Isnin, 30 Januari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 8


BAB 8

“Mana boleh dia buat aku macam ni. Sesuka hati dia aje nak tukarkan aku. Apa dah tak ada orang lain lagi ke dia nak ambil,” rungut Liyana di hadapan Fazura. “Mentang-mentanglah dia bos, nak tunjuk lagak dengan akulah tu. Benci betullah!!” tambah Liyana lagi.
Sakit hatinya apabila mendapat arahan daripada pihak pengurusan memintanya ditukarkan ke bahagian pentadbiran. Yang menambahkan kesakitan di hatinya apabila dia diletakkan di bawah pengurusan Amirul, menjadi pembantu Amirul. Huh!!
Fazura yang mendengar sekadar menggeleng. Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberi nasihat. Liyana kawan baiknya manakala Amirul bosnya. Hisy… pening kepala aku dibuatkan diorang berdua ni, rungut Fazura di dalam hati.
“Yang kau senyap aje ni kenapa? Bagilah idea macam mana aku nak tolak arahan dia tu,” sergah Liyana keras. Sakit hatinya melihatkan kebisuan Fazura.
Fazura tersentak dari lamunan. Sebentar tadi, otaknya ligat memikirkan tentang Amirul dan Liyana. Bagiamana untuk merapatkan hubungan mereka berdua? Hatinya kuat menyatakan yang mereka berdua memendam perasaan antara satu sama lain.
“Aku tengah fikirlah ni. Kau ni pun satulah Lia. Yang kau gelabah macam beruk terkena air panas ni kenapa? Relakslah! Kan lagi bagus kalau kau bawah dia. Lagi senang kau nak kenakan dia,” cadang Fazura. Mungkin dengan cara ini, Liyana dapat berkenalan dengan Amirul lebih rapat lagi.
“Eh… mana ada aku gelabah. Aku cuma tak suka nak tengok muka dia. Bukannya handsome mana pun,” bidas Liyana pantas. Dia tersenyum pahit.
“Sudahlah Lia. Macamlah baru sehari aku kenal kau,” cebik Fazura seraya bangun. Dia mengerling ke jam tangannya. Waktu rehat semakin ke penghujung.
“Aku naik dululah Lia. Banyak kerja yang aku nak settlekan. Good luck!” ujar Fazura berserta senyuman leretnya.
Liyana sekadar memerhati kelibat Fazura menjauh darinya. Dia perlu mententeramkan perasaan buat seketika. Sungguh tidak menyangka yang Amirul mengotakan kata-katanya. Peristiwa dua hari yang lepas terimbau di ruang matanya.
“Siapa pulak tu?” tanya Fazura sambil cuba membuka pintu pagar rumah.
Jam di tangan dikerling seketika. Masa menginjak ke angka dua belas malam. Terlalu lama mereka berdua membeli-belah di pasaraya tadi selepas membeli makanan.
 “Kau ada jemput sesiapa ke Zura? Kot-kotlah kau nak buat kenduri dengan nasi bungkus kau tu,” kata Liyana dan tertawa kecil.
Mereka berdua memerhatikan kereta BMW berwarna Hitam yang baru diparkirkan tidak jauh dari halaman rumah mereka. Kelihatan seorang lelaki keluar dari perut kereta tersebut. Terkejut Fazura dan Liyana melihatnya.
“Hisy… apa dia buat kat sini? Macam mana dia tau rumah kau ni Zura?” sungut Liyana tidak senang.
“Kau ni kalau nak tanya soalan, biarlah logik sikit. Ini tidak, soalan mengalahkan budak darjah dua aje,” bebel Fazura.
Liyana menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kurang mengerti akan maksud Fazura itu.
“Diakan bos!” sambung Fazura melihatkan muka pelik Liyana.
“Eh…. ya tak ya jugak. Apalah kau ni Lia,” kutuk Liyana kepada dirinya sendiri.
Mereka memerhatikan sahaja langkah Amirul yang semakin menghampir. Entah mengapa ada debaran di dada Liyana. Jantungnya berdegup dengan kencang tatkala melihat penampilan Amirul. Tampak santai dan menawan. Kenapa aku tak perasaan penampilannya tadi, bisik hati Liyana.
“Aku masuk dululah Lia. Aku rasa dia nak jumpa kau tu,” pamit Fazura tanpa disuruh.
“Zura… aku…” ada getaran dari suaranya itu.
“Good luck!!” ucap Fazura dan menapak masuk ke dalam rumah. Liyana hanya memerhati dari ekor matanya sahaja. Dalam hatinya hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa gelabahnya dia ketika itu.
“Buat apa datang sini?” tanya Liyana kasar setibanya Amirul di hadapannya.
“Kau macam tak suka aje aku datang sini. Kalau Harris yang datang, mesti kau tak sekasar ini kan?” sindir Amirul geram. Terkejut dengan penerimaan Liyana.
“Itu hak saya. Encik Amirul tak ada kena-mengena dengannya,” bidas Liyana dan berpeluk tubuh.
“Siapa kata tak ada kena-mengena dengan aku. Aku ni bakal suami kau. Semua tentang kau, aku perlu tahu dan ambil tahu,” bidas Amirul pula.
“Hello… tolong sikit ya Encik Amirul. Saya tak pernah pun declare yang encik ni bakal suami saya. Tak ingin saya bersuamikan lelaki macam encik ni. Egois, sombong, berlagak dan lain-lain adik-beradik sepupu sepapatlah.” Liyana memprotes. Perasan!
Panas telinga Amirul mendengarnya. Liyana di hadapan di pandang tajam.
“Kau jangan nak naikkan darah aku Liyana,” marah Amirul sambil menggenggam penumbuknya.
“Suka hati sayalah!” balas Liyana acuh tak acuh. “Daripada saya layan Encik Amirul, baik saya layan kucing kat dalam rumah saya ni. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya masuk dululah. Terasa panas pulak malam ni,” sambung Liyana dan menapak jalan masuk ke rumah.
Belum sempat kakinya melangkah, lengannya sudah ditarik oleh Amirul membuatkan dia terdorong ke belakang.
“Aku bagi amaran kat kau. Aku tak suka kau berkawan dengan Harris. Aku tak suka kau keluar dengannya. Kau hak aku dan aku takkan lepaskan kau. Aku akan pastikan kau terikat dengan aku sampai bila-bila,” tengking Amirul kasar.
Terkedu Liyana seketika. Bagaikan batu konkrit menghempap badannya ketika itu. Terkebil-kebil matanya memandang Amirul. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Amirul itu?
“Encik Amirul ugut saya?” tanya Liyana inginkan kepastian.
Namun persoalannya itu dibiarkan oleh Amirul tanpa berjawab. Amirul melangkah pergi sebaik sahaja dia melepaskan lengan Liyana dari genggamannya.
“Apa maksud dia hari tu? Aku hak dia? Dia takkan lepaskan aku? Dia nak aku terikat dengan dia sampai bila-bila? Hisy… makin pening kepala aku dibuatnya,” gerutu Liyana sendirian. Untuk tidak menyesakkan fikirannya lagi, lantas Liyana mengangkat kaki beredar dari situ.


“Kenapa kau tukarkan Liyana?” tanya Harris tidak berpuas hati.
“Bukan aku, papa!” jawab Amirul acuh tak acuh.
“Pak Long? Tapi kenapa?”
Amirul menutup fail yang dibacanya. Dia mengangkat muka dan memandang tepat ke muka tegang Harris. Apa perasaan Harris jika dia tahu Liyana tu bakal isteri aku, bisiknya.
“Aku tak tahu Ris. Semua ni keputusan papa. Papa nak Liyana bekerja bawah aku,” dalih Amirul cuba menyembunyikan kebenaran.
Sebenarnya dia yang mengkehendakkan Liyana berada di sisinya, di hadapan matanya. Entah mengapa, dia sendiri tidak pasti. Adakah dia sudah jatuh cinta pada Liyana? Oh no… no… mustahil aku jatuh cinta pada dia, hatinya pantas membidas.
Harris tidak senang duduk. Keputusan Tan Sri Khalil menyesakkan nafasnya. Bagaimana untuk melepaskan Liyana? Selama beberapa bulan bekerjasama dengan Liyana, dapat dirasakan kebahagiaannya. Bahagia berada di sisi Liyana. Sehari tak pandang, rindu rasanya. Hatinya sentiasa berbunga riang. Dan dia yakin yang dia sudah jatuh cinta dengan gadis itu.
“Kalau dah itu keputusan Pak Long, aku tak boleh nak kata apa,” keluh Harris sambil meraup muka. Mungkin kecewa dengan keputusan Tan Sri Khalil.
“Yang kau terlebih emo ni kenapa? Bukannya kau tak boleh jumpa dengan dia lagi. Satu bangunan dan bezanya satu tingkat aje,” balas Amirul dan tergeleng kecil.
Tak faham aku dengan dia ni. Apa yang dipandangkan sangat dengan perempuan tu, bukannya cantik mana pun, gerutu Amirul.
“Aku bukannya emo, tak sampai hati nak lepaskan dia. Hari-hari aku dah pandang dia, lepas ni aku nak pandang apa pulak. Rul… aku rasa aku dah jatuh cinta dengan dialah,” luah Harris jujur.
Tergamam Amirul mendengarnya. Jika sebelum ini Harris tidak pernah berterus-terang akan perasaannya, dan hari ini dia mendengarnya dari mulut Harris sendiri. Cemburukah aku? Hisy… mana ada aku cemburu. Lantak dialah nak suka kat siapa, hak dia. Lagipun Liyana tu bukan taste aku. Macam Betty Suarez rupanya. Dressing dia… mak oii… kalah orang gaji aku kat rumah tu, kata akalnya berbisik. Ya ke Amirul? Bukan ke kau akui dulu yang dia menawan walaupun hanya berbaju kurung. Kau ni Amirul, cakap tak serupa bikinlah, hatinya yang lagi satu membidas.
“Aku nak luahkan perasaan aku pada dialah Rul. Agak-agaknya dia terima tak cinta aku ni?” sambung Harris berserta senyuman di bibir.
“Ha… kau cakap apa Ris?” tanya Amirul seakan tersedar dari lamunannya.
“Ya ALLAH, kau mengelamun ke? Apalah kau ni Rul. Tak pelah, aku balik bilik aku dululah. Aku nak jumpa Liyana kejap sebelum dia naik ke atas ni,” ujar Harris seraya bangun.
“Yalah, aku pun nak turun ni. Baru aku teringat, Shasha nak jumpa aku lepas kerja ni,” balas Amirul turut sama bangun.
“Oh… pergi datinglah ni. Kiranya kau dah baik dengan Shashalah ya. Kali ni siapa pulak yang mengalah, kau ke dia?” komen Harris sambil melangkah menuju ke pintu bilik.
Amirul sekadar membisu. Tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Dia sendiri masih lagi terkejut selepas mendapat panggilan telefon daripada Shasha. Hal apa yang ingin dibincangkan oleh Shasha, dia sendiri tidak pasti.
“Mesti kau yang mengalahkan? Tak pelah Rul, aku cuma nak nasihatkan kau. Sekali sekala kau kena gunakan ego lelaki kau tu. Nanti bila dia dah pijak kepala kau tu, baru kau nak sedar dan menyesal,” nasihat Harris dan berlalu pergi dari situ.
Amirul hanya memerhati dari ekor matanya sahaja. Ada benarnya kata-kata Harris itu. Dia perlu menggunakan ego lelakinya apabila berhadapan dengan Shasha. Tetapi kenapa apabila berhadapan dengan Liyana, ego lelakinya melebihi dari perasaannya.


Liyana mengerling jam di tangan. Masih berbaki satu jam sebelum dia memulakan kerjanya di Butik Idaman. Dia menopang dagu di meja kerjanya. Terasa bosan dirasainya waktu itu. Sungguh dia tidak bersetuju diarahkan bertukar ke bahagian pentadbiran. Jiwanya lebih kepada bahagian operasi, malah Harris seorang ketua yang baik. Huh!! Sebuah keluhan terlepas dari bibirnya. Bagaimana dengan hari-hari yang mendatang? Adakah Amirul seorang ketua yang baik seperti Harris? Kenapalah nasib aku ni malang? Rasa terseksa yang amat sangat. Aku perlukan udara untuk bernafas. Sesak nafas aku dibuatnya. Ibu, Lia rindukan ibu. Ibu tak rindukan Lia ke? Rintih Liyana sendirian. Entah mengapa matanya mulai berkaca. Rasa rindu mencengkam hebat dirinya waktu itu.
“Kau nak balik dengan aku tak Lia?” tanya Fazura mengejutkan Liyana. Pantas dia menyeka air matanya yang hampir gugur.
Terjegil mata Fazura melihatnya. Wajah Liyana diamati dalam-dalam. Seperti ada sesuatu yang membuatkan wajah itu bermuram duka. Mungkinkah disebabkan pemindahan dari bahagian operasi ke bahagian pentadbiran membuatkan Liyana sedih. Mustahil!! Tidak mungkin Liyana bersedih tentang perkara itu. Hanya kerana keluarga bisa membuatkan Liyana sesedih begitu. Ya, tentang ayah serta keluarganya. Sejak dari dulu lagi, Liyana akan bersedih jika mengenangkan tentang keluarganya. Jika perkara lain, mustahil Liyana akan sesedih itu even dia pernah kemalangan suatu masa dahulu.
Fazura menapak masuk ke dalam bilik Liyana. Cantik dan menarik bilik yang disediakan buat Liyana. Warna purple light dan dipadankan dengan perabot buatan Itali menampakkan kemewahan di dalam bilik itu. Liyana ditukarkan ke bahagian pentadbiran atas arahan Tan Sri Khalil melalui Amirul kerana Amirul mengkehendakkannya begitu. Sungguh bertuah Liyana. Bakal menjadi menantu Tan Sri Khalil. Pasti ramai yang akan menggigit jari sendiri apabila mendapat tahu perkara itu. Bagaimana pula reaksi Harris? Sukar untuk membayangkan jika situasi itu berlaku suatu hari nanti.
“Lia… kau kenapa ni?” tegur Fazura dan duduk bersebelahan Liyana. Dipeluk bahu kawan baiknya itu. Cuba untuk menenangkan perasaan sedih kawannya itu.
Liyana menyeka air matanya. Entah bagaimana air matanya itu boleh gugur, dia sendiri tidak menyedarinya. Apa yang dirasakan waktu itu hanyalah kerinduan pada keluarga. Begitu berat untuk ditanggung olehnya lagi. Sukar untuk menerima kenyataan bahawa dia diabaikan oleh keluarganya sendiri terutama Dato’ Zulkifli. Sehingga ke hari ini, hatinya masih tertanya-tanya kenapa Dato’ Zulkifli membencinya dan sekali gus mengabaikannya. Dia juga punya keinginan untuk disayangi oleh keluarganya sendiri. Dia juga punya hati dan perasaan. Dia juga punya rasa sakit, kecewa dan sedih jika diperlakukan sebegitu.
“Sudahlah Lia. Aku tak yakin kau sedih disebabkan penukaran kau ni. Aku pasti kau sedih disebabkan keluarga kaukan?” duga Fazura. Itulah yang dirasakan melihatkan kesedihan Liyana.
Liyana mengangguk lemah. Fazura memang pandai menduga perasaannya. Selama mereka berdua berkawan, Fazura yang banyak memberi semangat dan kekuatan buatnya. Fazura juga yang banyak membantu dari segi kewangan walaupun pada dasarnya dia lebih berkemampuan daripada Fazura sendiri. Namun apakan daya, dia terpaksa mencari kehidupannya sendiri. Mencari kehidupan yang telah lama menghilang disebabkan sikap dan perangai Dato’ Zulkifli terhadapnya.
“Aku rindukan mereka Zura. Tapi, berbaloi ke kerinduan aku ini. Aku rasa terseksa menanggung kerinduan ini. Perlukah aku melawat mereka Zura?” luah Liyana sambil menatap wajah Fazura. Meminta pendapat dari kawan baiknya itu.
“Erm… susah aku nak bagi pendapat Lia. Kau pejamkan mata, dengar kata hati kau sendiri. Kau akan dapat jawapannya.” Hanya itu yang mampu dikatakan oleh Fazura.
“Ya… aku kena tanya pada hati aku sendiri. Tapi, boleh ke hati bercakap. Hati tu ada mulut ke?” tanya Liyana lurus. Sengaja menceriakan suasana dan tidak mahu terus-terusan di harung kesedihan.
“Mulut?” ulang Fazura berserta kerutan di dahi. “Kau ni Lia, kalau tak kenakan aku sehari, memang tak sah. Tadi menangis berbagai-bagai, sekarang gelak pulak. Hisy… sakit hati aku dengan kau nilah Lia,” bebel Fazura tatkala menyedari dirinya dipermainkan oleh Liyana.
Liyana tersengih. Sengaja mengusik Fazura. Dia akan rasa lebih tenang selepas ketawa. Dengan ketawa dapat menghilangkan rasa tekanannya itu.
“Alah… itu pun nak marah ke? Usik sikit pun tak boleh. Sejak bila pulak kau jadi sensitif ni?” komen Liyana seraya bangun.
“Kau tu memang. Tapi, aku lebih suka tengok kau macam ni dari kau bersedih. Kalau kau bersedih, aku turut sama bersedih Lia. Sehari tak tengok kau ketawa, macam pelik aje aku rasanya,” jelas Fazura turut sama bangun.
Itulah yang dirasakannya selama ini. Usikan Liyana sudah sebati dalam dirinya. Jika tidak melihat wajah ceria Liyana, bermacam-macam akan difikirkan olehnya tentang Liyana. Kadang-kadang dia juga merasa pelik dengan sikap dan perangai Liyana. Jika Liyana bersedih, hanya untuk beberapa minit dan kemudian itu, dia akan melihat wajah ceria Liyana. Mungkin Liyana memendam segala kedukaan dan kesedihannya selama ini dan tidak mahu dikesan olehnya.
“Kau nak tumpang aku tak?” tanya Fazura dan menapak ke muka pintu bilik.
“Aku kerjalah Zura. Tak apalah, kau baliklah dulu. Pandai-pandai akulah nak balik nanti,” jawab Liyana seraya mencapai beg sandangnya.
“Kalau macam tu, aku balik dululah. Sampaikan salam aku pada Kak Marina,” ujar Fazura dan berlalu pergi dari situ.
Liyana sekadar mengangguk. Dia turut sama menapak keluar dari bilik setelah mengunci biliknya. Bilik yang disediakan oleh Amirul. Jawatannya masih sama, hanya ketuanya sahaja yang bertukar. Dari Harris kepada Amirul a.k.a mamat hingus. Liyana tersenyum sendiri dengan gelaran yang diberikannya itu. Memang berhingus pun!


“I minta maaf Rul,” ucap Shasha dan meraih tangan Amirul.
Amirul mendengus. Dia membiarkan sahaja Shasha meraih tangannya tanpa berniat untuk menolak. Entah mengapa dia tidak merasakan apa-apa pada pegangan Shasha. Jika dulu, jantungkan akan berdegup dengan kencang sebaik sahaja dia bersentuhan dengan Shasha. Mungkinkah perasaannya terhadap Shasha semakin menjauh setelah apa yang Shasha lakukan sebulan yang lepas? Cabaran Shasha memintanya berkahwin dengan sesiapa sahaja membuatkan dia tidak yakin dengan cinta Shasha terhadapnya.
“Rul, I tahu I bersalah pada you. I cabar you berkahwin tapi takkan you sahut cabaran tu. I sengaja nak uji kesetiaan you aje,” sambung Shasha lagi. Dan kali ini tangan Amirul di elus lembut.
“Amirul… please… jangan buat I macam ni. Sebulan you mogok macam setahun rasanya. I terseksa menanggung rindu pada you Rul,” tambah Shasha pula. Mengharapkan Amirul mendengar luahan hatinya itu.
Amirul melepaskan keluhan berat. Hatinya sayu melihat wajah sedih Shasha. Tidak dinafikan yang hatinya masih menyintai dan menyayangi Shasha. Walaupun kadang-kala sikap dan perangai Shasha mencabar ego lelakinya. Perlukah dia memaafkan Shasha dan menerima Shasha semula?
“I…” Amirul berjeda. Sukar untuk menuturkan kata-kata.
Please Rul… maafkan I. Kita baik semula okey! I janji lepas ni, I akan dengar cakap you. Kalau you minta I berkahwin dengan you, I sanggup dan I dah bersedia untuk ke arah itu,” pintas Shasha. Tangannya masih menggenggam erat tangan Amirul.
“Jangan pandai berjanji Shasha. Kelak you yang akan memungkirinya,” bidas Amirul keras.
Sukar untuk mempercayai kata-kata Shasha itu. Sebelum ini sudah berkali-kali dia melamar Shasha, tetapi satu pun tidak di ambil kira oleh Shasha. Kenapa hari ini baru Shasha bersetuju untuk mendirikan rumah tangga?
“I tahu Rul. Tapi percayalah, I betul-betul dah bersedia untuk berumah tangga. I tak nak kehilangan you. I sayang dan cintakan you Rul,” luah Shasha lagi. Berharap agar Amirul mempercayai akan kata-katanya itu.
Amirul tersenyum hambar. Otaknya ligat berputar memikirkan perubahan Shasha. Kenapa Shasha berubah dengan tiba-tiba? Apa yang membuatkan Shasha berubah? Perlukah dia percaya dengan kata-kata Shasha lagi? Bagaimana dengan cabaran Shasha yang menyuruhnya berkahwin dengan orang lain? Perlukah dia menyahut cabaran itu atau memandang sepi cabaran tersebut? Sesak nafasnya memikirkan kesemua persoalan itu.


“Kenapa tak bagitau dulu kalau nak datang?” tanya Datin Suraya. Seakan kurang menyenangi akan kedatangan Liyana.
Tersentak Liyana dengan pertanyaan Datin Suraya. Perlukah diberitahu terlebih dahulu akan kedatangannya sedangkan dia berhak untuk balik ke rumah pada bila-bila masa sahaja. Sungguh dia terasa akan pertanyaan itu. Namun dia cuba untuk mengawal riak di wajahnya.
Setelah puas berfikir petang tadi, dia bertekad untuk pulang ke rumah untuk melawat keluarganya. Dia telah meminta cuti daripada Marina semata-mata untuk melepaskan kerinduannya terhadap keluarga. Tetapi tidak menyangka, begitu penerimaan Datin Suraya terhadapnya kini.
“Nak balik rumah sendiri kena bagitau dulu ke ibu?” tanya Liyana seakan menyindir. Bukan niatnya untuk berkurang ajar, tetapi hatinya terasa dengan pertanyaan Datin Suraya tadi.
Tergamam Datin Suraya dengan sindiran Liyana itu. Sungguh dia tidak menyedari akan apa yang dituturkannya tadi.
“Lia singgah kejap aje. Nak tengok ibu dan ayah. Tapi, kalau kedatangan Lia ni tidak menyenangkan di hati ibu, Lia minta maaf. Lepas ni Lia takkan datang lagi ke rumah ni,” sambung Liyana. Dia membawa kakinya ke pintu utama. Sungguh dia terasa dengan penerimaan Datin Suraya.
“Lia… ibu minta maaf. Ibu tak sengaja,” ucap Datin Suraya sambil meraih tangan Liyana.
“Tak apalah ibu. Lia dah biasa dengan semua tu. Lia minta diri dulu,” balas Liyana sambil bersalaman dengan Datin Suraya. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, hatinya begitu sensitif jika sesiapa memperlakukannya sebegitu.
“Ha… buat apa balik ke rumah ni? Dah tak boleh nak hidup kat luar tu lagi dah ke? Kamu balik ni nak minta duit dari ibu kamu pulak?” suara Dato’ Zulkifli tiba-tiba dari arah anak tangga rumah.
Tersentak Liyana dengan sindiran Dato’ Zulkifli itu. Seraya dia menoleh ke arah Dato’ Zulkifli yang sedang melangkah menuju ke ruang tamu. Kenapa kedatangannya dipertikaikan oleh semua orang?
“Lia bukan nak minta duit dengan ibu. Lia datang nak melawat ibu dan ayah. Salah ke kalau Lia datang melawat?” suara Liyana sebak. Matanya mulai berkaca.
“Kami belum nak mati lagi. Kalau kamu datang nak minta duit, satu sen pun aku takkan baginya,” kata Dato’ Zulkifli tegas.
“Setakat ini, alhamdulillah. Lia masih boleh hidup dengan rezeki yang Lia perolehi. Maafkan Lia kalau kedatangan Lia mengganggu ketenteraman Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya. Lia minta diri dulu,” balas Liyana dan segera membawa diri keluar dari rumah itu. Lebih lama dia di situ, entah apa lagi yang akan dihamburkan oleh Dato’ Zulkifli. Sungguh hatinya terguris dengan penerimaan ayah dan ibunya.
“Lia… Lia…” panggil Datin Suraya.
Namun panggilan itu tidak disahut oleh Liyana. Liyana pergi membawa hati yang terguris atas sikap Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya.


nantikan babak romantik Amirul dan Liyana slps ini.. thank u coz sudi membaca GB...   ;)



8 ulasan:

  1. kak.. awat pendek skett.. hehehe.. bezzz!! can't wait for next n3.. n tq for dis n3

    BalasPadam
    Balasan
    1. alamak!! pendek ke?? akak rs dh pnjg dh tue.. huhu..
      almost welcome dear.. thanks coz layan GB.. ;)

      Padam
  2. sedihnya ..keluarga lia buat dia macam orang luar.. bagi la ayah lia sedar dan lebih hargai dan sayang lia..
    Bila penulis nak sambung lagi.. sambung la hari-hari.. best la cite ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. erm, jwpnnya ada dlm bab seterusnya..
      smbg hari2?? nti jemu pulak bc GB ni.. hihi..
      apa2 pn thank u coz membaca GB.. :)

      Padam
  3. Thanks for the new entry .... pendek juga lah this entry ... kalau boleh update new entry everyday boleh tak?? Patiently waiting for the nxt entry .. tak sabarlah ... sedih part dia disingkirkan oleh keluarganya .. Fr Aida "Perth"

    BalasPadam
    Balasan
    1. alamak!! ya ke Aida pendek.. hurm, kena pnjgkan ckt ni.. nti sy edit blik n tmbh apa2 y sesuai dlm bab ni.. Insya-ALLAH, sy akn update slps 2/3 hr.. agak2 blh x mcm 2??? hihi.. :D

      Padam
  4. geram betul lahh ngn dato' zulkifli ni...eeeee!!!!emo lak!

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. jgn emo2 kak.. lps ni happy2 pulak.. ;)

      Padam