Selasa, 21 Oktober 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 7






“HAHAHA.. kau biar betul, Syira?” gelak Farhana.
“Betullah! Takkan aku nak tipu pulak,” tegas Nur Syahirah.
“Jangan-jangan… doktor tu dah jatuh cinta pada kau tak?”
“Mengarutlah kau, Hana.”
“Apa pulak mengarutnya? Dah nampak tanda-tanda yang dia dah jatuh cinta pada kau.”
“Tanda?”
Farhana sekadar mengangguk. Matanya menatap kasih wajah Nur Syahirah.
“Tanda apa? Aku tak faham.”
“Hisy, kau ni Syira. Takkanlah kau tak tahu tanda-tanda orang dah jatuh cinta. Sebelum ni, macam mana kau rasa bila kau jatuh cinta pada Zairiel dulu?”
Nur Syahirah menggaru kepala yang tidak gatal. Dikerahkan otak supaya berfikir.
“Aku yakin. Doktor Zairiel tu dah jatuh cinta pada kau. Kalau tidak, takkan la dia nak jumpa dengan kau face to face.”
“Aku… aku…” Sukar untuk Nur Syahirah bersuara. Otaknya masih lagi cuba berfikir akan penjelasan Farhana itu.
“Selalunya kan, kalau orang tu dah jatuh cinta senyuman tak lekang daripada bibir. Asyik termenung sana, termenung sini. Then, bila nama dia terdetik kat hati kita, kita akan rasa bahagia. Bila aku tengok kau, aku rasa tanda-tanda semua tu ada pada kau sekarang ni,” terang Farhana, tersengih.
Nur Syahirah berkerut dahi. Matanya menatap wajah sengihan Farhana. Seminit kemudian, satu cubitan hinggap di lengan Farhana.
“Aduh! Sakitlah Syira,” rengek Farhana.
“Padan muka kau. Siapa suruh kau pandai-pandai buat statement?” ejek Nur Syahirah.
“Alah, aku main-main ajelah. Takkan itu pun tak boleh,” rungut Farhana sambil meraba lengannya yang terasa sakit.
“Yalah tu main-main,” bidas Nur Syahirah, mencebik.
“Kalau betul, kau nak buat apa Syira?” tanya Farhana sekadar ingin tahu.
Nur Syahirah tersentak. Dihalakan mata ke luar jendela. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Farhana?
“Kalau dia benar-benar ikhlas dengan kau, kau boleh terima dia? Maksud aku, status dia dan Daniel Iman,” sambung Farhana lagi. Wajah kawannya itu ditatap mesra.
Nur Syahirah menghela nafas berat. Otaknya masih lagi memikirkan jawapan.
“Syira, kau boleh terima ke?” ulang Farhana.
“Kalau dah tertulis dalam kamus hidup aku yang dia jodoh aku, aku terima dengan seikhlas hati aku,” kata Nur Syahirah, ikhlas.
“Hurm, aku dah agak jawapan kau. Sengaja aku tanya. Nak tengok perasaan kau tu macam mana? Masih ingatkan Zairiel Iqwan ataupun tidak,” jelas Farhana, tersenyum.
Nur Syahirah hanya membisu. Kata-kata Farhana menusuk ke tangkai hati. Tidak semudah itu dia melupakan Zairiel Iqwan kerana lelaki itu sudah menjadi sebahagian dalam hidupnya. Malah, lelaki itu begitu penting dalam kisah hidupnya yang lalu.
“Aku masuk dululah, Syira. Dah mengantuk. Esok, Daniel Iman datang ke?” suara Farhana bingkas bangun.
“Haa.. apa dia?” tanya Nur Syahirah seakan tersedar daripada lamunan.
“Kau ni Syira, mengelamun ke?” tanya Farhana sedikit menekan.
“Aku.. aku.. tengah fikirkan…”
“Zairiel Iqwan? Betul, kan?” pintas Farhana.
Nur Syahirah hanya menunduk. Entah kenapa dia amat merindui Zairiel Iqwan ketika ini. Bagaimana untuk meluahkan rasa rindu itu?
“Syira!” panggil Farhana, geram.
“Apa?” tanya Nur Syahirah sedikit tersentak.
“Telefon kau tu berbunyi. Kau tak dengar ke?” jawab Farhana, keras.
“Oh, yeke. Sorry, aku memang tak dengar,” balas Nur Syahirah, tersengih.
Farhana mendengus keras. Dia segera menuju ke bilik. Entah bilalah kawannya itu akan berubah. Suka termenung dan berkhayal.
“Doktor Zairiel call kau, kan?” tanya Farhana, tiba-tiba dari arah pintu bilik.
Nur Syahirah tersentak. Dicapai telefon bimbit dan menatap nombor telefon di screen. Anggukan kecil diberikan sebagai tanda jawapan pada pertanyaan Farhana itu.
“Selamat bercintan-cintun,” usik Farhana lalu menapak masuk ke dalam bilik.
“Hana!” jerit kecil Nur Syahirah.
Telinganya disapa dengan gelak ketawa Farhana. Sengaja Farhana mengusiknya. Tanpa berlengah, butang hijau ditekan lalu melekapkan telefon ke telinga. Menanti sapaan dari hujung talian. Entah kenapa hatinya berdebar-debar. Adakah dia sudah jatuh cinta kepada doktor muda itu?


ZAIRIEL menatap kosong screen laptop. Sedari tadi, senyuman tidak lekang daripada bibir. Disentuh lembut dadanya yang sedang berdegup kencang. Adakah disebabkan Nur Syahirah, maka jantungnya berdetak hebat? Hebat daripada pertemuan pertamanya dengan Maisarah tidak lama dahulu.
Jika difikirkan semula, hanya Nur Syahirah yang bisa membuat jantungnya sebegitu. Nur Syahirah yang dikenali semenjak dari sekolah menengah lagi. Nur Syahirah yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Kenapa rasa itu muncul sewaktu berbual bersama Nur Syahirah, pengasuh Daniel Iman? Adakah dia sudah jatuh cinta kepada gadis itu?
“Papa!” panggil Daniel Iman.
Tersentak Zairiel buat seketika. Lamunannya yang panjang berterbangan entah ke mana. Dihalakan mata ke arah Daniel Iman yang sudah pun duduk bersila di atas katil. Wajah anak kecil itu ditatap mesra.
“Papa, Danny takut!” adu Daniel Iman.
Berkerut dahi Zairiel mendengarnya. Dia bingkas bangun dari duduk dan menapak ke katil lalu naik ke atasnya. Dilabuhkan duduk di sisi Daniel Iman.
“Danny mimpi!”
“Danny mimpi apa?”
“Danny mimpikan mama. Dalam mimpi tu, mama suruh Danny terima Mak cik Syira,” beritahu Daniel Iman seraya memandang ke wajah Zairiel.
Semakin berkerut dahi Zairiel mendengarnya. Apa yang dimaksudkan oleh Daniel Iman?
“Papa, Danny tak suka Mak cik Syira. Kenapa mama suruh Danny terima Mak cik Syira?” tanya Daniel Iman, tegas.
“Danny, mimpi tu kan mainan tidur. Tak semestinya mimpi tu akan jadi kenyataan,” pujuk Zairiel, lembut.
“Kalau jadi kenyataan, macam mana papa?” tanya Daniel Iman sekadar menduga.
Zairiel mengeluh ringan. Ditarik tubuh Daniel Iman lalu mendakapnya kemas. Sekadar untuk menghalau perasaan risau di hati anak kecil itu.
“Papa, kalau betul macam mana?” ulang Daniel Iman.
“Kalau betul, Danny kena terima dengan seikhlas hati. Mungkin mama nak beritahu pada Danny yang Mak cik Syira boleh jaga Danny dengan baik sepertimana papa jaga Danny sekarang ni,” pujuk Zairiel pula.
“Tapi, Danny takut!”
“Kenapa nak takut?”
“Danny takut. Kalau papa kahwin dengan Mak cik Syira, papa tak sayang Danny lagi,” terang Daniel Iman bernada sebak.
Ketawa kecil Zairiel mendengarnya. Dileraikan dakapan lalu menatap kasih wajah menunduk Daniel Iman. Gelengan kecil diberikan kepada anaknya itu.
“Mesti papa lebih sayangkan Mak cik Syira.”
“Kenapa Danny fikir macam tu?”
“Sebab mama suruh papa kahwin dengan Mak cik Syira.”
“Danny… Danny… sudahlah! Danny tidur ya.”
Daniel Iman mengangguk. Dibaringkan tubuh dan memandang ke wajah Zairiel. Senyuman hambar diberikan kepada papanya itu.
“Esok, papa hantar Danny ke rumah Mak cik Syira,” beritahu Zairiel.
Daniel Iman tidak membalas. Matanya masih lagi menatap wajah Zairiel.
“Papa ada kerja yang perlu disiapkan. Danny tidur ya,” suruh Zairiel dan turun dari katil.
“Terima kasih, papa!” ucap Daniel Iman.
“Sama-sama, sayang,” balas Zairiel dan mengucup lembut dahi Daniel Iman.
Tanpa berlengah, dibawa langkah ke meja kerja. Dia perlu menyiapkan laporan mengenai kliniknya. Rasa bersyukur di atas penerimaan penduduk terhadap kliniknya itu.
“Papa sayangkan Danny?” tanya Daniel Iman, tiba-tiba.
Terhenti langkah Zairiel dek kerana pertanyaan itu. Dipusingkan tubuh dan menatap wajah tersenyum Daniel Iman. Hanya anggukan yang diberikan sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Daniel Iman itu.
Daniel Iman yang melihat mengangguk dan tersenyum. Ditutup mata sambil cuba menidurkan diri sendiri. Semoga tidurnya tidak diganggu dengan mimpi lagi.
Deringan telefon menyentak Zairiel. Dicapai telefon bimbit dan melihat nombor di screen. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Kenapa dah lama tak contact ayah? Zairiel sengaja nak sakitkan hati ayah, kan?” tegur Encik Zahrin tanpa memberi salam terlebih dahulu.
Zairiel menghela nafas berat untuk kesekian kali. Dia melangkah ke luar rumah dan membuang pandang ke langit malam. Apa jawapan yang harus diberikan kepada ayahnya itu?
“Hujung bulan depan, ayah nak Zairiel balik. Ayah ada perkara nak bincang dengan Zairiel,” arah Encik Zahrin, tegas.
“Perkara apa lagi yang ayah nak bincangkan dengan Zairiel?” tanya Zairiel sambil melabuhkan duduk di kerusi di laman rumah.
“Boleh tak Zairiel dengar cakap ayah kali ni?” Tegas Encik Zahrin bertanya.
“Selama ini, Zairiel tak dengar cakap ayah ke?” sindir Zairiel.
“Zairiel jangan nak sindir ayah. Ayah buat demi kebaikan Zairiel juga.”
“Kebaikan apa, ayah? Zairiel rasa, bukan kebaikan tapi keburukan.”
“Zairiel!” tegur Encik Zahrin dari hujung talian.
“Sudahlah ayah. Zairiel malas nak bertekak dengan ayah lagi. Kalau Zairiel rasa nak balik, Zairiel balik la nanti,” putus Zairiel.
Malas memanjangkan perbualan itu lagi. Tidak ada gunanya dia bertekak jika ego Encik Zahrin melebihi segala-galanya.
“Jangan sesekali bawak budak tu balik sini. Ayah takkan terima. Faham!” amaran Encik Zahrin, keras dan mematikan talian.
Zairiel mendengus kasar. Digenggam erat telefon bimbitnya. Melepaskan kemarahan terhadap Encik Zahrin. Sampai bila ayahnya tidak dapat menerima Daniel Iman? Disebabkan kebencian Encik Zahrin terhadap Daniel Iman, dia terpaksa menyewa sebuah rumah. Sekali sekala sahaja dia balik ke rumah Encik Zahrin. Itu pun atas arahan Encik Zahrin dan bukan atas kerelaan hatinya sendiri.
Setiap kali dia dipaksa balik, setiap kali itulah dia terpaksa meninggalkan Daniel Iman bersama dengan seorang pengasuh yang diupah. Disebabkan pengalaman bersama dengan pengasuh itulah sehingga ke hari ini Daniel Iman menolak untuk menerima pengasuh. Pengalaman di mana Daniel Iman dimarahi dan didera oleh pengasuh. Dan, dia telah pun mengambil tindakan ke atas pengasuh itu.
Zairiel menghela nafas berat. Sampai bila dia harus menerima arahan serta mengikut kata-kata Encik Zahrin? Sampai bila hidupnya akan dikongkong oleh ayah sendiri? Dari mula dia menjejakkan kaki ke universiti sehinggalah dia bergelar seorang doktor, hidupnya sudah dikawal oleh Encik Zahrin. Sama seperti yang terjadi kepada Zafira.


“MACAM mana?” tanya Dato Ramlan.
“Masih degil!” jawab Encik Zahrin, mengeluh berat.
“Kau terlalu berkeras dengan dia Zahrin. Cuba kau berlembut dengan dia, mesti dia akan dengar cakap kau,” tegur Dato Ramlan.
“Cara macam mana lagi aku nak buat, Lan? Lembut, keras, semuanya aku dah buat. Tapi, anak aku tu tetap dengan keras kepalanya,” bentak Encik Zahrin.
Dato Ramlan tersenyum. Gelengan diberikan kepada kawan baiknya itu.
“Aku buat macam tu demi kebaikan mereka. Tapi, kenapa anak-anak aku tak faham dengan apa yang aku buat selama ini?” luah Encik Zahrin, sebak.
“Sabarlah Zahrin. Mungkin ada hikmah semuanya ni,” pujuk Dato Ramlan.
“Aku dah banyak bersabar dengan mereka,” keluh Encik Zahrin pula.
“Kau sebagai ayah kena banyak bersabar dengan karenah anak-anak. Dah jadi tanggungjawab kita untuk berikan yang terbaik pada mereka.”
“Aku tahu, Lan. Tapi…”
“Sudahlah Zahrin. Banyak-banyaklah bersabar. Lama kelamaan, Zairiel akan faham. Kenapa kau buat macam tu pada dia?”
“Aku harap macam tu jugalah.”
“Kau kena yakin. Semua yang kau lakukan dulu ada sebabnya. Buat masa sekarang ni, kau jangan terlalu bertegas dengan Zairiel. Aku takut, anak kau akan pergi lebih jauh dari sekarang ni,” nasihat Dato Ramlan seraya menyentuh lembut bahu Encik Zahrin.
Encik Zahrin sekadar mengangguk. Ada benarnya kata-kata Dato Ramlan. Semoga Zairiel memahami akan tindakannya selama ini.
So, macam mana dengan rancangan kau tu?” tanya Dato Ramlan.
“Tak pasti lagi. Kena tunggu Zairiel balik dulu.”
“Kau dengar dulu apa kata Zairiel. Lepas tu baru kau buat keputusan.”
“Aku harap Zairiel setuju dengan cadangan aku.”
“Kalau Zairiel tak setuju macam mana?” tanya Dato Ramlan sekadar menduga.
“Aku akan buat dia setuju,” jawab Encik Zahrin.
“Kau nak paksa dia ke, Zahrin? Kau jangan cari pasal. Kau sendiri tahu macam mana perangai anak kau tu. Apa yang dialami oleh Zafira dulu buatkan Zairiel memberontak. Selama ini, semua yang kau buat dia bantah dan tak setuju,” terang Dato Ramlan, menggeleng.
“Aku akan buat dia setuju.”
“Ikut suka hati kau la, Zahrin. Aku cuma nak nasihatkan kau. Jangan disebabkan ego kau yang tinggi melangit tu, Zairiel yang menjadi mangsa. Kau kena fikirkan perasaan anak kau juga. Dulu kau buat perkara yang sama. Tapi, dia menolak disebabkan gadis tu. Takkan sekarang ni kau nak paksa dia pada perkara yang sama?” Dato Amran meluahkan rasa di hati. Berharap, Encik Zahrin mengambil kira dengan kata-katanya itu.
Encik Zahrin hanya mendengar. Otaknya cuba merencanakan kata-kata Dato Amran.
“Kau fikirlah mana yang baik Zahrin. Aku sebagai kawan tetap menyokong kau asalkan tidak melebihi batasan,” sambung Dato Amran seraya memegang bahu Encik Zahrin.
Encik Zahrin mengangguk. Senyuman diberikan kepada Dato Ramlan. Ada baiknya dia berbincang terlebih dahulu dengan Zairiel seperti yang dicadangkan oleh Dato Ramlan itu.


Jumpa lagi! Happy Deepavali!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan