Jumaat, 11 Disember 2015

Luahan Hati - Bab 4






“AUCH!!!” adu Elisya tatkala Mak Jah mengurut kakinya.
“Firdaus ni memang nak kena dengan Mak Jah. Tak bertanggungjawab betul. Mak Jah dah pesan tadi suruh hantar Sya ke rumah Hamidah. Boleh pulak dia tinggalkan Sya di tepi jalan,” geram Mak Jah lebih kepada bebelan.
“Firdaus tak salah, Mak Jah. Sya yang salah. Sya yang minta Firdaus turunkan Sya di tepi jalan.” Elisya berterus-terang. Tidak mahu anak beranak bertekak kerananya.
“Jangan nak membela Firdaus tu, Sya. Naik lemak jadinya nanti. Mak Jah pun tak tahu kenapa Firdaus bersikap macam tu pada Sya.”
Elisya tidak membalas. Matanya memandang tingkah laku Mak Jah yang sedang mengurut kakinya. Gara-gara berjalan, kakinya yang terseliuh menjadi lebam. Disebabkan itu, rancangan untuk ke kebun Pak Harun terpaksa dibatalkan. Hanya Hamidah sahaja yang ke kebun Pak Harun kerana sudah berjanji untuk mengait buah rambutan.
“Kamu berdua ni ada masalah ke? Mak Jah tengok kamu berdua tak sependapat.”
“Kami okey saja Mak Jah.”
“Mak Jah belum rabun lagi, Sya. Sejak Sya ke sini, sikap Firdaus berubah. Bukankah kamu berdua berkawan rapat dahulu? Kenapa tiba-tiba jadi macam ni?” tanya Mak Jah.
Itulah yang dilihat selama Elisya berada di kampung. Sikap dan perangai Firdaus berubah sama sekali. Firdaus pemarah, perengus dan bercakap ikut sedap mulut. Suka menyakitkan hati Elisya. Kenapa dengan Firdaus? Adakah Firdaus dan Elisya bergaduh?
“Itu dulu Mak Jah. Sekarang dah lain. Kami dah ada haluan masing-masing,” beritahu Elisya tenang. Sekadar menyedapkan hati Mak Jah.
Mak Jah mematikan urutan di kaki. Wajah Elisya ditatap buat seketika.
“Kamu berdua ada masalah kan?” Mak Jah masih lagi dengan firasatnya.
“Tak ada Mak Jah,” tukas Elisya serius.
Mak Jah menghela nafas ringan. Kepala menggeleng kecil. Itulah Elisya. Sejak dari dulu lagi Elisya suka melindungi Firdaus. Setiap kali Firdaus melakukan kesalahan, setiap kali itulah Elisya melindungi sekali gus mempertahankan Firdaus. Adakah selama ini Elisya menyukai Firdaus, anaknya itu?
“Terima kasih Mak Jah. Dah tak rasa sakit lagi,” ujar Elisya lalu tersenyum.
“Sya sukakan Daus?” tanya Mak Jah tiba-tiba.
Elisya tersentak. Kenapa Mak Jah bertanyakan soalan itu?
“Elisya cintakan Firdaus?” Mak Jah bertanya lagi.
Elisya membisu. Dia berkira-kira untuk menjawab. Perlukah dia menjawab soalan Mak Jah itu? Jika dijawab, apa jawapan yang harus diberikan kepada Mak Jah?
“Sya berterus-terang saja pada Mak Jah. Sya memang cintakan Daus, kan?”
“Sya teringin nak makan buah rambutan. Mak Jah boleh tolong ambilkan untuk Sya? Hamidah ada bagi buah kat Sya tadi,” pinta Elisya sekali gus menukar topik perbualan.
Mak Jah menggeleng perlahan. Elisya sengaja tidak mahu menjawab pertanyaannya. Dia yakin yang Elisya mencintai Firdaus melihatkan tingkah laku gadis itu selama berada di rumahnya. Elisya sering mencuri pandang ke wajah Firdaus tatkala mereka berkumpul bersama.
“Mak Jah ambil kat dapur,” kata Mak Jah lalu bangun dan beredar dari situ.
Elisya hanya memandang. Nafas lega dilepaskan. Mujurlah dia dapat melepaskan diri daripada menjawab pertanyaan Mak Jah.
Deringan telefon menyentak lamunan pendek Elisya. Telefon bimbit dari atas meja dicapai lalu dilekapkan ke telinga sebaik sahaja butang hijau ditekan.
“Alhamdulillah. Sya sihat. Mama dan papa macam mana? Sihat?” balas Elisya sebaik sahaja salam bersambut.
“Mama dan papa sihat. Bila Sya nak balik?” tanya Puan Ilyana.
“Err….” Elisya termati kata-kata.
“Mama dan papa rindukan Sya,” adu Puan Ilyana bernada sebak.
“Ma… Sya bukannya tak nak balik sana. Mama dan papa kan dah benarkan Sya ke sini selama dua minggu. Tinggal beberapa hari saja lagi. Lepas tu Sya balik,” beritahu Elisya berserta keluhan ringan.
“Mama takut tak sempat jumpa dengan Sya,” ujar Puan Ilyana masih sebak.
“Insya-Allah, kita jumpa nanti,” balas Elisya. Cuba meyakinkan mamanya itu.
Puan Ilyana menghela nafas ringan. Wajah Encik Emran di sisi ditatap buat seketika. Jelas riak ketidakpuasan di wajah itu.
“Macam mana dengan permintaan kami?” tanya Puan Ilyana kemudian.
Elisya tidak membalas. Otaknya mengimbas semula permintaan Puan Ilyana dan Encik Emran pada dua minggu yang lepas.
“Kalau boleh Sya balik ke sini cepat. Boleh kita bincang sama-sama tentang perkara tu,” kata Puan Ilyana bernada harapan.
“Insya-Allah mama. Sya akan fikirkan permintaan papa dan mama,” balas Elisya mengalah. Rasa serba salah ketika ini.
“Papa nak cakap dengan Sya sekejap,” ujar Puan Ilyana seraya menghulurkan telefon kepada Encik Emran.
Elisya mengangguk. Dia menanti sapaan dari hujung talian.
“Sya…” seru Encik Emran, lembut.
“Papa sihat?” tanya Elisya, prihatin.
“Sihat. Sya di sana macam mana? Ada sesiapa ganggu Sya?”
Elisya berkerut dahi mendengar pertanyaan Encik Emran.
“Kalau ada sesiapa ganggu Sya, minta tolong pada Firdaus.”
“Maksud papa?”
“Papa sekadar mengingatkan saja. Jaga diri baik-baik sayang.”
“Insya-Allah papa. Sya jaga diri Sya baik-baik. Papa dan mama pun kena juga jaga diri baik-baik. Jaga makan. Jangan makan makanan berkolestrol,” kata Elisya berupa pesanan. Disentuh dadanya yang berdegup dengan tiba-tiba.
“Papa sayangkan Sya. Papa harap Sya dapat balik awal dari perancangan asal. Papa dah rindu sangat dengan Sya,” pinta Encik Emran.
Elisya tidak membalas. Semakin bersalah tatkala mendengar permintaan Encik Emran.
“Papa harap Sya dapat balik sebelum papa dan mama pergi.”
Berkerut dahi Elisya mendengarnya. Ke mana papa dan mamanya hendak pergi? Adakah mereka merancang untuk melancong lagi?
“Sampaikan salam papa pada Mak Jah, Firdaus dan Farah. Papa harap Firdaus dapat jaga Sya di sana,” beritahu Encik Emran lagi. Rasa sebak menghuni di hati.
Elisya masih membisu. Kalaulah Encik Emran dan Puan Ilyana tahu keadaan sebenar, apa perasaan mereka berdua? Mereka mengharapkan Firdaus menjaganya ketika ini di kampung. Tetapi, apa yang berlaku?
Selama dia berada di kampung, hanya sikap dingin dan benci yang dilihat daripada Firdaus. Ketika kakinya terseliuh, Firdaus masih bersikap yang sama inikan pula hendak menjaganya. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Papa harap Sya dapat balik awal,” ujar Encik Emran masih mengharap.
“Insya-Allah, papa. Sya cuba balik awal dari perancangan,” balas Elisya lalu mengangguk.
“Papa harap Firdaus dapat jaga Sya bila papa dan mama tak ada nanti. Kalau Sya tak jumpa dengan mana-mana lelaki, Sya terima Firdaus,” kata Encik Emran berupa pesanan.
“Kenapa Firdaus?” soal Elisya ingin tahu.
“Sebab papa yakin yang Firdaus dapat jaga Sya. Papa kenal Firdaus macam mana orangnya. Papa harap dia dapat jaga Sya nanti,” jelas Encik Emran.
“Tapi, macam mana dengan….”
“Kita hanya merancang. Tuhan yang menentukan segala-galanya.”
Elisya menghela nafas ringan. Kepala mengangguk kecil.
“Sampaikan salam papa pada Mak Jah, Firdaus dan Farah. Jaga diri baik-baik sayang. Semoga sayang tabah hadapi dugaan hidup,” pesan Encik Emran lalu mematikan talian.
Elisya terkedu. Kenapa berlainan sekali kata-kata Encik Emran? Adakah sesuatu telah berlaku kepada Encik Emran dan Puan Ilyana di sana?
“Ya Allah, Kau lindungilah papa dan mamaku,” doa Elisya sendirian.


“YANG kau monyok sangat ni kenapa?” tegur Alif seraya menghulur sebotol minuman.
Firdaus membalas huluran. Diteguk air dari dalamnya. Tekak yang terasa kering sudah dibasahkan. Nafas dihela berat.
“Elisya apa khabar?” tanya Alif ingin tahu.
Firdaus tidak membalas. Botol minuman diletakkan di atas meja.
“Aku tak berkesempatan nak jumpa dengan dia. Time kenduri nantilah aku jumpa dengan dia,” beritahu Alif lalu tersenyum.
“Yang kau beria sangat nak jumpa dengan dia kenapa?” soal Firdaus tidak berpuas hati.
Semenjak dua menjak ini Alif sering bertanyakan tentang Elisya. Kenapa dengan Alif? Apa yang Alif mahukan daripada Elisya? Naik rimas untuk dia menjawab setiap pertanyaan Alif.
“Yalah, dah lama aku tak jumpa dengan dia. Tak salahkan kalau aku bertanya pasal dia.”
“Kau pergi sajalah ke rumah aku. Jumpa dia.”
“Aku memang nak pergi jumpa dengan dia. Tapi, aku segan.”
“Apa yang kau nak segankan? Kau kan kenal dia. Kawan sekolah kita.” Firdaus menggelengkan kepala. Apa yang tidak kena dengan Alif?
“Dulu lain bro. Sekarang lain. Dulu kita masih sekolah. Sekarang kita dah dewasa dan berkerjaya. Macam mana perubahan fizikal kita, macam tu jugalah perubahan pada hati dan perasaan kita,” terang Alif berserta senyuman.
“Hati dan perasaan tak mungkin berubah Alif,” ujar Firdaus.
“Eh, apa pulak tak mungkin berubah? Boleh berubah. Dulu suka, sekarang benci. Dulu sayang, sekarang cinta. Dulu benci, sekarang suka.” Alif memberi pendapat.
Firdaus terkedu. Ada benarnya pendapat Alif itu. Dulu dia sukakan Elisya tetapi tidak sekarang. Dia membenci Elisya selepas mengetahui kebenarannya.
“Kau ada dengar cerita tentang Shafinaz?” tanya Alif mematikan lamunan pendek Firdaus. Dihalakan mata ke wajah Firdaus.
“Shafinaz? Kenapa dengan dia?” soal Firdaus sedikit terpinga.
“Tak adalah. Aku tanya kau. Kau ada tak dengar cerita tentang Shafinaz?” jelas Alif.
Firdaus sekadar menggeleng sebagai tanda jawapan kepada Alif.
“Takkan tak tahu kut? Kau kan ex…..”
Ex dan bukan kekasih. Aku dan Shafinaz dah lama putus,” pintas Firdaus laju.
“Relax la. Aku saja tanya. Jangan kau nak melenting pulak,” tegur Alif tatkala melihat wajah tegang Firdaus.
“Aku tak melenting. Kau tak sepatutnya tanya aku dengan soalan yang kau sendiri dah tahu jawapannya,” balas Firdaus membela diri. Dengusan ringan terlepas daripada bibir.
Alif menggaru kepala yang tidak gatal.
“Aku balik dululah. Dah lewat ni,” ujar Firdaus lalu bangun dari duduk.
Alif mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul enam petang. Terlalu lama mereka berdua keluar melepak. Sejak dari pagi lagi.
“Sampaikan salam aku pada Elisya. Insya-Allah, masa kenduri di rumah kau nanti aku jumpa dengan dia,” pesan Alif berserta senyuman di bibir.
Firdaus tidak membalas. Dia melangkah menuju ke kereta.
“Daus!” panggil Alif kemudian.
Firdaus mematikan langkah. Dihalakan mata ke wajah Alif. Menanti butir bicara daripada teman baiknya itu.
“Kau sukakan Elisya?” soal Alif sekadar ingin tahu.
Firdaus yang mendengar berkerut dahi. Kenapa Alif bertanya soalan seperti itu?
“Selama kau berkawan dengan Elisya, sedikit pun kau tak ada simpan perasaan pada dia?” soal Alif lagi. Dia melangkah menghampiri Firdaus di kereta.
Firdaus masih lagi membisu. Pertanyaan Alif berlegar-legar di minda. Perlukah dia menjawab pertanyaan Alif itu?
“Kau sukakan Elisya?” Alif bertanya buat kali ketiga.
“Aku balik dulu. Jumpa masa kenduri nanti,” balas Firdaus lalu masuk ke dalam kereta.
Alif menggelengkan kepala. Matanya menghantar pemergian Firdaus sehingga hilang dari pandangan. Setelah itu, dia melangkah menghampiri motosikalnya.
“Daus…. Daus…. Aku tahu, selama ini kau memang sukakan Elisya. Tapi kau ego. Ego tak nak mengaku yang kau sukakan Elisya. Dari pandangan mata kau terhadap Elisya pun dah membuktikan yang kau dah lama sukakan Elisya,” bicara Alif sendirian.
Tanpa berlengah, dia segera menunggang motosikal pulang ke rumah. Fikirannya masih memikirkan tentang Firdaus dan Elisya. Semoga Firdaus dan Elisya bersatu suatu hati nanti. Doa Alif buat teman baiknya itu.





Tiada ulasan:

Catat Komen