Khamis, 12 Januari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 1


BAB 1


“Ha…. Nak ke mana lagi tu? Tak reti-reti nak duduk kat rumah ke? Asyik nak merayap aje. Panas agaknya punggung tu duduk kat rumah,” bebel Datin Suraya sebaik sahaja melihat kelibat Nur Liyana Safiyah menuruni anak tangga.
Langkah Liyana terhenti dengan tiba-tiba. Dia memandang wajah Datin Suraya berserta kerutan di dahi. Ibu ni kalau tak membebel satu hari tak sah agaknya. Erm… alasan apa aku nak bagi lagi ni ya, ngomel Liyana sendirian.
“Ibu…,” ujar Liyana lembut.
“Apa ibu… ibu… adalah yang nak direngekkan tu,” sahut Datin Suraya keras.
Liyana menghampiri Datin Suraya. Dia memeluk erat bahu ibunya dan menghadiahkan sebuah kucupan di pipi tua itu. Tumpah kasih dan sayangnya buat ibu tercinta.
“Ibu ni kalau marah… nampak macam singalah. Tapi singa… singa pun, ada manisnya juga,” usik Liyana sambil mencuit hidung Datin Suraya. “Ibu… kalau ibu selalu marah-marah macam ni, nanti muka ibu yang kedut tu bertambah kedut. Nanti siapa yang susah… ayah juga sebab terpaksa ajar ibu bersenam,” sambung Liyana sambil meleraikan pelukan.
“Bersenam?” ulang Datin Suraya berserta kerutan di dahi.
Liyana sekadar tersenyum. Dia melangkah jalan menuju ke pintu utama. Sengaja membiarkan Datin Suraya tertanya-tanya akan ayatnya tadi. Itulah motif yang utama. Memuji dan kemudian membiarkan Datin Suraya tertanya-tanya. Selepas itu, dia akan mengambil kesempatan di atas kealpaan Datin Suraya.
“Bersenam macam mana nak senyum. Ibu… Lia pergi dulu. Assalamualaikum..” sambung Liyana dan segera berlalu pergi.
“Hisy… bertuah punya budak. Pandai dia alpakan aku. Bilalah nak berubah perangai budak ni?” bebel Datin Suraya sambil menggelengkan kepala.
Begitulah keadaan setiap kali dia berhadapan dengan anak bongsunya itu. Walaupun umur sudah mencecah dua puluh tiga tahun, tetapi perangai masih kebudak-budakkan. Jika tidak diikutkan, ada sahaja perangai yang akan dibuatnya nanti.
“Kak Mah…. oh Kak Mah…” laung Datin Suraya dari pintu utama.
Terkocoh-kocoh Mak Mah menuju ke pintu utama. Lengan baju yang disinsing, dilucutkan.
“Ada apa Datin?” tanya Mak Mah sebaik sahaja tiba di hadapan Datin Suraya.
“Kak… saya nak keluar sekejap. Nanti tolong siapkan makan malam,” beritahu Datin Suraya berupa arahan. Kemudian, dia mencapai beg tangan dan kunci kereta. Setelah itu dia memboloskan diri masuk ke dalam kereta.
Mak Mah mengangguk faham. Dia menghantar Datin Suraya dengan ekor matanya sahaja. Kemudian dia mengunci pintu dan menyambung semula kerjanya yang tertangguh tadi.


Liyana memarkirkan keretanya di petak yang baru dikosongkan. Hari ini dia telah berjanji untuk keluar makan tengahari bersama kawan baiknya Fazura. Sudah agak lama dia tidak bertemu dengan Fazura. Selepas menghabiskan pengajian mereka di universiti, Fazura telah memulakan tugas sebagai Pegawai Eksekutif Pentadbiran di salah sebuah syarikat terkenal di Kuala Lumpur. Manakala dirinya, hanya menaman anggur di rumah sahaja. Belum bersedia untuk bekerja la kiranya tu. Pernah juga abangnya, Adif Haikal memintanya bekerja di syarikat, tetapi dia menolak keras. Bagi Liyana bekerja di pejabat sungguh membosankan. Setiap hari mengadap komputer dan amat meletihkan. Dia lebih suka dengan gaya hidup bebas. Bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa arahan sesiapa. Sampai bila? Dia sendiri tidak pasti.
Liyana melabuhkan duduk di sebuah kerusi. Matanya melilau mencari kelibat Fazura. Suasana hingar bingar di dalam restoran, sedikit sebanyak mengganggu ketenangannya. Entah mengapa Fazura memilih restoran itu, dia sendiri tidak tahu. Dia lebih sukakan suasana yang tenang daripada suasana bising. Apabila kita berada di dalam suasana yang tenang, hati kita juga turut sama tenang. Begitulah sebaliknya.
Bebsorry lambat. Aku sangkut dalam jam tadi,” tegur Fazura dengan suara yang tersekat-sekat. Menahan nafas yang sedang turun naik. Kemudian dia melabuhkan duduk berhadapan Liyana.
“Ala kau ni… dah tak ada alasan lain lagi ke? Balik-balik jam… balik-balik jam. Kalaulah jam tu boleh bercakap, tentu kau orang pertama yang kena saman tau,” balas Liyana dengan gayanya tersendiri.
Fazura mencebikkan bibir. Liyana kalau tak mengusik tidak sah jadinya. Selama dia berkawan dengan Liyana, dia senang dengan perwatakan Liyana. Walaupun kadang kala dia merasakan perwatakan Liyana begitu kasar, namun dalam kasarnya ada lembutnya juga. Mungkin pengalaman lepas membuatkan diri Liyana menjadi begitu. Pengalaman yang tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.
“Kau nak makan apa… order ajelah. Jangan risau, hari ni aku belanja kau. Aku tengah kaya sekarang ni,” ujar Liyana sambil mengangkat kening.
“Alah… kayalah sangat. Duit pun minta mak bapak lagi, tak sedar diri betul,” cebik Fazura sambil membelek-belek buku menu di tangan.
“Eh… cakap jangan ikut sedap mulut aje tau. Tak mainlah minta kat mak bapak. Aku minta kat abang akulah. Siapa lagi kalau bukan mangsa aku tu,” bidas Liyana keras. Dia menjeling ke arah Fazura yang sedang mencebik ke arahnya.
“Yelah… kalau tak ada abang kau tu, alamatnya tak berduitlah kau kan,” tukas Fazura dan menutup buku menu. Dia mengangkat tangan dan melambai ke arah pelayan yang berada tidak jauh dari meja mereka duduki.
“Nasi goreng cendawan satu, carrot susu satu. Kau nak order apa Lia?” beritahu Fazura sebaik sahaja pelayan yang berbaju putih dan berseluar hitam berada di hadapan mereka. Pelayan itu setia menanti sambil mencatat order di atas kertas yang dipegangnya.
“Mee goreng basah khaw-khaw ngan fresh orange khaw,” sahut Liyana dan tersengih.
“Kau ni Lia, mana ada mee goreng khaw-khaw,” pintas Fazura sebaik sahaja melihat pelayan di hadapan mereka menggaru-garu kepala. Mungkin pelik mendengarnya.
“Mee goreng basah ngan fresh orange aje,” beritahu Fazura seraya tersenyum.
Pelayan itu menganggukkan kepala. Seminit kemudian, dia menghilangkan diri menuju ke bahagian dapur. Menghantar pesanan mereka berdua tadi.
So… bila kau nak start kerja? Sampai bila nak tanam anggur aje kat rumah kau tu,” soal Fazura serius. Matanya menjamah muka Liyana.
“Anggur aku tu tak berbuah lagi la. Jadi aku tunggu anggur aku tu berbuah dulu, bila dah berbuah dan hasilnya aku jual, then baru aku fikirkan kerja lain pulak,” jawab Liyana selamba.
“Aduh!!” rengek Liyana apabila menyedari lengannya dicubit Fazura. “Apa main cubit-cubit ni? Macam ketamlah kau ni. Ketam pun tak ada macam kau tau,” rungut Liyana sambil mengusap lembut lengannya.
“Ha… padan muka kau. Aku cakap betul-betul, kau main-main pulak” balas Fazura geram.
“Kau tu serius sangat kenapa? Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?”
“Tempat aku ada kosong, tu pun kalau kau nak kerjalah. Kalau kau nak, aku boleh tolong rekemenkan untuk kau,”
“Nantilah aku fikir-fikirkan. Kalau aku rajin nak kerja… aku bagitau kau,”
“Eh… cepat sikit tau. Kalau tak nanti diorang nak open untuk public. Kau jangan risaulah, tempat aku tu best. Bosnya pun best. Handsome pulak tu, mesti kau terpikat ngan bos aku tu nanti. Kau nak tak kenal ngan bos aku tu? Dia tengah cari calon isteri la,” beritahu Fazura panjang lebar.
“Habis tu, kenapa kau aje yang tak ngorat dia? Buat apa nak kenalkan ngan aku pulak,” balas Liyana selamba. Dia memeluk tubuh sambil bersandar ke kerusi.
Suasana hening seketika tatkala pelayan menghantar pesanan yang dipesan oleh mereka sebentar tadi. Liyana segera meneguk fresh orange tanpa menghiraukan Fazura. Hilang rasa kering ditekak selepas meneguk fresh orange itu.
“Aku tak naklah. Handsome sangat. Takut aku orang handsome-handsome ni. Kalau ngan kau, memang secocok sangat-sangat. Kau tu lawa, dia handsome…. memang sesuai sangat-sangat,” bidas Fazura dan menyuakan sesudu nasi goreng ke dalam mulutnya.
“Erm… nanti aku fikirkan. Kalau ayah aku on… aku onlah. Tapi, kalau ayah aku tak on… aku cancellah. Kau macam tak kenal ngan ayah aku tu. Kalau ngan aku, ada aje yang tak kenanya. Kadang-kadang aku terfikir yang aku ni bukan anak dia,” keluh Liyana perlahan.
Sejak dari kecil dia jarang mendapat kasih sayang dari Dato’ Zulkifli. Dato’ Zulkifli lebih mengutamakan Adif Haikal dan Nur Laila Safiyah berbanding dirinya. Pernah dia bertanyakan kepada Datin Suraya, kenapa  Dato’ Zulkifli bersikap pilih kasih? Namun jawapan yang sering diberikan oleh Datin Suraya hanyalah ‘ayah sayangkan Lia. Lia jangan fikir yang bukan-bukan.’ Setiap kali dia bertanya, hanya jawapan itu yang meniti di bibir Datin Suraya.
Sehingga kini, dia masih tertanya-tanya akan sikap Dato’ Zulkifli. Mungkin ada sebab dan penyebab kenapa Dato’ Zulkifli bersikap dingin dengannya. Lantaran disebabkan itu, dia lebih rapat kepada Datin Suraya. Jauh di sudut hati, dia dahagakan kasih sayang seorang ayah. Apabila melihat Adif dan Laila disayangi oleh Dato’ Zulkifli, dia menjadi cemburu. Sifat cemburu itu terpaksa dibuang jauh-jauh dari hati Liyana kerana dia yakin suatu hari nanti, Dato’  Zulkifli akan menyayanginya. Bila? Dia sendiri tiada jawapan pada persoalan itu.
“Sudahlah… aku faham perasaan kau. Makanlah, lepas ni kau nak ke mana?” suara Fazura cuba untuk menenangkan perasaan Liyana.
Selama dia berkawan rapat dengan Liyana, segala kisah Liyana sudah menjadi sebahagian dari kisahnya. Jika melibatkan ayah, Liyana akan beremosi dan kadang-kadang membuatkan Liyana menitiskan air mata. Sehingga sekarang dia tidak faham kenapa Dato’ Zulkifli tidak menyayangi Liyana. Bukankah Liyana anak kandungnya juga? Kenapa dia perlu membeza-bezakan kasih sayang antara Liyana dan abang serta kakaknya? Persoalan yang tiada jawapannya.
“Aku nak jumpa abang aku. Dia suruh aku ke sana semalam. Sebab apa, aku sendiri tak tahu,” ujar Liyana sambil meletakkan sudu dan garpu di tepi pinggan. Dia meneguk saki baki fresh orange dan mengelap mulut dengan sehelai tisu yang diambil dari dalam kotak.
“Sampaikan salam aku pada abang kau ya,” beritahu Fazura.
Liyana sekadar mengangguk. Dia membuang pandang melihat sekeliling restoran. Waktu tengahari begini, sudah tentulah restoran-restoran dipenuhi dengan pelanggan yang ingin menjamu selera. Terasa hiba tatkala mengenangkan sikap Dato’ Zulkifli selama ini. Sampai bila dia harus berhadapan dengan kebencian Dato’ Zulkifli? Seakan-akan berputus asa untuk mengambil hati Dato’ Zulkifli. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar Dato’ Zulkifli berubah suatu hari nanti. Menerima dan mengakui dirinya sebagai anak.


“Ayah nak Adif uruskan projek kita kat Shah Alam tu. Ayah tak nak ada apa-apa masalah yang timbul nanti,” arah Dato’  Zulkifli tegas. Dia menutup fail yang dibacanya sedari tadi dan menatap wajah Adif.
“Baiklah ayah. Adif akan uruskan projek tu. Ada apa-apa lagi yang ayah nak katakan pada Adif?” sahut Adif. Matanya tertancap ke muka Dato’ Zulkifli.
Dato’ Zulkifli melepaskan keluhan ringan. Dia menyandarkan badan ke belakang. Cermin mata dibuka dan diletakkan di atas meja.
“Pukul dua nanti ayah nak jumpa dengan Tan Sri Mokhtar. Ayah nak Adif ikut sama,” beritahu Dato’ Zulkifli. Dia meraup mukanya sekali.
“Baiklah ayah. Kalau tak ada apa-apa lagi, Adif minta diri dulu,” ujar Adif seraya bangun. Dia mengatur langkah dan keluar dari bilik Dato’ Zulkifli.
Dato’ Zulkifli sekadar mengangguk. Ekor matanya sahaja menghantar langkah Adif sehingga hilang dari pandangan mata.
Sebaik sahaja keluar dari bilik Dato’ Zulkifli, Adif segera menuju ke biliknya. Dia perlu mempersiapkan diri sebelum berjumpa dengan Tan Sri Mokhtar. Entah mengapa Dato’ Zulkifli ingin berjumpa dengan Tan Sri Mokhtar, dia sendiri tidak pasti. Selama ini Tan Sri Mokhtar banyak membiayai projek yang dijalankan oleh Mutiara Holding. Syarikat yang dibangunkan oleh arwah atuknya sejak turun temurun lagi dan kini diusahakan oleh Dato’ Zulkifli pula. Memandangkan Dato’ Zulkifli anak tunggal, jadi kesemua harta peninggalan arwah atuknya diserahkan kepada Dato’ Zulkifli.
Semenjak dia bekerja di bawah pengurusan Dato’ Zulkifli, banyak perkara yang dipelajari olehnya. Malah Jurusan Kejuruteraan yang diambil ketika belajar di Jepun dahulu sedikit sebanyak diaplikasikan di dalam kerjanya sekarang. Setiap projek yang diterima oleh Mutiara Holding akan ditapis terlebih dahulu sebelum diusulkan kepada Dato’ Zulkifli. Sebagai kontraktor bangunan, kelancaran projek amat dititik beratkan kerana tidak mahu sesuatu berlaku terhadap projek yang diusahakan oleh Mutiara Holding. Malah perkhidmatan terbaik perlu diberikan dalam menguruskan sesuatu projek.
“Abang….” sergah Liyana dari balik pintu.
“Kush semangat. Ya ALLAH Lia ni, buat terperanjat abang ajelah. Nasib baik abang tak ada sakit jantung, kalau tak… dah lama mati katak abang dibuatnya,” marah Adif sambil mengurut-urut dadanya yang berombak kencang.
Liyana sekadar tersengih. Dia menarik lengan Adif dan duduk di atas sofa yang tersedia di dalam bilik pejabat itu.
Sorry…. tak sengaja,” ucap Liyana berserta senyuman manis di bibir.
“Lia buat apa kat sini?” tanya Adif sebaik sahaja keadaannya kembali tenang.
“La… kan abang yang suruh Lia datang sini. Apa abang dah lupa ke? Macam mak neneklah abang ni. Muda-muda lagi dah jadi tua,” usik Liyana sambil mencapai majalah yang berada di atas meja. Lantas ditatap majalah itu dengan khusyuknya.
“Hisy… budak ni. Ada aje jawapannya,” geram Adif sambil menarik hidung Liyana.
“Sakitlah!! Apa ni main tarik-tarik hidung. Kalau hidung Lia cacat, abang kena gantikan yang baru tau. Tak pasal-pasal, jatuhlah saham Lia,” gerutu Liyana sambil menggosok-gosok hidungnya yang terasa sakit. Majalah di tangan sudah diletakkan semula di atas meja.
“Ala… ada ke yang nakkan adik abang yang sengal ni. Abang rasa tak ada siapa yang nak,” tukas Adif sinis. Sengaja mengusik hati Liyana.
“Abang jangan cabar Lia. Nanti kalau ada lelaki handsome nakkan adik abang yang sengal ni, abang jangan terlopong pulak,” tutur Liyana dengan bangganya.
Adif mencebik. Dia memandang Liyana dengan pandangan yang curiga.
“Erm… malang betul lelaki tu. Adik abang ni bukannya tahu apa-apa pun. Masak pun tak pandai, buat kerja… huh, lagilah, satu haram pun tak tahu. Yang dia tahu merayau, kacau orang, usik orang dan buat orang marah, buang masa, adalah. Macam mana nak jadi isteri orang kalau perangai mengalahkan budak-budak,” bidas Adif seakan menyindir. Sengaja menduga perasaan Liyana waktu itu.
Liyana tergamam seketika. Dia memfokuskan tumpuan kepada Adif. Jari telunjuk kanannya mengetuk-ketuk pipi dengan perlahan. Seperti orang yang sedang berfikir lagaknya.
“Ha… betul jugak apa yang abang katakan tu. Malang betulkan siapa yang jadi husband Lia nanti. Kalau macam tu, abang kena carikan Lia seorang husband yang boleh buat segala-galanya untuk Lia. Maksud Lia, buat kerja rumah, memasak, membasuh, dan lain-lain seangkatan dengannya. Boleh?” balas Liyana berserta sengihan. Sengaja mengusik Adif.
Adif menepuk dahi. Jika dilayan cakap Liyana, sampai bila-bila pun dia takkan menang. Liyana pandai membidas kata-katanya. Namun dia suka dengan sikap Liyana yang berterus-terang. Berbeza dengan sikap Nur Laila Safiyah. Laila suka menyakitkan hatinya. Malah sikap Laila sering mendapat sokongan dari Dato’ Zulkifli. Entah mengapa Dato’ Zulkifli membeza-bezakan kasih sayang di antara Liyana dan Laila, dia sendiri tidak pasti. Mungkin ada sejarah yang ayah dan ibunya sembunyikan daripada pengetahuan mereka adik-beradik.
“Adif, dah siap? Kalau dah, mari kita pergi,” ujar Dato’ Zulkifli tiba-tiba dari balik pintu.
Serentak Adif dan Liyana menoleh. Bingkas Liyana bangun dari duduknya.
“Lia buat apa kat sini?” tanya Dato’ Zulkifli sebaik sahaja menapak masuk ke dalam bilik pejabat Adif. Wajahnya kelihatan terkejut dengan kehadiran Liyana di situ.
“Lia… Lia…”
“Kalau Lia datang nak buang masa dan kacau abang, Lia balik sekarang. Bukan menyenangkan… menyusahkan lagi adalah,” potong Dato’ Zulkifli bernada marah.
Liyana tertunduk memandang lantai. Sungguh hatinya terasa mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Dato’ Zulkifli. Benci sangatkah Dato’ Zulkifli sehinggakan sanggup mengeluarkan kata-kata sebegitu kepadanya.
“Ayah, Adif yang suruh Lia datang sini,” bela Adif.
Seperti biasa, Adif akan menjadi pembela buat Liyana. Selama ini hanya Adif tempat Liyana bergantung.
“Jangan kamu nak membela dia pulak Adif. Tengoklah pakaiannya tu, tak senonoh. Sampai bila nak berperangai macam budak-budak. Sedarlah diri tu sikit, umur macam kamu ni Lia dah boleh kahwin dan dah ada anak dua tiga orang. Sudah… balik sekarang! Jangan datang ganggu abang kamu lagi,” marah Dato’ Zulkifli. Matanya merenung tajam ke muka Liyana.
Liyana mengangkat muka. Memberanikan diri melawan tenungan Dato’ Zulkifli. Kenapa Dato’ Zulkifli tidak habis-habis mengeluarkan kata-kata pedas kepadanya? Kenapa Dato’ Zulkifli begitu membencinya? Salahkah apa yang dipakainya sekarang? T-shirt lengan panjang bersaiz besar berserta seluar jean lusuh. Walaupun hanya berpakaian sebegitu, dia masih lagi tahu akan adab-adab berpakaian. Mungkin dia bukan seperti Laila yang berpakaian mengikuti peredaran masa atau up-to-date.
Tanpa membalas kata-kata Dato’ Zulkifli, Liyana segera membawa langkah keluar dari bilik itu. Lebih lama dia berada di situ, entah apa lagi yang akan dihamburkan oleh Dato’ Zulkifli. Berat mata memandang, berat lagi bahu untuk memikulnya. Sedarlah Liyana yang selama ini dia hanya menyusahkan hati Dato’ Zulkifli dan bukan menyenangkan hati Dato’ Zulkifli. Kenyataan yang sukar untuk diterima.
“Lia….” panggil Adif.
Namun panggilan itu tidak bersahut oleh Liyana. Dia membawa sekeping hati yang terluka. Dilukai oleh ayahnya sendiri.
“Dah… jangan nak dikisahkan dengan Lia tu. Jom ikut ayah jumpa Tan Sri Mokhtar,” arah Dato’  Zulkifli seraya melangkah keluar dari bilik itu.
Adif sekadar mengangguk. Lantas dia mencapai briefcase dan membuntuti Dato’ Zulkifli. Hatinya tersayat mendengar kata-kata Dato’ Zulkifli sebentar tadi. Jika dia boleh berperasaan sebegitu, bagaimana pula perasaan Liyana? Sudah pastilah Liyana akan terluka dengan kata-kata Dato’ Zulkifli sebentar tadi.


“Hisy… siapa pulak yang sesuka hati blok kereta aku ni. Hangin betullah!” marah Liyana sambil meninjau-ninjau kereta tersebut. “Dah la tak letak nombor telefon, menyusahkan betul!” bebelnya pula.
Liyana mengeluh ringan. Silapnya juga kerana memarkirkan kereta di tempat yang salah. Jika tidak ada palang besi yang menjadi penghalang, sudah pastilah mudah untuknya keluar dari arah belakang tanpa menunggu pemilik kereta yang menghalang keretanya itu.
Liyana menyandarkan badan ke kereta. Menanti penuh kesabaran pemilik kereta tersebut. Matanya tidak lekang dari melihat keadaan tempat parkir itu. Jika diikutkan perasaan takutnya, tak mungkin dia akan berada di tempat itu pada waktu-waktu petang begini. Namun dia menguatkan hati agar menepis segala ketakutan tersebut.
Liyana menggagau poket seluar jean mencari-cari telefon bimbitnya yang bergetar dengan tiba-tiba. Sebaik sahaja dicapai, dia melihat nombor telefon yang tertera di screen telefon itu. Satu keluhan berat terlepas dari bibirnya.
“Ya ibu…” balasnya sebaik sahaja salam disambut.
“Lia kat mana? Dah pukul berapa dah ni? Kenapa tak balik-balik lagi?” soal Datin Suraya bertubi-tubi. Risau hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Ibu… kejap lagi Lia baliklah. Ibu janganlah risau,” jawab Liyana cuba untuk mententeramkan hati Datin Suraya.
“Baiklah. Jangan lambat sangat. Nanti ayah Lia marah pulak.” Datin Suraya mengingatkan Liyana.
‘Ibu… ayah tak kisah kalau Lia balik lambat. Mungkin ayah lagi suka kalau Lia tak balik,’ sahut Liyana hanya mampu diluahkan di dalam hatinya sahaja.
“Lia… dengar tak apa yang ibu katakan ni,” geram Datin Suraya.
“Hmm…” sahut Liyana dan mematikan talian telefon.
Liyana menghela nafas dan melepaskannya. Dia memandang kereta di hadapan dengan pandangan yang kosong. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu sahaja dia memecahkan cermin kereta itu dan melarikan diri dari situ. Seperti lagak pencuri. Baru puas hatinya di atas kecuaian pemilik kereta tersebut.
Penat menunggu, Liyana memboloskan diri ke dalam perut kereta. Dia menghidupkan enjin kereta dan penghawa dingin. Kereta dikunci dari dalam untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Kemudian, dia menyandarkan badan ke kusyen kereta dan memejamkan mata buat seketika. Dan akhirnya dia terlelap di situ tanpa menyedari keadaan sekeliling yang semakin lengang dan sunyi.


Liyana menggeliat sebaik sahaja terdengar cermin tingkapnya diketuk seseorang. Berpisat-pisat matanya melihat gerangan yang mengetuk cermin tingkapnya itu. Lantas dia memboloskan diri keluar dari kereta. Cuba melihat gerangan orang tersebut. Terkebil-kebil Liyana memandang lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu.
“Maaf sebab halang kereta cik,” ujar lelaki itu dalam nada kesal. Dia memandang lembut Liyana berserta senyuman di bibir.
“Maaf encik tu saya tak terima. Kalau ya pun parking ni mak bapak encik yang punya, janganlah parking ikut suka hati aje,” sindir Liyana sinis.
Jika bukan disebabkan kereta lelaki itu, sudah lama dia pulang ke rumah dan tidak perlu tidur di dalam kereta dari petang hingga ke malam hari.
Berkerut-kerut dahi lelaki itu mendengarnya. Hatinya yang sejuk tiba-tiba menjadi panas. Dia memandang Liyana yang sedang memboloskan diri masuk ke dalam kereta dengan pandangan yang tajam.
“Apasal dengan minah ni, aku cakap baik-baik, dia boleh sindir aku macam tu,” marah Amirul Arif Iskandar. Dia mengusap dadanya yang berombak tiba-tiba. Menahan kemarahan di dalam hati.
Liyana memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Dia membunyikan hon buat lelaki yang masih memandangnya dengan seribu kerutan. Hisy… mamat ni. Yang pandang aku semacam tu kenapa? Tak faham bahasa ke sebab apa aku hon ni, gerutu Liyana. Dia membunyikan hon berulang kali namun tidak diendahkan oleh lelaki tersebut. Lelaki itu masih lagi tidak berkelip memandang ke arahnya. Tidak mahu berganjak dari tempatnya berdiri. Lantas, Liyana melangkah keluar semula dan menghampiri lelaki itu.
“Encik… boleh tak tolong alihkan kereta tu cepat. Saya dah lambat ni,” pinta Liyana lembut.
“Erm… suka hati sayalah nak alihkan ke tak,” balas Amirul.
“Apa maksud awak?” tanya Liyana kehairanan. Hilang perkataan ‘encik’ yang digunakannya sebentar tadi.
Amirul menghampiri Liyana. Dipandangnya Liyana dari atas ke bawah. Seperti mahu telan saja lagaknya. Erm… lawa juga minah ni. Tapi, dressing dia… huh, kekampungan, ngomel Amirul sendirian.
“Yang awak pandang saya macam nak telan aje ni kenapa?” geram Liyana. Tidak selesa apabila diperhatikan oleh Amirul, seperti lagak polis rupanya.
“Selagi awak tak minta maaf kat saya, selagi itu saya takkan alihkan kereta saya,” beritahu Amirul. Sengaja menyakitkan hati Liyana.
Sebenarnya bukan niatnya untuk berbuat begitu. Tetapi disebabkan kata-kata gadis itu sebentar tadi, membuatkan hatinya menjadi panas. Sudah di minta maaf, tetapi kemaafannya tidak diendahkan oleh gadis itu. Malah gadis itu sengaja menyindirnya.
“Maaf?” ulang Liyana berserta kerutan di dahi. “Kenapa pulak saya yang kena minta maaf? Awak yang halang kereta saya, jadi awaklah yang kena minta maaf dengan saya,” sambung Liyana tidak berpuas hati. Panas hatinya apabila lelaki itu sengaja tidak mahu mengalihkan keretanya.
“Awak ni memang pekak ya. Saya dah minta maaf dari awak, tetapi awak yang tak nak maafkan saya, malah memerli saya adalah!” terang Amirul sedikit geram. Tangannya sudah pun dikepalkan.
Liyana menarik nafas dan melepaskannya perlahan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menendang kaki lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu. Namun disabarkan hati agar tidak melakukannya.
“Okey… mungkin saya terlupa nak korek telinga saya, tu yang saya tak dengarnya tadi. So, saya minta maaf. Jadi boleh tak encik tolong alihkan kereta encik tu cepat,” ujar Liyana sengaja mengalah. Tak pelah, ikut sajalah. Malas aku nak bertekak dengan mamat hingusan ni, kata hati Liyana.
“Maaf awak tu tak ikhlas!” balas Amirul. Dia memeluk tubuh dan bersandar di kereta.
“Apa masalah awak ni? Saya dah pun minta maaf, takkan tak puas hati lagi,” geram Liyana tidak tertahan lagi. Matanya tajam ke muka lelaki yang sedang bersandar di keretanya sendiri.
Amirul mencebik. Hatinya terasa puas kerana menaikkan kemarahan perempuan di hadapannya itu. Terasa seronok juga dia berbuat begitu. Walaupun kesalahan tidaklah sebesar mana, tetapi hatinya berasa gembira dengan keadaan itu.
Liyana menarik nafas dalam-dalam. Melihatkan lelaki itu tiada tanda-tanda untuk bergerak, lantas dia mematikan enjin kereta. Dicapai beg sandang yang dibawanya dan disangkutkan ke bahu. Dia menekan punat lock kereta dan melangkah menghampiri lelaki tersebut.
“Ikut suka enciklah. Encik tunggulah kat sini sampai ke tua. Saya blah dulu!” ujar Liyana berserta senyuman. Senyuman yang dipaksa-paksa.
Terkejut Amirul mendengarnya. Matanya hanya memandang kelibat Liyana meninggalkan kawasan itu. Huh! Tahu pun takut. Dia ingat aku ni siapa, boleh sesuka hati aje dia nak main-mainkan, omel Amirul berserta senyuman di bibir. Senyuman kemenangan.
Liyana tertawa kecil melihat lelaki itu tersenyum. Mesti dia ingat aku mengalah. Kau belum kenal dengan aku lagi. Kau tunggulah, kejap aje lagi. Baru kau tahu siapa aku yang sebenarnya, bebel Liyana berserta senyuman yang penuh tersirat.
Setelah memastikan dirinya agak jauh dari pandangan lelaki itu, lantas Liyana mencari sebiji batu. Setelah dapat, dia mengacukan batu tersebut ke arah kereta lelaki itu. Tanpa membuang masa, dia membaling batu tersebut ke arah cermin kereta lelaki tersebut. Nasibnya begitu baik kerana batu itu betul-betul mengenai cermin sebelah penumpang kereta lelaki tersebut.
“Padan muka!!!” jerit Liyana sambil menunjukkan ibu jari kepada Amirul. Dan digerak-gerakkan ibu jarinya seperti tanda bagus kepada Amirul.
“Woit… kurang ajar! Kau jangan ingat kau akan terlepas. Kereta kau ni aku kerjakan nanti,” marah Amirul sedikit menjerit. Sakit hatinya melihat cermin yang pecah itu.
“Peduli apa aku. Suka hati kaulah nak buat apa dengan kereta aku tu. Lain kali jangan nak main-main dengan aku,” sahut Liyana dari jauh.
Namun, di sudut hati, dia berharap agar lelaki itu tidak menghentam keretanya. Jika tidak, alamat kenalah dia bersoal jawab dengan ayahnya nanti. Tanpa menoleh, dia segera membawa diri jauh dari tempat parkir itu untuk pulang ke rumah.


Amirul menghempas pintu keretanya sekuat hati. Hatinya membengkak dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Jika diikutkan hati yang panas, mahu sahaja dia mengejar minah kampung itu dan dibawanya ke balai polis. Biar padan muka merengkuk di dalam penjara atas perbuatannya itu. Mujurlah kereta perempuan itu masih ada di situ. Dan dia telah pun membalas dendam dengan memancitkan keempat-empat tayar kereta perempuan itu. Malah dia juga telah meninggalkan kesan torehan ke atas badan kereta itu. Puas hatinya selepas melakukannya.
Amirul melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Dihempaskan badan di atas sofa empuk buatan Itali di ruang tamu rumah papanya. Seharian bekerja di syarikat begitu memenatkan. Kesibukkan yang dihadapi ketika ini, membataskan dirinya untuk berhibur di kelab-kelab malam seperti hari-hari sebelumnya. Segala tender yang diterima oleh syarikat membuatkan dirinya tidak menang tangan untuk menguruskannya. Teringat kata-kata papanya suatu masa dahulu. Ketika dia baru memulakan tugas di syarikat papa. ‘Pelanggan perlu diutamakan. Walau banyak mana projek atau tender yang diterima oleh syarikat kita, selagi ada daya, kita akan cuba memuaskan hati pelanggan kita,’
Amirul mengeluh berat. Menjadi anak tunggal dalam keluarga bukanlah perkara yang menggembirakan. Dirinya dijadikan sandaran dan harapan bagi kedua orang tuanya. Hendak tak nak, dia terpaksa akur dengan setiap keputusan yang telah dibuat oleh papanya, Tan Sri Khalil. Mamanya, Puan Sri Marissa hanya mengikut sahaja. Tidak membantah mahupun menyokong. Puan Sri Marissa lebih suka menyibukkan diri dengan berpersatuan. Segala keputusan di tangan Tan Sri Khalil. Begitu juga dengan jodoh, mereka hanya menyerahkan seratus peratus kepadanya. Terpulang padanya untuk mencari sesiapa sahaja untuk dijadikan isteri. Dalam usia yang sudah mencecah dua puluh enam tahun, sudah layak untuk berumah tangga. Ramai kawan seuniversitinya dahulu, sudah pun berumah tangga dan beranak pinak. Hanya dia sahaja yang masih mencari-cari calon yang sesuai untuk dijadikan suri di hatinya.
Shasha, terpacul nama itu dari dalam hati. Gadis yang menjadi pujaan ramai lelaki selama ini. Gadis yang memiliki ke semua pakej yang dikehendaki oleh seseorang lelaki. Cantik bergaya, menggoda, seksi dan menawan boleh membuatkan semua lelaki cair apabila melihatnya. Entah kenapa dalam banyak-banyak lelaki yang mengejar Shasha, dia yang menjadi pilihan Shasha. Apa yang dipandang oleh Shasha, dia sendiri tidak tahu. Hanya Shasha sahaja yang tahu jawapannya dan selama ini dia tidak pernah bertanya akan hal itu. Namun dia berbangga kerana dapat mengalahkan lelaki-lelaki yang memuja Shasha selama ini.
Selama dua tahun perkenalannya dengan Shasha, dia sudah dapat mengenali hati budi Shasha. Walaupun kadang-kala ego Shasha melebihi segala-galanya, namun dia tetap gembira berada di samping gadis itu. Hanya Shasha yang berada di dalam hatinya kini. Tiada gadis lain yang dapat menandingi Shasha dan tiada gadis lain yang dapat menggantikan Shasha. Tetapi, sampai bila dia akan berpeleseran dengan Shasha. Pernah juga dia menyuarakan untuk menyunting Shasha, tetapi gadis itu menolak keras akan permintaannya itu. Kata Shasha, dia belum bersedia untuk berumah tangga dan tidak suka dikongkong. Dia belum puas hidup bebas malah dia tidak mahu meninggalkan gaya hidupnya sekarang.
“Sampai bila?” hanya persoalan itu yang selalu berlegar-legar dalam fikirannya sehingga ke hari ini.
“Rul… bila balik? Papa tak dengar pun bunyi kereta Rul tadi?” tegur Tan Sri Khalil menyentakkan lamunan panjang Amirul. Segera Amirul menoleh ke arah Tan Sri Khalil yang baru menuruni anak tangga menuju ke ruang tamu.
“Baru aje papa. Mama mana?” soal Amirul pula selepas menjawab soalan papanya.
“Mama Rul ada dinner dengan kawan-kawan persatuannya. Sekejap lagi baliklah tu,” jawab Tan Sri Khalil sambil melabuhkan punggung di atas sofa berhadapan Amirul. Ditatap wajah anaknya itu. Keruh dan mendung. Seperti ada perkara yang sedang difikirkan oleh Amirul ketika ini.
“Kenapa keruh aje muka tu papa tengok. Rul ada masalah ke?” terluah juga persoalan yang sedang bermain di fikiran Tan Sri Khalil.
Amirul mengeluh ringan. Dia membetulkan duduknya dan mengadap Tan Sri Khalil. Mukanya keruh disebabkan peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Tidak mungkin dia akan melupakan dengan apa yang telah berlaku. Andai kata dia berjumpa dengan perempuan itu semula, pasti dia akan mengenakan perempuan itu secukup-cukupnya.
“Cermin kereta Rul pecah papa. Ada perempuan gila pecahkannya,” ujar Amirul kesal.
“Perempuan gila? Hisy… kamu ni Rul. Jangan nak main-mainkan papa pulak. Macam mana boleh pecahnya?” tanya Tan Sri Khalil tidak berpuas hati.
“Siang tadi Rul blok kereta dia. Nak dijadikan cerita, dia sakit hati dengan Rul. Ntah macam mana dia boleh baling batu kat kereta Rul, tu yang pecah cermin sebelah penumpang,” cerita Amirul berserta dengusan kasar. Panas hatinya apabila mengingati perbuatan perempuan itu.
Tan Sri Khalil melepaskan ketawanya. Geli hati mendengar cerita Amirul itu. Amirul selalu begitu. Tidak mudah mengalah dengan sesiapa. Dan akhirnya, dia sendiri yang makan hati.
Berkerut dahi Amirul melihat Tan Sri Khalil ketawa. Rasanya tidak ada perkara yang melucukan yang membolehkan mereka ketawa. Mungkin papa gelakkan akulah ni, duga hati Amirul.
“Rul… Rul… sendiri cari pasal. Ha… tanggunglah sendiri. Yang Rul pergi blocking kereta dia tu kenapa? Kalau papa jadi dia pun tentu papa mengamuk juga,” suara Tan Sri Khalil dalam tawanya yang masih bersisa. Anaknya itu tidak pernah nak berubah.
Amirul mencebik. Panas telinganya mendengar kata-kata Tan Sri Khalil itu. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia membalas kata-kata Tan Sri Khalil. Tetapi dibiarkannya sahaja. Tidak ada guna untuk mengungkit peristiwa yang telah berlaku. Mungkin suatu hari nanti dia akan membalas perbuatan perempuan itu.
“Rul naik dululah papa. Nak mandi dan tidur,” ujar Amirul seraya bangun. Dia mengatur langkah menuju ke bilik di tingkas atas.
“Rul… papa ada perkara nak bincangkan dengan Rul. Esok, kita makan tengahari bersama,” beritahu Tan Sri Khalil sebelum Amirul hilang dari pandangan mata.
“Baiklah papa,” balas Amirul dan hilang di sebalik anak tangga menuju ke bilik.
Tan Sri Khalil melepaskan keluhan. Dia memikirkan bagaimana caranya untuk memberitahu Amirul. Niatnya tidak mahu tertangguh lagi. Niat untuk menjodohkan Amirul dengan anak rakan baiknya. Sudah terlalu lama hajatnya itu dipendamkan, semenjak mereka berdua berkawan rapat baik dari segi kekeluargaan mahupun rakan perniagaan. Hajatnya itu juga telah disuarakan kepada Puan Sri Marissa. Dan Puan Sri Marissa sekadar mengikut sahaja perancangannya tanpa ada bantahan. Dia berharap agar hajatnya itu akan termakbul sebelum dia menutup mata mengadap ILLAHI.


25 ulasan:

  1. permulaan yg menarik lgi tertarik...bestt2 nk tahu sgt apa yg tjdi bila amirul btmbung dgn liyana?? hehehe like it :) sambung byk2 skit :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks di atas komennya tu.. Insya-ALLAH akn disambung, tp kena tgk berapa ramai yg mintak la.. hihi.. :D

      Padam
  2. Amirul Arif Iskandar & Nur Liyana Safiyah... Usik mengusik senda gurauan menjadi rindu..:-)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hati merindu asyik merindu, tersentuh rasa.. wah3 Sue.. dh menyanyi dh ni.. huhu.. :D

      Padam
    2. tidak terduga timbullah sayang.. Andai tak jumpa, menjadi dendam... hehehe...

      Padam
    3. Gurau gurauan masih terasa dalam bayangan
      Setiap detik ingin bersama memadu kasih
      Apakah hati dah gila bayang
      Merindu kasih, darimu sayang

      huhu... khas buat Liyana dr Amirul.. :D

      Padam
    4. Inginku sentuh hatimu sayang dalam rinduku
      Moga kau tahu hebatnya cinta di hati ini
      Sekian lama, memendam cinta
      Payah ku rasa menyeksa jiwa

      bait2 lirik dari Liyana buat Amirul..
      (yg dah buat sue menitis kan airmata..huhuhu)

      Padam
    5. huhu.. tragis btl part 2.. smpekan menulisnya pn rs sebak..

      Padam
    6. lps 2 dh x sedih2 dh.. hepi.. huhu.. :D

      Padam
  3. smbng lg...mula dah best nie....suka2.......

    BalasPadam
  4. Well, at this moment too early to comment abt how good this 2nd novel will be but anyway, can u pls write up a sinopsis of this novel .... tapikan kalau her dad tak sayang Lia how can her father bought a car for her??? By the way kalau boleh can her best friend be matched with beloved brother???... anyway itu saranan sahaja .. walau bagaimana pun the permulaan yng bagus ... looking forward for the next entry .. Fr Aida "Perth"

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks Aida still menjengah blog sy.. ttg Fazura, ada psgnnya.. mybe Adif or org lain.. sinopsis msh dlm proses nk mengarang.. sabar ya.. hihi.. ttg kereta tu.. dlm bab seterusnya ada diterangkan kenapa ayahnya belikan kereta utk Liyana..

      Padam
  5. uhuuhuh...best sgt...sye rase amirul akan djodoh kan dgn liyana..hahhaha...sye hairan nape ayah liyana xsuke tgk die kan...jgn2 liyana nak angkat kot...heheeh...n3 byk2 ye...cheers ... ;)

    BalasPadam
    Balasan
    1. alamak!! adikku zielra dh muncul.. hihi.. soalan adik tu, bab ke atas atas, ada jawapannya.. ntikan ya.. :D

      Padam
  6. ok... permulaan yang menarik.. baru permulaan, mungkin selepas ni lagi akan menarik....

    BalasPadam
    Balasan
    1. ok.. tq.. semoga GB dpt menarik minta anda utk membacanya... :D

      Padam
  7. Ok.. Permulaan yang menarik.. Baru permulaan, mungkin selepas ni lagi menarik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tq Jazzebella Nur Meeza... happy reading!!! :D

      Padam
  8. permulaan yg best ... :)

    BalasPadam
  9. saya kira tadi lirik lagu gurauan berkasih Achik spin, ternyata judul ceritanya, best lah.. salam kenal

    BalasPadam
  10. macam mana nak dapatkan novel gurauan berkasih? kat kedai buku banyak yang takdak laa

    BalasPadam
    Balasan
    1. boleh google. msh ada yg jual. tau pm sy di fb.

      Padam