Jumaat, 27 Januari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 7


BAB 7

Liyana menongkat dagunya sendiri. Sudah beberapa kali keluhan terlepas dari bibirnya. Masalah yang dihadapi, semakin lama semakin rumit. Dia tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Kepalanya bagaikan nak meletup memikirkannya. Terasa serabut di kepala dan sesak nafas sehinggakan susah untuknya bernafas secara normal. Huh! Keluhan ringin dilepaskan untuk kesekian kalinya.
Liyana bangun dari duduknya. Dengan langkah yang longlai, dia menuju ke pantry untuk membuat secawan milo panas. Dia menarik laci, dan mencari milo 3 in 1 di dalamnya. Cawan dicapai dan air panas dituangkan ke dalam cawan tersebut. Milo 3 in 1 diletakkan ke dalam dan dikacau. Setelah selesai, dia melabuhkan duduknya di atas kerusi yang tersedia di pantry itu.
“Lia apa khabar? Kenapa lama tak jenguk ibu dan ayah?” tanya Datin Suraya sebaik sahaja melihat kelibat Liyana di hospital. Dipeluk erat anak bongsunya itu. Melepaskan kerinduan yang bertamu selama tiga bulan ini.
Liyana tersenyum pahit. Pada mulanya dia tidak berniat untuk melawat ayahnya di hospital. Disebabkan rasa tanggungjawabnya sebagai seorang anak, nak tak nak, digagahkan juga dirinya ke hospital. Mujurlah dia meminjam kereta Fazura, jika tidak, mustahil dia akan tiba di KL pada malam itu juga.
“Lia sihat ibu. Lia sibuk sikit sebab itu Lia tak datang jenguk ibu dan ayah.” Liyana memberi alasan. Tetapi hakikat sebenarnya, bukanlah sebegitu. Maafkan Lia kerana berbohong, desis hatinya.
“Sibuk melepak, merayau sana sini, mana nak ada masanya menjenguk kita,” sindir Dato’ Zulkifli membuatkan Liyana dan Datin Suraya terkejut.
Liyana menoleh. Dato’ Zulkifli sedang memandang tajam ke arahnya. Tanpa menghiraukan pandangan Dato’ Zulkifli, pantas Liyana menghulur tangan untuk bersalam. Namun seperti biasa, Dato’ Zulkifli tetap akan menepis dan menolak. Liyana menahan dalam hati. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa hiba dan sedih perasaannya kala itu.
“Hisy abang ni. Ada ke cakap macam tu. Budak tu penat pun tak hilang lagi, awak dah membebel,” marah Datin Suraya. Tidak suka terus-terusan Dato’ Zulkifli memarahi anak bongsunya itu.
“Tak mengapalah ibu. Lia datang pun sebab nak lawat ayah. Kalau ayah dah sihat, Lia minta diri dulu,” sampuk Liyana tidak mahu ibu dan ayahnya bertekak kerananya.
“Elok sangatlah tu. Lebih lama kamu di sini, naik darah aku dibuatnya,” kata Dato’ Zulkifli membuatkan Liyana terpana seketika.
Kenapa ayah? Kenapa ayah buat Lia macam ni? Apa salah Lia pada ayah sehinggakan ayah membenci Lia sebegitu rupa? Rintih hatinya.
“Lia minta diri dulu ibu. Sampaikan salam Lia pada abang dan Kak Laila,” ujar Liyana dan bersalaman dengan Datin Suraya. Seminit kemudian, kelibatnya hilang dari pandangan mata ayah dan ibunya. Membawa hati yang semakin parah.
“Lia!! Kat sini rupanya kau,” sergah Maziah menghalau lamanun Liyana pada peristiwa seminggu yang lepas.
“Kush semangat kau ni Maz, terkejut beruk aku dibuatnya. Beruk pun tak terkejut macam aku tau,” gerutu Liyana sambil mengurut-urut dadanya yang berombak kencang.
“Habis tu, dah aku panggil kau berkali-kali tak juga sahut-sahut, aku sergahlah!” bela Maziah dan melabuhkan duduk berhadapan Liyana. Cawan berisi milo milik Liyana dicapai lalu diteguknya perlahan.
“Air aku tu…” tegah Liyana.
“Alah, kau buatlah lain. Sedap pulak aku tengok air kau ni,” balas Maziah dan meneruskan hirupannya.
Liyana menggelengkan kepala. Selama hampir dua bulan dia bekerja di Samudera Holding, selain Fazura, Maziah merupakan rakan sepejabat yang paling sporting. Suka mengusik dan diusik. Cakap ikut sedap mulut dan lepas. Namun Maziah tidak pernah ambil hati dengan usikan dan gurauan itu. Bagi Maziah dengan bergurau, kita dapat melepaskan stress yang membelenggu diri kita dan dengan ketawa, segala kesedihan dan masalah yang dihadapi oleh kita akan terbang dan tenggelam dalam ketawa kita itu.
Benar apa yang dikatakan oleh Maziah, begitu juga dengan dirinya, turut berpendirian sama dengan Maziah. Hidup perlu ada warna warni. Jika tidak, kelamlah hidup kita. Dan Liyana mengambil pendekatan dengan menggembirakan diri sendiri demi menutup segala kedukaan dan kelukaan di hati. Ya, senyum. Dengan senyuman, segala masalah dapat dihapuskan dari kotak fikiran. Dengan ketawa, dia lupa dengan perasaan menangis. Dia lupa bagaimana hendak menangis. Dia lupa erti sebenar menangis itu.
“Oiii makcik, mengelamun pulak dianya,” sambil menepuk dahi Liyana.
“Apa ni Maz. Sakitlah!!” rengek Liyana manja sambil mengusap-usap dahinya yang terasa sakit.
“Dah tu, panggil tak berjawab, aku cepuklah sikit,” balas Maznah.
Liyana mencebik. Matanya tertancap ke muka Maznah yang sedang menjamah biskut kering. Sejak bila biskut itu ada di hadapannya, dia sendiri tidak pasti.
“Ya ALLAH, lupa aku nak bagitau kau Lia,” sambil menepuk dahi. “Tan Sri Khalil nak jumpa kau kat biliknya. Setengah jam yang lepas dia dah pesan kat aku. Mampus aku!!” sambung Maznah bernada cemas. Matanya mengerling ke jam di tangan seketika.
“Ha…. Tan Sri nak jumpa aku?” soal Liyana kalut.
Alamak!! Bala apa lagi ni. Buat apa dia nak jumpa dengan aku. Sah! Ni mesti anak kesayangan dia mengadu kat papa dia pasal aku pijak kaki dia seminggu yang lepas. Hisy… macam budak-budaklah. Tak matang langsung, rungut Liyana di dalam hati.


Liyana mengatur langkah menuju ke tingkat atas. Dia melemparkan sebuah senyuman buat Fazura sebaik sahaja melalui meja gadis itu. Entah mengapa hatinya berdebar-debar malah jantungnya berdegup dengan laju mengalahkan F1 gayanya. Itu belum lagi masuk, kalau dah masuk, haru biru gamaknya. Perlukah aku berterus-terang dengan Tan Sri Khalil? Kalau aku tak bagitaunya, pasti Amirul akan terus-terusan marah dan ugut aku. Tapi, kalau tiba-tiba Tan Sri kena heart attack, tak ke naya aku dibuatnya. Hisy!! Simpang malaikat empat puluh empat. Liyana bersoal jawab di dalam hati.
Tanpa disedari, dia sudah pun berada di dalam bilik Tan Sri Khalil selepas mendapat arahan masuk. Dilihatnya seorang wanita berusia dalam lingkungan lima puluhan sedang duduk santai di sofa. Dia melemparkan senyuman kepada wanita tersebut. Kemudian, dia mengalihkan pandangan ke arah Tan Sri Khalil dan akhirnya jatuh ke wajah Amirul. Huh! Benci betul aku tengok muka dia tu. Mengalahkan singa kat dalam zoo rupanya. Handsome lagi beruk dari muka dia tu. Eh, beruk tu handsome ke? Apalah kau Lia, itu pun kau tak boleh nak bezakan.
“Lia, kenalkan isteri saya, Puan Sri Marissa,” mulai Tan Sri Khalil.
“Assalamualaikum Puan Sri,” ucap Liyana dan bersalaman dengan Puan Sri Marissa. Dirasakan ada usapan lembut di kepalanya. Ini yang buat aku nak menangis ni, desis hatinya. Kejap, kejap… macam pernah dengar aje nama ni. Tapi, di mana ya?
“Waalaikumussalam, Lia apa khabar?” balas Puan Sri Marissa.
“Sihat alhamdulillah. Puan Sri?” tanya Liyana pula berserta senyuman.
Auntie sihat alhamdulillah. Auntie nak ucapkan terima kasih pada Lia kerana selamatkan Uncle dari dilanggar kereta dulu. Tak terbalas budi Lia tu selama-lamanya,” jelas Puan Sri Marissa.
“Eh… tak perlulah nak balas-balasnya. Lia ikhlas, lagipun kebetulan Lia lalu masa tu. Kalau orang lain tentu akan buat perkara yang sama juga,” bidas Liyana lembut.
Liyana mengerling ke arah Amirul yang masih membatu seperti patung cendana lagaknya. Kelihatan Amirul sedang mencebik ke arahnya. Tu nak kutuk akulah tu. Macamlah cantik sangat mulut tu. Macam mulut itik, adalah. Aku potong buat sup mulut, baru tahu, kutuk Liyana.
Suasana hening seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Liyana kurang selesa dengan keadaan itu. Tambah-tambah apabila berhadapan dengan Amirul. Makin meluat dia melihat muka tak cukup acuan di hadapannya itu.
“Tan Sri…”
“Liyana…”
Serentak Liyana dan Tan Sri Khalil bersuara. Kedengaran suara ketawa dari arah Puan Sri Marissa. Amirul pula dari tadi asyik mencebik ke arahnya.
“Awak nak cakap apa Liyana?”
“Tan Sri cakaplah dulu,” ujar Liyana.
“Ladies first!!”
Liyana menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bagaimana untuk memulakan bicara? Dia perlu menyelesaikan masalah yang di timbulkannya sebelum ini. Ugutan dari Amirul, masih terngiang-ngiang di gegendang telinga.
“Erk…. sebelum tu Lia nak tanya, Tan Sri ada masalah lemah jantung tak?” soal Liyana teragak-agak. Kang dibuatnya jantung dia berhenti gara-gara apa yang aku nak ceritakan ni, tak ke jadi kes pulak. Tak pasal-pasal aku dituduh penyebab kematian. Huh! Tak nak aku masuk penjara. Aku belum kahwin lagi, muda lagi nak digelar banduan. Kush semangat, minta dielakkan. Liyana mengucap di dalam hati.
“Apa pulak kena-mengena dengan masalah lemah jantung ni?” tanya Tan Sri Khalil dan ketawa. Puan Sri Marissa disisi turut sama ketawa. Amirul? Lantak dialah!
“Manalah tau kan Tan Sri ada lemah jantung. Tak pasal-pasal Lia jadi warga Penjara Tapah pulak.” Selamba Liyana menuturkannya.
Pecah ketawa Tan Sri Khalil dan Puan Sri Marissa. Amirul yang dari tadi menahan ketawa, turut memecahkan ketawanya. Tak malu. Orang tak suruh ketawa, dia sibuk nak ketawa. Macam Hantu Kak Limah dah aku tengoknya, rungut Liyana.
“Awak ni Liyana, kelakar juga orangnya ya. So, apa perkara yang awak nak bagitaukan pada saya ni? Jangan risau, jantung saya masih sihat lagi,” ujar Tan Sri Khalil berserta sisa ketawanya.
“Lia nak bagitau Tan Sri perkara yang sebenarnya. Antara Lia dengan Encik Amirul, tak ada apa-apa hubungan istimewa. Lia cuma berlakon saja depan Tan Sri hari tu. Jujur Lia katakan yang Lia tak pernah cintakan Encik Amirul, apatah lagi mempunyai hubungan cinta dengannya,” jujur Liyana menjelaskannya. Berharap semuanya akan baik sediakala seperti yang diminta oleh Amirul.
“Ha.. mana satu yang betul ni Rul? Hari tu Rul kata dah lama kenal dengan Lia. Dah dua tahun bercinta. Sekarang ni Lia kata lain pulak. Jangan-jangan kamu berdua ni sengaja nak main-mainkan mama dengan papa tak?” tegas Puan Sri Marissa bertanya. Dia memandang Amirul dan Liyana silih berganti.
“Betullah mama. Rul tak tipu. Memang kami dah lama kenal dan ada hubungan cinta. Liyana marahkan Rul, sebab itu dia cakap merapu macam tu,” suara Amirul yang sedari tadi membisu. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menghampiri Liyana. Dipautnya bahu gadis itu dan tersenyum nakal.
“Kalau kau pandai berlakon, aku lagi pandai,” bisik Amirul perlahan di telinga Liyana.
Gullppp!!
Terasa kelat air liur yang ditelan Liyana. Matanya jatuh ke pautan Amirul. Terasa ingin menolak Amirul biar jatuh terjelepuk mencium lantai. Tetapi, mengenangkan Tan Sri Khalil dan Puan Sri Marissa berada di hadapan, niat itu dibatalkan sahaja.
“Habis tu Rul, rancangan untuk meminang Liyana, jadi ke tak?” tanya Tan Sri Khalil inginkan kepastian. Ada riak teruja di wajahnya. Tidak sabar untuk bermenantukan Liyana.
“Jadi papa!” balas Amirul berserta senyuman kemenangan.
Tu dia. Jawapan yang lagi bernas mengalahkan padi bernas yang dijual di pasaraya. Dia nak meminang aku? Biar betul. Tidak… tidak sama sekali. Aku takkan biarkan perkara ini berlaku. Apakah aku sedang bermimpi? Ya, aku harap semua ini cuma mimpi. Lantas dicubit pipinya sendiri untuk memastikan samada dia bermimpi ataupun tidak. Dan akhirnya dia terkaku di situ sebaik sahaja dia merasakan kesakitan akibat cubitannya itu. Ya ALLAH, aku berserah semuanya pada-MU.


“Gila ke apa Encik Amirul ni. Bukan ke Encik Amirul yang suruh saya terangkan perkara sebenarnya pada Tan Sri. Jadi kenapa Encik Amirul menyimpangkannya semula,” marah Liyana tidak tertahan. Panas di hati tidak mungkin dapat disejukkan dengan hanya meminum beribu ais batu.
Terkedu dia mendengar perancangan yang telah dibuat oleh keluarga Tan Sri Khalil. Difikirkan dengan menjelaskan duduk perkara yang sebenar, Tan Sri Khalil akan menarik balik niat untuk meminangnya, ternyata fikirannya meleset. Semua itu gara-gara lakonan hebat Amirul di depan keluarganya tadi. Sudahlah masalah lama belum lagi selesai, kini timbul pula masalah baru. Apa aku nak buat ni? rintihnya hiba.
“Kau yang mulakan dulu, jadi aku akhirkannya pula,” selamba Amirul menjawabnya tanpa rasa bersalah sedikit pun pada Liyana.
Ya, pada mulanya dia tidak menginginkan perkahwinan ini. Tetapi, setelah ditolak dan ditambah, dibahagi dan didarab, akhirnya dia bersetuju dengan perancangan Tan Sri Khalil. Cabaran yang diberikan oleh Shasha juga menjadi sebab dan penyebab dia bersetuju dengan rancangan itu. Disamping itu, sikap Liyana terhadapnya selama ini, membuatkan ego lelakinya terasa tercabar. Dia ingin mengenakan Liyana secukup-cukupnya. Sekiranya Liyana bermain dengan api, dia juga turut akan bermain dengan api. Biar sama-sama terbakar dan puas hati.
“Kan saya dah jelaskan semuanya tadi,” lirih Liyana menuturkannya.
Sebak mengharung dirinya kini. Bagaimana untuk menceritakan kisah ini kepada keluarganya? Terimakah mereka nanti terutamanya Dato’ Zulkifli?
“Memang pada mulanya aku nak kau jelaskan perkara sebenarnya pada papa aku. Tetapi, selepas apa yang kau dah buat pada aku seminggu yang lepas, tak semudah itu untuk aku lepaskan kau. Aku nak tengok sejauh mana hebat lakonan kau tu Liyana,” kata Amirul dan berbisa di pendengaran Liyana.
Liyana terjelepuk di lantai. Tidak ada setitis pun air mata yang mengalir membasahi pipinya. Sudah keringkah air matanya itu? Ataupun sudah tidak ada perasaan menangiskah dalam hatinya itu? Apa yang harus dilakukannya waktu ini? Berserah pada ALLAH semuanya. Menerima semuanya dengan hati yang terbuka dan ikhlas tanpa memikirkan perasaan sendiri.
“Dah… tak payahlah kau nak sesali dengan apa yang terjadi. Kau bersiap sedia sajalah selepas ini. Aku akan seksa hidup kau sehingga bengkak hati kau untuk berlakon lagi sepertimana bengkaknya kaki aku yang kau buat seminggu yang lalu,” sindir Amirul berserta ketawa mengejek.
Seminit kemudian dia menghilangkan diri dari pandangan mata Liyana. Masih kedengaran gelak tawanya di telinga Liyana. Sungguh menjengkelkan bagi Liyana.
Liyana melabuhkan duduk di bangku yang tersedia di situ. Hatinya walang dengan apa yang berlaku. Kenapa dia dihukum sehebat ini? Kenapa dia perlu menghadapi semua ini? Bagaimana untuk berhadapan dengan ayah dan ibunya? Perlukah dia membelakangkan orang tuanya? Dia tidak mahu orang lain mengetahui akan salasilahnya. Dia belum bersedia untuk menceritakan semua itu. Dia belum membuktikan dirinya kepada Dato’ Zulkifli yang dia boleh hidup berdikari dan berdiri di atas kakinya sendiri. Dia belum mencapai impiannya untuk menjadi seorang Pereka Fesyen. Ya, cita-citanya selama ini dan jika diberi peluang, dia ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara dalam bidang Rekaan Fesyen. Arrghhhh!! Apa yang harus aku lakukan, jerit hatinya.
Lia, jangan mudah mengalah. Jika dia bermain dengan api, kau juga perlu bermain dengan api. Kau buktikan padanya yang kau bukanlah selemah yang difikirkan olehnya, kata hatinya berbisik.
Bagaimana kalau dia lebih licik dari kau Lia? Dia sendiri mengaku yang dia punya agenda sendiri menerima cadangan papanya, akalnya pula bersuara.
Ya memang, dia licik. Manalah tahukan selicik-licik dia, akhirnya tersunggur di hadapan kau Lia. Apa kau dah lupa, janji yang nak kau kotakan sebelum ini. Kau nak buat dia tergoda dengan kau. Kau nak buat dia termakan dengan kata-katanya sendiri. Ha, masa inilah kau kena gunakan kepakaran kau tu Lia, hati jahatnya berbicara lagi.
Liyana mengangkat muka yang sedari tadi menekur ke rumput. Senyuman nakal terbias di wajah. Kata-kata nakal telah memberikan dia idea dan perancangan untuk mengenakan Amirul. Dia masih ingat dengan janjinya untuk membuat Amirul termakan dengan kata-katanya dulu. Dia perlu buktikan yang dia bukanlah seperti Betty Suarez yang dipadankan oleh Amirul itu. Ya, dia akan buktikan semua itu. Dan pada hari itu, dia berharap dia akan merasa puas berserta senyuman kemenangan.


“Hai… dari tadi akak tengok muka macam mati laki aje ni kenapa?” tegur Marina dan melabuhkan duduk di hadapan Liyana.
Liyana melepaskan keluhan berat. Keluhan yang tiada penghujungnya. Otaknya sarat dengan masalah. Masalah yang tidak mungkin akan diselesaikan dalam masa terdekat ini.
“Kalau mati laki, tak adanya saya monyok macam ni Kak Ina,” jawab Liyana lemah.
“Habis tu, macam mana pulak?”
“Dah nak mati… matilah. Buat apa saya nak monyok, saya carilah yang lain,” balas Liyana dan tergelak. Sengaja mengusik kakak kesayangannya itu.
“Hisy budak ni. Kalau sehari tak mengusik akak, tak sah gamaknya ya,” rajuk Marina sambil mencubit lengan Liyana.
“Aduh!! Kak Ina ni macam ketamlah. Hilang RM1000 tau,”
“Apa pulak kena-mengena dengan RM1000?” tanya Marina lurus.
Alamak kakakku seorang ni. Lurus bendul betullah! Kutuk Liyana di dalam hati.
“Duit hantaran Lialah Kak Ina,” jawab Liyana dan tersengih.
“Kena lagi aku ni!” getus Marina dan menepuk dahinya sendiri.
Liyana tertawa melihat gelagat Marina. Semenjak bekerja di Butik Idaman, pelbagai perkara yang dipelajari oleh Liyana. Perkara yang paling digemarinya iaitu menjahit, kini sudah menjadi hobinya pula. Sekali sekala dia akan menjahit baju jika diberi kebenaran oleh Marina. Sekali sekala juga dia akan menjahit manik. Sekali-sekala dia akan mereka beberapa pakaian dan ditunjukkan kepada Marina.
Jika diberi peluang, ingin sahaja dia menjahit kesemua rekaan pakaiannya itu. Namun memandangkan masa tidak mengizinkan, niatnya itu dibiarkan sahaja. Mungkin suatu hari nanti dia akan mereka pakaian dari hasil rekaannya itu.Terasa seronok melakukan kerja itu walaupun ianya memerlukan sepenuh perhatian dan tumpuan terhadapnya. Janji puas!!
“Assalamualaikum…” sapa seseorang dari luar menghentikan perbualan mereka berdua.
“Waalaikumussalam,” jawab Marina dan Liyana serentak. “Lia pergi tengok siapa yang datang tu,” arah Marina.
Liyana mengangguk. Lantas dia mengatur langkah ke hadapan untuk melihat gerangan yang memberi salam. Terjegil matanya melihat kelibat yang sedang berdiri di hadapannya itu. Puan Sri Marissa!! Detik hatinya. Alamak! Macam mana nak buat ni? Aku tak naklah dia tahu yang aku kerja kat sini. Apa pulak kata dia nanti? Lagipun Kak Ina tak tahu aku kerja kat Samudera Holding. Monolog Liyana. Dia menyorokkan muka dari pandangan Puan Sri Marissa. Mujurlah Puan Sri Marissa membelakanginya, jika tidak, pecah rahsianya selama ini.
Tatkala Puan Sri Marrisa menoleh ke belakang, dengan pantas dia menyorokkan muka di sebalik baju-baju yang bergantungan di situ. Dia melangkah ke belakang setapak demi setapak. Penuh berhati-hati dia melakukannya. Lagak seperti James Bond gayanya. Melindungi diri sendiri daripada penjahat. Liyana tersengih seketika memikirkannya.
“Lia!!” jerit kecil Marina tatkala terlanggar Liyana.
Dengan pantas Liyana menoleh. Sengihan dihadiahkan buat Marina.
“Kenapa ni? Kenapa tak layan pelanggan tu? Dah macam tikus mondok pulak akak tengoknya,” tegur Marina berserta kerutan di dahi. Apasal dengan budak ni?
“Err… Kak Ina, Lia ada barang nak ambil kat dalam. Kak Ina ajelah yang layan pelanggan tu. Lagipun Lia tak kenallah!” dalih Liyana dan masih tersengih. Tanpa menunggu balasan dari Marina, dia segera berlalu pergi dari situ. Lebih lama dia di situ, macam-macam pula yang akan dipersoalkan oleh Marina nanti.
“Macam-macamlah budak ni!” getus Marina dan tergeleng kecil. Seminit kemudian, dia menapak ke  hadapan untuk melayan pelanggan tersebut.
“Eh… Puan Sri. Maaf terlambat sikit,” ujar Marina sebaik sahaja menyedari gerangan pelanggannya itu.
“Tak apa Ina. Saya datang ni pun nak tengok-tengok aje. Manalah taukan ada stok baru sampai,” balas Puan Sri Marissa dan mengusir rasa bersalah Marina.
“Ada Puan Sri, nanti kejap saya ambilkan di belakang,” kata Marina dan mengatur langkah menuju ke belakang.
“Tak perlulah Ina. Kemudian-kemudianlah saya tengoknya,” tegah Puan Sri Marissa. Langkah Marina mati di situ juga. “Saya berkenan dengan jahitan manik ni. Cantik dan kemas. Siapa yang jahitnya?” puji Puan Sri Marissa sambil membelek-belek jahitan manik pada sehelai baju.
“Oh yang tu. Memang cantik dan kemas Puan Sri,” puji Marina pula. “Staf baru saya yang jahitnya Puan Sri,” ujarnya pula.
“Staf baru? Awak dah ada staf baru ke Ina?” ulang Puan Sri Marissa berserta kerutan di dahi. Setahunya staf Marina sudah lama berhenti kerana menyambung pengajian di universiti.
“A’ah Puan Sri. Dia buat part time kat sini saja. Jadilah daripada tak dapat orang langsung. Zaman sekarang mana ada orang yang nak bekerja di kedai-kedai atau butik,” komen Marina sambil mencapai sehelai baju buat Puan Sri Marissa.
“Yalah, betullah tu. Habis tu dia ada kerja tetap ke?”
“Katanya ada. Tapi tak tahu pulak saya kerja apa. Budaknya pun baik, hormat orang tua dan cantik. Kalau Puan Sri jumpa, gerenti amik jadi menantu punyalah,” cerita Marina lagi sedikit teruja. Dia membayangkan kalau Liyana bergandingan dengan anak Puan Sri Marissa, Amirul. Cukup sepadan dan secocok. Memikirkan itu membuatkan dia tersenyum sendiri.
Hisy Kak Ina ni, puji aku lebih-lebih ni kenapa? Kalaulah Kak Ina tahu yang memang aku akan jadi menantunya, mesti terkejut beruklah Kak Ina tu. Entah-entah beruk pun tak terkejut macam dia, kata hati Liyana dan ketawa kecil. Dia mengintai-intai sambil mendengar perbualan di antara Marina dan Puan Sri Marissa.
“Ye ke Ina. Erm… kalau ikutkan bolehlah juga kenal-kenal. Tapi, Amirul tu dah ada pilihan sendiri. Pilihan Tan Sri juga. Tunggu masa aje nak langsungnya,” beritahu Puan Sri Marissa sambil mencapai baju yang dihulurkan oleh Marina sebentar tadi.
“Dengan girlfriend yang selalu dia bawa tu ke Puan Sri?” tanya Marina ingin tahu. Teringat gadis yang pernah dibawa oleh Amirul suatu masa dahulu.
“Girlfriend?” ulang Puan Sri Marissa berserta kerutan.
Amirul ada girlfriend? Ah! Mungkin Liyana la kot yang dimaksudkan Marina ni, putus Puan Sri Marissa di dalam hati.
“Yalah tu kot. Eh Ina, saya amik yang ni ajelah. Kenan betul saya dengan jahitan manik ni. Nanti kenalkan saya dengan tukang jahitnya ya,” putus Puan Sri Marissa setelah lama membelek dan mencari. Lalu dihulurkan baju tersebut kepada Marina.
“Insya-ALLAH, nanti saya kenalkan Puan Sri dengan Lia,” balas Marina sambil membaluti baju tersebut dengan plastik yang telah dikhaskan.
“Lia?” ulang Puan Sri Marissa seakan berbisik. Liyana ke? Mungkin orang lain kot. Bukannya Lia sorang aje yang pakai nama tu. Berjuta-juta orang punya nama yang sama. Puan Sri Marissa membuat kesimpulannya sendiri.
Liyana berdehem sebaik sahaja Puan Sri Marissa keluar dari butik tersebut. Dia menyambung semula kerjanya yang tertangguh sedari tadi. Nasib baik dia tidak bertemu dengan Puan Sri Marissa, jika tidak, menjadi masalah yang lain pulak.
“Ha… yang tersengih-sengih kat situ tu kenapa?” tegur Marina berbaur tegas.
“La.. nak sengih pun tak boleh ke? Kang buat muka tikus mondok baru tau,” bidas Liyana bernada usikan.
“Tau ke rupa tikus mondok tu macam mana?”
“Apa pulak tak tahunya. Jerry tukan tikus. Macam-macam rupa dia buat tau,”
Jerry? Jerry mana pulak ni? Pakwe kamu ke Lia?” tanya Marina dengan lurus bendulnya.
“Ya ALLAH Kak Ina ni,” sambil menepuk dahinya sendiri. “Kak Ina ni tengok televisyen ke tak? Jerry tukan tikus dalam kartun Tom & Jerry. Tulah, orang suruh tengok televisyen, Kak Ina dengar radio, manalah nak samanya. Tengok dengan dengar, kan beza tu,” bebel Liyana panjang lebar. Seminit kemudian, dia ketawa terbahak dengan kata-katanya itu.
“Kamu nikan Lia. Geram betul dibuatnyalah!!” gerutu Marina geram. Panas mukanya menahan geram. Liyana suka mempermain-mainkan serta mengusiknya. Namun dia tidak pernah mengambil hati dengan semua gurauan Liyana. Jika tiada Liyana, terasa sunyi dirinya itu.
“Kak Ina…” panggil Liyana setelah keadaan kembali reda.
“Ada apa?” tanya Marina. Dia mencapai baju lalu menggosoknya.
Liyana sekadar memerhati.
“Anak Puan Sri Marissa tu dah ada girlfriendkan?” tanya Liyana ingin tahu.
“A’ah. Kan akak ada bagitau Liyana hari tu. Amirul pernah bawanya sekali dua kat butik ni,” cerita Marina bernada serius.
Liyana mengangguk. Terasa hatinya terusik mendengar penjelasan Marina. Mengapa? Dia sendiri tidak tahu. Benarlah firasatnya sebentar tadi. Amirul punya kekasih pilihan hati. Tetapi, kenapa Amirul ingin berkahwin dengannya? Adakah kerana sikapnya terhadap lelaki itu membuatkan lelaki itu rasa tercabar? Tetapi, kenapa Amirul masih mahu meneruskan rancangan Tan Sri Khalil? Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Amirul dari keluarganya. Seperti juga Amirul punya agenda tersendiri. Jika benar apa yang difikirkan itu, bagaimana cara untuk menyelesaikannya pula? Buntu, buntu Liyana memikirkannya.


“Apa keputusannya?” tanya Fazura dan melabuhkan duduk di birai katil. Liyana di hadapan di pandang mesra.
“Keputusan periksa aku ke?” tanya Liyana pula. Sengaja mengusik Fazura.
“Kau jangan nak main-mainlah Lia. Aku tanya kau elok-elok, boleh pulak kau buat lawak. Aku sekeh karang baru tau,” marah Fazura namun masih ada nada usikannya.
“Alahai, aku ingatkan kau nak tahu keputusan periksa aku. Lain kali Zura, kalau nak bertanya pada aku, kena buat ayat mengikut format SPM, so nanti aku jawabnya ikut format ‘U’. Up sikit dari kau,” usik Liyana dan tertawa. Geli hati dengan ayatnya sendiri.
“Gggrrrr!!! Lia!!” geram Fazura dan mencapai bantal peluk Liyana lalu memukul Liyana. Geram mendengar usikan Liyana itu.
“Apa ni main pukul-pukul. Aku mengadu kat Amirul baru tau,” jerit kecil Liyana dan cuba mengelak daripada dipukul oleh Fazura.
“Apa kau kata Lia?” tanya Fazura seraya memberhentikan tingkahnya.
“Apa yang aku kata?” ulang Liyana berserta kerutan di dahi.
“Kau nak mengadu dekat siapa tadi?”
“Siapa?” sambil menggaru-garu kepala.
“Kalau tak silap telinga aku nilah, nama Amirul yang kau sebut tadi,”
“Ha… Amirul. Eh, mana ada. Pandai-pandai kau aje nak buat spekulasi. Aku ni bukannya artis yang kau nak spekulasikan,” bidas Liyana keras. Cuba menutup rasa malu yang sedang menggebu dalam dirinya itu.
“Alah… aku bukan pekak lagilah. Mulut kata benci, hati kata… ‘Amirul, I love you’, ejek Fazura dan tertawa besar.
“Hey… tolong sikit. Gelilah aku dengarnya,” bentak Liyana seraya bangun. Dia melangkah jalan menuju ke ruang tamu.
Fazura mencebik. Dia membuntuti Liyana menuju ke ruang tamu. Dicapainya remote dan dihidupkan televisyen. Dan matanya tertancap di situ.
“Aku pelik la dengan Amirul. Hari tu beria-ria suruh aku jelaskan pada Tan Sri Khalil perkara yang sebenar. Aku pun jelaskanlah ke semuanya. Aku bagitau Tan Sri Khalil yang aku cuma berlakon aje selama ini,” cerita Liyana sambil duduk di sisi Fazura.
“Jadi, apa kata Tan Sri Khalil?” tanya Fazura teruja. Dia menarik badannya mengadap Liyana.
“Tan Sri tak kata apa, tapi Puan Sri Marissa,” jawab Liyana berserta keluhan.
“Ya ke Lia!!” sedikit teruja. “Hai sampai bawa jumpa Puan Sri. Kiranya seriuslah Tan Sri tu nak bermenantukan kau,” duga Fazura berserta senyuman mengusik.
Liyana melepaskan keluhan berat untuk kesekian kalinya. Dia sekadar mengangguk dan pasti Fazura mengerti akan maksud anggukannya itu.
“Eh.. seronoknya kau Lia. Dapat jadi menantu Tan Sri. Bolehlah aku tumpang sekaki ya,” sorak Fazura dan tersengih.
“Banyaklah kau punya kaki. Bukan saja kaki, dengan tangan-tangan kau pun aku tak kasi tumpang tau,” bidas Liyana dan tergelak. Sengaja mengusik Fazura.
Fazura yang mendengar, segera mencubit lengan Liyana. Geram hatinya kerana selalu dipermain-mainkan oleh Liyana. Kebiasaannya, dia yang selalu menjadi mangsa usikan Liyana. Tidak dapat dibayangkan bagaimana hidupnya tanpa Liyana selepas Liyana berkahwin nanti.
“Yang buat aku terkejut Zura…” Liyana berjeda seketika. “Amirul yang nak teruskan perkahwinan ni. Aku tak pasti samada dia jujur dan ikhlas atau ada muslihat di sebaliknya. Mana mungkin dia nak berkahwin dengan aku yang tak ada apa-apa ni,” sambung Liyana. Dia menyandarkan badan ke sofa. Sedari siang tadi, otaknya sudah dikerah untuk berfikir sebab dan kenapa Amirul ingin meneruskan rancangan itu.
“Kau sendiri macam mana? Hati kau kata apa?” tanya Fazura ingin menduga hati Liyana. Dia pasti Liyana sudah mulai jatuh cinta atau suka kepada Amirul. Dari riak wajah Liyana, sudah membuktikan segala-galanya.
“Hati aku? Manalah hati aku ni pandai cakap. Kau ni pun satulah Zura. Cuba tanya soalan tahap ‘U’. Ini tidak, soalan mengalahkan budak tiga tahun aje,” kata Liyana seraya bangun. Dia perlu menyelamatkan diri daripada Fazura. Lantas dia menuju ke bilik dan menguncikan diri di dalamnya. Kedengaran ketukan dari luar pintu. Ternyata Fazura marah dengan usikannya tadi.
“Lia, buka pintu ni. Kau ni tak habis-habis nak usik aku ya. Tak pe, esok kau pergi kerja sendiri. Jangan nak tumpang aku!!” gertak Fazura sambil tangannya mengetuk pintu bilik Liyana.
Alamak! Dibuatnya Zura betul-betul tekad, matilah aku. Takkan aku nak naik bas atau teksi kot. Hisy Zura ni, tak boleh nak bergurau sikitlah. Nak mengamuk aje kerjanya, bebel Liyana dan membuka pintu biliknya. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat kawan baiknya itu.
Sorrylah Zura. Bukan niat aku nak mengusik kau,” pujuk Liyana lembut. Matanya memandang tepat ke muka Fazura yang masam mencuka.
Fazura berpeluk tubuh. Dia hanya membatukan diri di hadapan Liyana. Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya itu. Tahu pun kau takut Lia!! Desisnya.
“Okey… okey… aku bagitau semuanya pada kau. Dah, dah… muka tu jangan nak masam mencuka pulak. Kau pernah rasa ke cuka tu masam atau tak?” pujuk Liyana lagi mengaku kalah. Mungkin dengan cara ini, bebanannya juga akan berkurangan.
Selama ini, hanya Fazura tempatnya meluahkan masalah. Walaupun Fazura sering makan hati dengan sikap dan perangainya, Fazura tetap berada di sampingnya susah mahupun senang. Jika tiada Fazura, seakan-akan hilang sayapnya yang sebelah. Fazura sumber kekuatan dan semangat buatnya. Fazura juga orang yang paling disayanginya selain daripada keluarganya.
“Lia… aku laparlah. Jom, temankan aku pergi beli makanan,” rengek Fazura mematikan lamunan pendek Liyana. Seminit kemudian, dia mengangguk. Ikutkan ajelah!


“Betul ke Rul?” tanya Harris inginkan kepastian.
“Betul apanya?” tanya Amirul semula.
“Aku dengar kau nak kahwin. Betul ke?” ulang Harris. Pandangannya jatuh ke muka Amirul.
Tersentak Amirul mendengarnya. Air yang diminumnya hampir tersedak. Dia cuba mengawal riaknya agar tidak dikesan oleh Harris.
“Siapa bagitau kau Ris?”
“Pak Long bagitau aku petang tadi. Betul ke? Dengan Shasha ke?” tanya Harris bertubi-tubi. Teruja untuk mengetahuinya.
Amirul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia memaksa dirinya untuk tersenyum. Bagaimana untuk memberitahu Harris perkara yang sebenarnya? Jika dia memberitahu perkara yang sebenarnya, apa anggapan Harris terhadapnya nanti? Apakah Harris akan menuduhnya sebagai perampas sedangkan dia sendiri tahu akan perasaan Harris terhadap Liyana? Perlukah dia berbohong? Dia memicit-micit kepalanya yang tidak sakit. Buntu memikirkannya.
“A’ah… dengan Shasha,” bohong Amirul. Jika itu dapat melegakan hati Harris, dia sanggup melakukannya. Dia tidak mahu melukakan hati Harris.
“Oh… tercapai juga impian kau nak berkahwin dengan Shasha tu. Baguslah! Aku doakan kau bahagia,” ucap Harris berserta anggukan kecil.
Amirul sekadar tersenyum. Mungkin ini cara yang terbaik buat semua.
Suasana hening seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Amirul membuang pandang melihat keadaan sekeliling gerai makanan yang menjadi persinggahan mereka berdua. Suasana hingar-bingar kerana kebanyakkan pelanggan sedang melayan EPL di televisyen.
“Lia…” panggil Harris menyentakkan Amirul. Pantas dia menoleh untuk melihat.
“Harris! Buat apa kat sini?” tanya Liyana terkejut.
“Nak buat fashion show kat sini,” jawab Harris berbaur usikan.
Liyana tertawa kecil mendengarnya. Harris sudah pandai mengusiknya. Itu yang membuatkan dia berasa selesa di sisi Harris.
“Lia buat apa kat sini?” tanya Harris memulangkan soalan yang sama. Seminit kemudian, dia menepuk dahinya sendiri. Menyedari akan pertanyaannya itu.
“Saya berlakon kat sini,” balas Liyana berserta tawanya. Geli hati melihat reaksi wajah Harris.
Memang kau pandai berlakon pun, cebik Amirul di dalam hati.
“Saya temankan Zura. Tu ha dia. Tengah bayarkan order kami tadi,” beritahu Liyana sambil mengunjukkan Harris ke arah Fazura.
Harris mengangguk. Matanya dihalakan ke arah yang ditunjukkan oleh Liyana tadi. Terlihat Fazura sedang membuat pembayaran di kaunter.
“Ha Rul. Yang kau senyap aje ni kenapa? Takkanlah kau tak kenal dengan Lia?” tegur Harris sebaik menyedari kebisuan Amirul.
Amirul tersenyum pahit. Tidak mahu menyampuk dalam perbualan mereka berdua. Namun jauh di sudut hati, dia merasakan ada perasaan lain yang sedang memberontak hebat. Apakah perasaan itu? Dia sendiri tidak pasti.
“Rul, aku nak cakap dengan Lia kejap. Kau tunggu ya,” pinta Harris seakan berbisik.
Bulat mata Amirul mendengarnya. Entah mengapa perasaannya seakan terusik dengan permintaan Harris itu. Anggukan kecil yang mampu diberikan oleh Amirul dalam masa hatinya berperang hebat.
Tanpa menunggu masa, Harris segera bangun dari duduknya. Dia menarik tangan Liyana agar mengekorinya. Tersentak Liyana dengan perlakuan Harris itu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur. Sempat dia mengerling ke arah Amirul. Terpancar ketegangan di wajah itu. Apakah maksudnya?
“Ada apa Harris?” tanya Liyana sebaik sahaja mereka berdua menjauhi Amirul. Tangannya ditarik dari genggaman Harris.
“Hujung minggu ni, Lia free tak? Ris nak ajak Lia keluar,” jawab Harris perlahan. Malu dengan pelawaannya itu.
“Err… tak tentu lagilah Ris. Nanti Lia bagitau Ris kalau Lia free,” ujar Liyana tersekat-sekat. Sukar untuk membuat keputusan.
“Tak pelah kalau dah macam tu. Nanti kalau Lia free, Lia bagitau pada Ris,” balas Harris dan tersenyum. Cuba menghilangkan rasa kecewanya itu.
Melihatkan riak kecewa di wajah Harris, membuatkan Liyana rasa bersalah. Sukar untuknya membuat keputusan. Jika dia menerimanya, apa pula kata Amirul. Hisy… yang aku fikirkan perasaan dia tu kenapa? Bukannya dia ada kena-mengena dengan aku pun, hatinya menyangkal. Dan jika dia menolaknya, Harris pasti rasa kecewa. Walaupun sekadar berkawan, hati Harris perlu dijaganya juga.
“Macam nilah Ris. Lia tak boleh berjanji dengan Ris. Tapi, Lia akan cuba luangkan masa untuk Ris,” pujuk Liyana lembut. Semoga dapat menggembirakan hati Harris.
Mendengarkan kata-kata Liyana, pantas Harris mencapai tangan Liyana dan mengelusnya lembut. Ucapan terima kasih meniti di bibirnya. Hatinya berbunga riang. Sudah terangka rancangan buat dirinya dan Liyana. Dia akan pastikan Liyana gembira pada hari itu.
“Lia… jom!!” ajak Fazura mematikan perbualan mereka berdua.
Pantas Liyana menarik tangannya dari pegangan Harris. Dia melangkah menuju ke arah kereta Fazura. Dilihatnya Fazura sudah pun menghidupkan enjin kereta. Bersedia untuk beredar dari situ. Hisy Zura ni, tak menyempat betul. Tadi dia yang beria ajak kita, sekarang dia pulak yang nak cepat, rungut Liyana sendirian.
“Lia balik dulu,” ujar Liyana dan segera masuk ke dalam perut kereta.
Seminit kemudian kereta Fazura menghilang di sebalik kepekatan malam.
“Hati-hati Fazura,” pesan Harris sambil melambai tangan ke arah Liyana dan Fazura. Terpancar riak gembira di wajahnya itu. Kemudian dia melangkah jalan menuju ke kereta. Amirul sudah pun menantinya di situ.
“Yang kau tersenyum-senyum macam orang angau ni kenapa?” tanya Amirul. Pelik melihat gelagat sepupunya itu.
“Mestilah senyum. Niat aku nak keluar dating dengan Lia tercapai juga akhirnya,” riang Harris dan masih lagi tersenyum.
Berderau Amirul mendengarnya. Harris keluar dating dengan Liyana? Betulkah apa yang didengarnya itu? Atau Harris sekadar berangan-angan sahaja. Ah! Tidak mungkin Harris akan menipunya. Baru tadi Harris memberitahu akan niatnya untuk berdating dengan Liyana. Dan Liyana bersetuju untuk keluar bersama Harris.
Hisy.. kenapa hati aku rasa sakit ni? Takkanlah aku cemburu dengan diorang kot? Aku bukannya ada perasaan apa-apa pun pada perempuan tu, soal Amirul di dalam hati. Berkerut-kerut dia memikirkannya dan dia perlu mencari jawapan pada persoalannya itu.



7 ulasan:

  1. yeahhh..!! bunga2 cemburu maii dah.. kak, sila la berbaik ati lg yer ngan kteorg.. boleh dpt n3 tiap2 hari.. hehehe..:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. amboi3, suka benor ya adikku sorg ni.. hurm, klu ada permintaan, Insya-ALLAH, akak akn tunaikannya.. ;)

      Padam
  2. besttt la citerr nii.. Eliza
    nak lagi...hehehhe
    rindu kt HM

    BalasPadam
    Balasan
    1. thank you Liza.. Insya-ALLAH, tunggu sambungannya ya.. hurm, sy pn rindu jg kat HM.. doa2kan HM cepat keluar.. pihak KN tgh edit HM.. ;)

      Padam
  3. tq writer,,haha amirul cemburu ehh...hehe,,kesian kat liyana..

    BalasPadam
    Balasan
    1. mostly welcome.. bab seterusnya akn terserlah cemburu Amirul 2... huhu.. :D

      Padam
  4. erm, dah pandai cemburu nampak amirul...hihi :)

    BalasPadam