Ahad, 1 Mac 2015

My Dream Husband - Prolog






“SABAR Fira!” pujuk Amylia, lembut. Diusap lembut belakang Nur Zafira Sofea. Cuba untuk menenangkan hati adik iparnya itu.
“Semua ni dah takdir Allah. Mahu tidak mahu, Fira terpaksa terima,” suara Aqil Danish, tiba-tiba. Dilabuhkan duduk di sisi adiknya itu.
Zafira tidak membalas. Air mata dibiarkan terus mengalir membasahi pipi. Tidak berniat untuk menyeka. Berita yang baru diterima sungguh menyentap hati. Bagaimana untuk mengharungi hidup selepas ini?
“Kita hanya merancang, tapi Allah menentukan segala-galanya,” pujuk Aqil pula.
“Fira!” panggil Izreen dari kejauhan.
Zafira, Aqil dan Amylia menoleh. Wajah Izreen menyapa mereka bertiga.
“Fira!” seru Izreen, lembut.
Aqil bingkas bangun dari duduk. Memberi ruang kepada Izreen untuk duduk di sisi Zafira. Matanya memandang wajah sedih Zafira. Sebak tatkala mengenang nasib adiknya itu.
“Macam mana, Abang Aqil? Ada berita?” tanya Izreen, ingin tahu.
Aqil menghela nafas berat. Hanya gelengan diberikan kepada Izreen sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan gadis itu.
“Waris pesakit di minta ke sini,” panggil seseorang mematikan perbualan mereka.
Aqil yang mendengar segera menghampiri petugas. Berdebar-debar dirasai ketika ini. Menanti kata-kata yang bakal keluar daripada mulut doktor yang bertugas.
Amylia turut sama bangun dan menghampiri Aqil. Dia juga turut merasai debaran. Adakah berita buruk yang bakal mereka terima hari ini?
“Macam mana, doktor?” tanya Aqil, perlahan.
“Maafkan saya, Encik Aqil. Allah lebih…”
Doktor Badri mematikan ayat. Berharap, waris pesakit memahami dengan gantungan ayatnya itu. Rasa kasihan menujah ke hati.
Aqil mengangguk faham. Sudah pastilah ayahnya tidak dapat diselamatkan.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu. Takziah daripada saya buat Encik Aqil sekeluarga,” ujar Doktor Badri seraya menyentuh lembut bahu Aqil.
“Terima kasih, doktor,” ucap Aqil, lemah.
Doktor Badri hanya mengangguk. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari situ. Hanya titipan doa yang mampu diberikan buat Aqil sekeluarga. Semoga roh ayahnya dicucuri rahmat.


NO! Tak mungkin doktor! Tak mungkin!” tukas Iqwan Hafiz, lantang.
“Iqwan, bawa bersabar,” pujuk Khairil Izhan.
“Tak mungkin! Tak mungkin!” Iqwan masih lagi menafikan.
“Wan, semua ni dah takdir Allah. Kau kena reda terima segala ketentuan dari-Nya,” pujuk Khairil sambil menyentuh lembut bahu kawannya itu.
Doktor Jamal hanya mendengar. Rasa simpati atas apa yang berlaku terhadap Iqwan.
“Aku tahu Khai. Dah takdir Allah buat aku,” balas Iqwan, lemah.
Diraup sekali wajahnya sambil melepaskan keluhan berat. Berita mengenai kematian insan yang disayangi sukar untuk diterima.
“Bila kami boleh uruskan jenazah doktor?” tanya Khairil mewakili Iqwan.
“Petugas akan beritahu pada encik kemudian. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu. Takziah daripada saya buat Encik Iqwan sekeluarga,” beritahu Doktor Jamal.
“Terima kasih, doktor,” ucap Khairil lalu tersenyum hambar. Matanya menghantar langkah Doktor Jamal sehingga hilang dari pandangan.
So, kau nak…”
“Aku nak ambil angin sekejap,” pintas Iqwan lalu beredar dari situ.
Khairil tidak membalas. Tubuh lesu Iqwan dipandang berserta perasaan kasihan. Tanpa berlengah, dia melangkah menuju ke kaunter untuk menguruskan jenazah. Hanya iringan doa yang diberikan buat Iqwan agar tabah dalam menghadapi dugaan.


“RIF dah buat apa yang ayah suruh,” beritahu Rifqy, perlahan.
“Bagus! Ini baru anak ayah. Dengar cakap ayah,” balas Dato Zaidie, bangga.
Rifqy tidak membalas. Otaknya memikirkan peristiwa beberapa jam yang lepas. Rasa bersalah dengan apa yang telah berlaku.
“Baru puas hati ayah,” luah Dato Zaidie. Senyuman puas meniti di bibir.
“Kalau tak ada apa-apa, Rif naik atas dulu,” ujar Rifqy bingkas bangun dari duduk.
“Sekejap! Rif menyesal dengan apa yang Rif dah lakukan?” soal Dato Zaidie sekadar menduga perasaan anaknya itu.
Rifqy menarik nafas berat. Adakah dia menyesal ketika ini? Ya, dia memang menyesal kerana menurut arahan ayahnya, Dato Zaidie. Sebagai seorang anak, dia rela menerima hukuman asalkan hati Dato Zaidie puas.
Come on Rif. Takkan Rif menyesal dengan apa yang Rif dah lakukan?” tegur Dato Zaidie pula. Wajah anaknya itu ditatap.
“Memang Rif menyesal dengan apa yang telah Rif lakukan. Seumur hidup Rif akan menanggung rasa kekesalan ini,” balas Rifqy bernada kecewa.
Tanpa menunggu balasan, dia beredar dari situ. Malas untuk meneruskan perbincangan itu. Kalau diteruskan, pasti rasa kekesalan semakin menghimpit diri.
Dato Zaidie hanya memandang. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Sudah pastilah anaknya itu berasa kesal dengan apa yang telah dilakukan. Dia tidak peduli dengan semua itu. Apa yang penting, dendam yang tersimpan selama ini telah dibalas.


Terima kasih!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan