Selasa, 11 Mac 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 5





“FUH! Lega aku Hana,” luah Nur Syahirah, lega.
“Siapa suruh kau tak berhati-hati? Kalau tidak, tak adalah Abang Nazry syak yang bukan-bukan tadi,” tegur Farhana menggeleng kecil.
“Dari dulu lagi Abang Nazry dah syak. Cuma aku saja yang tak nak beritahu dia perkara yang sebenar. Aku tak nak dia masuk campur dalam urusan aku,” terang Nur Syahirah.
“Sampai bila, Syira? Sampai bila kau nak rahsiakan daripada Abang Nazry? Aku pasti, lambat laun dia akan tahu juga tentang kau.”
“Insya-Allah, dia takkan tahu selagi tak ada sesiapa yang beritahu pada dia.”
“Andai kata dia cari sendiri macam mana?” tanya Farhana sekadar menduga.
Nur Syahirah mengeluh berat dan meraup wajah. Dihalakan mata ke luar tingkap. Memikirkan jawapan pada pertanyaan Farhana itu.
“Syira!” seru Farhana, lembut.
“Aku pasti dia takkan cari,” duga Nur Syahirah.
Farhana mengangguk kecil. Matanya mengerling sekilas ke wajah Nur Syahirah yang sedang membuang pandang ke luar tingkap. Bagaimana untuk menyelesaikan masalah kawan baiknya itu? Selama enam tahun mereka berdua mencari jalan penyelesaian. Namun, semuanya hampa belaka. Apa yang pasti, Nur Syahirah ada sebab untuk tidak memberitahu kepada Nazry.
“Aku ternampak Zairiel,” ujar Nur Syahirah, perlahan.
Farhana yang mendengar menekan brek kereta dengan tiba-tiba. Matanya memandang cermin pandang belakang. Khuatir, tindakannya itu memberi masalah kepada pengguna yang lain. Mujurlah tidak ada kereta yang mengekori mereka daripada belakang. Jika tidak, tak pasal-pasal mereka terlibat dalam kemalangan.
“Aku ternampak Zairiel, Hana,” ulang Nur Syahirah dan menoleh.
Farhana membisu. Signal diberi dan memberhentikan kereta di bahu jalan. Matanya memandang ke wajah Nur Syahirah.
“Aku ternampak Zairiel. Aku pasti dia,” ulang Nur Syahirah buat kali yang ketiga.
“Kau biar betul, Syira? Hari tu kau kata Zairiel tu papa Daniel Iman. Hari ni, kau kata kau nampak dia. Mana satu yang betul ni?” ulas Farhana, menggeleng kecil.
“Aku yakin dia. Aku pasti dia ada di sini,” yakin Nur Syahirah.
“Kau jangan nak mengarut la, Syira. Mustahil dia ada kat sini,” bidas Farhana pula.
“Aku pasti. Memang dia yang aku nampak tadi. Disebabkan itulah aku melarikan diri,” cerita Nur Syahirah, bersungguh.
Farhana terkedu. Perlukah dia mempercayai kata-kata Nur Syahirah itu?
“Aku pasti dia. Kau percayalah cakap aku,” kata Nur Syahirah. Cuba meyakinkan Farhana untuk ke sekian kali.
“Okey... okey… aku percaya. Tapi, aku akan percaya lepas aku tengok dengan mata kepala aku sendiri. So, kau nampak dia dengan siapa tadi?” balas Farhana, mengalah.
Nur Syahirah berfikir sejenak. Dikerahkan otak memutarkan semula pertemuan tadi. Sungguh, dia tidak menyedari siapa yang bersama dengan Zairiel ketika itu. Disebabkan tidak mahu Zairiel nampak, dia melarikan diri terlebih dahulu. Ketika itu juga dia ditegur oleh Nazry.
“Siapa, Syira?” ulang Farhana kepada pertanyaannya tadi.
“Aku tak perasan,” jawab Nur Syahirah, menggeleng kecil.
Farhana menghela nafas ringan.
“Tak mengapalah. Mungkin bukan Zairiel yang kau nampak tadi. Mungkin juga pelanduk dua serupa. Kan aku dah beritahu kau, dalam dunia ni…”
“Ada tujuh orang yang hampir sama dengan muka kita,” sambung Nur Syahirah.
“Haa.. bijak pun kau. Jadi, tak payahlah kau nak fikirkan sangat tentang Zairiel tu lagi. Bila kau fikirkan pasal dia, kau akan jadi sedih dan aku tak suka tengok kau bersedih,” nasihat Farhana dan menyambung semula pemanduan.
Nur Syahirah mengangguk faham. Senyuman hambar diberikan kepada kawan baiknya itu. Ada benarnya kata-kata Farhana. Tidak ada guna dia memikirkan tentang Zairiel lagi. Jika difikirkan, hatinya akan menjadi sebak dan hiba. Mungkin dia perlu ikhlas melupakan Zairiel agar hatinya akan tenang dan tenteram.


“I busy, Dila. Sebab itulah I tak sempat nak beritahu you tentang pemindahan I ke sini,” beritahu Zairiel mengeluh ringan.
“Sampai hati you, Zairiel. You ke sana tak beritahu I. Kalau I tak jumpa dengan Farid, sampai bila-bila pun I takkan tahu yang you dah pindah ke sana. Semua call I pun you tak nak jawab,” rengek Adila, manja.
Ingatannya memutarkan semula pertemuan dengan kawan baik Zairiel, Farid. Mujurlah dia tergerak hati untuk ke klinik Farid. Jika tidak, mustahil dia akan tahu ke mana Zairiel pergi selama dua minggu ini.
“Kan I dah kata tadi, I busy uruskan pembukaan klinik I kat sini,” bentak Zairiel, keras.
“Habis tu, susah sangat ke you nak call I lepas you buka klinik you tu? You memang sengaja nak buat I macam ni, Zairiel.”
Zairiel menghela nafas berat. Ikutkan hati, tak ingin dia melayan karenah Adila. Disebabkan rasa perikemanusiaan, terpaksalah juga dia melayan Adila.
“Zairiel, you dengar tak apa yang I cakapkan ni?” tegur Adila, keras.
“I nak you dengar cakap I, Dila. Antara kita tak ada hubungan istimewa. I anggap you sebagai kawan dan tak mungkin lebih daripada itu. I harap, you faham dengan apa yang I cakapkan ni.” Tegas Zairiel berkata. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“I tak faham dan selama-lamanya I tak nak faham. I tetap nakkan you, Zairiel,” bentak Adila turut sama tegas.
“Suka hati you la, Dila. Malas I nak layan you lagi,” kata Zairiel, mengalah. Tidak ada gunanya dia bersuara lagi jika tidak mendatangkan kesan kepada Adila.
“I ikhlas cintakan you. Kenapa you tak nak bagi peluang pada I untuk buktikan cinta I pada you?” luah Adila, sebak.
Ya Allah, apa aku nak buat dengan dia ni, bisik hati Zairiel.
“Zairiel, I cintakan you,” sambung Adila lagi.
“Maafkan I, Dila. I tak mampu nak balas cinta you. Dalam hati I, hanya ada dia sahaja.”
“Sampai bila, Zairiel? Dia dah tak ada. Dia dah pergi. Takkan you tak boleh nak bukakan pintu hati you tu untuk I?”
“Sehingga nafas terakhir I, Dila. I terlalu sayang dan cintakan dia. I harap you faham.”
Adila mengeluh berat. Kepalanya menggeleng kecil. Sungguh, hatinya terasa dengan kata-kata Zairiel. Sukar untuk memecahkan tembok di hati Zairiel. Terlalu kuat perasaan Zairiel terhadap perempuan itu. Bagaimana untuk membuatkan Zairiel menyintainya?
“Dila, anak I dah terjaga. Maafkan I,” beritahu Zairiel dan mematikan talian.
“Zairiel … Zairiel …” panggil Adila. Namun, panggilannya itu tidak bersambut. Zairiel terlebih awal mematikan talian.
“Fuh! Nasib baik aku letak dulu. Kalau tidak… hisy, malas aku nak dengar rengekan dia tu,” luah Zairiel kepada diri sendiri.
“Aduh! Takkan tak faham bahasa lagi kut,” rungut Zairiel tatkala telefon bimbitnya berbunyi semula. Lantas, butang hijau ditekan dan melekapkan ke telinga. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“Dila, kan I dah cakap yang anak I dah terjaga. You ni tak faham bahasa ke?” sergah Zairiel bernada keras.
“Assalamualaikum,” sapa Nur Syahirah dari hujung talian.
Terkedu Zairiel mendengar sapaan itu. Air liur ditelan terasa kelat. Dihalakan telefon ke hadapan. Nombor telefon pengasuh Daniel Iman menyapa mata.
“Assalamualaikum, doktor,” sapa Nur Syahirah lagi.
“Waalaikumussalam. Maaf, Cik Syira. Saya tak perasan nombor telefon cik tadi,” balas Zairiel, bergetar
“Tak mengapa. Ada orang ganggu Doktor Zairiel ke?” tanya Nur Syahirah, ingin tahu.
Zairiel hanya membisu. Telinganya disapa dengan suara lembut Nur Syahirah. Seakan mengenali suara itu.
“Maaf doktor. Penyibuk pulak saya ni, kan?” kesal Nur Syahirah.
“Eh, tak… tak ada. Saya tengah berfikir. Maaf!” balas Zairiel turut kesal.
“Maaf kalau saya mengganggu doktor malam-malam begini. Saya cuma nak tanya pasal Iman,” mulai Nur Syahirah.
“Iman?” ulang Zairiel, berkerut.
“Maksud saya, Daniel Iman,” sebut Nur Syahirah. Membetulkan ayatnya tadi.
“Oh, saya terlupa yang Cik Syira panggil anak saya dengan panggilan Iman.”
“Esok Iman ke taska ke?”
“Insya-Allah. Kenapa?”
“Tak ada apa. Saya cuma rindukan Iman, itu yang call.”
Zairiel hanya mendengar dan mengangguk. Otaknya masih memikirkan sesuatu. Sesuatu berkenaan dengan suara itu.
“Saya nak beritahu pada doktor, kemungkinan esok saya ada program sekolah di luar pekan. Esok, housemate saya akan jaga Iman,” beritahu Nur Syahirah.
“Oh! Kalau macam tu tak mengapalah. Esok biar saya saja yang jaga Danny. Tak perlulah nak susahkan housemate Cik Syira tu,” cadang Zairiel.
“Tak mengapa. Farhana tak kesah. Dia boleh tolong jagakan Iman untuk sehari.”
“Farhana?”
Housemate saya. Namanya Farhana.”
Zairiel hanya mendengar. Otaknya masih lagi ligat berfikir. Farhana? Ulang Zairiel dalam hati. Adakah Farhana….
“Nur Syahirah!” sebut Zairiel, tiba-tiba.
“Ya, saya. Kenapa?” balas Nur Syahirah, spontan.
“Nur Syahirah?” ulang Zairiel semula.
Pantas ditegakkan badan. Jantungnya berdegup dengan kencang. Ada debaran di hati. Tak mungkin dia, bidas Zairiel dalam hati.
“Nur Syahirah nama saya. Kenapa, doktor?” tanya Nur Syahirah, berkerut. Tidak mengesyaki apa-apa.
“Tak.. tak ada apa-apa. Saya teringatkan kawan saya yang bernama Nur Syahirah juga,” dalih Zairiel, tersenyum kelat. Rasa rindu terhadap Nur Syahirah mencengkam diri kala itu.
“Oh, saya ingatkan apa. Kut-kut la, saya ada buat salah dan Iman mengadu pada doktor,” balas Nur Syahirah sambil menarik nafas lega.
“Tak ada. Danny tak pernah mengadu apa-apa pada saya tentang Cik Syira. Saya cuma teringatkan kawan saya. Dah lama saya tak jumpa dengan dia. Hampir enam tahun selepas dia ke luar negara. Saya rindukan dia,” luah Zairiel bernada sebak.
Tersentap Nur Syahirah mendengarnya. Jantung berdegup dengan kencang. Diusap lembut dadanya bagi meredakan degupan itu.
“Nama dia sama seperti nama Cik Syira,” beritahu Zairiel lagi.
“Err… kenapa tak call dia?” tanya Nur Syahirah sekadar ingin tahu.
“Saya tak tahu nombor phone dia. Malah, saya tak tahu di mana dia berada sekarang ni.”
Nur Syahirah hanya mendengar. Adakah lelaki yang sedang bercakap dengannya ketika ini adalah Zairiel? Tak mungkin Zairiel dan mustahil Zairiel, ayah Daniel Iman. Tetapi, kenapa hatinya berdebar-debar tatkala berbual dengan lelaki itu?
“Maaf, Cik Syira. Saya terluah pada Cik Syira pula.”
“Eh, tak mengapa doktor. Saya doakan doktor berjumpa dengan dia nanti.”
“Insya-Allah. Saya terlalu rindukan dia. Kalau saya berjumpa dengan dia semula, saya nak luahkan apa yang terbuku dalam hati saya selama enam tahun ni. Dan saya tak nak menyesal lagi. Cukuplah saya rasa menyesal kerana melepaskan dia pergi dahulu,” cerita Zairiel.
“Insya-Allah. Saya doakan doktor berjaya berjumpa dengan dia nanti.”
“Terima kasih, Cik Syira.”
“Saya letak dulu. Esok, doktor jaga Iman kan?” tanya Nur Syahirah inginkan kepastian.
“A’ah, esok biar saya yang jaga Danny. Lusa, saya hantar ke taska,” balas Zairiel.
“Baiklah! Terima kasih doktor dan assalamualaikum,” pamit Nur Syahirah dan mematikan talian.
“Waalaikumussalam,” jawab Zairiel dan meletakkan telefon bimbit di atas meja.
Kemudian, dihalakan mata ke arah Daniel Iman yang sedang tidur. Dia tersenyum melihat anak kecil itu. Papa akan jaga Danny selagi papa bernyawa. Papa pegang pada janji mama Danny, bisik Zairiel sendirian.


“SO, macam mana?” tanya Farhana seraya duduk.
“Esok, dia jaga Iman,” jawab Nur Syahirah turut sama duduk.
“Oh, baguslah!” balas Farhana, spontan. Matanya tertancap ke screen televisyen yang sedang menayangkan drama di TV3.
“Aku ingat nak balik kampung. Kau fikir macam mana, Hana?” ujar Nur Syahirah.
Tersentak Farhana buat seketika. Dihalakan mata ke wajah Nur Syahirah.
“Aku rindukan keluarga aku. Aku rasa, ada baiknya aku balik ke kampung dan melawat mereka,” sambung Nur Syahirah.
“Syukur alhamdulillah. Akhirnya, terbuka pintu hati kau nak balik kampung dan jumpa dengan mereka. Mesti family kau rindukan kau,” kata Farhana, tersenyum.
“Aku pun rindukan mereka. Aku harap mereka selamat.”
“Insya-Allah, Syira. Aku yakin mereka selamat.”
“Selama enam tahun aku bersembunyi demi menjaga keselamatan mereka. Kali ini, aku dah tak peduli lagi dengan semua tu. Aku nekad nak jumpa dengan family aku.”
“Baguslah Syira. Aku akan sokong kau.”
“Cuma, kadang-kala aku terfikir, kenapa aku yang dipilih? Aku tak pernah berniat untuk merampas hak sesiapa. Aku tak pernah kemaruk dengan harta sesiapa. Apa yang aku tak boleh terima, bila keluarga aku terlibat sama dalam masalah ini. Demi keselamatan mereka, aku terpaksa lakukannya walaupun hati aku membentak hebat.”
“Aku pun sama juga, Syira. Aku tak faham, kenapa kau yang jadi mangsa?”
“Aku sedar, Hana. Aku sedar siapa diri aku yang sebenar,” ujar Nur Syahirah, lemah.
“Kau layak untuk dia. Cuma, kau terlewat untuk luahkan segala-galanya pada dia,” bidas Farhana.
Tidak mahu Nur Syahirah berasa rendah diri. Nur Syahirah layak untuk mendapat kebahagiaan yang diinginkan.
“Macam mana keadaan keluarga aku sekarang? Pasti mereka turut rasa dengan apa yang aku rasa sekarang ini.”
“Aku pasti mereka rindukan kau.”
Nur Syahirah hanya mengangguk. Senyuman hambar terbias di wajah. Matanya memandang ke screen televisyen. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar keluarganya hidup bahagia dan dijauhi daripada orang-orang yang berniat tidak baik kepada keluarganya.
“Eh, kau nak tahu tak Syira? Semalam, aku dengar klinik kat pekan tu dah beroperasi,” cerita Farhana sedikit teruja.
“Klinik yang Kak Tipah cakapkan tu ke? Klinik milik ayah Daniel Iman?”
“A’ah, klinik ayah Daniel Iman. Apa kata sekali-sekala kita ke sana, nak tak Syira?”
“Hisy, buat apa nak ke sana kalau tak sakit.”
“Ala, tak salahkan kalau kita melawat. Lagipun, aku dengar klinik tu caj murah sikit dari klinik yang sedia ada kat pekan tu.”
“Hurm, tunggu aku sakit baru kita ke sana.”
“Kau ni Syira, ada ke cakap macam tu. Minta sakit pulak.”
“Kita sebagai manusia, kenalah sentiasa beringat. Sakit tu, bila-bila pun kita boleh dapat kalau Allah mengkehendakkan itu berlaku,” kata Nur Syahirah bingkas bangun.
“Memang la. Tapi, jangan sampai kita mendoakannya,” balas Farhana, tegas.
“Aku masuk bilik dulu la. Dah mengantuk. Lagipun, esok aku nak berjalan jauh.”
“Herm,” balas Farhana, pendek.
Nur Syahirah membawa langkah menuju ke bilik. Rasa mengantuk menguasai diri.
“Syira, mimpikan ayah Daniel Iman tau,” usik Farhana, tiba-tiba.
Terhenti langkah Nur Syahirah mendengarnya. Wajah sengihan Farhana ditatap. Tanpa membalas, pintu bilik ditutup rapat. Berharap, tidur malamnya selena seperti malam sebelum ini.
Farhana ketawa kecil. Dia bingkas bangun dari duduk dan menekan suis off televisyen. Jauh di sudut hati, dia bersyukur dengan perubahan Nur Syahirah.



9 ulasan:

  1. Semakin memarik jalan cerita stm ne , huhu , tk ley lepasla , cm byk jep kisah silam antara zairiel dgn syahirah 2 ,, ad misteri y tk terungkai lgy ,dgn si danny y manje dgn ayahnya ,,biya y berdebar time zairiel sbt name syahirah ,hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Thanks biya coz terjah blog akak ni. Nantikan bab seterusnya.

      Padam
  2. xde smbungan ke.. dh lma trnnt2 ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi singgah. Insya-Allah, akan disambung nanti.

      Padam