Ahad, 4 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 6


BAB 6

“Betul ke ni?” ulang Nadia inginkan kepastian setibanya mereka di hadapan bangunan Menara Holding. Hatinya masih ragu-ragu dengan keputusan Aisya untuk berhenti kerja di Menara Holding. Dia fikir Aisya sekadar bermain-main, tetapi tanggapannya meleset sama sekali. Aisya benar-benar maksudkan akan kata-kata itu.
“Alah Nadia, kau janganlah risau. Tahulah aku bagaimana nak uruskannya,” balas Aisya ingin mententeramkan jiwa Nadia yang sedang berperang. Sudah dua minggu dia tidak hadir bekerja. Hari ini dia perlu menyelesaikan perletakan jawatannya di hadapan Tengku Hariz.
“Kalau ada apa-apa nanti jangan lupa call aku. Susah-susah sangat, kau kerja kat tempat akulah. Kat situ pun ada jawatan kosong,” cadang Nadia.
Aisya hanya tersenyum melihat kekalutan Nadia. Dia mengerti akan keprihatinan dan sikap ambil berat Nadia itu. Selepas apa yang menimpa dirinya enam tahun yang lepas, Nadia begitu fobia untuk berkenalan dengan lelaki. Tetapi, Nadia tidak sepatutnya turut sama terheret dengan masalahnya.
Nadia punya hak untuk hidup bahagia seperti orang lain. Adham Ikmal, lelaki yang disukai Nadia ketika di universiti dahulu ditolaknya keras-keras kerana dikhuatiri akan kecewa sepertimana kecewanya Aisya terhadap insan bernama ‘lelaki’. Adham Ikmal seorang lelaki yang dalam diam menyimpan perasaan terhadap Nadia begitu juga dengan Nadia. Adham Ikmal merupakan rakan karib Tengku Azizul. Disebabkan itu jugalah Nadia menolak keras Adham Ikmal kerana dia beranggapan Adham Ikmal bersubahat dengan Tengku Azizul untuk menghancurkan hidup Aisya. Namun, Adham Ikmal tiada kena-mengena dengan insiden yang terjadi di antara Aisya dan Tengku Azizul. Adham Ikmal sekeras-keras menafikannya agar Nadia beranggapan baik terhadapnya. Benarlah kata orang, hati wanita ini sekeras batu kelikir. Begitu juga kerasnya hati Nadia untuk menerima Adham Ikmal. Akhirnya Adham Ikmal membawa diri ke luar negara kerana kecewa dengan sikap Nadia.
“Eh Aisya, mana Aisya pergi? Dua minggu tak datang kerja,” tegur Nurul tatkala terlihat Aisya melintas di hadapan mejanya. Aisya hanya tersenyum manis. “Orang tanya betul-betul dia senyum pulak,” geram Nurul dan bingkas bangun menuju ke meja Aisya.
“Maafkan Aisya kak, bos ada?” suara Aisya tatkala menyedari perubahan di wajah Nurul.
Nurul hanya menganggukkan kepala. Dia menuju ke mejanya semula apabila tidak dilayan oleh Aisya.
Aisya menarik nafas dan melepaskannya perlahan. Sebentar lagi dia perlu berhadapan dengan seorang lelaki yang egois dan bongkak serta sombong dengan gelaran, pangkat dan darjat yang dimiliki. Ah! Apa la sangat dengan gelaran dan pangkat, bukannya boleh dibawa mati pun, tanam pun tak boleh, ngomelnya sambil tersenyum sinis. Dia segera masuk apabila diberi arahan berbuat begitu.
“Ada apa Nurul? Kan saya dah bagitau tadi yang saya tak nak diganggu,” geram Tengku Hariz yang sedang khusyuk menyemak laporan tanpa mengetahui siapa di hadapannya itu.
“Maafkan saya jika saya mengganggu Tengku ketika ini. Saya datang sini cuma nak serahkan surat perletakan jawatan saya seperti yang saya janjikan sebelum ini,” jawab Aisya dengan yakin sambil menghulurkan surat perletakan jawatan di hadapan mata Tengku Hariz.
Tengku Hariz terkedu seketika. Suara inilah yang aku rindukan. Wangian inilah yang aku dambakan. Aisya!! jeritnya di dalam hati. Dia mengangkat muka dan terlihat susuk tubuh Aisya sedang berdiri di hadapannya. Hatinya berbunga riang seperti meraikan satu kemenangan selepas dia menderita selama dua minggu akibat pemergian Aisya. Kali ini dia tidak akan melepaskan Aisya pergi lagi.
“Saya minta diri dulu,” pinta Aisya dan segera melangkah jalan untuk keluar dari bilik yang amat menyesakkan nafasnya selama ini.
“Nanti dulu!” panggil Tengku Hariz mematikan langkah Aisya.
Tengku Hariz bangun dan berjalan menghampiri Aisya. Aisya cuba mengawal perasaannya. Jantungnya berdegup dengan kencang tatkala Tengku Hariz merenung tajam ke arahnya. Apa lagi yang dia nak ni. Kan aku dah bagi surat, tak cukup lagi ke. Geram betul aku dengan mamat nilah, gerutunya sambil mulutnya tidak henti-henti terkumat-kamit menyebutnya.
“Awak ingat sesuka hati awak aje nak berhenti dari syarikat ni. Awak tak baca ke surat yang awak sign sebelum awak bersetuju menerima jawatan ni dulu,” sambung Tengku Hariz diikuti dengan ketawa sinisnya.
 Ketawa ni yang buat aku menyampah dengan kau Tengku Hariz, balas Aisya di dalam hati. Dia cuba mengingati setiap inci syarat-syarat yang tertulis di surat persetujuan menerima jawatan semula. Berkerut-kerut dahinya. Sumpah dia tidak mengingati langsung akan syarat-syarat tersebut.
“Lupa?” soal Tengku Hariz seolah-olah dapat membaca fikiran Aisya ketika itu.

“Dalam tempoh percubaan dalam jawatan, mana-mana pihak boleh menamatkan perkhidmatan selepas memberi tiga puluh (30) hari notis ataupun membayar pampasan gaji bersamaannya sebagai ganti notis kepada pihak yang satu lagi. Jika gagal, pihak syarikat berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas pekerja tersebut.”

Kecut perut Aisya mendengar setiap butir yang dilemparkan oleh Tengku Hariz itu. Air liur berkali-kali ditelan. Tidak terfikir dek akal segala kemungkinan yang bakal dihadapi sekiranya dia meletakkan jawatan tanpa sebarang notis ataupun cukup sebulan notis. Matilah aku kalau dia ambil tindakan undang-undang. Mana aku nak cari duit bayar kos peguam dan lain-lain, fikirnya sendirian.
Tengku Hariz hanya memerhati gelagat Aisya yang sedang gelabah dan gelisah. Hatinya benar-benar terusik dengan keadaan itu. Huh! Yang last tu aku tokok tambah aje. Saja nak uji minah ni, takut ke tak? Bisik hati kecil Tengku Hariz sambil tersenyum sinis.
“Baiklah Tengku Hariz. Saya akan beri notis sebulan kepada Tengku. Maaf kerana tidak menghadirkan diri selama dua minggu ke pejabat kerana ada urusan keluarga di kampung,” jelas Aisya. Dia mencapai semula surat perletakan jawatan di atas meja dan beredar keluar dari bilik itu. Tengku Hariz yang tersentak dengan penjelasan Aisya hanya memerhatikan kelibat itu hilang dari pandangan mata.
Tengku Hariz merebahkan diri ke kerusi. Fikirannya terus memikirkan Aisya. Bagaimana cara untuk menghalang Aisya dari meletakkan jawatan? Bagaimana cara untuk menyakinkan Aisya agar setia bekerja di syarikatnya? Dia amat memerlukan orang seperti Aisya. Tidak dinafikan laporan yang disediakan oleh Aisya lebih baik dari laporan yang disediakan olehnya. Laporan yang lengkap mengikut format kementerian yang disediakan oleh Aisya itu membuatkan egonya tercabar dan tidak dapat diterima olehnya. Maka disebabkan oleh itu jugalah dia berkasar dan menengking Aisya ketika itu dan meminta Aisya membuat semula laporan tersebut walaupun pada dasarnya laporan itu layak diajukan kepada kementerian. Tengku Hariz membetulkan kedudukan apabila terlihat kelibat Aisya masuk semula ke dalam biliknya.
“Maaf Tengku. Ini notis sebulan saya dan ini laporan yang Tengku minta saya siapkan hari tu. Maaf saya lupa nak berpesan pada Nurul agar berikan laporan ini kepada Tengku,” jelas Aisya dan segera beredar dari situ selepas meletakkan surat dan laporan di atas meja Tengku Hariz.
“Baiklah. Saya akan go through notis dan laporan awak kemudian,” suara Tengku Hariz dalam nada yang sebak. Aduh! Bukan ini yang nak aku katakan padanya. Jangan berhenti Aisya! Aku akan merinduimu, rontanya di dalam hati.
Bukankah ini yang aku nakkan? Bukankah ini matlamat aku yang sebenarnya? Matlamat membuatkan Aisya berhenti. Tetapi kenapa aku terasa sedih? Sedih memikirkan dia akan meninggalkan syarikat ini. Sedih memikirkan dia akan meninggalkanku. Aku amat memerlukannya. Aku akan merinduinya kelak. Kenapa dengan perasaanku ini? Apakah aku sudah jatuh cinta dengannya? Tengku Hariz bermonolog dengan dirinya sendiri. Keluhan berat terlepas dari bibirnya.


“Hey Aisya!” tegur seseorang dari arah belakang memberhentikan suapan nasi ke dalam mulut Aisya. Aisya menoleh dan terlihat kelibat Amirul sedang berdiri sambil tersenyum di belakangnya.
“Hey Amirul! Amirul buat apa kat sini? Bila Amirul balik dari UK?” tanya Aisya dengan riak terkejut. Dia menyambung semula suapan tanpa menghiraukan kehadiran Amirul. Perutnya yang terasa lapar membuatkan dirinya alpa buat sementara.
Amirul melabuhkan duduk berhadapan Aisya. Wajah Aisya ditatap mesra. Betapa rindunya dia pada wajah itu.
“Sorang aje ke?” tanya Amirul tanpa menghiraukan pertanyaan Aisya sebentar tadi. Aisya hanya menganggukkan kepala. “Husband or boyfriend?” sambung Amirul seakan-akan tidak percaya dengan anggukan Aisya. Mana mungkin gadis secantik Aisya tidak mempunyai teman untuk menemaninya makan ketika ini.
“Bila balik Malaysia?” tanya Aisya mematikan soalan Amirul. Sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan Amirul kerana Amirul tidak ada hak untuk mengetahuinya.
Amirul Haqeem Bin Zulkifli, rakan sekuliah Aisya ketika di United Kingdom dahulu.  Aisya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah, manakala Amirul menyambung pengajian di peringkat Sarjana. Kepulangan Aisya ke Malaysia benar-benar memberi kesan yang mendalam ke atas Amirul kerana sudah lama Amirul memendam perasaan terhadap Aisya. Namun, kedinginan Aisya membuatkan dia tidak berani untuk meluahkan perasaannya ketika di UK dahulu walaupun dia yakin yang Aisya sudah mengetahui akan perasaannya itu.
“Hey… mengelamun pulak,” tegur Aisya mematikan lamunan Amirul. “Bila balik Malaysia?” ulang Aisya kepada soalan yang sama. Aisya membersihkan tangan dan mencapai sehelai tisu lalu mengesat mulutnya. Setia menunggu jawapan daripada Amirul.
“Minggu lepas. Aisya sihat? Aisya kerja kat mana sekarang?” jawab dan soal Amirul pula.
“Aisya sihat Alhamdulillah. Sekarang Aisya bekerja sebagai Project Executive kat Menara Holding,” balas Aisya. Matanya melilau melihat keadaan restoran itu. Takut untuk bertentang mata dengan Amirul.
Selama ini, Amirul memendam perasaan terhadapnya. Secara tidak sengaja dia telah terbaca diary milik Amirul ketika diary itu tertinggal sewaktu mereka sama-sama mentelaah buku di perpustakaan. Amirul telah meluahkan perasaannya di dalam diary itu. Sejak Aisya mengetahuinya, Aisya cuba mengelakkan diri dari berjumpa dengan Amirul terlalu kerap. Dia tidak mahu memberi apa-apa harapan kepada Amirul. Tidak mahu mengecewakan hati dan perasaan insan sebaik Amirul.
“Wow! Menara Holding! Syarikat besar dan terkenal di Kuala Lumpur. Untung Aisya dapat bekerja di syarikat sebesar itu.” Kagum Amirul berserta ketawa kecil.
Untung? Untungkah aku bekerja di syarikat itu? Untungkah aku bekerja di bawah seorang bos yang egois, bongkak dan berlagak seperti Tengku Hariz itu. Untungkah aku? Ulang Aisya di dalam hati. Aisya tersenyum melihat gelagat Amirul yang masih lagi berbicara mengenai Syarikat Menara Holding. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meninggalkan Amirul yang masih mengagumi kredibiliti Tengku Hariz menguruskan syarikat sebesar itu. Sakit hatinya apabila mendengar nama Tengku Hariz di julang-julang oleh Amirul. Uwekk!!! Naik meluat aku mendengarnya, kutuk Aisya.
“Tengku nak minum apa?” tanya seorang pelayan. Dia menyerahkan buku menu kepada Tengku Hariz. Tengku Hariz mencapai buku menu itu dan melihatnya sepintas lalu.
“Macam biasalah,” jawab Tengku Hariz. Dia memulangkan buku menu kepada pelayan tersebut. Malas untuk memikirkan makanan apa yang hendak dimakannya ketika itu.
Pelayan itu mengangguk. Mengerti permintaan Tengku Hariz dan segera beredar dari situ setelah meletakkan segelas air kosong di hadapan Tengku Hariz.
Tengku Hariz melilau melihat sekeliling restoran. Dia gemar makan di restoran itu kerana suasana di situ begitu mendamaikan. Hiasan dalaman yang unik dan antik di dalam restoran itu membuatkan seseorang terasa tenang apabila menikmati setiap hidangan di restoran itu. Ditambah dengan pancutan air terjun mini di hadapan pintu masuk, menarik minat sesiapa untuk berkunjung ke restoran itu.
Sedang asyik dia memerhatikan sekeliling restoran, matanya tertumpu ke arah sebuah meja yang terletak tidak jauh dari meja yang sedang didudukinya. Dia mengamati dari jauh susuk tubuh yang sedang leka berbicara dengan seorang lelaki. Bergelak ketawa dan bertepuk tampar di antara satu sama lain membuatkan dia merasa cemburi dengan situasi itu. Kenapa aku dan Sharifah Aleeya tidak seperti pasangan itu? Asal berjumpa sahaja, bergaduh. Asal berjumpa sahaja, bergaduh. Huh! Bosan! Keluhnya sambil meneguk air dari dalam gelas.
“Aisya!” terpacul nama itu dari mulutnya apabila terlihat pasangan itu berdiri menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Hampir tersedak dia menyebut nama Aisya. Siapa lelaki itu? Suami dia ke? Kekasih dia ke? Soalnya di dalam hati inginkan kepastian. Hatinya tidak tenteram ketika itu selagi dia tidak mendapat jawapan dari setiap persoalan yang terbuku di dalam hati.


“Hariz!” panggil Puan Sharifah Rohana mematikan ingatan Tengku Hariz terhadap peristiwa tengahari tadi.
“Ada apa ma?” tanya Tengku Hariz terkejut. Dia mencapai buku di atas meja dan menyelak helaian demi helaian buku tersebut.
Puan Sharifah Rohana menghampiri Tengku Hariz yang sedang berpura-pura membaca. Seperti ada perkara yang sedang mengusutkan fikiran anaknya itu.
“Riz ada telefon abang?” soal Puan Sharifah Rohana seraya duduk di birai katil.
“Ada ma, semalam. Abang kirim salam pada mama dan papa,” jawab Tengku Hariz dan segera bangun dan duduk bersebelahan dengan Puan Sharifah Rohana di birai katil. “Kenapa ni ma, ada yang tak kena ke?” sambung Tengku Hariz apabila menyedari perubahan di wajah Puan Sharifah Rohana.
Puan Sharifah Rohana hanya menggeleng.
“Habis tu apa dia ma.” Kali ini suara Tengku Hariz agak keras. Mendesak Puan Sharifah Rohana supaya bersuara dan meluahkan apa yang terpendam di dalam hati.
“Riz boleh tolong mama?” suara Puan Sharifah Rohana terketar-ketar.
“Tolong? Tolong apa?” Tengku Hariz mengulangi kata-kata mamanya.
Puan Sharifah Rohana bingkas bangun dan menuju ke jendela. Pandangannya di halakan ke luar jendela sambil melepaskan keluhan panjang. Tengku Hariz kehairanan melihat gelagat Puan Sharifah Rohana. Bingkas dia bangun dan menuju ke arah Puan Sharifah Rohana yang masih termenung. Seakan ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran Puan Sharifah Rohana ketika ini. Tengku Hariz setia menanti Puan Sharifah Rohana meluahkan isi hati yang terpendam.
“Mama bersalah pada abang. Mama dah musnahkan kebahagiaan abang,” luah Puan Sharifah Rohana diikuti dengan keluhan panjang untuk ke sekian kalinya. Tengku Hariz mengangkat kening. Tidak memahami luahan isi hati Puan Sharifah Rohana.
“Ma, mama cakap apa ni?” soal Tengku Hariz sambil memeluk erat Puan Sharifah Rohana. Cuba mententeramkan jiwa mamanya yang sedang berserabut ketika ini.
“Tak ada apa-apalah Riz. Mama keluar dulu,” dalih Puan Sharifah Rohana dan segera beredar dari situ. Belum masanya untuk menceritakan perkara sebenar kepada Tengku Hariz.
Tengku Hariz mengekori kelibat Puan Sharifah Rohana dengan ekor matanya sahaja. Sesekali terlihat kerutan di dahi Puan Sharifah Rohana. Wajah Puan Sharifah Rohana terlayar di ruangan mata. Jarang sekali mamanya bersikap seperti tadi. Mesti ada perkara yang sedang mengganggu fikiran mama, ulasnya. Dia mencapai laptop dan menyambung kerjanya yang sedikit tertangguh di pejabat siang tadi.


Puan Sharifah Rohana berteleku di atas sejadah. Sudah lama sungguh dia tidak mengadap ALLAH, memohon keampunan dan keberkatan dariNYA. Tanggungjawabnya sebagai seorang Islam diabaikan begitu sahaja semenjak dia berkahwin dengan Tengku Azman. Dia semakin menjauhi tikar sejadah dan juga telekung selepas dia melibatkan diri dalam dunia perniagaan kosmetik. Kekangan masa membuatkan dia hidup seperti orang yang tiada pegangan hidup, malah Tengku Azman juga tidak pernah menegur dan mengajarnya tentang ilmu agama kerana Tengku Azman sepertinya juga. Ya ALLAH! Terlalu keldil hambaMU ini memohon keampunan dariMU. Tidaklah layak hambaMU ini untuk meminta dan memohon kerana sudah lama hamba tidak memohon dan mengadap padaMU. Sesungguhnya hambaMU ini terasa hina dan menyesal dengan apa yang pernah hamba lakukan selama ini, pinta dan rayu Puan Sharifah Rohana di hadapan ALLAH. Sejurus kemudian air matanya mengalir deras membasahi pipi, menginsafi dan menyesali akan perbuatannya selama ini.
Seusai sholat, Puan Sharifah Rohana mencapai sebungkus beg plastik yang diletakkan di atas meja solek. Dia mengeluarkan isi yang terdapat di dalam beg plastik dan membaca setiap inci ayat yang tertera di atas paket plastik kecil yang berada di tapak tangan, 5 bungkus paket kesemuanya. Sebiji selepas makan! Bisiknya diikuti dengan keluhan kecil. Pertemuan dengan Dr. Borhan petang tadi terimbau di ingatan semula.
“Ana, I dah periksa rekod perubatan you dan I juga sudah membuat pemeriksaan lanjut ke atas tubuh you,” jelas Dr. Borhan serius membuatkan Puan Sharifah Rohana tidak senang duduk dan gelisah. Dr. Borhan merupakan doktor peribadi keluarga Tengku Azman dan setiap masalah kesihatan keluarganya diajukan kepada Dr. Borhan.
“I harap you sedia mendengarnya Ana.” Dr. Borhan menarik nafas dan melepaskannya. Puan Sharifah Rohana setia mendengar. “You menghidap barah otak tahap ke 3. I cadangkan you jalani pembedahan kecil untuk mengeluarkan sebahagian ketumbuhan yang ada dalam otak you,” sambung Dr. Borhan sayu dan sebak. Matanya tepat ke muka Puan Sharifah Rohana.
Puan Sharifah Rohana tergamam mendengarnya. Bagaikan hendak tercabut tangkai jantungnya apabila mendengar baris-baris ayat yang diluahkan oleh Dr. Borhan sebentar tadi. Air mata tidak dapat diseka lagi lalu gugur membasahi pipi. Dr. Borhan bangun dan menghampiri Puan Sharifah Rohana. Dia cuba mententeramkan Puan Sharifah Rohana dari terus-terusan menangis. Nurse yang berada di dalam bilik itu turut sama mengusap lembut bahu Puan Sharifah Rohana.
“Han, kalau I tak jalani pembedahan tu, chances untuk I hidup berapa lama Han?” soal Puan Sharifah Rohana terketar-ketar sambil cuba menahan esakan tangisannya.
Dr. Borhan kembali duduk dan mencapai fail peribadi Puan Sharifah Rohana.
“Ana, you jangan mudah berputus asa. You ada harapan untuk sembuh asalkan you jalani pembedahan tu,” nasihat Dr. Borhan sambil menulis sesuatu di dalam fail tersebut.
Puan Sharifah Rohana membisu seketika. Tiada apa lagi yang boleh dikatakan ketika itu hanyalah melepaskan keluhan mengenangkan hari-hari yang bakal mendatang.
“Han, I minta pada you, tolong rahsiakannya dari family I, terutamanya Azman,” pinta Puan Sharifah Rohana sebelum meninggalkan ruangan itu. Selepas itu, dia diminta untuk mengambil ubat di farmasi. Dr. Borhan mengangguk tanda faham.
Puan Sharifah Rohana mengesat air mata yang sudah pun gugur membasahi pipi. Hatinya kini redha dan ikhlas menerima segala ketentuan yang telah ditakdirkan buat dirinya. Tiada apa yang boleh dilakukannya lagi hanyalah sujud mengadap ILLAHI, memohon keampunan di atas kesilapannya dahulu.  Di mana aku nak cari dia? Aku banyak bersalah pada dia. Ya ALLAH, berilah aku kesempatan untuk memohon ampun dan maaf daripada dia sebelum aku menutup mata mengadapMU selama-lamanya. Sayu dan sebak di dalam dada memohon doa kepada ALLAH.


           “Kau biar betul Aisya? Kau masih ada selera lagi nak mengadap bos kau tu selepas apa yang dia buat pada kau,” tanya Nadia inginkan kepastian. Berkerut-kerut dia memandang Aisya.
Aisya bingkas duduk bersebelahan Nadia yang sedang khusyuk menonton drama di televisyen.
           “Ya, betul juga. Kalau kau berhenti tiba-tiba tanpa sebarang notis… kau boleh di dakwa tau, semua company macam tu,” sambung Nadia sambil menguatkan volume televisyen. Eh! Betul ke? Aku rasa company aku tak ada pulak macam tu sampai kena tindakan undang-undang, Nadia berteka-teki. Pedulikanlah!!
“Aku tahu Nadia. Kau janganlah risau. Tahulah aku macam mana nak uruskannya. Kau ni risau sangatlah,” kata Aisya sambil mencapai remote dan menukar siaran lain.
“Hey, jangan tukarlah. Aku tengah khusyuk tengok cerita tu,” marah Nadia dan merampas semula remote dari tangan Aisya.
“Lepas sebulan, aku jadi isteri kaulah ya Nadia,” perli Aisya dan tersengih-sengih. Sengaja mengganggu tumpuan Nadia yang sedari tadi khusyuk mengadap televisyen. “Yalah… lepas sebulan aku kan jadi penganggur terhormat merangkap isteri kau. Kau kenalah sara aku, bagi duit kat aku tiap-tiap bulan… betul tak?” gurau Aisya dan bingkas bangun menuju ke biliknya sambil ketawa.
Ish! Aisya ni memang nak kena. Ada ke nak suruh aku sara dia… eee… geli aku, gerutu Nadia sendirian sambil matanya memandang tepat ke arah Aisya yang sudah mulai hilang di sebalik pintu bilik.
Aisya duduk termangu di birai katil. Fikirannya tertumpu kepada Amirul. Pertemuan dengan Amirul di restoran tengahari tadi membuatkan dia mengingati semula akan kisah suka duka ketika berada di UK enam tahun yang lepas. Dia mengimbau semula bagaimana pertemuan pertamanya dengan Amirul. Terbayang di ingatan bagaimana Amirul hampir di pukul kerana cuba mempertahankannya daripada di kacau oleh sekumpulan Negro. Dia yang berjalan pulang ke hostel lewat malam selepas membeli makanan, telah terlanggar seorang lelaki berbangsa Negro di sebuah kafe. Dia memohon maaf tetapi tidak diendahkan oleh lelaki Negro tersebut. Maka dari itu, dia hampir dipukul oleh lelaki tersebut dan mujur ketika itu Amirul datang membantunya.
Tidak dapat menahan kemarahan, lelaki Negro itu mengajak rakan-rakannya datang membantu untuk membelasah Amirul. Nasib mereka baik ketika itu kerana sebuah kereta peronda polis secara kebetulan melalui kawasan itu dan dengan langkah seribu, dia dan Amirul berlari sekuat hati untuk melepaskan diri dari kumpulan Negro tersebut. Amirul yang hanya berselipar ketika itu, terpaksa berlari berkaki ayam kerana seliparnya tiba-tiba terputus sewaktu berlari.
“Awak kena belanja saya selipar ni,” lawak Amirul sambil meletakkan seliparnya di atas telapak tangan Aisya.
Aisya mengerutkan dahi. Seminit kemudian, ketawanya pecah melihatkan keadaan Amirul. Amirul melemparkan senyuman. Kemudian, dia turut sama melepaskan ketawanya.
Sejak dari itu, perhubungan persahabatan mereka menjadi akrab. Kemana saja bersama bagaikan sepasang kekasih sehinggakan rakan serumah Aisya, Monica bertanyakan tentang perhubungannya dengan Amirul. Dia menafikan sekeras-kerasnya yang dia tidak mempunyai hubungan apa-apa dengan Amirul. Hatinya masih lagi tertutup buat insan yang bernama lelaki. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Disebabkan lelaki, dia merantau ke negara orang. Membawa hatinya yang terluka dan masih berdarah di atas kenangan lalu. Disebabkan itu jugalah, dia tidak mahu mempunyai perasaan apa-apa terhadap Amirul. Baginya, Amirul adalah sahabat dunia dan akhirat.
“Maafkan Aisya,” ucapnya pada suatu hari sambil menghulurkan semula diary milik Amirul yang tertinggal.
Amirul terkejut, namun dia cuba untuk menyembunyikan riak terkejutnya di hadapan Aisya. Alamak! Macam mana aku boleh tertinggal ni. Mesti Aisya dah tahu luahan isi hati aku padanya, bicara Amirul sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aisya tersenyum melihat keadaan Amirul yang gelabah dan kerisauan. Dia dapat membaca dengan apa yang sedang Amirul fikirkan.
“Errr… Ai… sya….” ada getaran di sebalik suara Amirul. “Amirul….”
“It’s okey Amirul. Aisya tak baca diary Amirul. Lagipun berdosakan kalau kita baca hak orang tanpa kebenaran tuannya.” Aisya sengaja memotong kata-kata Amirul.
Aisya dapat mengagak akan apa yang bakal diluahkan oleh Amirul nanti. Dia khuatir jawapan yang bakal diberikan kepada Amirul akan mengecewakan Amirul dan meretakkan persahabatan mereka yang telah lama terjalin.
Amirul mengangguk tanda faham. Dia mengerti akan jawapan Aisya itu walaupun dia belum berkesempatan untuk meluahkannya.
Bermula dari itu, Aisya cuba sedaya upaya untuk tidak terlalu rapat dengan Amirul dan tindakannya itu disedari oleh Amirul. Dia tidak mahu memberi harapan tinggi kepada Amirul kerana hatinya belum bersedia untuk mencintai dan dicintai. Biarlah masa yang menentukan segala-galanya kerana dia yakin suatu hari nanti, akan ada insan yang bernama lelaki yang bisa menggetarkan tangkai hatinya itu. Dia sentiasa berdoa dan memohon kepada ALLAH agar tidak membenci mahupun menjauhkan diri daripada insan yang bernama lelaki.
Sedang khusyuk Aisya berkhayal, tanpa disedari, Nadia sedang tercegat di sisi pintu bilik sambil berpeluk tubuh dan tersenyum. Tersenyum melihat gelagat Aisya yang berguling ke kiri dan ke kanan sambil fikiran Aisya melayang entah ke mana. Dia juga dapat melihat ada riak gembira di wajah Aisya yang selama ini dirindui selepas peristiwa hitam itu. Aku harap kau akan sentiasa tersenyum dan gembira Aisya! Doanya di dalam hati dan selepas itu menutup semula pintu bilik Aisya dan melangkah longlai menuju ke biliknya untuk beradu. Hanya pada ALLAH sahaja Nadia bermohon agar Aisya yang dikenalinya suatu ketika dulu akan kembali kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan hidup.


4 ulasan: