“BERAPA kali saya nak pesan, jangan masuk ke
dalam bilik saya. Mak Nab tak faham bahasa ke?” tegur Ziqri Arif dalam nada
marah.
“Maafkan Mak Nab, Encik Ziqri. Mak Nab
terlupa.” Mak Zainab menundukkan wajah. Takut untuk memandang wajah majikannya
itu.
“Terlupa?” Sinis Ziqri bertanya.
Mak Zainab mengangkat wajah.
“Alasan bodoh!” marah Ziqri sedikit
meninggi.
Terhenjut tubuh Mak Zainab mendengar
kemarahan Ziqri. Sungguh, dia tidak sengaja masuk ke dalam bilik Ziqri. Sudah
dipesan dan diingatkan oleh Puan Raihan supaya tidak masuk ke dalam bilik
Ziqri.
“Maafkan Mak Nab, encik.” Mak Zainab
bersuara perlahan. Dia menahan sebak akibat kemarahan Ziqri.
Ziqri mendengus kasar. Rasa marah atas
tindakan Mak Zainab yang masuk ke dalam biliknya tanpa izin.
“Maafkan, Mak Nab,” Mak Zainab meminta
simpati. Dia berharap Ziqri memaafkan kesalahannya.
“Ini amaran saya yang terakhir. Kalau
Mak Nab masuk lagi ke dalam bilik saya, saya tak teragak-agak suruh mama pecat
Mak Nab. Faham!” ugut Ziqri lalu masuk ke dalam bilik. Dia menghempas kuat
pintu biliknya itu.
“Baik, encik. Mak Nab janji tak akan
masuk ke dalam bilik encik lagi.” Mak Zainab membuat janji. Dia mengurut dada
akibat tindakan Ziqri sebentar tadi.
“Kenapa ni, Mak Nab?” tegur Rafiq
tatkala terlihat Mak Zainab di hadapan bilik Ziqri.
Mak Zainab yang mendengar terkejut. Dia
mengurut dada berkali-kali. Baru tadi dia terkejut dengan tindakan Ziqri, kali
ini dia terkejut dengan teguran Rafiq.
“Maaf, Mak Nab. Rafiq tak sengaja.”
Rafiq kesal atas tindakannya sebentar tadi melihatkan Mak Zainab mengurut dada.
“Tak apa, Encik Rafiq. Mak Nab terkejut
sedikit saja tadi,” balas Mak Zainab. Dia menstabilkan pernafasan buat
seketika.
“Kenapa, Mak Nab? Ada masalah ke?”
Rafiq bertanya sekadar ingin tahu.
“Mak Nab… Mak Nab…” Mak Zainab berkira-kira.
“Mak Nak masuk bilik adik saya, ya?”
tebak Rafiq. Dia menanti balasan daripada Mak Zainab. Pasti itu yang berlaku.
Mak Zainab sekadar mengangguk perlahan.
Sungguh, dia berasa kesal atas tindakannya tadi. Dia memang tidak sengaja masuk
ke dalam bilik Ziqri.
“Tak apalah, Mak Nab. Nanti saya cakap
dengan Ziqri.”
“Encik Rafiq…”
“Mak Nab jangan risau. Mak Nab pergilah
buat kerja.”
Mak Zainab memandang ke wajah Rafiq.
Pemuda itu kelihatan tenang. Berbeza dengan Ziqri. Pemuda itu beriak bengis,
bersikap kasar dan pemarah.
“Saya naik ke atas dulu.” Rafiq beredar
dari situ. Dia tersenyum kepada Mak Zainab.
Mak Zainab hanya memandang. Dia
melepaskan nafas lega. Rafiq seringkali membelanya setiap kali dia dimarahi
oleh Ziqri. Dia tidak pernah ambil hati kerana dia tahu keadaan Ziqri yang
sebenar. Berharap Ziqri berubah suatu hari nanti.
“KALAU kau masuk ke dalam bilik ni sebab nak
bela orang tua tu ada baiknya kau keluar Rafiq,” suara Ziqri tatkala menyedari
kehadiran Rafiq dalam biliknya.
“Aku bukan nak bela cuma nak tegur.”
Rafiq melangkah menghampiri Ziqri yang sedang memandang ke luar jendela.
“Tegur?” ulang Ziqri, sinis seraya
menoleh ke wajah Rafiq.
Rafiq beriak tenang.
“Kau siapa nak tegur aku?” Ziqri
mendengus kasar.
“Aku abang kau, Ziq.” Rafiq membalas.
Ditekankan perkataan ‘abang’.
“Huh! Abang? Hebat sangat ke title abang yang kau pegang tu?” Ziqri
masih sinis. Dia memandang tepat ke wajah Rafiq. Abangnya itu hanya beriak
tenang.
“Kenyataan yang kau perlu terima.”
Ziqri menggenggam erat tangan.
“Cuba belajar hormat pada orang yang
lebih tua daripada kau.”
“Orang tua tu tak layak untuk
dihormat.”
“Sepertimana kau hormatkan mama seperti
itu juga kau perlu hormat pada Mak Nab.” Rafiq beredar dari situ. Ziqri sukar
untuk ditegur.
“Kau jangan nak mengajar aku, Rafiq.”
“Aku bukan nak mengajar kau, Ziq. Kau
perlu tahu batas pergaulan kau dengan orang yang lebih tua daripada kau.”
“Huh! Sudahlah Rafiq. Kau tak perlu nak
tunjuk lagak baik depan aku. Aku dah muak dengan lakonan kau.”
Rafiq yang mendengar cuba menahan
perasaan marah. Dia tidak mahu menambahkan kebencian yang sedia ada.
“Kau jangan lupa Rafiq. Disebabkan kau
aku jadi seperti sekarang. Selama-lamanya aku tak akan maafkan kau, Rafiq.”
Ziqri meluahkan perasaan. Wajah Rafiq di hadapan dipandang benci.
Rafiq tidak membalas. Dia cuba bersikap
tenang. Acapkali dia mendengar ayat itu keluar daripada mulut Ziqri dan dia
sudah lali mendengarnya.
“Keluar! Aku tak perlukan nasihat
daripada kau,” arah Ziqri sedikit meninggi.
Rafiq melepaskan nafas ringan. Ada
baiknya dia keluar dari bilik itu. Ziqri tidak akan berubah walau berulang kali
dia cuba menasihati.
“Suatu hari nanti kau akan tahu perkara
yang sebenarnya, Ziq,” suara Rafiq dalam nada perlahan lalu keluar dari bilik
itu.
RAFIQ menyandarkan tubuh ke kerusi. Dia
memejamkan mata sambil otaknya ligat berfikir. Kata-kata Ziqri sebentar tadi
masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Kata-kata yang sudah lali di
pendengarannya.
Rafiq melepaskan nafas berat. Selama
ini dia tidak pernah ambil hati dengan kata-kata Ziqri. Dia tahu, Ziqri masih
tidak dapat menerima kenyataan tentang dirinya. Ziqri seringkali
menyalahkannya. Ziqri tidak akan berputus asa menyakiti hatinya.
“Encik Rafiq!” tegur Mak Zainab dari
arah muka pintu bilik.
Rafiq tersentak lalu membuka mata. Dia
menghalakan mata ke arah Mak Zainab.
“Boleh Mak Nab masuk?” suara Mak
Zainab.
“Masuklah, Mak Nab.” Rafiq membetulkan
duduk. Dia menanti Mak Zainab menghampirinya di meja kerja.
Mak Zainab melangkah masuk ke dalam
bilik. Dia meletakkan segelas air di atas meja lalu dilabuhkan duduk di hadapan
Rafiq.
“Mama dah balik ke, Mak Nab?” tanya
Rafiq sekadar ingin tahu. Dia mencapai gelas lalu meneguk perlahan air dari
dalamnya.
“Dah sejam Puan Raihan balik, Encik
Rafiq. Kenapa Encik Rafiq tak tidur lagi?” jawab Mak Zainab. Wajah Rafiq
dipandang mesra.
“Nak siapkan kerja sikit, Mak Nab.”
Mak Zainab mengangguk perlahan. Fail di
atas meja dipandang seketika. Semenjak pemergian Encik Zafran, Rafiq mengambil
alih tugas-tugas di pejabat. Rasa kasihan kepada Rafiq yang bertungkus-lumus
menguruskan syarikat.
Ziqri? Anak bongsu majikannya itu hanya
menghabiskan masa di rumah. Keadaan Ziqri membuatkan pemuda itu tidak
dibenarkan bekerja. Maka dari itu, semua urusan pejabat diserahkan kepada
Rafiq.
“Mak Nab?” Rafiq menegur.
Mak Zainab tersentak. Dia menghalakan
mata ke wajah Rafiq.
“Ada perkara yang Mak Nab nak cakapkan
pada saya ke?”
Mak Zainab berkira-kira dalam hati. Dia
meramas-meramas tangan sendiri.
“Kenapa, Mak Nab? Ada masalah ke?”
Rafiq bertanya. Seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran Mak Zainab.
“Mak Nab ingat nak berhenti kerja,”
suara Mak Zainab bernada perlahan.
“Berhenti? Kenapa?” Rafiq sedikit
terkejut.
Mak Zainab membisu.
“Mak Nab terasa dengan Ziqri? Kalau
betul, Rafiq minta maaf bagi pihak Ziqri.” Rafiq menebak. Wajah wanita tua itu
dipandang meminta kepastian.
“Tak, Encik Rafiq. Bukan sebab Encik
Ziqri.” Mak Zainab menafikan.
“Kalau bukan sebab Ziqri, sebab apa?”
“Mak Nab dah tua, Encik Rafiq. Mak Nab
rasa sudah tiba masanya untuk Mak Nab berehat. Lagipun, anak Mak Nab dah
berkerja. Jadi dia boleh tanggung Mak Nab.”
Rafiq tidak membalas. Dia berfikir
seketika.
“Mak Nab tak berani nak beritahu pada
Puan Raihan. Mak Nab nak minta Encik Rafiq tolong beritahu pada puan, boleh?”
“Mak Nab dah fikir masak-masak?” Rafiq
sekadar bertanya.
Mak Zainab menggigit bibir.
“Mak Nab fikir masak-masak dulu. Lepas
tu beritahu pada Rafiq. Boleh?” Rafiq bersuara lembut. Dia mahu Mak Zainab
memikirkan keputusannya itu.
Dia kenal dengan Mak Zainab. Wanita tua
itu sudah lama bekerja dengan keluarganya. Sejak dia dibangku sekolah lagi.
Segala keperluan di rumah, Mak Zainab yang uruskan.
“Sekejap!” Rafiq terfikirkan sesuatu.
Mak Zainab memandang ke wajah Rafiq.
Menanti pemuda itu bersuara.
“Bila masa Mak Nab ada anak? Bukankah
Mak Nab…” Rafiq mematikan ayat. Dia membalas pandangan Mak Zainab.
Mak Zainab menelan air liurnya sendiri.
Apa jawapan yang harus diberikan kepada Rafiq?
“TOLONG la, Shafiq. Kali ni saja aku minta
tolong daripada kau. Lepas ni aku tak minta tolong dah,” rayu Dalia sambil
memegang lengan Shafiq.
“Iya la sangat tu.” Shafiq mencebik.
Dia menarik lengannya dari pegangan Dalia.
“Betul! Kali ni aku tak tipu.” Dalia
mengangkat tangan. Lagak seperti orang bersumpah.
“Ah! Tak ada… tak ada… kau tu tak boleh
dipercayai.” Shafiq menggeleng perlahan sambil berpeluk tubuh.
Dalia merengus perlahan. Dia turut sama
berpeluk tubuh sambil wajah Shafiq dipandang tajam.
Shafiq tidak mengendahkan pandangan
tajam Dalia. Dia meneruskan kerjanya dengan mengemas meja.
Dalia menyandarkan tubuh ke dinding.
Shafiq masih meneruskan kerjanya. Tidak
diendahkan tingkah laku Dalia yang sedang berpeluk tubuh.
Dalia masih berkeadaan yang sama. Dia
memandang tingkah laku Shafiq yang sedang mengemas meja dan kerusi.
“Yalah… yalah… menyampah pula aku
tengok muka tak semegah kau tu.” Shafiq mengalah. Dia mencampak kain pengelap
lalu memandang ke wajah Dalia.
Dalia yang mendengar mengukir senyuman.
“Kau nak aku buat apa?” tanya Shafiq
dalam nada serius.
Dalia masih tersenyum. Dia menghampiri
Shafiq lalu memegang lengan pemuda itu.
“Apa?” Shafiq tidak sabar. Dia perlu
tahu pertolongan apa yang Dalia mahukan daripadanya.
Dalia menggaru kepalanya yang tidak
gatal. Dia berkira-kira untuk memberitahu Shafiq.
“Kalau kau tak nak cakap, aku cancel.” Shafiq mengugut. Dia beredar
dari situ.
“Wei, kejap la.” Dalia menahan. Lengan
Shafiq ditarik.
Shafiq mendengus kasar. Dia memandang
ke wajah Dalia. Menanti gadis itu bersuara.
“Aku nak minta tolong kau menyamar jadi
pakwe aku, boleh?” Dalia memberitahu
tujuannya yang sebenar.
Shafiq yang mendengar ketawa besar.
“Shafiq!” Dalia menegur. Dia mendengus
kasar.
Shafiq masih lagi ketawa. Dia
melabuhkan duduk di atas kerusi yang ada di situ.
“Aku serius, Shafiq!” Dalia bengang.
Rasa nak tampar saja Shafiq di hadapannya itu.
“Kelakar! So, aku gelak la.” Shafiq
masih lagi ketawa.
Semakin bengang Dalia dengan tingkah
laku Shafiq. Tanpa menunggu, dia beredar dari situ. Digenggam erat tangannya
menahan kemarahan dalam hati.
Shafiq yang melihat mematikan ketawa.
Dia bingkas bangun lalu menarik tangan Dalia dari beredar.
“Kalau kau tak nak tolong aku beritahu
saja la. Tak perlulah nak gelakkan aku.” Dalia bersuara. Rasa kecewa dengan
sikap Shafiq.
“Kau ni. Sikit-sikit nak sentap.”
Dalia tidak membalas. Dia menarik
tangannya dari pegangan Shafiq.
“Okey! Aku tolong kau.” Shafiq
mengalah. Dia ketawa kecil melihat wajah mencuka Dalia.
“Iya la tu. Kau tu bukan boleh
dipercayai.”
“Tak nak sudah!”
“Okey… okey… aku nak.” Dalia pantas
membalas.
Shafiq ketawa sambil menggeleng.
“Aku tunggu kau tengah hari esok. Adios!” pamit Dalia lalu beredar dari
situ. Dia melepaskan nafas lega. Shafiq sudi menolongnya.
“Wei, Dalia!” Shafiq memanggil. Namun,
kelibat Dalia sudah pun hilang dari pandangan mata.
“Macam-macam la kau ni Dalia,” kata
Shafiq. Dia meneruskan kerjanya yang tertanggung sebentar tadi.
“Pakwe?”
sebut Shafiq tatkala teringatkan permintaan Dalia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan