Selasa, 6 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 9


BAB 9

Rumah banglo dua tingkat tersergam indah yang terletak di Damansara Utama sudah mulai terang benderang di sirami lampu-lampu kelip yang berwarna-warni sejak matahari menyembunyikan diri di bumi ALLAH. Banglo yang dimiliki oleh Syed Mukriz itu riuh rendah dengan gelak ketawa yang sedari tadi sengaja dikuatkan agar orang-orang di sekeliling menganggap bahawa betapa gembiranya mereka sekeluarga ketika itu. Kegembiraan juga jelas terbayang di wajah Tengku Azman yang tidak putus-putus memuji kecekapan Syed Mukriz mengendalikan perniagaan turun temurun keluarga itu.
Seusai makan, Tengku Hariz memohon diri untuk beredar ke luar laman untuk menghirup udara nyaman yang segar daripada menghirup udara di dalam rumah yang amat menyesakkan nafasnya selama ini. Eh, dah sama macam Aisya pulak kan! Tengku Hariz memandang ke arah langit yang di penuhi dengan bintang-bintang yang bergemerlapan. Entah mengapa pada hari itu, hatinya berlawanan dengan akal fikiran. Kalau diikutkan, dia malas untuk mengikut papanya bertandang ke rumah Syed Mukriz memandangkan badannya yang terasa penat teramat sangat. Kerana kasihnya terhadap Puan Sharifah Rohana, maka dia terpaksa mengalah dan akhirnya dia membawa haluannya sendiri. Yalah dah namanya tak ikhlas, semua yang dibuat serba tak kenakan.
Entah mengapa ketika ini fikirannya tertumpu kepada Aisya. Wajah Aisya yang redup dan tenang berlegar-legar di ruangan mata. Sengaja dia memekakkan telinga tatkala Aisya menyentuh soal perletakan jawatan siang tadi. Aisya sedaya upaya mengingatkannya akan notis perletakan jawatan yang telah diberikan sebulan lalu. Bukankah sepatutnya dia bergembira dengan keputusan Aisya itu? Selama ini Aisya banyak mendatangkan kemarahannya. Jika tidak mana mungkin dia tergamak mencium Aisya pada malam itu gara-gara egonya dicabar oleh Aisya.
Tengku Hariz melepaskan keluhan kecil. Dia menyesal dengan apa yang telah dilakukan terhadap Aisya pada malam itu. Ya ALLAH! Kenapa aku asyik memikirkannya? Kenapa hatiku sayu apabila melihatnya? Wajahnya yang tenang dan redup menggetarkan naluri lelakiku. Ya ALLAH! Bantulah aku, rintih hatinya sendirian.
“Sayang, kenapa ni?” tegur Sharifah Aleeya menepis lamunan Tengku Hariz yang panjang. Tengku Hariz kembali ke alam realiti. “Come on la sayang! You macam tak suka aje bertunang ngan I,” sambung Sharifah Aleeya lagi. Dia menghenyak punggungnya duduk bersebelahan Tengku Hariz.
“Bukan macam tu Leeya, cuma I belum bersedia untuk bertunang mahupun berkahwin,” luah Tengku Hariz sambil meraup wajahnya yang sudah pun di basahi sedikit peluh.
Sharifah Aleeya ketawa sinis. Seakan mengejek dengan kata-kata Tengku Hariz itu.
“Ha… ha… ha… you buat lawak apa ni Tengku Hariz Iskandar Bin Tengku Azman. Hey, sejak bila pulak you belum bersedia ni. Dulu you yang beria-ria nak kita bertunang dan berkahwin secepat mungkin, tapi sekarang… don’t play-play with me Tengku Hariz Iskandar! I dah banyak buang masa untuk you. Apa you ingat you tu hebat sangat ke sampaikan I nak terhegeh-hegeh dengan you. I setuju pun disebabkan papa I, tapi I admit yang I memang cintakan you, tapi… bukan sepenuh hati I.” Sinis sungguh kata-kata yang dilontarkan oleh Sharifah Aleeya kepada Tengku Hariz.
Tengku Hariz mengangkat muka dan memandang tajam ke wajah Sharifah Aleeya. Apa lagi, tentulah marah dan geram. Nafasnya sudah mula berombak kencang. Jika diikutkan hati, mahu saja dia menampar muka Sharifah Aleeya tika itu.
“Hey Leeya… you…” belum sempat Tengku Hariz meneruskan kata-katanya, Syed Mukriz dan Tengku Azman berjalan menghampiri mereka berdua. Tengku Hariz dan Sharifah Aleeya memberikan sebuah senyuman yang manis kepada kedua-dua papa mereka walaupun pada masa itu masing-masing berperang dengan hati dan perasaan sendiri.
“Hariz…. Aleeya… kami dah sepakat dan bersetuju, dua bulan lagi kamu berdua akan ditunangkan,” jelas Tengku Azman sambil memeluk bahu kawan baik businessnya Syed Mukriz.
Bagaikan hendak gugur jantung Tengku Hariz mendengarnya. Mukanya berubah sebaik sahaja mendengar penjelasan dari Tengku Azman. Dia menoleh sekilas ke wajah Sharifah Aleeya, bagaimana dia hendak mentafsirkan wajah Sharifah Aleeya ketika itu kerana Sharifah Aleeya tidak menunjukkan sedikit riak terkejut, kecewa mahupun gembira.
“So, congratulations my daughter. Happy?” ucap Syed Mukriz sambil memeluk erat anak perempuannya itu. Sharifah Aleeya membalas pelukan Syed Mukriz. Matanya tidak berganjak dari memandang Tengku Hariz yang masih dalam keadaan gelisah. Tengku Hariz membalas pandangan Sharifah Aleeya dengan perasaan yang marah dan geram.
“Happy papa. Thanks and I love you papa,” balas Sharifah Aleeya dan melepaskan rangkulan Syed Mukriz. Matanya masih menjamah muka Tengku Hariz.
“How about you Tengku Hariz? Are you happy with our engagement?” soal Sharifah Aleeya dengan nada yang perli. Sengaja membakar hati dan perasaan Tengku Hariz.
Tengku Hariz tidak mampu untuk berkata apa-apa. Hatinya sakit dengan persoalan yang ditujukan oleh Sharifah Aleeya itu. Namun, dia hanya mampu mengangguk apabila mata Tengku Azman dan Syed Mukriz bertembung dengan matanya. Baru puas hati aku Hariz!! Getus Sharifah Aleeya di dalam hati dan beredar meninggalkan Syed Mukriz dan Tengku Azman yang masih lagi berbual-bual. Apa yang Sharifah Aleeya rancangkan??


Tengku Hariz menyandarkan kepala ke kerusi dengan mata yang terpejam. Seusai Sholat Isyak tadi, dia terus memerapkan diri di dalam bilik. Malas untuk menyertai keluarganya berbual-bual. Hatinya sakit apabila Tengku Azman menetapkan perkahwinannya dengan Sharifah Aleeya. Selama ini, dia tidak pernah terfikir untuk bertunang mahupun berkahwin dengan Sharifah Aleeya. Dia juga tidak pernah menyintai Sharifah Aleeya. Perbuatannya terhadap Sharifah Aleeya selama ini hanyalah semata-mata untuk mengaburi mata kedua-dua orang tua mereka. Dia juga tidak mahu menghampakan hati Tengku Azman. Sebagai seorang anak, nak tak nak, dia terpaksa akur dengan permintaan Tengku Azman itu. Dia pernah mencuba, memberi ruang hatinya untuk menyintai dan menyayangi Sharifah Aleeya, namun hatinya seakan tertutup buat perempuan itu.
Sejak abangnya membawa diri serta menyambung pelajaran ke luar negara, Tengku Hariz bekerja keras untuk memajukan Menara Holding dan juga Berjaya Holding. Segala bebanan diletakkan di bahunya seorang. Namun sebagai anak, dia terpaksa akur dengan tuntutan Tengku Azman kerana tidak mahu dianggap anak yang derhaka. Abangnya pernah menjalinkan hubungan cinta bersama Sharifah Aleeya selama tiga tahun. Disebabkan keakraban kedua-dua keluarga, mereka bercadang untuk menjodohkan abangnya dengan Sharifah Aleeya. Tetapi, takdir ALLAH telah lama tertulis dalam hidup abangnya. Abangnya di tuduh merogal dan dipaksa berkahwin dengan perempuan yang dirogolnya. Untuk tidak memalukan keluarga, Tengku Azman bersetuju untuk mengahwinkan abangnya dengan ‘perempuan itu’ agar ‘perempuan itu’ tidak membuat laporan polis terhadap abangnya.
Disebabkan itu juga, Sharifah Aleeya merasa tertekan gara-gara berpisah dengan abangnya. Begitu utuh cinta Sharifah Aleeya terhadap abangnya. Keluarga Sharifah Aleeya tidak putus-putus memberi sokongan moral kepada Sharifah Aleeya termasuklah keluarganya agar terus bangun dan membina hidup baru. Lebih parah apabila dia mendapat tahu bahawa abangnya hidup menderita disebabkan isterinya yang curang, mata duitan dan mempunyai skandal dengan lelaki lain. ‘Perempuan itu’ berniat untuk menjerat abangnya agar mengahwini dirinya yang konon-kononnya sedang mengandungkan anak abangnya. Ah! Perempuan tak guna. Disebabkan kau, abang aku pergi meninggalkan keluarga dan sehingga sekarang abangku masih tidak mahu pulang ke Malaysia. Kalau aku jumpa kau perempuan, tahulah kau apa yang aku nak buatkan nanti, azamnya di dalam hati sambil menggenggam kedua-dua belah tangannya dengan kuat.
“Kak Anis tolong Riz pujuk abang balik. Mama rindukan abang kak. Mama tak sihat kebelakangan ni. Tolong ya Kak Anis,” rayu Tengku Hariz enam bulan yang lepas ketika Puan Sharifah Rohana mengalami demam yang kuat disebabkan terlalu merindui abangnya.
“Riz, Kak Anis dah cuba, tapi abang Riz masih berdegil tak nak balik. Riz jangan risau, Kak Anis janji, Kak Anis akan bawa abang Riz balik.” Janji Tengku Hanis Suraya kepada Tengku Hariz. Sekurang-kurangnya dapat melegakan hati Tengku Hariz yang tertekan dengan sikap abangnya yang terlalu pentingkan diri sendiri.
“Terima kasih Kak Anis. Riz doakan kebahagiaan Kak Anis dan abang,” ucap Tengku Hariz ikhlas dan mematikan talian telefon.
Kau kejam abang… kau kejam. Tergamak kau tinggalkan aku sorang-sorang menggalas semua bebanan ini. Siapa perempuan tu? Aku takkan lepaskan dia abang. Dia yang menyebabkan abang jadi begini. Aku benci perempuan tu, marah Tengku Hariz di dalam hati sambil menekan-nekan kepalanya dengan keadaan yang geram dan marah.
“Hariz!” panggil Puan Sharifah Rohana mematikan lamunan Tengku Hariz yang panjang. Tengku Hariz menoleh ke arah pintu yang sedikit terbuka akibat dikuak oleh Puan Sharifah Rohana. “Kenapa dengan anak mama ni, tegang semacam aje muka tu mama tengoknya,” sambung Puan Sharifah Rohana dan menghampiri Tengku Hariz yang sedang duduk di kerusi kerjanya.
Tengku Hariz membetulkan duduknya. Dia memandang wajah Puan Sharifah Rohana yang sedang ralit memerhatinya dari tadi.
“Tak ada apa-apa ma. Riz cuma teringatkan abang. Riz rindu kat abang,” luah Tengku Hariz seraya bangun dan membawa Puan Sharifah Rohana duduk di birai katil.
Puan Sharifah Rohana menuruti langkah Tengku Hariz. Lama dia memandang wajah anaknya itu, saling tak tumpah iras kepadanya. Tengku Hariz seperti kurang menyenangi pandangan mamanya, lantas dia berdehem dan menyentakkan mamanya yang sedang mengelamun.
“Abang marahkan mama Riz. Mama redha kalau abang tak nak balik ke Malaysia buat selama-lamanya. Semua itu salah mama Riz.” Lemah Puan Sharifah Rohana menuturkan kata-kata.
Tengku Hariz mengerut dahi. Tidak memahami akan apa yang diperkatakan oleh Puan Sharifah Rohana itu.
“Maksud mama?” soal Tengku Hariz inginkan kepastian.
“Erm… Hariz setuju ditunangkan dengan Aleeya?” soal Puan Sharifah Rohana cuba menangkis persoalan Tengku Hariz, sengaja mengubah topik perbualan.
Tengku Hariz melepaskan keluhan yang panjang. Dia bingkas bangun dan menuju ke luar balkoni untuk melepaskan tekanan yang sedang menghimpitnya ketika ini. Puan Sharifah Rohana turut sama mengekori anaknya ke luar balkoni. Dia dapat menganggak akan kekusutan yang dialami oleh Tengku Hariz di waktu ini.
“Maafkan mama jika soalan mama tadi tu…” terhenti apabila Tengku Hariz memotong.
“Tak ma. Riz tension sikit. Riz sebenarnya tak tahu nak buat apa lagi. Riz tak boleh nak lawan kata papa. Papa terlampau mengharapkan Riz. Kadang-kadang harapan papa tu buatkan Riz rasa tertekan sangat-sangat. Riz terpaksa berperang dengan perasaan Riz sendiri. Antara kata hati dengan arahan, siapa yang boleh melawan arahan walaupun hati ini amat sukar untuk menerimanya,” luah Tengku Hariz dengan nada sebak.
Puan Sharifah Rohana memeluk erat Tengku Hariz sambil menepuk lembut bahu anaknya itu. Dia tahu, Tengku Hariz sedang mengalami tekanan yang amat sangat disebabkan keputusan yang dibuat oleh Tengku Azman. Mahu atau pun tidak, arahan mesti di patuhi. Siapalah dia untuk melawan mahupun membantah kata-kata suaminya itu.
“Mama tahu Riz. Riz berhak mencari kebahagiaan Riz sendiri. Jangan disebabkan permintaan papa yang terlampau itu, Riz terpaksa mengorbankan kebahagiaan Riz sendiri. Mama sokong Riz, Riz jangan risau ya,” jelas Puan Sharifah Rohana sambil cuba menyeka air mata yang hampir gugur. Dia tidak mahu kesilapan yang lalu turut sama berlaku ke atas Tengku Hariz. Akibat dari sikapnya yang dulu, kini dia kehilangan anak sulungnya.
“Thanks ma, thanks kerana memahami Riz. Riz sayangkan mama,” lafaz Tengku Hariz sambil mengucup pipi mamanya yang semakin di makan usia itu.
Puan Sharifah Rohana hanya mampu tersenyum. Di kala ini, fikirannya terbang melayang mengingati anaknya yang berada jauh dari pangkuannya hampir empat tahun. Akibat dari perbuatan pentingkan diri sendiri, perasan anaknya tidak diambil kira. Maka dari sebab itulah, dia dibenci oleh anaknya sendiri.


Aisya menyeka air mata yang sudah pun gugur ketika mendengar lagu ‘Ukiran Jiwa’ nyanyian Awie di corong radio. Bait-bait lirik di dalam lagu tersebut amat menyentuh hati. Seakan-akan kisah hidupnya dituliskan di dalam lirik tersebut.
“Woi, jiwang karat pulak minah ni malam-malam. Kau apa hal?” tegur Nadia dengan tiba-tiba dari balik pintu bilik. Aisya menyapu air mata yang masih bersisa di pipi.
“Tak boleh ke aku nak jiwang sikit. Kau ni kacau daun betullah, hilang feel aku tadi,” marah Aisya sambil mencapai laptop dan berbaring di atas katil.
Nadia menghampiri Aisya dan turut sama berbaring di sebelah Aisya sambil memerhatikan Aisya yang sedang khusyuk mengadap laptop.
“Asal kau tenung aku macam tu? Ada yang tak kena ke ngan muka aku ni, tau kau terpegun ngan kecantikkan aku ni,” kata Aisya dan seketika itu dia ketawa.
Nadia mencebikkan bibir. Seakan-akan mengejek dengan kata-kata Aisya itu. Tetapi, Nadia memang akui akan kecantikkan Aisya. Aisya memang menjadi kegilaan lelaki ketika mereka menuntut di universiti dahulu. Bukan saja senior dan junior, malah ada juga pensyarah-pensyarah di universiti itu yang turut sama terpikat akan kecantikkan Aisya.
“Weik!! Nak termuntah aku dengarnya. Angkat sampah masuk bakul sendiri la Cik Aisya oi,” perli Nadia sambil melirik tajam ke arah Aisya yang masih memberi tumpuan terhadap kerjanya.
Aisya hanya tersenyum dan tersengih.
“Eh Aisya, bukan ke ari ni last day ko kat Menara Holding tu. Asal kau buat kerja-kerja ni lagi?” Soal Nadia yang sudah pun duduk mengadap Aisya.
Aisya mengeluh kecil. Dia turut sama duduk mengadap Nadia.
“Tulah yang menjadi masalah pada aku sekarang ni Nadia. Kalau ikutkan memang hari ni last day aku kat Menara Holding tu, tapi dia… dia….” Aisya tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya.
“Dia… dia siapa?” soal Nadia seperti orang bodoh sedangkan dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Aisya itu.
Aisya menarik nafasnya dalam-dalam.
“Bos akulah, siapa lagi. Ada ke dia suruh aku bentangkan proposal yang aku edit semalam kat depan Ahli Lembaga Tunjang Holding. Menggigil aku dibuatnya, macam nak cabut bulu kaki aku ni menahan ketakutan. Yalah, semua yang hadirkan Tan Sri-Tan Sri… Datuk-Datuk… kalau silap sikit, bos aku yang malu nanti.” Terang Aisya dengan jelas dan nyata di hadapan Nadia.
Nadia terlopong. Konon-kononnya kagum dengan apa yang diceritakan oleh Aisya itu.
“Tapi Nadia, Alhamdulillah… kami dapat projek tu,” sambung Aisya yang sudah pun menutup laptop dan diletakkan di atas meja study.
“Oh really! Alhamdulillah. Habis tu kau dah bagitau bos kau tak yang kau last day kat company dia?” Soal Nadia semula sambil membetulkan kedudukannya. Aisya menguak rambutnya yang hampir menutupi mata dan berbaring semula. Nadia menuruti tingkah laku Aisya.
“Aku dah cakap kat dia yang aku last day ari ni. Tapi, dia buat-buat tak dengarlah Nadia, buat bodoh lagi adalah. Pastu ada ke dia suruh aku masuk kerja awal esok. Buang tebiat apa bos aku tu. Tapikan Nadia, macam sayang pulak aku nak tinggalkan kerja aku tu,” jelas Aisya sambil mengerling ke arah Nadia yang sedang berbaring di sisinya.
“Kau sayang nak tinggalkan kerja tu ke tau kau sayang nak tinggalkan bos kau yang handsome tu,” duga Nadia sekadar bersikap serkap jarang. Jarinya memintal-mintal rambut Aisya yang ikal mayang.
“Merepeklah kau ni Nadia. Bos aku tu dah ada awek la, cantik lagi tu. Sama-sama padan, macam pinang di belah dua orang tua-tua kata,” bidas Aisya cuba menyangkal dakwaan Nadia sebentar tadi.
Nadia mencebikkan bibir selepas mendengar pengakuan polos dari Aisya itu.
“Ala, selagi belum kahwin kau ada peluang nak pikat bos kau tu la. Hendak dengan tak nak aje sekarang ni,” kata Nadia sambil memandang tepat ke wajah kawannya itu. Aisya cuba mengawal riak wajahnya yang gusar dari di ketahui oleh Nadia.
“Kau tu aje yang tak nak bagi peluang pada diri kau sendiri Aisya. Cuba kau buka pintu hati kau tu untuk insan yang bernama lelaki. Aku yakin jika kau membukanya, kau pasti akan berjumpa dengan pemilik kunci hati kau yang sebenarnya. Aisya, aku nak tengok kau bahagia. Sampai bila kau nak hidup dibayangi dengan kenangan silam. Past is past Aisya. Jadikan ia sebagai kenangan pahit dalam hidup kau. Nama Tengku Azizul sudah lama padam dalam kamus hati kau Aisya, kini kau perlu gantikannya dengan nama yang lain. Aku rindukan Aisya Lyana Sofea Ahmad Nordin. Aku rindu dengan gelak tawanya. Aku rindu dengan gurauannya. Aku rindu dengan senyumannya. Setiap hari aku berdoa agar kau bertemu kebahagiaan dengan insan yang dapat memberi kesemua yang aku perkatakan tadi,” luah Nadia panjang lebar sambil cuba menyeka air mata yang hampir gugur membasahi pipinya yang putih dan gebu itu. Selama ini Nadia menginginkan Aisya bahagia walaupun jauh di sudut hati, dia terluka dengan sikap dingin, muram dan sedih Aisya selepas kepulangan dari melanjutkan pelajaran di UK.
“Maafkan aku Nadia di atas sikap aku selama ini. Bukan niat aku untuk melukakan hati kau, bukan niat aku juga untuk menidakkan kata hati aku yang aku inginkan kebahagiaan dan bukan niat aku juga untuk menolak segala kebahagiaan yang kadang kalanya aku sendiri nampak di mata aku. Aku terlalu takut Nadia. Takut dengan bayang-bayang aku sendiri. Aku tak nak pisang berbuah dua kali. Cukuplah dengan apa yang aku alami selama ini. Jiwa dan batin aku terseksa akibat kegagalan perkahwinan aku yang lepas. Aku tak nak mengharap atau berharap pada sesiapa pun. Aku….” Terhenti apabila Nadia meletakkan jarinya di bibir Aisya.
“Aku faham Aisya, aku faham. Maafkan aku dengan kata-kata aku tadi. Aku tidak memahami isi hati kau yang sebenarnya. Aku tersalah langkah, ingin membuat kau bahagia tapi sebaliknya dalam kebahagian itu ada dukanya. Jika bukan kerana aku, kau tidak akan terjebak dengan permainan Tengku Azizul dan kawan-kawannya. Aku terlalu pentingkan diri sendiri masa tu Aisya, maafkan aku.” Air mata Nadia mengalir dengan derasnya tanpa henti. Dia berasa bersalah yang amat sangat di atas apa yang berlaku terhadap Aisya. Jika masa boleh diputar semula, ingin saja dia mengelak akan kejadian itu agar Aisya tidak menanggung penderitaan di atas kesilapannya selama ini.


10 ulasan: