Rabu, 15 Januari 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 1





“SYIRA!” panggil Farhana dari jauh.
Nur Syahirah menoleh. Wajah sahabat baiknya menyapa mata.
“Syira… Syira… Syira…” panggil Farhana lagi.
“Yang kau macam orang meroyan ni, kenapa? Apa kes?”
Farhana menstabilkan pernafasan. Tidak sabar untuk mengkhabarkan berita gembira kepada sahabat baiknya itu.
“Aku.. Aku…”
“Aku apa?”
“Aku dah dapat kerja.”
“Betul ke, Hana? Ya Allah, syukur alhamdulillah.”
“A’ah, syukur sangat-sangat.”
“Dekat mana?”
“Dekat HA Enterprise.”
“Sebagai apa?”
“Kerani pentadbiran. Syukur alhamdulillah.”
Nur Syahirah mengangguk. Tingkah laku kawannya diperhati penuh minat. Selama enam tahun dia menetap dan bertugas sebagai guru di kampung itu. Menyembunyikan diri serta melarikan diri dari dunia luar. Farhana setia berada di sisi. Rasa bersalah kerana menyusahkan Farhana selama ini.
“Syira… Syira…” panggil Farhana. Bahu Nur Syahirah dipegang kejap.
“Haaa.. apa dia?” tanya Nur Syahirah tatkala kembali ke alam realiti.
“Kau mengelamun ke?”
“Eh.. Tak adalah. Aku tengah fikirkan pasal kerja kau ni.”
“Kau teringatkan kisah yang lepas, kan?” tebak Farhana sambil melabuhkan duduk.
“Aku teringatkan keluarga aku. Macam mana keadaan mereka di sana?”
“Kau tak nak balik lawat mereka ke, Syira?”
Nur Syahirah mengeluh. Gelengan diberikan sebagai tanda jawapan pada pertanyaan Farhana itu. Tidak mungkin dia pulang melawat keluarganya.
“Tapi sampai bila? Dah enam tahun Syira. Aku rasa, ada baiknya kau balik dan jenguk mereka di kampung. Aku yakin, dia orang takkan cari kau lagi. Kau kan dah ikut syarat mereka dahulu. Dan aku pasti, keluarga kau merindui kau juga.”
“Bila kau start kerja?” tanya Nur Syahirah. Mengubah topik perbualan.
Farhana mengeluh berat. Begitulah Nur Syahirah. Setiap kali membincangkan tentang keluarga, pasti Nur Syahirah akan mengubah topik perbualan.
“Bila kau start kerja?” ulang Nur Syahirah.
“Minggu depan. Aku dengar, company tu baru nak set up kat kawasan ni. Sebab itulah dia orang mencari pekerja-pekerja baru,” beritahu Farhana.
Nur Syahirah mengangguk faham. Diangkat punggung dan beredar dari situ. Farhana turut bertingkah laku yang sama.


“SYIRA, lama betul Kak Tipah tunggu,” tegur Latifah tatkala terpandangkan Nur Syahirah.
“Kenapa, Kak Tipah?” tanya Nur Syahirah pula.
“Kak Tipah ada hal nak bincang dengan Syira,” jawab Latifah.
Nur Syahirah berkerut dahi. Dibawa langkah masuk ke dalam rumah. Entah apa yang Latifah mahukan. Mungkin ada perkara yang Latifah ingin bincangkan.
Latifah mengekori daripada belakang. Tangannya mencapai kain tudung lalu mengelap peluh yang sudah membasahi dahi.
“Jemput duduk, Kak Tipah,” pelawa Nur Syahirah seraya duduk.
“Farhana mana?” tanya Latifah turut sama duduk di kerusi.
“Sekejap lagi sampailah. Ada apa Kak Tipah?”
“Kak Tipah nak minta tolong pada Syira. Itupun, kalau Syira boleh tolong Kak Tipah.”
“Tolong apa, Kak Tipah?”
“Begini, kawan Kak Tipah tengah cari pengasuh. Bukan setakat mengasuh sahaja, mengajar sekali. Jadi, Kak Tipah terfikirkan Syira. Syira kan cikgu tadika. Boleh uruskan kanak-kanak,” cerita Latifah.
“Pengasuh? Anak siapa, Kak Tipah?” tanya Farhana, tiba-tiba.
Nur Syahirah dan Latifah serentak menoleh. Wajah Farhana menyapa mata mereka.
“Anak kawan kepada kawan Kak Tipah. Dia baru pindah ke sini,” jawab Latifah.
“Oh, baru pindah. Kenapa tak hantar saja ke taska kat pekan sana tu?” balas Farhana sambil melabuhkan duduk di sisi Nur Syahirah.
“Kawan Kak Tipah kata anak kawan dia tu susah sikit. Tak nak kat orang. Maklumlah, maknya dah lama meninggal,” jelas Latifah.
“Meninggal?” ulang Nur Syahirah.
“A’ah, Syira. Kesian budak tu. Kecik-kecik lagi dah kehilangan mak. Kak Tipah dengar, maknya meninggal selepas melahirkan dia,” beritahu Latifah lagi.
“Hurm, kesiannya. Tapi, kenapa Kak Tipah cari Syira? Kan ramai lagi pengasuh yang ada di kampung ni,” sampuk Farhana.
Latifah menghela nafas ringan. Wajah Farhana dan Nur Syahirah dipandang silih berganti. Bagaimana untuk menerangkan kepada kedua-dua gadis di hadapannya itu?
“Kan Kak Tipah dah kata tadi, budak tu tak nak kat orang,” sampuk Nur Syahirah.
“Habis tu? Dengan kau, dia nak la,” bidas Farhana.
“Hana, janganlah cakap macam tu,” tegur Nur Syahirah kurang senang.
“Syira, cuba kau fikir. Bila masa kau nak jaga budak tu? Kau kan mengajar kat tadika.”
“Aku tahu. Tapi, tak salah kalau aku jaga budak tu. Kiranya extra income untuk aku.”
Farhana mendengus keras. Kurang menyenangi dengan keputusan Nur Syahirah.
“Syira jangan risau. Kalau Syira setuju nak jaga budak tu, Syira cuma perlu jaga daripada tengah hari sampai petang saja. Kak Tipah dah beritahu kawan Kak Tipah tu yang Syira mengajar kat tadika,” terang Latifah yang sedari tadi membisu.
Nur Syahirah mengangguk faham. Senyuman diberikan kepada Latifah.
“Kalau dah itu keputusan kau, aku ikut saja,” kata Farhana, mengalah.
Tidak mahu memanjangkan isu itu. Mungkin dengan cara itu, Nur Syahirah dapat mengisi masa yang terluang daripada termenung dan mengenang kisah lalu.


“TERIMA kasih, Hana!” ucap Nur Syahirah, ikhlas.
“Sama-sama kasih!” balas Farhana.
“Aku tahu, kau tak setuju dengan keputusan aku ni. Tapi aku…”
“Aku bukannya apa. Aku tak nak kau terkenangkan kisah lalu bila kau tengok muka budak tu nanti,” pintas Farhana, mengeluh.
Nur Syahirah hanya membisu. Mungkin ada benarnya kata-kata Farhana. Disebabkan ingin menjaga perasaannya, Farhana tidak bersetuju dengan keputusan itu.
“Aku tak nak kau bersedih lagi. Cukuplah selama ni kau bersedih kerananya.”
“Insya-Allah. Aku takkan bersedih lagi.”
Farhana menghela nafas ringan. Anggukan kecil diberikan kepada Nur Syahirah.
“Abang Nazry kirim salam kat kau,” beritahu Farhana.
“Waalaikumussalam. Kau jumpa dia kat mana?” balas Nur Syahirah.
“Kat pekan. Dia tanya pasal kau tadi.”
“Oh, kenapa?”
“Dia rindu kat kau la kut. Sebab itulah dia cari kau.”
“Hisy, tak ada maknanya dia nak rindu kat aku,” tukas Nur Syahirah.
Farhana ketawa kecil. Jelas rona merah di pipi Nur Syahirah.
“Amboi, sedapnya ketawakan aku,” tegur Nur Syahirah sambil menjegilkan mata.
“Kau tu, malu-malu kucing. Orang dah suka dengan kau, kau tak nak.”
Nur Syahirah tersenyum hambar.
“Dah lama Abang Nazry tu tunggu kau. Tapi, kau buat-buat tak faham pulak.”
“Aku tak layak untuk dia. Dia terlalu baik untuk aku,” jujur Nur Syahirah.
Farhana mematikan ketawa. Matanya menatap wajah muram Nur Syahirah. Menyesal pula dia membangkitkan isu itu.
“Aku tak nak bagi harapan pada dia. Aku akui yang aku sukakan dia. Tapi, aku sukakan dia sebagai kawan. Aku dah anggap dia sebagai abang aku dan tak mungkin lebih dari itu.”
“Maafkan aku, Syira. Aku…”
“Tak apalah, Hana. Kalau kau sukakan dia, aku restuinya.”
Bukannya dia tidak tahu akan isi hati Farhana. Setiap kali Farhana berhadapan dengan Nazry, pasti kawannya itu tersengih dan tersenyum malu.
“Hisy, mana ada aku suka kat dia. Mengarutlah kau ni Syira,” tukas Farhana, malu.
Nur Syahirah ketawa. Geli hati melihat wajah Farhana yang sedang menahan malu.
“Aku dah jelaskan pada Abang Nazry. Aku harap, dia faham dengan apa yang aku jelaskan selama ini.”
Setelah menuturkannya, Nur Syahirah bangun dari duduk lalu menapak ke bilik. Dia perlu membuat persiapan untuk mengajar. Dia juga perlu memikirkan tentang kerjaya barunya. Kerjaya sebagai pengasuh. Dia tersenyum memikirkan itu semua.


“MACAM mana?” tanya Adila.
“Macam mana apa?” tanya Zairiel semula.
“You ni kan Zairiel, bila I tanya, ada aje yang you tak faham. Menyampah betul!”
“Bukannya I tak faham. Ayat you tu selalu tergantung. Cuba kalau you tanya betul-betul, mestilah I akan jawab betul-betul juga.”
“Alasan!”
“Suka hati you la. Malas I nak layan you.”
Wait, Zairiel!” tahan Adila seraya memegang lengan Zairiel.
Zairiel menghela nafas berat. Dilabuhkan duduk semula dan memandang ke wajah Adila.
“I minta maaf. I cuma nak luangkan masa dengan you sebelum you ke sana.”
“Dila, you tahu kan status I sekarang ni?”
“I tahu dan I tak kisah tentang status you.”
“Tapi, ayah I tak suka dan you kena sedar tentang tu.”
“I akan buat ayah you sukakan I.”
Zairiel meraup muka. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“I sayang dan cintakan you, Zairiel,” luah Adila, ikhlas.
“Dila, I hargainya. Tapi, I tak mampu nak balas cinta you,” jujur Zairiel.
“You masih ingatkan dia?”
“Dia dah jadi sebahagian dalam hidup I,” balas Zairiel lalu bangun dari duduk.
“I rasa, ada baiknya you cari lelaki lain yang lebih layak daripada I,” sambung Zairiel berlalu dari situ.
Adila mendengus kasar. Rasa sakit hati mendengar kata-kata Zairiel. Bagaimana untuk menghapuskan bayangan ‘perempuan itu’ dari dalam hidup Zairiel?


“BARU balik, Zairiel?” tegur Encik Zahrin dari arah ruang tamu.
Terhenti langkah Zairiel dek kerana teguran itu. Dihalakan mata ke arah ruang tamu.
“Dari mana, Zairiel?”
“Dari jumpa Dila. Kenapa, ayah?”
“Dila? Adila?”
“A’ah, kenapa?”
“Kan ayah dah beritahu pada Zairiel, jangan keluar dengan Adila tu. Kenapa Zairiel degil sangat?” tegur Encik Zahrin mendengus kasar.
“Zairiel cuma keluar saja. Takkan itu pun ayah nak sekat?” balas Zairiel, geram.
“Ayah tetap tak suka. Ayah dah cari calon yang sesuai untuk Zairiel. Minggu depan, Zairiel ikut ayah jumpa bakal menantu ayah,” tegas Encik Zahrin.
“Apa ni ayah? Ayah buat keputusan tanpa berbincang dengan Zairiel dulu. Sudah-sudahlah ayah. Dulu, ayah buat keputusan untuk Kak Zafira. Tengok apa yang dah jadi pada Kak Zafira. Ayah tak serik-serik lagi ke?” tegur Zairiel kurang senang.
“Zairiel jangan nak mengajar ayah. Apa yang ayah buat demi kebaikan Zairiel dan Zafira.” Lantang Encik Zahrin bersuara.
Zairiel mendengus keras. Tanpa membalas, dia segera beredar menuju ke bilik. Tidak mahu berbalah dengan ayahnya lagi.
Setibanya di bilik, Zairiel menghempaskan tubuh ke atas katil. Diraup kasar wajahnya sebelum mencapai album gambar dari dalam laci. Dibelek dan ditatap gambar yang terdapat di dalam album gambar itu. Tingkah lakunya terhenti tatkala terpandang sekeping gambar. Ditarik lalu menatap sayu gadis di dalam gambar itu.
“Saya rindukan awak,” luah Zairiel, sebak.


5 ulasan: