Rabu, 19 September 2012

Suara Cinta - Bab 5


BAB 5

“KAU biar betul, Leen?” tanya Azie, kurang percaya.
“Apa yang tak betulnya? Betullah!” tegas Nur Edleen.
“Takkan kau nak ajak dia tu join sama dengan kita. Kau tak rasa pelik ke?” kata Azie, terkejut. Dimuncungkan mulut ke arah Edzuary. Sesampainya tadi, terkejut dia melihat seorang lelaki sedang ralit membuat kerja.
“Yalah, join sekali. Kenapa? Kau tak suka ke?” balas Nur Edleen lagi.
“Eh… tak. Bila masa aku tak suka, suka apa. Tambah-tambah dia handsome, lagilah aku suka,” bidas Azie dan tersengih. Matanya dihalakan ke arah Edzuary yang sedang menyapu daun-daun kering di halaman. Hari ini, mereka ke sebuah rumah orang tua menjalankan aktiviti amal. Sudah menjadi kebiasaan mereka setiap awal bulan menjalankan kerja-kerja amal. Pada mulanya ianya hanyalah suka-suka, dan akhirnya sudah menjadi amalan setiap bulan bagi mereka berempat. Urusan mencari diserahkan kepada Azie kerana Azie bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Mana Zura dengan Eka, tak sampai-sampai lagi ni? Kan dah janji pukul lapan pagi,” rungut Nur Edleen. Jam di tangan dikerling buat seketika.
“Kau ni, macamlah tak kenal dengan diaorang berdua. Eh, bukan ke kau satu rumah dengan Zura? Macam mana kau boleh datang dulu dari dia?”
“Aku dari Shah Alam. Kan, Jumaat lepas aku ada family gathering.”
Azie mengangguk faham. Hampir, dia terlupa akan family gathering Nur Edleen. Setiap awal bulan Nur Edleen akan pulang ke Shah Alam untuk bertemu dengan keluarganya.
“Rajin betul aku tengok bos kau tu buat kerja. Mesti kat office dia seorang yang tegas,” komen Azie dan tersenyum sumbing. Matanya masih lagi ralit melihat tingkah Edzuary.
“Yang kau tersenyum kambing ni, kenapa? Kau berkenan kat dia ke?” usik Nur Edleen sambil mengangkat kening.
Handsome beb, siapa yang tak berkenan,” sahut Azie turut sama mengangkat kening.
“Banyaklah kau punya handsome. Macam tak cukup sifat aje aku tengoknya,” kutuk Nur Edleen tidak berperasaan. “Aku nak kenakan dia kejap,” ujarnya pula dan melangkah jalan menghampiri  Edzuary.
“Eh Leen… tunggulah aku,” pinta Azie.
“Kau pergilah layan Mak Zainab tu sementara nak tunggu Eka dengan Zura. Aku ada urusan penting dengan dia kejap,” kata Nur Edleen bernada arahan.
Azie mendengus ringan. Niatnya ditolak ke tepi Nur Edleen. Adakah Nur Edleen punya hubungan dengan lelaki merangkap bosnya itu? Bukan itu sahaja, kisah di Giant dan di restoran sudah diceritakan Nur Edleen kepada mereka bertiga. Tidak menyangka begitu kecilnya dunia dirasakan mereka ketika ini.
Nur Edleen melangkah perlahan menghampiri Edzuary yang sedang menyapu daun-daun kering. Sungguh kasihan Nur Edleen melihat Edzuary. Bukannya dia sengaja untuk mendera Edzuary. Disebabkan syarat yang ditetapkan olehnya kelmarin, membawa Edzuary ke rumah Mak Zainab pada pagi Ahad ini.
“Ehem… ehem…” dehem Nur Edleen sebaik sahaja tiba di hadapan Edzuary.
Edzuary yang sedang ralit menyapu daun-daun kering mengangkat muka. Sakit matanya melihat senyuman di bibir Nur Edleen. Jika bukan kerana zip seluarnya kelmarin, tidak mungkin dia akan mengikut syarat Nur Edleen dan berada di sini pada pagi Ahad begini.
“Assalamualaikum Encik Edzuary Safuan Erizal Hanif,” tegur Nur Edleen, ramah.
“Waalaikumussalam,” balas Edzuary, pantas dan keras.
Mai ai! Kerasnya nada suara. Muka pun masam mencuka aje aku tengoknya. Mesti dia marah sakan dengan aku, kata hati Nur Edleen.
“Dah sarapan ke? Kalau belum, jomlah kita ke sana, sarapan,” ajak Nur Edleen, berbasa-basi. Senyuman manis terukir di bibir.
“Saya tak lapar,” balas Edzuary dan masih keras.
“Eh, janganlah macam tu. Kalau encik pengsan, pening-pening, muntah-muntah, siapa yang susah, saya juga, kan. Macam mana saya nak terangkan pada isteri encik nanti. Lagipun encik kan ada morning sickness,” terang Nur Edleen panjang lebar.
Terhenti tingkah Edzuary yang sedang menyapu daun-daun kering. Tajam matanya ke wajah Nur Edleen yang sedang tersengih. Rasa nak tarik mulut Nur Edleen, Edzuary rasakan ketika ini. Berani sungguh Nur Edleen berkata begitu di hadapannya.
“Erk… encik!” seru Nur Edleen sambil menguis-nguis kakinya.
“Nak apa?” tanya Edzuary sedikit meninggi.
“Encik marah ke?” tanya Nur Edleen pula. Kakinya menguis-nguis daun kering yang ada di sekelilingnya itu. Dia tersenyum melihat wajah mencuka Edzuary. Pastinya Edzuary sedang menahan rasa kemarahan di hati. Dapat dirasakan bahang kemarahan Edzuary itu.
“Tak!” jawab Edzuary, perlahan.
“Encik marah ke? Yalah, saya kan suruh encik datang ke mari pagi-pagi buta lagi. Kalau tidak, mesti encik tengah diulit intan sekarang ni, kan?” kata Nur Edleen dan masih menguis daun-daun kering di situ.
Semakin panas hati Edzuary rasakan ketika ini. Bukan panas disebabkan kata-kata Nur Edleen, tetapi disebabkan perbuatan Nur Edleen yang sedang menguis-nguis daun kering yang baru dikumpulkannya sebentar tadi.
“Encik jangan marah ya. Lepas ni saya belanja encik makan dan minum. Saya janji, lepas ni saya tak kacau encik. Rahsia encik tetap akan saya simpan sekemas yang mungkin,” jelas Nur Edleen sekadar menyedapkan hati Edzuary.
“Dah habis cakap ke?” tanya Edzuary, keras.
“Apa dia encik?” tanya Nur Edleen. Kurang jelas dengan pertanyaan Edzuary.
“Dah habis cakap ke?” tekan Edzuary.
“Oh, dah… dah habis cakap. Kenapa ya?” tanya Nur Edleen dan mengangguk.
“Kalau dah habis, boleh tak blah dari sini.”
“Erk, kenapa pulak nak blah. Saya nak tolong encik kat sini.”
Edzuary mendengus geram. Semakin panas hatinya melihat wajah tidak berperasaan Nur Edleen. Mahu sahaja dia menghalau Nur Edleen dengan batang penyapu yang dipegangnya sekarang. Sakitnya hati aku. Kalau ikutkan hati aku yang tengah panas ni, nak aje aku hambat dia dengan penyapu ni, marahnya di dalam hati.
“Saya tolong ya,” pelawa Nur Edleen.
“Tak payah! Kau pergi dari sini. Sakit mata aku tengok kau kuis-kuis daun kering tu sampai berselerak balik. Kau tahu tak penat aku nak menyapunya tadi,” marah Edzuary tidak tertahan. Merah matanya menikam wajah sengihan Nur Edleen.
“Alamak! Maafkan saya encik. Saya tak perasan yang encik dah sapu daun-daun kering ni,” pohon Nur Edleen sambil menggaru kepalanya yang bertudung. “Hisy, apalah kau ni kaki. Yang kau pergi selerakkan balik daun-daun kering tu, kenapa?” marahnya pula dan tersengih.
Edzuary mendengus geram. Semakin sakit hatinya melihat sengihan Nur Edleen. Kenapalah dia boleh berjumpa dengan makhluk seperti Nur Edleen.
“Maaf ya encik. Saya tak perasan pun yang encik dah kumpulkan daun-daun kering ni,” ujar Nur Edleen dengan wajah bersalah. “Jomlah kita sarapan, Mak Zainab masak sedap hari ni. Rugi kalau encik tak makan,” ajaknya pula.
“Saya tak lapar, awak pergilah!” balas Edzuary tetap keras. Dia membongkokkan badan mengumpul semula daun-daun kering yang telah diselerakkan oleh Nur Edleen sebentar tadi. Peluh sudah pun memercik di dahi. Bajunya juga sudah dibasahi peluh. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia meninggalkan tempat itu dan pulang ke rumah. Tetapi untuk menjaga muka dan tidak mahu dianggap pengecut oleh Nur Edleen dan rakan-rakan Nur Edleen, mahu tidak mahu, terpaksalah dia meneruskan tugasnya itu.
“Kesian encik, saya tolong ya,” kata Nur Edleen, prihatin. Lantas dibongkokkan badan dan membantu Edzuary mengutip daun-daun kering yang diselerakkan olehnya sebentar tadi. Kasihan melihat Edzuary. “Isteri encik dah berapa bulan?” tanyanya berbasa-basi.
Edzuary mengerutkan dahi. Sejak bila pulak aku berkahwin? Hatinya bertanya.
“Anak sulung ke?” tanya Nur Edleen lagi. Tangannya lincah membuat kerja. “Mesti encik nervous, kan? Yalah dah nak jadi bapa. Tanggungjawab pun makin berat dan...” Belum sempat Nur Edleen menyudahkan ayat, Edzuary sudah pun bangun dari kedudukan membongkok. Panas hatinya mendengar bebelan Nur Edleen. Lebih lama dia di situ, makin sakit hatinya melihat wajah sengihan Nur Edleen.
“Lor, apasal dengan dia tu. Orang dah cakap elok-elok dah ni. Takkan itu pun salah,” omel Nur Edleen sendirian. Matanya memandang kelibat Edzuary yang berlalu dari situ. Tanpa membuang masa, bingkas dia bangun dari membongkok dan menapak jalan menuju ke arah Azie dan Mak Zainab yang sedang berbual.
“Leen!” panggil Ezzura dari arah belakang.
Nur Edleen menoleh. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Ezzura dan Eka Farisha yang sedang menapak menghampirinya.
“Dah lama sampai ke?” tanya Ezzura, berbasa-basi.
“Baru aje, dalam pukul sepuluh tadi,” jawab Nur Edleen bernada sindiran.
“Ala, sorry la beb. Eka ni yang lambat sangat, mekap tak habis-habis. Aku tunggu dia sampai setengah jam kau tau,” balas Ezzura, serba salah.
“Dahlah, jom kita ke sana. Tak payahlah nak ungkit semua tu lagi,” kata Nur Edleen dan melangkah laju meninggalkan Ezzura dan Eka Farisha di situ.
Ezzura dan Eka Farisha hanya memandang. Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain. Bukannya mereka tidak kenal dengan Nur Edleen. Sekali Nur Edleen dapat marah, mahu satu dunia meletup jadinya.


“MANA Ary?” tanya Encik Erizal, seraya duduk.
“Abang ni buat-buat tak kenal dengan anak kita pulak. Anak kita tu bukannya senang duduk kat rumah ni. Pagi-pagi buta lagi dah balik. Panas punggung agaknya duduk kat rumah ni lama-lama,” bebel Puan Jaslina.
Encik Erizal menghela nafas ringan. Matanya menjamah wajah tegang Puan Jaslina. Pasti isterinya itu tidak senang dengan tindakan Edzuary. Selepas apa yang berlaku lima tahun yang lepas, Edzuary seakan cuba mengelak untuk tinggal di rumahnya. Mungkin disebabkan tidak mahu mengingati semua kenangan lepas membuatkan anaknya itu bertindak keluar dari rumah dan hidup berdikari di luar sana.
“Biarlah Jas. Jangan dipaksa budak tu. Kalau dipaksa lain pulak jadinya nanti,” nasihat Encik Erizal, lembut.
“Tapi bang, takkan selama-lamanya Ary nak hidup macam tu. Bila Jas nak kenalkan dengan perempuan lain, banyak sangat alasan yang Ary bagi. Jas kenalkan pun bukannya dengan orang sebarangan, semuanya ada pangkat dan ternama. Tapi, semuanya Ary tolak. Jas pun tak tahu perempuan yang macam mana lagi Ary nak,” jelas Puan Jaslina. Meluahkan ketidakpuasannya selama ini terhadap Edzuary.
“Abang tahu Jas dan abang pun risau tengok Ary tu. Tapi, kita nak buat macam mana. Kalau dipaksa, takut lain pulak jadinya. Mungkin kenangan lima tahun lepas masih berbekas di hati Ary. Kita bagi Ary masa, Insya-Allah, Ary akan sedar dan keluar dari kenangannya,” kata Encik Erizal sekadar menghalau perasaan risau di hati isterinya.
“Mama… papa…” tegur Edzuary tiba-tiba.
Terkejut Encik Erizal dan Puan Jaslina mendengar teguran itu. Serentak mereka menoleh ke belakang dan terlihat kelibat Edzuary sedang berdiri di muka pintu depan. Apa yang menambahkan lagi rasa terkejut mereka, tatkala melihat pakaian Edzuary yang berlumpur.
“Ary dari mana? Kenapa berlumpur ni?” tanya Puan Jaslina, seraya bangun.
“Dari buat kerja amal ma,” jawab Edzuary, perlahan.
“Kerja amal? Kerja amal apa?” tanya Puan Jaslina lagi.
“Ary…”
“Biarlah budak tu bersihkan diri dulu. Lepas tu baru kita tanya apa yang dah jadi,” celah Encik Erizal dari arah ruang makan. Kesian melihat anaknya yang di soal oleh Puan Jaslina.
Edzuary mengangguk dan berlalu dari situ. Otaknya tidak mampu untuk berfikir ketika ini. Dia perlu membersihkan diri terlebih dahulu. Rasa melekit badannya waktu itu.
“Lepas mandi, Ary turun makan. Mama dan papa tunggu Ary,” arah Puan Jaslina sebelum kelibat anaknya menghilang di sebalik tangga.
Edzuary hanya mendengar. Langkah dilajukan menuju ke bilik di tingkat atas. Keletihan turut sama dirasainya waktu ini. Pagi-pagi lagi dia sudah dikerahkan ke Shah Alam untuk membuat kerja-kerja amal. Nur Edleen! Terdetik nama itu di benak hati. Semakin sakit hatinya dengan Nur Edleen. Apa yang dilakukan oleh Nur Edleen tadi turut menambahkan kesakitannya itu. Otaknya ligat memutarkan peristiwa tadi.


