Jumaat, 9 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 4


BAB 4

Dato’ Ridzuan menatap fail di hadapannya. Sesekali keluhan dilepaskan. Matanya meneliti askara yang terdapat di dalam fail tersebut. Laporan kewangan milik syarikat Cahaya Sdn Bhd. yang sudah dua tahun menjadi anak syarikatnya. Entah mengapa dia menginginkan syarikat tersebut, dia sendiri tidak pasti. Mungkin ada yang menarik terhadap syarikat itu.
Dato’ Ridzuan menutup fail tersebut. Bingkas dia bangun dari duduk dan berdiri di jendela. Terasa nyaman pada pagi itu. Ingatannya terus mengingati arwah anaknya yang sudah tiga tahun pergi meninggalkan mereka sekeluarga. Hiba hatinya tatkala mengingati Hazrul. Sedih hatinya tatkala tarikh 25 haribulan itu menjelma setiap tahun. Dan pada tarikh itu juga dia akan melawat kubur arwah. Setiap kali dia ke sana, pasti dia akan terlihat pusara sudah ditaburi dengan bunga. Entah siapa yang melawat kubur arwah, dia sendiri tidak pasti. Mungkin kenalan Hazrul, fikir Dato’ Ridzuan.
Dato’ Ridzuan mencapai bingkai gambar yang terletak di atas meja tidak jauh darinya berdiri. Ditatap gambar di dalam bingkai tersebut. Gambar mereka sekeluarga ketika melancong ke luar negara beberapa tahun yang lepas. Begitu gembira dan bahagianya mereka ketika itu. Tetapi, semuanya berubah selepas Hazrul berubah sikap manakala Hazrel ke luar negara melanjutkan pelajaran di sana. Keinginan Hazrul untuk melamar seorang gadis, turut mengeruhkan lagi kebahagiaan mereka sekeluarga. Bersungguh Hazrul ingin meminang gadis itu, tetapi ditentang hebat oleh Datin Salina.
Bagi Datin Salina, gadis itu tidak sesuai dan layak untuk menjadi menantu mereka. Disebabkan perbezaan pangkat dan darjat, gadis itu ditolak keras oleh Datin Salina. Disebabkan gadis itu berasal dari kampung, Datin Salina mendesak Hazrul supaya melupakan gadis tersebut. Disebabkan tentangan itu, Hazrul mengambil keputusan untuk keluar dari rumah mereka. Nak tak nak, terpaksalah mereka bersetuju menerima gadis itu. Jika tidak sudah pastilah Hazrul bernekad dengan keputusan untuk keluar dari rumah.
“Papa tak faham isi hati Az. Cuba papa letakkan diri papa di tempat Az, pasti papa akan buat macam mana Az buat. Az sayangkan dia. Az cintakan dia. Az nak hidup dengannya,” jelas Hazrul sambil menggenggam tangan Dato’ Ridzuan. Berharap Dato’ Ridzuan memahami isi hatinya itu.
Dato’ Ridzuan mengeluh berat. Sukar untuk membuat keputusan. Jika dia bersetuju, apa pula kata Datin Salina. Jika dia menolak, pasti Hazrul akan bertindak lebih dari apa yang mereka sangkakan.
“Papa faham perasaan Az. Tapi, Az sendiri tahu perangai mama Az macam mana,” keluh Dato’ Ridzuan.
“Az tahu papa. Sebab itu Az minta sokongan dari papa.”
“Tapi Az, kalau papa setuju, mustahil mama Az akan turut setuju. Az tahukan dari dulu lagi mama Az tak sukakan perempuan kampung. Az tahukan sejarah mama dulu macam mana.”  
“Az tahu papa. Tapi itu tidak bermakna semua perempuan kampung sama sahaja,” bidas Hazrul lembut. Bingkas dia bangun dari duduk dan membuang pandang di jendela. Dia menghela nafas pendek dan melepaskannya lembut.
“Papa akan cuba pujuk mama. Tapi, papa tak boleh nak janji dengan Az. Kalau mama tak bersetuju, papa tak boleh nak buat apa,” ujar Dato’ Ridzuan mengalah.
“Terima kasih papa. Az janji kalau mama bersetuju dengan permintaan Az, Az akan dengar cakap papa dan mama. Kalau papa dan mama minta Az ke luar negara untuk sambung belajar sama macam Haz, Az akan ikut asalkan papa dan mama bersetuju untuk meminang Ain,” janji Hazrul berserta senyuman gembira. Walaupun ianya sekadar harapan kosong, tapi dia yakin papanya dapat memujuk mamanya untuk meminang Nur Ain.
“Papa!” tegur Hazrel dari muka pintu.
Tersentak Dato’ Ridzuan dengan teguran itu. Dia menyeka air mata yang hampir gugur. Bingkai gambar diletakkan semula ke tempat asal. Matanya dikalihkan ke arah Hazrel yang sedang berdiri di muka pintu pejabat.
“Ada apa Haz?” tanya Dato’ Ridzuan dan menapak jalan menuju ke sofa. Dia melabuhkan duduknya di situ.
“Haz nak bincangkan dengan papa tentang Cahaya Sdn Bhd. Papa ada masa tak?” jawab Hazrel turut sama menapak menuju ke sofa.
“Kenapa dengan Cahaya Sdn Bhd?” tanya Dato’ Ridzuan berserta kerutan di dahi.
“Haz ingat nak full time kat sana,” jawab Hazrel dan melabuhkan duduk di hadapan Dato’ Ridzuan.
Full time? Maksud Haz, nak uruskan sepenuhnya Cahaya Sdn Bhd?” tanya Dato’ Ridzuan inginkan kepastian.
Hazrel mengangguk kecil.
“Baguslah kalau dah macam tu. Papa nak Haz kembangkan Cahaya. Papa tengok laporan kewangan Cahaya tak memberangsangkan. Papa nak Haz fikirkan cara yang strategik untuk menarik ramai pelanggan untuk memborong barang di Cahaya.”
“Haz akan cuba papa. Cuma Haz minta papa carikan rumah untuk Haz kat Shah Alam tu. Malaslah Haz nak ulang-alik dari sini ke sana. Pastu tidur kat hotel pulak,” rungut Hazrel.
“Baiklah, nanti papa minta orang carikan rumah untuk Haz. Tapi, kan Izzuddin ada kat sana. Kenapa Haz tak tinggal aje dengan Izz?”
“Tak naklah Haz. Izz sewa rumah, bukannya beli rumah. Lagipun Haz nak tinggal seorang, tak nak berkongsi,” bentak Hazrel keras.
“Baiklah, nanti papa usahakan untuk Haz,” putus Dato’ Ridzuan.
Ikutkan ajelah. Nanti kalau tak ikutkan, memberontak pulak anak aku ni. Perangai sama aje dengan mamanya, bisik Dato’ Ridzuan sendirian.
“Haz tak ke Cahaya hari ni?” tanya Dato’ Ridzuan berbasa basi.
“Esok baru Haz ke sana. Papa sediakan rumah tu hari ni juga. Esok Haz nak terus masuk,” arah Hazrel seraya bangun.
“Haz ni tak menyempat betullah. Cuba bawa bersabar sikit. Haz ingat senang ke urusan beli rumah tu. Satu hari boleh selesai ke? Haz duduklah dulu dengan Izz. Bila dah ada rumah nanti, barulah Haz pindah masuk,” jelas Dato’ Ridzuan keras.
“Haz tak nak. Papa jangan paksa Haz boleh tak? Yang penting, papa carikan rumah untuk Haz,” bentak Hazrel dan berlalu pergi dari situ.
Dato’ Ridzuan menggeleng. Entah bilalah anaknya itu akan berubah, dia sendiri tidak pasti. Sikap memberontak dan panas baran Hazrel tidak pernah hilang. Sejak dari dulu lagi Hazrel seorang yang panas baran. Tegas pada keputusannya. Setiap apa yang dilakukannya mesti memberi kepuasan pada dirinya sendiri. Tidak menghiraukan perasaan orang lain. Suka menindas dan menyakitkan hati orang. Mungkin sikap Hazrel diwarisi dari isterinya, Datin Salina. Malah Hazrel suka memaksa orang untuk mengikut kata-katanya.
Hazrel berbeza dengan Hazrul, abang kembarnya. Hazrul seorang yang bersikap tenang dan berfikiran terbuka. Jika menghadapi masalah, Hazrul akan menilai dari sudut kesan dan positif sesuatu masalah itu. Hazrul tidak suka memberontak. Untuk melihat Hazrul panas baran, jauh sekali kerana Hazrul bukanlah Hazrel. Mungkin sikap Hazrul mewarisi dari dirinya sendiri. Dan disebabkan itulah ALLAH lebih menyayangi Hazrul. Pemergian Hazrul amat dirasai mereka sekeluarga.  


“Ada apa Encik Latif?” tanya Nur Ain sebaik sahaja berada di dalam pejabat Encik Latif. Hatinya gusar tatkala dipanggil oleh Encik Latif.
“Saya nak awak keluarkan surat perlantikan untuk Encik Izzuddin Hanif dan serahkan pada saya hari ini juga. Awak faham Nur Ain,” arah Encik Latif tegas.
“Surat perlantikan? Saya tak tahu nak buatnya Encik Latif,” jujur Nur Ain.
“Ya ALLAH, awak boleh tengok contoh yang sedia ada di dalam fail Nur Ain.”
“Baiklah Encik Latif.”
“Sebelum tu, mari saya kenalkan awak dengan Pengurus Pemasaran yang baru,” ujar Encik Latif. “Encik Izzuddin, kenalkan ini Nur Ain Zafira Ibrahim, kerani pentadbiran di sini,” sambung Encik Latif.
Serentak itu Izzuddin menoleh. Alangkah terkejut dia melihat gadis yang sedang berdiri di hadapannya itu. Gadis yang telah menolongnya sebulan yang lepas. Gadis yang telah menyelamatkannya dari dilanggar kereta. Gadis yang dicarinya selama sebulan ini.
“Nur Ain!” ujar Nur Ain dan menundukkan mukanya sebagai tanda hormat.
“Izzuddin Hanif!” balas Izzuddin dan tersenyum.
“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu. Nanti saya keluarkan surat perlantikan Encik Izzuddin,” pamit Nur Ain dan berlalu pergi.
Izzuddin dan Encik Latif sekadar mengangguk. Ekor mata mereka sahaja yang mengekori langkah Nur Ain hingga hilang disebalik pintu bilik.
“Di mana bilik saya Encik Latif?” tanya Izzuddin.
“Bilik Encik Izzuddin bertentangan dengan pejabat pekerja dan bersebelahan pejabat Encik Hazrel. Mari saya tunjukkan bilik Encik Izzuddin,” jelas Encik Latif.
“Encik Latif panggil saya Izz saja, lagi mudahkan?” pinta Izzuddin.
Encik Latif mengangguk. Dia menapak jalan keluar bilik dan menuju ke pejabat yang sudah dikhaskan buat Izzuddin. Hazrel yang memintanya untuk menyediakan bilik tersebut.
Izzuddin membuntuti Encik Latif. Sesekali matanya mengerling ke arah Nur Ain yang sedang ralit membuat kerja. Ada sesuatu yang menarik pada gadis itu. Mungkinkah disebabkan gadis itu yang telah menyelamatnya membuatkan hatinya tertarik dengan gadis itu? Mungkinkah dia telah terhutang budi dengan gadis itu membuatkan hatinya tertarik dengan gadis itu? Sukar untuk menafsirkan perasaannya ketika ini. Apa yang pasti, dia perlu berjumpa dengan gadis itu dan mengucapkan terima kasih pada gadis itu.
“Ini bilik Encik Izz. Semua yang berada dalam bilik telah disediakan oleh Encik Hazrel. Dan Encik Hazrel minta Encik Izz kaji pemasaran Cahaya Sdn Bhd,” jelas Encik Latif.
“Baiklah, terima kasih Encik Latif,” ucap Izzuddin berserta senyuman di bibir.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri ke bilik dulu. Kalau Encik Izz nak apa-apa fail atau maklumat syarikat, Encik Izz boleh rujuk pada Nur Ain,” terang Encik Latif pula.
“Terima kasih Encik Latif. Saya akan mintanya dari Nur Ain nanti,” balas Izzuddin.
Encik Latif segera menapak keluar dari bilik Izzuddin. Hatinya lega dengan kehadiran Izzuddin yang merangkap Pengurus Pemasaran. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran Izzuddin, syarikat dapat menambahkan lagi keuntungan di samping memasang strategik bagaimana untuk menarik peniaga untuk memborong barang dari Cahaya Sdn Bhd.
Izzuddin melabuhkan duduknya di kerusi. Matanya meninjau sekeliling bilik pejabatnya itu. Cantik dan kemas teratur peralatan dan perabot yang berada di dalam bilik tersebut. Walaupun biliknya tidak sebesar bilik Hazrel, tapi dia bersyukur kerana menempatkan dirinya di bilik itu. Sekurang-kurangnya dapatlah dia melihat wajah Nur Ain dari dalam biliknya.
“Nur Ain!” panggil Izzuddin dari dalam bilik.
“Ain, ada orang panggil tu,” ujar Fauziah tatkala terdengar nama Nur Ain dipanggil.
“Ha… siapa?” tanya Nur Ain.
“Lelaki dalam bilik tu. Bilik sebelah Pengurus Besar,” jawab Fauziah.
Nur Ain menoleh ke arah bilik yang disebutkan oleh Fauziah. Di amati lelaki yang berada di dalam bilik tersebut.
“Oh, itu Encik Izzuddin Hanif, Pengurus Pemasaran yang baru,” jelas Nur Ain.
“Pengurus Pemasaran? Sejak bila pulak syarikat kita ada Pengurus Pemasaran?” tanya Fauziah kehairanan. Kepalanya yang bertudung digaru beberapa kali.
“Hari ni perlantikan Encik Izzuddin. Ain nak buat surat perlantikan dia. Kak Gie tahu tak kat mana Ain boleh tengok contoh surat perlantikan tu,” beritahu Nur Ain sambil tangannya lincah mencari fail yang berkenaan.
“Tak tahu pulak akak Ain. Dalam komputer Ain, tak ada ke?”
“Tak ada Kak Gie. Fail dia pun Ain tak jumpa.”
“Nur Ain!” panggil Izzuddin lagi.
“Alamak Ain, dari tadi lagi Encik Izzuddin tu panggil Ain. Takkan Ain tak dengar.”
“Ha, yeke. Tak perasan pulak. Tak pelah, Ain masuk dulu. Mesti ada benda yang dia nak tanyakan dari Ain,” ulas Nur Ain dan menapak jalan menuju ke bilik Izzuddin.
Fauziah hanya mengangguk dan memerhati.
“Hmm, boleh tahan handsome mamat tu. Macam sesuai buat Ain aje,” ngomel Fauziah sendirian dan tersenyum.
“Ada apa Encik Izzuddin?” tanya Nur Ain sebaik sahaja tiba di hadapan Izzuddin.
“Panggil Izz aje. Tak perlulah sebut full name saya,” ujar Izzuddin.
“Ada apa Encik Izz?” ulang Nur Ain berserta anggukan kecil.
“Saya nak fail laporan pemasaran dan kewangan syarikat ni pada tahun lepas. Awak letak atas meja saya nanti,” arah Izzuddin.
“Baiklah Encik Izz. Ada apa lagi yang boleh saya bantu?”
Izzuddin menghela nafas pendek. Matanya tertancap ke wajah Nur Ain yang menunduk.
“Saya nak ucapkan terima kasih pada awak kerana selamatkan saya dari dilanggar sebulan yang lepas. Kenapa awak pergi begitu saja. Puas saya cari awak selepas insiden itu,” jelas Izzuddin ikhlas.
Nur Ain mengangkat muka. Wajah Izzuddin ditatap berserta kerutan. Otaknya dikerah supaya mengingati wajah lelaki itu. Seminit kemudian, dia tersenyum tatkala mengingati wajah lelaki tersebut.
“Oh, jadi enciklah yang nyaris dilanggar sebulan yang lepas,” ulang Nur Ain tatkala mengingatinya.
Izzuddin mengangguk dan tersenyum.
“Tak ada yang perlu diterima kasihkan. Kalau orang lain berada di tempat itu, sudah pastilah mereka akan berbuat perkara yang sama,” ujar Nur Ain dan tersenyum.
“Saya tahu Nur Ain. Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih pada awak. Kalau bukan kerana awak, mustahil saya akan berada di sini.”
“Ajal dan maut di tangan ALLAH. Kalau ALLAH berkehendakkan sesuatu berlaku, dengan sekelip mata perkara itu akan berlaku. Betul tak Encik Izz?”
“Ya, betul tu Nur Ain,” akui Izzuddin.
“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu. Nanti saya letakkan fail yang Encik Izz minta atas meja Encik Izz,” pinta Nur Ain dan melangkah keluar dari dalam bilik itu.
Izzuddin hanya mengangguk. Ekor matanya sahaja mengekori langkah Nur Ain. Betapa gembira hatinya selepas berjumpa dengan Nur Ain. Dia perlu mengkhabarkan tentang ini kepada Hazrel. Mungkin Hazrel lebih mengenali Nur Ain dan dia perlu mengenali Nur Ain dengan lebih dekat lagi. Sudah tersemat kemas di dalam hatinya untuk mengenali Nur Ain.


What? Haz jangan nak buang tebiat. Mama tak setuju!” bantah Datin Salina meninggi.
“Awak ni Sal. Dah tiba masanya Haz uruskan Cahaya Sdn Bhd. Syarikat tu pun dah semakin berkembang,” bidas Dato’ Ridzuan.
“Saya tetap tak setuju. Haz kerja dengan Permata Holding dan bukan Cahaya Sdn Bhd,” bangkang Datin Salina lagi.
Dato’ Ridzuan menarik nafas dan melepaskannya. Sukar untuk mengertikan Datin Salina.
“Mama, Haz nak uruskan Cahaya. Mama tak perlulah risau. Setiap minggu Haz baliklah,” sampuk Hazrel.
“Mama tetap tak setuju. Mama tak nak Haz terpikat dengan perempuan kat sana. Haz faham tak?” jerkah Datin Salina.
“Ma, Haz tahu dan Haz ingat pesanan mama tu. Mama fahamlah kehendak Haz,” bidas Hazrel tegas.
“Mama tetap tak setuju!”
“Sal, awak ni cuba berfikiran positif sikit. Anak awak tu nak bekerja, bukannya nak enjoy,” tegas Dato’ Ridzuan.
“Saya tak nak Haz jadi macam Hazrul. Disebabkan perempuan kampung, Hazrul membantah cakap kita. Abang dah lupa ke semua tu?”
“Saya tak pernah lupa Sal. Tapi, semua itu dah takdir. Kita tak boleh nak lawan takdir ALLAH. Awak ingat semua tu Sal,” nasihat Dato’ Ridzuan lembut.
Datin Salina mendengus keras. Matanya tajam menikam wajah Dato’ Ridzuan dan Hazrel. Sungguh dia tidak bersetuju dengan niat Hazrel untuk tinggal di Shah Alam dan sekali gus menguruskan Cahaya Sdn Bhd. Dia tidak mahu anaknya itu berjauhan dari dirinya. Hanya Hazrel pengarang jantungnya sekarang. Hanya Hazrel yang dapat mengubati rindunya pada Hazrul. Hanya Hazrel sahaja anak tunggalnya kini.
“Mama, percayalah pada Haz. Haz janji akan ingat pesanan mama tu. Haz janji akan balik sini setiap minggu dan Haz janji akan call mama setiap malam. Boleh ya mama,” pujuk Hazrel lembut dan menghampiri Datin Salina. Dipeluk erat bahu Datin Salina cuba memberi  keyakinan pada Datin Salina.
“Kalau Haz mungkir janji, macam mana? Hazrul pun pernah janjikan yang sama pada mama. Tapi, apa yang terjadi dulu. Hazrul….”
Sukar untuk Datin Salina meneruskan kata-katanya. Terasa sebak dadanya tatkala nama Hazrul meniti di bibirnya. Ingatannya kembali mengingati Hazrul.
“Mama, percayalah pada Haz. Haz takkan jadi macam arwah abang. Haz sentiasa ingat pesanan mama. Jangan risau ya mama,” pujuk Hazrel lembut seraya mencium pipi Datin Salina.
“Boleh ke mama percaya cakap Haz?”
“Boleh mama. Haz akan kotakan janji Haz tu.”
“Kalau Haz berubah macam arwah abang…”
“Tak. Haz takkan berubah,” pintas Hazrel laju.
“Kalau macam tu, Haz kahwin dengan Qistina. Tak adalah Haz terpikat dengan perempuan di sana nanti,” cadang Datin Salina.
“Awak ni dah buang tebiat ke Sal? Awak nak paksa budak tu kahwin pulak semata-mata tak nak budak tu terpikat dengan perempuan kat sana. Gila ke awak ni Sal,” sampuk Dato’ Ridzuan keras.
Hazrel meleraikan pegangannya di bahu Datin Salina. Dia menapak jalan menuju ke sofa dan melabuhkan duduknya di situ.
“Saya tak gila. Saya nak Haz berkahwin dengan Qistina. Dengan cara itu, Haz takkan mungkin janji dengan saya,” bidas Datin Salina. “Haz setuju ya nak,” pujuk Datin Salina pula.
“Ma, Haz tak sedia lagi nak kahwin. Umur Haz muda lagi,” tolak Hazrel lembut.
“Muda Haz cakap. Umur dah masuk dua puluh lima tahun dah memang layak untuk kahwin. Cuba Haz tengok kawan-kawan Haz, anak kawan-kawan mama, semuanya dah beranak pinak dalam usia yang muda,” cerita Datin Salina bersungguh.
“Tapi mama, Haz tak cintakan Qistina. Haz anggap Qistina macam adik Haz sendiri,” jelas Hazrel jujur.
Itulah yang dirasakannya selama ini. Hubungannya dengan Qistina hanya sekadar hubungan keluarga. Malah Qistina sudah dianggap sebagai adiknya sahaja.
“Mama tak peduli. Haz kena juga kahwin dengan Qistina!” putus Datin Salina tegas. Bingkas dia bangun dan beredar dari situ. Sakit hatinya mendengar penjelasan Hazrel itu.
Hazrel mengeluh berat. Sukar untuk melawan dan membantah kata-kata Datin Salina. Apa yang harus dilakukannya sekarang? Sungguh dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga malah untuk bercinta juga tidak pernah terfikir dek akalnya. Selagi dia belum berjumpa dengan gadis yang boleh membuatkan jantungnya berdegup kencang, selagi itulah dia takkan berkahwin malah menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana gadis termasuklah Qistina.


“Ain, kenapa maksu call Ain tak dapat? Ain off telefon ke?” tanya Humaira dan menapak masuk ke dalam bilik Nur Ain. “Abang Eddie call pun tak dapat, kenapa?” sambung Humaira lagi. Matanya menatap mesra wajah Nur Ain.
Handphone Ain hilang. Ain tak tahu kat mana hilangnya,” jujur Nur Ain.
“Kenapa Ain cuai sangat ni? Bila hilangnya?”
“Masa Ain accident dulu. Ain dah cari dalam beg, tapi tak ada.”
“Ya ALLAH, kan dah lama tu. Kenapa Ain tak bagitau maksu dan Abang Eddie,” bebel Humaira.
“Erk…” Nur Ain menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Patutlah selama ini maksu call tak dapat-dapat. Rupa-rupanya…”
“Maafkan Ain,” pintas Nur Ain laju.
“Maksu pun silap juga tak tanya pasal ni dari Ain,” keluh Humaira.
“Ain rasa tak penting maksu.”
“Tak penting Ain kata. Walaupun Ain gunanya sekadar untuk menelefon dan menerima panggilan, ia tetap penting Ain,” bebel Humaira lagi.
“Maksu, Ain…”
Sukar untuknya bersuara. Ada benarnya kata Humaira. Malah telefonnya itu begitu penting buat Ain. Seakan-akan rasa kehilangan yang amat sangat.
“Ain ada cuba call tak? Selama ini maksu dan Abang Die call tak dapat-dapat, apa kata Ain cuba pulak. Manalah tahukan kali ni dapat,” cadang Humaira bersungguh.
“Ain tak pernah cuba maksu,” berserta gelengan.
“Apa kata Ain cuba call. Maksu pasti ada orang yang jumpa dengan phone Ain tu dan dia baik hati untuk serahkan semula telefon Ain,” usul Humaira pula.
Lantas diserahkan telefon bimbitnya kepada Nur Ain dan disambut baik oleh Nur Ain. Segera Nur Ain mendail nombor telefon bimbitnya.
“Dapat maksu,” bisik Nur Ain perlahan.
Humaira mengangguk dan tersenyum.
“Assalamualaikum,” sapa Nur Ain tatkala panggilannya berjawab.
“Hmm.. siapa ni?” tanya Hazrel kasar.
“Saya nak tanya, nombor ni milik encik ke?”
“Bukan, kenapa?”
“Sebulan yang lepas, encik ada jumpa telefon kat mana-mana ke? Maksud saya, nombor dan telefonnya sekali.”
“Ada, kenapa?”
“Maknanya telefon tu bukan milik encik ke?”
“A’ah, kenapa?” tanya Hazrel meninggi.
Terkejut Nur Ain mendengar suara lantang lelaki tersebut. Sungguh tidak beradap dan tidak berbudi bahasa lelaki itu.
“Telefon tu milik saya. Boleh tak encik serahkan telefon tu semula pada saya?” jelas Nur Ain berharap.
“Kau siapa? Kau jangan nak buat cerita. Entah-entah telefon ni bukan kau yang punya, pandai-pandai kau mengaku yang telefon ni kau yang punya,” bidas Hazrel sinis.
“Saya Ain. Nur Ain Zafira Ibrahim. Telefon yang encik pegang tu memang milik saya. Dah sebulan telefon saya hilang. Boleh tak encik pulangkan semula telefon tu pada saya?” jelas Nur Ain bernada harapan.
Tersentak Hazrel mendengar nama tersebut. ‘Nur Ain Zafira Ibrahim’ ulang Hazrel di dalam hati. Jika ingatannya masih berfungsi, mungkinkah perempuan di hujung talian itu adalah pekerjanya di Cahaya Sdn Bhd.
“Kau kerja kat mana? Nanti aku serahkan telefon ni pada kau,” tanya Hazrel inginkan kepastian daripada firasatnya itu.
“Cahaya Sdn Bhd!” jawab Nur Ain jujur.
Matanya mengerling ke arah Humaira yang berada di sisinya. Menanti penuh setia akan perbualannya dengan lelaki tersebut.
Huh! Perempuan tu lagi. Rupa-rupanya telefon ni milik dia. Mungkin terjatuh masa aku bawa dia ke hospital dulu. Kau ingat senang-senang aku nak bagi balik kat kau. Sakit hati aku pada kau tak mungkin akan lenyap begitu saja. Malah apabila Eddie membela kau, bertambah sakit hati aku dibuatnya. Apa yang dipandang sangat Eddie tu pada kau, aku sendiri pun tak tahu? Monolog Hazrel sendirian dan tersenyum sinis.
“Esok aku jumpa kau kat Cahaya Sdn Bhd. Aku serahkan telefon kau ni balik. Aku pun jijik nak simpannya lama-lama. Buat kotor bilik aku aje. Lepas tu terpaksa charge kau punya handphone ni lagi, memang menyusahkan. Tapi, aku ada syarat buat kau. Kalau kau tak boleh nak patuhinya, aku takkan serahkan telefon ni pada kau,” jelas Hazrel sinis.
Terkebil-kebil mata Nur Ain dibuatnya. Syarat? Syarat apa yang perlu dipatuhinya untuk mendapatkan telefonnya semula? Adakah syarat itu akan memudaratkan dirinya atau pun tidak?
“Baiklah!” balas Nur Ain pendek. Tawakal ajelah, bisik Nur Ain pula.
“Semoga kau tidur dengan aman malam ni,” ucap Hazrel dan mematikan talian.
Nur Ain melepaskan keluhan. Diserahkan semula telefon bimbit kepada Humaira. Apa maksud lelaki itu tadi? Otaknya sedang bekerja keras memikirkan kata-kata lelaki itu. Kenapa kasar sungguh lelaki itu berbahasa? Adakah dia mengenali Nur Ain?
“Apa katanya Ain?” tanya Humaira ingin tahu.
“Esok dia serahkan telefon tu pada Ain. Tapi, ada syaratnya maksu. Kalau Ain tak ikut syarat dia, Ain takkan dapat telefon tu balik,” jawab Nur Ain jujur.
“Syarat? Syarat apa? Bukan ke dia yang sepatutnya serahkan telefon tu pada Ain. Kenapa pula dia meletakkan syarat untuk serahkan telefon tu balik?” suara Humaira tidak berpuas hati dan mendengus kasar.
Suka hati aje nak bagi syarat kat orang. Dia yang pegang telefon Ain, nak bersyarat-syarat pulak. Kalau tak ikut, tak bagi. Apa semua ni? bentak Humaira sendirian.
“Entahlah maksu. Ain pun tak faham. Tak pelah, esok Ain jumpa dia kat tempat kerja Ain. Nanti Ain tahulah apa syaratnya,” pujuk Nur Ain lembut.
“Ain nak maksu atau Abang Eddie temankan?”
“Tak apalah maksu. Ain jumpa kat tempat kerja Ain. Lagipun Kak Gie ada. Apa-apa nanti, Ain minta tolong dari Kak Gie.”
“Hmm… kalau ada apa-apa nanti, cepat-cepat call maksu atau Abang Eddie,” pesan Humaira seraya bangun dari duduknya.
“Insya-ALLAH maksu. Ain nak tanya maksu sesuatu boleh tak?”
“Apa dia?”
“Kenapa Abang Eddie ambil berat tentang Ain? Maksud Ain, kenapa semua yang terjadi pada Ain, perlu diberitahu pada Abang Eddie?” tanya Nur Ain ingin tahu.
Selama ini persoalan itulah yang menjadi tanda tanya Nur Ain. Keprihatinan Eddie melebihi keprihatinan Humaira. Mungkinkah ada sesuatu yang cuba Eddie rahsiakan dari Nur Ain dan juga Humaira? Mungkinkah ada sebab dan kenapa Eddie mengambil berat akan diri Nur Ain selama ini?
Humaira terkedu seketika. Jawapan apa yang harus diberikan pada Nur Ain. Sungguh itulah yang dirasakan Humaira selama dia berkawan dan bercinta dengan Eddie. Eddie terlalu mengambil berat tentang Nur Ain. Malah sikap Eddie terhadap Nur Ain melebihi dari sikapnya selaku ibu saudara Nur Ain.
“Mungkin Abang Eddie sayangkan Ain. Sebab itulah semua tentang Ain, Abang Eddie perlu tahu,” jawab Humaira sekadar menyedapkan hati Nur Ain.
“Oh, mungkin juga. Bertuah Ain kan maksu. Ada maksu dan Abang Eddie yang sayangkan Ain,” ujar Nur Ain dan tersengih.
Humaira hanya mengangguk. Seminit kemudian, dia menapak keluar dari bilik Nur Ain. Hatinya juga tertanya-tanya akan sikap Eddie selama ini. Adakah Eddie merahsiakan sesuatu darinya? Apakah sebab dan kenapa Eddie bersikap ambil berat terhadap Nur Ain selama ini? Humaira perlu mencari jawapan pada setiap persoalannya itu. Tetapi, dari siapa dia perlu bertanya? Adakah dengan Eddie sendiri?


Hazrel mencampak telefon bimbit milik Nur Ain ke atas katil. Dia tersenyum sinis mengingati perbualannya dengan Nur Ain. Dia perlu memikirkan beberapa rancangan untuk mengenakan Nur Ain. Hazrel berfikir sejenak. Perlukah dia meneruskan niatnya dahulu untuk menjadikan Nur Ain sebagai orang gajinya? Perlukah dia meneruskan niatnya untuk meminta Nur Ain mengikut ke mana sahaja dia pergi sekali gus menjadi hambanya? Bagaimana jika Eddie mendapat tahu akan perkara ini?
Hazrel mendengus kasar. Ingatannya terus kepada Eddie. Betapa rindunya tatkala mengingati kenangan mereka sewaktu di universiti dahulu. Tetapi, kenapa sekarang Eddie berubah sikap? Mungkinkah selepas pertemuannya dengan gadis kampung itu membuatkan Eddie berubah sebegitu sekali. Jika dulu tatkala ke Shah Alam, pasti dia akan menemui Eddie malah menumpang tidur di rumah Eddie. Tetapi, kenapa sekarang ada saja perbalahan yang akan berlaku di antara dirinya dengan Eddie? Adakah disebabkan Nur Ain dan Humaira yang membuatkan Eddie berubah?
Sungguh Hazrel tidak menyenangi keputusan Eddie untuk bercinta dengan perempuan yang bernama Humaira itu. Sungguh Hazrel tidak menyukai gadis yang bernama Humaira itu. Bagi Hazrel, Eddie lebih layak bercinta dengan gadis yang setaraf dengan diri Eddie. Eddie boleh dapat yang lebih cantik dan bagus dari Humaira. Tetapi, kenapa Humaira juga yang dipilih oleh Eddie? Bagaimana untuk memisahkan Eddie dengan Humaira? Huh! Perlu ke aku pisahkan mereka? Tanyanya di dalam hati.
Hazrel mencapai telefon bimbitnya tatkala telefon itu menjerit. Dia mendengus kasar tatkala ketenangannya diganggu. Lantas ditekan butang hijau dan dilekapkan di telinga. Menanti sapaan dari hujung talian.
“Kau dah tidur ke?” tanya Izzuddin.
“Belum lagi, kenapa?” jawab Hazrel.
“Kau dah dapat rumah ke? Kalau belum, kau duduklah kat rumah aku dulu. Lagipun aku duduk sorang.”
“Tak nak aku duduk dengan kau. Aku tak suka persekitarannya dan juga rumah kau. Nampak sempit dan tak terurus,” kutuk Hazrel selamba.
Hisy, buat apa nak susahkan diri duduk kat situ. Papa dah janji nak belikan aku rumah, baik aku duduk kat situ. Lebih selesa dan besar, bisik Hazrel sendirian. Otaknya memutar memori ketika menemani Izzuddin mencari rumah sewa seminggu yang lepas. Betapa kurang selesanya dia ketika itu melihatkan keadaan rumah Izzuddin.
“Janji ada tempat berteduh Haz. Walaupun sempit dan tak terurus, tapi aku bersyukur dengan apa yang aku perolehi,” balas Izzuddin berbaur nasihat.
“Papa aku nak belikan rumah kat sana. Buat masa sekarang ni aku tinggal dekat rumah yang papa aku beli untuk disewakan dulu tu,” ujar Hazrel perlahan.
“Kalau macam tu, aku jumpa kau esok kat office. Banyak perkara yang nak aku bincangkan dengan kau. Tentang Cahaya dan juga Nur Ain,” jelas Izzuddin.
“Nur Ain? Kenapa dengan dia? Dia buat hal lagi ke? Dia datang lewat ke hari ni?” tanya Hazrel bertubu-tubi. Sakit telinganya mendengar nama Nur Ain.
Izzuddin tertawa kecil. Belum pernah lagi Hazrel bertanyakan tentang seorang perempuan darinya. Mungkinkah hati Hazrel sudah terbuka untuk menerima seorang gadis dalam hidupnya.
“Tak adalah Haz. Yang kau risau sangat ni kenapa? Kau ada hati dengan Nur Ain ke?” tebak Izzuddin dan masih tertawa.
“Huh! Tak ada maknanya aku nak ada hati dengan perempuan kampung macam dia tu. Apa kelas, sebelah mata aku pun takkan aku pandangnya,” bidas Hazrel keras.
“Kau jangan cakap besar Haz. Kalau kau jatuh cinta dengan dia bagaimana? Aku pun dah terjatuh cinta dengan dia Haz,” beritahu Izzuddin jujur.
Membuntang mata Hazrel mendengarnya. Izzuddin jatuh cinta dengan Nur Ain? Biar betul? Hatinya bertanya. Seminit kemudian, dia tertawa besar. Kau dengan Eddie, sama aje. Mudah sangat jatuh cinta dengan perempuan kampung, kutuk Hazrel di dalam hati.
“Yang kau ketawa ni kenapa?” jerkah Izzuddin kurang senang dengan tingkah Hazrel itu.
“Kau dengan Eddie, sama aje. Mudah sangat jatuh cinta. Pulak tu jatuh cinta dengan perempuan kampung dan tak berharta. Apa yang korang berdua tengok ha?” balas Hazrel sinis.
“Bahasa tu biar elok sikit Haz. Biar miskin harta asal kaya budi bahasa,” bidas Izzuddin keras. Sakit telinganya mendengar kenyataan Hazrel itu.
“Izz… Izz.. tak paham aku dengan kau nilah. Apa yang kau pandang dengan Nur Ain tu? Bukannya cantik mana. Kekampungan dan tak berharta. Mana layak untuk kau Izz.” Sinis Hazrel bertanya. Seolah-olah orang yang tidak berhati perut dan berhati busuk lagaknya.
“Hati dia baik Haz. Dia dah selamatkan aku dari dilanggar kereta sebulan yang lepas. Aku terhutang budi dengan dia,” jelas Izzuddin jujur dan ikhlas.
“Takkan sebab itu, kau terus jatuh cinta dengan dia. Habis tu, kalau makcik tua yang selamatkan kau, automatik kau akan suka dengan makcik tu juga ke?” sindir Hazrel pedas.
Izzuddin menarik nafas dan melepaskannya. Sukar untuk mengertikan Hazrel. Sukar untuk mengubah pemikiran Hazrel yang masih berfikiran prejudis terhadap orang kelas bawahan.
“Sudahlah Haz. Kau takkan pernah berubah sampai bila-bila. Apa-apa pun, aku tunggu kau esok kat Cahaya,” suara Izzuddin sedikit mengalah. Ada baiknya dia mengalah daripada mendengar kata-kata sinis dari mulut Hazrel itu.
“Sebelum tu, kau pastikan Nur Ain datang on time esok. Aku nak jumpa dia, ada perhitungan dengan dia,” pesan Hazrel dan mematikan talian telefon.
Berkerut dahi Izzuddin mendengarnya. Apa yang dimaksudkan oleh Hazrel itu? Perhitungan? Perhitungan apa di antara Hazrel dan Nur Ain itu?
“Takkan Haz nak buli Nur Ain?” duga Izzuddin sendirian dan mengeluh.

Jumpa Hazrel & Nur Ain pada hari Isnin depan... 
Terima kasih kerana membaca...
(^_^) 

14 ulasan:

  1. urm...sebab ape ek akak datin salina tak suka budak kampung??? mesti ade sbb kn...
    tak sbar nak tau sambungan..^^

    BalasPadam
  2. ada 2 persoaln kt kpla skang ni...knp la datin salin 2 bnci sgt bdk kg n knp eddie trlalu mgambil berat akn nur ain??ermmm...ni x sabor nk tggu next2 n3 ni ...gud job la akak!!:)hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. tq my dear Yani.. soalan tu ada jwpnnya nti..

      Padam
  3. Apalah perhitungan yang mamat sengal + poyo + berlagak tu nak buat dengan Ain ye...tak sabar nak tunggu hari Isnin ni...

    BalasPadam
    Balasan
    1. err, sengal + poyo + berlagak.. byknya gelaran utk HH tu.. erm, next bab tahulah apa yg HH nk buat pd NAZ..

      Padam
  4. sebulan lepas? O.O tak hbs plak bateri phone tu? O.O wah...canggih ni^^

    nasib baik ain call kebetulan plak dpt..hurm...nasib baik.
    anyway..nape ek eddie tu baik sgt ngn ain?

    hazrel tu.. mulut dia mmg longkang kan?? *geram* mulut lpas je, hati kwn lgsg x jga.. terbaik lah!! hazrel2 kalau kau muncul depan ak dgn mulut longkang kau, sblh mata pun ak x pndg tau.. (tp..er..kalau bawak audi..pandang lah juga kot...lol)

    izz...mcm best jer watak die^^

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha.. x terpkr pulak akk ttg tu.. xpe, kita blh assume yg HH tu charge phone NAZ 2 bl bateri kong.. tq dik.. nti akk edit balik.. terlps pndg tu.. huhu.. :0

      Padam
    2. boleh ga buat, dia actually tutup phone tu ka...sbb org x kenal dok call..hehe..then dia tergerak hati nk bukak phone 2 hr yg ain call tu.. hehe.. br lah berjodoh name nye....weeeeeeee....

      akak...biler HH nk jd baik ni? mcm mn nk support hero kalau hero asyik menaikkan kemarahan je... huhu..nk tgk dia jd cute+handsome+baik gak...~!!

      Padam
    3. a'ah kan, btl jg tu.. ok, nti akak edit balik.. tq dik atas teguran itu.. mmg x tpkr pn ttg tu, sbb tu akak ada member yg akak lantik sbg editor utk edit n tegur mana yg x kena pd karya2 akak..

      HH nk jd baik??? erm, lama lg tue.. mgkn lepas dia kawin dgn NAZ bru dia jd baik kot.. klu dia jd baiklah.. hihi.. :D

      Padam
    4. no prob, kalau akak nmpk error kat e-novel sya. just tell me ok..tegur je. sya pun selalu buat error mcm ni. kdg2 kami dua org baca + sorng lg adik baca pun blh terlepas^^;;

      OMG kawen? waaaaaaaaaaaaaa.............. teaser ni~!!! weee...
      ahahaha....tapi alahai...nape lah dia ni mulut leser sgt. nseb dia dpt perempuan baik, ayu, tak melawan... ishx3 kalau sya..dh lama kena bantai blk laki ni...weee...

      Padam
    5. Insya-ALLAH sya, akak akn tegur klu ada yg x kena dgn e-novel sya.. mmg HH & NAZ akn berkahwin.. dlm sinopsis ada mentionkan diorg berdua berkahwin.. but NAZ bkn perempuan yg lembut hati, lemah dan mudah menangis.. apa2 pn ntikan bab seterus & seterusnya.. semuanya akan terjwb nti.. ;)

      Padam
  5. kak bla novel nie nk kuaq???
    xsabar nk bca la best jgakkk

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah, dlm bbrp bln lg AJID akn keluar.. nti akak war2kan dlm blog..

      terima kasih coz sukakan AJID.. :)

      Padam