Jumaat, 16 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 10


BAB 10

Fauziah memerhatikan tingkah Nur Ain. Ada sesuatu yang berbeza pada Nur Ain dari sebelum ini. Nur Ain banyak membisu daripada berkata-kata. Nur Ain banyak menyendiri daripada bergaul dengan pekerja-pekerja yang lain. Kenapa Nur Ain berubah? Jenuh Fauziah berfikir, tetapi dia menemui jalan buntu. Apa yang berlaku pada Nur Ain selama dua minggu ini? Apa yang menghairankan Fauziah, Nur Ain mengambil cuti selama dua minggu. Dan selama dua minggu itu, Encik Hazrel sekali sekala masuk ke dalam office. Malah Encik Hazrel tidak pernah sekali pun bertanyakan tentang Nur Ain. Hanya Encik Izzuddin sahaja yang sibuk bertanyakan tentang Nur Ain. Apa yang berlaku? Ulang Fauziah pada persoalan yang sama.
“Ain…” panggil Fauziah perlahan.
Nur Ain menoleh sekilas ke arah Fauziah. Seminit kemudian, dia menjatuhkan wajahnya mengadap fail di hadapannya itu.
“Kenapa ni Ain? Kak Gie perasan, Ain dah berubah. Ain ada masalah ke?” tanya Fauziah prihatin.
Nur Ain mengeluh ringan. Matanya dihalakan ke arah Fauziah semula. Peristiwa dua minggu yang lepas sentiasa bermain di tubir mata. Mana mungkin dia akan melupakan peristiwa itu seumur hidupnya nanti. Disebabkan Hazrel, tidak mungkin Faizal bertindak melebihi batas terhadapnya. Betapa bencinya dia terhadap lelaki bernama Hazrel dan Faizal itu.
Nur Ain sedar, dia bukanlah seorang yang pendendam. Malah untuk membenci orang, tidak pernah terlintas di fikirannya itu. Tetapi, apabila ianya sudah melebihi batasan, sukar untuknya menerima perkara itu dengan waras. Apa yang menjadi titik utama, apa tujuan Hazrel menipu serta mempermain-mainkannya. Adakah disebabkan dirinya yang hanya berketrampilan seperti orang kampung maka dia dinilai dan dipandang rendah oleh setiap lelaki kaya di dunia ini? Adakah disebabkan dia tidak berharta, maka orang akan mengambil kesempatan ke atas dirinya itu? Kenapa perkara itu harus terjadi pada dirinya?
“Ain…” seru Fauziah lembut.
Berterbangan lamunan Nur Ain dek kerana seruan itu. Entah kenapa matanya mulai berkaca. Terasa sebu dan sebak di dadanya tiba-tiba.
“Ain ke bilik air sekejap Kak Gie,” pinta Nur Ain seraya bangun.
Fauziah sekadar mengangguk. Matanya mengekori langkah Nur Ain hingga hilang di sebalik pintu. Hatinya kurang senang melihatkan reaksi Nur Ain itu.
Nur Ain segera menuju ke bilik air. Tidak mahu Fauziah mengesani akan keadaannya itu. Sungguh Nur Ain masih lagi tidak mampu untuk menerima peristiwa itu sebagai takdir dalam hidupnya. Dia perlu menghamburkan air matanya ketika itu dan hanya bilik air tempat yang selesa untuknya menghamburkan segala rasa di dalam hatinya itu.
“Nur Ain!” panggil Hazrel tatkala Nur Ain melewati bilik Hazrel.
Terhenti langkah Nur Ain. Dia menoleh sekilas ke dalam bilik Hazrel. Kemudian, dia menyambung langkahnya menuju ke bilik air. Tidak berminat untuk menatap mesra wajah Hazrel. Betapa bencinya dia dengan Hazrel di waktu ini.
Hazrel mengerutkan dahi. Rasa tercabar apabila panggilannya itu tidak bersahut oleh Nur Ain. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menapak keluar bilik. Sengaja dia membuka pintu biliknya untuk melihat kalau-kalau Nur Ain melalui hadapan biliknya itu. Rasa menyesal dengan apa yang terjadi dua minggu yang lepas, masih lagi menapak di dalam hatinya. Walaupun hatinya masih sakit dengan perbuatan Eddie yang menumbuk mukanya, setelah ditimbal balik, Hazrel perlu meminta maaf dengan Nur Ain. Jika tidak, rasa bersalahnya akan menapak kemas di dalam dirinya itu.
“Ain!” panggil Izzuddin pula.
Bingkas Izzuddin bangun dari duduknya dan menapak ke muka pintu. Nur Ain setia menantinya di muka pintu bilik.
“Ada apa Encik Izz?” tanya Nur Ain.
“Err, tengahari ni, kita makan sama nak. Saya ada perkara nak bincangkan dengan Ain,” ajak Izzuddin ikhlas.
“Tengahari ni? Saya ada bawa bekal Encik Izz. Lain kali ajelah ya,” tolak Nur Ain lembut. Matanya menjamah wajah Izzuddin.
“Saya belanja awak Ain. Bekal tu, bila-bila pun awak boleh makannya.”
“Tak mengapalah Encik Izz. Membazir nanti. Lagipun bekal tu, maksu saya yang masak. Nanti apa pulak kata maksu saya kalau saya tak menjamahnya,” jelas Nur Ain jujur.
Izzuddin menarik nafas dan melepaskannya lembut. Matanya menatap wajah Nur Ain yang kelihatan muram. Mungkinkah Nur Ain punya masalah ketika ini?
“Tak mengapalah. Lain kali kalau saya ajak, awak tak boleh nak menolaknya lagi. Dah dua kali awak tolak pelawaan saya. So, kali ketiga nanti, saya harap awak tak tolak Ain.”
“Insya-ALLAH, saya akan cuba. Saya ke bilik air sekejap,” pamit Nur Ain dan mengatur langkah menuju ke bilik air.
Izzuddin hanya melihat. Rasa hampa tatkala pelawaannya di tolak oleh Nur Ain. Matanya menghantar langkah Nur Ain.
“Kau sembang apa dengan dia?” tanya Hazrel tiba-tiba dari arah belakang. Ada nada cemburu dari hujung ayatnya itu.
Terkejut Izzuddin mendengar pertanyaan itu. Dia menoleh ke belakang seketika dan menapak masuk ke dalam pejabatnya semula. Hazrel hanya membuntuti sahaja.
“Aku ajak dia makan tengahari, tapi dia tolak,” jelas Izzuddin dan melabuhkan duduknya di kerusi. Wajah Hazrel ditatap mesra.
“Kenapa dia tolak?” tanya Hazrel sekadar ingin tahu sambil melabuhkan duduknya.
“Dia bawa bekal. Maksu dia masak pagi tadi.”
“Oh!” sahut Hazrel dan mengangguk kecil.
“Yang kau tetiba tanya pasal dia tu kenapa? Selalunya tak ada pulak kau tanya pasal dia, kutuk lagi adalah,” sindir Izzuddin dan tergelak kecil.
Hazrel hanya mendengar. Rasa kesalnya masih lagi bersisa. Dia perlu berhadapan dengan Nur Ain sendirian. Dia perlu meminta maaf dari Nur Ain. Adakah Nur Ain akan memaafkannya?
“Tak boleh ke aku tanya pasal dia? Lagipun aku kan bos kat sini.”
“Memanglah, tapi belum pernah kau bertanya pasal dia. Muka kau tu, macam orang risaukan dia aje. Kau ada buat sesuatu pada dia ke Haz?” tebak Izzuddin dan memandang tepat ke wajah Hazrel.
“Eh… mana ada. Kau ni memandai ajelah. Aku balik bilik dululah,” bidas Hazrel laju seraya bangun. Dia perlu beredar dari situ. Jika berlama pasti Izzuddin akan bertanya lagi padanya dan dia tidak mahu cerita mengenainya tersebar di syarikat itu.
Izzuddin hanya memandang. Seperti ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh Hazrel darinya. Tetapi apakah dia? Izzuddin perlu mencari jawapan pada persoalannya itu.


“Cish! Tak guna punya Hazrel. Tergamak dia pukul aku. Naik bengkak muka aku dibuatkan dia. Siap dia aku kerjakan nanti!” marah Faizal tidak tertahan.
Rasa sakit hatinya terhadap Hazrel dua minggu yang lepas, masih lagi bersisa. Disebabkan tumbukan Hazrel, selama dua minggu dia terpaksa menahan kesakitan di mukanya. Malah untuk keluar dari rumah pun dia tidak sanggup. Mujurlah dia dapat mengelak dari bersoal jawab dengan papanya, jika tidak, jawapan apa yang harus diberikan kepada papanya itu.
“Kau pun satu. Yang kau kacau perempuan tu kenapa? Tak pasal-pasal kena makan penumbuk dari dia,” sindir Mazlan pedas dan tergelak.
“Dah dia bagi green light kat aku, apa lagi, aku sambarlah. Lagipun bukannya dia suka sangat kat perempuan tu. Silap dia juga, siapa suruh bawa perempuan tu ke kelab,” bidas Faizal keras. Sakit telinganya mendengar ketawa Mazlan itu.
“Aku pun tak tahu nak cakap apa Zal. Salah kau juga. Tak pasal-pasal, kau putus kawan dengan dia. Bukan sehari dua kau berkawan dengan Hazrel, dah hampir lima tahun. Selama ini pun, Hazrel yang banyak settlekan masalah kita,” jelas Mazlan dan masih ketawa.
“Puihh!! Aku tak heranlah. Aku pernah sekali gaduh dengan dia dulu. Lagipun papa aku pun kaya. Lebih kaya dari dia. Disebabkan dia anak Dato’, dia boleh sesuka hati nak tumbuk aku. Kalau ikutkan hati aku masa tu, mahu aje aku balas tumbukan dia. Disebabkan aku fikirkan dia tu kawan aku, tak tergamak aku nak pukul dia,” bentak Faizal keras.
“Yalah tu. Banyaklah kau punya ‘tak tergamaknya’. Selama ini pun Hazrel yang selalu menang kalau kau dan dia masuk apa-apa pertandingan kat universiti dulu,” cebik Mazlan meluat. Geli hati mendengar kenyataan Faizal itu.
“Itu sebab aku ni bukannya jenis orang macam Hazrel tu. Berlagak, sombong, ego dan segala macam perangai buruklah. Aku ni lelaki yang budiman,” bidas Faizal dan tersengih.
“Perasan! Siapa yang tak kenal dengan kau. Lelaki ‘buaya darat’ kat universiti dulu,” cebik Mazlan pula. “Habis tu, kau nak buat apa dengan Hazrel?” tanyanya pula.
Faizal tersenyum sinis. Otaknya sudah merencanakan sesuatu rancangan. Rancangan untuk mengenakan Hazrel. Mungkin rancangan itu akan mengubah hidup Hazrel. Biar padan dengan muka Hazrel! Biar Hazrel menerima balasan di atas tindakannya dua minggu lepas. Faizal tersenyum tatkala memikirkannya.
“Nanti aku bagitau kau. Aku nak minta tolong kau juga. Aku pasti Hazrel akan tersungkur kali ini dan aku akan menang buat selama-lamanya,” jawab Faizal dan masih tersenyum. Matanya membuang pandang ke luar restoran.
“Apa yang kau nak buat Zal? Kalau perkara libatkan polis, aku tak nak masuk campur. Tak pasal-pasal family aku dapat tahu, mahu di buang keluarga aku nanti.”
“Kau ingat aku ni sekejam itu ke? Tak adalah, aku nak bagi pengajaran kat dia aje. Jangan risaulah.”
Mazlan menarik nafas dan melepaskannya. Pertolongan apa yang dimahukan oleh Faizal itu darinya, dia sendiri tidak pasti.
“Okey, sebelum aku tolong kau, aku nak tahu apa rancangan kau tu dulu. Aku pun tak sabar nak tengok Hazrel tu tersungkur,” sahut Mazlan dan tersenyum sinis.
“Ha… macam tulah kawan aku. Saling tolong-menolong antara satu sama lain. Nanti aku bagitau kau rancangan baik punya,” balas Faizal turut tersenyum sinis.
Mazlan hanya mengangguk. Matanya turut membuang pandang ke luar restoran. Orang ramai berpusu-pusu menuju ke restoran untuk menjamu selera pada tengahari itu. Tidak sabar untuk melaksanakan rancangan Faizal.


“Ma… Haz tahu. Hujung minggu ni Haz baliklah. Mama janganlah risau,” beritahu Hazrel keras. Letih melayan karenah Datin Salina.
“Macam mana mama tak risau kalau Haz acuh tak acuh bila mama cakap. Mama nak Haz balik jugak minggu ni. Dah dua minggu Haz tak balik rumah. Mama ada perkara nak bincangkan dengan Haz,” pesan Datin Salina tegas berserta dengusan kasar.
“Yalah mama. Berapa kali Haz nak bagitau pada mama. Hujung minggu ni Haz baliklah,” bentak Hazrel turut keras. Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
“Okey, mama tunggu Haz. Kalau Haz tak muncul-muncul, mama sendiri yang akan ke rumah Haz,” ugut Datin Salina dan mematikan talian telefon.
“Hisy mama ni. Asyik nak memaksa ajelah. Ini mesti pasal rancangan mama nak suruh aku berkahwin dengan Qistina gedik. Itu yang beria-ria sangat suruh aku balik. Kalau ikutkan hati, malas aku nak balik nak mengadap muka gedik tu,” rungut Hazrel sendirian. Dia menapak jalan menuju ke muka pintu bilik. Mencari kelibat Nur Ain.
“Aduh!” rengek Nur Ain tatkala terlanggar Hazrel. Dia mengusap lembut dahinya yang terasa berdenyut tiba-tiba.
“Mata awak tu letak kat mana? Lutut ke?” marah Hazrel meninggi.
Turut sama mengusap lembut dahinya yang terasa sakit akibat perlanggaran itu. Matanya merenung tajam ke muka Nur Ain.
“Encik Hazrel yang keluar tiba-tiba, Encik Hazrel lah yang salah!” balas Nur Ain meninggi. Seminit kemudian, dia menyambung langkahnya. Malas untuk bertatapan dengan Hazrel. Semakin benci melihat wajah itu.
Terkedu Hazrel mendengar suara lantang Nur Ain. Belum pernah sekali pun Nur Ain bersikap sebegitu. Adakah disebabkan peristiwa dua minggu yang lepas membuatkan Nur Ain berubah sebegitu rupa?
“Eh, apa ni?” marah Nur Ain tatkala lengannya ditarik Hazrel.
Hazrel tidak mengendahkannya. Dia menarik Nur Ain masuk ke dalam biliknya dan mengunci pintu bilik. Dia perlu membuat perhitungan dengan Nur Ain. Dia perlu meminta maaf dengan Nur Ain. Walaupun dia terpaksa menjatuhkan ego lelakinya, dia sanggup melakukannya asalkan Nur Ain memaafkan kesalahannya yang lepas. Rasa sesak nafasnya jika tidak meminta maaf pada Nur Ain.
“Encik Hazrel nak apa dengan saya?” tanya Nur Ain meninggi. Dia meronta agar lengannya dilepaskan. “Lepaskan saya!” pinta Nur Ain sedikit merayu.
Hazrel melepaskan pegangannya. Wajah Nur Ain ditatap berserta kerutan di dahi. Bagaimana untuk meminta maaf dengan Nur Ain?
“Saya nak serahkan telefon bimbit awak ni semula,” suara Hazrel seraya mengeluarkan telefon bimbit milik Nur Ain dari dalam lacinya. Dihulurkan telefon tersebut kepada Nur Ain.
Nur Ain memandang tepat ke telefon bimbit yang dipegang oleh Hazrel. Hatinya menjadi panas dengan tiba-tiba. Sungguh dia membenci telefon bimbit itu di saat ini. Jika bukan disebabkan telefon bimbit itu, mustahil dia akan mengalami peristiwa dua minggu yang lepas.
“Saya minta maaf Nur Ain. Saya tak sangka Faizal sanggup bertindak melebihi batasan terhadap awak. Saya pulangkan telefon bimbit awak semula Nur Ain,” jelas Hazrel ikhlas dan jujur. Tangannya masih lagi menyuakan telefon bimbit kepada Nur Ain. Namun tidak disambut oleh Nur Ain. Berkerut dahinya memandang reaksi tidak berperasaan Nur Ain itu.
“Maaf?” ulang Nur Ain mengejek.
Hazrel menganggukkan kepala.
Nur Ain merentap telefon bimbit dari pegangan Hazrel. Dengan perasaan yang benci, dia melemparkan telefon bimbit itu ke dinding. Melepaskan kemarahan, kebencian dan rasa menyesalnya terhadap telefon itu. Walaupun hatinya memberontak agar tidak melakukannya, namun dia terpaksa. Jika tidak ingatannya akan sentiasa mengingati peristiwa itu sekiranya dia menatap telefon bimbit itu nanti. Maafkan Ain Hazrul, bisik Nur Ain sayu sebaik sahaja telefon itu berkecai sehingga menampakkan isi dalamnya.
Setelah berpuas hati, Nur Ain mengatur langkah untuk beredar dari situ. Tidak mahu berlama di dalam bilik itu. Rasa sesak nafasnya mengadap wajah Hazrel. Betapa bencinya dia terhadap wajah itu. Jauh di sudut hati, tidak terlintas langsung untuk membenci sesiapa. Mungkin dengan cara itu, dirinya tidak mudah dibuli oleh Hazrel atau sesiapa pun lelaki kaya di dunia ini.
Hazrel yang melihat terkejut dengan tindakan Nur Ain. Dia terpinga-pinga buat seketika. Kenapa Nur Ain berubah laku? Kenapa Nur Ain bertindak seperti itu? Adakah disebabkan peristiwa dua minggu yang lepas membuatkan Nur Ain menjadi seorang yang pembenci.
“Apa masalah awak ni Nur Ain?” tanya Hazrel meninggi seraya menarik lengan Nur Ain agar tidak keluar dari bilik itu.
Nur Ain mendengus geram. Sakit hatinya apabila diperlakukan sebegitu. Matanya merenung tajam ke muka Hazrel.
“Bukan ke hari tu awak yang beria sangat nakkan telefon tu balik. Bila saya dah serahkan, kenapa awak buat macam tu pulak?” soal Hazrel keras.
“Saya benci! Benci! Disebabkan telefon itu, maruah saya hampir tergadai. Disebabkan telefon itu, saya diperlakukan seperti orang yang tidak bermaruah. Disebabkan telefon itu, saya diperbodoh-bodohkan. Jadi buat apa saya perlukannya lagi,” jerkah Nur Ain meninggi.
Kemudian dia merentap tangannya dari pegangan Hazrel. Dia perlu beredar dari situ. Tidak mahu berlama di dalam bilik itu bersama Hazrel.
“Huh! Itulah perempuan. Bila alami perkara yang menyentapkan hati, mulalah membenci berbagai-bagai,” sindir Hazrel sengaja membakar hati Nur Ain.
Terhenti langkah Nur Ain mendengar kata sindiran Hazrel itu. Dia memusingkan badan dan menatap wajah Hazrel yang selamba. Bibirnya diketap menahan kemarahan.
“Encik Hazrel cakap apa tadi?” Keras Nur Ain bertanya.
Hazrel menyandarkan badan ke meja sambil berpeluk tubuh di situ. Senyuman sinis terbias di wajahnya waktu itu.
“Macamlah kau tu baik sangat. Kalau kau tu baik sangat, kau takkan terlalu mudah ikut aku ke sana. Itu kira bagus aku datang selamatkan kau. Kalau tidak….”
Pangg!!!
Satu tamparan hinggap di pipi Hazrel sebelum dia menyudahkan ayatnya. Terkedu Hazrel seketika dengan tindakan Nur Ain itu. Diusap lembut pipinya yang terasa kebas.
“Saya bukan perempuan seperti apa yang Encik Hazrel maksudkan. Kenapa Encik Hazrel seksa saya macam ni? Apa salah saya pada Encik Hazrel?” tanya Nur Ain sebak.
Sebak tatkala Hazrel menuduhnya sebegitu. Adakah dia seorang perempuan yang tiada maruah? Adakah dia seorang perempuan yang mudah dibawa ke sana ke mari? Adakah dia seorang perempuan yang tidak pandai menjaga diri? Sungguh hatinya terasa diusik tatkala mendengar kata-kata Hazrel itu.
Tanpa menghiraukan Hazrel, segera Nur Ain membawa langkahnya ke arah dinding di mana telefon bimbitnya dilemparkan. Dia menundukkan tubuhnya dan menatap hiba telefon bimbit tersebut. Dikumpul sisa serpihan telefon itu dan dibawanya ke dadanya sendiri.
“Maafkan Ain Hazrul,” bisik Nur Ain perlahan seraya bangun.
Hazrel yang melihat berkerut seribu. Kurang mengerti akan tindakan Nur Ain itu.
“Terima kasih kerana membawa saya ke tempat itu. Akan saya ingatnya sampai ke akhir hayat saya nanti,” ucap Nur Ain dan beredar dari situ. Air matanya meniti di tubir mata, hanya menunggu sama untuk merembes keluar.


“Lama tunggu?” tanya Eddie dan melabuhkan duduknya berhadapan Izzuddin.
“Tak, baru aje. Kau dari mana?” balas Izzuddin.
Seorang pelayan menghampiri mereka berdua. Setelah memberi pesanan, Eddie menjatuhkan pandangan ke wajah Izzuddin. Ada sesuatu pada wajah tersebut.
“Aku dari office? Kenapa kau nak jumpa dengan aku?”
Izzuddin melepaskan keluhan ringan. Perlukah dia berterus-terang pada Eddie akan niatnya untuk memperisterikan Nur Ain? Walaupun baru mengenali Nur Ain, hatinya sudah terpaut pada gadis itu. Dan dia berharap agar Eddie dan Humaira menyokong akan cadangannya. Mungkin juga Eddie dapat memujuk Humaira memandangkan Humaira ibu saudara Nur Ain.
“Aku nak tanya kau pasal Nur Ain,” ujar Izzuddin.
“Nur Ain? Kenapa dengan Ain? Hazrel buli Ain lagi ke?” tanya Eddie bertubi-tubi.
Izzuddin tertawa kecil. Geli hati melihat wajah kalut Eddie. Ternyata Eddie terlalu mengambil berat akan keadaan Nur Ain.
“Kau ni kalut semacam kenapa? Tak ada apa-apa yang berlaku pada Ain. Aku cuma nak tanya pendapat kau aje.”
“Kush semangat, sedap telinga aku mendengarnya. Aku ingatkan apa la tadi.” Eddie menarik nafas lega. Dadanya yang berombak kencang semakin surut.
“Aku nak tanya pendapat kau Die. Kalau aku nak ambil Ain jadi isteri aku, agak-agak Ain setuju tak?” usul Izzuddin dan tersenyum.
Tersentap Eddie mendengarnya. Terkebil-kebil matanya memandang Izzuddin di hadapannya itu. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Izzuddin itu?
“Kau biar betul Izz. Apa yang ada pada Ain tu? Kau anak berada, Ain hanya gadis biasa yang berasal dari kampung. Boleh ke family kau terima Ain?” soal Eddie khuatir.
“Insya-ALLAH Die. Aku yakin family aku akan terimanya. Aku dah jatuh cinta pada Ain sejak dia selamatkan aku sebulan yang lalu.”
“Maksud kau?”
“Aku hampir dilanggar, nasib baik masa tu Ain ada dan selamatkan aku. Aku terhutang nyawa dengan Ain dan sekarang aku benar-benar sayangkan Ain,” jelas Izzuddin jujur.
Eddie melepaskan keluahan berat. Sukar untuk memberi pendapat. Jika diberi, adakah Izzuddin akan mendengarnya?
“Aku tak boleh nak bagi pendapat apa-apa Izz. Semua keputusan itu terletak di tangan Nur Ain. Aku boleh usulkan pada Humaira, tetapi aku tak ada hak pada keputusan Nur Ain. Lagipun kau belum kenal benar dengan Ain. Aku cadangkan kau kenal dulu siapa Ain, then baru kau buat keputusan,” jelas Eddie berbaur nasihat.
“Aku kan dah kenal hati budi Ain dan aku yakin Ain calon yang sesuai untuk aku,” bidas Izzuddin lembut.
“Kau belum tahu kisah hidupnya Izz. Bila kau dah tahu kisah hidup Ain yang sebenarnya, baru kau buat keputusan,” balas Eddie turut lembut. Matanya menatap wajah Izzuddin yang sedang meneguk air minuman.
Berkerut dahi Izzuddin cuba untuk memahamkan maksud Eddie itu. Perkara yang sama juga didengarnya dari mulut Nur Ain. Mungkinkah mereka menyimpan rahsia hidup Nur Ain.
“Ain bukan seperti gadis lain. Kisah hidup Ain, penuh dengan dugaan. Tentu kau sendiri tak akan percayanya nanti,” ujar Eddie lagi.
“Ain pernah juga bagitau pada aku perkara yang sama. Rahsia apa yang korang sembunyikan selama ini? Kenapa dengan kisah hidup Ain?” desak Izzuddin ingin tahu.
Eddie melepaskan keluhan berat. Perlukah dia bercerita mengenai Nur Ain kepada Izzuddin? Sejak dari dulu lagi, Eddie berazam akan menceritakan kisah hidup Nur Ain kepada lelaki yang bakal menjadi suami Nur Ain. Eddie mahu bakal suami Nur Ain mengetahuinya sebelum mereka berdua diijab kabulkan. Persoalannya, siapa bakal suami Nur Ain nanti?
“Ada baiknya kau dengar dari mulut Ain sendiri. Kalau dari mulut aku, takut nanti timbulkan fitnah,” jawab Eddie dan tersenyum. “Kalau kau betul-betul ikhlas dengan Ain, kau cuba tawan hati dia. Hati dia dah lama tertutup buat cinta seorang lelaki,” sambung Eddie lagi.
Bertambah berkerut dahi Izzuddin cuba menafsir akan maksud Eddie itu. Kisah apa yang dirahsiakan oleh Eddie. Kenapa hati Nur Ain tertutup buat cinta seorang lelaki? Sungguh Izzuddin ingin mencari jawapan pada persoalannya itu. Bagaimana dia harus mencari jawapan jika Nur Ain sendiri tidak sudi untuk keluar dan mendekati dirinya. Buntu Izzuddin memikirkannya. Selama dia berada di Cahaya, pelbagai usaha yang dilakukan Izzuddin untuk menarik minat Nur Ain, namun semuanya tidak berhasil. Benarkah kata-kata Eddie sebentar tadi? Hati Nur Ain tertutup buat cinta seorang lelaki? Ulang Izzuddin di dalam hatinya.
“Aku dah cuba dekati dia Die, tapi dia macam nak elakkan diri dari aku aje,” luah Izzuddin jujur.
“Aku tak boleh nak bagi komen apa-apa Izz. Kau kena berusaha lebihlah kalau kau nak pikat hati dia,” balas Eddie dan mencapai gelas minuman lalu diteguk perlahan air tersebut.
“Aku akan cuba Die. Sambil-sambil tu, kau pushlah dia. Puji lebih-lebih pasal aku depan dia,” seloroh Izzuddin dan tergelak.
Eddie turut sama tertawa. Geli hati mendengar kenyataan Izzuddin itu.
“Tengoklah nanti Izz. Tapi, kalau tak berjaya, kau jangan nak salahkan aku pulak.”
“Eh, tak. Aku takkan salahkan kau. Mungkin aku tak ada jodoh dengan dia.”
“Jodoh pertemuan, semuanya di tangan ALLAH. Kita manusia hanya merancang, DIA yang menentukannya,” balas Eddie sambil menyeluk poket seluar tatkala menyedari telefon bimbitnya bergetar.
“Ada apa Mai?” tanya Eddie sebaik sahaja dilekapkan telefon ke telinganya.
“Die boleh amik Ain kat Cahaya? Mai stuck kat rumah. Kereta Mai meragam, tak boleh nak start,” pinta Humaira.
“Ain tak balik lagi ke? Dah pukul berapa ni?” rungut Eddie dan mengerling jam di tangan. Masa sudah menginjak ke tujuh malam.
“Dia kata ada kerja sikit. Mai risau ni. Takut-takut jadi macam kes lepas. Die amik Ain boleh tak?” ulang Humaira pada persoalan yang sama.
“Baiklah, Die pergi sekarang. Mai call office Ain suruh Ain tunggu. Dalam satu jam lagi, Die sampai,” pesan Eddie seraya bangun.
“Baiklah, Mai call Ain dulu,” balas Humaira dan mematikan talian.
Risau di hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Risau kalau-kalau perkara yang tidak diingini berlaku ke atas Nur Ain semula seperti yang berlaku pada dua minggu yang lepas.
“Aku minta diri dulu Izz. Nak ambil Ain kat Cahaya. Kereta Mai tak boleh start,” pinta Eddie seraya berdiri.
“Eh, Ain tak balik lagi ke?” tanya Izzuddin berkerut.
Eddie sekadar mengangguk. Berkira-kira untuk berlalu dari situ.
“Die, kalau tak silap aku tadi, Haz ada bagi kerja kat Ain. Minit mesyuarat untuk mesyuarat minggu depan,” ujar Izzuddin turut sama bangun.
“Hazrel? Dia ni memang tak serik-serik lepas kena penumbuk dengan aku hari tu. Beraninya dia buli Ain lagi,” marah Eddie tidak tertahan.
Segera dia beredar dari situ. Izzuddin turut sama membuntuti Eddie. Apa masalah mereka berdua? Hatinya tertanya-tanya. Mungkinkah disebabkan Nur Ain? Duga hati Izzuddin lagi.


“Kenapa tak balik lagi?” tanya Hazrel tatkala melalui meja Nur Ain.
Matanya melilau melihat keadaan sekeliling di pejabat itu. Pekerja-pekerja yang lain sudah pun pulang ke rumah memandangkan masa sudah menginjak ke lapan malam.
Nur Ain hanya membisu. Tidak berminat untuk menjawab persoalan Hazrel. Hendak memandang muka Hazrel pun, Nur Ain tidak ingin. Hatinya masih lagi sakit dengan perlakuan serta kata-kata Hazrel sebentar tadi. Tambahan pula dia perlu menyiapkan minit mesyuarat yang diminta oleh Hazrel. Bukannya dia tidak boleh menyiapkannya esok, hatinya mendesak untuk menyiapkannya pada hari ini juga.
“Kalau awak nak balik, saya boleh hantarkan,” pelawa Hazrel bernada ikhlas.
Entah hantu mana yang merasuknya untuk berkata begitu, dia sendiri tidak tahu. Mungkin disebabkan rasa kesalnya dua minggu lalu membuatkan dia bersikap lembut terhadap Nur Ain.
“Tak payah nak sibuk pasal saya. Encik Hazrel baliklah!” cebik Nur Ain meluat. Tangannya lincah mengemas meja yang bersepah disebabkan fail-fail syarikat.
Hazrel mendengus geram. Terasa darah naik ke mukanya ketika itu. Aku tanya elok-elok, dia boleh jawab macam tu. Geram betul aku dengan minah ni la, marah Hazrel di dalam hati. Tangannya mengepal penumbuk.
Nur Ain tidak menghiraukan wajah tegang Hazrel. Bingkas dia bangun untuk beredar dari situ setelah selesai mengemas mejanya. Dia perlu menunggu Eddie di pondok pengawal seperti yang diberitahukan oleh Humaira sebentar tadi.
“Apa masalah kau ni? Nak tunjuk lagak dan sombong dengan aku kenapa?” jerkah Hazrel sambil menarik lengan Nur Ain. Sengaja mencabar ego lelakinya itu.
“Lepaskan….” Ronta Nur Ain sambil cuba menarik lengannya dari pegangan Hazrel.
“Wah! Pasangan tak seberapa nak romantik ada kat sini. Baguslah, senang sikit aku nak berbual dengan korang berdua,” pintas Faizal tiba-tiba.
Serentak Hazrel dan Nur Ain menoleh. Wajah Faizal menyapa mata mereka berdua.
“Kau buat apa kat sini Faizal?” tanya Hazrel seraya melepaskan lengan Nur Ain. “Macam mana kau boleh masuk ke sini tanpa kebenaran?” sambung Hazrel lagi.
“Hazrel… Hazrel… apalah bodoh sangat kau ni. Muda-muda lagi dah buta. Pengawal kau mana ada kat pondok tu. Lagipun aku datang ni sebab aku nak jumpa dengan buah hati aku ni. Rindu sangat-sangat kat dia,” jawab Faizal sambil cuba menyentuh pipi Nur Ain, namun ditepis keras oleh Nur Ain.
Hazrel mengerutkan dahi. Dia berfikir sejenak. Ada benarnya kata Faizal itu. Pagi-pagi lagi pengawalnya itu menelefon dan meminta cuti kecemasan darinya.
“Kau tak serik lagi ke aku belasah muka kau hari tu. Kau nak kena penumbuk aku lagi ke?” ugut Hazrel keras. Dia menarik Nur Ain agar menjauhi Faizal.
Faizal melepaskan ketawanya. Mazlan yang berada di sisi turut sama meledakkan ketawa. Mata mereka menjamah wajah Hazrel dan Nur Ain silih berganti.
“Saya minta diri dulu. Ini urusan Encik Hazrel dengan mereka,” ujar Nur Ain dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
“Kau nak ke mana?” jerkah Faizal seraya menarik Nur Ain.
“Apa ni? Lepaskan saya!” ronta Nur Ain.
“Faizal, kau nak buat apa dengan dia? Lepaskan dia Faizal!” pinta Hazrel meninggi.
“Kau nak aku lepaskan dia? Kau langkah mayat aku dulu Hazrel.”
“Lepaskan saya! Tolonglah Encik Faizal. Kalau Encik Faizal bergaduh dengan Encik Hazrel, jangan libatkan saya,” rayu Nur Ain pula.
“Eh, apa pulak jangan libatkan kau, mesti terlibat juga. Kaukan pelakon utama dalam drama ni,” sampuk Mazlan dan tergelak.
“Zal… tolong. Aku rayu pada kau. Lepaskan Nur Ain. Dia tak ada kena-mengena dalam hal kita. Aku minta maaf sebab tumbuk kau hari tu. Kalau kau nak tumbuk aku, kau tumbuklah. Asalkan kau lepaskan Nur Ain,” suara Hazrel sedikit merayu. Tangannya digenggam erat. Cuba menahan kemarahan tatkala Faizal bertindak kasar terhadap Nur Ain.
“Huh! Kau nak aku lepaskan dia. Hazrel… Hazrel… ayam depan mata, takkan aku nak lepaskan. Mestilah aku akan sembelihnya buat lauk,” balas Faizal sinis.
“Tolonglah… lepaskan saya!” rintih Nur Ain berserta esakan tangisan.
Sungguh dia merasa takut dengan apa yang diperkatakan oleh Faizal itu. Walaupun bahasa kiasan, namun dia dapat memahami akan maksud tersirat dari kata-kata tersebut.
 “Faizal! Aku kata lepaskan dia!” marah Hazrel meninggi.
Dengan kudrat yang ada, segera dia menarik Nur Ain dari pegangan Faizal. Nur Ain menahan kesakitan akibat rentapan itu. Dalam hati dia berdoa agar ALLAH melindunginya dari kejahatan Faizal.
“Ain, keluar!” arah Hazrel sebaik sahaja berjaya meleraikan pegangan Faizal.
Hazrel cuba mengelak dari ditumbuk oleh Faizal. Ternyata kekuatan Faizal tidak dapat ditandinginya. Faizal merupakan jatuh Taekwando di universitinya dahulu. Tidak terdaya untuknya melawan. Satu demi satu tumbukan Faizal mengenai perut dan mukanya. Walaupun dia cuba mengelak, namun dia tidak berdaya. Tenaga Faizal lebih kuat dari tenaganya.
“Ain, lari!” arah Hazrel dalam suara yang bergetar.
Nur Ain yang mendengar segera cuba untuk melepaskan diri. Namun tidak berdaya kerana Mazlan sudah pun menarik tudung sehingga membuatkan dirinya terdorong ke belakang. Tidak semena-mena kepalanya terhantuk di bucu meja dan membuatkan dirinya jatuh terjelepuk ke lantai. Dunianya menjadi gelap tiba-tiba.
“Ain!!” jerit Hazrel tatkala terlihat Nur Ain terbaring di atas lantai.
“Oppsss!! Tak sengaja. Aku…” suara Mazlan kalut dan risau.
Terkejut dia melihat tubuh Nur Ain yang sudah terbaring kaku di atas lantai. Serta merta mukanya menjadi pucat. Niatnya sekadar untuk menarik Nur Ain agar tidak beredar dari situ. Tidak menyangka perkara itu yang akan berlaku pula.
“Zal, nak buat macam mana ni?” tanya Mazlan risau. Kepala yang tidak gatal digaru beberapa kali.
“Bodoh! Yang kau pergi tarik dia tu kenapa?” marah Faizal meninggi.
“Ain!” panggil Hazrel sambil cuba menghampiri Nur Ain.
“Manalah aku tahu nak jadi macam ni?” rungut Mazlan keras. Sakit hatinya mendengar kemarahan Faizal itu. Suka hati Faizal sahaja mengatakan dirinya bodoh.
“Ain!” panggil Hazrel lagi sambil menepuk lembut pipi Nur Ain.
“Hisy, menyusahkan betullah kau ni,” rungut Faizal pula.
Lantas dicapainya kerusi yang berada berhampirannya itu. Segera dia memukul belakang Hazrel dengan kerusi tersebut. Dengan serta merta, Hazrel jatuh terjelepuk di sisi Nur Ain.
“Woit! Kau dah gila ke Zal? Kenapa kau pukul dia pulak?” marah Mazlan.
“Senang sikit kerja kita. Aku cuma nak gertak dia aje. Tapi, alang-alang dah jadi macam ni, aku teruskan ajelah,” jelas Faizal dan tersenyum. “Apa lagi, buatlah kerja. Ikut rancangan asal kita tu!” arah Faizal meninggi.
Mazlan terpaksa akur. Tidak menyangka Faizal sanggup bertindak selebih itu. Niat mereka sekadar untuk menakut-nakutkan Hazrel, tetapi ternyata tindakan mereka lari dari landasan yang sebenarnya. Nak tak nak, Mazlan terpaksa akur dengan perintah Faizal. Segera dia menghulurkan bantuan kepada Faizal. Jauh di sudut hati, janganlah Hazrel mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kelak.


  Disebabkan sy hepi hari ni... so, sy n3kan bab 10 ni... 
Tp, jmpe anda semua hr Selasa la ya... huhu
Btw, apa yg bakal terjadi pd HH & NAZ??
Terima kasih kerana membaca AJID...
(^_^)

14 ulasan:

  1. Lorrrr.. Kuang ajaq depa 2 org ni!!
    Sempat x eddie smpai ni kakk? Iskhh.. Dh la kwn tu mcm ikhlas ja hr ni.. Kang eddie slh phm lg..

    BalasPadam
    Balasan
    1. erk, sampai ke tdk?? erm, kena check balik ni.. maybe smpt n mybe tdk sempat.. xpe, tggu bab seterusnya ya.. :D

      Padam
  2. adoi,suspen tul la kak..lame ag nak tgu nie ari slale..huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. kena sabarlah coz hr ni dh bg 2 bab..

      Padam
  3. akak, nk ckp ni...Chapter 09 dan 10 mmg best giler. q, x mudah hilang fokus (q mudah hlg fokus biler baca chap pnjg dlm laptop...^^;;)

    suka sgt ah... byk emosi, marah, sedih, bersalah.. completelah buat q berdebar2 bila baca ni...suka baca chpter mcm ni^^ weeeeeeeee...

    then faizal ni mmg jahat nak mampuih~!! geram gila kat dia.
    apa la jd kat diorg lepas ni...
    q berharap super nice baik jejaka sampai dn selamatkan diorg...tapi...
    hurm.. lemme guess, ap yg si super evil faizal buat: er...dia nk buat fitnah?

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks q atas komen adik tu.. terharu bangat akak rskannya.. akak ni mmg suka buat pembaca beremosi kan??

      Faizal tu mmg jahat.. ada aje rncgnya nti.. cuba bc sinopsis AJID, ada digambarkan Faizal tu mcm mana orgnya..

      Apa yg jd kat diorg?? hurm, kena tggu bab 11 la, baru tau apa jd kat HH & NAZ.. smada super hero dtg selamatkan atau tdk.. :D

      Padam
    2. xpe kak, novel byk emosi baru best.
      Kalau boleh buat q berdebar2 baca sbb emosi, mmg hebat lah. bkn selalu dpt mcm ni.

      ah....hehehe...hr tu baca sinopsis mcm tu mcm tu je. x bace btl2 sgt. sbb lebih suka kalau tatau jln cerita.

      Padam
    3. hehe.. akak pn suka bc nvl yg penuh emosi..
      yalah kan.. kekadang bc sinopsis mcm best, tp bila baca x best.. begitulah sebaliknya.. :D

      Padam
    4. Mula2, kesian kt ain..hrp2 dia x diapa-apakan, kedua, padan muka hazrel bru lah buku bertemu ngn ruas mcm ni tp dlm masa yg sama geram ngn si Pejal...!!mixed up emotions... :)

      Padam
    5. hehe.. yup!! mixed up emotions.. xpe, kita tgk apa yg bakal terjd kat HH & NAZ tu.. :D

      Padam
  4. TQ Eliza...tak sangka ada en3 hari ni..saja bukak blog u...tetiba ada en3 baru...sebab ingat hari isnin...saya rasa saya dh boleh agak apa jadi kat Ain & mamat sengal tu....apa pun...tak sabar nk tunggu hari selasa..nk tau betul tak apa yg saya agak ni...

    BalasPadam
    Balasan
    1. almost welcome.. mesti ramai yg dh boleh agak apa yg terjd pd HH & NAZ.. xpe, jwpnnya hr selasa nti.. tq coz membaca AJID.. :D

      Padam
  5. jahatnya faizal ni...geram2...!!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. jgn geram2.. mmg faizal tu jahat.. :)

      Padam