Jumaat, 12 September 2014

Calon Suami Buat Novelis - Bab 5






ENCIK Borhan meneliti fail di hadapan. Berkerut-kerut dahinya meneliti data di dalam fail itu. Seperti ada yang tidak kena pada maklumat yang dilaporkan oleh Qaira. Usai meneliti, diletakkan fail di atas meja. Nafas dihela ringan. Matanya memandang wajah Qaira yang sedang mengelamun. Dia menggeleng melihat tingkah laku Qaira.
Bukannya dia tidak  kenal dengan Qaira. Sejak mula Qaira bekerja, dia sudah sebati dengan sikap dan perangai Qaira. Walaupun Qaira begitu, dari segi kerja, Qaira seorang yang amanah dan jujur. Bertanggungjawab pada kerja. Jarang sekali Qaira melakukan kesilapan. Gadis itu pandai membahagiakan masa di antara kerja dan menulis.
“Qaira!” tegur Encik Borhan kemudian.
Qaira tidak membalas. Otaknya sedang ligat berfikir. Entah apa yang difikirkan dia sendiri tidak tahu. Adakah permintaan Puan Noraini yang sedang difikirkannya itu? Permintaan supaya hadir ke satu majlis di rumah teman ibunya.
Kenapa Puan Noraini mengajaknya pergi ke majlis itu? Adakah Puan Noraini berniat untuk memperkenalkan dia dengan calon seterusnya? Calon yang diperkatakan oleh Puan Noraini sehari yang lepas.
“Qaira Nur Imani.” Encik Borhan memanggil dalam nada keras.
“Haaa… apa dia Encik Borhan?” soal Qaira sebaik sahaja tersedar.
“Awak ni tak habis-habis nak mengelamun. Awak ada masalah ke?”
“Tak adalah, Encik Borhan.”
“Awak dah lama jadi staf saya, Qaira. Segala riak di wajah awak tu saya dah boleh baca. Apa masalah awak?”
Qaira tersenyum kelat. Kepala menggeleng kecil.
“Pasal kerja?”
“Eh… tak. Bukan pasal kerja. Pasal peribadi.”
“Peribadi?”
Qaira sekadar mengangguk.
“Kalau awak tak keberatan, awak boleh cerita pada saya. Anggap saya ni macam ayah awak sendiri.”
“Tak apalah Encik Borhan. Saya boleh selesaikan sendiri masalah saya. Maafkan saya kalau tingkah laku saya kurang senang di hati encik.”
“Awak risau pasal jodoh?” tebak Encik Borhan.
Qaira tergamam. Bagaimana Encik Borhan dapat mengagak masalahnya ketika ini?
“Ayah Aira dah cerita kesemuanya pada uncle,” beritahu Encik Borhan.
Sudah berubah kata ganti diri. Bukannya dia tidak kenal dengan Encik Qamil, ayah Qaira. Encik Qamil merupakan rakan seuniversitinya dahulu.
“Aira tak risaukan pasal tu. Ibu tu yang lebih-lebih. Kadang-kadang naik runsing Aira dengan rancangan dan permintaan ibu,” luah Qaira. Selesa berbual sebegitu.
“Ibu Aira buat macam tu demi kebaikan Aira juga. Dia risaukan Aira.”
“Tapi…”
“Tak apalah Aira. Jika dah tertulis jodoh Aira, ada juga nanti. Banyakkan berdoa dan berusaha,” kata Encik Borhan bernada nasihat.
Qaira hanya mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Encik Borhan.
“Petang nanti ikut uncle,” ujar Encik Borhan bernada arahan.
“Ke mana?” soal Qaira berkerut dahi.
“Ada discussion dengan Haji Saiful.”
“Oh! Baiklah!”
“Aira boleh keluar. Apa-apa nanti, uncle beritahu. Tentang laporan kewangan ni, nanti uncle semak balik,” arah Encik Borhan.
Qaira tidak membalas. Dia bangun dan menapak keluar dari bilik. Nafas ringan dilepaskan. Otaknya sedang berfikir. Perkara apa yang ingin dibincang dengan Haji Saiful? Siapa Haji Saiful? Soal Qaira tiba-tiba. Adakah dia lupa siapa Haji Saiful?


“HADIF!” tegur Haji Saiful.
Hadif mematikan langkah. Dihalakan mata ke arah Haji Saiful.
“Hadif nak ke mana?” soal Haji Saiful sambil melangkah menghampiri.
“Keluar makan,” jawab Hadif acuh tak acuh.
“Petang ni kita ada meeting dengan Encik Borhan. Wahida ada beritahu pada Hadif?”
“Ada!”
“Kita nak bincang tentang projek kita di Shah Alam tu. Papa….”
“Hadif keluar dulu,” pintas Hadif laju beredar dari situ.
Haji Saiful hanya memandang. Keluhan berat dilepaskan. Hadif masih bersikap dingin dengannya. Adakah selama-lamanya Hadif akan bersikap begitu? Semuanya disebabkan keputusannya yang lepas.
Hadif melangkah keluar dari pejabat. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Orang ramai berpusu-pusu keluar menuju ke restoran.
Alone!” suara Hadif sendirian.
Dia memulakan langkah menuju ke restoran yang berdekatan. Keluhan ringan terlepas dari bibir untuk ke sekian kali.
“Hai!” tegur Qaira tiba-tiba.
Tersentak Hadif buat seketika. Malah pegangan di tangan membuatkan dia bertambah terkejut. Dia menoleh buat seketika. Wajah Qaira menyapa mata.
“Kau!” sebut Hadif kemudian.
“Syhhh!!!” suruh Qaira sambil meletak jari telunjuk di bibir.
Berkerut Hadif melihat tingkah laku Qaira. Apa yang dimaksudkan oleh gadis itu?
“Qaira!” panggil Norman sedikit meninggi.
Qaira menoleh. Peluh dingin sudah membasahi dahi.
Please! Tolong saya!” bisik Qaira penuh mengharap.
“Qaira!” Norman memanggil buat kali kedua. Lengan gadis itu ditarik.
Terhenti langkah Qaira. Dilepaskan pegangan di tangan Hadif.
“Dah lama I cari you. Kenapa you larikan diri daripada I?” soal  Norman.
“I… I….” Qaira tersekat-sekat.
“Kenapa Qaira?” Norman bertanya lagi.
Qaira serba salah. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Norman?
“Qaira!” sebut Norman lagi.
Hadif yang melihat tidak berniat untuk membantu. Dia menyambung langkah yang terhenti sebentar tadi.
“Awak!” panggil Qaira tatkala melihat pemergian Hadif.
“Qaira!” panggil  Norman buat kali yang kedua.
“Saya ada meeting! Nanti kita jumpa lagi,” jawab Qaira laju.
Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Nafasnya tercungap-cungap. Disentuh dadanya buat seketika. Cuba menahan kelajuan jantung.
“Fuh! Nasib baik dia tak ikut aku lagi. Ya Allah, kenapa la malang sangat aku ni. Asyik jumpa dengan lelaki-lelaki yang aku tolak dulu,” luah Qaira sendirian.
Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Ingatan memutarkan semula perkenalan dengan Norman. Pemuda itu merupakan anak kawan Puan Noraini dan salah seorang calon ibunya. Sejak pertemuan pertama mereka, Norman seringkali mengganggu hidupnya.
Gangguan itu terhenti selepas Norman berkahwin dengan pilihan orang tuanya. Tetapi, kenapa Norman masih menggangu hidupnya sedangkan lelaki itu sudah berumah tangga? Persoalan yang meniti di minda ketika ini.


“SEORANG nampak!” tegur Qaira seraya duduk.
Tersedak Hadif dek kerana teguran itu. Terkejut!
Sorry!” balas Qaira kesal.
Segelas air minuman dihulurkan kepada Hadif. Tingkah laku pemuda itu diperhati penuh minat. Senyuman meniti di bibir.
“Kau nak apa?” soal Hadif sehabis sahaja air minuman diteguk.
“Tak ada apa. Saja!” balas Qaira lalu bersandar ke kerusi. Dia berpeluk tubuh di situ.
Hadif memandang tajam wajah Qaira.
“Awak ni boleh tahan handsome juga.”
“Kau nak apa sebenarnya?”
“Nak bincang business dengan awak. Nak tak?”
Business apa?”
Qaira menghela nafas ringan.
“Jangan buang masa aku boleh tak?”
“Awak jadi calon suami saya boleh?”
What?!!!” Hadif terkejut pantas berdiri.
“Relax la bro. Takkan itu pun nak terkejut,” kata Qaira ketawa kecil.
Hadif mendengus kasar. Dia duduk di kerusi semula dan meneguk rakus air dari dalam gelas. Wajah tersenyum Qaira ditatap benci.
“Kalau awak setuju, kita tetapkan syarat. Macam mana?”
“Masalah kau. Aku tak nak masuk campur.”
“Saya tahu, awak pun mempunyai masalah yang sama macam saya.”
Hadif terkedu. Serta-merta perbualan Haji Saiful dan Hajah Halijah bermain di minda.
Come on la. Awak pun hadapi masalah yang sama macam saya kan? Saya dah siasat pasal awak,” suara Qaira lagi.
Wajah Hadif ditatap mesra. Senyuman terbias di bibir. Pandai-pandai aje kau ni, Aira. Dibuatnya dia mengamuk, mampus kau nanti, bisik Qaira dalam hati.
“Kalau aku ada masalah sama macam kau, itu bukan masalah kau.”
“Memang la bukan masalah saya. Tapi, tak salah kalau kita berkongsi masalah yang sama. Betul tak?”
Hadif tidak membalas. Dikepalkan tangan menahan kemarahan di hati.
“Macam mana?” soal Qaira lagi.
“Aku tak berminat!” balas Hadif bingkas bangun.
Qaira yang melihat turut sama bangun.
“Gila!” kutuk Hadif lalu beredar dari situ.
“Eh… nanti dulu!” panggil Qaira sedikit lantang.
Hadif tidak mengendahkan panggilan Qaira. Dia melangkah menuju ke pejabat. Di kerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menghampiri ke angka dua petang.
“Berlagak betul mamat tu. Bukannya betul-betul. Aku main-main aje,” kutuk Qaira sambil mencebirkan bibir. Meluat melihat tingkah laku Hadif.
“Hei.. aku tak minat la dengan lelaki macam kau. Perasan bagus! Perasan handsome!” laung Qaira bernada bengang. Masih tidak berpuas hati.
Hadif yang mendengar mematikan langkah. Seminit kemudian, dia menyambung langkah menuju ke pejabat.
“Minah gila!” kutuk Hadif buat Qaira.
“Macam mana la aku boleh spontan aje tadi. Hisy… kau ni Aira. Buat malu ajelah,” kutuk Qaira pula kepada dirinya sendiri.
Tanpa menunggu, dia melangkah jalan menuju ke tempat yang dituju. Seperti yang diberitahu oleh Encik Borhan tadi. Mesyuarat di pejabat Haji Saiful.


“TERIMA kasih!” ucap Encik Borhan ramah.
Haji Saiful dan Wahida merangkap setiausaha Haji Saiful mengangguk dan tersenyum. Masing-masing melabuhkan duduk di kerusi.
“Apa khabar tuan haji?” tegur Qaira sopan.
“Sihat alhamdulillah, Qaira. Awak macam mana? Sihat?” balas Haji Saiful.
“Saya sihat alhamdulillah. Maafkan saya atas tingkah laku saya dalam mesyuarat yang lepas,” ucap Qaira bernada kesal.
“Tak mengapa Qaira. Saya tak ambil pusing pasal tu. Maafkan saya juga atas tingkah laku anak saya.” Haji Saiful bersuara.
“Anak tuan haji?” soal Qaira berkerut dahi. Cuba untuk mengingati tentang itu.
“Itulah! Mengelamun lagi masa mesyuarat. Siapa suruh?” tegur Encik Borhan.
Qaira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Maaf lambat,” ujar Hadif tiba-tiba.
Mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat itu tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah Hadif yang baru menapak masuk ke dalam bilik.
Qaira turut sama menoleh. Buntang matanya melihat gerangan yang masuk ke dalam bilik itu. Serta-merta dia menundukkan wajah. Tidak menyangka lelaki itu anak kepada Haji Saiful. Peristiwa yang berlaku di restoran tadi bermain di tubir mata.
“Masuk Hadif!” arah Haji Saiful.
Hadif melangkah masuk ke dalam bilik. Matanya memandang wajah-wajah di dalam bilik itu. Pandangannya terhenti ke seraut wajah di sebelah Encik Borhan.
“Boleh kita mulakan sekarang?” tanya Haji Saiful lembut.
“Boleh, tuan haji,” jawab Encik Borhan.
Haji Saiful mengangguk. Tanpa berlengah, mereka memulakan perbincangan. Satu persatu usul diutarakan dan diperjelaskan oleh Encik Borhan. Qaira hanya mendengar. Tidak berniat untuk menyampuk. Rasa gementar dan berdebar ketika ini. Dapat dirasakan Hadif sedang memandang ke arahnya. Walaupun dia tidak pasti, dia yakin pemuda itu sedang memerhati tingkah lakunya.
Usai berbincang, Qaira segera beredar dari bilik itu. Disentuh dadanya yang berdetak hebat. Sebab apa? Dia sendiri tidak tahu. Situasi yang sama dihadapi ketika bermesyuarat di syarikat dulu. Adakah disebabkan Hadif, dia berkeadaan begitu?
“Ah, tak mungkin!” tukas Qaira menggeleng laju.
Mustahil dia menyukai pemuda itu? Mustahil juga pemuda itu calon yang sesuai buat dirinya. Kata-katanya yang lepas terngiang-ngiang di cuping telinga.
“Bila aku jumpa dengan seorang lelaki, jantung aku berdegup kencang. Aku rasa serba tak kena. Gelabah! Kalut! Macam pertemuan hero dan heroin ciptaan aku dalam kesemua novel aku tu,” kata Qaira mengulangi kata-katanya yang lalu.
“Mustahil… mustahil… mustahil. Tak mungkin!” tukas Qaira berkali-kali.
Mustahil pemuda itu lelaki yang dicari selama ini. Jauh dari apa yang diingininya selama ini. Tidak seperti hero-hero ciptaannya itu.
“Arghhh!!! Stress aku kalau fikirkan pasal calon suami ni,” rengus Qaira lalu beredar dari situ menuju ke ladies room.
Belum sempat dia melangkah menghampiri ladies, tubuhnya sudah ditarik masuk ke dalam sebuah bilik. Terkejut dia dengan tindakan itu.
“Awak nak buat apa ni?” tanya Qaira terkejut.
“Aku ada business proposal untuk kau,” jawab Hadif sambil melangkah ke kerusi.
Dilabuhkan duduk di kerusi dan memandang ke wajah Qaira. Senyuman sinis menghiasi bibirnya.
Qaira membetulkan keadaan. Kemudian, dihalakan mata ke wajah Hadif. Riak selamba terlukis di wajah itu.
“Kau berminat tak?” tanya Hadif pula.
“Berminat apa?” soal Qaira berkerut dahi.
“Aku jadi calon suami kau dan kau jadi calon isteri aku.”
What?!!!” Terjerit Qaira mendengarnya.
“Bukankah itu yang kau cadangkan pada aku tadi?”
Wait! Saya bergurau aje tadi. Janganlah amik serius.”
“Aku tak bergurau. Aku serius!”
Qaira menelan liur. Kelat! Perbuatannya di restoran beberapa jam yang lepas telah memakan dirinya sendiri.
“Kau setuju?”
“Saya tak setuju!”
“Bukankah itu masalah kau sekarang ni?” Hadif memulangkan pertanyaan Qaira tadi.
“Errr…” Qaira termati kata-kata.
“Aku pun hadapi masalah yang sama. Jadi tak salah kalau kita selesaikan masalah kita dengan cara ni,” kata Hadif sambil berpeluk tubuh.
Sejak dari tadi dia memikirkan tentang kata-kata Qaira ketika di restoran tadi. Ada baiknya dia menggunakan pendekatan seperti itu. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu menerima cadangan Hajah Halijah. Mengupah seorang gadis untuk diperkenalkan kepadanya. Biar dia sendiri yang melaksanakan rancangan tersebut.
“Saya akui yang saya sedang menghadapi masalah tentang jodoh. Tapi itu tak bermakna saya perlu terima cadangan awak,” ujar Qaira sambil melabuhkan duduk. Dia turut sama berpeluk tubuh.
Why?” soal Hadif berkerut dahi.
“Pertama, saya tak kenal dengan awak. Macam mana awak nak jadi calon suami saya? Sekurang-kurangnya kena kenal hati budi masing-masing. Kedua, awak bukan dalam kategori yang saya idam-idamkan selama ini. Bukan macam hero-hero yang saya ciptakan dalam kesemua novel saya tu. Ketiga, saya tak rasa awak seorang yang terdesak sama macam saya. Awak sekadar untuk suka-suka saja. Ke empat, awak ni seorang yang tak mesra alam. Sombong dan berlagak. Dan yang terakhir, awak tak boleh nak jadi  imam yang baik untuk saya,” jelas Qaira panjang lebar.
Tanpa menunggu, dia bingkas bangun dari duduk dan memulakan langkah untuk beredar dari bilik itu. Kepala menggeleng dengan rancangan pemuda itu. Entah apa namanya pun dia sendiri tidak tahu.
“Nanti dulu!” tahan Hadif seraya bangun.
Qaira mematikan langkah. Dia menoleh ke belakang dan memandang wajah pemuda itu. Menanti butir bicara daripada pemuda itu.
“Terlalu awal untuk kau menilai diri aku,” ujar Hadif sambil malangkah menghampiri Qaira di muka pintu bilik.
Qaira memandang Hadif yang sedang melangkah menghampirinya.
“Pertama, kita boleh berkenalan. Tak lama mana pun kita berkenalan. Kedua, hero-hero yang kau ciptakan? Kau novelis?” suara Hadif.
“Ya! Saya part time novelis,” balas Qaira.
“Oh! Tak sangka yang kau ni novelis. Impressed!”
Qaira tidak membalas.
“Kau belum kenal dengan aku. Kalau kau dah kenal, kau boleh nilai aku sama ke tidak macam hero-hero dalam kesemua novel kau tu. Mungkin sedikit dan bukan 100%. Ketiga, memang aku tak terdesak. Tapi, untuk persiapan diri aku sendiri sebelum ayah dan umi aku cari calon untuk aku dan aku tak percaya langsung dengan perkahwinan atas dasar keluarga. Jawapan untuk yang ke empat sama seperti jawapan aku yang kedua tadi. Dan yang terakhir, belum tentu kau boleh jadi makmum yang terbaik untuk aku,” jelas Hadif panjang lebar. Matanya memandang tepat ke wajah Qaira.
Qaira hanya membisu. Otaknya cuba merencana penjelasan Hadif. Perlukah dia bersetuju dengan cadangan dan permintaan Hadif?
So? Kau setuju?” tanya Hadif lagi.
Qaira menghela nafas ringan. Anggukan diberikan tanda setuju. Tak salah mencuba, bisik hati Qaira.





5 ulasan:

  1. wah jln cite jd mkin mnrik..xsbr nk tggu next bab-L-

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih coz sudi membaca.. :)

      Padam
  2. saya rasa penulisan akak dah lain sikit dari dulu..
    jalan cerita semakin menarik.

    BalasPadam
    Balasan
    1. maybe la.. hr tu gap beberapa bulan tak menulis.. apa2 tq Q sudi baca CSBN.. :)

      Padam
  3. yang ni best kak....sronok membaca buat kali kedua dgn ketenangan...hehheheheh

    BalasPadam