Ahad, 22 November 2015

Luahan Hati - Bab 1






PEMANDANGAN sawah padi yang menghijau mencantikkan suasana pada pagi itu. Angin sepoi-sepoi bahasa mendinginkan lagi keadaan di kawasan tersebut. Dapat dirasakan ketenangan dan kedamaian di hati. Sesiapa sahaja yang berada di situ, pasti turut merasai dengan apa yang dirasakan oleh Elisya. Bersyukur, kerana masih diberi peluang untuk menikmati keindahan serta kebesaran ciptaan Yang Maha Esa.
Elisya menarik nafas dan melepaskannya lembut. Dia tersenyum tatkala mendengar bunyi kicauan sekawan burung yang sedang berterbangan di langit tinggi. Rindu terhadap kampung halaman terlerai dengan adanya dia di situ. Ucapan terima kasih buat papa dan mama kerana membenarkan dia pulang ke kampung halaman.
“Elisya!” jerit Mak Jah dari arah rumah.
Elisya tersentak dari lamunannya. Dia menoleh ke belakang dan wajah Mak Jah menyapa mata. Senyuman diberikan kepada wanita tua itu.
“Mari sarapan!” ajak Mak Jah.
“Baiklah, Mak Jah!” balas Elisya lalu melangkah jalan menuju ke rumah.
“Jemput makan, Sya!” pelawa Mak Jah setibanya Elisya di meja makan.
Elisya mengangguk faham. Dilabuhkan duduk di kerusi dan memandang ke arah juadah yang sudah terhidang di hadapan mata. Kecur liurnya tatkala memandang nasi lemak. Sudah agak lama dia tidak merasa makanan itu.
“Jangan malu-malu Sya. Buat macam rumah sendiri,” suara Mak Jah seraya duduk.
“Lama Sya tak makan nasi lemak Mak Jah,” jujur Elisya lalu menceduk nasi lemak ke dalam pinggan sendiri. Kemudian, sambal ikan bilis diikuti dengan timun dan telur rebus.
“Mak Jah tahu Sya. Lagipun dah lama Sya tak balik ke sini,” tutur Mak Jah lalu tersenyum. Tangannya turut sama mengikuti tingkah laku Elisya.
“A’ah, Mak Jah. Mama dan papa terlalu sibuk. Sebab itulah tak ada peluang nak balik ke sini,” beritahu Elisya sambil mencapai sudu dan garpu.
“Tak apa. Mak Jah faham,” balas Mak Jah sambil mengangguk. Tangannya menyuap nasi ke dalam mulut.
“Lepas ni, Sya nak ke mana?” tanya Mak Jah sehabis sahaja nasi dihadam.
“Sya ingat nak jalan-jalan satu kampung. Lepas tu, nak ke pekan dan beli barang sikit,” beritahu Elisya akan perancangannya.
“Nak Mak Jah minta Firdaus temankan Sya?” cadang Mak Jah.
“Orang dah biasa hidup bebas kat overseas sana takkan takut nak berjalan seorang-seorang pulak?” sampuk Firdaus bernada sindiran dari arah pintu dapur.
Terkejut Mak Jah dan Elisya mendengar sindiran Firdaus. Masing-masing menghalakan pandangan ke arah Firdaus yang beriak selamba.
“Tak ada orang nak kacau dia mak. Entah-entah, orang lain yang takut nak kacau dia,” sambung Firdaus sinis.
“Hisy… kamu ni Daus, ada ke cakap macam tu dekat Sya. Kecik hati Sya tu nanti,” tegur Mak Jah kurang senang.
“Tak apa, Mak Jah. Sya dah biasa,” ujar Elisya lalu tersenyum kelat.
Tidak mahu anak-beranak itu berbalah. Selama seminggu dia berada di rumah Mak Jah, hanya kata-kata sindiran daripada Firdaus yang menyapa halwa telinga. Kadang-kala dia tertanya-tanya, kenapa lelaki yang bernama Firdaus Hakimi itu tidak menyukainya?
“Yalahkan, dah biasa,” ejek Firdaus, meluat.
Elisya tersenyum kelat. Wajah Firdaus ditatap buat seketika. Kenapa Firdaus sering membidas kata-katanya? Mengejek serta menyindirnya? Kesalahan apa yang telah dilakukannya terhadap lelaki itu? Apabila bertentang mata, pasti Firdaus akan melarikan pandangan. Seolah-olah benci melihat wajahnya. Adakah perkataan ‘BENCI’ tertera di dahinya itu?
“Kamu tak nak makan dulu ke, Daus?” tanya Mak Jah tatkala melihat Firdaus menuju ke pintu belakang.
“Daus dah lambat. Kalau dia ada kat sini, putus terus selera Daus nak makan,” jawab Firdaus sinis dan berlalu pergi sebaik sahaja menyarung selipar.
Elisya yang mendengar menahan perasaan. Matanya menghantar pemergian Firdaus sebelum menghalakan pandangan ke wajah Mak Jah. Senyuman kelat diberikan sekadar menyembunyikan rasa di hati.
“Jangan ambil hati sangat dengan kata-kata Daus tu, Sya. Mulut Daus tu memang macam tu dari sekolah lagi. Sya tahu kan macam mana Daus tu dulu,” kata Mak Jah sekadar menyedapkan hati Elisya.
Elisya sekadar mengangguk. Dia menyambung suapan nasi ke dalam mulut lalu menguyahnya. Otaknya ligat memikirkan perangai dan sikap Firdaus. Kenapa Firdaus bersikap dingin dengannya? Perlukah dia mencari jawapan kepada pertanyaannya itu?



ELISYA menyusuri deretan kedai yang ada di pekan itu dengan hati yang gembira. Teruja melihat perubahan yang telah berlaku di pekan tersebut. Jika dahulu, hanya beberapa buah kedai sahaja yang ada tetapi tidak pada hari ini. Kawasan tersebut dilihatnya bertambah maju.
Elisya melangkah masuk ke dalam sebuah kedai buku. Sudah agak lama dia tidak membaca. Ada baiknya dia membeli sebarang dua bahan bacaan. Sekadar untuk mengisi masa lapang. Melilau matanya melihat bahan bacaan yang terdapat di kedai buku itu. Tatkala berjumpa, pantas dia menuju ke bahagian tersebut.
“Opss!! Maaf, saya tak sengaja,” ujar seseorang.
Tersentak Elisya dek kerana perlanggaran itu. Wajah seorang gadis menyapa mata.
“Maaf!” ucap gadis itu.
“Tak mengapa. Saya yang perlu minta maaf,” tukas Elisya, ramah.
Gadis itu mengangguk perlahan. Matanya menatap wajah di hadapannya itu. Seakan pernah berjumpa serta mengenali wajah tersebut. Otaknya dikerah supaya berfikir.
“Saya ke sana dulu,” pamit Elisya tersenyum.
Diatur langkah menuju ke tempat di mana koleksi novel-novel berada. Senyuman diberikan kepada gadis tersebut.
“Nanti dulu!” tahan gadis itu.
Terhenti langkah Elisya disebabkan permintaan gadis tersebut. Dipusingkan badan lalu menatap wajah gadis itu berserta kerutan di dahi.
“Awak.. awak… Elisya, kan?” tanya gadis itu.
“Ya, saya Elisya. Kenapa?” jawab Elisya sambil mengangguk kecil.
“Ya Allah! Betul ke awak ni Elisya?” ulang gadis itu lagi inginkan kepastian.
Elisya sekadar mengangguk. Berkerut dahinya memandang riak gadis di hadapannya itu.
“Elisya, awak tak kenal dengan saya lagi ke? Saya, Hamidah,” beritahu Hamidah, teruja.
Elisya berfikir sebentar. Diamati wajah Hamidah sambil otaknya dikerah bekerja.
“Awak dah lupa ke, Elisya? Kita pernah main kat sungai sama-sama,” cerita Hamidah, bersungguh. Berharap, Elisya mengingati dirinya.
“Oh ya, baru saya ingat. Ya Allah! Maafkan saya.
“Ingat pun awak.”
“Makin cantik saya tengok awak, Hamidah,” puji Elisya bernada ikhlas.
“Hisy, awak ni Elisya. Dari dulu sampai ke hari ini awak masih nak puji saya. Saya ni mana ada cantik macam awak,” tukas Hamidah lalu tersenyum malu.
“Saya ikhlas katakannya Hamidah,” kata Elisya.
Hamidah tersenyum malu. Matanya masih menjamah wajah Elisya. Tidak ada perubahan yang dapat dilihat pada Elisya. Dari dulu hingga sekarang, Elisya masih serupa. Bersikap sederhana dan tidak bermegah.
Walaupun Elisya cantik dan kaya, belum pernah lagi dia melihat atau mendengar Elisya bersikap riak dan takbur. Itu yang membuatkan dia senang berkawan serta kagum dengan Elisya.
“Awak seorang sahaja ke Hamidah?” tanya Elisya.
“Eh.. a’ah, saya seorang saja,” jawab Hamidah sedikit terpinga-pinga.
Parents awak macam mana? Awak kerja apa sekarang ni?”
Parents  saya sihat. Saya sekarang jadi cikgu.”
“Alhamdulillah. Akhirnya, cita-cita awak nak menjadi cikgu tercapai juga.”
“Alhamdulillah, Elisya. Awak macam mana pulak? Bila awak balik dari overseas?”
“Saya macam ni saja, Hamidah. Masih tetap sama. Baru seminggu saya berada di kampung ni,” beritahu Elisya.
“Eh, jom kita ke kedai makan depan sana. Ada banyak perkara yang saya nak cerita pada awak,” ajak Hamidah lalu tersenyum. Langkah diatur keluar dari kedai buku sebaik sahaja membuat pembayaran.
Elisya mengangguk setuju. Dia menuju ke bahagian kaunter selepas memilih novel yang dikehendaki lalu membuat pembayaran. Seminit kemudian, mereka berdua melangkah beriringan menuju ke kedai makan berhampiran. Pasti banyak perkara yang hendak diceritakan. Elisya tersenyum memikirkannya.


“AWAK tak dengar cerita ke, Sya? Mustahil Firdaus tak beritahu pada awak tentang Finaz?” tanya Hamidah berkerut dahi.
“Saya tak tahu, Midah. Lepas saya ikut family saya ke sana, saya loss contact dengan kawan-kawan di sini,” jelas Elisya, jujur.
“Yalah, kan. Lepas SPM, awak ke sana ikut family awak. Hampir lima tahun awak menetap di sana, kan?”
“A’ah, hampir lima tahun. Disebabkan rindu saya balik ke sini.”
Hamidah mengangguk. Wajah Elisya ditatap seketika. Ada benarnya kata-kata Elisya. Semenjak Elisya berpindah dan menetap di overseas, banyak perubahan yang telah berlaku terhadap kawan-kawan mereka berdua termasuklah Shafinaz dan Firdaus.
“Kenapa dengan Finaz, Midah?” tanya Elisya ingin tahu.
“Lepas awak ke overseas, Finaz dan Firdaus…” Hamidah mematikan ayat.
“Itu saya tahu, Midah. Mereka berdua bercinta, kan? Sebelum SPM lagi mereka berdua dah rapat dan bercinta,” kata Elisya. Mengerti dengan gantungan ayat Hamidah itu.
Hamidah tidak membalas. Matanya masih menatap wajah Elisya. Tenang. Itu yang dilihat pada wajah Elisya setiap kali mereka membincangkan mengenai Shafinaz dan Firdaus. Adakah Elisya cuba menyembunyikan perasaan sebenar?
“Finaz kerja apa sekarang ni, Midah?” tanya Elisya sekadar ingin tahu.
“Selepas awak berpindah ke sana, Finaz ditawarkan ke luar negara. Menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan.”
“Alhamdulillah. Finaz seorang pelajar yang bijak. Tak mustahil dia akan ditawarkan menyambung pelajaran ke luar negara.”
“Yup! Memang saya akui, Finaz seorang pelajar yang pintar. Tapi, buat apa pintar kalau tak pandai nak menghargai pengorbanan orang lain.”
“Maksud awak, Midah?” tanya Elisya, berkerut. Kurang mengerti akan maksud kata-kata Hamidah itu.
“Orang macam dia tu, memang tak pandai nak berterima kasih atas pengorbanan orang lain. Tahulah belajar di luar negara, tapi tak perlulah nak menyombong diri dan berlagak,” jelas Hamidah. Meluahkan akan ketidakpuasan di hati terhadap Shafinaz selama ini.
“Saya tak faham, Midah. Sombong? Berlagak? Siapa yang awak maksudkan? Shafinaz ke, Hamidah?” Elisya bertanya berserta kerutan di dahi.
“Yalah, siapa lagi kalau bukan Shafinaz? Apa yang saya dengar, lepas dia balik dari overseas, dia ditawarkan kerja di Kuala Lumpur. Selama dia di sana, jarang sekali dia balik ke kampung jumpa mak dan ayah dia. Kasihan parents dia, Sya. Sampai hati Shafinaz buat parents dia macam tu. Bukannya jauh sangat sini dengan KL. Takkan tak boleh nak balik dan lawat mereka berdua? Kalau dia balik pun, hanya untuk beberapa jam saja. Lepas tu pulak, berlagak sombong dengan orang-orang kampung.” cerita Hamidah, bersungguh.
“Mungkin Finaz belum dapat sesuaikan diri dengan suasana kampung semula. Suasana di luar negara dengan di sini, lain Midah,” kata Elisya. Tidak mahu Hamidah berfikiran negatif.
“Mustahil tak sesuai. Kalau dah berasal dari kampung, kampung jugalah Sya. Awak tu, dah lima tahun di sana. Tapi, awak tetap tak berubah. Tetap sama sepertimana kita mula-mula berkawan dulu. Semuanya bermula dari iman, Sya. Kalau iman kita tak kuat, macam Shafinaz la jadinya,” bidas Hamidah, tegas.
Terkedu Elisya mendengarnya. Ada benarnya kata-kata Hamidah itu. Jika iman kita tidak kuat, mudah untuk kita terpesong dari landasan sebenar.
“Kalau awak nak tahu lebih lanjut, awak boleh tanya Firdaus. Semua tentang Shafinaz, Firdaus tahu,” suara Hamidah.
Apa yang berlaku kepada Firdaus suatu ketika dulu menerjah ke kotak fikiran. Nafas ringan dilepaskan perlahan.
“Firdaus?” ulang Elisya.
Hamidah mengangguk.
“Firdaus tak sukakan saya, Midah. Takkan dia nak bercerita pada saya andai kata saya bertanya pada dia tentang Finaz,” luah Elisya bernada sebak.
“Kenapa pulak Firdaus tak sukakan awak?” ulang Hamidah, terkejut.
“Saya tak tahu, Midah,” balas Elisya seraya menggeleng perlahan.
“Bukankah awak dan Firdaus…”
Kata-kata Hamidah terhenti di situ tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Lantas, dia menjawab panggilan tersebut sambil diperhatikan oleh Elisya di hadapan.
“Saya minta diri dulu, Sya. Ada perkara yang nak diuruskan,” ujar Hamidah kemudian lalu bangun dari duduk.
“Tak mengapalah. Ada masa nanti kita jumpa dan berbual. Hari ini saya belanja awak,” balas Elisya sambil mengangguk kecil.
Hamidah turut sama mengangguk. Tanpa membuang masa, dibawa langkah beredar dari situ menuju ke tempat motornya diparkirkan.
Elisya hanya memandang. Dia bingkas bangun dari duduk lalu menapak keluar dari kedai sebaik sahaja membayar harga minuman. Namun, langkahnya terhenti tatkala teringat akan kata-kata Hamidah sebentar tadi. Kenapa Hamidah beriak terkejut sebaik sahaja dia memberitahu tentang hubungannya dengan Firdaus ketika ini?


“SYA, tak nak makan?” tanya Mak Jah dari muka pintu bilik.
“Tak mengapalah Mak Jah. Sya dah kenyang. Siang tadi makan dengan kawan,” jawab Elisya, lembut.
“Kalau macam tu Mak Jah, Farah dan Firdaus makan dulu. Kalau Sya lapar nanti, Sya ambil saja kat dapur,” pesan Mak Jah.
“Baiklah Mak Jah. Terima kasih!” balas Elisya berserta senyuman.
“Sama-sama Sya,” balas Mak Jah berlalu pergi.
Elisya hanya memandang. Nafas ditarik dan melepaskannya lembut. Disandarkan tubuh ke kepala katil sambil mengimbas semula pertemuannya dengan Hamidah. Tumpang gembira dengan pencapaian Hamidah. Cita-cita Hamidah untuk menjadi seorang guru akhirnya tercapai.
Elisya membuang pandang ke luar tingkap. Kisah mengenai sahabat lama mereka, Shafinaz berlegar-legar di minda. Benarkah Shafinaz sebegitu orangnya?
“Kak Sya!” panggil Farah, tiba-tiba.
Tersentak Elisya mendengarnya. Dihalakan mata ke arah Farah Asyikin yang sedang menapak masuk ke dalam bilik. Senyuman diberikan kepada gadis itu.
“Kak Sya buat apa? Kenapa tak makan?” tanya Farah sambil melabuhkan duduk di birai katil. Wajah putih bersih Elisya ditatap mesra.
“Kak Sya dah kenyang, Farah. Dah siapkan kerja sekolah?” jawab Elisya, ramah.
“Dah, Kak Sya.”
“Habis tu, kenapa tak tidur lagi? Esok nak sekolah, kan?”
“Ala, Kak Sya ni. Awal lagilah kalau nak tidur. Baru pukul sembilan setengah malam.”
Elisya tersenyum. Dikerling jam di dinding buat seketika. Ternyata, masa baru menginjak ke sembilan tiga puluh minit malam. Nafas ringan dihela lembut.
“Kak Sya, Farah nak tanya sesuatu, boleh?” suara Farah.
“Boleh! Apa dia, Farah?”
“Kenapa Abang Daus dengan Kak Sya tak bertegur sapa? Maksud Farah, tak berbual-bual macam Kak Sya dengan Farah dan mak,” tanya Farah ingin tahu.
Elisya terkedu. Tidak menyangka itu yang ditanya oleh Farah. Apa jawapan yang perlu diberikan kepada Farah?
“Kenapa, Kak Sya? Dulu masa Farah tahun enam, Farah tengok Kak Sya dan Abang Daus lain saja. Belajar, ketawa dan berbual bersama-sama. Kak Sya dan Abang Daus pun rapat. Tapi, kenapa sekarang ni Kak Sya dan Abang Daus macam tak kenal antara satu sama lain?”
Farah masih lagi bertanya. Dia dapat merasakan sesuatu di antara Elisya dan Firdaus. Hubungan mereka berdua tidak seperti dahulu. Masing-masing membawa diri dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain.
“Masa tu, Kak Sya dan Abang Daus nak ambil SPM. Abang Daus lagi pandai dari Kak Sya. Sebab itulah Kak Sya rapat dengan Abang Daus. Nak curi ilmu dari abang Farah,” terang Elisya menyembunyikan kenyataan. Terlepas ketawa kecil daripada bibirnya.
“Perasaan Farah saja tu. Kak Sya dan Abang Daus tak ada apa-apa masalah. Kami baik seperti dulu,” kata Elisya cuba meyakinkan Farah.
Farah mengangguk faham. Wajah Elisya masih menjadi tatapan mata. Seperti ada perkara yang cuba disembunyikan oleh Elisya melihatkan riak di wajah gadis itu.
“Abang Farah mana?” tanya Elisya sekali gus menukar topik. Tidak mahu Farah bertanya tentang hubungannya dengan Firdaus lagi.
“Ada kat luar. Ambil angin,” jawab Farah bingkas bangun.
“Kalau macam tu, Kak Sya nak jumpa dengan abang Farah sekejap. Ada perkara Kak Sya nak tanya dia,” ujar Elisya turut sama bangun.
“Okey! Jangan gaduh-gaduh tau,” pesan Farah berlalu dari situ.
Tertawa Elisya mendengarnya. Kepala menggeleng perlahan. Setelah itu, dia melangkah keluar dari bilik sebaik sehaja kelibat Farah menghilang.
Dia perlu bertanya kepada Firdaus mengenai Shafinaz. Persoalan yang sedang berlegar-legar di minda minta dijawab. Hanya kepada Firdaus sahaja untuk dia mendapat jawapan kepada segala pertanyaannya itu.


FIRDAUS meraup wajah dan mengeluh berat. Matanya dibuang ke arah langit malam yang tidak berbintang dan berbulan. Mungkinkah hujan akan turun pada malam ini melihatkan keadaan langit yang gelap. Angin malam menyapa tubuh. Otaknya dikerah berfikir. Entah apa yang difikirkannya, dia sendiri tidak tahu. Adakah Elisya yang sedang berlegar-legar di fikirannya ketika ini?
“Ehem… ehem…” Elisya berdehem.
Tersentak Firdaus buat seketika. Dihalakan mata ke arah suara yang berdehem. Wajah tersenyum Elisya menyapa mata.
“Hai!” tegur Elisya, ramah.
Firdaus tidak membalas. Dengusan kasar terlepas dari bibir.
“Boleh saya duduk kat situ?” tanya Elisya pula.
“Awak ni tak tahu hukum hakam agama ke? Tak tahu adab sopan orang Melayu?” tanya Firdaus bernada sinis.
“Maksud awak?” tanya Elisya, berkerut dahi.
“Baru lima tahun duduk kat negara orang putih, dah tak ingat adab sopan orang Melayu. Dah tak tahu hukum hakam agama. Kalau lebih dari lima tahun, entah macam mana la agaknya. Kawan dengan syaitan agaknya,” sindir Firdaus bernada keras.
Elisya masih berkerut. Kurang mengerti akan kata-kata sindiran Firdaus itu.
“Yang awak sibuk kat sini buat apa?”
“Saya… saya…”
“Saya apa? Kalau tak ada benda nak cakap, baik awak masuk. Sini kampung dan bukannya overseas.”
“Apa maksud awak, Firdaus?” tanya Elisya, kurang faham.
“Itulah yang saya katakan tadi. Tak tahu hukum hakam agama. Tak ingat adab sopan orang Malaysia. Sudahlah, Elisya. Sakit mata saya tengok awak kat sini. Baik awak masuk kat dalam sebelum saya muntah darah kat sini,” balas Firdaus berserta cebikan.
“Firdaus! Saya tak tahu apa salah saya pada awak. Kenapa awak sengaja nak sakitkan hati saya?” tegur Elisya sedikit meninggi.
“Jawapan tu ada pada awak, Elisya.”
“Saya betul-betul tak faham dengan awak, Firdaus. Dulu, awak tak macam ni. Kenapa sekarang awak membenci saya?”
“Benci? Bila masa pulak saya membenci awak?”
“Saya yakin, awak membenci saya. Puas saya berfikir, kenapa awak membenci saya?”
Firdaus menghela nafas berat. Diraup sekali wajahnya lalu bangun dari duduk.
“Cuba awak beritahu pada saya Firdaus, apa salah saya? Kenapa awak membenci saya? Selama seminggu saya berada di sini, hanya sikap dingin yang saya lihat dari awak. Adakah disebabkan saya….”
“Aku tak suka kau kat sini. Baik kau berambus dari sini!” luah Firdaus meninggi lalu beredar dari situ. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
Terkejut Elisya mendengar suara meninggi Firdaus. Malah, bahasa yang digunakan oleh Firdaus agak kasar di pendengarannya. Kenapa Firdaus bertingkah laku sebegitu?
“Menyusahkan!” rengus Firdaus pula.
“Firdaus!” panggil Elisya, perlahan. Lengan Firdaus ditarik lembut.
Firdaus mendengus kasar. Tajam matanya ke pegangan Elisya kemudian beralih ke wajah gadis itu. Ditarik kasar lengannya dan beredar dari situ.
“Apa yang berlaku antara awak dan Shafinaz?” tanya Elisya.
Termati langkah Firdaus mendengar pertanyaan itu. Nafas ditarik dan melepaskannya deras. Tanpa membalas, dia menyambung langkah menuju ke rumah. Tidak berminat untuk menjawab pertanyaan Elisya.
Elisya hanya memandang. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Dihalakan mata ke arah langit buat seketika. Gelap. Tidak berbulan dan berbintang. Seminit kemudian, dibawa langkah menuju rumah. Dia perlu mencari punca dan sebab, kenapa Firdaus begitu membencinya. Adakah berkaitan dengan kisah lampau mereka?


 Terima kasih sudi baca. Jumpa lagi!