“AWAK gila ke Nur Edleen. Manalah saya pernah buat kerja ni,” kata Edzuary, tidak berpuas hati.
“Ala… tolonglah encik. Kali ni saja saya minta. Lepas ni saya tak minta dah,” pujuk Nur Edleen, manja.
Edzuary mendengus kasar. Sakit hatinya melihat tingkah manja Nur Edleen. Semakin bertambah tahap kebenciannya terhadap gadis itu.
Please… encik tak kesian ke dengan Mak Zainab. Dibuatnya pendek umur Mak Zainab mana kita nak tahu, kan. Kempunan Mak Zainab nak makan kangkung masak belacan tu,” kata Nur Edleen bernada pujukan. Bersungguh-sungguh!
“Baiklah! Saya buat demi Mak Zainab dan bukan sebab pujukan awak,” kata Edzuary, mengalah.
Nur Edleen tersenyum. Sungguh tidak meyangka Edzuary sanggup melakukan kerja itu. Difikirkan Nur Edleen, orang seperti Edzuary tidak akan melakukan kerja-kerja seperti itu. Ternyata anggapannya meleset dan semakin kagum Nur Edleen terhadap Edzuary di saat ini.
Huh! Kalau tak diikutkan, nanti dia kata aku pengecut dan tak sanggup nak berkubang dalam ni cari kangkung. Sebelum dia bercerita dengan orang lain, baik aku buat, gerutu Edzuary di dalam hati.
“Hati-hati ya encik. Licin tu,” pesan Nur Edleen, prihatin. Matanya memerhatikan tingkah Edzuary yang sedang turun ke dalam parit. Berkerut-kerut dia melihatnya seakan risau Edzuary akan terjatuh akibat licin.
“Leen!” jerit Azie dari arah rumah.
Nur Edleen menoleh. Dia mengangkat muka sebagai tanda isyarat pertanyaan pada Azie.
“Lama lagi ke nak ambil kangkung tu. Zura nak masak ni,” tanya Azie.
“Kejap! Nak petiklah ni,” balas Nur Edleen.
“Aduh!” rengek Edzuary.
Nur Edleen menoleh. Membuntang matanya melihat Edzuary yang sudah pun terduduk di dalam parit. Hampir terburai ketawa melihat Edzuary itu.
“Macam mana boleh jatuh ni, encik. Kan saya dah pesan tadi suruh berhati-hati, tempat ni kan licin,” kata Nur Edleen masih cuba menahan ketawa.
“Mana la tau kan nak jatuh. Boleh ditahan-tahan ke jatuh ni?” geram Edzuary sambil cuba bangun. Namun disebabkan tanah yang licin membuatkan Edzuary sukar untuk bangun.
“Eh.. ya tak ya juga. Maaf ya encik. Saya ni lambat sikit pick up bab-bab ni,” ujar Nur Edleen dan tersengih. “Nak saya tolong ke?”
“Hisy, ada yang nak kena hambur dengan aku betullah. Boleh pulak dia tanya nak tolong ke tidak. Dah nampak aku macam ni, tolonglah,” bisik Edzuary pada dirinya sendiri.
“Encik ngomel apa tu?” tanya Nur Edleen tatkala menyedari seakan mulut Edzuary terkumat-kamit.
“Tak ada apa. Awak nak tolong ke tidak ni?” tanya Edzuary.
“Err.. sebenarnya encik, saya ni takut pacat dan lintah. Mesti dalam parit ni ada dua binatang tu. Encik tunggu ya, saya panggilkan kawan-kawan saya tolong encik keluar dari parit ni. Sementara tunggu, encik tolong petikkan kangkung tu ya,” terang Nur Edleen dan tersengih. Tanpa menunggu balasan dari Edzuary, segera dia beredar dari situ menuju ke rumah Mak Zainab. Terhambur juga ketawanya yang sedari tadi ditahan-tahan.
Edzuary mendengus geram. Sakit telinganya mendengar ketawa Nur Edleen. Sudah pastilah Nur Edleen sedang mentertawakannya. Aduh! Malu dirasakan Edzuary ketika ini. Mana nak diletakkan muka kalau kawan-kawan Nur Edleen melihatnya berkubang di dalam parit ini. Tanpa membuang masa, segera dipetik kangkung yang tumbuh meliar berhampiran dengannya sambil cuba menahan kemarahan di hati.


“HAHAHA… aku tak tahan tengok dia kat dalam parit tu, kesian betul,” cerita Nur Edleen, bersungguh tanpa rasa bersalah.
“Kau ni Leen, tak baiklah buat bos kau macam tu. Kesian aku tengok dia. Dari mula dia datang kat sini, sampai sekarang, muka dia monyok aje. Apa yang buatkan dia ke sini?” tegur Azie kurang senang dengan tindakan Nur Edleen.
“Ala, buat apa nak kasihankan dengan dia. Orang kaya macam dia kena diajar dengan kerja-kerja kampung. So, lepas ni kalau dia ke kampung mana-mana, tak adalah dia kekok,” bidas Nur Edleen menegakkan tindakannya itu.
“Kalau kau nak ajar pun, mestilah kena dengan tempatnya. Ini tidak, Mak Zainab tu tak suruh pun kau petik kangkung, yang kau beria-ria sangat nak kangkung tu, kenapa?” kata Ezzura bernada nasihat.
“Aku yang teringin nak makan. Dah lama sangat tak makan,” ujar Nur Edleen, perlahan.
Ezzura hanya menggeleng. Nur Edleen memang terkenal dengan sikap nakalnya. Tetapi perlulah ada hadnya kalau hendak bergurau atau mengusik.
“Kalau kau teringin nak makan, kenapa kau sendiri yang tak petiknya?” sampuk Eka Farisha dari arah dapur. Tangannya sibuk menumbuk sambal belacan.
“Betul kata-kata kawan Leen. Kenapa nak susahkan dia. Orang bandar, mana biasa buat kerja-kerja kampung ni semua,” sokong Mak Zainab, tiba-tiba.
“Leen… Leen… Leen cuma nak bergurau dengan dia aje. Salah ke perbuatan Leen tu,” ujar Nur Edleen dan menunduk.
“Bergurau tu boleh, tapi kena ada batasnya,” jawab Ezzura, lembut.
Edzuary mengepal tangan. Sakit hatinya mendengar kata-kata Nur Edleen itu. Apa yang menambah rasa sakit di hati, Nur Edleen memang berniat untuk mengenakannya. Jika bukan kerana isu zip seluarnya kelmarin, tidak ingin dia mengikut arahan Nur Edleen. Bila diikut, begini pula jadinya.
“Leen kena minta maaf dengan dia. Kalau dia dapat tahu, apa perasaan dia nanti,” nasihat Mak Zainab.
“Tapi Leen…”
“Nah! Kangkung yang awak teringinkan sangat tu. Terima kasih kerana mengajar saya kerja-kerja kampung,” pintas Edzuary, seraya meletakkan kangkung di atas meja berhadapan Nur Edleen.
Tersentak mereka yang berada di situ. Lebih-lebih lagi Nur Edleen yang terkebil-kebil melihat Edzuary. Adakah Edzuary mendengar perbualan mereka sebentar tadi?
“Saya minta diri dulu. Terima kasih untuk hari ini,” pamit Edzuary dan beredar dari situ.
“Encik!” panggil Nur Edleen, seraya bangun.
Edzuary tidak menghiraukan panggilan Nur Edleen. Hatinya sakit dipermain-mainkan oleh Nur Edleen. Begitu mudah dia dipermain-mainkan dan diperbodoh-bodohkan oleh pekerja bawahannya.


KETUKAN di pintu mematikan lamunan Edzuary yang panjang. Segera dihalakan  mata ke arah Puan Jaslina yang sedang menapak masuk ke dalam bilik.
“Kenapa tak turun? Papa tunggu Ary kat bawah,” tanya Puan Jaslina, seraya duduk di birai katil. Wajah anak terunanya ditatap kasih.
“Ary tak laparlah ma. Mama dan papa makanlah!” jawab Edzuary.
Puan Jaslina menghela nafas ringan. Gelengan kecil diberikan pada Edzuary. Entah bilalah anaknya itu akan berubah, dia sendiri tidak pasti. Selagi kenangan lima tahun terpahat kemas di dalam hati anaknya itu, sampai bila-bila pun anaknya akan bersikap begitu. Menyendiri dan tidak mahu bergaul mesra dengan orang lain.
“Mama…”
“Ma, Ary penat, nak berehat. Maafkan Ary, ma. Mama dan papa makanlah dulu. Mama jangan risau tentang Ary,” potong Edzuary, seraya membaringkan tubuhnya. Terasa penat badannya di kala itu.
“Baiklah, Ary berehatlah dulu. Kalau Ary lapar, Ary minta Mak Ani siapkan makanan untuk Ary,” kata Puan Jaslina berserta keluhan ringan.
“Kalau Ary lapar, Ary boleh ambil sendiri mama. Tak perlulah nak susahkan Mak Ani,” beritahu Edzuary. Tidak suka menyusahkan orang lain. Jika dia boleh melakukannya sendiri, dia akan melakukannya.
“Suka hati Ary lah. Yang penting Ary makan, jangan biarkan perut tu kosong. Ary kan ada gastrik,” nasihat Puan Jaslina, seraya bangun. “Mama rindukan Edzuary Safuan Erizal Hanif lima tahun yang lepas. Bila mama akan berjumpa dengan Ary yang dulu,” sambungnya dan menghilang di sebalik pintu bilik.
Edzuary hanya mendengar. Kata-kata Puan Jaslina menusuk terus ke tangkai hati. Ada benarnya kata-kata Puan Jaslina. Selama lima tahun, dia hidup dalam dunianya sendiri. Dia lebih suka menyendiri daripada bergaul dengan orang ramai. Jika difikirkan, dia bukanlah orang sebegitu sebelum ini. Selepas apa yang berlaku lima tahun dulu, telah mengubah keseluruhan hidupnya. Peristiwa yang berlaku benar-benar membawa kesan terhadap dirinya sekarang. Maafkan Ary mama, papa, rintihnya sendirian.

10 ulasan:

  1. Akk ros ..knp x der bab yg kwn ES nk berjumpa dgn ES tu? aduh3 panasaran btol lh Akk ros.... ap kh rhsia tu ar?? nk kena tggu lma lgi lh akk noo....

    BalasPadam
    Balasan
    1. bab yg mana?? Aimanuddin jmpe ngan ES ke?? part NE npk ES x zip seluar.. time tu dia kuar ngan Aimanuddin..

      Padam
    2. haah lah..knp x de part aimanuddin jmp dgn Es..nk tw ap yg mereka borak tu?? he3....

      Padam
  2. orait akk...akn setia menanti ea hehehe n___n tq

    BalasPadam
  3. salam dik...teringin nak tahu ..apa yg berlaku 5 tahun dahulu ? Kenapa mamat poyo tu nampak macam menderita ..adakah antara minah dan mamat tu ada perhubungan yg begitu intim..dan sekiranya ada..kenapakah mamat tu tak dapat mengenali minah tu..peliks kan...harap dapat meleraikan rasa ingin tahu dan teruja yg amat terhadap kisah mereka sekiranya mereka pernah satu ketika mengenali antara satu sama lain.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm.. terima kasih Kak Ida coz sudi singgah dan membaca SC.. hurm, byknya persoalan akak.. InsyaAllah, semua tu akn terjwb dlm bab2 ke atas..

      Padam