“LARI!!! Lari cepat!!! Lari!!!” jerit Shafiq
Akmal dari kejauhan sambil berlari. Jantungnya berdegup kencang. Sesekali dia
menoleh ke belakang. Beberapa orang lelaki sedang mengejarnya.
“Lari!!! Lari cepat!!!” suruh Shafiq
lagi. Dia terdorong ke belakang tatkala tubuhnya ditarik kasar oleh seseorang.
“Shafiq!!!” panggil Iman tatkala
terlihat Shafiq sudah pun tertangkap. Dia menghentikan larian sambil cuba
menstabilkan nafas.
“Lari Iman!!! Lari!!!” Shafiq menjerit.
Dia menahan kesakitan akibat pukulan daripada beberapa orang lelaki.
Iman tergamam melihatnya. Shafiq sedang
dipukul bertalu-talu oleh beberapa orang lelaki. Apa yang harus dia lakukan
untuk menyelamatkan Shafiq?
“Iii… mmaaan… Laa… rrriii…”
Tergagap-gagap Shafiq bersuara sambil menahan kesakitan. Matanya memandang
batang tubuh Iman yang sedang tegak berdiri memandang ke arahnya. Dia tidak
mahu Iman melihat dia dipukul.
Iman serba salah. Dia berkira-kira
dalam hati sama ada untuk beredar dari situ atau pun menyelamatkan Shafiq.
“Ini habuan kau. Main kasar dengan aku
lagi,” marah lelaki yang bernama Harun. Dia menendang perut Shafiq
bertalu-talu.
“Mati kau kali ni Shafiq,” suara lelaki
yang bernama Bahar pula. Dia turut sama menendang dan memukul tubuh Shafiq.
Shafiq menahan perit di perut. Dia
tidak berdaya untuk melawan. Dibiarkan sahaja tubuhnya dipukul dan ditendang.
Dia sanggup menggadaikan nyawa demi menyelamatkan Iman.
“Shafiq!” Iman hanya memandang. Air
mata mengalir perlahan membasahi pipi. Dia buntu. Dia tidak tahu untuk berbuat
apa.
Tanpa menunggu, dia segera beredar dari
situ. Dia perlu menyelamatkan Shafiq. Dia perlu meminta pertolongan daripada
seseorang.
Shafiq hanya memandang. Dia tersenyum
lega melihat Iman beredar dari situ. Pergi Iman! Pergi! Aku sanggup gadaikan
nyawa aku untuk kau. Pergi! Bisik Shafiq dalam hati.
“Mana duit aku, Shafiq?” soal Harun
seraya menundukkan tubuh. Kolar baju Shafiq ditarik kasar.
“Aku tak tahu,” jawab Shafiq dalam nada
bergetar.
“Kau jangan nak tipu aku, Shafiq. Aku
tahu kau yang ambil duit tu.” Daud bersuara. Dia melangkah menghampiri Shafiq,
Harun dan Bahar.
“Aku tak tahu.” Shafiq masih menegakkan
kenyataan. Dia memandang tajam ke wajah mereka semua.
“Kau jangan nak main kasar dengan aku,
Shafiq. Baik kau cakap sebelum aku bunuh kau.” Daud mengugut. Wajah Shafiq
dicengkam kuat.
“Baik kau cakap sebelum aku belasah
kau, Shafiq,” ugut Bahar pula. Dia menggenggam erat tangan. Menanti untuk
menumbuk wajah Shafiq.
Shafiq meraba darah yang mengalir di
tepi bibir. Nafasnya tercungap-cungap menahan kesakitan. Wajah Daud, Bahar dan
Harun dipandang silih berganti.
“Aku bagi kau 10 minit untuk berfikir.
Kau nak beritahu atau tidak. Kalau kau masih berdegil, aku tak teragak-agak
untuk bunuh kau, Shafiq.” Daud menghampiri Shafiq.
“Kita bunuh saja dia, Daud.” Harun
menyampuk. Dia tidak sabar untuk menghapuskan riwayat Shafiq.
“Aku bagi kau 10 minit, Shafiq,” kata
Daud dalam nada serius.
Shafiq meludah. Dia memandang tajam ke
wajah 3 lelaki di hadapannya itu. Aku sanggup mati daripada beritahu kau
tentang duit tu, Daud. Rengus Shafiq dalam hati.
“ENCIK… encik… tolong saya!” pinta Iman
tatkala ternampak seorang lelaki sedang berjalan menghampirinya. Dia perlu
meminta tolong untuk menyelamatkan Shafiq.
“Kenapa ni, encik?” soal lelaki itu
sedikit terkejut.
“Encik… encik… tolong kawan saya. Dia
kena pukul dengan orang,” beritahu Iman dalam nada bergetar. Kerisauan dalam
hati melebihi fikirannya yang waras.
“Tolong siapa? Saya tak faham.” Lelaki
itu berkerut dahi.
“Kawan saya. Dia kena pukul dengan
orang. Tolong saya encik.” Iman masih merayu. Dia menarik lengan lelaki itu
supaya mengikutnya.
“Nanti dulu! Encik ceritakan pada saya
apa yang berlaku.” Lelaki itu menahan. Dia masih tidak faham dengan apa yang
sedang berlaku.
“Kawan saya kena pukul dengan orang.
Tolong saya selamatkan kawan saya, encik.” Iman merayu untuk sekian kali. Dia
berharap lelaki itu dapat membantunya menyelamatkan Shafiq.
“Kena pukul? Kat mana?” soal lelaki
itu. Ada nada terkejut pada pertanyaannya itu.
“Sana, encik. Tolong saya, encik.” Iman
mengunjuk ke arah satu lorong yang berada tidak jauh dari tempat mereka berdua
berdiri. Shafiq dibelasah di lorong itu.
Lelaki itu memandang ke arah yang
ditunjuk. Kemudian, beralih ke wajah lelaki di hadapannya. Riak cemas terlukis
di wajah lelaki itu.
“Tolong saya, encik.” Iman membuat gaya
merayu. Dia menahan air mata dari menitis.
“Baiklah! Mari!” putus lelaki itu
setelah berfikir. Ada baiknya dia membantu lelaki itu.
Iman berasa sebak. Matanya memandang
wajah lelaki di hadapannya itu. Tanpa berlengah, dia membawa lelaki itu ke
lorong di mana Shafiq dibelasah. Berharap, Shafiq masih ada di lorong itu.
“Terima kasih, encik,” ucap Iman
berserta mata yang berkaca.
Lelaki itu tidak membalas. Dia
mengekori langkah Iman menuju ke lorong yang dimaksudkan. Semoga tidak ada
apa-apa yang berlaku kepada kawan lelaki itu.
“MATI kau, Shafiq!” amarah Harun seraya
menumbuk ke muka Shafiq.
Shafiq tidak membalas. Dia membiarkan
sahaja mereka bertiga membelasah tubuhnya. Dia tidak berdaya untuk melawan.
Tubuhnya dipenuhi dengan kesan lebam. Darah pekat turut mengalir keluar
daripada hidung dan mulut. Hanya kepada tuhan dia memohon kekuatan untuk
melawan mereka bertiga.
“Aku tanya buat kali yang terakhir.
Mana duit aku, Shafiq!” Daud bertanya buat kali yang terakhir. Dia menumbuk
perut Shafiq.
“Duit kau ada pada aku!” suara Iman
tiba-tiba dari arah belakang.
Daud, Harun dan Bahar yang mendengar
menoleh ke belakang. Wajah Iman bersama dengan seorang lelaki menyapa mata
mereka bertiga.
“Lepaskan Shafiq!” arah Iman bernada tinggi.
“Kau nak aku lepaskan Shafiq?” Daud
ketawa. Dia menarik kasar tubuh Shafiq sehingga membuatkan pemuda itu terjatuh
ke jalan.
“Shafiq!” panggil Iman dalam nada
risau.
“Kau nak selamatkan dia?” Bahar
bertanya, sinis.
“Lepaskan Shafiq!” Iman mengarah buat
kali yang kedua.
“Sekejap!” suara lelaki di sisi Iman.
Dia keliru dengan apa yang sedang berlaku.
“Encik, mereka tulah yang belasah kawan
saya,” adu Iman. Dia mengunjuk ke arah Daud, Bahar dan Harun.
“Sebab apa?” tanya lelaki itu ingin
tahu.
“Mana duit aku?” sampuk Daud, keras.
“Encik tolong selamatkan kawan saya,
boleh?” pinta Iman, berharap.
Lelaki itu tidak membalas. Dia berfikir
seketika.
“Iman! Kenapa kau datang?” tanya
Shafiq, bergetar. Dia menggeleng dengan tindakan Iman ketika ini.
“Aku nak selamatkan kau, Shafiq.” Iman
menjerit. Dia memandang ke arah Shafiq yang sedang menahan kesakitan.
“Woi! Mana duit aku?” Daud bersuara.
Dia menendang perut Shafiq.
“Ini duit kau! Lepaskan Shafiq!” Iman
mengunjuk sebuah uncang ke arah mereka bertiga. Dia melangkah perlahan-lahan
menghampiri Shafiq.
“Kau serahkan duit tu dulu. Baru kami
lepaskan Shafiq,” arah Bahar.
Iman berkira-kira untuk setuju. Dia
mengatur rancangan untuk menyelamatkan Shafiq serta duit di tangannya itu.
Mustahil dia akan melepaskan duit sebanyak itu kepada mereka bertiga.
“Encik!” Iman memanggil.
Lelaki yang berada di sisi Iman
terkejut. Dia menoleh ke wajah Iman.
“Encik boleh tolong saya lepaskan kawan
saya daripada mereka bertiga?” tanya Iman turut sama menoleh.
“Macam mana?” tanya lelaki itu.
Iman mengatur strategi. Dia mahu
menyelamatkan Shafiq. Dia juga tidak mahu duit itu jatuh ke tangan mereka
bertiga. Dia tersenyum sinis tatkala rancangan menerpa ke kotak fikiran.
Berharap dia dapat menyelamatkan Shafiq.
“KAU okey?” tanya Iman sambil cuba
menstabilkan pernafasan.
“Aku… aku… okey.” Shafiq
tercungap-cungap. Dia turut sama menstabilkan pernafasan. Kesakitan di tubuh
turut terasa.
“Baguslah kau okey. Aku risaukan kau.”
Iman menarik nafas lega. Dia duduk di atas batu yang berada di situ.
“Kau memang gila, Iman.”
Iman tidak membalas. Dia menarik nafas
lega.
“Mamat tu tak akan apa-apa?” tanya
Shafiq tatkala teringatkan lelaki yang datang bersama dengan Iman.
“Mamat?” Iman berkerut dahi. Dia
mencari lelaki yang dimaksudkan oleh Shafiq.
“Kau pasti mamat tu tak ada apa-apa?” ulang Shafiq kepada pertanyaannya tadi.
“Kalau jadi apa-apa pada dia pun, bukan
urusan kita. Kita tak ada kena-mengena dengan dia.” Iman berkata selamba. Dia
mendengus ringan.
“Aku risau. Aku nak tengok apa jadi
pada mamat tu.”
“Kau dah gila ke, Shafiq?”
“Kita libatkan dia dengan masalah kita
Iman.”
“Dia yang nak tolong. Bukan salah
kita.”
Shafiq tidak membalas. Dia memandang
wajah Iman yang tidak berperasaan.
“Jom aku bawa kau ke hospital,” ajak
Iman selepas itu.
“Aku tak nak. Aku nak cari mamat tu. Aku risau kalau
jadi apa-apa pada dia. Kita juga yang akan dipersalahkan.” Shafiq bertegas. Dia
perlu mengetahui keadaan lelaki yang telah menyelamatkannya tadi.
Iman berfikir sejenak. Dia berkira-kira
untuk menerima cadangan Shafiq.
“Dibuatnya mamat tu mati ke apa. Siapa
yang susah? Kita juga, kan? Tak pasal-pasal kita jadi orang yang dikehendaki
polis. Dikira pembunuh. Kau tahu tak?” suara Shafiq akan sebarang
keberangkalian.
Iman masih berfikir. Kata-kata Shafiq
cuba dihadam sebaik mungkin.
“Aku nak pergi tengok mamat tu,” putus
Shafiq lalu bangun dari duduk. Dia memulakan langkah menuju ke lorong tadi.
Iman hanya memandang. Dia berkira-kira
dalam hati. Perlukah dia mengikut cadangan Shafiq atau pun tidak?
“Shafiq! Tunggu aku!” Iman memanggil.
Dia terpaksa akur demi untuk menyelamatkan diri sendiri. Dia tidak mahu
dianggap sebagai seorang pembunuh dan menjadi buruan polis.
Shafiq menoleh. Dia menarik nafas lega
tatkala Iman mengekorinya daripada belakang. Khuatir, Iman tidak bersetuju
dengan cadangannya untuk menyelamatkan lelaki itu.
Seminit kemudian, dia menghentikan
langkah. Dia terkejut dengan apa yang sedang dilihatnya ketika ini.
“Shafiq, kau…” Iman mematikan ayat. Dia
turut sama terkejut dengan apa yang sedang dilihatnya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan