Jumaat, 26 Disember 2014

Kerana Hati Bicara - Bab 3






“ALONG tak ikut?” tanya Datin Iznaini sambil meninjau ke luar rumah.
Irdina tidak membalas. Tangan Datin Iznaini dicium mesra. Melisa turut bertingkah laku yang sama. Dia mengekori langkah Irdina daripada belakang.
“Dina?” tegur Datin Iznaini lagi.
“Along ada hal ibu,” balas Irdina.
Langkah dibawa menuju ke sofa. Dilabuhkan duduk di sofa dan melepaskan keluhan ringan. Melisa turut sama melabuhkan duduk.
“Along tak nak jumpa dengan ibu, kan?” tebak Datin Iznaini bernada sebak.
“Along tak tahu Dina ke sini. Ibu janganlah rasa sedih,” tegur Irdina, memujuk.
“Betul auntie. Along tak tahu yang kami ke sini,” sokong Melisa sambil mengangguk.
Datin Iznaini tidak membalas. Perasaan sebak hadir dalam hati. Pelbagai usaha yang telah dilakukan demi menambat hati anak sulungnya itu. Namun, semua usaha itu hanya sia-sia. Irshad tetap tidak dapat menerima dirinya sebagai ibu kandung.
“Ibu…” panggil Irdina, lembut.
Datin Iznaini menoleh. Senyuman hambar diberikan kepada anak bongsunya itu.
“Ibu janganlah risau. Dina yakin yang suatu hari nanti along akan terima ibu,” pujuk Irdina. Senyuman diberikan kepada ibunya itu.
“Berapa lama lagi ibu nak tunggu? Ibu akui yang ibu pernah buat salah dahulu. Tapi…” Sukar bagi Datin Iznaini berkata-kata. Semakin sebak di dada mengenangkan kenangan lama.
Irdina tidak membalas. Wajah muram Datin Iznaini ditatap sayu.
Auntie, Mel yakin along akan maafkan auntie. Cuma auntie kena sabar,” suara Melisa yang sejak dari tadi membisu.
Auntie tahu, Mel. Setiap saat auntie berdoa agar Irshad dapat maafkan auntie,” balas Datin Iznaini sambil mengangguk lemah.
Irdina bingkas bangun dan melabuhkan duduk di sisi Datin Iznaini. Ditarik tangan ibunya lalu menggenggamnya erat. Menyalurkan kekuatan kepada ibunya itu.
“Dina akan cuba nasihatkan along. Dina janji akan satukan along dengan ibu,” janji Irdina kepada Datin Iznaini.
Datin Iznaini tersenyum hambar. Dieratkan lagi genggaman di tangan. Wajah anaknya ditatap kasih. Rasa kesal atas apa yang berlaku dahulu menghuni di hati. Sampai bila-bila pun rasa kesal itu akan membelenggu diri.
“Malam ni makan kat sini. Ibu ada masak banyak,” pelawa Datin Iznaini, lembut.
Irdina hanya mengangguk. Dileraikan genggaman di tangan lalu mendakap tubuh tua itu.
Melisa hanya memandang. Dia mendoakan kebahagiaan keluarga Irdina. Semoga Irshad dapat menerima Datin Iznaini dalam erti kata yang sebenar. Semoga Irshad dapat memaafkan segala kesalahan Datin Iznaini yang lalu.


“BAGUSLAH kalau kau dah sedar,” kata Naufal sambil menghulur sebotol air mineral.
Tengku Irfan membalas huluran. Diteguk air dari dalam botol itu.
“Aku kesiankan papa kau. Selama dua tahun dia terpaksa hadapi seorang diri. Masalah syarikat, keluarga dan kau,” suara Naufal.
“Aku tahu,” balas Tengku Irfan, perlahan.
So, kau kena la bertanggungjawab atas apa yang telah kau tinggalkan selama dua tahun ni. Sudah masanya papa kau berehat.”
“Tapi, aku belum bersedia sepenuhnya.”
“Sampai bila?”
“Aku tak tahu.”
“Ir, aku tahu kemalangan tu bagi kesan pada kau. Kemalangan tu telah meragut kebahagiaan kau. Tapi, itu tak bermakna kau perlu putus asa. Mana semangat kau selama ini?”
Tengku Irfan hanya menunduk.
“Perkara dah lama, Ir. Apa yang pernah berlaku dahulu, jangan dikenang lagi,” nasihat Naufal pula.
Wajah Tengku Irfan yang menunduk ditatap. Entah bila Tengku Irfan dapat menerima kenyataan yang sebenar. Selama dua tahun, hidup Tengku Irfan dibayangi dengan kemalangan. Bagaimana untuk menyedarkan Tengku Irfan?
“Aku akan cuba, Naufal. Aku akan cuba,” kata Tengku Irfan penuh yakin.
“Itu yang aku nak dengar, Ir. Aku nak Tengku Irfan Haiqarl yang aku kenali dulu bukan Tengku Irfan Haiqarl yang berada di hadapan aku sekarang ni,” balas Naufal, tenang.
Tengku Irfan mengangguk faham. Kata-kata Naufal berlegar-legar di minda. Mungkin ada baiknya dia mendengar nasihat Naufal. Dengan cara itu, dia tidak akan berasa bersalah terhadap Tengku Iqbal sekali gus menyusahkan papanya lagi.
“Minggu hadapan, kau free tak?”
“Minggu hadapan?”
“Kalau kau free, aku nak ajak kau ke suatu tempat.”
“Ke mana?”
“Kau akan tahunya nanti. Aku janji tempat tu akan bagi ketenangan pada kau.”
Tengku Irfan berfikir sejenak. Kemudian, anggukan diberikan kepada temannya itu.
“Apa-apa nanti aku beritahu pada kau.”
“Okey!” balas Tengku Irfan, sepatah.
Wajah Naufal ditatap mesra. Selama ini, Naufal banyak membantu dalam segala hal. Rasa bersalah kerana menyusahkan Naufal. Jasa dan budi Naufal tidak dapat ditukar ganti.


“TERIMA kasih!” ucap Irdina sambil membalas huluran.
“Terima kasih, bang!” ucap Melisa pula.
“Sedapnya! Dah lama betul aku tak makan benda ni,” teruja Irdina.
Aiskrim di tangan dijamah dengan penuh khusyuk. Rasa nikmat ketika memakan aiskrim itu. Melisa di sisi tidak dihiraukan.
“Makan elok-elok la, Dina.” Melisa menegur. Kepala menggeleng melihat tingkah laku Irdina.
Irdina tidak mengendahkan teguran Melisa. Apa yang penting, kenikmatan aiskrim itu.
“Aku dengar, company kita nak adakan team building,” beritahu Melisa kemudian.
“Iya ke? Kenapa aku tak tahu?”
“Aku baru dapat tahu daripada Imah. Mungkin esok atau lusa meeting tentang tu.”
Irdina mengangguk faham. Aiskrim di tangan habis dijamah.
“Aku dengar bos nak kenalkan kita semua dengan pengarah company yang baru pada hari team building tu.”
“Kau ni curi dengar perbualan orang ke?”
“Eh.. mana ada. Imah yang cerita pada aku. Nak tak nak, aku dengar la.”
“Yalah tu dengar. Kau pun busy body macam Imah tu.”
Melisa tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Pengarah baru?” ulang Irdina tatkala teringatkan tentang tu.
“Kau rasa, Tengku Iqbal tu tua ke muda?” tanya Melisa seraya memandang Irdina.
“Tengku Iqbal? Siapa Tengku Iqbal?” soal Irdina, berkerut dahi.
“Pengarah baru Suria Holdings,” jawab Melisa lalu tersenyum.
Irdina cuba menerima penjelasan Melisa. Pengarah baru? Tengku Iqbal? Belum pernah lagi dia mendengar nama itu. Bukankah Tuan Haji Jamal, pengarah Suria Holdings?
Handsome ke tidak?” Melisa bertanya lagi. Otaknya ligat berfikir.
“Sekejap! Kenapa aku tak tahu tentang ni? Maksud aku… Tengku Iqbal?”
“La... kau tak tahu ke? Suria Holdings dah diambil alih oleh orang lain. Tuan Haji Jamal dah jual share dia kepada Tengku Iqbal. Tuan haji nak ke Australia dan menetap di sana,” cerita Melisa serba sedikit.
“Iya ke?” soal Irdina lagi.
“Yup! Tengku Iqbal pengarah Suria Holdings yang baru. Dia dah beli kesemua share Tuan Haji Jamal,” beritahu Melisa lagi.
“Kenapa aku tak tahu semua ni?” ulang Irdina kepada pertanyaannya yang tadi.
“Aku pun baru tahu, Dina. Itu yang bos nak kenalkan Tengku Iqbal dengan kita semua,” jelas Melisa masih tersenyum. Wajah berkerut Irdina menjadi tatapan mata.
“Kau tahu daripada Imah ke?” tebak Irdina.
Melisa tersengih. Dia mengangguk tanda setuju dengan tebakan Irdina.
Irdina mengangguk. Otaknya sedang ligat berfikir. Tengku Iqbal? Hati Irdina menyebut nama itu. Seperti ada keistimewaan pada nama tersebut.
“Eh… jomlah kita balik. Dah lama sangat kat sini. Nanti along marah pulak,” ajak Melisa tatkala menyedari kelewatan masa.
Irdina mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul sepuluh malam. Agak lama mereka melepak di kawasan pasar malam itu.
Rasa bersalah menumpang di hati. Bersalah kerana menolak pelawaan Datin Iznaini untuk tidur di rumah. Bukannya dia tidak mahu. Khuatir akan kemarahan Irshad jika mengetahui tentang itu.


“KAU nak beli apa-apa lagi tak?” tanya Naufal seraya memandang Tengku Irfan.
Tengku Irfan berfikir sejenak. Matanya memandang kawasan pasar malam itu. Jarang sekali dia ke pasar malam. Sudah agak lama juga dia tidak keluar berjalan-jalan dan hari ini, dia mengikut Naufal ke mana sahaja Naufal pergi. Sekadar untuk mententeramkan perasaan.
“Ir!” panggil Naufal pula.
“Aku rasa nak makan kebab. Kita ke sana sekejap,” balas Tengku Irfan.
Diunjuk ke arah sebuah gerai menjual kebab. Orang ramai mengerumuni gerai itu.
Naufal menghalakan mata ke arah yang ditunjuk. Anggukan diberikan kepada Tengku Irfan sebagai tanda setuju. Tanpa berlengah, dibawa langkah menuju ke gerai tersebut.
“Ke tepi… ke tepi…” suara seseorang dari arah belakang.
Tengku Irfan dan Naufal terkejut. Dihalakan mata ke arah yang bersuara. Belum sempat mereka berdua mengelak, tubuh seseorang sudah pun melanggar Tengku Irfan. Terduduk Tengku Irfan akibat perlanggaran itu.
“Dina! Kau tak ada apa-apa ke?” tanya Melisa sedikit terkejut.
Irdina meraba punggungnya yang terasa sakit. Gelengan kecil diberikan kepada Melisa.
“Mata kau ni letak kat kepala lutut ke? Yang kau langgar aku, kenapa?” marah Tengku Irfann, meninggi. Kesakitan di tubuh mulai terasa.
“Ir, are you okey?” tanya Naufal, prihatin.
Dibantu Tengku Irfan bangun daripada jatuhan. Riak tegang terpancar di wajah Tengku Irfan. Pasti, kawannya itu menahan kemarahan di hati.
“Yang kau tak berhati-hati, kenapa?” tegur Melisa, berbisik.
“Aku tak sengaja la. Aku tak nampak dia lalu tadi. Tiba-tiba saja dia muncul,” balas Irdina turut sama berbisik. Perasaan risau menghuni di hati.
“Yang kau rempuh aku, kenapa? Mata kau tu letak kat kepala lutut ke?” marah Tengku Irfan, mendengus kasar. Wajah Irdina ditatap tajam.
Sorry, saya tak sengaja,” ucap Irdina, ramah.
Disabarkan hati mendengar kemarahan pemuda di hadapannya itu. Mengaku akan kesalahan sendiri.
“Ir, dia tak sengaja,” tegur Naufal, lembut.
Tengku Irfan mendengus kasar. Wajah perempuan di hadapan masih dipandang tajam. Seperti pernah melihat wajah itu sebelum ini.
“Maaf,” ujar Irdina lagi.
“Kau macam mana, Ir? Ada yang luka tak?” tanya Naufal, prihatin. Diperhati tubuh Tengku Irfan penuh minat.
Tengku Irfan menggelengkan kepala sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Naufal.
“Saya mintak maaf.” Untuk kali yang ketiga Irdina mengucapnya.
“Kau ingat dengan kata maaf boleh selesaikan semuanya?” Sinis Tengk Irfan bertanya.
Irdina tidak membalas. Wajah tegang Tengku Irfan ditatap. Seperti pernah melihat wajah itu sebelum ini. Bukankah pemuda ini juga yang memarahi seorang kanak-kanak hari itu?
“Kau yang back up budak lelaki hari tu, kan?” tanya Tengku Irfan sebaik sahaja mengingati tentang itu.
So, kenapa?” Selamba Irdina bertanya. Buat-buat berani sebenarnya.
Melisa memandang ke wajah Tengku Irfan. Otaknya cuba menganalisa maklumat. Adakah pemuda itu merupakan pemuda yang dicerita oleh Irdina baru-baru ini?
“Kau…”  Tengku Irfan mematikan ayat. Sakit hatinya melihat wajah selamba Irdina.
“Sudahlah Ir,” tegah Naufal, memujuk.
Tengku Irfan merengus kasar. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Niat untuk membeli kebab terputus begitu sahaja.
“Maaf. Kawan saya bad mood hari ni,” jelas Naufal, serba salah.
“Tak apa, encik. Saya yang patut mintak maaf. Saya tak perasan dia lalu tadi,” balas Irdina turut sama kesal.
Naufal hanya mengangguk dan tersenyum. Dia segera beredar dari situ. Cuba untuk mengejar Tengku Irfan. Menggeleng dia melihat tingkah laku Tengku Irfan.
“Fuh! Nasib baik!” ujar Melisa sambil menarik nafas lega.
Irdina tidak membalas. Pemergian Tengku Irfan dan Naufal menjadi tatapan mata. Entah kenapa rasa bersalah menghuni di hati. Adakah kerana peristiwa beberapa hari yang lalu maka dia berasa begitu?
“Dina!” tegur Melisa seraya memegang lengan Irdina.
“Hah! Apa dia?” tanya Irdina sedikit tersentak.
“Jomlah kita balik. Dah lewat sangat ni. Nanti along marah,” ajak Melisa pula.
Irdina sekadar mengangguk. Dia melangkah mengekori langkah Melisa. Otaknya sedang ligat berfikir. Entah apa yang difikirkannya itu, dia sendiri tidak pasti. Adakah tentang pemuda tadi yang sedang difikirkannya itu?


“TENGKU Irfan!” tegur Tengku Iqbal dari arah ruang tamu.
Tengku Irfan menghentikan langkah. Dihalakan mata ke arah ruang tamu. Wajah papanya menyapa mata.
“Ir ke mana? Malam baru nak balik?” tanya Tengku Iqbal, prihatin.
“Ir keluar dengan Naufal,” jawab Tengku Irfan sambil melangkah menuju ke ruang tamu.
Tengku Iqbal mengangguk.
“Papa!”
“Ada apa Ir?”
“Ir… Ir rasa nak kerja.”
Tersentak Tengku Iqbal mendengarnya. Wajah Tengku Irfan ditatap meminta penjelasan.
“Ir dah bersedia papa.”
“Ir…”
“Selama dua tahu Ir susahkan papa. Ir sepatutnya bantu papa. Tapi, Ir pentingkan diri sendiri. Ir mintak maaf,” jelas Tengku Irfan bernada kesal.
Tengku Iqbal bingkas bangun dari duduk. Dihampiri Tengku Irfan lalu mendakap tubuh itu. Sungguh, dia berasa gembira ketika ini. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana doanya selama ini dimakbulkan Allah.
“Terima kasih, Ir,” ucap Tengku Iqbal bernada sebak.
Tengku Irfan membalas dakapan. Anggukan diberikan kepada Tengku Iqbal. Terlalu lama dia menyusahkan Tengku Iqbal. Terlalu lama dia hanyut dalam dunia sendiri.
Sudah tiba masanya untuk dia keluar dari dunia itu sekali gus memulihkan semangat sendiri. Segala kekurangan yang ada akan cuba diatasi dan menerima seikhlas hati. Semoga apa yang dilakukan nanti dapat mengembalikan Tengku Irfan Haiqarl Bin Tengku Iqbal.

Terima kasih. Jumpa lagi!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan