Rabu, 17 Disember 2014

Kerana Hati Bicara - Bab 1







“YES! Dina menang!” girang Irdina.
Irshad mendengus kasar. Sakit hatinya melihat tingkah laku Irdina.
“Selama-lamanya along akan kalah dengan Dina,” sambung Irdina lalu tersenyum senang.
“Ala… along bagi chance saja. Kalau ikutkan along yang menang tau,” balas Irshad tidak mahu mengalah.
Irdina mencebik. Abangnya itu sukar untuk menerima kekalahan.
“Lagipun, kaki along sakit. Bolehlah Dina menang. Kalau kaki along…”
“Ni la orang yang tak boleh nak terima kekalahan,” pintas Irdina, laju.
“Bila masa along tak boleh nak terima kekalahan?” soal Irshad bernada keras.
Irdina tidak membalas. Botol mineral dicapai lalu meneguk air dari dalamnya. Tekak yang terasa kering sudah pun dibasahkan.
“Lepas ni nak ke mana?” tanya Irshad ingin tahu.
“Nak jumpa Mel,” jawab Irdina sehabis sahaja air diteguk.
“Buat apa?”
Window shopping.”
“Along ikut!”
“Tak boleh!”
“Kenapa pulak tak boleh?”
“Hal perempuan. Lelaki tak boleh masuk campur.”
“Ala… Bolehlah! Along bosan la.”
“Along kata tadi ada kerja. So, buatlah kerja along tu.”
“Bosan la. Asyik kerja saja. Sesekali, nak juga enjoy,” rungut Irshad.
“Amboi.. Sedapnya ayat. Mentang-mentanglah bos, boleh la buat sesuka hati saja. Ingat sikit along, business along tu baru nak berkembang,” tegur Irdina sambil menggeleng.
“Eh.. Mana la tahu, kan? Tiba-tiba along jadi kaya raya. Terbeliak mata Dina nanti.”
“Tak heran pun!” Selamba Irdina membalas.
Raket dan bulu tangkis dicapai lalu menyimpannya ke dalam beg. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Dikerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke pukul sebelas tiga puluh minit pagi.
“Along nak ikut!” ujar Irshad.
Tingkah laku Irdina diperhati penuh minat. Menanti jawapan daripada adiknya itu.
Please….” rayu Irshad pula.
Dipamerkan riak sedih kepada Irdina. Mengharap persetujuan daripada Irdina.
“Along ni, kan!” geram Irdina.
Irshad tersengih. Taktiknya mengena. Dengan hanya mempamerkan wajah kasihan, Irdina sudah menyatakan persetujuan. Dia tahu, Irdina seorang yang lembut hati. Sukar untuk menolak permintaan daripada sesiapa.


“KU… ku punya cinta. Ku.. ku.. punya rindu,” nyanyi Irshad penuh perasaan.
Irdina dan Melisa hanya mendengar. Tingkah laku Irshad yang sedang bergelek diperhati penuh minat. Menggeleng mereka melihatnya.
“Asyik… asyik… asyik… asyiknya bercinta. Seakan dunia milik berdua satukan rasa,” sambung Irshad lagi. Tergoyang-goyang pinggulnya itu. Mengikut alunan lagu tersebut.
“Beb, hari ni along dah makan ubat ke?” tanya Melisa sedikit tinggi.
“Ubat?” tanya Irdina, berkerut dahi.
“Ubat la.”
“Ubat apa?”
“Ubat penenang. Kau tengoklah along. Dari tadi dia saja yang menyanyi. Kita ni pun nak menyanyi juga.” Rungut Melisa di hadapan Irdina.
Irdina masih lagi berkerut. Kurang faham dengan kata-kata Melisa.
“Kau ni, bengap sangat kenapa?” Melisa geram.
“Oh.. okey. Aku dah faham. Maklumlah, hari ni aku belum brain wash lagi. Itu yang jadi lembab sikit,” sengih Irdina sambil menggaru kepala.
“Bengap!” kutuk Melisa, selamba.
“Kau jangan risau. Sekejap lagi, dia berhenti la.”
“Seratus percent cintaku. Hei.. hei.. hanya untukmu,” suara Irshad, tiba-tiba.
“Aduh! Seratus percent pulak dah,” keluh Melisa sambil menggeleng.
Irdina ketawa. Gelagat Irshad menjadi tatapan mata. Seronok melihat abangnya itu.
“Berkali-kali aku memandang. Gambarmu yang ku simpan di rumah,” nyanyi Irshad lagi.
Tidak diharaukan Irdina dan Melisa di situ. Apa yang pasti, kepuasan diri ketika ini.
“Along!” panggil Irdina sedikit meninggi.
Irshad tidak mendengar. Dia masih meneruskan nyanyian sumbangnya.
“Along!!!” jerit Irdina pula.
Terhenti nyanyian Irshad dek kerana jeritan Irdina. Dia memberi isyarat kepada Irdina. Sebagai tanda pertanyaan daripada adiknya itu.
“Dahlah! Orang pun nak nyanyi juga,” kata Irdina, keras.
“Ala… along tak habis nyanyi lagi. Sekejap la!” balas Irshad.
“Tak ada… tak ada.. along dah nyanyi dua lagu. Kita orang pun nak nyanyi juga,” tegah Melisa pula. Microphone di tangan Irshad dirampas.
“Hisy… kau orang berdua ni memang dengki betul. Tau la suara along ni mengalahkan suara Anuar Zain. Bukan main cemburu kau orang ya,” bebel Irshad, serius.
Tergelak Irdina dan Melisa mendengar bebelan Irshad. Tanpa menghiraukan Irshad, Irdina dan Melisa memulakan nyanyian. Gembira dan ceria mereka berdua di saat ini. Seolah-olah tidak mempunyai masalah.
Irshad mendengus kasar. Dia segera beredar dari situ. Naik menyampah dia melihat gaya gedik kedua-dua adiknya itu. Ada baiknya dia keluar dari bilik itu menghirup udara segar buat seketika. Agak lama dia tidak berkaraoke bersama Irdina dan Melisa. Dia tersenyum buat seketika. Rasa bahagia hidup mereka tanpa sebarang masalah.


“BAGAIMANA keadaan Tengku Irfan hari ni, Shila?” tanya Tengku Iqbal, ramah.
“Seperti biasa, tengku,” jawab Shila, sopan.
Tengku Iqbal mengangguk. Senyuman diberikan kepada pembantu peribadi Tengku Irfan.
“Tengku nak jumpa dengan Tengku Irfan?”
“Dia tak ke mana-mana hari ni?”
“Tak tengku. Seharian Tengku Irfan duduk dalam bilik,” lapor Shila.
“Hurm… kalau macam tu, saya ke bilik Irfan sekejap,” ujar Tengku Iqbal.
“Baiklah, tengku,” balas Shila sambil mengangguk.
Tengku Iqbal masih lagi tersenyum. Tanpa berlengah, dia segera menuju ke bilik Tengku Irfan. Sekadar untuk melihat keadaan anaknya itu. Adakah Tengku Irfan masih berkeadaan sama ataupun berubah?
Tengku Iqbal menguak perlahan daun pintu. Matanya meninjau ke dalam bilik mencari kelibat Tengku Irfan. Ke mana anaknya itu pergi? Tidak kelihatan. Dia segera masuk ke dalam bilik. Mencari kelibat Tengku Irfan.
“Ir!” panggil Tengku Iqbal.
Namun, tiada balasan daripada Tengku Irfan. Bilik Tengku Irfan diperhati dengan penuh minat. Kemas dan teratur. Sejak dari dulu lagi anaknya menitik berat akan kekemasan dan kebersihan. Tidak suka dengan keadaan yang bersepah dan tidak teratur. Sikap Tengku Irfan hampir sama dengan sikapnya. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
“Tengku Irfan!” Tengku Iqbal masih lagi memanggil.
Dia meninjau ke seluruh bilik. Tengku Irfan tidak juga kelihatan.
“Mana pulak Ir ni pergi? Bukan ke Shila kata ada dalam bilik?” Tengku Iqbal bersoal sendiri. Berkerut dahinya memikirkan ke mana Tengku Irfan ketika ini.
“Tidak! Tidak! Jangan langgar aku! Jangan langgar aku!” luah Tengku Irfan, bergetar.
Tengku Iqbal terkejut. Diamati suara yang datang dari arah bilik air. Adakah suara itu milik Tengku Irfan?
“Jangan! Jangan!” ucap Tengku Irfan lagi.
“Irfan!” panggil Tengku Iqbal sebaik sahaja pintu bilik air dibuka.
“Pa… papa…” Terketar-ketar Tengku Irfan memanggil. Rasa takut menguasai diri.
“Irfan, kenapa ni?” tanya Tengku Iqbal sedikit terkejut.
“Ada orang nak langgar Ir, papa.”
“Langgar? Siapa?”
“Ir tak tahu. Papa tolong bawa Ir pergi dari sini.”
“Mana ada orang nak langgar Ir? Perasaan Ir saja.”
“Betul papa. Orang tu nak langgar Ir.”
Tengku Iqbal menghela nafas berat. Wajah Tengku Irfan ditatap kasih. Jelas riak ketakutan di wajah itu. Adakah Tengku Irfan masih trauma dengan kemalangan yang lalu? Kemalangan yang telah meragut ketenangan dan kebahagiaan Tengku Irfan.
“Papa!” Tengku Irfan memanggil.
“Mari kita keluar,” suruh Tengku Iqbal, lembut.
“Tapi…”
“Jom!”
Tengku Irfan mengangguk. Dia bingkas bangun dari duduk sambil dibantu oleh Tengku Iqbal. Peluh dingin yang membasahi dahi diseka.
“Ir duduk dulu. Papa nak buat panggilan sekejap,” arah Tengku Iqbal pula.
Tengku Irfan tidak membalas. Dilabuhkan duduk di sofa sambil melilaukan mata. Seperti ada yang sedang memerhatikan dirinya. Seperti ada sesuatu yang bakal berlaku nanti.
“Terima kasih, Saiful,” ucap Tengku Iqbal lalu mematikan talian.
Matanya memandang Tengku Irfan yang sedang duduk di sofa. Rasa sebak hadir di hati ketika ini. Sebak mengenangkan keadaan Tengku Irfan.
“Ir…” panggil Tengku Iqbal kemudian.
Tengku Irfan menghalakan mata ke wajah Tengku Iqbal.
“Ir nak ikut papa tak?” tanya Tengku Iqbal.
“Ke mana?” soal Tengku Irfan pula.
Tengku Iqbal tidak menjawab. Hanya senyuman yang menghiasi bibirnya itu.


“ARGHHH!!!” jerit Irdina, lantang.
“Wei mak cik. Kau ingat kau seorang saja ke yang ada kat sini. Hormat sikit privacy orang lain,” tegur Melisa bernada serius.
“Teruja! Tahu tak?” balas Irdina lalu tersengih.
Melisa sekadar menggeleng. Wajah Irdina diperhati dalam diam.
“Petang esok kau pergi mana-mana tak?”
“Kenapa?”
“Kau temankan aku boleh tak?”
“Ke mana?”
“Jumpa mak aku.”
“Mak kau?” ulang Melisa sedikit terkejut.
“Syhhh.. kau janganlah cakap kuat sangat. Nanti along dengar,” tegur Irdina, keras.
“Dina, kau kan tahu….”
“Aku tahu. Along tak benarkan aku jumpa dengan dia. Tapi, seburuk-buruk dia Mel, dia tetap mak aku,” jelas Irdina, perlahan.
Melisa tidak membalas. Wajah Irdina ditatap kasih. Riak sedih terlukis di wajah itu.
“Memang dia pernah buat salah pada aku dan along. Tapi, dia tetap mak kami berdua,” suara Irdina berserta keluhan berat.
“Aku faham, Dina. Kau tersepit di antara mak dan abang. Apa orang kata, diluah mati mak, ditelan mati bapak.”
“Aku harap suatu hari nanti, along dapat terima mak aku dalam erti kata yang sebenar,” kata Irdina penuh harapan. Diluruskan mata ke hadapan. Memandang laut yang terbentang luas.
“Mudah-mudahan. Aku pun doakan yang sama juga.”
Irdina hanya tersenyum. Semoga doanya dimakbulkan Allah. Doa agar Irshad dapat menerima Datin Iznaini sebagai ibu mereka.
“Perhatian… perhatian…”
Suara seseorang mematikan perbualan Irdina dan Melisa. Masing-masing menoleh ke belakang untuk melihat. Buntang mata mereka berdua melihat Irshad yang sedang memegang microphone. Apa yang Irshad ingin lakukan ketika ini?
“Sebelum saya meneruskan nyanyian, saya nak ucapkan tahniah pada adik saya, Irdina Asyikin Binti Izham kerana dinaikkan pangkat sebagai pembantu pengurus. Dah lama adik saya kerja di syarikat tu dan akhirnya dia berjaya dinaikkan pangkat,” cerita Irshad, bersungguh.
Irdina yang mendengar sudah pun menepuk dahi. Rasa malu turut menumpang di hati. Berpasang-pasang mata sedang tertumpu ke arahnya.
Tergelak Melisa mendengarnya.
“Lagu ni saya tujukan khas buat Irdina,” sambung Irshad lagi.
Sengihan diberikan kepada Irdina tatkala adiknya itu menunjuk sebiji penumbuk ke arahnya. Pasti Irdina tidak suka dengan tindakannya itu. Dalam erti kata yang lain, malu.
“Cayalah, along!” sorak Melisa, girang.
“Melisa!” tegur Irdina, keras.
Melisa tersengih. Wajah kelat Irdina ditatap.
“Senyumlah… senyumlah… ah ha, cek mek molek,” dendang Irshad berserta gaya gelek ala-ala Dato’ M. Daud Kilau.
Mereka yang berada di situ bersorak gembira. Geli hati melihat reaksi Irshad yang sedang menari dan bergelek.
“Along sempoi!” jerit Melisa.
“Mak cik!” tegur Irdina sambil menyiku Melisa.
Melisa tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru. Rasa bersyukur kerana mengenali kedua-dua beradik itu. Dia dan Irdina bekerja di sebuah syarikat di Shah Alam. Jawatan yang dipegang adalah kerani. Tetapi, Irdina sudah pun dinaikan pangkat sebagai penolong pengurus. Dia tumpang gembira atas kenaikan itu.
“Terima kasih!” ucap Irshad sehabis sahaja menyanyi.
Orang ramai yang berada di pantai itu bersorak dan bertepuk tangan. Sebagai tanda penghargaan buat Irshad yang sudi menyanyi buat mereka yang berada di situ.
“Along ni bikin malu sajalah,” tegur Irdina setibanya Irshad di hadapan.
“Relax la. Along tumpang gembira atas pencapaian Dina,” jelas Irshad lalu tersenyum.
“Betul kata along,” sokong Melisa lalu tersengih.
Irdina tersenyum kelat. Tajam matanya ke wajah Melisa. Kawan baiknya itu boleh diibaratkan sebagai lalang. Sekejap ke kanan. Sekejap ke kiri tatkala ditiup angin kencang.
“Along ke tandas sekejap,” ujar Irshad lalu beredar dari situ.
“Amboi… sedapnya mulut kau menyokong abang aku,” tegur Irdina, menekan.
“Ala… aku puji dia la. Kau tetap dalam ingatan aku,” jelas Melisa, jujur.
Irdina tidak membalas. Melisa, rakan yang dikenali sewaktu dia mula-mula bekerja di Suria Holdings. Jawatan yang dipegang hanya sebagai kerani.
Irshad melangkah menuju ke tandas. Meliar matanya melihat orang ramai yang memenuhi kawasan pantai. Mungkin disebabkan cuti umum, maka orang seramai itu.
Seorang lelaki tua bersama dengan seorang pemuda menarik minatnya untuk melihat. Malah, di sisi mereka seorang lelaki sasa berkaca mata hitam sedang berpeluk tubuh di situ.
“Siap bodyguard bagai. Mesti orang kaya.” Irshad sekadar menduga.
Kakinya masih lagi melangkah menuju ke tandas. Entah kenapa hatinya tertanya-tanya akan gerangan kedua-dua lelaki itu. Seperti ada yang menarik kepada mereka berdua.
“Orang kaya, biasalah. Mana-mana pergi, mesti jadi tarikan orang untuk melihat,” sambung Irshad lagi.
Tanpa berfikir lagi, dia segera masuk ke dalam tandas. Ada baiknya dia melepaskan hajat daripada memikirkan tentang orang lain. Tidak sesekali dia mencampuri urusan orang lain melainkan urusan itu melibatkan Irdina. Hanya Irdina kepentingan selama ini.

Terima kasih sudi baca. Jumpa lagi!

7 ulasan:

  1. Permulaan yang menarik. Sila sambung lagi ya..
    Tak sabar nak tahu kisah Irfan, Irsyad, Dina, Melisa
    dan lain2 lagi...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya-Allah, akan disambung. Terima kasih sudi baca KHB. :)

      Padam
  2. baru berkesempatan membaca....menarik...

    BalasPadam
  3. comel blog sis suka tengok dan baca

    BalasPadam
  4. boleh baca blog sya www.nurfaezahyunji.blogspot.my

    BalasPadam