Selasa, 11 September 2012

Suara Cinta - Bab 3


BAB 3

“HAHAHA… baru padan muka dia. Dia belum kenal siapa aku lagi,” tawa Nur Edleen.
Ezzura yang berada di sebelah, sudah mengerutkan dahi. Entah apa yang sedang merasuk Nur Edleen, dia sendiri tidak tahu. Adakah meeting petang tadi membuatkan kawan baiknya jadi begitu? Apa yang terjadi semasa meeting tadi? Hatinya tertanya-tanya. Walaupun mereka satu pejabat, tetapi dia di bahagian lain. Nur Edleen di bahagian pengurusan manakala dia di bahagian operasi. Nur Edleen di level tiga manakala dia di level dua. Satu bangunan, satu pejabat berlainan department.
“Yang kau termenung ni kenapa, Zura? Teringatkan boyfriend kau yang jauh tu ke?” tegur Nur Edleen tatkala menyedari kebisuan Ezzura. Matanya masih diluruskan pada pemanduan.
“Eh… mana ada. Aku tengah fikirkan kau lah Leen,” bidas Ezzura, laju.
“Aku? Pasal aku? Apa yang tak kena dengan aku? Aku okey aje.”
“Yang kau gelak macam hantu pontianak tu tadi, kenapa? Jin mana yang merasuk badan kau tu?” tanya Ezzura.
“Jin tanah, jin api, jin air, jin angin dan segala macam jinlah yang merasuk aku sekarang ni Zura. Itu yang terlebih ketawa mengalahkan mak bapak pontianak,” jawab Nur Edleen, selamba dan tersengih. “Aduh! Sakitlah. Kau ni Zura, aku kan tengah memandu,” geramnya.
“Orang tanya elok-elok, yang kau pergi jawab merapu tu, kenapa? Sendiri cari pasal,” balas Ezzura bernada geram.
Nur Edleen hanya tertawa. Hatinya berbunga riang. Mana tidaknya, sudah dikerah otaknya merencana rancangan jahat dan akhirnya dia berjaya mengenakan bos besarnya.
“Tengok tu, ketawa lagi. Apa yang kau ketawakan tu, Leen? Kongsilah dengan aku. Aku pun nak tahu juga,” paksa Ezzura.
“Alah, tak payah tahulah Zura. Bukan best mana pun cerita ni.”
Best tak best, aku nak tahu juga.”
Nur Edleen berfikir sejenak. Berkira-kira untuk berkongsi cerita dengan Ezzura. “Aku takut jantung kau tak tahan dengarnya. Kang tak pasal-pasal kena tampal jantung kau tu. Susah aku nanti nak jahitnya, Zura,” katanya, selamba.
“Kau ni kan Leen!” geram Ezzura tatkala dirinya dipermain-mainkan oleh Nur Edleen.
“Okey.. okey… sorry. Aku tak main-main. Kau betul-betul nak tahu?” kata Nur Edleen, mengalah. Gerun pula dia melihat wajah tegang Ezzura. Ezzura kalau dah dapat marah, mahu terbalik dunia dibuatkannya. “Kalau kau nak tahu, hari ni aku kenakan bos kau,” mulainya dan tersengih. Otaknya ligat mengimbas semula peristiwa yang berlaku di dalam bilik Edzuary, bos besarnya.
“Bos aku? Encik Hairudin ke?” tanya Ezzura, berkerut.
“Erk, bos kau Hairudin ke namanya, bukan Edzuary Safuan?” tanya Nur Edleen pula. “Hisy, tergeliat lidah aku nak sebut nama dia tu. Dah tak ada nama lain lagi ke nak pakai,” rungutnya pula.
“Oh, Encik Edzuary tu bukan bos aku, dia pengurus besar Pelangi Holding dan bos kau. Bos aku Hairudin. Kau dan aku kan tak sama department,” terang Ezzura, jelas dan nyata.
Nur Edleen mengangguk faham. Barulah dia tahu kenapa Ezzura tidak hadir sama di dalam mesyuarat tadi sedangkan jawatan yang dipegang oleh Ezzura lebih kurang sama dengannya, Eksekutif Operasi. Ezzura juga yang merekomenkan dia bekerja di Pelangi Holding pada Encik Hamid selaku Pengurus Sumber Manusia. Alhamdulillah, temuduganya berjaya dan kini dia bekerja di bawah satu bumbung dengan Ezzura.
So, apa cerita?” tanya Ezzura menyentakkan lamunan pendek Nur Edleen.
Nur Edleen tersenyum. Ingatannya kembali memutarkan peristiwa di bilik Edzuary. Serta merta ketawanya pecah dek ingatannya itu.
“Dia buat balik dah,” keluh Ezzura dan menggeleng kecil.
“Okey.. okey.. sorry. Aku tak gelak dah. Tapi, aku memang tak tahan bila teringat kes kat office dia tadi,” balas Nur Edleen dan masih ketawa.
“Kes apa?”
Nur Edleen masih lagi ketawa. Dibiarkan sahaja Ezzura terteka-teki sendiri. Jika Ezzura tahu akan kisah sebenar, pasti Ezzura turut sama ketawa. Tidak semena-mena, wajah Edzuary yang merah menahan malu menyapa tubir mata. Dia tersenyum tatkala mengingati wajah itu.


EDZUARY menghumbankan dirinya di atas katil. Terasa penat badannya itu. Seharian bekerja, begitu memenatkan. Bukan sahaja dari segi fizikal, mental dan emosi juga turut merasa penat. Jika bukan kerana tuntutan keluarga, tidak ingin dia menguruskan Indah Holding. Abangnya lebih layak untuk menguruskan syarikat tersebut berbanding dirinya yang masih muda. Dia juga perlu banyak belajar dari orang-orang yang berpengalaman seperti abangnya.
“Nur Edleen,” bisiknya, lembut. Entah kenapa nama itu boleh terpacul keluar dari bibirnya. Adakah disebabkan peristiwa siang tadi membuatkan hatinya terdetik dengan nama itu? Peristiwa yang tidak mungkin akan dilupakan seumur hidupnya.
“Encik ke tepi!” pinta Nur Edleen, lembut.
Bunyi dari arah pembersih hampagas menyukarkan Edzuary mendengar permintaan Nur Edleen. Dikerutkan dahi sambil cuba memahami kata-kata Nur Edleen.
Hisy, pekak betullah mamat ni. Aku kata ke tepi, tepilah. Ini tidak, boleh pulak buat muka bodoh kat situ, geram hati Nur Edleen.
Kau ni pun satu Leen, manalah dia nak dengar suara kau kalau dah bunyi pembersih hampagas tu mengalahkan suara kau, kata akalnya pula.
Ya tak ya juga. Apalah kau ni Leen, bodoh sangat, kutuknya di dalam hati.
“Encik, ke tepi!” ulang Nur Edleen sedikit meninggi. Namun, masih tiada tindak balas dari Edzuary.
“Awak kata apa Nur Edleen?” tanya Edzuary sedikit meninggi.
“Aku kata tepilah!” geram Nur Edleen.
“Apa?” ulang Edzuary, sengaja. Bukannya dia tidak dengar, tapi pura-pura tidak dengar sebaik sahaja Nur Edleen meninggikan suaranya tadi. Padan muka, cebiknya di dalam hati.
Oh, sengaja cari pasal dengan aku ya. Dahlah aku buat kerja free, dia pulak duduk selamba badak kat sofa tu. Siap kau aku kerjakan sekejap lagi, bebel Nur Edleen di dalam hati. Senyuman manis dihadiahkan buat Edzuary.
“Saya ke sana ya Encik Edzuary Safuan Erizal Hanif,” pinta Nur Edleen dan masih lagi tersenyum manis.
Edzuary sekadar mengangguk. Matanya mengekori tingkah Nur Edleen yang sedang menarik wayar pembersih hampagas. Tersenyum kecil dia melihat gelagat Nur Edleen. Dalam kedegilan, ada kelembutan pada gadis itu.
Nur Edleen menyandarkan pembersih hampagas ke sofa. Tepat ke arah Edzuary. Sengaja dia membiarkan pembersih hampagas itu berbunyi. Senyuman nakal sudah terbias di wajah. Dengan perlahan, dia menarik hos anjal yang menyambungkan kepada pembersih dan dihalakan ke arah Edzuary. Tersentak Edzuary dengan tingkah Nur Edleen. Bingkas dia bangun dari duduk dan cuba mengelak dari mengenai hos anjal tersebut. Nasibnya malang tatkala kakinya tersadung di wayar pembersih hampagas itu dan jatuh tersembam ke lantai.
Nur Edleen yang melihat sudah tersentak. Serta merta hos anjal itu dilepaskan. Apa yang membuatkan matanya membuntang, baju kemeja Edzuary. Terhambur ketawanya melihat baju kemeja Edzuary itu. Malah, keadaan Edzuary yang sudah pun terduduk di atas lantai menambahkan rasa geli di hati.
“Nur Edleen!!” jerit Edzuary, meninggi.
Terhenjut tubuh Nur Edleen mendengar jeritan Edzuary. Terhenti tawanya dek kerana jeritan itu. Lantas, dimatikan suis pembersih hampagas tersebut dan mendiamkan diri di situ. Matanya menjamah wajah tegang Edzuary.
Edzuary bingkas bangun dari jatuhnya. Dibetulkan kedudukan diri dan memperkemaskan baju kemeja serta rambutnya yang sedikit kusut.
“Erk… encik…” seru Nur Edleen, lembut.
What?!” tanya Edzuary dan masih meninggi.
Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Lagak seperti orang tidak bersalah sahaja. Dia tersengih buat seketika tatkala terlihat baju kemeja Edzuary yang terkoyak sehingga menampakkan tubuh Edzuary. Malu dirasakan Nur Edleen ketika ini.
“Encik…” seru Nur Edleen dan masih lembut. Kakinya menguis-nguis permaidani dan menunduk. Malu untuk menyatakan hasrat di hati.
“Apa encik… encik… Awak nak buat apa lagi kat saya?” marah Edzuary tidak tertahan.
“Itu… itu….” kata Nur Edleen sambil mengunjuk ke arah baju Edzuary yang terkoyak. Dia sudah pun tersipu-sipu malu. Dapat dirasakan pipinya berbahang juga.
“Itu apa? Yang awak ni tergagap-gagap nak cakap, kenapa?” jerkah Edzuary pula.
Hisy mamat ni. Nak tengking-tengking aku ni, kenapa? Kira baik jugalah aku ni nak bagitau kat dia tentang baju dia tu, kalau tidak, lantak dialah malu sendiri, kutuk Nur Edleen di dalalm hati. Tapi, seksi juga tubuh dia tu, pujinya. Sengihan terbias di wajah.
“Yang awak tersengih macam kerang busuk tu, kenapa? Awak gelakkan saya lagi, kan?” geram Edzuary dan mengepal tangan. Gadis di hadapannya itu bukan calang-calang orang dan dia perlu berhati-hati dengan gadis itu.
“Eh… tak ada. Saya sengih sebab sengih tu kan satu sedekah,” balas Nur Edleen, selamba. “Jap.. jap.. sengih tu satu sedekah juga, kan?” tanyanya sambil menggaru kepalanya yang bertudung. Sengihan masih lagi terukir di bibir.
“Nur Edleen Haji Marwan!” panggil Edzuary tidak tertahan. Geram dirasakan Edzuary ketika ini. Hidup-hidup dia dipermainkan oleh Nur Edleen.
Gulp!! Nur Edleen menelan liur. Kelat! Dipahatkan mata ke wajah tegang Edzuary. Kelihatan merah wajah itu menahan kemarahan. Sudah pastilah Edzuary geram dan marah terhadapnya ketika ini.
“Awak boleh keluar sekarang!” arah Edzuary, lantang. Jika berlama, makin geram dia terhadap Nur Edleen. Rasa malu semakin menebal dalam diri. Malu apabila terjatuh di hadapan Nur Edleen. Cukuplah pertama dan terakhir dia jatuh di hadapan perempuan. Malunya usahlah nak dikata. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan malunya ketika ini.
Nur Edleen mengangguk lemah. Dia sedar, yang dia sudah melampaui batas. Dengan langkah yang lemah, dia menapak keluar dari bilik. Sungguh, dia rasa berdosa kerana memperlakukan Edzuary sebegitu. Seminit kemudian, langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah Edzuary yang sedang memandang tajam ke arahnya.
“Nak apa lagi?” tanya Edzuary, keras.
Nur Edleen tersenyum manis.
“Apa?” ulang Edzuary sedikit menekan.
“Erk… saya nak puji, boleh?” pohon Nur Edleen penuh berhati-hati.
Edzuary mengerutkan dahi.
“Tubuh encik tu seksi lah. Kalau perempuan lain, dah lama tergoda. Tapi, nasib baik saya ni kuat iman orangnya, encik. Kalau encik nak tahu, saya ni ada ilmu kebal. Segala macam hantu, jin dan syaitan, tak boleh tembus dalam badan saya. Disebabkan itulah saya tak tergoda dengan tubuh encik yang seksi tu,” jelas Nur Edleen dan tersenyum.
Semakin bertambah kerutan di dahi Eduary. Kurang mengerti akan maksud kata-kata Nur Edleen itu.
“Baju encik tu koyak,” beritahu Nur Edleen, perlahan.
“Koyak?” ulang Edzuary, terkejut.
Nur Edleen mengangguk. Dia tersenyum simpul memandang wajah kalut Edzuary.
Edzuary memerhatikan segenap inci bajunya. Alangkah terkejutnya dia melihat koyakan di baju kemejanya itu. Serta merta wajahnya memerah. Malu tatkala ditegur Nur Edleen.
“Jangan seksi-seksi ya encik, tergoda saya,” pesan Nur Edleen berwajah serius sambil cuba menahan ketawa. Sungguh, tidak tertanggung rasanya akibat menahan ketawa yang amat sangat. Tanpa berlengah, segera dia keluar dari bilik Edzuary. Di luar bilik, dia menghamburkan ketawa yang sedari tadi ditahan-tahan. Tidak menyangka dia akan dihidangkan dengan peristiwa ini pada hari pertama dia bekerja di Pelangi Holding. Pengalaman yang cukup manis di dalam kamus hidupnya.
Edzuary masih menahan malu. Ingin saja dia menyorokkan muka dari dipandang Nur Edleen. Betapa malu dirasakannya ketika ini. Silap dia juga kerana terambil baju tersebut. Jika memorinya masih kuat, ada sehelai baju yang memang koyak dan menunggu masa untuk dibuang. Sehingga ke hari ini dia tidak membuangnya dan disebabkan keengganannya juga, maka dia terpaksa menahan malu di hadapan Nur Edleen.
Edzuary mengeluh ringan. Mujurlah dia memakai blazer ketika bermesyuarat tadi dan menanggalkannya di dalam bilik. Jika tidak, bertambah malu Edzuary jika pekerja bawahan menegur bajunya itu. Jika bukan kerana kuah laksa, mustahil juga dia akan mengalami situasi hari ini. Hisy, buat malu ajelah kau ni Ary. Mana kau nak letak muka kau tu depan Nur Edleen, kutuk Edzuary pada dirinya sendiri.
Getaran telefon menyentak lamunan panjang Edzuary. Diseluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Nafas dihela ringan tatkala nama Aimanuddin tertera di screen telefon.
“Kenapa Aiman?” tanya Edzuary sebaik sahaja salam berjawab.
“Ary, esok lunch hour aku nak jumpa dengan kau. Ada perkara yang nak aku bincangkan dengan kau,” beritahu Aimanuddin.
“Perkara apa?”
“Esok aku bagitau pada kau. Tempat biasa. Kau jangan lambat pula,” pesan Aimanuddin.
“Insya-Allah, aku cuba,” balas Edzuary.
Thanks!” ucap Aimanuddin dan mematikan talian.
Edzuary tersentak. Tanpa memikirkan apa-apa, bingkas dia bangun dari pembaringan dan menapak ke almari. Tuala dicapai lalu ke bilik air. Terasa melekit badannya ketika ini seharian bekerja. Dia perlu menyegarkan badan sebelum mengadap Ilahi. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini.


“HAHAHAHA… kau biar betul Leen. Kau tak tipu aku, kan?” kata Ezzura dan tertawa besar. Geli hati mendengar cerita dari Nur Edleen tentang Edzuary. Sungguh, tidak menyangka begitu sekali Edzuary dikenakan oleh Nur Edleen. Kalau dia di tempat Edzuary, sudah pastilah dia tidak akan bertemu pandang dengan Nur Edleen lagi. Tapi, nak buat macam mana. Edzuary sepejabat dengan Nur Edleen dan Nur Edleen adalah orang bawahan Edzuary.
“Muka aku ada macam penipu ke?” tanya Nur Edleen tidak berpuas hati.
“Eh… mana ada. Tapi, iras-iras tu adalah,” jawab Ezzura dan tersengih. “Aduh! Macam ketamlah kau ni,” rungutnya pula.
“Tau pun sakit,” cebik Nur Edleen.
“Lepas tu apa dia buat?” tanya Ezzura seakan berminat dengan cerita Nur Edleen itu.
“Aku ni kan gadis melayu terakhir, so kenalah tunggu kemarahan dia reda. Kasi kenyit mata aje, terus cair,” cerita Nur Edleen, bersungguh.
Ezzura yang sedikit teruja sudah menegakkan badan. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Nur Edleen itu? “Yalah tu. Kasi kenyit mata aje, terus cair,” ulangnya, mengejek. “Gadis melayu terakhir konon. Nak termuntah aku dengarnya.”
“Betul apa. Aku ni kan perempuan melayu terakhir. Kalau tidak, tak adalah mamat tu boleh terkejut tengok aku masa kami jumpa kat Giant sebulan yang lepas,” beritahu Nur Edleen.
“Maksud kau Leen?”
“Dialah yang aku terserempak dekat Giant hari tu, yang panggil aku mak cik?”
“Oh, dia ke? Tak sangka kan, dia yang jadi bos kau sekarang. Jangan kau tergoda dengan kekacakan dia, sudahlah,” kata Ezzura.
Nur Edleen mencebik. Tak kuasa nak tergoda dengan lelaki seperti Eduzary. Kacak ke dia tu? Soal hatinya.
“Yang kau termenung ni, kenapa? Kau teringat kat dia ke?”
“Hisy, tak ada maknanya aku nak teringat kat dia. Aku sendiri pun tak terurus, ini kan pula nak uruskan orang lain,” bidas Nur Edleen, laju. Tidak mungkin dia akan jatuh cinta pada lelaki itu. Ini kerana hatinya sudah diserahkan pada seseorang. Seseorang yang belum pernah berjumpa. Seseorang yang pernah membuat hatinya berdegup kencang sehinggakan sukar untuk dia mengawal degupan itu. Siapa orang itu? Nur Edleen masih lagi mencari-cari bayangan orang tersebut.
Tetapi, kenapa setiap kali dia berhadapan dengan Edzuary, jantungnya berdegup kencang. Pandangan mata Edzuary yang redup menceritakan sesuatu padanya. Seakan dia punya kaitan yang kuat dengan Edzuary. Mungkinkah dia sudah lama mengenali Edzuary atau perasaannya sahaja.
“Termenung lagi,” keluh Ezzura menyentakkan Nur Edleen.
Sorry.. aku teringatkan sesuatu tadi,” pohon Nur Edleen.
“Apa yang kau ingatkan?”
“Tentang seseorang yang pernah hadir dalam hidup aku dulu.”
“Siapa?” tanya Ezzura ingin tahu.
Nur Edleen menjungkitkan bahu. Dia sendiri tidak tahu siapa yang pernah hadir dalam hidupnya dahulu. Apa yang dia tahu, dia mengalami kemalangan ngeri lima tahun yang lepas sehingga memaksa dia menjalani beberapa pembedahan. Pembedahan apa? Nur Edleen sendiri tidak tahu. Kata abahnya, pembedahan membuang darah beku yang terdapat di kepalanya akibat kemalangan tersebut. Untuk tidak bertanya lebih, dibiarkan sahaja peristiwa itu berlalu pergi. Hidupnya kini bebas dari sebarang masalah. Dia bersyukur dengan kehidupannya sekarang.
“Aku dah mengantuklah Leen. Aku masuk tidur dulu. Kau jangan lupa lunch hour kita esok,” suara Ezzura, seraya bangun.
Lunch hour? Maksud?” tanya Nur Edleen kurang mengerti.
“Kau ni bengap sangat, kenapa? Kan kita nak jumpa Eka dengan Azie lunch hour esok,” tekan Ezzura sedikit geram.
Nur Edleen menepuk dahi. Hampir, dia terlupa dengan perjumpaan itu. Hampir juga dia terlupa dengan perjumpaan keluarga yang diadakan setiap hari Jumaat. Semenjak dia mengambil keputusan untuk duduk di rumah sewa Ezzura, jarang sekali dia pulang ke rumah parentsnya. Jika ada pun, pertemuan keluarga yang diadakan setiap dua kali sebulan.
“Ya, aku ingat. Aku pun ingat yang aku ada family gathering malam esok. Kau nak join sekali tak?” beritahu Nur Edleen.
“Aku rasa tak kut. Sampaikan salam aku pada abah dan ummi ajelah,” balas Ezzura.
“Insya-Allah.”
“Aku masuk bilik dululah. Dah mengantuk sangat-sangat ni,” pamit Ezzura dan berlalu dari situ sebelum sempat Nur Edleen membalas.
Nite Zura,” ucap Nur Edleen.
Seminit kemudian, bingkas dia bangun dari duduk dan melangkah menuju ke bilik. Otaknya penuh dengan pelbagai persoalan. Siapa yang berada di dalam hatinya itu? Kenapa setiap kali berada di sisi Edzuary, terasa selamat dan tenang yang belum pernah dirasakan olehnya sebelum ini. Adakah Edzuary punya hubungan kuat dengannya? Pelbagai persoalan bersarang di kepalanya ketika ini. Untuk tidak menyesakkan nafas, segera dia berbaring di atas katil dan cuba melelapkan mata. Semoga tidur malamnya ini dapat mengusir segala keresahan di hati.


6 ulasan: