Isnin, 3 November 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 12







“SYIRA!” seru Farhana, lembut.
Nur Syahirah menoleh. Senyuman hambar diberikan kepada kawan baiknya itu.
“Sampai bila kau nak berkurung dalam rumah ni? Dah tiga hari kau tak ke tadika. Tak pasal-pasal kau diberhentikan nanti,” kata Farhana sambil melabuhkan duduk di birai katil.
Nur Syahirah hanya membisu. Kata-kata Farhana buat dengar dan tidak sahaja.
“Kau kena hadapinya juga. Dah takdir Allah temukan kau dengan Zairiel semula.”
“Aku belum bersedia lagi.”
“Sampai bila? Selama tiga hari ni Zairiel cari kau. Daniel Iman pun rindukan kau. Bila Danny dah terima kau sebagai pengasuh dia, kenapa kau jauhkan diri kau daripada dia pulak?”
“Aku belum bersedia nak jumpa dengan dia.”
Farhana menatap wajah pucat Nur Syahirah. Selama tiga hari ini Nur Syahirah mengurungkan diri di dalam rumah.
“Kenapa aku perlu berjumpa dengan dia semula, Hana?” tanya Nur Syahirah bernada sebak. Matanya memandang wajah Farhana. Menanti jawapan daripada kawan baiknya itu.
“Mungkin dah tertulis dalam hidup kau yang kau akan berjumpa semula dengan dia. Mungkin juga Allah dah aturkan semua ni untuk kau.”
“Aku tahu. Tapi kalau boleh aku tak nak jumpa dengan dia semula. Hati aku akan jadi sedih mengenangkan kisah lalu.”
“Dalam hal ni, aku tak nak sokong sesiapa. Aku rasa, ada baiknya kau jumpa dengan dia. Selesaikan masalah kau dengan dia. Luahkan apa yang terbuku di hati kau selama ini pada dia,” cadang Farhana. Berharap, Nur Syahirah menerima cadangannya itu.
“Tak ada apa yang perlu diluahkan lagi. Semuanya dah terjawab enam tahun yang lepas. Apa yang aku lakukan selama ini semuanya kerana dia. Aku yakin, dia dah tahu apa yang berlaku selama ini,” suara Nur Syahirah, perlahan.
Farhana mengangguk lemah. Ada benarnya kata-kata Nur Syahirah itu.
So, berapa lama kau nak berkurung dalam rumah ni? Kau nak aku beritahu pada Puan Jamilah yang kau ambil MC lagi ke?”
“Aku tak tahu,” balas Nur Syahirah seraya turun dari katil.
“Syira, takkan kau nak berhenti kerja?” duga Farhana turut sama bangun.
“Aku sayangkan pekerjaan aku sekarang.”
“Jadi, kau kenalah pergi kerja. Kau abaikan saja Zairiel tu. Buat-buat tak kenal atau tak nampak dia.”
“Tengoklah dulu macam mana. Otak aku tengah serabut ni. Aku stress la, Hana.”
“Kalau dah asyik fikirkan benda yang sama, macam mana kau tak stress? Cuba bawa keluar dari rumah. Hirup udar segar kat luar tu,” tegur Farhana pula.
“Yalah! Nanti aku keluarlah!” balas Nur Syahirah, lemah. Kepalanya berdenyut tiba-tiba.
“Kalau macam tu, aku keluar dulu. Aku nak ke pekan nak beli barang-barang dapur. Kau nak pesan apa-apa tak?” kata Farhana lalu menapak ke muka pintu bilik.
Nur Syahirah sekadar menggeleng. Kepalanya semakin berdenyut. Pandangannya turut sama kabur. Tubuhnya terasa ringan dan dia rebah di situ juga.
Farhana yang melihat sudah pun menjerit memanggil nama Nur Syahirah. Terkejut melihat tubuh Nur Syahirah rebah ke lantai. Dihampiri tubuh Nur Syahirah dan memangku kepala kawannya itu. Kenapa dengan Nur Syahirah?


ZAIRIEL menatap kasih wajah Nur Syahirah. Sungguh, dia amat merindui wajah itu. Selama enam tahun dia memendam perasaan rindu. Setiap kali perasaan rindu bertamu, setiap kali itulah gambar Nur Syahirah ditatap. Kini, Nur Syahirah sudah pun berada di hadapan mata. Bagaimana untuk meluahkan rasa rindu itu? Adakah Nur Syahirah turut sama merinduinya?
Zairiel mencapai tangan Nur Syahirah lalu menggenggamnya erat. Wajah Nur Syahirah tidak lepas dari pandangan mata. Mujurlah Farhana menelefon dan memberitahu keadaan Nur Syahirah. Adalah peluang untuk dia berjumpa dengan Nur Syahirah. Jika tidak, sampai bila-bila pun Nur Syahirah tidak mahu berjumpa dengannya.
Selama tiga hari dia ke rumah mereka. Jawapan hampa yang diperolehi daripada Farhana. Nur Syahirah tidak mahu berjumpa dengannya dan juga Daniel Iman. Sukar untuk memahamkan Daniel Iman selama tiga hari ini.
“Papa!” panggil Daniel Iman dari arah pintu bilik.
Zairiel menoleh. Senyuman diberikan kepada Daniel Iman dan Farhana.
“Papa, kenapa Kak Syira?” tanya Daniel Iman sambil menghampiri papanya.
“Kak Syira tak sihat, sayang,” jawab Zairiel, lembut.
Diangkat tubuh Daniel Iman lalu didudukkan di atas ribaan. Kucupan kasih hinggap di pipi Daniel Iman.
“Tak sihat? Kak Syira sakit macam Danny ke, papa?” tanya Daniel Iman ingin tahu.
“Tak sayang. Kak Syira penat saja dan perlukan rehat,” jawab Zairiel lagi. Nafas lega dilepaskan. Mujurlah Nur Syahirah sekadar mengalami tekanan sahaja.
“Mesti sebab Danny Kak Syira sakit. Betul kan, papa?”
“Tak betul, sayang. Danny jangan risau ya.”
“Tapi, kenapa Kak Syira tak bangun-bangun lagi?” tanya Daniel Iman, berkerut dahi.
Zairiel tidak membalas. Sukar untuk memahamkan anaknya itu.
“Danny, come here!” panggil Farhana, tiba-tiba.
Tidak mahu Daniel Iman terus-terusan bertanya kepada Zairiel. Biar dia sahaja yang menjelaskan kesemuanya kepada Daniel Iman.
“Danny pergi makan dengan Kak Hana dulu. Nanti papa datang,” arah Zairiel.
“Baik papa! Nanti beritahu pada Danny kalau Kak Syira dah bangun,” pesan Daniel Iman sambil turun dari ribaan Zairiel. Senyuman diberikan kepada Zairiel.
“Makan tau, jangan tak makan. Nanti perut Danny sakit.”
Daniel Iman mengangguk. Ditarik tangan Farhana dan menggenggamnya erat.
Thanks Hana!”
“Tak apa Zairiel. Perkara kecik saja. Mesti awak dan Syira ada perkara yang nak dibincangkan. Buat masa sekarang ni, biar saya yang jaga dan tengok-tengokkan Danny.”
Thanks again, Hana. Hope, Syira sudi mendengar luahan saya nanti,” balas Zairiel, tersenyum hambar. Matanya menatap wajah Nur Syahirah.
“Insya-Allah, Syira sudi mendengarnya. Mungkin Syira pun ada perkara yang nak diluahkan pada awak.”
“Saya harap begitulah.”
“Kalau macam tu, saya keluar dulu. Saya bawa Danny ke kantin,” pamit Farhana.
“Baiklah!” sahut Zairiel, sepatah.
“Mari Danny. Kak Hana belanja Danny makan aiskrim,” ajak Farhana, lembut.
“Aiskrim? Danny suka makan aiskrim. Papa, Danny pergi makan aiskrim dulu. Nanti papa panggil Danny kalau Kak Syira bangun dari tidur ya,” pesan Daniel Iman, ceria.
Zairiel ketawa kecil. Matanya menghantar langkah Farhana dan Daniel Iman sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Kemudian, dihalakan mata ke tubuh Nur Syahirah yang sedang berbaring di atas katil.
“Sarah… Sarah…” racau Nur Syahirah.
Tersentak Zairiel mendengarnya. Diamati wajah berkerut Nur Syahirah. Seakan Nur Syahirah sedang bermimpikan sesuatu.
“Sarah… jangan pergi,” sebut Nur Syahirah lagi.
“Syira!” seru Zairiel. Tangannya digenggam erat oleh Nur Syahirah.
“Sarah.. Sarah..” panggil Nur Syahirah lalu membuka mata.
“Syira!” panggil Zairiel, lembut.
Tersentak Nur Syahirah mendengar suara itu. Dihalakan mata ke sisi kiri dan alangkah terkejut tatkala wajah Zairiel menyapa pandangan. Dia bingkas bangun dari pembaringan dan melepaskan genggaman tangan Zairiel.
“Syira, awak dah sedar,” tutur Zairiel, tersenyum.
“Aa.. aa.. wak buat apa kat sini?” tanya Nur Syahirah, terketar-ketar.
Zairiel sekadar tersenyum. Dicapai jag dan menuangkan air ke dalam gelas. Kemudian, dihulurkan kepada Nur Syahirah dan disambut baik oleh gadis itu.
Nur Syahirah akur. Diteguk air dari dalam gelas dan menyerahkan semula gelas kosong kepada Zairiel. Matanya memandang wajah Zairiel berserta kerutan di dahi.
“Macam mana? Dah okey?” tanya Zairiel, prihatin.
Nur Syahirah hanya membisu. Matanya masih menatap wajah Zairiel. Sungguh, dia amat merindui wajah itu. Selama enam tahun dia memendam perasaan rindu dan hanya gambar sahaja yang menjadi pengubat rindunya. Matanya mulai berkaca-kaca. Menunggu masa untuk mengalir keluar sahaja.
“Syira!” suara Zairiel.
“Saya…” sukar untuk Nur Syahirah membalas. Air matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Meluahkan rasa rindu melalui air mata itu.
Zairiel yang melihat bingkas bangun dan melabuhkan duduk di birai katil. Diseka lembut air mata Nur Syahirah yang sedang mengalir membasahi pipi. Sebak dan sayu tatkala memandang wajah basah Nur Syahirah. Terasa satu bebanan sedang menghuni di hati kala ini.
“Kenapa awak muncul dalam hidup saya lagi Zairiel?” luah Nur Syahirah, teresak kecil.
Ditahan tangan Zairiel daripada meneruskan tingkah laku. Dilarikan pandangan ke luar jendela. Tidak mahu menatap wajah Zairiel.
“Saya rindukan awak, Syira,” luah Zairiel, jujur.
Ditatap kasih wajah Nur Syahirah. Bagaimana untuk meluahkan perasaannya selama ini kepada Nur Syahirah?
“Jauhi diri awak daripada hidup saya. Saya tak nak disebabkan saya, awak yang mendapat susah nanti,” kata Nur Syahirah seraya menoleh.
Berkerut dahi Zairiel mendengarnya. Apa yang dimaksudkan oleh Nur Syahirah itu?
“Saya akan menyusahkan hidup awak.”
“Apa yang awak cakap ni, Syira?”
“Anggaplah kita berdua tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Dan saya harap, awak lupakan persahabatan kita.”
Tersentak Zairiel mendengarnya. Dia bingkas bangun dari duduk dan menggenggam erat tangan. Matanya memandang wajah tenang Nur Syahirah.
“Saya…”
No! Saya takkan lepaskan awak pergi lagi Syira,” pintas Zairiel, tegas.
“Awak perlu lakukannya, Zairiel.” Tegas Nur Syahirah berkata.
Please, Syira. Saya tak nak kehilangan awak lagi. Cukuplah enam tahun ni saya memendam perasaan rindu pada awak. Saya…” Amat payah bagi Zairiel meneruskan kata-kata. Diraup kasar wajahnya dan melepaskan keluhan yang amat berat.
“Awak perlu lakukannya,” ulang Nur Syahirah.
Zairiel menggeleng laju. Tidak mungkin dia melepaskan Nur Syahirah lagi.
“Saya harap awak faham.”
“Saya tak nak faham dan takkan faham.”
Nur Syahirah menghela nafas berat. Bagaimana untuk memahamkan Zairiel ketika ini?
Please, Syira. Jangan minta saya lepaskan awak buat kali kedua. Saya cukup menyesal kerana melepaskan awak pergi dulu,” rayu Zairiel seraya duduk.
Ditarik tangan Nur Syahirah lalu menggenggamnya erat. Berharap, Nur Syahirah mengerti akan permintaannya itu.
Nur Syahirah hanya memandang. Hati dan akal, berlawanan kata. Perlukah dia mempercayai kata-kata Zairiel? Perlukah dia berharap kepada Zairiel?
“Saya cintakan awak, Syira,” luah Zairiel penuh keikhlasan.
Berderau Nur Syahirah mendengarnya. Diperhatikan wajah Zairiel dan mencari keikhlasan serta kejujuran pada wajah itu.
“Saya sayangkan awak. Saya cintakan awak, Syira,” ulang Zairiel semula.
“Saya penat dan nak bersendirian. Tolong tinggalkan saya Zairiel,” balas Nur Syahirah.
Dibaringkan tubuh dan menarik selimut. Dipejamkan mata. Tidak dihiraukan Zairiel yang sedang memandang ke arahnya.
“Saya nak awak dengar luahan saya ni, Syira. Saya benar-benar sayang dan cintakan awak. Selama enam tahun, saya rindukan awak. Bila saya rindukan awak, saya akan tatap gambar awak. Puas saya cari awak, Syira. Saya ke kampung, tanya pada family awak.”
“Tapi, family awak pun tak tahu ke mana dan di mana awak berada. Awak tak pernah utuskan khabar berita kepada mereka. Saya pasti, mereka pun sedang mencari awak. Mereka pun sedang merindui awak sepertimana saya juga,” luah Zairiel, panjang lebar.
Dilabuhkan duduk di birai katil semula seraya memandang wajah Nur Syahirah yang sedang berpura-pura tidur. Dia pasti dan yakin Nur Syahirah mendengar luahannya itu.
Nur Syahirah sekadar mendengar. Perlahan-lahan air matanya mengalir membasahi pipi. Diakui yang dia turut merindui keluarganya dan juga Zairiel. Tetapi apakan daya. Atas sebab-sebab tertentu, dia terpaksa melupakan perasaannya itu. Biarlah dia berkorban asalkan insan-insan yang disayangi bahagia.
“Untuk terakhir kali, saya tegaskan pada awak yang saya takkan lepaskan awak buat kali yang kedua. Saya nak berada di sisi awak, baik susah ataupun senang.”
“Awak jangan nak paksa saya, Zairiel,” suara Nur Syahirah pantas membuka mata. Diangkat tubuh dan bersandar di kepala katil.
“Saya tak pernah paksa awak. Apa yang saya luah lahir dari hati saya yang ikhlas,” bidas Zairiel bernada tegas.
Please, Zairiel. Tolong fahami perasaan saya sekarang ni. Awak akan menjauhkan saya dari keluarga saya lagi,” adu Nur Syahirah, teresak. Rasa bersalah menghuni di hati.
Zairiel berkerut dahi. Kenapa Nur Syahirah berkata begitu?
“Tinggalkan saya sendirian. Fikiran saya tengah serabut,” pinta Nur Syahirah, mengharap.
Zairiel hanya membisu. Wajah basah Nur Syahirah ditatap sayang. Perlahan-lahan tangannya menyeka lembut air mata di pipi Nur Syahirah. Sebak melihat Nur Syahirah yang sedang menangis. Belum pernah lagi dia melihat Nur Syahirah menangis. Selama mereka berdua berkawan rapat, hanya wajah ceria Nur Syahirah sahaja yang ditatapnya.
“Jangan menangis, Syira. Kalau awak sedih, saya turut sama sedih,” pujuk Zairiel.
“Tinggalkan saya sendirian,” pinta Nur Syahirah seraya menolak lembut tangan Zairiel.
Kemudian, dibaringkan semula tubuhnya dan menarik selimut sehingga menutupi tubuh. Berdoa, agar Zairiel beredar dari bilik itu.
Zairiel menghela nafas berat. Diraup kasar wajahnya dan bangun dari duduk. Tanpa bersuara, dibawa langkah beredar dari bilik itu. Memberi ruang kepada Nur Syahirah untuk menenangkan hati dan perasaan.
Nur Syahirah menolak selimut sebaik sahaja Zairiel beredar dari bilik itu. Dia bingkas bangun dan memeluk rapat kedua-dua belah lutut. Disembamkan muka ke dalam lutut. Menangisi bebanan yang dipikul selama ini. Kenapa perlu ada pertemuan ini semula?




1 ulasan: