Selasa, 28 Februari 2017

Terus Mencintaimu - Bab 10








HAIDAR menyandarkan tubuh ke kerusi. Nafas ditarik lalu melepaskannya lembut. Keputusan Encik Qamarul untuk menjual Harmoni Sdn Bhd tidak mendapat tentangan darinya. Bukannya dia tidak mahu membantah dengan keputusan Encik Qamarul. Siapa pun tidak sanggup untuk menjual syarikat. Tambahan pula, syarikat yang telah lama dibina atas usaha Encik Qamarul sendiri.
Tetapi, bila difikir-fikirkan semula. Ada baiknya dengan keputusan Encik Qamarul. Sudah tiba masanya untuk ayahnya berehat dan mendekatkan diri kepada Pencipta. Usia Encik Qamarul sudah melebihi setengah abad. Maka dari itu, ada baiknya Encik Qamarul melepaskan kesemua itu.
Haidar menatap fail di hadapan dengan pandangan yang kosong. Pertemuan dengan gadis di restoran beberapa hari yang lepas meniti di tubir mata. Sudah dua kali dia bertemu dengan gadis itu. Kenapa setiap kali dia memandang wajah gadis itu, dia berasa simpati? Seperti ada sesuatu yang istimewa terhadap gadis tersebut.
“Siapa dia? Kenapa aku rasa simpati pada dia?” soal Haidar kepada dirinya sendiri.
Entah kenapa wajah gadis itu menyapa mata waktu ini. Raut wajahnya seperti pernah dilihat sebelum ini.
“Apa nama dia?” sebut Haidar kemudian.
Dia menggelengkan kepala. Lupa untuk berkenalan serta bertanya nama. Sekadar berbual biasa sahaja. Mungkinkah dia dapat bertemu dengan gadis itu lagi?
“Kenapa aku boleh lupa nak tanya nama dia?” kata Haidar lagi.
“Doktor Haidar!” sapa jururawat bernama Yusliza dari arah muka pintu bilik.
Haidar tersentak. Lamunan pendeknya termati begitu sahaja. Dia memandang Yusliza yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik.
“Doktor Nasir minta saya serahkan fail pesakit ni pada doktor,” beritahu Yusliza seraya menyerahkan sebuah fail kepada Haidar.
“Fail pesakit? Siapa?” tanya Haidar sambil membalas huluran.
“Doktor Nasir minta doktor take over kes ni. Doktor Nasir pesan minta doktor jumpa dengan dia,” jelas Yusliza, ramah.
Haidar membuka fail. Butiran di dalam fail itu diteliti dan dibaca dengan penuh cermat. Hatinya menyebut nama yang tertera di situ.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” ujar Yusliza, cermat.
“Baiklah! Terima kasih! Apa-apa hal nanti saya direct pada Doktor Nasir,” balas Haidar berserta senyuman di bibir.
Yusliza mengangguk perlahan. Tanpa menunggu, dia beredar dari ruangan itu. Nafas lega dilepaskan. Amanah yang diberi telah pun dilaksanakan. Amanah supaya menyerahkan fail pesakit Doktor Nasir kepada Doktor Haidar.
Haidar hanya memandang. Kemudian, dijatuhkan mata ke butiran data di dalam fail.
“Kemalangan sehingga menyebabkan…..”
Pembacaan Haidar terhenti tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Fail ditutup lalu mencapai telefon bimbit. Nama di skrin dilihat seketika.
“Hospital. Kenapa?” tanya Haidar sebaik sahaja salam bersambut.
“Saya ingat nak jumpa awak lunch nanti, boleh?” tanya Zulaikha penuh cermat.
Haidar mengerling jam di pergelangan tangan. Masa baru menginjak ke pukul sebelas pagi. Mungkin ada baiknya dia bersetuju dengan cadangan Zulaikha.
“Awak!” Zulaikha memanggil.
“Nak jumpa di mana?”
“Tempat biasa!”
“Okey!”
“Jumpa nanti!” balas Zulaikha lalu mematikan talian.
Haidar turut sama mematikan talian. Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Kenapa Zulaikha ingin berjumpa dengannya? Pasti ada perkara penting yang ingin dibincangkan oleh Zulaikha. Ada baiknya dia menyiapkan kerja sebelum keluar berjumpa dengan Zulaikha.


“TAK ada masalah. Projek berjalan dengan lancar,” lapor Iris kepada Dato Rashid.
Dato Rashid menatap fail di hadapan. Kepala diangguk perlahan tatkala membaca laporan yang disediakan oleh Iris.
“Minggu depan, projek di Damansara bermula. Fauzan akan pantau projek tu,” beritahu Iris lagi. Tingkah laku Dato Rashid yang sedang membaca dipandang penuh minat.
Good! Ini yang uncle nak, Iris,” puji Dato Rashid seraya menutup fail.
Iris hanya tersenyum.
Uncle doakan semuanya berjalan dengan lancar.”
“In shaa Allah uncle. Kalau kita jujur, amanah dan ikhlas berurusan dengan orang, Allah akan bantu kita.”
“Mudah-mudahan Iris. Uncle bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan pada uncle selama ini. Iris juga banyak berjasa pada uncle.”
“Iris buat yang termampu uncle.”
Dato Rashid mengangguk perlahan. Wajah Iris di hadapan ditatap mesra. Sejuk matanya memandang wajah itu.
Uncle dah tengok borang cuti Iris. Kenapa tak ambil seminggu?”
“Nanti kerja tak settle pulak kalau Iris ambil cuti lama. Uncle juga yang bising.”
Dato Rashid yang mendengar ketawa. Begitulah setiap kali Iris mengambil cuti. Pasti Iris akan menyindirnya. Tetapi, dia tidak akan ambil hati. Memang itulah kenyataannya.
Uncle luluskan seminggu. Iris berehat. Dalam beberapa tahun ni, Iris dah banyak tolong uncle majukan syarikat,” kata Dato Rashid berserta senyuman.
Uncle jangan nak mengungkit pulak pasal Iris cuti seminggu.” Iris sekadar berkata. Menduga orang tua itu.
“Iris… Iris… Ada saja nak kenakan uncle,” tegur Dato Rashid sambil menggeleng.
Iris hanya ketawa. Senang hatinya melihat wajah Dato Rashid. Jika dulu, hanya riak muram yang menghiasi wajah Dato Rashid tetapi tidak kali ini. Semenjak dia mendapat beberapa projek untuk syarikat, wajah Dato Rashid sentiasa ceria.
Apa yang mengkagumkannya, setiap kali syarikat mendapat projek, Dato Rashid tidak pernah lupa untuk bersedekah kepada rumah anak-anak yatim. Sentiasa mengadakan majlis kesyukuran di samping memberi kenaikan gaji serta bonus buat pekerja. Semoga Dato Rashid dimurahkan rezeki. Doa Iris buat Dato Rashid.
“Iris!” tegur Dato Rashid.
Iris tersentak. Dia menghalakan mata ke wajah Dato Rashid.
“Kalau Iris perlukan apa-apa, jangan lupa beritahu uncle,” pesan Dato Rashid, ikhlas.
“In shaa Allah, uncle,” balas Iris berserta senyuman.
“Sebelum uncle terlupa, malam ni datang rumah uncle. Dah lama aunty tak jumpa dengan Iris. Rindu katanya,” beritahu Dato Rashid bernada lembut.
“Malam ni?” ulang Iris berserta kerutan di dahi.
“Kenapa? Iris nak jumpa boyfriend ke malam ni?” Dato Rashid sekadar mengusik.
Boyfriend? Mana Iris ada boyfriend,” tukas Iris lalu tersenyum malu.
“Hai, anak uncle ni kan cantik. Tak akan tak ada boyfriend?”
“Memang anak uncle ni cantik. Tapi, uncle jangan lupa yang anak uncle ni ada kekurangan. So, siapa yang nak terima anak uncle yang serba kekurangan ni?”
Terkedu Dato Rashid mendengarnya. Ternyata dia tersalah berkata-kata.
“Iris akan terima jika lelaki itu dapat terima segala kekurangan Iris,” suara Iris berserta senyuman hambar.
“Maafkan uncle. Uncle…”
“Tak apa uncle. Uncle tak salah apa. Iris kena sedar diri sebelum orang lain sedarkan Iris,” pintas Iris bernada ikhlas.
Dato Rashid tidak membalas. Dia mengerti akan perasaan Iris. Selama beberapa tahun ini, Iris lebih utamakan kerja daripada kehidupan peribadi. Mungkin disebabkan kekurangan yang ada maka Iris tidak memikirkan diri sendiri.
“Malam nanti Iris ke rumah,” ujar Iris bingkas bangun dari duduk.
“Haa… baiklah!” balas Dato Rashid sedikit tersentak.
“Iris minta diri dulu. Iris nak jumpa Zack tengah hari ni,” pamit Iris lalu beredar dari situ. Senyuman diberikan kepada Dato Rashid.
Dato Rashid hanya memandang. Jauh di sudut hati, dia tetap mendoakan kebahagiaan Iris. Semoga ada pemuda yang dapat menerima segala kekurangan Iris.
“In shaa Allah, Iris. Akan ada pemuda seperti yang Iris inginkan,” doa Dato Rashid buat Iris Eryna.


“KAU nak ikut tak?” tanya Iris, berbasa-basi.
“Ke mana? Kampung?” tanya Zakry pula.
Iris sekadar mengangguk. Air minuman diteguk perlahan.
“Berapa lama?”
“Seminggu!”
“Lamanya?”
“Aku nak cari dia. Aku pasti dapat cari dia.”
Zakry menghela nafas ringan.
“Aku harap sangat dapat jumpa dengan dia. Aku tahu dia pun mesti cari aku.”
“Kalau kau jumpa dengan dia, kau nak buat apa?”
“Aku nak minta maaf. Aku nak tebus kesalahan aku pada dia. Aku nak jaga dia kalau dia masih berkeadaan yang sama.”
“Kalau dia tak berkeadaan yang sama, kau masih nak jaga dia?”
Iris membisu. Otaknya ligat berfikir. Mencari jawapan kepada pertanyaan Zakry?
“Kau tak perlu nak rasa bersalah, Iris. Kau sendiri dah tahu cerita yang sebenarnya.”
Iris masih tidak membalas. Ya, memang dia tahu kisah yang sebenarnya. Tetapi, kenapa dia masih berasa bersalah?
“Okey! Aku follow saja. Aku harap kau berjaya jumpa dengan dia,” putus Zakry, mengalah. Ada baiknya dia tidak terus-terusan mengungkit. Khuatir Iris akan lebih rasa bersalah.
So, kau nak ikut aku balik kampung tak?” tanya Iris pada pertanyaannya tadi.
“Tak dapatlah, Iris. Aku ada kerja yang perlu disiapkan segera. Kau kan tahu bos aku tu macam mana?” tolak Zakry, lembut.
“Alah! Mengada! Bos konon? Meluat aku!” cebik Iris, meluat.
Tergelak Zakry mendengarnya. Wajah cebikan Iris dipandang.
“Sendiri bos tapi tak nak mengaku bos.”
“Alah! Sekali-sekala nak jadi pekerja, apa salahnya.”
Iris masih lagi mencebik. Siapa yang tidak kenal dengan Zakry Alif. Pereka baju terkenal di Kuala Lumpur. Terkenal di kalangan VVIP dan VIP. Bangga dengan pencapaian Zakry selama beberapa tahun ini.
“Banyak yang aku perlu design. Customer aku tu makin hari makin bertambah, bukan makin berkurang,” rungut Zakry berserta nafas ringan.
“Bersyukur! Allah bagi rezeki pada kau. Jangan merungut!” tegur Iris sambil menggelengkan kepala. Kurang senang mendengar rungutan Zakry.
Sorry! Aku tak sengaja. Kadang-kala aku rasa penat,” balas Zakry bernada kesal.
So, apa lagi? Ikut aku balik kampung. Berehat!” kata Iris berserta senyuman manis. Sesi memujuk bermula.
“Mula la tu nak ayat aku,” kata Zakry tatkala melihat tingkah laku manja Iris.
“Bukan senang aku nak buat macam ni. Pada kau saja aku berani buat. Pada orang lain, tak ada maknanya.”
“Iya ke? Boleh percaya ke ni?”
“Kenapa? Kau tak percaya?”
“Tak ada boyfriend lagi bolehlah cakap macam tu. Cuba bila dah ada boyfriend? Mesti tahap kegedikan kau yang kau simpan selama ini akan terserlah.”
“Kegedikan? Tolonglah! Aku bukan gedik, okey! Geli!”
Zakry ketawa. Kepala menggeleng kecil.
“Aku bukan seperti mereka yang tergedik-gedik bila nampak mamat handsome.”
Zakry tidak membalas. Dia hanya mendengar.
Touch up muka dengan eye shadow, eye liner, lipstick bagai. Pakai hair ribbon, skirt pendek semata-mata nak tunjuk kecantikan masing-masing. Oh, please! Aku tak boleh lupa kisah sekolah dulu,” bebel Iris sambil membuat gaya geli-geleman.
Tergelak Zakry melihatnya. Kepala diangguk perlahan. Tidak dinafikan dengan kata-kata Iris itu.
“Aku bukan seperti mereka, Zack,” suara Iris, perlahan.
Zakry mematikan ketawa. Wajah Iris dipandang.
“Sebab aku tahu tak ada orang yang akan sukakan aku kalau aku seperti mereka. Aku bukan….”
“Kau cantik, Iris. Kecantikan yang sengaja disembunyikan,” pintas Zakry. Pasti itu yang ingin diperkatakan oleh Iris.
Iris menunduk memandang kaki sendiri. Tidak berniat untuk membalas.
“Aku percaya, kau akan popular kalau kau jadi diri kau sendiri,” sambung Zakry. Dia ikhlas menuturkannya.
“Popular?” ulang Iris seraya mengangkat wajah.
Zakry sekadar mengangguk.
“Popular hanya sekejap saja, Zack.”
“Tapi dengan popular, kau akan selamat.”
Iris ketawa kecil. Entah kenapa dia berasa geli hati mendengarnya.
“Kerana popular, hidup aku jadi begini,” ujar Iris, perlahan.
Zakry terkedu. Dia faham dengan kata-kata Iris.
“Iris, aku….”
“Assalamualaikum,” tegur seseorang mematikan kata-kata Zakry.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan