Selasa, 26 Ogos 2014

Calon Suami Buat Novelis - Bab 2





NEXT!” suara Qaira.
Next? Aira, dah berapa orang kau reject? Takkan satu pun tak sesuai?” soal Ainul berkerut dahi. Ada nada tidak puas hati.
“Ala, semua tu tak menepati citarasa aku.”
“Citarasa? Hurm… sampai ke sudah la kau takkan jumpa. Bukannya aku tak tahu citarasa kau tu. Nak macam hero-hero dalam novel kau tu kan?”
“Haaa… bijak pun kau.”
Hello! Ini bukan novel. Ini realiti. Okey!”
Qaira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru sekali.
“Mengalahkan nak cari calon suami. Padahal nak cari pembantu pejabat aje.”
Qaira masih lagi tersengih. Wajah pembantunya itu ditatap mesra.
So, bila lagi ada interview?” tanya Qaira kemudian.
Ainul membuka diari berwarna hitam. Matanya meneroka isi di dalam diari itu.
“Minggu hadapan.”
“Okey! Macam biasalah. Kau aturkan semua tu.”
“Ini kali yang terakhir. Kalau kau tolak lagi, kau tanggung sendiri.”
“Yalah… yalah. Membebel macam mak nenek la kau ni.”
Ainul menjegilkan mata.
By the way Aira, petang nanti kau ada meeting dengan pihak atasan. Dia orang nak tengok laporan akaun bulan lepas.”
“Petang ni? Apasal tak beritahu aku awal-awal?”
Emergency! Aku baru dapat tahu daripada Gina pagi tadi. Dia suruh aku sampaikan pada kau.”
“Aku ada hal la Ainul. Aku cadang nak mintak keluar sekejap.”
Ainul menjungkitkan bahu tanda tidak tahu.
“Tak apalah. Aku cuba cancel pertemuan aku dengan mamat tu. Hope dia tak kesah dan tak marahkan aku. Dah banyak kali aku postponed.”
“Mamat? Mamat mana?”
“Sibuk pulak kau ni Ainul.”
“Ala… aku nak tahu gak. Ibu kau nak kenenkan kau dengan lelaki lagi ke?”
“Tak ada maknanya. Aku nak discuss pasal novel aku tu.”
Ainul mengangguk faham. Diari di tangan dipeluk erat.
“Dah alang-alang kau tanya ni, kau ada calon untuk aku tak?” tanya Qaira tersengih.
Ainul membuntangkan mata. Terkejut mendengar pertanyaan Qaira.
“Abang kau ke? Adik kau ke? Sepupu sepapat? Jiran tetangga?”
“Aira, aku ada seorang kakak aje. Mana ada abang dan adik lelaki.”
“Eh, iya tak iya juga. So, tak ada la.”
“Rasanya tak ada. Kalau ada nanti, aku beritahu pada kau.”
“Hurm…” balas Qaira pendek.
“Aku keluar dulu. Tak pasal-pasal melalut pulak nanti. Jangan lupa meeting petang nanti,” pamit Ainul bernada pesanan.
Qaira sekadar berdehem. Dia menghantar langkah Ainul sehingga hilang dari pandangan mata. Tanpa menunggu, dia bangun dari duduk lalu keluar dari bilik itu. Dia perlu berjumpa dengan Encik Ghazali untuk membincangkan tentang penerbitan novelnya.


“JODOH itu rahsia Allah. Lambat dengan cepat aje. Kena yakin pada Allah,” kata Qiara tersenyum. Air minuman disedut perlahan.
“Memang la. Tapi kalau kau tak berusaha, macam mana kau nak jumpa dengan jodoh kau?” balas Niezam menggeleng.
“Aku tengah berusaha la ni. Kau ingat nak cari suami macam cari sayur kat pasar tu ke? Boleh main pilih-pilih aje? Main tunjuk aje?” kata Qaira bernada geram.
Niezam tersengih. Ada benarnya kata-kata Qaira itu.
“Nak cari ‘laki’ memang la berlambak. Kat tepi jalan pun dah boleh dapat. Tapi, kalau nak cari ‘suami’… itu yang susah,” hujah Qaira pula.
 Niezam mengangguk perlahan. Wajah Qaira ditatap seketika. Sudah lama dia mengenali Qaira. Sejak dari universiti lagi. Sikap gadis itu begitu menyenangkan.
“Kau tak ada calon untuk aku ke?”
“Dulu aku nak, kau jual mahal. So, tanggung la.”
“Masalahnya kau tak beritahu aku yang kau suka kat aku. Aku tahu pun daripada Tini. Kalau Tini tak beritahu, sampai ke tua la aku tak tahu yang kau ada perasaan pada aku.”
Niezam menggaru kepala yang tidak gatal. Ada benarnya juga. Memang dulu dia tidak berani berterus-terang. Dalam diam dia menyukai Qaira. Sejak dari semesta pertama lagi. Tetapi disebabkan perubahan Qaira, dia mengelak daripada gadis itu. Dia menjauhi Qaira. Pernah juga mereka berdua bergaduh atas sebab-sebab yang tidak munasabah.
Semua itu hanya tinggal kenangan. Kini, dia sudah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak. Hanya doa yang mampu diberikan kepada Qaira agar bertemu dengan seorang lelaki yang dapat membahagiakan gadis itu.
“Kau ingat tak lagi macam mana kita gaduh dulu?”
“Aku ingat. Mana boleh aku lupa tentang tu.”
“Aku mintak maaf. Aku tak tahu siapa betul dan siapa salah.”
“Perkara dah lama. Tak perlulah nak diingatkan lagi.”
Qaira hanya mengangguk. Ada benarnya kata Niezam. Semua itu sudah lama. Biarlah menjadi kenangan dalam kisah hidup mereka.
So, macam mana dengan novel kau? Okey?”
“Ikutkan aku ada discussion dengan Encik Ghazali. Tapi, terpaksa cancel sebab petang ni aku ada meeting.”
“Oh… itu yang kau ajak aku keluar makan.”
Qaira sekadar mengangguk lalu tersengih.
“Nasib baik la aku ni jenis yang baik hati. Bolehlah temankan kau. Kalau tidak… tak ada maknanya nak temankan kau.”
“Ala… dengan aku pun nak berkira.”
“Ah! Kena jugak berkira. Nasib baik la wife aku tu jenis yang tak cemburu. Kalau jenis yang cemburu, tak pasal-pasal kau kena hambat dengan batang penyapu.”
Respect kat wife kau.”
Niezam hanya tersenyum. Rasa bangga kerana memiliki Saleha sebagai isteri.
“Kau tak ada calon untuk aku ke?” Qaira bertanya pada soalan yang sama.
Niezam berkerut dahi.
“Niezam!”
“Yang kau tolak calon-calon ibu kau tu siapa suruh?”
“Yang tu… aku no komen.”
“Dia orang tu semua tak handsome macam aku ke?”
“Kau? Kau handsome?”
Niezam sekadar mengangguk. Seminit kemudian, dia ketawa.
“Calon-calon tu semua tak boleh buat jantung aku berdegup laju.”
“Kau ingat ini novel? Hero dan heroin bertemu. Jantung masing-masing berdegup laju. Begitu?”
“Mestilah! Kalau jantung kita tak berdegup, tak ada perasaan namanya tu. Aku nak tanya kau. Macam mana pertemuan kau dengan Saleha dulu? Jantung kau berdegup laju tak?”
Niezam berfikir sejenak. Cuba merencanakan pertanyaan Qaira. Kemudian, dia mengangguk. Sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan gadis itu.
“Haa… aku nak yang macam tu la. Bila aku jumpa dengan seorang lelaki, jantung aku berdegup kencang. Aku rasa serba tak kena. Gelabah! Kalut! Macam pertemuan hero dan heroin ciptaan aku dalam kesemua novel aku tu,” beritahu Qaira penuh perasaan.
“Aduh!” rengek Qaira kemudian tatkala Niezam menepuk dahinya.
“Kau ingat diri kau tu Sofea, Alisya, atau Jasmine? Kau tu Qaira Nur Imani. Bukan heroin yang kau ciptakan tu,” tegur Niezam menggeleng.
Qaira tersengih. Dahi yang terasa sakit diusap lembut.
“Jangan nak samakan diri kau dengan heroin-heroin tu semua. Ini realiti dan bukan khayalan. Kalau kau terlalu memilih, sampai bila-bila pun kau takkan jumpa dengan imam kau,” tegur Niezam bernada nasihat.
Qaira tidak membalas. Kata-kata nasihat Niezam meniti di benak hati.
“Aku tetap doakan untuk kau. Semoga kau bertemu dengan seorang imam yang dapat membimbing kau dunia akhirat,” doa Niezam bernada ikhlas.
Qaira hanya tersenyum. Kepala mengangguk kecil. Ucapan terima kasih meniti di bibir. Rasa beruntung kerana memiliki seorang sahabat seperti Niezam. Semoga hubungan persahabatan kekal hingga ke akhir hayat.


“HAI! Fauzan. 25. Model,” perkenal Fauzan tersenyum.
Qaira membulatkan mata. Wajah Fauzan di hadapan ditatap berserta senyuman di bibir. Kacak!
“Hai Qaira. Emel, 23 dan Pilot,” perkenal Emel pula.
Qaira menoleh ke arah yang bersuara. Wajah Emel menyapa mata. Senyuman di bibir lelaki itu sungguh menawan.
I’m Danish. 26 years old. Chief Executive Officer.” Danish bersuara. Dicapai tangan Qaira lalu mengucup lembut tangan itu.
Qaira tersenyum malu. Dia menundukkan muka memandang jemari sendiri.
“I sudi jadi husband you kalau you sudi.” Fauzan bersuara. Dia menghampiri Qaira lalu duduk di sisi gadis itu.
“Kalau you pilih I, I sanggup buat apa saja yang you suruh. I sanggup korbankan segala-galanya demi you,” kata Emel pula. Dia turut sama duduk di sisi Qaira.
“Ini hadiah I untuk you, Qaira. I sanggup bagi company I pada you kalau you pilih I sebagai husband.” Danish membuat tawaran. Tangan Qaira dicapai lalu digenggam erat.
Qaira tersenyum malu. Wajah ketiga-tiga pemuda di hadapan ditatap silih berganti. Masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Sukar untuk membuat pilihan. Yang mana satu menjadi pilihan?
“Pilih I, Qaira,” suara Emel.
“I akan membahagiakan you,” celah Fauzan.
“I yang paling sesuai untuk you,” sampuk Danish.
Qaira terkedu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada ketiga-tiga pemuda itu? Jika dia memilih salah seorang daripada mereka, adakah yang dua lagi dapat menerimanya? Buntu! Buntu ketika ini.
“Pilih I, Qaira.”
Serentak mereka bertiga bersuara. Masing-masing mengasak sehingga menyebabkan Qaira membuntangkan mata.
“Err…”
Qaira mematikan ayat. Tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan.
“I paling sesuai untuk you,” asak Emel.
“I dan bukan dia,” suara Fauzan.
“You patut pilih I dan bukan mereka berdua,” tegas Danish.
Qaira memandang satu persatu wajah di hadapan. Rasa rimas tatkala tubuhnya ditarik dan ditolak oleh mereka bertiga. Rasa nak patah pinggang dan tangannya itu. Dia perlu menghentikan drama itu sebelum melarat.
Stop it!” tegah Qaira meninggi.
Serta merta dia bangun dari duduk. Lagak seperti ketua yang memberi arahan kepada orang bawahannya.
“Qaira Nur Imani!” tegur Encik Borhan sambil menjegilkan mata.
Qaira tersentak. Dihalakan mata ke arah suara yang menegur. Buntang matanya melihat wajah Encik Borhan. Kemudian, dihalakan mata ke arah manusia-manusia yang berada di dalam bilik mesyuarat itu.
“Awak mengelamun Qaira?” soal Encik Borhan pula.
“Err…” Qaira berjeda.
Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Malu ketika ini. Berpasang-pasang mata sedang tertumpu ke arahnya. Jantungnya berdegup dengan kencang.
“Mana laporan kewangan bulan lepas?” tanya Encik Borhan.
“Ada… ada. Sekejap Encik Borhan,” balas Qaira sambil mencari laporan kewangan syarikat. Serba tak kena ketika ini.
“Maaf Tuan Haji Saiful. Staf saya ni kalut sikit orangnya,” ujar Encik Borhan tersenyum kelat.
Haji Saiful hanya mengangguk. Matanya memerhati tingkah laku Qaira yang sedang mencari maklumat kewangan.
“Qaira!” panggil Encik Borhan perlahan.
“Haa… sekejap! Saya dah jumpa,” balas Qaira.
Setelah berjumpa, dia bangun dari duduk. Belum sempat dia melangkah menghampiri Encik Borhan, kakinya tersadung di kaki bangku akibat kalut. Tersembam dia ke atas lantai berserta helaian kertas laporan kewangannya itu.
Pekerja-pekerja yang berada di dalam bilik mesyuarat itu terkejut. Masing-masing memandang ke arah Qaira sambil cuba menahan ketawa.
“Qaira, apa kena dengan awak ni?” tanya Encik Borhan keras.
Qaira bangun dari jatuhan. Dia mengibas seluar yang sedikit kotor. Helaian kertas yang bertaburan dikutip satu persatu. Setelah itu, diserahkan kepada Encik Borhan berserta sengihan di bibir. Rasa malu turut menumpang dalam hati.
“Maaf Encik Borhan. Saya gemuruh!” ujar Qaira kemudian.
Dia segera duduk di kerusi. Matanya memandang wajah-wajah yang berada di dalam bilik itu. Pandangannya terhenti ke dua wajah yang tidak dikenali. Siapa lelaki tua di sisi Encik Borhan itu? Di sisi lelaki tua, seorang pemuda yang sedang beriak tidak berperasaan.
“Encik Borhan!” panggil Qaira perlahan.
Encik Borhan menoleh. Wajah Qaira ditatap berkerut.
“Errr… siapa tu?” tanya Qaira pula.
Dimuncungkan mulut ke arah Haji Saiful dan pemuda di sebelah lelaki tua itu. Siapa mereka berdua? Adakah mereka berdua staf baru di syarikat?
“Kan tadi saya dah kenalkan siapa mereka berdua. Siapa suruh mengelamun?” balas Encik Borhan keras.
“Oh, saya lupa. Maaf Encik Borhan,” balas Qaira. Dihalakan mata ke arah kedua-dua tetamu itu.
“Encik ni pembantu pejabat kan?” Selamba Qaira bertanya.
Haji Saiful yang mendengar ketawa besar. Tidak menyangka dengan pertanyaan Qaira. Kepala menggeleng kecil.
“Qaira Nur Imani!” Keras nada Encik Borhan menegur.
“Alamak! Salah! Sorrysorry. Saya duduk dan zip mulut,” suara Qaira bergetar.
Gerun pula dia melihat wajah Encik Borhan. Bukan sekali dia ditegur Encik Borhan, acap kali dia ditegur. Namun teguran itu dibuat endah tak endah sahaja. Apa yang pasti, Encik Borhan berpuas hati dengan hasil kerjanya.
Encik Borhan mendengus kasar. Geram dengan perangai dan sikap Qaira. Sudah puas dia menegur Qaira tetapi gadis itu masih dengan sikap yang sama. Walau bagaimanapun, dia tetap berpuas hati dengan hasil kerja Qaira. Selama ini, Qaira tidak pernah mengecewakannya. Disebabkan itu dia melantik Qaira sebagai Pengurus Akaun syarikat.
“Maaf Haji Saiful,” ucap Encik Borhan kesal.
“Tak apa Borhan. Staf awak ni memang kelakar,” balas Haji Saiful.
Encik Borhan tersenyum kelat.
“Kalau macam tu, kita akan teruskan projek tu. Tentang budget, Encik Borhan jangan risau. Syarikat saya akan suntik modal ke dalam syarikat Encik Borhan.”
“Pastikan budget yang dibuat tidak melebihi budget yang telah kita tetapkan hari tu.”
“Baiklah! Saya akan mintak Qaira sediakan budget tu.”
“Saya?” suara Qaira tiba-tiba.
Mereka yang berada di dalam bilik itu memandang ke arah Qaira. Berkerut dahi masing-masing mendengar pertanyaan Qaira.
“Habis tu kalau bukan awak siapa?” soal Encik Borhan geram.
“Encik Borhan!” Selamba Qaira menjawab.
Haji Saiful ketawa mendengarnya.
“Boleh tak jangan perbodohkan diri sendiri?” tegur seseorang tiba-tiba.
Qaira dan yang lain-lain menghalakan mata ke arah yang bersuara. Wajah di sisi Haji Saiful ditatap berserta kerutan di dahi.
“Membazir masa aje. Kalau dah habis boleh kita balik? Rimas kat sini lama-lama. Tambah-tambah tengok orang memperbodohkan diri sendiri. Ingat lawak ke?”
“Awak maksudkan siapa?” soal Qaira bernada keras.
Adakah dirinya yang dimaksudkan oleh pemuda itu? Tetapi, siapa pemuda di sisi lelaki tua bernama Haji Saiful? Adakah pekerja tuan haji itu?
“Awak terasa ke?” soal pemuda itu pula.
“Saya serahkan semua tu pada Encik Borhan. Kalau ada masalah apa-apa, Encik Borhan boleh hubungi saya,” sampuk Haji Saiful bingkas bangun.
Ada baiknya dia meminta diri daripada menunggu. Khuatir perkara yang tidak diingini berlaku. Lebih baik mengelak daripada berlaku.
“Baiklah tuan haji,” balas Encik Borhan turut sama bangun.
Mereka yang berada di situ turut sama bangun. Masing-masing menghantar pemergian Haji Saiful sehingga di muka pintu bilik.
“Mamat tu mengata aku. Siap kau kalau aku jumpa lagi dengan kau. Aku tenyeh-tenyeh mulut kau dengan cili,” geram Qaira sambil mengepal tangan.
Entah kenapa jantungnya berdegup dengan kencang tatkala memandang wajah pemuda itu. Degupan yang berlainan dari degupan biasa.
“Uit! Kenapa dengan jantung aku ni?” soal Qaira perlahan kepada dirinya sendiri. Disentuh jantungnya yang sedang berdetak hebat.
“Takkan….” Qaira mematikan ayat. Dia terfikirkan sesuatu.
“Tak mungkin!” tukas Qaira menggeleng laju.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan