukan itu sahaja, kesan torehan juga terdapat di badan keretanya itu.
Liyana mengeluh berat. Hatinya resah dan gusar. Bagaimana untuk berhadapan dengan Dato’ Zulkifli jika Dato’ Zulkifli mendapat tahu akan perkara ini? Sudah pastilah dia akan ditengking dan dimarahi lagi, mungkin lebih dahsyat daripada itu.
So… macam mana ni? Kau nak hantar bengkel tak kereta kau ni?” tanya Fazura khuatir. Simpatinya tumpah buat Liyana.
“Entahlah Zura. Aku pun tak tahu. Aku mana ada duit nak repair semua ni,” jawab Liyana berserta keluhan berat. Dia menyandarkan badan ke kereta dan berpeluk tubuh. Memikirkan apa yang perlu dibuat tentang keretanya itu.
“Macam nilah. Kau guna duit aku dulu. Bila kau dah ada duit, kau bayarlah pada aku balik,” usul Fazura ikhlas. Berharap Liyana bersetuju dengan usulnya itu.
“Zura… bukan aku tak nak. Aku seganlah. Malu pun ada. Tak pelah, nanti aku tanyakan abang aku dulu. Kalau dia bagi green light, aku pinjam aje kat dia terus,” tolak Liyana lembut. Tidak mahu menyusahkan Fazura. Biarlah dia menyelesaikannya memandangkan dia sendiri yang mencari pasal dengan mamat hingusan itu.
“Okey… kalau macam tu, aku doakan kau berjaya pujuk rayu abang kau tu. Tapi, kalau dia tak bagi, jangan segan-segan dan malu minta kat aku. Aku sedia membantunya,” balas Fazura sambil menyentuh lembut bahu Liyana.
“Terima kasih Zura. Kaulah kawan aku dunia dan akhirat. Aku sayangkan kau lebih dari diri aku sendiri,” ujar Liyana perlahan. Sungguh dia berbangga mempunyai seorang kawan seperti Fazura. Hanya Fazura tempatnya meluahkan perasaan selama ini.
“Ala… time ni ajelah kau sayang aku. Esok lusa dah tak sayang dah. Hentam aku lagi adalah,” sindir Fazura sambil menjeling manja ke arah Liyana.
Liyana sekadar tersengih. Ada benarnya kata-kata Fazura. Jika bukan kerana Fazura yang menyokongnya selama ini, tidak mungkin dia akan sekuat itu dalam menghadapi konflik keluarga dan masalahnya sendiri.


Sorry sayang. I dah janji dengan papa I nak makan tengahari bersama. Lain kali ya, sayang,” tolak Amirul lembut. Serba salah menyerbu dirinya ketika ini.
“Ala… you ni susah sangatlah nak ajak keluar. Bila I free, you pulak busy. Bila I busy, you pulak free. Habis tu bila lagi masanya nak jumpa dengan you ni. I rindu sangat kat you, Rul,” rengek Shasha manja.
Amirul mengeluh berat. Rengekan Shasha menyentak hatinya. Terasa mahu sahaja berjumpa dengan Shasha pada masa itu juga. Dia juga amat merindui gadis itu. Tetapi, apakan daya. Dia sudah pun berjanji dengan papanya untuk makan tengahari bersama.
“Apa kata kita jumpa malam nanti. I janji malam nanti I akan habiskan masa I untuk you,” cadang Amirul sekadar mencuba dan berharap Shasha bersetuju dengan cadangannya itu.
“Okey… janji. Kalau you mungkiri janji you, I tak nak jumpa dengan you sampai bila-bila, baru padan dengan muka you,” ugut Shasha dan tertawa kecil.
“Okey… okey… I janji. Kita jumpa di tempat biasa ya sayang,” balas Amirul turut sama tertawa kecil. Geli hati mendengar ugutan Shasha. Jauh di sudut hati, dia takut dengan ugutan Shasha itu.
Sebelum ini pernah Shasha mengugutnya sebegitu dan Shasha benar-benar mengotakan ugutan itu. Hampir seminggu dia memujuk Shasha. Diumpan juga dengan hadiah. Namun hati Shasha sekeras batu kelikir. Tidak mudah terpujuk. Tetapi, akhirnya Shasha sendiri yang mengaku kalah gara-gara dia ternampak Amirul berjalan bersama seorang perempuan. Rasa tergugat dengan kedudukannya di hati Amirul, maka dari itu dia terpaksa menebalkan muka memujuk Amirul pula. Amirul tersenyum mengingati peristiwa itu.
Amirul meletakkan telefon bimbit di atas meja setelah mematikan talian. Rindunya pada Shasha begitu mencengkam diri. Hampir seminggu dia tidak berjumpa dengan Shasha. Kesibukan di pejabat membataskan dirinya untuk berjumpa mahupun bersuka ria di luar. Terasa bukan dirinya sebelum ini. Semenjak dia menguruskan syarikat Tan Sri Khalil, rutin sehariannya hanyalah di pejabat. Jika bukan Amirul, siapa lagi yang akan menguruskan syarikat turun-temuran papanya itu.
“Encik Amirul!” panggil Hanim merangkap secretary di hujung talian. Lamunan yang panjang berterbangan dengan sendirinya.
Yes Hanim!”
“Tan Sri tunggu Encik Amirul di biliknya,”
“Baiklah, dalam lima minit lagi saya sampai,” ujar Amirul dan mematikan talian.
“Perkara apa yang papa nak bincangkan ya?” soalnya sendirian.
Pelik dirasakan apabila Tan Sri Khalil mengajaknya makan tengahari bersama. Belum pernah Tan Sri Khalil berbuat begitu. Jika ada pun sekadar menemani papanya berjumpa dengan client.
Amirul melangkah jalan menuju ke bilik pejabat Tan Sri Khalil. Setelah menerima arahan masuk, segera dia masuk ke dalam. Dilihatnya Tan Sri Khalil sedang meneliti beberapa fail di atas meja. Tanpa menunggu, Amirul melabuhkan duduk di atas kerusi berhadapan dengan Tan Sri Khalil.
“Papa nak jumpa Rul?” tanya Amirul inginkan kepastian.
Tan Sri Khalil menutup fail. Dia menanggalkan cermin mata dan diletakkan di atas meja. Mukanya diraup sekali dan menghela nafas pendek.
“Kita pergi makan dulu!” ajak Tan Sri Khalil seraya bangun.
Amirul mengangguk. Bingkas dia bangun dan membuntuti Tan Sri Khalil keluar dari bilik itu.
Sepanjang perjalanan ke restoran, hati Amirul asyik bertanya sendirian akan tujuan Tan Sri Khalil mengajaknya makan tengahari bersama. Mesti ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh Tan Sri Khalil itu. Jika tidak, mana mungkin Tan Sri Khalil mengajaknya makan bersama.
Setibanya di restoran, Tan Sri Khalil segera memesan makanan dan minuman buat dirinya dan Amirul. Sementara menunggu, Tan Sri Khalil meninjau keadaan di restoran itu. Sungguh nyaman dan selesa serta tenang berada di restoran itu. Keunikan yang dipaparkan oleh pemilik restoran yang berkonsepkan Arabian itu begitu menarik perhatian untuk memandang serta menghayatinya.
Amirul sekadar memerhati tingkah Tan Sri Khalil. Hatinya tidak henti-henti berdegup kencang. Menanti butir bicara yang akan diperkatakan oleh Tan Sri Khalil. Perkara apa yang papa nak bincangkan ni? Macam serius aje aku tengoknya, bisik hati Amirul.
Setelah hampir lima belas minit menunggu, pesanan yang diminta telah pun dihantar oleh pelayan. Tanpa membuang masa, Amirul segera menyuakan sesudu nasi putih berserta sedikit ayam paprik ke dalam mulut. Terasa perutnya begitu lapar waktu itu. Persoalan yang bermain-main di fikiran sebentar tadi, hilang begitu sahaja selepas perutnya  di isi dengan makanan.
“Papa ada perkara penting nak bincangkan dengan Rul,” suara Tan Sri Khalil selepas lama mereka mendiamkan diri menghayati makanan masing-masing.
“Perkara apa papa?” tanya Amirul ingin tahu. Dia meletakkan sudu dan garpu di tepi pinggan. Memberi tumpuan sepenuhnya kepada Tan Sri Khalil.
“Papa dah fikir masak-masak. Papa pun dah bincangkan perkara ni dengan mama kamu dan alhamdulillah mama kamu bersetuju dengan cadangan papa ni,” jelas Tan Sri Khalil masih berteka-teki.
“Serius aje bunyinya pa. Takut pulak Rul rasakannya,” gurau Amirul berserta ketawa kecil.
Tan Sri Khalil tersenyum nipis. Dia memandang Amirul dengan kasih yang mendalam. Segala kasih dan sayang terhadap anak tunggalnya itu melebihi dari nyawanya sendiri.
“Papa rasa dah tiba masanya Rul berumah tangga. Umur Rul pun dah masuk dua puluh enam tahun. Dah layak untuk mendirikan rumah tangga,” beritahu Tan Sri Khalil. Matanya tertancap ke muka Amirul. Menanti akan jawapan dari anaknya itu.
Terkejut Amirul mendengarnya. Hampir tersedak air yang diminumnya sebentar tadi. Lantas dicapai tisu dari dalam kotak dan mengelap mulutnya.
“Papa… Rul muda lagi la. Lagipun Rul belum bersedia lagi untuk mendirikan rumah tangga,” balas Amirul perlahan.
“Muda Rul kata. Umur macam Rul ni dah ada dua tiga orang anak, tahu tak?” tukas Tan Sri Khalil sedikit keras. Dia menggelengkan kepala.
Amirul sekadar tersengih. Tidak dinafikan akan kata-kata Tan Sri Khalil itu. Umur sepertinya sudah layak untuk berumah tangga. Malah kebanyakkan dari rakan-rakannya sudah pun mendirikan rumah tangga dan beranak pinak. Cuma dia sahaja yang belum bersedia untuk ke arah itu walaupun dia sudah punya calon yang sesuai. Shasha, terdetik nama itu dari dalam hatinya.
“Papa nak jodohkan Rul dengan anak kawan baik papa. Papa nak Rul kenal dulu dengan anak kawan papa tu,” cadang Tan Sri Khalil kepada tujuan yang sebenar.
Hampir terbeliak mata Amirul mendengarnya. Ini sudah kes berat, hatinya berkata. Dengan siapa pulak papa aku nak jodohkan ni, bicara hatinya lagi.
“Papa… bukan ke dulu papa serahkan seratus peratus pada Rul dalam soal jodoh. Kenapa sekarang papa nak jodohkan Rul dengan orang yang Rul tak kenal dan cinta?” Amirul mengingatkan Tan Sri Khalil dengan apa yang telah Tan Sri Khalil janjikan dulu.
Tan Sri Khalil melepaskan keluhan ringan. Tidak dinafikan dengan apa yang diperkatakan oleh Amirul. Memang dulu dia pernah berjanji kepada Amirul jika melibatkan soal jodoh. Amirul berhak seratus peratus dalam memilih sesiapa sahaja yang akan menjadi suri di dalam hatinya.
“Papa tahu Rul. Papa ingat janji papa tu. Tapi, kali ini papa minta pengecualian dari Rul,” pinta Tan Sri Khalil. “Rul kenal dulu dengan anak kawan baik papa tu. Kalau Rul tak berkenan, papa setuju dengan pilihan Rul. Tapi, kalau Rul berkenan dengan anak kawan papa tu, papa tak menghalangnya,” cadang Tan Sri Khalil sedikit merayu. Berharap agar Amirul mendengar kata-katanya itu.
Amirul melapaskan keluhan berat. Berat untuk membuat keputusan. Jika ditolak, seperti menghampakan permintaan Tan Sri Khalil. Dan jika diterima, bagaimana pula dengan hatinya terhadap Shasha? Buntu dia memikirkannya.
“Baiklah papa. Rul ikut kata papa,” balas Amirul lemah. Ikutkan ajelah, desis hatinya.
Tersenyum lebar Tan Sri Khalil mendengarnya. Lega hatinya kerana Amirul bersetuju dengan cadangannya itu. Dia berharap agar Amirul dapat menunaikan hajatnya selama ini.
“Terima kasih Rul,” ucap Tan Sri Khalil berserta senyuman di bibir.
Amirul sekadar mengangguk.


Please la bang. Lia betul-betul minta tolong dengan abang ni,” pujuk Liyana sambil memegang lengan Adif.
Adif mendengus kasar. Liyana tidak pernah nak berubah. Suka menyusahkan orang lain. Tidak tahukah dia akan kebenaran itu? Sampai bila Liyana perlu bersikap sebegitu?
“Lia… bukannya abang tak nak tolong Lia. Tapi, Lia tahu tak apa yang Lia dah buat. Lia dah susahkan abang. Kalau ayah tahu macam mana? Tak ke mengamuk dibuatnya orang tua tu nanti. Tak pasal-pasal abang juga yang kena,” geram Adif.
“Yalah… Lia ni suka susahkan orang lain. Kalau abang tak nak tolong Lia, tak mengapalah. Tak perlulah abang nak marahkan Lia. Panas telinga Lia mendengarnya. Malam tadi dah kena marah dengan ayah, hari ini… abang pulak,” rengus Liyana seraya bangun untuk beredar dari situ. Sakit hatinya mendengar kata-kata yang dikeluarkan dari mulut Adif. Ternyata dia banyak menyusahkan orang daripada menyenangkan.
Liyana melangkah jalan keluar dari restoran. Panggilan abangnya tidak dihiraukan langsung. Jika dia tahu begitu jawapannya, sudah pasti dia akan bersetuju dengan usul Fazura tadi. Tidaklah dia perlu mendengar kata-kata bisa dari mulut Adif itu. Difikirkan Adif akan membantu dan membelanya. Ternyata dia silap menilai. Adif tidak ubah seperti ibunya. Bagai lalang ditiup angin. Ke kiri dan ke kanan tanpa ada pendirian tetap.
Liyana mengeluh berat. Sudah terlalu jauh dia meninggalkan restoran itu. Bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya itu? Jika dia punya wang, tidak perlulah dia bersusah hati memikirkan jalan penyelesaian. Buntu. Buntu memikirkannya. Terasa sesak nafas dibuatnya. Terasa dirinya bersendirian. Terasa dirinya tidak berguna dan tidak diperlukan oleh keluarganya. Huh!! Beginikah nasib yang harus aku terima, keluh Liyana. Lantas dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar jean lusuhnya. Seluar kesayangannya walaupun seluar itu semakin lusuh. Bagi Liyana, dia lebih selesa berpakaian begitu. Tidak menonjol dan tidak mendatangkan nafsu kepada lelaki yang melihatnya.
Liyana mendail nombor telefon Fazura. Sementara menanti panggilan dijawab, matanya melilau melihat keadaan kompleks membeli-belah itu. Orang ramai berpusu-pusu menuju ke restoran berdekatan untuk menjamu selera. Waktu-waktu begini sudah tentulah semua restoran akan dipenuhi pelanggan. Kalaulah aku buka restoran, tentu kaya dah, omel Liyana sendirian.
Beb!” jerit kecil Liyana tatkala panggilannya bersahut.
“Ha… apa hal?”
Beb… usul kau pagi tadi tu… masih on lagi ke tak?”
“Usul? Usul yang mana?” ulang Fazura tidak mengerti.
“Ala… pasal kereta aku tu. Abang aku tak nak tolong akulah beb. Kau boleh tak tolong aku?” balas Liyana sebak. Sebak mengingati kata-kata Adif Haikal.
“Ha… tulah, jual mahal lagi dengan aku,” sindir Fazura. Sengaja membuatkan Liyana rasa bersalah.
“Yalah… yalah.. aku salah. Sorry! So, macam mana?” Liyana akui akan kesilapannya itu.
No problem! Yang pasti kau bayar balik. Tak ada kes halal-halal ya,” balas Fazura dan tertawa kecil. Geli hati dengan kata-katanya sendiri.
“Okey… kira adik-beradik punya hargalah ya,” usik Liyana turut sama tertawa.
“Banyaklah kau punya adik-beradik,” geram Fazura sengaja mengusik Liyana.
“Kau ni Zura, itu pun nak berkira ke?”
“Ini kes lain, mestilah berkira,”
“Yalah!” balas Liyana berserta senyuman di bibir. Terasa lega dan lapang dadanya di atas kesudian Fazura menolongnya. Tanpa Fazura, susah untuknya menyelesaikan masalah itu.
“Mak!! My phone!!” jerit Liyana tatkala telefon bimbitnya terlepas dari tangan.
Lantas dia menerpa ke arah telefon bimbitnya yang sudah menampakkan isi alam itu.
My phone!” bisiknya sayu.
Dicantum semula telefon bimbitnya itu dan cuba mengaktifkannya semula. Hampa. Begitulah yang dirasakannya. Telefon bimbitnya tidak boleh diaktifkan semula.
Sorry!! Tak sengaja,” ujar Amirul serba salah.
Liyana mengeluh berat. Lepas satu… satu masalah yang menimpa dirinya.
“Tak mengapalah, bukan salah awak pun salah saya,” balas Liyana tanpa sedikit pun menoleh ke arah lelaki yang telah melanggarnya sebentar tadi. Hatinya sedih melihatkan riwayat telefon bimbitnya itu.
Amirul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Serba salah dibuatnya melihatkan wajah hampa gadis yang dilanggarnya sebentar tadi. Jika bukan disebabkan kecuaiannya, tidak mungkin telefon bimbit gadis itu mengalami kerosakan. Sikap terburu-burunya tidak pernah berubah. Dari dulu sehinggalah sekarang. Jika hatinya panas, dia akan merempuh orang sesuka hati tanpa mempedulikan perasaan orang yang dirempuhnya itu.
“Alahai telefon…. tamat sudah riwayat kau. Kau nak aku tanam kau kat mana? Kat kedai atau tong sampah?” omel Liyana sendirian sambil melabuhkan duduk di atas kerusi yang tersedia di sepanjang koridor kompleks membeli-belah itu.
“Cik… saya minta maaf. Sebab saya telefon cik rosak,” ujar Amirul kesal. Terasa simpati melihat gadis itu yang sedang mengelus lembut telefon bimbit tersebut.
Liyana mengerutkan dahi. Macam pernah dengar aje suara sengau tu. Tapi ni mana ya? Bisik hati Liyana. Lantas dia mengangkat muka. Berderau darahnya melihat gerangan lelaki yang berada di hadapannya itu. Alamak!! Mampus aku!! Mamat hingus ni lah. Macam mana ni? Bicara Liyana sendirian.
“Kau!!” jerit kecil Amirul terkejut.
“Erk… hai! Apa khabar? Lama tak jumpa?” balas Liyana sambil tersengih. Kepalanya yang tidak gatal digaru beberapa kali.
“Apa khabar kau tanya? Lama tak jumpa? Sejak bila pulak kita berkawan ni?” ulang Amirul dalam nada sindiran.
“Sejak semalam. Okey… bye,” ujar Liyana seraya mengangkat kaki meninggalkan Amirul. Baik aku selamatkan diri aku dulu sebelum dia hentam aku, bisik Liyana.
 “Hoi!! Aku belum habis cakap lagilah!” jerit Amirul seraya mengejar Liyana dari belakang.
Bertambah laju Liyana berlari tatkala terdengar suara Amirul memanggilnya. Berlari sekuat hatinya agar dapat melepaskan diri dari Amirul. Dilihatnya Amirul sedang mengejarnya dari belakang. Macam dalam drama Gerak Khas lagaknya. Ditambah dengan wajah tegang Amirul membuatkan dirinya kecut perut. Risau di hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Hisy… gila apa mamat hingus ni. Main kejar-kejar pulak ngan aku. Macam main police and thieves aje dah ni. Tapi seronok jugak. Dia belum kenal siapa aku lagi. Aku ni juara pecut 100m kat sekolah dulu. Sempat lagi Liyana bermonolog dalam keadaan segenting itu.
“Mak!!” jerit Liyana dan jatuh terjelepok ke lantai. “Aduh!! Sakitnya!!” rengek Liyana sambil menggosok-gosok punggungnya yang terasa sakit dan kebas.
“Bu… ngak ada apa-apa. Maaf sih buat ibu jatuh,” ujar seseorang dari arah belakang. Jelas riak ketakutan di wajah perempuan itu.
Liyana menahan kesakitan. Dia sekadar menggeleng sebagai jawapan bagi pertanyaan perempuan Indonesia itu. Mungkin cleaner, fikir Liyana.
“Hahahaha…. padan muka kau. Daulat lagi dengan aku. Kan dah cium lantai,” gelak Amirul tidak tertahan. Geli hati melihat Liyana jatuh tersemban mencium lantai di hadapannya tadi.
Liyana menjeling geram. Bingkas dia bangun dari duduknya. Punggung yang masih terasa sakit, dibiarkan sahaja. Hatinya panas melihat Amirul mentertawakannya dengan galak. Rasa nak sepak aje mamat hingus di hadapannya itu.
“Bisinglah!!” sergah Liyana geram. “Nak kena sepak betul la mamat hingus ni!!” marah Liyana tidak tertahan lagi.
“Tulah… aku belum habis cakap lagi kau dah lari. Padan dengan muka kau. Tak pasal-pasal cium lantai,” ejek Amirul berserta ketawanya.
Mencerlung mata Liyana memandang Amirul. Hisy… suka sangat ya tengok aku jatuh. Tak pe, kau tunggu ajelah kejap lagi, gerutu Liyana sambil mengepal penumbuk. Jika diikutkan, mahu saja dia menumbuk lelaki yang sedang ketawa itu.
“Ha… gelak… gelak. Suka sangat kau ya gelakkan aku. Nah ambik kau!” geram Liyana berserta tendangan sulungnya. Tendangan yang mengenai lutut lelaki itu.
Tanpa membuang masa, Liyana berlari sekuat hati meninggalkan Amirul di situ. Puas hatinya setelah mengenakan Amirul. Ha, baru puas hati aku. Padan muka kau. Siapa suruh kau gelakkan aku. Ambik kau dengan tendangan sulung aku tu, riang di hati Liyana berserta senyuman penuh makna di bibir. Senyuman puas.
Setelah memastikan dirinya selamat, Liyana memberhentikan larian. Tercungap-cungap dia akibat lariannya tadi. Belum pernah dia berlari selaju itu sebelum ini. Jika ada pun sewaktu dia melibatkan diri dalam pertandingan larian 100m di sekolah dahulu. Nasib baik lepas. Kalau tak, alamatnya kenalah aku tadi. Huh! Penat betul. Berlari aje kerja aku hari ni, ngomel Liyana pula sambil mengelap peluh yang membasahi dahi menggunakan lengan bajunya.
Amirul mengerang kesakitan. Terjengket-jengket dia menahan kesakitan di lutut. Mak oi!! Kaki orang ke kaki batu ni. Sakitnya!! Geram Amirul sendirian. Kemudian, dia melabuhkan duduk di salah sebuah bangku yang terdapat di situ. Diusap lembut lututnya yang sakit itu. Hatinya membengkak dengan tingkah perempuan itu. Semakin berdendam dia terhadap perempuan itu.


“Lia…” panggil Adif lembut sambil menapak masuk ke dalam bilik Liyana.
“Hmm…” balas Liyana tanpa menoleh sedikit pun kepada abangnya.
Adif melabuhkan duduk di birai katil. Diperhatikan Liyana yang sedang menatap majalah kegemarannya itu. Kegelisahan jelas di riak wajahnya. Bagaimana untuk menuturkan kata-kata pada Liyana setelah apa yang berlaku tengahari tadi?
“Kalau abang tak ada perkara nak cakapkan pada Lia, baik abang keluar dari bilik Lia ni,” beritahu Liyana tegas. Bukan bermaksud untuk menghalau. Tetapi disebabkan hatinya yang masih lagi terasa membuatkan dia sedikit kurang ajar terhadap abangnya.
“Lia… abang minta maaf kalau kata-kata abang siang tadi buatkan Lia terasa hati atau sebaliknya. Bukan niat abang nak sakitkan hati Lia,” jelas Adif kesal.
“Sudahlah bang. Lia tak pernah pun amik port tentang apa yang abang katakan tadi,” balas Liyana perlahan. Matanya masih lagi tertancap kepada majalah yang dibacanya itu.
Adif mengeluh ringan. Walaupun Liyana berkata begitu, tetapi dia tahu, Liyana terasa dengan apa yang diperkatakannya siang tadi.
“Lia… abang tahu Lia marahkan abang. Abang benar-benar minta maaf dengan Lia,” ucap Adif lagi. Matanya jatuh ke muka Liyana.
“Suka hati abanglah. Lia malas nak fikirkannya lagi. Buat semak otak Lia aje,” balas Liyana tegas.
Adif merengus kasar. Sikap acuh tak acuh Liyana membuatkan hatinya menjadi panas dengan tiba-tiba. Kenapa Liyana masih bersikap kebudak-budakkan sedangkan umurnya sudah menjangkau dua puluh tiga tahun.
“Lia… abangkan tengah cakap dengan Lia ni. Cuba Lia bagi perhatian pada abang sekejap!” geram Adif sambil menarik majalah yang dibaca oleh Liyana.
“Abang ni kenapa? Apa masalah abang ni?” marah Liyana sambil menentang anak mata Adif. Sakit hatinya apabila Adif memperlakukannya seperti itu. Sudahlah sakit hatinya siang tadi masih belum terubat, ditambah pula sakit hatinya dengan tingkah Adif.
Belum sempat Adif membalas kata-kata Liyana, kedengaran suara Laila menjerit memanggil nama Liyana. Jelas lagi nyaring jeritan Laila, seolah-olah sedang menahan kemarahan yang amat sangat. Dia memandang Liyana yang beriak tenang dan selamba. Seperti tidak ada apa yang menggusarkan hati adiknya itu. Sejak dulu lagi Liyana sentiasa bersikap tenang dalam menghadapi apa jua konflik dan masalah. Kadang-kadang dia berbangga dengan sikap Liyana itu.
Liyana bingkas bangun dan menapak keluar dari bilik untuk turun ke tingkat bawah. Sempat dia menjeling kepada Adif sebagai tanda marah dan sakit hati terhadap tingkah Adif. Adif sekadar melihat. Dia membuntuti Liyana turut sama turun ke tingkat bawah untuk melihat.
“Kenapa Kak Laila?” tanya Liyana sebaik sahaja Liyana berada di ruang tamu. Kelihatan Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya turut sama berada di situ. Dadanya berdegup dengan kencang tatkala melihat tenungan tajam Dato’ Zulkifli.
Pangggg!!!
“Laila!!” serentak Adif dan Datin Suraya bersuara.
“Kenapa dengan kamu ni Laila? Yang kamu tampar Lia kenapa?” soal Adif tidak berpuas hati. Dia menarik Liyana menjauhi Laila.
“Abang tanyalah dia apa yang dia dah buat hari ini,” balas Laila sambil menjeling tajam ke arah Liyana dan Adif.
“Aa… aapa yang Lia dah buat?” tanya Liyana terketar-ketar.
“Laila… cuba cerita perkara yang sebenarnya. Apa yang Lia dah buat sampai kamu menamparnya?” tanya Datin Suraya inginkan kepastian.
“Laila malu ibu, ayah. Malu dengan kawan-kawan Laila,” mulai Laila. “Kawan-kawan Laila nampak Lia berkejar-kejaran dengan seorang lelaki di kompleks membeli-belah siang tadi,” sambung Laila. “Mereka kata Lia sengaja cari pasal dengan lelaki tu. Yang paling mereka tak sangka, Lia berani-beraninya tendang kaki lelaki tu. Ayah, ibu… Laila malu dengan kawan-kawan Laila. Mereka asyik perlikan Laila kat pejabat tadi. Panas telinga Laila mendengarnya,” tambah Laila dengan riak muka yang sedih. Mengharapkan simpati daripada Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya.
“Lia… betul ke apa yang kakak kamu katakan ni?” soal Dato’ Zulkifli keras. Panas hatinya mendengar apa yang diceritakan oleh Laila sebentar tadi. Matanya tajam ke muka Liyana.
Liyana menundukkan muka. Tidak berani bertentang mata dengan Dato’ Zulkifli. Apa yang diperkatakan oleh Laila benar belaka. Sungguh tidak menyangka peristiwa siang tadi mendapat perhatian orang ramai termasuk kawan-kawan Laila. Apa aku nak jawab ni? keluh Liyana sendirian.
“Lia… ayah tanya ni? Betul ke apa yang kakak kamu katakan ni?” tengking Dato’ Zulkifli meninggi. Dadanya sudah berombak menahan amarah.
Terhenjut badan Liyana akibat tengkingan Dato’ Zulkifli itu. Menggigil badannya dirasakan. Dia mengangkat muka dan menentang pandangan Dato’ Zulkifli.
“Lia… jawablah nak. Betul ke apa yang kakak kamu katakan ni,” celah Datin Suraya cuba menenangkan keadaan yang sedikit tegang.
“Cakaplah dik. Betul ke apa yang Laila katakan ni?” Kali ini Adif pula yang menyoal Liyana. Dia juga tidak sabar untuk mengetahui cerita yang sebenarnya.
Liyana tergamam dengan pertanyaan Adif dan Datin Suraya. Sungguh hatinya terguris dengan pertanyaan mereka berdua. Terasa dirinya bersendirian di waktu itu. Kelihatan Laila sedang tersenyum sinis kepadanya di samping Dato’ Zulkifli. Selama ini Laila sering mendapat sokongan daripada Dato’ Zulkifli. Walaupun tidak bersalah, tetapi masih dianggap salah oleh Dato’ Zulkifli. Dipandang pula wajah ibu dan abangnya. Riak tidak berpuas hati jelas kelihatan di wajah mereka berdua. Dan akhirnya, matanya dijatuhkan ke wajah tegang Dato’ Zulkifli. Tatkala melihat wajah Dato’ Zulkifli, matanya mulai berkaca. Apa yang membuatkan ayah begitu membenci Lia? rintih Liyana.
“Ya… memang betul apa yang Kak Laila katakan tu. Memang Lia yang berkejar-kejaran dengan seorang lelaki. Memang Lia yang menendang kaki lelaki itu. Dan memang Lia yang malukan Kak Laila di hadapan kawan-kawan Kak Laila. Penjelasan apa lagi yang ayah nak dari Lia,” balas Liyana sedikit meninggi. Bukan niatnya untuk menjadi anak derhaka dan kurang ajar. Tetapi jika didesak sehingga menyebabkan hatinya terguris, maka dari itu dia terpaksa mempertahankan dirinya sendiri.
“Betulkan apa yang Laila katakan tadi. Lia ni suka memalukan keluarga kita, malukan ayah. Laila benci punya adik seperti Lia,” beritahu Laila kesal. Jika boleh dia tidak mahu punya adik seperti Liyana. Selalu memalukan dan menyusahkan mereka sekeluarga.
Tersentak Liyana mendengarnya. Begitukah perasaan Laila terhadapnya selama ini? Benci sungguhkah Laila terhadapnya? Selama ini dia cuba untuk berbaik-baik dengan Laila, tetapi sikap Laila telah menolaknya jauh dari menjadi sebahagian hidup Laila. Ya ALLAH, kuatkan hatiku untuk hadapi semua ini, doa Liyana di dalam hati.
“Sudahlah, tak perlulah kita bincangkannya lagi. Perkara pun dah jadi, tak boleh nak diputarkan semula. Dah Lia… pergi naik atas,” sampuk Datin Suraya cuba mententeramkan suasana. Seperti biasa Datin Suraya selalu bertindak sebagai pengaman negara.
Liyana mengangguk. Tidak berani untuk bersuara. Hanya berserah kepada ALLAH akan nasibnya itu. Walaupun hanya dia sahaja yang tahu akan hakikat yang sebenar. Belum sempat kakinya menapak, Dato’ Zulkifli sudah pun berdiri dan bercekak pinggang.
“Mulai hari ini kereta dan duit saku kamu ayah tarik balik. Pandai-pandai la kamu nak hidup,” kata Dato’ Zulkifli tegas. “Sebagai pengajaran dan hukuman buat kamu Lia. Anak tak sedar diuntung. Suka menyusahkan ayah dan ibu,” sambung Dato’ Zulkifli dan membawa langkahnya menuju ke tingkat atas.
“Ayah… ayah tak boleh buat Lia begitu,” bangkang Adif yang sedari tadi membisu. Dia menghampiri Dato’ Zulkifli yang sudah pun berada di kaki anak tangga.
“Kenapa ayah tak boleh buat begitu? Aku ni ayah kamu dan ada hak untuk berbuat begitu,” balas Dato’ Zulkifli sedikit meninggi. Matanya tajam memandang Adif.
“Tapi ayah…”
“Tak ada tapi… tapi. Dan kamu Adif, ayah bagi amaran pada kamu. Jangan sesekali kamu menolong dia. Kalau ayah dapat tahu kamu menolong dia, ayah takkan teragak-agak menarik ke semua kemewahan yang ayah berikan pada kamu juga Adif. Ingat tu!” amaran Dato’ Zulkifli keras. Dia menyambung langkahnya menuju ke tingkat atas.
Adif terkedu. Sungguh tidak menyangka Dato’ Zulkifli sanggup berbuat begitu terhadap Liyana. Apa salah Liyana sehinggakan Dato’ Zulkifli menghukum Liyana sebegitu. Jika dilihat dari segi logik, takkan disebabkan perkara sekecil itu mahu diperbesar-besarkan. Dia memandang wajah Laila. Kemenangan jelas tergambar di wajah itu. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke Liyana. Wajah sayu adiknya itu ditatap penuh kasih. Wajah yang sentiasa tenang ketika menghadapi apa-apa situasi.
Liyana terduduk. Sungguh tidak menyangka bahawa Dato’ Zulkifli sanggup memperlakukannya seperti itu. Kini barulah dia jelas akan kedudukannya di hati Dato’ Zulkifli. Ternyata Dato’ Zulkifli tidak pernah menyayanginya seperti Adif dan Laila. Sabarlah hati, pujuk Liyana sendiri.
“Lia…” panggil Datin Suraya sambil menyentuh lembut bahu Liyana.
Tanpa membalas kata-kata Datin Suraya, Liyana bingkas bangun dan menuju ke bilik. Panggilan Adif tidak dihiraukan. Buat waktu dan ketika ini, dia perlu bersendirian. Bersendirian untuk menghadapi semua keputusan yang telah dibuat oleh Dato’ Zulkifli. Bersendirian untuk memikirkan tentang dirinya sendiri.


Liyana melabuhkan punggung di birai katil. Keluhan yang berat dilepaskan. Keluhan yang hampir melumpuhkan jiwa dan perasaannya. Keluhan yang selama ini menjadi peneman hidupnya. Keluhan yang menjadi kelemahan buat dirinya.
“Apa yang harus aku buat sekarang ni?” soal Liyana sendirian. “Perlukah aku mengalah? Perlukah aku berserah pada nasib dan takdir? Perlukah aku menerimanya dengan hati yang terbuka?” sambungnya lagi berserta keluhan untuk kesekian kalinya.
Liyana mencapai telefon bimbit. Nombor telefon Fazura di dail. Dia perlu meluahkan perasaan pada seseorang dan orang itu adalah kawan baiknya Fazura. Fazura sentiasa ada bersamanya di waktu dia menghadapi masalah dan konflik keluarga. Fazura sahabat yang setia dari dulu hinggalah sekarang. Perkenalannya dengan Fazura sudah menjangkau sepuluh tahun. Sejak dari sekolah menengah lagi mereka berdua berkawan rapat. Segala masalah dikongsi bersama. Hanya Fazura tempatnya mengadu dan dia bersyukur kerana punya kawan sebaik Fazura.
Beb… pukul berapa dah ni?” rungut Fazura di hujung talian.
Sorrylah beb. Kau dah tidur ke?” kesal Liyana sambil mengerling jam di dinding. Masa menginjak ke angka sebelas tiga puluh minit malam.
“Belum lagi, tapi dah nak kuyu mata aku ni. Tunggu masa aje nak lelapkannya,” balas Fazura sambil menggosok-gosok matanya yang semakin kuyu.
Liyana serba salah. Terasa dirinya mengganggu masa rehat Fazura.
“Zura… aku nak tanya? Offer kau masih on lagi tak?” suara Liyana perlahan. Cuba menahan sebak di dada. Cuba menahan air mata dari gugur.
Offer? Offer apa lagi ni. Kan siang tadi kau dah settlekan masalah kereta kau tu. Masalah apa lagi ni Lia?” soal Fazura. Kurang mengerti akan maksud Liyana.
“Tentang tawaran kerja di syarikat tempat kau bekerja tu. Masih on lagi tau tak?”
“Oh… yang tu. Bukan ke kau tak ready lagi nak kerja,”
“Sekarang aku dah ready nak kerja Zura,”
“Kenapa tiba-tiba pulak? Kau rahsiakan sesuatu dari aku ke Lia?” duga Fazura ingin tahu. Dia yakin Liyana sedang menghadapi masalah. Jika tidak, mustahil Liyana bertukar fikiran dalam masa sehari sahaja.
“Tak ada apa-apa. Aku memang dah ready nak kerja. Mungkin dah datang seru kerja aku tu,” ujar Liyana berserta ketawa kecil.
Berkerut dahi Fazura mendengarnya. Dirasakan kelainan bunyi ketawa Liyana. Ada sesuatu bebanan yang sedang ditanggung oleh Liyana waktu ini. Dan dia akan mencari sebab dan penyebabnya.
“Zura… kau dengar tak ni?” sergah Liyana apabila mendapati Fazura membisu di hujung talian.
“Ya… ya… aku dengar. Macam nilah, esok aku cuba tanyakan untuk kau. Kalau nasib kau baik, Insya-ALLAH, adalah rezeki untuk kau kat situ,” beritahu Fazura.
“Baiklah, aku tunggu berita dari kau,” ujar Liyana seraya mematikan talian telefon.
“Lia… Lia…” panggil Fazura namun talian sudah lama dimatikan.
Hisy… kenapa dengan Lia ni? Mesti ada benda yang tak kena lagi ni. Sah... mesti pasal ayahnya. Kalau bukan sebab ayahnya, Lia takkan bersikap begitu, monolog Fazura.
Liyana membaringkan tubuh di atas katil. Telefon bimbit diletakkan di atas meja kecil yang berada di sisi katil. Terasa berat di kepala kerana asyik memikirkan masalah. Buat permulaan, dia perlu mencari kerja yang bersesuaian untuk menampung kos hidupnya nanti. Mujurlah dia punya wang simpanan sedikit dan mungkin dengan duit itu, dia akan memulakan hidupnya yang baru. Biarlah dia cuba hidup sendiri tanpa bantuan sesiapa.
Jika boleh dia mahu keluar dari rumah itu. Rumah yang begitu menyesakkan nafasnya. Rumah yang tidak memberi ketenangan buat dirinya. Rumah yang menenggelamkan dirinya sendiri. Jika bukan kerana Datin Suraya, sudah lama dia keluar dari rumah itu selepas dia menamatkan pengajian di universiti tempatan. Hidup dalam kebencian, begitu perit buat dirinya. Namun dicekalkan hati menghadapi semua itu.
Pernah suatu masa dulu dia menyuarakan hasrat untuk tinggal menyewa bersama Fazura, tetapi ditentang keras oleh Datin Suraya dan Adif Haikal. Malah dia diugut oleh Datin Suraya membuatkan dirinya menjadi serba salah untuk meninggalkan rumah itu. Ugutan yang membuatkan jantungnya berdegup dengan kencang. Ugutan yang melibatkan nyawa Datin Suraya sendiri. Begitu kejam Datin Suraya ketika itu. Tergamak mengugutnya sebegitu sekali gara-gara tidak membenarkannya keluar dari rumah itu.
Ingin menjaga hati ibu, hati sendiri yang terguris. Bukan sekali dua hatinya terguris, malah berkali-kali. Seperti diguris dengan sebilah pisau belati. Tiada ubat yang bisa menyembuhkan parut di dalam hati. Walaupun berkali-kali diberi ubat, namun hatinya masih lagi berparut dan tidak mungkin akan diubati buat selama-lamanya. Dan dia yakin, suatu hari nanti hatinya tidak mungkin dapat disembuhkan. Hanya ALLAH sahaja yang tahu akan perasaannya selama ini.
“Ya ALLAH, tabahkan hatiku dalam menghadapi ujian-MU ini,” doa Liyana sendirian.
Liyana memejamkan mata. Cuba mencari ketenangan dan kedamaian jiwa. Cuba menghapus kedukaan di dalam hati sendiri. Cuba mengubati luka di hati sendiri. Dan dia berharap hatinya akan kembali pulih ketika esok hari menjelma.


Komen dari anda semua amat saya perlukan. Sekurang-kurangnya saya tahu anda semua menghargai penulisan saya ini.

Thanks…  :D


26 ulasan:

  1. cepat sambung kak

    BalasPadam
  2. pergh...konflik sgt2...pe lah nasib liyana...malang sgguh..uhuhuhu...xsabar nak tggu next n3...hehhehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. a'ah, malang sungguh nasib Liyana.. sabar menanti 4 the next n3 ya adikku zielra.. hihi.. :D

      Padam
  3. kesian Lia... klau akak jd dia, buat apa nk menagih kasih dr ayah yg x sudi... kluar dr umah... mulakan hidup baru.. bkan putus hubungan pn dgn ibu sendiri... buat c ibu tu paham apa yg dia rasakan selama ni... Lia ada pelajaran... ada sahabat yg baik... teruskan hidup di tempat yg baru...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kak Hanim.. klu sy jd Lia pun sy akan buat perkara y sama.. xpe kak, kita tgk apa akn terjadi pd Lia.. sabar menanti 4 the next n3.. :D

      Padam
  4. cik writer memang pandai wat sy sentap bce setiap bab yg dikarang....
    best giler....ase nk nangis je terbayang-bayang nasib liyana tu.
    by the way HM ble ye kuar versi cetak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks Ven coz mbc GB.. sy y menulis pn turut tersentap.. Insya-ALLAH HM versi cetak akn keluar coz surat setuju terbit dh sign ari tu... bl?? x sure.. nti apa2 sy inform kat blog.. :)

      Padam
  5. part yg buat sue menangis.. kesian dgn nasib Liyana..huhuhu, terasa sedih sgt2 mengenangkan nasib anak yg terpinggir..

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. btl tue sue.. akk pn turut beremosi, tp lps 2 kita hepi.. btl x?? hehe.. :D

      Padam
    2. hehehe... lepas tu?? happy... sampai tergelak n tersengih-sengih mase bace.. :-)

      Padam
    3. hurm, dpt dibygkan.. sdgkan akak y menulisnya pn dh tersenyum2 n tersengih sorg2, inikan pulak sue y membacanya.. hihi.. :D

      Padam
    4. iye la kak... mmg mengusik perasaan btul, hihihi... teruskan menulis GB sampai siap kak.. tak sabar sue nak bace ni.. :-)

      Padam
    5. hehe.. tgh berusaha utk menyiapkannya.. jgn senyum sorg2 ya sue.. huhu.. :)

      Padam
    6. hehehe... dah tak boleh nak cover arr kak skrg ni... time duduk sorg2 pun sue boleh tersenyum sorg2 biler teringtkan Amirul n Liyana.. Angau sgt2 dah..

      Padam
    7. hehe.. part y plg sweet, ttg key chain n note coklat tue.. :D

      Padam
    8. aah.. dua2 part tu mmg sweet sgt2, senyum sampai telinga dibuat ye.. hehehe..

      Padam
    9. kihkih.. cemburu punya psl.. :D

      Padam
  6. ape ke hai nya bodo sgt si laila nih.. mcm tu pon malu ke.. herm.. ape mslah ayah die ek.. xsabo nak tau

    BalasPadam
    Balasan
    1. Laila tu mmg sengaja nk buat ayahnya bertambah benci pd Liyana.. ntikan bab seterusnya.. thanks coz membaca GB.. ;)

      Padam
  7. sedihnyer ak bce..huhu..bru bab 2 nieh

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks coz membaca GB.. semoga GB dpt menarik minat anda.. ;)

      Padam
  8. Balasan
    1. yup!! mmg kesian kat Liyana.. bab ke atas lg kesian.. huhu.. :)

      Padam
  9. sedihnye bab ni.. geram nye ngan laila....

    BalasPadam