Isnin, 2 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 1






“AWAK terima cinta saya?” soal Zafira, inginkan kepastian.
Lelaki itu tidak menjawab. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Saya dah lama suka kat awak. Saya selalu perhatikan awak,” beritahu Zafira pula.
Lelaki itu masih berfikir. Wajah Zafira ditatap curiga.
“Awak tak percaya ke?” tanya Zafira melihatkan riak di wajah lelaki itu.
“Kau suka kat aku? Kenapa kau suka kat aku?” soal lelaki itu pula.
“Sebab… sebab…” Zafira mematikan ayat. Malu untuk berterus-terang.
“Sebab apa?” desak lelaki itu.
“Sebab mata awak,” ujar Zafira, malu-malu.
Lelaki itu berkerut dahi. Pelik mendengar jawapan Zafira.
“Mata awak tu macam mata Hitrik Roshan. Cantik!” puji Zafira, ikhlas.
Lelaki itu mengawal senyuman agar tidak terbit di bibir. Kembang tatkala dipuji sebegitu.
“Saya suka mata awak. Jadi, saya nak mata awak saja. Yang lain-lain saya tak nak,” beritahu Zafira lalu tersengih.
Lelaki itu terkedu. Apa maksud Zafira?
“Boleh tak bagi mata tu pada saya? Dah lama saya cari mata ala-ala Hitrik Roshan,” sambung Zafira. Kakinya menguis-nguis daun kering yang berada di situ.
“Gila!” luah lelaki itu, sepatah.
Seminit kemudian, dia beredar dari situ. Belum pernah lagi dia berjumpa dengan gadis seperti Zafira.
“Eh… awak! Nanti dulu!” laung Zafira.
Langkahnya mengekori langkah lelaki itu. Semakin laju langkah lelaki itu, semakin laju langkahnya juga. Tak terkejar Zafira dibuatnya.
“Oh mak kau menari joget!” latah Zafira kemudian. Tersemban dia jatuh daripada sofa.
“Aduh! Sakitnya punggung aku!” rengek Zafira pula. Diusap punggungnya yang terasa sakit. Dengusan ringan terlepas daripada bibir.
“Hahahaha!” gelak Izreen, tiba-tiba.
Zafira menoleh. Terkejut mendengar suara ketawa Izreen. Tajam matanya ke wajah kawannya itu.
“Tidur lagi time tengah hari kembang macam ni. Kan dah terjatuh macam nangka busuk,” kutuk Izreen, selamba. Dilabuhkan duduk di sofa berhadapan dengan Zafira.
Zafira bingkas bangun daripada jatuhan. Punggungnya yang terasa sakit diusap lembut.
“Kau mimpikan siapa pulak kali ni?” soal Izreen, ingin tahu.
“Haaa… baru sedap sikit telinga aku mendengarnya,” balas Zafira sambil tersengih.
Izreen mencebik meluat. Itulah Zafira yang sebenarnya. Suka bermimpi dan berkhayal.
“Kau nak tahu ke?” ujar Zafira sambil mengangkat kening.
“Kalau kau nak beritahu.”
“Hitrik Roshan!”
“Hitrik Roshan?”
Zafira mengangguk perlahan. Masih lagi tersengih.
Izreen yang melihat anggukan Zafira melepaskan ketawa. Geli hati mendengarnya.
“Kau apasal? Nak makan selipar ke?” Zafira geram lalu mendengus kasar.
“Okey… okey.... sorry. Tak sengaja,” kata Izreen dan mematikan ketawa.
Zafira merengus. Sakit hatinya mendengar suara ketawa Izreen.
“Aku ingatkan Rajnikhan,” gelak Izreen, galak.
“Mak cik!” tegur Zafira pantas berdiri.
“Opps! Sorry!” ucap Izreen sambil menekup mulut.
Zafira merengus. Tajam matanya ke riak selamba Izreen. Ikutkan hati, mahu dihempuk kawan baiknya itu. Suka hati sahaja nak ketawa.
“Aku masuk bilik dulu. Malas aku nak layan kau,” ujar Zafira dan memulakan langkah.
“Kau jangan lupa dinner malam ni kat rumah Abang Aqil. Tadi Abang Aqil call aku suruh aku ingatkan kau,” beritahu Izreen bingkas bangun.
Terhenti langkah Zafira mendengarnya. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Kau dah lama tak balik. Kalau kau nak aku temankan, aku temankan kau balik.”
“Tengoklah nanti!” balas Zafira dan beredar dari situ.
Izreen menghela nafas ringan. Kepalanya menggeleng kecil tatkala memikirkan Zafira. Sudah lama kawannya itu tidak pulang ke rumah Aqil. Tatkala disuarakan tentang itu, Zafira pasti akan mengelak.


“BOLEH tak kau jangan timbulkan masalah, Iqwan?” Lantang Khairil bersuara.
“Masalah? Aku tak pernah timbulkan masalah apa-apa,” tukas Iqwan, selamba.
“Tak pernah? Tak pernah kau kata?”
“Yalah! Mana pernah aku timbulkan masalah pada kau.”
“Yang kau lari daripada meeting tu, apa? Bukan masalah ke?”
“Alah! Biasalah tu. Kau pun pernah buat, kan?”
Khairil melepaskan nafas berat. Wajah Iqwan di hadapan ditatap berserta gelengan di kepala. Bagaimana untuk menyedarkan Iqwan ketika ini?
“Kau dah banyak timbulkan masalah, Iqwan. Kalau berterusan begini, tak mustahil syarikat peninggalan keluarga kau ni akan bankrap.”
“Biarlah kalau syarikat ni nak bankrap. Aku dah penat nak uruskannya.” Selamba Iqwan menjawab. Seperti orang tidak berperasaan lagaknya.
Menggeleng Khairil mendengar jawapan Iqwan. Kenapa Iqwan berkata begitu? Adakah Iqwan sudah berputus asa?
“Aku nak balik dulu. Kalau kau tak ada masalah, kau tolong handle mesyuarat petang nanti,” sambung Iqwan lalu bangun dari duduk.
“Wan, kau tak boleh…”
“Aku percayakan kau,” pintas Iqwan seraya memegang lembut bahu Khairil.
Dia melangkah keluar dari bilik. Sempat dia melemparkan senyuman kepada kawan baiknya itu.
“Iqwan! Iqwan Hafiz!” panggil Khairil.
Namun, panggilannya itu tidak diendahkan oleh Iqwan. Kawannya itu sudah pun beredar dari bilik. Nafas berat dilepaskan. Bagaimana untuk menyedarkan Iqwan?
“Aku tetap akan tolong kau, Wan,” bisik Khairil kepada dirinya sendiri.


“BALIK-balik meeting. Balik-balik meeting. Bosan betul!” rungut Iqwan sendirian.
Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Dibiarkan sahaja kakinya melangkah. Tidak berniat untuk berhenti. Tatkala ternampak sebuah tin kosong, disepak tin itu sekuat hati.
“Aduh!” rengek seseorang.
Tersentak Iqwan buat seketika. Bulat matanya memandang seorang gadis yang sedang mengusap kepala. Adakah tin kosong yang disepaknya tadi mengenai kepala gadis itu?
“Hisy, mana datang tin ni?” soal Zafira kepada dirinya sendiri. Meliar matanya memerhati sekeliling. Mencari punca dari mana datangnya tin kosong itu.
“Takkan kena daulat kut?” tanya Zafira lagi. Diusap kepalanya yang terasa sakit.
Iqwan hanya memerhati. Tidak berniat untuk menegur.
“Jangan-jangan… ada HR ikut aku tak?” duga Zafira masih melilaukan mata.
Berkerut dahi Iqwan mendengar. HR? Hati Iqwan bertanya.
Zafira masih lagi melilaukan mata. Perasaan berdebar di saat ini. Risau kalau-kalau dugaannya itu betul memandangkan kawasan yang dilaluinya agak sunyi.
“Mak!” jerit Zafira, terkejut. Ditekup mukanya dengan kedua-dua belah tangan.
Iqwan mengurut dada. Terkejut mendengar jeritan gadis itu.
“Kau siapa?” soal Zafira, bergetar. Diintai wajah lelaki dari celahan jemarinya itu.
Iqwan tidak menjawab. Berkerut dahinya melihat tingkah laku gadis di hadapannya itu.
“Kau siapa? HR, kan?” tanya Zafira lagi.
“HR?” ulang Iqwan, berkerut.
“Bismillahirrahmanirrahim. Puh kanan puh kiri, pergi engkau dari sini,” jampi Zafira, bergetar. Botol mineral yang dipegang dibuka lalu menjirusnya ke arah lelaki di hadapannya itu.
“Syuh… syuh… pergi kau dari sini. Pergi!” halau Zafira bernada serius.
Tersentak Iqwan dek kerana tingkah laku Zafira. Tidak menyangka dia akan dijirus dengan air. Dia merengus kasar.
“Pergi! Pergi! Kalau kau tak pergi aku panggil ustaz datang halau kau,” kata Zafira lagi. Dijirus air mineral ke muka Iqwan.
“Woi, minah! Kau ingat aku ni apa? Hantu ke?” marah Iqwan, keras.
Sakit hatinya dengan tingkah laku Zafira. Habis bajunya basah dek kerana air mineral yang dijirus oleh gadis itu.
Terhenti tingkah laku Zafira mendengarkan kemarahan lelaki itu. Wajah di hadapannya dipandang berserta kerutan di dahi.
“Kau ni gila ke? Baru keluar dari Tanjung Rambutan?” marah Iqwan lagi. Sapu tangan dari dalam poket seluar dikeluarkan lalu dilap wajahnya yang basah.
Zafira hanya memandang. Otaknya masih lagi ligat berfikir. Seminit kemudian, ditundukkan tubuh dan memandang ke arah Iqwan. Memeriksa sama ada lelaki di hadapannya itu manusia ataupun hantu.
Berkerut dahi Iqwan melihat tingkah laku Zafira. Apa yang sedang dibuat oleh gadis itu?
“Manusia rupanya. Ingatkan hantu raya tadi.” Zafira menarik nafas lega.
What? Kau ingat aku ni hantu ke?” Iqwan terkejut.
Zafira tersengih. Kepala yang bertudung digaru sekali. Matanya memandang wajah tegang lelaki di hadapannya itu.
“Encik ni handsome la. Macam Hitrik Roshan,” puji Zafira kemudian.
“Kau dah basahkan aku, kau nak ambil hati aku pulak? Puji aku bagai? Banyak cantik muka kau,” cebik Iqwan, meluat.
“Muka saya memang cantik, encik. Cuba encik tengok. Satu jerawat pun tak ada, kan?” balas Zafira tidak berperasaan. Disuakan mukanya di hadapan mata Iqwan agar lelaki itu dapat menilik wajahnya.
“Gila!” kutuk Iqwan sambil menjauhi Zafira.
Tergelak Zafira mendengarnya. Dia segera beredar dari situ. Malas hendak melayan lelaki itu lagi.
Iqwan yang melihat sedikit terkejut. Pelik melihat tingkah laku gadis itu.
“Sengal! Harap muka saja cantik, tapi perangai macam orang tak betul,” kutuk Iqwan.
Dibawa langkah beredar dari kawasan itu. Dikerling jam di pergelangan tangan buat seketika. Masa sudah merangkak ke pukul enam petang. Namun, langkahnya terhenti tatkala teringatkan sesuatu.
“Aku baru puji dia cantik tadi, kan?” soal Iqwan pula.


“LAMA along tak jumpa Fira,” adu Aqil sambil melabuhkan duduk di sofa.
“Hurm…” balas Zafira, sepatah.
“Kenapa tak ajak Izreen sekali datang?” tanya Amylia turut sama melabuhkan duduk.
“Reen sibuk!” jawab Zafira, acuh tak acuh.
Aqil menghela nafas ringan. Wajah adik bongsunya itu ditatap mesra. Semenjak ayah mereka meninggal, dia dipertanggungjawabkan dalam menjaga Nur Zafira Sofea. Apa yang berlaku pada dua tahun yang lepas begitu meninggalkan kesan di hati adiknya itu.
“Fira tidur sini ke?” tanya Amylia, ramah.
“Malas!” jawab Zafira masih sepatah. Matanya ralit menatap telefon bimbit di tangan.
“Fira tidurlah sini. Along ada perkara nak bincang dengan Fira,” ujar Aqil, lembut.
“Perkara apa?” tanya Zafira.
“Perkahwinan Fira!” suara Amylia mewakili Aqil.
Terhenti tingkah laku Zafira yang sedang bermain permainan di telefon bimbit. Dihalakan mata ke wajah Aqil dan Amylia di hadapan silih berganti.
“Along nak kenalkan….”
SMART! Kalau lelaki tu tak cukup SMART, Fira tak nak,” pintas Zafira, laju.
SMART?” Serentak Aqil dan Amylia bersuara.
Zafira mengangguk. Dia menyambung bermain permainannya itu.
“Sudah tentulah smart macam along. Takkan along nak cari yang kurang smart untuk adik along ni?” balas Aqil, tersenyum. Nafas lega dilepaskan.
“Okey! Sama-sama kita tengok SMART ke tidak calon along tu,” kata Zafira bingkas bangun dari duduk. Ditatap kasih wajah abang dan kakak iparnya.
“InsyaAllah, smart macam along.” Aqil memberi jaminan. Senyuman diberikan kepada adik bongsunya itu.
Zafira mengangguk. Tanpa membalas, dia beredar dari situ menuju ke tingkat atas. Kepenatan amat dirasai ketika ini.
Aqil dan Amylia sekadar memandang. Masing-masing melepaskan nafas lega. Lega mendengar keputusan Zafira. Jika dulu, tatkala mereka menyuarakan hasrat untuk memperkenalkan Zafira dengan kenalan mereka, pasti Zafira akan menolak. Tetapi tidak pada kali ini. Zafira bersetuju dengan rancangan mereka.
“Macam tak percaya saja Fira terima rancangan kita, abang,” ujar Amylia, lembut.
“Hurm… abang pun macam tak percaya saja. Tapi, tak apalah Amy. Sekurang-kurangnya, Fira tak menolak macam yang lepas,” balas Aqil sambil mengangguk perlahan.
“Amy harap kali ni Fira tak menolak. Kawan abang tu pun boleh tahan juga orangnya.”
“Mudah-mudahan. Abang nak Fira bahagia. Itu janji abang pada arwah ayah.”
“Insya-Allah, abang. Fira akan bahagia. Amy janji akan bantu abang membahagiakan Fira.” Janji Amylia di hadapan Aqil. Wajah suaminya itu ditatap kasih. Bersyukur kerana memiliki Aqil sebagai suami.
Aqil sekadar mengangguk. Ditarik tangan Amylia lalu digenggamnya erat. Menyalurkan rasa kasih dan cinta terhadap isterinya itu.


“HAHAHA… kau ingat aku senang-senang nak terima ke? Aku nak tengok lelaki yang along nak kenalkan tu cukup SMART ke tidak?” Zafira mencebik.
“Kalau dia cukup SMART macam mana? Kau akan terima dia?” tanya Izreen sekadar rmenduga perasaan Zafira.
Zafira membisu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Izreen?
“Aku pasti dia tak memenuhi kriteria-kriteria yang aku nak,” tukas Zafira penuh yakin.
“Belum kenal belum tahu, Fira. Dibuatnya dia memenuhi kriteria-kriteria suami idaman kau, macam mana?”
Zafira tidak membalas. Otaknya cuba mencari jawapan kepada setiap pertanyaan Izreen.
“Tak apa. Kita tengok dulu macam mana.”
“Bila along nak kenalkan kau dengan dia?”
“Entah! Aku tak tanya tadi. Biarlah! Malas aku nak pikir.”
Izreen mengangguk perlahan. Ada baiknya dia tidak terus bertanya. Jika ditanya, pasti akan mendatangkan kemarahan kepada Zafira.
“Esok aku nak tengok wayang. Kau nak ikut tak?” beritahu Zafira dari hujung talian.
“Haa.. wayang?” soal Izreen sedikit terpinga-pinga.
“Yalah! Kau nak ikut tak?”
“Hurm.. boleh juga.”
“Aku tunggu kau kat tempat biasa. Okeylah, aku dah mengantuk. Esok kita jumpa dalam pukul 2.00 petang.”
“Insya-Allah, baiklah! Mimpikan yang indah-indah,” ucap Izreen dan mematikan talian.
Zafira tersenyum. Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Beg sandang yang terletak di birai katil ditarik lalu mengeluarkan sebuah diari berwarna hitam. Diari yang mencoret segala memori dan peristiwa yang terjadi selama dua tahun ini.
“Perlukah aku berlagak tabah di hadapan mereka semua sedangkan kelukaan di hati masih lagi bersisa?” suara Zafira, sendirian. Ditatap diari hitam miliknya itu.
“Yang lepas, biarlah lepas. Aku harus teruskan kehidupan. Apa yang pasti, aku tak nak along dan kak long kecewa dengan aku. Selama ini, aku banyak menyusahkan mereka berdua.”
Dibaringkan tubuh dan memandang siling putih biliknya itu. Diari di tangan dipeluk erat.
My dream husband! Aku pasti akan berjumpa dengannya suatu hari nanti,” bisik Zafira lalu memejamkan mata. Cuba untuk menidurkan diri.
“Hitrik Roshan!”
Meluncur laju nama itu daripada bibirnya. Serta-merta wajah lelaki itu meniti di tubir mata.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan