Khamis, 6 November 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 13







“AMIN… Amin Ya Rabbal Alamin,” amin Nur Syahirah seraya meraup wajah.
Air mawar dijirus ke pusara. Kemudian, ditabur bunga ke atasnya dan mengusap lembut nama yang tertera di batu nisan. Air mata mengalir perlahan membasahi pipi.
“Maafkan mama. Mama tak jaga Sarah baik-baik. Mama akan datang melawat Sarah lagi,” luah Nur Syahirah sambil menyeka air mata.
Seminit kemudian, dia bingkas bangun dan beredar dari situ. Matanya tidak lekang dari menatap pusaka Sarah Imani.
“Assalamualaikum,” tegur seseorang dari arah belakang.
Nur Syahirah mematikan langkah. Ditoleh ke belakang dan memandang ke wajah yang menegurnya sebentar tadi.
“Waalaikumussalam.”
“Bila balik?” tanya Zahrul sambil melangkah menghampiri Nur Syahirah.
“Kelmarin! Apa khabar?” balas Nur Syahirah, tersenyum.
“Abang sihat alhamdulillah. Ziarah pusara Sarah?”
“A’ah. Dah lama Syira tak ke sini. Rindu pada Sarah.”
Zahrul mengangguk perlahan. Matanya menatap mesra wajah Nur Syahirah. Agak lama dia tidak berjumpa dengan gadis itu. Hampir enam bulan lamanya. Kali terakhir dia berjumpa dengan Nur Syahirah ketika di majlis tahlil buat arwah Sarah Imani.
“Jomlah ke rumah,” ajak Nur Syahirah, ramah.
“Tak mengapalah, Syira. Abang nak ke kedai beli barang sikit,” tolak Zahrul, lembut.
“Kalau macam tu, Syira balik dulu. Jangan lupa datang esok.”
“Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa abang datang. Mak long dah beritahu abang semalam.”
“Syira jalan dulu.”
“Baiklah. Hati-hati.”
Nur Syahirah mengangguk dan beredar dari situ. Senyuman diberikan buat Zahrul. Lelaki itu tampak makin kacak dari pandangan mata. Berbeza di awal perkenalan mereka pada enam tahun yang lepas. Ketika dia menumpang di rumah mak long, Zahrul kelihatan biasa-biasa sahaja. Mungkinkah jawatan yang dipegang oleh Zahrul ketika ini membuatkan lelaki itu perlu berketrampilan menarik. Jawatan sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di kampung itu.


“SYIRA…” panggil Puan Hasiah.
Nur Syahirah yang sedang mengadap laptop tersentak. Dihalakan mata ke arah Puan Hasiah yang sudah pun duduk. Senyuman diberikan kepada mak longnya itu.
“Mak long nak tanya sesuatu boleh tak?” mulai Puan Hasiah, ramah.
“Apa dia, mak long?” tanya Nur Syahirah dan memberi tumpuan kepada Puan Hasiah.
“Bila Syira nak balik kampung? Mak Syira rindukan Syira. Baru-baru ni, mak Syira ada call mak long tanya pasal Syira,” beritahu Puan Hasiah, lembut.
Nur Syahirah hanya mendengar. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Puan Hasiah?
“Syira balik ya, nak. Enam tahun Syira merantau. Selama enam tahun tu juga Syira tak pulang-pulang ke kampung. Syira tak kesiankan mereka ke?”
“Syira… Syira bukannya tak nak balik mak long. Syira takut…”
“Insya-Allah, perkara tu dah lama. Mak long yakin, mereka takkan cari Syira lagi.”
“Syira tetap risau, mak long. Syira tak nak keluarga Syira disakiti.
“Mak long faham. Tapi, sampai bila Syira nak macam ni? Tentang Sarah Imani. Sampai bila Syira nak rahsiakan daripada keluarga Syira? Daripada…”
“Belum tiba masanya untuk Syira beritahu tentang Sarah pada sesiapa, mak long,” pintas Nur Syahirah, laju. Mengerti akan kata-kata Puan Hasiah itu.
“Tak mengapalah, Syira. Mak long cuma bertanya. Kalau boleh, mak long nak Syira fikirkan dengan apa yang mak long katakan tadi. Mak long kasihankan adik mak long tu. Mak long faham perasaan seorang ibu tatkala merindui anaknya,” nasihat Puan Hasiah bingkas bangun dari duduk. Wajah anak saudaranya ditatap kasih.
Nur Syahirah hanya membisu dan mendengar.
“Mak long masuk bilik dulu,” pamit Puan Hasiah lalu beredar dari situ.
Nur Syahirah mengangkat muka dan mengangguk. Matanya menghantar langkah Puan Hasiah sehingga hilang dari pandangan mata. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Ditatap laptop di hadapan dengan pandangan yang kosong. Jika diikutkan, memang dia berniat untuk pulang ke kampung. Tetapi, kenapa seakan berat untuk melakukannya?
Nur Syahirah meraup wajah. Selama enam tahun ini, hanya mak long dan Farhana yang banyak membantu. Selama setahun dia mengabadikan diri di kampung Puan Hasiah. Selama itu juga, tidak putus-putus Puan Hasiah membantu dari segi keperluan. Bukan itu sahaja, Zahrul Idham turut sama membantu dari segala hal. Rasa terhutang budi kepada pemuda itu.


“MAAF, Zairiel. Saya tak tahu ke mana Syira pergi,” beritahu Farhana.
“Mustahil awak tak tahu, Hana. Awak kan kawan baik dia,” bidas Zairiel, tegas.
“Kalau saya tahu sekali pun, saya tak boleh nak beritahu pada awak. Saya dah janji dengan Syira.”
Please, Hana. Saya nak tahu di mana Syira berada. Saya cuba call dia banyak kali tapi tak berangkat. Kadang-kadang tu, first call saya ada ringing. Second call, terus tak dapat. Dia off handphone. Mungkin bila awak call, dia akan angkat.”
“Bagi Syira masa untuk berfikir, Zairiel. Pertemuan kamu berdua semula buatkan Syira stress. Awak nak Syira masuk hospital semula?”
Zairiel meraup wajah berserta keluhan berat. Selama dua hari dia ke rumah Nur Syahirah mencari gadis itu.
“Awak balik la dulu. Apa-apa nanti, saya beritahu pada awak,” ujar Farhana. Mengharapkan pengertian daripada lelaki itu.
“Danny demam, Hana. Dah dua hari. Mungkin dia rindukan Syira. Saya dah bagi ubat pada Danny. Tapi deman Danny tetap tak kebah,” adu Zairiel, lemah
Tersentak Farhana mendengarnya. Benarkah Daniel Iman demam?
“Dah dua malam Danny meracau. Nama Syira yang disebutnya. Please, Hana. Kalau awak tak nak beritahu saya di mana Syira, awak beritahu keadaan Danny pada Syira,” rayu Zairiel mengharap.
“Baiklah, Zairiel. Saya akan beritahu pada Syira tentang Danny.”
Farhana terpaksa mengalah. Demi Daniel Iman, ada baiknya dia menghubungi Nur Syahirah. Rasa simpati hadir dengan tiba-tiba.
Zairiel menarik nafas lega. Bersyukur kerana rayuannya tadi mendapat simpati Farhana.
Sorry Syira, aku ganggu kau malam-malam buta macam ni.” Farhana berkata kesal.
“Tak apa. Aku belum tidur lagi. Kenapa?” balas Nur Syahirah.
“Aku… aku…”
“Aku apa, Hana?”
“Syira…”
“Kau rindu kat aku ya? Baru dua hari aku tinggalkan kau, takkan dah rindu kut?”
Farhana tersenyum tawar. Dihulurkan telefon bimbit kepada Zairiel. Ada baiknya lelaki itu yang berbicara dengan Nur Syahirah.
“Kau janganlah risau. Dalam dua tiga hari lagi aku balik. Esok, mak long nak adakan kenduri arwah Sarah. Siang tadi, aku ke pusara Sarah. Aku rindukan dia, Hana. Aku rindukan Sarah Imani,” cerita Nur Syahirah bernada sebak.
Zairiel berkerut dahi mendengarnya. Dibiarkan sahaja Nur Syahirah bercerita. Hatinya tertanya-tanya. Siapa Sarah Imani yang dimaksudkan oleh Nur Syahirah itu? Adakah Sarah Imani itu anak Nur Syahirah? Adakah Nur Syahirah pernah berkahwin?
“Kalau kau ada masa, kau datanglah sini. Aku perlukan kau,” sambung Nur Syahirah.
“Nur Syahirah!” seru Zairiel penuh syahdu.
Tersentak Nur Syahirah dek kerana seruan itu. Air liur ditelan beberapa kali. Kelat! Siapa di hujung talian? Adakah Zairiel Iqwan yang sedang berada di hujung talian?
“Saya rindukan awak, Syira,” luah Zairiel pula.
“Za… ir… riel. Awak ke, Zairiel?” Tergagap-gagap Nur Syahirah bertanya.
“Syira, please jangan letak. Saya ada perkara nak beritahu pada awak,” pinta Zairiel sedikit merayu. Berharap, Nur Syahirah mengerti akan permintaannya itu.
Nur Syahirah mengeluh berat. Mahu tidak mahu terpaksalah dia mendengar butir bicara daripada Zairiel.
“Danny demam. Danny rindukan awak,” beritahu Zairiel, perlahan.
“Demam?” ulang Nur Syahirah sedikit terkejut.
“Dah dua hari Danny demam.”
“Dua hari? Ya Allah! So, macam mana dengan Danny sekarang? Awak tak bawa Danny jumpa doktor? Sekejap… sekejap… awak kan doktor. Takkan awak tak boleh nak rawat Danny?” tanya Nur Syahirah, bertalu-talu. Risau di hati hanya Allah sahaja yang tahu.
“Saya dah bagi ubat dan suntikan. Tapi, demam Danny tetap tak kebah. Hanya awak penawar demam Danny. Nama awak yang selalu disebutnya. Dah dua malam Danny meracau.”
Nur Syahirah terkedu. Sebak di hati tatkala mendengar penjelasan Zairiel. Apa yang harus dilakukannya sekarang? Perlukah dia pulang dan berjumpa dengan kanak-kanak itu?
“Syira…” panggil Zairiel.
“Saya tak boleh nak balik sekarang, Zairiel. Esok, mak long ada buat tahlil untuk arwah Sarah Imani,” jelas Nur Syahirah.
“Sarah Imani? Siapa Sarah Imani?”
Gurlp! Nur Syahirah menelan liur. Kelat dirasai ketika ini.
“Syira!”
“Anak mak long!” bohong Nur Syahirah.
“Oh!” balas Zairiel, sepatah.
Kepala mengangguk kecil. Dari tadi hatinya tertanya-tanya, siapa Sarah Imani yang sebenar? Ternyata fikirannya jauh menyimpang.
“Dah jauh malam. Saya letak dulu. Insya-Allah, kalau tak ada halangan lusa saya balik.”
“Baiklah! Terima kasih, Syira!” ucap Zairiel dan mematikan talian. Telefon diserahkan semula kepada Farhana.
“Terima kasih, Hana. Maaf, kalau saya mengganggu awak malam-malam buta begini.”
“Tak mengapalah, Zairiel. Mana yang saya boleh bantu, saya akan bantu,” balas Farhana, tersenyum. Menghalau rasa bersalah lelaki itu.
Zairiel sekadar mengangguk. Tanpa membalas, dibawa langkah menuju ke kereta. Anggukan kecil diberikan kepada Farhana dan menapak masuk ke dalam kereta. Nafas ditarik dan melepaskannya lembut. Bersyukur kerana Farhana sudi membantunya.


“PAPA!” panggil Daniel Iman, perlahan.
Zairiel menghalakan pandangan. Wajah Daniel Iman ditatap kasih.
“Mana Kak Syira?” tanya Daniel Iman.
Zairiel bingkas bangun dari duduk. Dihampiri katil dan melabuhkan duduk di situ.
“Danny rindukan Kak Syira,” adu Daniel Iman.
“Danny tidur dulu. Danny tak sihat lagi,” kata Zairiel. Tangannya menyentuh lembut dahi Daniel Iman. Masih sama dan tidak ada tanda untuk surut.
“Bila Kak Syira nak datang?”
“Esok Kak Syira datang.”
“Kalau esok Kak Syira tak datang?”
“Papa paksa Kak Syira datang juga.”
“Papa tak bohong?”
“Tak, sayang!”
“Janji!”
“Janji!”
Daniel Iman tersenyum. Matanya menatap kasih wajah Zairiel.
“Danny tidur dulu ya, sayang,” arah Zairiel, lembut.
Diusap lembut ubun rambut Daniel Iman dan mengucup dahi anaknya itu. Selimut dikemaskan dan bangun dari duduk.
“Papa!” panggil Daniel Iman.
“Hmm..” balas Zairiel.
“Kak Syira cantik. Kalau Kak Syira jadi mama Danny… boleh tak papa?”
Zairiel berkerut dahi.
“Boleh tak kalau Kak Syira jadi mama Danny?” pinta Daniel Iman seraya memandang ke wajah Zairiel. Menanti jawapan daripada papanya itu.
“Danny kena tanya Kak Syira. Papa tak boleh nak bagi jawapan,” kata Zairiel, lembut.
“Esok Danny tanya pada Kak Syira,” ujar Daniel Iman, tersenyum.
Zairiel menggeleng kecil. Tidak semudah itu Nur Syahirah akan bersetuju. Pasti Nur Syahirah akan menolak. Siapalah dia di hati Nur Syahirah ketika ini?
“Selamat malam, papa. Danny sayang papa!” ucap Daniel Iman.
“Selamat malam, sayang!” balas Zairiel.
Kemudian, dibawa langkah menuju ke meja kerja. Dilabuhkan duduk dan membuang pandang ke luar jendela. Langit malam tampak cantik dihiasi dengan sebutir bintang. Dia tersenyum buat seketika. Seakan melihat wajah Nur Syahirah di dada langit. Rindu akan wajah itu. Semoga niatnya untuk memperisterikan gadis itu tertunai nanti.




8 ulasan: