Rabu, 9 November 2011

Hatimu Milikku - Prolog

PROLOG

“Aisya Lyana Sofea Binti Ahmad Nordin, aku ceraikan kau dengan talak satu, berambus kau dari rumah ni…  sekarang!” tengking Tengku Azizul tinggi. Jari telunjuknya menunjuk ke arah pintu rumah. Matanya tajam ke muka Aisya.
Tergamam Aisya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut suaminya. Semakin deras air mata membasahi pipinya yang gebu dan putih. Matanya sembam dek menangis yang tidak henti-henti dari tadi. Tidak menyangka begini penghujung perhubungannya dengan Tengku Azizul.
“Kau nak aku heret kau keluar atau kau nak keluar sendiri dari rumah ni?’’ herdik Tengku Azizul lagi. Terhenjut badan Aisya mendengar herdikan Tengku Azizul itu. Air mata yang deras mengalir, diseka menggunakan belakang tangannya. Dengan langkah yang longlai, Aisya mencapai beg pakaian yang sudah diletakkan oleh Tengku Azizul sedari tadi. Dia cuba mencium tangan Tengku Azizul tetapi dengan pantas Tengku Azizul menepisnya. Benci sungguh lelaki itu terhadap Aisya sehinggakan tidak mahu menyambut salaman dari Aisya itu.
“Aisya minta maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Halalkan makan minum Aisya selama Aisya menjadi isteri abang. Aisya bahagia di samping abang walaupun bahagia itu cuma sebentar,” tutur Aisya dalam nada yang masih berbaki esakan tangisan. Tanpa rela, dia melangkah keluar dari rumah itu dengan perasaan yang sedih dan sebak. Semoga ada sinar bahagia untuknya nanti.


 “Kak Aisya!” jerit seseorang dari arah belakang mengembalikan Aisya ke alam realiti. Entah berapa lama dia sudah mengelamun di atas batu yang sedang didudukinya itu, dia sendiri tidak pasti. Air mata yang bergenang di tubir mata, diseka dengan hujung jarinya. Kemudian itu, dia menoleh ke belakang dan terlihat Syikin sedang memandangnya dengan sebuah senyuman manis.
“Ha, Syikin… dari mana?” tanya Aisya dan menoleh semula pandangannya ke hadapan.
Syikin melangkah jalan menghampiri Aisya yang sedang leka memandang ke arah laut ciptaan ALLAH.
“Dari rumah. Mak cari akak, katanya ada orang nak jumpa dengan akak,” jawab Syikin sambil melabuhkan duduk bersebelahan Aisya. Sengaja tidak mahu memberitahu Aisya akan kedatangan bekas abang iparnya, Tengku Azizul ke rumah mereka.
“Siapa?” tanya Aisya lagi.
Syikin menjungkitkan bahunya sahaja. Membiarkan Aisya tertanya-tanya sendiri.
Aisya segera menuju ke rumah sambil kotak fikiran ligat memikirkan siapakah gerangan yang ingin berjumpa dengannya. Sudah hampir tiga bulan dia berada di kampung selepas kes perceraiannya selesai. Dia ingin mencari ketenangan sebelum dia benar-benar bersedia untuk menyambung perjalanan hidupnya semula. Apa yang berlaku ke atas rumah tangganya begitu memeritkan hati. Hanya ALLAH saja yang tahu akan perasaannya itu.
Aisya memberi salam setibanya di hadapan rumah. Matanya tertumpu ke arah sebuah kereta Mercedez Benz berwarna hitam yang tersadai di halaman rumah. Dia kenal dengan kereta itu. Tengku Azizul! Getus hatinya. Hatinya begitu kuat menyatakan kereta itu milik Tengku Azizul. Buat apa dia datang ke sini? Bukan ke dia dah ceraikan aku, apa lagi yang dia nakkan dari aku? Soal Aisya bertubi-tubi.
“Aisya!” panggil Tengku Azizul mematikan lamunannya. Dia menoleh ke arah Tengku Azizul yang sedang duduk di sisi Puan Suhaila. Apa lagi mamat perasan ni nak, getus hati Aisya.
 “Mimpi apa Tengku Azizul Iskandar datang ke rumah saya ni?” tanya Aisya bernada sinis. Langkahnya dituju ke arah jendela yang terbuka luas sehingga menampakkan isi alam ciptaan ALLAH.
“Abang ada perkara nak bincangkan dengan Aisya,” jawab Tengku Azizul seraya bangun dari duduknya. Dia melangkah jalan menghampiri Aisya yang sedang berpeluk tubuh sambil membuang pandang ke luar jendela.
 “Mak ke dapur sekejap,” celah Puan Suhaila. Sengaja memberi ruang kepada Aisya dan Tengku Azizul untuk berbual dan berbincang. Dia tidak mahu masuk campur dalam urusan anak menantunya. Baginya, Aisya sudah bijak untuk mencari kebahagiaannya sendiri.
Tengku Azizul mengangguk faham. Ekor matanya sahaja yang mengekori langkah Puan Suhaila sehinggalah kelibat itu hilang di sebalik pintu dapur.
Aisya mengatur langkah ke luar rumah semula. Dia tidak mahu Puan Suhaila mendengar setiap inci butir perbincangannya dengan Tengku Azizul. Dia tidak mahu merisaukan hati orang tua itu lagi. Cukuplah dengan apa yang terjadi kepada arwah abahnya dulu. Dia tidak mahu perkara yang sama turut terjadi kepada Puan Suhaila.
Tengku Azizul membuntuti Aisya dari belakang. Dia juga tidak mahu perbualan mereka didengari oleh Puan Suhaila. Rasa malu apabila berhadapan dengan Puan Suhaila selepas apa yang berlaku terhadap rumah tangga mereka.
“Tengku nak cakap apa… cakaplah,” ujar Aisya acuh tak acuh. Tangannya sibuk mematah-matahkan batang pokok bunga yang berada di situ. Melepaskan kemarahan ke atas pokok bunga itu. Kesian!
“Abang nak minta maaf dengan Aisya. Abang tahu abang dah buat satu keputusan yang salah dengan menceraikan Aisya. Abang nak kita rujuk semula,” jelas Tengku Azizul serius. Matanya tepat ke wajah tenang Aisya.
“Nak rujuk semula?” ulang Aisya sinis. “Tengku ingat saya ni apa, barang mainan. Bila suka ambil, bila tak suka buang macam sampah,” luah Aisya geram. Hatinya panas dengan tiba-tiba.
“Abang tahu, abang bersalah dengan Aisya. Tapi, tolonglah kali ini abang benar-benar minta maaf dan abang nak rujuk semula dengan Aisya. Abang sayangkan Aisya,” luah Tengku Azizul separuh merayu. Dia memberanikan diri meraih tangan Aisya, tetapi pantas ditepis oleh Aisya.
Aisya memejamkan matanya. Cuba mengumpul kekuatan dan semangat buat dirinya sendiri. Baginya semua yang berlaku sudah pun berlaku. Tidak mungkin akan diputar kembali. Hatinya yang terluka masih belum dirawat sepenuhnya. Dan tidak mungkin dia akan menjeratkan dirinya sendiri sekali lagi.
Tengku Azizul setia menanti. Dia memberanikan diri menghampiri Aisya. Wajah Aisya ditenung sayang. Kasih sayangnya terhadap Aisya tidak pernah luput dari dalam hati. Semenjak mereka berpisah, wajah itu yang amat dirinduinya. Wajah yang memberi ketenangan pada sesiapa yang melihatnya.
 “Maafkan saya Tengku, hati saya dah tertutup buat Tengku. Saya minta Tengku tinggalkan rumah ini sekarang,” putus Aisya dan terus meluru masuk ke dalam rumah tanpa menoleh sedikit pun kepada bekas suaminya itu. Namun jauh di sudut hati kecilnya, dia masih merindui akan dakapan dan belaian Tengku Azizul. Cintanya terhadap Tengku Azizul masih tetap utuh di dalam hatinya juga.
Tengku Azizul segera meninggalkan halaman rumah Aisya dengan hati yang sebak. Setelah apa yang berlaku, mustahil Aisya akan menerimanya semula. Aisya punya hak untuk menerima atau menolaknya. Disebabkan ego lelakinya yang terlampau tinggi, disebabkan perbuatan dan hasutan mamanya, Aisya yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan. Dalam masa hatinya mulai terbuka untuk menyintai dan menerima Aisya, dia terpaksa redha akan kehilangan Aisya disebabkan kesalahannya sendiri. Macam mana abang nak teruskan hidup ini tanpa Aisya? Abang minta maaf Aisya. Abang bersalah pada Aisya. Abang lukakan hati Aisya, abang sakiti hati Aisya dan abang buat Aisya menderita. Maafkan abang Aisya, luahnya di dalam hati.


7 ulasan:

  1. permulaan yang best..

    BalasPadam
  2. wah...baru baca prolog dh menitis airmata...tahniah writer...

    BalasPadam
  3. Permulaan yg menarik :) syabas penulis suka dgn intro nih :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih.. terima kasih jg kerana sudi membaca HM.. ;)

      Padam
  4. permulaan yang telah mula membuatkan kiter tertanya2 aper next, bagaimana seterusnya ngan idup meke n byk lagi...
    best.....next

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. thanks eppy safri.. enjoy reading.. :D

      Padam