Sabtu, 15 November 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 18





“INI airnya, doktor,” ujar Sakinah sambil meletakkan segelas air di atas meja.
“Terima kasih, Kak Kinah,” ucap Zairiel, tersenyum.
“Doktor ada nak apa-apa lagi ke?”
“Masih ada pesakit lagi, Kak Kinah?”
“Buat masa sekarang ni, tak ada. Cuma ada seseorang nak jumpa dengan doktor,” beritahu Sakinah sambil tersenyum penuh makna.
“Siapa?” tanya Zairiel seraya mengangkat wajah. Senyuman Sakinah menyapa mata.
“Nur Syahirah!” beritahu Sakinah.
Tersentak Zairiel mendengarnya. Dikerling jam di dinding. Masa baru merangkak ke angka sepuluh pagi. Apa yang Nur Syahirah buat di kliniknya? Nur Syahirah tidak mengajar ke hari ini? Kenapa Nur Syahirah ingin berjumpa dengannya? Pelbagai persoalan menerjah fikiran.
“Doktor… doktor…” panggil Sakinah. Sedari tadi dia memandang Zairiel. Seakan ada perkara yang sedang difikirkan oleh Zairiel.
“Suruh dia masuk!” arah Zairiel.
Sakinah mengangguk dan melangkah keluar dari bilik. Senyuman masih lagi terbias di wajah. Geli hati juga melihat riak di wajah Zairiel sebentar tadi.
Zairiel membetulkan duduk. Berdebar-debar dirasai ketika ini. Disentuh lembut dadanya yang sedang bergetar hebat. Lagak seperti baru pertama kali berjumpa dengan Nur Syahirah. Adakah disebabkan peristiwa seminggu yang lepas membuatkan dia berasa kekok sebegitu? Peristiwa dia mengucup bibir Nur Syahirah. Senyuman terbias di wajah dengan tiba-tiba.
“Ehem… ehem…” Nur Syahirah berdehem.
Sedari dia masuk, Zairiel dilihat seakan mengelamun.Tidak menyedari akan kehadirannya di dalam bilik itu.
Tersentak Zairiel dek kerana deheman itu. Semakin laju jantungnya berdegup tatkala terpandangwajah Nur Syahirah.
“Boleh saya duduk?” tanya Nur Syahirah.
“Haaa… duduk? Boleh… boleh… duduklah!” balas Zairiel, terketar-ketar.
Serba tak kena ketika ini. Pandangan Nur Syahirah turut menambah debaran di dada. Seperti baru pertama kali mereka berjumpa.
Nur Syahirah melabuhkan duduk di kerusi. Matanya memerhati sekeliling bilik Zairiel. Selama Zairiel membuka klinik di pekan itu, baru kali ini dia menjejakkan kaki ke klinik Zairiel. Kagum dia melihat susun atur di dalam bilik itu. Sejak dari dulu lagi Zairiel seorang yang menitik berat tentang kesempurnaan.
“Ehem… ehem…” Kali ini Zairiel pula yang berdehem. Matanya ralit menatap tingkah laku Nur Syahirah yang sedang memerhati segenap ruang dalam bilik itu.
“Maaf!” ujar Nur Syahirah.
It’s okey!” balas Zairiel, tersenyum.
Nur Syahirah tersenyum paksa. Beg tangan dibuka lalu mengeluarkan sebuah kotak baldu berwarna merah. Diletakkan di atas meja di hadapan Zairiel.
“Apa ni?” tanya Zairiel, berkerut.
“Saya pulangkan pada awak. Saya tak dapat terima,” beritahu Nur Syahirah.
Zairiel mencapai kotak baldu itu lalu membukanya. Cincin dari dalam kotak dikeluarkan dan menatap cincin itu.
“Cincin ni….”
“Awak serahkan pada mak dan ayah saya tidak lama dulu. Sekarang, saya serahkan semula pada awak. Awak berhak dapat yang lebih sempurna daripada saya,” kata Nur Syahirah bingkas bangun dari duduk. Bersedia untuk beredar dari bilik itu.
“Syira…” tahan Zairiel. Dia bingkas bangun dan menarik lengan Nur Syahirah agar tidak beredar dari bilik itu.
Nur Syahirah meronta untuk dilepaskan.
“Saya tetap nak memperisterikan awak.” Tegas Zairiel bersuara. Dieratkan lagi genggaman di lengan Nur Syahirah.
“Saya dah kahwin, Zairiel.” Nur Syahirah membalas dengan tegas. Ditarik lengannya dari genggaman Zairiel. Namun, Zairiel mengemaskan lagi genggaman di lengan.
“Buktikan pada saya yang awak dah kahwin. Tunjukkan pada saya kad nikah awak.”
Nur Syahirah menelan liur. Bagaimana untuk membuktikan kepada Zairiel semua itu jika perkahwinan tidak pernah berlaku?
“Kenapa? Awak bohong, kan?” tanya Zairiel ketawa kecil.
“Saya akan buktikan pada awak.” Tegas Nur Syahirah. Tidak mahu mengalah.
So, mana buktinya? Tunjukkan pada saya yang awak dah kahwin. Kalau betul awak dah kahwin, saya janji yang saya takkan ganggu awak lagi.”
Nur Syahirah mengerahkan otaknya berfikir. Mencari jalan untuk membuktikan yang dia sudah pun berkahwin. Jika dia tidak berbuat begitu, Zairiel pasti akan mengganggu hidupnya.
“Saya takkan berputus asa pikat awak. Sejak awak pergi dari hidup saya, saya nekad yang saya akan pikat awak bila saya jumpa dengan awak semula. Ini janji saya, Syira. Janji yang saya buat di hadapan arwah Kak Zafira,” terang Zairiel. Masih tegas. Wajah Nur Syahirah ditatap.
Nur Syahirah tidak mengendahkan kata-kata Zairiel. Dilarikan wajah daripada ditatap Zairiel. Matanya terpandang Nazry. Serta-merta ditarik lengannya dari pegangan Zairiel dan melangkah keluar dari bilik.
Zairiel sedikit tersentak dengan tingkah laku Nur Syahirah. Dia segera keluar dari bilik dan menghampiri Nur Syahirah dan Nazry.
“Ini… ini… suami saya. Betulkan abang. Kita dah lama kahwin,” perkenal Nur Syahirah tatkala Zairiel berada di hadapannya.
Nazry yang sedikit terpinga-pinga sekadar mengangguk. Berkerut dahinya memikirkan tingkah laku Nur Syahirah. Belum pernah lagi dia melihat Nur Syahirah sebegitu. Malah genggaman tangan Nur Syahirah ke tangannya menambahkan rasa terkejut.
Zairiel yang mendengar ketawa. Geli hati mendengar kata-kata Nur Syahirah.
“Kenapa? Awak tak percaya?” tanya Nur Syahirah. Sakit hatinya mendengar ketawa Zairiel. Adakah Zairiel tidak mempercayainya?
“Awak perlu cari pelakon lain untuk berlakon jadi suami awak, Nur Syahirah Binti Nazim. Awak jangan ingat saya tak kenal dengan Nazry. Nazry salah seorang pesakit saya di klinik ni dan sudah pastilah latar belakang Nazry ada dalam simpanan saya,” jelas Zairiel. Masih lagi ketawa.
Nur Syahirah menelan liur. Dileraikan genggaman di tangan Nazry dan beredar dari situ. Disandarkan badan ke dinding setibanya di belakang klinik sambil cuba menahan perasaan malu. Malu! Itulah yang dirasai ketika ini. Ternyata, lakonannya sebentar tadi mengenai batang hidungnya sendiri.
Nur Syahirah memejamkan mata. Distabilkan pernafasan sambil cuba meredakan jantung yang sedang berdegup dengan kencang. Tersentak dia buat seketika tatkala merasai tangannya ditarik seseorang. Pantas dia membuka mata dan wajah Zairiel hampir ke wajahnya.
“Sudikah Nur Syahirah Binti Nazim menjadi isteri Zairiel Iqwan Bin Zahrin,” lamar Zairiel penuh romantis. Disematkan cincin di jari manis Nur Syahirah berserta senyuman manis.
Nur Syahirah membiarkannya sahaja. Matanya mengekori tingkah laku Zairiel. Cincin yang sudah tersemat kemas di jari manisnya ditatap.
“Sudikah Nur Syahirah menjadi suri di hati Zairiel Iqwan sehingga nafas terakhir nanti,” suara Zairiel lagi. Dikucup cincin yang tersemat di jari manis Nur Syahirah.
Nur Syahirah hanya membisu. Kelu lidahnya untuk bersuara. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Zairiel?


“YANG kau tenung cincin tu lama-lama, kenapa? Kau dah terima lamaran dia, redha ajelah,” tegur Farhana sambil melabuhkan duduk di sofa.
“Zairiel sayang dan cintakan kau. Dah jodoh kau dengan dia, Syira.”
“Aku tak boleh nak terimanya. Kau sendiri tahu keadaan dan kedudukan aku sekarang ni,” beritahu Nur Syahirah.
“Keadaan dan kedudukan apa yang kau maksudkan ni?”
“Mak, ayah dan adik aku.”
“Kenapa kau perlu risaukan mereka? Kau sendiri beritahu pada aku yang selama ini ayah kau cuba siasat siapa dalang pada kisah kau enam tahun yang lepas.”
Masih terngiang-ngiang di cuping telinga akan perkhabaran itu. Sehari selepas Nur Syahirah pulang dari kampung, segala-galanya telah dicerita oleh kawannya itu. Tidak menjadi sebab dan kenapa Nur Syahirah perlu menolak lamaran Zairiel.
“Aku bukan gadis lagi. Kalau dia dapat tahu pasal ni, tentu dia akan bencikan aku dan takkan terima aku sebagai isteri dia,” adu Nur Syahirah berserta keluhan berat.
“Biarlah kalau dia tahu yang kau bukan gadis lagi. Sepatutnya dari dulu lagi dia perlu tahu tentang ni. Tentang Sarah Imani.” Farhana berkata tegas.
Kenapa perkara itu dijadikan alasan oleh Nur Syahirah untuk menolak lamaran Zairiel?
“Tak semudah itu. Dia takkan percaya kalau aku beritahu perkara yang sebenar. Mungkin dia akan tuduh aku yang bukan-bukan nanti.” Nur Syahirah menyuarakan kegusarannya. Sedari siang tadi, hatinya kurang enak selepas Zairiel melamarnya.
Farhana mengeluh ringan. Sukar untuk membidas kata-kata Nur Syahirah. Pasti ada jawapan yang Nur Syahirah berikan dan jawapan itu seakan logik di pemikirannya.
“Aku nak pulangkan cincin ni pada dia. Aku nak tolak lamaran dia,” suara Nur Syahirah seraya menarik cincin daripada jari manisnya.
“Syira… kau cubalah dulu. Mana tahukan kau bahagia. Aku yakin, Zairiel takkan salahkan kau kalau kau berterus-terang tentang perkara tu. Zairiel akan lindungi kau serta keluarga kau.” Farhana memberi pendapat. Berharap, Nur Syahirah mendengar pendapatnya itu.
“Aku yakin kami takkan bahagia. Sejak dari dulu lagi ada yang tak suka dengan keakraban kami berdua. So, kalau aku berkahwin dengan dia tak mustahil perkara yang sama akan berlaku,” kata Nur Syahirah. Masih berusaha menanggalkan cincin daripada jari manisnya.
“Kenapa susah sangat nak keluarkan cincin ni?” rungut Nur Syahirah. Masih mencuba.
Tergelak Farhana mendengar dan melihatnya.
“Itu tandanya kau terpaksa juga kahwin dengan dia. Cincin tu macam faham-faham aje apa yang aku cakapkan tadi. Bukan macam kau, tak tahu nak menghargai peluang langsung!”
Nur Syahirah mendengus ringan. Sakit telinganya mendengar kata-kata Farhana. Dia masih mencuba untuk menarik keluar cincin itu. Namun, usahanya sia-sia sahaja. Cincin itu tetap tidak dapat dikeluarkan daripada jari manisnya.
“Sudah-sudahlah Syira. Kau tetap tak dapat keluarkan cincin tu. Terimalah kenyataan yang kau bakal berkahwin dengan lelaki yang kau cintai selama ini,” ujar Farhana, tergelak. Gelengan kecil diberikan kepada kawan baiknya itu.
Nur Syahirah tidak membalas. Sedaya upaya dia menarik cincin itu. Hampa! Itulah yang dirasai ketika ini.
“Sudahlah, Syira. Dah lebam jari kau tu aku tengok,” tegur Farhana tatkala terpandang kesan lebam di jari Nur Syahirah.
“Aku tetap nak tanggalkannya!” Tegas Nur Syahirah bersuara.
Farhana menggelengkan kepala. Kedegilan Nur Syahirah sukar untuk dilawan.
Bunyi lagu dari arah telefon mengejutkan mereka berdua. Masing-masing menghalakan mata ke arah telefon yang terletak berhampiran dengan televisyen. Farhana bingkas bangun dari duduk dan mencapai telefon bimbit yang masih berbunyi lagu. Dia tersenyum tatkala nama Zairiel tertera di screen telefon bimbit Nur Syahirah.
“Siapa?” tanya Nur Syahirah.
“Bakal suami kau!” jawab Farhana seraya menghulurkan telefon bimbit. Senyuman penuh makna diberikan kepada kawan baiknya itu.
Nur Syahirah mencebik meluat. Tangannya membalas huluran Farhana. Kenapa Zairiel menelefonnya malam-malam begini? Tak boleh tengok orang senang sikit! Rungut Nur Syahirah dalam hati dan mendengus geram.
“Hai, marah ke?” tegur Farhana tatkala terdengar dengusan dari arah Nur Syahirah.
“Tak baik marah-marah pada bakal suami. Tak cium bau syurga nanti,” usik Farhana pula dan menapak laju menuju ke bilik.
Sengaja mengusik Nur Syahirah. Sekadar menduga perasaan Nur Syahirah terhadap Zairiel. Adakah Nur Syahirah masih mencintai Zairiel?
Nonsense!” cebik Nur Syahirah berserta dengusan kasar untuk kesekian kali.
“Syira… angkat phone call tu cepat. Jangan biarkan encik abang kau tu tunggu lama. Cukuplah enam tahun dia tunggu kau. Kesiankanlah dia!” laung Farhana dari dalam bilik. Pecah ketawanya sehabis sahaja berkata begitu.
“Farhana!” jerit Nur Syahirah sedikit meninggi.
Sakit hatinya mendengar suara ketawa Farhana dari arah bilik.
“Tak ada maknanya!” rengus Nur Syahirah pula.
Farhana masih lagi ketawa. Pintu bilik ditutup rapat. Memberi ruang peribadi kepada Nur Syahirah. Semoga terbuka pintu hati Nur Syahirah untuk menerima Zairiel seikhlas hati.
Nur Syahirah menatap nama Zairiel di screen telefon. Untuk kali yang ketiga Zairiel menghubunginya. Sebentar tadi, hatinya berkira-kira untuk menjawab panggilan Zairiel. Debaran di dada sukar untuk diredakan. Nafas ditarik dan melepaskannya lembut. Perlahan-lahan jarinya menekan butang hijau dan melekapkan telefon ke telinga.
“Assalamualaikum,” sapa Nur Syahirah, kemudian.

Tika kita bersua hati mula tergoda
Payah nak dilupakan walau seketika
Tidak pernah terduga cinta mula berputik
Bagai kan tak percaya aku jatuh hati

Kaulah kekasih yang amat ku sayang
Andai tidak bersua pastinya ku merindu
Kerana hati dah tertawan
Kerana cinta dah terbina
Yang pasti kini
Hanya kau saja bertahta di hati ini
Kan ku sunting diri mu sayang
Kan ku bina istana cinta
Kau kekasih ratu hatiku selama-lamanya

Kaulah kekasih yang amat ku sayang
Andai tidak bersua pastinya ku merindu
Kerana hati dah tertawan
Kerana cinta dah terbina
Yang pasti kini
Hanya kau saja bertahta di hati ini
Kan ku sunting diri mu sayang
Kan ku bina istana cinta
Kau kekasih ratu hatiku selama-lamanya

Hati usah diduga hanya mengundang resah
Cinta di hati ini hanyalah untukmu
Kau kesayanganku penyeri hidup ini
Haruman kasihmu melekat di jiwa

I love you, Nur Syahirah!” lafaz Zairiel sehabis sahaja menyanyikan lagu ‘Kau Kesayanganku’ dari Kumpulan Screen.
Nur Syahirah hanya membisu dan mendengar. Alunan lagu yang dinyanyikan oleh Zairiel begitu menusuk ke tangkai hati. Bait-bait lirik lagu itu menyampaikan maksud yang tersirat.
“Kau kekasih ratu hatiku selama-lamanya,” suara Zairiel, tersenyum.
Rasa malu menumpang di hati. Jika Nur Syahirah di hadapan ketika ini, pasti Nur Syahirah dapat mengesani riak di wajahnya. Belum pernah lagi menyanyikan lagu buat seorang gadis. Malah, ketika bercinta dengan Maisarah suatu ketika dahulu pun dia tidak bertingkah laku sebegitu. Nur Syahirah, gadis pertama yang membuat dia berjiwang karat. Dia tersengih memikirkan semua itu.
“Selamat malam!” ucap Nur Syahirah dan mematikan talian.
Tersentak Zairiel dengan tingkah laku Nur Syahirah. Kenapa Nur Syahirah bertingkah laku sebegitu? Adakah luahannya tadi tidak memberi apa-apa makna kepada Nur Syahirah?


1 ulasan: