Isnin, 9 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 6






“MANA dia ni?” keluh Zafira, sendirian.
Jam di pergelangan tangan dikerling buat seketika. Peluh dingin yang membasahi dahi diseka dengan sehelai tisu. Hampir satu jam dia menanti Iqwan di situ. Namun, bayang Iqwan tidak juga muncul-muncul.
“Dia ni datang ke tidak?” soal Zafira kepada dirinya sendiri.
Beg kertas yang dipegang ditatap berserta senyuman di bibir. Beg berisi makanan yang dimasak sendiri khas buat Iqwan. Bersungguh dia memasak dan belum pernah lagi dia berbuat begitu kepada seorang lelaki. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Adakah Iqwan tidak jadi datang ke Tasik Shah Alam ini?
“Baik aku call dia. Mana la tahukan dia terlupa ke apa.” Zafira berkata sekadar untuk menyedapkan hati sendiri.
Lantas, telefon bimbit dikeluarkan dari dalam beg tangan. Nombor Iqwan dicari lalu mendailnya. Menanti panggilan berjawab.
“Awak….” Zafira mematikan ayat tatkala talian diputuskan.
Dia mendail sekali lagi. Namun hampa tatkala suara operator yang menyapa gegendang telinga. Keluhan dilepaskan untuk kesekian kali. Kenapa Iqwan tidak menjawab panggilannya? Adakah Iqwan sibuk ketika ini?
“Hurm, baik aku ke office dia,” cadang Zafira pula.
Ada baiknya dia menelefon Aqil dan bertanyakan di mana pejabat Iqwan. Setelah beberapa minit berbual, laju dibawa langkahnya menuju ke kereta. Tidak sabar untuk berjumpa dan memberi makanan itu kepada Iqwan.


“SIAPA?” tanya Khairil, berminat.
“Minah sengal!” jawab Iqwan sambil mendengus kasar.
“Zafira?”
“Siapa lagi kalau bukan dia?”
“Dia nak apa?”
“Ajak jumpa kat tasik.”
“Habis tu? Kenapa kau tak pergi?”
“Yang kau macam polis pencen ni, kenapa?”
Khairil tergelak. Wajah ketat Iqwan ditatap.
“Macam mana la aku boleh berjumpa dengan makhluk macam minah sengal tu,” rungut Iqwan pula. Dilabuhkan duduk di sofa dan berpeluk tubuh di situ.
“Dah takdir kau nak berjumpa dengan dia. Kau tak boleh nak menolak takdir.”
Iqwan merengus lagi. Kata-kata Khairil menyakitkan hati.
“Tak baik kau buat macam ni, Wan. Cuba kau letakkan diri kau di tempat dia, macam mana? Mesti kau akan rasa macam mana dia rasa. Tak salah kalau kau cuba berkenalan dan berkawan dengan dia.”
“Aku tak suka perempuan gedik macam dia.”
“Bila masa pulak dia gedik? Aku tengok okey saja. Cara dia tu bukannya gedik tapi manja,” jelas Khairil lalu menggeleng kecil.
“Ah! Aku tetap tak suka. Tak malu. Perigi cari timba,” cebik Iqwan pula.
Khairil menghela nafas ringan. Wajah cebikan Iqwan ditatap. Kenapa begitu sekali Iqwan membenci Zafira? Apa yang tidak kena tentang Zafira di mata Iqwan? Adakah disebabkan perangai Zafira maka Iqwan membencinya?
“Cik… cik tak boleh masuk!” tegur Haniza sambil menahan Zafira.
Tersentak Iqwan dan Khairil mendengarnya. Dihalakan mata masing-masing ke wajah Haniza dan Zafira.
“Maaf, Encik Iqwan. Saya tak sempat nak tahan….”
It’s okey, Haniza. Awak boleh keluar,” pintas Khairil, tersenyum.
Haniza mengangguk faham. Dia beredar dari bilik itu. Nafas lega dilepaskan.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Iqwan, keras.
Zafira tersenyum. Dihampiri Iqwan yang sedang duduk di sofa.
“Untuk awak!” hulur Zafira kemudian.
Berkerut dahi Iqwan melihatnya. Beg kertas apa yang dihulurkan oleh Zafira?
“Aku keluar dulu. Apa-apa nanti, beritahu aku,” sampuk Khairil, tiba-tiba.
Rasa kurang elok berada di situ. Biarlah Iqwan menyelesaikan masalahnya sendiri.
“Khai!” panggil Iqwan.
Namun, panggilannya tidak diendahkan oleh Khairil. Kawannya itu sudah pun keluar dari bilik. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Satu jam saya tunggu awak kat tasik. Kenapa awak tak datang? Awak sibuk ya?” ujar Zafira sambil melabuhkan duduk. Beg kertas yang tidak bersambut diletakkan di atas meja.
Iqwan tidak membalas. Matanya memerhati tingkah laku Zafira.
“Tapi tak apalah kalau awak sibuk. Saya faham,” sambung Zafira. Wajah Iqwan ditatap mesra. Senyuman masih terukir di bibir.
“Kau nak apa sebenarnya ni?” tanya Iqwan, laju. Malas untuk melayan Zafira.
“Nak bagi tu saja. Nanti awak makan ya. Saya masak sendiri khas untuk awak,” beritahu Zafira sambil menolak beg kertas berisi bekas makanan menghampiri Iqwan.
Iqwan sekadar berdehem. Rasa rimas berada di dalam bilik bersama Zafira.
“Kau nak apa lagi?” tanya Iqwan, serius.
Zafira tidak membalas. Wajah Iqwan diperhati penuh minat. Sejuk matanya memandang wajah itu. Walaupun riak kelat yang sering terlukis di wajah Iqwan, dia tidak peduli itu semua. Apa yang pasti, Iqwan bakal suaminya dan dia perlu melayan Iqwan sebaik mungkin.
“Hujung minggu ni awak free tak? Saya nak ajak awak datang ke rumah. Makan malam bersama,” beritahu Zafira, tersenyum.
“Aku tak senang,” balas Iqwan, beralasan.
“Ala… boleh la. Hujung minggu ni datang ke rumah saya.”
“Aku tak senang. Kau tak faham bahasa ke?”
Pleasepleaseplease… hujung minggu ni saja. Lepas tu saya tak ajak awak dah,” pujuk Zafira penuh mengharap. Dia mempamerkan wajah simpati.
Iqwan merengus. Wajah Zafira ditatap benci. Permintaan Zafira sungguh menyesakkan fikiran. Perlukah dia bersetuju dengan permintaan Zafira itu?
Please…” rayu Zafira pula.
“Nanti aku beritahu kau. Kalau kau tak ada apa-apa lagi, kau boleh balik tak? Aku ada kerja nak buat,” arah Iqwan bingkas bangun.
“Baiklah! Saya balik dulu. Maaf sebab ganggu awak. Tapi, saya harap awak setuju dengan permintaan saya tadi,” balas Zafira turut sama bangun.
Iqwan menarik nafas lega. Nasib baik kau nak blah. Kalau tidak, aku yang blah, bisik hati Iqwan. Matanya memandang wajah Zafira.
“Jangan lupa makan tau. Saya masak untuk awak,” pesan Zafira sebelum beredar dari bilik itu. Senyuman diberikan kepada Iqwan.
Iqwan hanya memandang. Beg kertas yang terletak di atas meja dicapai lalu mengintai isi di dalamnya. Dikeluarkan lalu menatap bekas makanan tersebut.
“Dia ingat aku terharu la dengan apa yang dia buat ni. Tak ada maknanya,” cebik Iqwan.
Dibawa langkah keluar dari bilik menuju ke tempat Haniza. Beg kertas berisi bekas makanan diserahkan kepada setiausahanya itu.
Ikutkan hati, mahu sahaja dia membuang makanan itu ke dalam tong sampah. Tetapi dia masih ada sifat kemanusiaan dan mustahil dia akan melakukannya jika melibatkan makanan.


AQIL mengeluh untuk kesekian kali. Masalah di kepala semakin memberat. Bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu? Rasa kasihan menyerbu di hati. Risau dan khuatir turut menumpang sama. Perlukah dia berterus-terang kepada Zafira perkara yang sebenar? Jika dia berterus-terang, adakah Zafira akan menerima?
“Abang!” tegur Amylia, tiba-tiba.
Aqil tersentak. Dihalakan mata ke arah Amylia yang sedang menapak masuk ke dalam bilik. Senyuman diberikan kepada isterinya itu.
“Termenung saja Amy tengok dari tadi, kenapa?” tanya Amylia, prihatin.
“Zafira!” sebut Iqwan, sepatah.
“Zafira? Kenapa dengan Fira?”
“Abang rasa, kita dah buat keputusan yang salah. Abang tak sepatutnya mengiyakan kenyataan Zafira hari tu.”
Amylia melabuhkan duduk di birai katil. Gelengan kecil diberikan kepada suaminya itu.
“Ada baiknya kita berterus-terang. Abang takut…”
“Apa kata abang berbincang dengan Iqwan dulu macam mana.”
“Bincang? Maksud Amy?”
“Pasal Fira. Lamar Iqwan untuk Fira.”
“Lamar Iqwan? Dah terbalik agaknya dunia ni. Manalah boleh perempuan melamar lelaki?” Aqil menafikan. Kepala menggeleng laju.
“Bukan itu maksud Amy. Abang berbincang dengan Iqwan tentang Zafira. Abang beritahu dia kesemuanya tentang Zafira. Then, apa kata Iqwan tentang Zafira?” cadang Amylia.
Aqil berfikir sejenak. Otaknya cuba merencanakan cadangan Amylia.
“Kita nak rapatkan hubungan mereka berdua. Fira dah sukakan Iqwan. So, kita kena buat Iqwan sukakan Fira,” sambung Amylia. Wajah suaminya ditatap.
“Abang tak rasa yang Iqwan berminat nak tahu tentang Fira. Abang dapat rasa yang Iqwan tak sukakan Fira. Pandangan Iqwan pada Fira hanya pandangan benci,” jelas Aqil berserta keluhan ringan. Diraup sekali wajahnya itu.
“Tak salah kalau kita mencuba. Amy tengok, Fira sukakan Iqwan dan Fira akan berusaha untuk mendapatkan cinta Iqwan. Abang dah lupa dengan apa yang Fira pernah lakukan dahulu?”
“Abang tak pernah lupa Amy dan abang takkan lupakannya. Abang tak sampai hati nak  tengok Fira kecewa dan terluka lagi,” keluh Aqil.
Itulah yang dirisaukannya selama ini. Kecewa. Ya, kecewa. Disebabkan kecewa, Zafira berubah sikap. Adiknya suka menyendiri. Kurang bergaul dengan kenalan. Malah, Zafira mengalami kemurungan akibat pemergian ayah mereka. Perubahan Zafira ketika itu sedikit sebanyak menjentik tangkai hatinya.
Pelbagai usaha dilakukan demi mengembalikan Zafira. Berkat usaha dan sokongan, adiknya itu kembali ceria dan gembira. Dia tidak mahu Zafira kecewa sekali lagi. Kebahagiaan Zafira adalah segala-galanya. Maka dari itu, dia sanggup melakukan apa-apa sahaja demi Zafira.
“Kalau abang tak boleh nak bincang dengan Iqwan, biar Amy saja yang bincang dengan dia,” ujar Amylia, tersengih.
Bulat mata Aqil mendengarnya. Wajah sengihan isterinya ditatap.
“Amy gurau saja,” sambung Amylia tatkala menyedari riak di wajah Aqil.
Aqil ketawa kecil. Sengaja Amylia menduga perasaannya.
“Nanti abang cuba bincang dengan Iqwan. Abang harap, Iqwan dapat terima permintaan kita nanti,” kata Aqil kemudian.
Amylia sekadar mengangguk dan tersenyum. Tangan suaminya ditarik lalu menggenggamnya erat. Semoga Allah permudahkan urusan mereka, doa Amylia dalam hati.


“KAU buat apa?” tegur Izreen sambil tertinjau-tinjau.
“Hisy… apa ni? Masuk bilik orang tak ketuk dulu,” bentak Zafira, keras. Tangannya menutup kertas putih yang ditulis sebentar tadi.
“Aku dah ketuk. Kau tu yang pekak.”
“Iya ke? Kenapa aku tak dengar?”
“Telinga kau tu ada masalah. Baik kau pergi check.”
Zafira tersengih. Matanya memerhati tingkah laku Izreen yang sedang melabuhkan duduk di birai katil.
“Macam mana?” mulai Izreen.
“Macam mana apa?” ulang Zafira, berkerut.
“Misi memikat kau tu la.”
“Oh! Eh, mana boleh beritahu. Tak surprise la nanti.”
“Ala, takkan dengan aku pun kau nak berahsia? Kita kan kawan.”
Zafira membetulkan duduk. Gelengan diberikan buat kawan baiknya itu.
“Yalah, kalau dah dasar kedekut tu… kedekut la juga, kan?” cebik Izreen, meluat.
Tergelak Zafira mendengarnya. Diserahkan kertas putih yang ditulis sebentar tadi kepada Izreen. Tidak ada rahsia di antara mereka berdua.
Izreen tersenyum. Itulah Zafira yang dikenalinya dari dulu sehingga ke hari ini. Tidak berahsia dan mudah simpati.
“Kau jangan gelakkan aku. Baca saja!” amaran Zafira, keras.
Izreen tidak membalas. Matanya meneliti bait-bait tulisan di dalam kertas itu. Seminit kemudian, terhambur ketawa daripada bibir.
“Reen!” tegur Zafira, keras.
“Okey… okey… sorry. Aku terkejut dengan apa yang kau tulis ni,” kesal Izreen seraya menghulurkan kertas sehabis sahaja membacanya.
“Ini saja yang aku terfikir. Kalau esok lusa aku terfikir lagi aku tambahlah kat bawah ni,” beritahu Zafira, tersenyum.
“Soalan aku sekarang ni, kau nak buat semua tu ke?” soal Izreen, ingin tahu.
Zafira membaringkan tubuh ke atas katil. Senyuman terbias di wajah.
“Fira, aku tanya ni. Kau nak buat semua tu ke?” ulang Izreen pada pertanyaannya tadi. Dia segera naik ke atas katil dan berbaring di sisi Zafira.
“Aku akan cuba buat. Aku dah tanya pada pak cik google. Bagaimana cara nak pikat lelaki?” beritahu Zafira masih tersenyum.
“Boleh percaya ke kat pak cik google kau tu?”
“100%!”
“Kalau semua tu tak menjadi, macam mana?” Izreen bertanya. Sekadar menduga perasaan Zafira. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Aku guna cara lain pulak.” Selamba Zafira menjawab. Dia yakin akan firasat di hati.
Izreen mengeluh ringan. Matanya menatap wajah tersenyum Zafira.
“Kau tahu tak, apa yang buatkan aku suka kat dia?” ujar Zafira kemudian.
“Apa dia?” tanya Izreen, berminat.
“Mata dia. Aku suka tengok mata dia. Sebab mata dialah aku jatuh cinta,” jujur Zafira.
“Hitrik Roshan!”
Zafira mengangguk. Mengiyakan kata-kata Izreen.
“Sebab yang sama?”
“Dia lain dan Iqwan lain.”
Izreen menghela nafas ringan. Ingatannya memutarkan semula pada peristiwa dua tahun yang lepas. Wajah lelaki yang dicintai Zafira dahulu meniti di tubir mata.
“Apa khabar dia sekarang?” tanya Zafira, perlahan.
Izreen tersentak. Dihalakan mata ke wajah Zafira.
“Mesti dia dah kahwin, kan Reen. Pasti isteri dia lebih cantik daripada aku. Pasti isteri dia lebih sempurna daripada aku,” luah Zafira, sebak.
“Fira…”
“Aku okey. Kau janganlah risau. Tiba-tiba saja nama lelaki tu meniti di benak hati aku.”
“Sebab itu aku kurang setuju dengan rancangan kau ni. Aku tak nak kau alami peristiwa yang sama,” bisik Izreen kepada dirinya sendiri.
“Apa kau cakap?” tanya Zafira tatkala mendengar bisikan Izreen.
“Eh, tak ada apa-apa. Aku balik bilik dululah. Dah mengantuk!” ujar Izreen bingkas bangun dari pembaringan.
Zafira sekadar mengangguk. Matanya menghantar pemergian Izreen. Kemudian, dia bangun dari pembaringan lalu mencapai diari dari atas meja. Dipeluk diari itu buat seketika dan tersenyum.
“Aku tahu dia tak sukakan aku, Reen. Tapi, aku akan cuba buat dia sukakan aku,” kata Zafira kepada dirinya sendiri.
Dicapai pen dan membuka muka surat bertarikh hari ini. Kertas putih yang ditulisnya sebentar tadi ditatap.
“Walau apa pun, aku akan cuba pikat dia sehinggalah aku berputus asa,” sambung Zafira.
  
Dear My Dream Husband,

Saya tahu awak tak sukakan saya. Tapi, saya akan cuba buat awak jatuh cinta dengan saya. Itu janji saya selepas saya jatuh cinta kepada awak.

                                        Your future wife - NZS

Selesai mencoret, Zafira meletakkan diari di atas meja semula. Dipejamkan mata sambil cuba menidurkan diri sendiri. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini, doa Zafira dalam hati. 


Terima kasih

Tiada ulasan:

Catat Komen